BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Sunday, March 27, 2011

Catatan Perjalanan : Berjumpa Kawan Lama Di Bintangor

Sudah lama sebenarnya, saya menyimpan hasrat untuk ke Bintangor. Bukan apa....kerana di sana masih terdapat teman-teman lama sewaktu belajar di UPSI Tanjong Malim dahulu. Namun setelah 3 tahun, barulah saya dapat menjejakkan kaki ke Bintangor. Itupun atas ajakan teman sebilik saya Cikgu Kumaresan. Saya lantas bersetuju ... sekurang-kurangnya terisi juga waktu cuti saya disamping itu boleh juga mencuci mata melihat tempat orang.


Kami bergerak meninggalkan Kapit seawal pagi dengan menaiki bot ekspres jam 7.30 pagi tanggal 18 Mac 2011. Ia suatu pagi Jumaat yang tenang. Sampai sahaja di Sibu kira-kira 3 jam selepas bertolak, saya dan Kumaresan memang tidak dapat lagi menahan diri untuk melepaskan hajat memakan roti canai dan tosai di kedai mamak... hahahahahaha. Cikgu Shahrul Roslan juga turut bersama kami ketika ini.


Kami bergerak ke Bintangor dengan mengambil bas berhadapan terminal penumpang Sibu tepat jam 12.30 tengah hari. Sejujurnya, memang saya berniat menaiki bas yang uzur. Dan hasrat itu memang tercapai kerana bas yang kami naiki sememangnya uzur... ia betul-betul klasik!!!!! Tiket berharga RM6 untuk perjalanan selama sejam rasanya memang berbaloi. Ditambah dengan pemandangan di luar tingkap bas yang memukau. Apa yang menarik ialah tempat duduk saya di dalam bas berkenaan adalah di belakang kerusi yang menempatkan sayur-mayur. Dan sayur-mayur itu juga dikenakan tiket !!!!!


Di dalam bas... duduk di belakang sayur-mayur yang bertiket !!



Kami sampai ke Bitangor pada jam 1 petang. Kami menjamu selera makan tengah hari di sebuah kedai mamak yang terdapat di sini. Sekurang-kurangnya dapat juga saya merasa nasi kandar mamak Sarawak. Saya juga sempat ronda-ronda di sekitar Bintangor. Bandarnya agak luas dan lengkap. Cuma suasana petangnya agak suram dan lengang.

Selamat datang ke Bintangor


Bergambar dengan trademark Bintangor iaitu buah limau


Banyak perkara yang menarik minat saya di sini. Paling penting saya terjumpa papan-papan tanda yang klasik dan 'oldskol'. Sebuah papan tanda mesin jahit berjenama SINGER bertulisan jawi membuatkan saya benar-benar teruja. Ditambah dengan sebuah lagi papan tanda klinik gigi yang lucu.


Papan tanda SINGER klasik bertulisan jawi

 Pernah dengar nama Syarikat semacam ini?


Kami disambut oleh kawan lama saya di UPSI dahulu iaitu Cikgu Yeong Jia Tsung yang kini mengajar di Program Pendidikan Khas Integrasi ( PPKI ) SMK Bandar Bintangor. Tahun lepas ada seorang teman baik saya bertugas di PPKI sekolah yang sama iaitu Cikgu Norlizah Abdul Rahman namun kini beliau sudah berpindah mengajar di Labuan kerana mengikuti suaminya. Cikgu Yeong masih tetap sama dan tidak banyak yang berubah. Masih lucu dan ramah seperti masa - masa yang lalu. Malam ini kami bermalam di rumah beliau.

Pada sebelah malamnya kami bergerak makan untuk makan malam di bandar Sarikei kira-kira 20 minit perjalanan berkereta dari Bintangor. Memang puas hati makan malam di sini. Kata orang ... harga barang di Sarikei antara yang termurah di negeri Sarawak. Itu saya tidak pasti. Tetapi jika dilihat dari harga makanan dan koleksi makanan lautnya yang murah saya bagaikan mempercayai kenyataan itu.


