BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Wednesday, March 30, 2011

Kembara Pekan Terpencil 5 : Pekan Temoh Stesen

Setelah menghabiskan masa hampir 30 minit di pekan Temoh, saya bergerak pula ke sebuah pekan lama yang cuma menunggu masa untuk mati. Pekan Temoh Stesen merupakan pekan kecil yang terletak tidak jauh dari pekan Temoh. Kewujudan pekan ini mungkin dikaitkan dengan kewujudan stesen keretapi Temoh pada suatu ketika dahulu.Namun kini stesen keretapi itu sudah ditutup. Hanya tinggal landasan sahaja yang masih tersisa.



Temoh Stesen, pekan yang semakin menuju hari akhirnya. Saya pasti suatu ketika dahulu pekan ini meriah dengan pelbagai aktiviti penduduknya. Ditambah pula dengan kegiatan melombong bijeh timah dan tanaman getah yang giat diusahakan menjadikan pekan ini hidup. Kewujudan sebuah stesen keretapi membuktikan kenyataan ini. Namun sejak akhir tahun 90an banyak stesen-setesen keretapi di daerah Batang Padang telah ditutup. Mungkin atas alasan kekurangan penumpang. Antara stesen-stesen yang ditutup ialah stesen Trolak, Ladang Bikam, Bidor, Banir dan Temoh Stesen. Ini seterusnya menjadikan pekan ini terus mati dan seakan-akan misteri.

Tidak ada kemudahan pejabat-pejabat kerjaan di pekan ini. Kemudahan pejabat pos hanya boleh didapati di pekan Temoh. Barisan rumah kedai di pekan ini agak suram. Ada sebahagiaanya sudah musnah akibat kebakaran. Tidak banyak kedai yang beroperasi. Cuma beberapa kedai sahaja yang terus memberikan perkhidmatan urusan jual beli kepada penduduk tempatan.

 Jalan masuk ke pekan Temoh Stesen

Jejeran rumah kedai yang terbakar ... ditinggal sepi

Antara kadai-kedai yang masih menjalankan operasi

Pemandangan pekan Temoh Stesen



Saya agak jarang melalui pekan ini di masa remaja saya. Mungkin disebabkan kedudukannya yang jauh ke dalam dan tiada urusan penting di sini. Namun ketika bersekolah di tingkatan enam dahulu pernah saya mengikuti penyelia asrama saya bersolat Jumaat di sini. Penduduk di Temoh Stesen majoritinya ialah orang-orang Melayu. Namun demikian komuniti kaum Cina dan India juga terdapat di sini namun populasinya mungkin agak kurang.


Masjid Jamek As-Solehin Temoh Stesen.
saya pernah bersolat Jumaat di sini kira-kira 8 tahun yang lalu.

Sebenarnya kunjungan saya ke Temoh Stesen adalah untuk melihat tinggalan-tinggalan stesen keretapinya. Namun saya pulang hampa kerana stesen berkenaan sudah tiada. Projek landasar berkembar bagi perjalanan Komuter dari Kuala Lumpur ke Ipoh telah membunuh banyak tinggalan - tinggalan sejaran stesen berkenaan. Namun saya sedar ... ia adalah harga yang paling mahal perlu kita bayar untuk sesuatu yang bernama kemodenan. Jiwa klasik saya seakan-akan bermusuhan dengan realiti kemodenan ... namun ia adalah hakikat bahawa yang lama itu sudah pasti berganti baru. 

Saya bergerak meninggalkan Temoh Stesen ketika matahari sudah merangkak petang. Saya akan menuju ke Tapah Road... sebuah lagi pekan lama namun penuh bersejarah. Ketika melewati meninggalkan pekan Temoh Stesen, saya dapat merasakan sebuah kehilangan .... kehilangan sebuah lagi pekan tua yang beraroma tua akibat arus kemodenan.

Temoh Stesen ..... saya selalu merindukan suasana tenang diri mu ....









2 ulasan:

Anonymous said...

assalamualaikum... smg hafez mnemui ketenangan dlm khidupan yg sntiasa mncbr...terus mneroka khidupan dgn trus berjaln dn sesekali prlu mnoleh ke blkg agr kta sdr prjalann kita msh trlalu jauh...

hafez j malim said...

wasalam..
terima kasih atas nasihat dan pandangan... insyaAllah segalanya akan lancar dan dipermudahkan