Esoknya awal-awal pagi lagi kami keluar untuk meneroka pekan Bintangor. Sasaran utama saya ialah untuk makan pagi. Kata cikgu Yeong di Bintangor harga makan paginya tidak lah semahal di Kapit. Kami makan berhampiran denganb pasar awam Bintangor. Saya memesan nasi lemak telur mata, roti telur dan teh tarik. Memang bernafsu saya makan pagi ini. Habis kesemuanya saya kerjakan... memang betul kata Cikgu Yeong, harga makanan di sini jauh lebih murah dari Kapit.

Menikmati nasi lemak yang bercitarasakan semenanjung

Roti canai Bintangor

Cikgu Kumaresan dan Cikgu Yeong

Kami ronda-ronda di pasar awam Bintangor. Agak besar juga pasar ini. Perkara yang paling menarik ialah kerukunan hidup pelabagai bangsa dan agama di sini. Seronok melihat perpaduan seperti ini. Saya juga berkesempatan meneroka ke seluruh pekan Bintangor melihat suasananya. Antara perkara yang menarik minat saya ialah kewujudan sebuah stesen minyak yang amat-amat klasik !!!!.... tersenyum sendirian saya melihat setesen minyak ini. Ia sebuah stesen minyak yang teradisional dan unik.

 Stesen minyak yang klasik !!!




Pasar awam Bintangor

Sebahagian dari pemandangan pekan Bintangor



Ibu pejabat Majlis Daerah Meradong dan Julau

Singgah sebentar di Masjid Darul Taqwa Bintangor

Suasana di dalam pasar awam Bintangor





Saya juga berkesempatan merasa rojak buah Bintangor yang terkenal. Menurut Cikgu Yeong, rojak ini pernah menjadi tajuk berita dalam surat khabar berbahasa Cina di Sarawak kerana keenakannya. Namun pada saya rasanya agak biasa-biasa sahaja. Pendapat saya ini juga diakui oleh Cikgu Kumaresan dan Cikgu Yeong. Namun habis juga sepinggan besar dibelasah oleh kami...hahahahaha

Rojak Buah Bintangor yang terkenal

Saya juga berkesempatan bertemu dengan Cikgu Sahrom iaitu teman lama saya semasa menuntut di UPSI. Kami pernah bekerjasama melalui tayangan pentomin lucah Tipah Tertipu semasa minggu orientasi pelajar baru UPSI ambilan Jun 2004/2005. Beliau berlakon watak Tipah dan saya sebagai suara latar beliau. Kini semua itu sudah berlalu. Cikgu Sahrom tinggal sama blok dengan saya di Kolej Aminuddin Baki ( KAB ) UPSI. Kini beliau mengajar di sekolah lama beliau di SMK Bandar Bintangor. Sudah mendirikan rumah tangga dan memiliki seorang cahaya mata. Dia tetap sama seperti dulu .... tersenyum diri sendiri bila diusik oleh beliau bila lagi saya akan berkahwin... apa yang dapat saya jawab cuma ... tidak ada yang mahukan saya. hahahahaha


Kawan lama di UPSI ...Cikgu Sahrom

Saya juga sempat mengunjungi Ustad Wan Roslan yang saya kenali semasa Perkhemahan Kadet Remaja Sekolah ( KRS ) Peringkat Negeri Sarawak 2010 di Sri Aman. Wajahnya persis mantan perdana menteri Malaysia ke-5.... tak sangka beliau masih mengingati saya.

Bersama Ustad Wan Roslan


Saya bergerak pulang meninggalkan Bitangor pada jam 12.30 tengah hari dengan menaiki bas ke Sibu. Saya dan Cikgu Kumaresan dihantar ke perhentian bas oleh Cikgu Yeong... banyak kenangan terukir di sini. Tidak tahu lagi bile saya akan kembali ke sini. Laluan hati semakin tersisih di bumi kenyalang ini. Ada air kesedihan yang meruntun di hati saya semasa bergerak meninggalkan Bitangor. Ianya tentang cerita kehidupan bersahabat yang unik.... melawat teman lama di Bitangor membeli semula kenangan-kenangan lama saya. Melihat kehidupan yang akan mendatang ...saya sedar ....saya semakin berusia... tepat jam 2 petang saya sampai ke Sibu .... cerita perjalanan ke Bitangor berhenti di sini .....

Menunggu bas pulang ke Sibu

0 ulasan: