BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Sunday, March 20, 2011

Perkhemahan Perdana Kadet Remaja Sekolah ( KRS ) Peringkat Negeri Sarawak 2011



Perkhemahan Perdana KRS Peringkat Negeri Sarawak tiba lagi untuk tahun 2011. Jika tahun lepas ianya diadakan di Bahagian Sri Aman, kini tiba pula giliran Bahagian Kapit menjadi tuan rumah untuk acara yang menjadi kebanggaan seluruh warga KRS negeri Sarawak ini. Jika tahun lepas, saya menjadi guru pengiring untuk Kontijen KRS Bahagian Kapit, kini saya memikul tugas sebagai Timbalan Kem Komandan untuk perkhemahan ini. Ia suatu tugasan berat yang terpaksa saya pikul demi kelangsungan program perkhemahan ini.

Perkhemahan ini berlangsung dari 13 hingga 16 Mac 2011. Tapak perkhemahan yang digunakan terletak di  padang SMK Kapit No.2. Persediaan awal dalam penyediaan tapak perkhemehan sudah bermula kira-kira seminggu lebih awal dari tarikh perkhemahan. Kerjasama yang erat dari setiap ahli jawatankuasa kerja perkhemahan yang terdiri dari PPD Kapit, Jurulatih Pusat Ko-Kurikulum, Kem Komandan dan para fasilitator telah banyak membantu sepanjang kelangsungan program perkhemahan ini. Saya sendiri bagaikan terbakar kulit kerana terpaksa berpanasan dalam penyediaan tapak perkhemahan.


Gambar sekitar penyediaan tapak perkhemahan









Penyediaan menara peninjau yang diketuai oleh 
Cikgu Morgan Indam ( Pesuruhjaya Pengakap Bahagian Kapit ).


Banyak masalah yang timbul semasa penyediaan tapak perkhemahan namun semuanya berjaya diatasi berkat kerja sepasukan antara kami semua. Malahan pada ketika hari perkhemahan itu sendiri, lampu perkhemahan masih belum lagi siap pendawaiannya. Mujur juga SMK Kapit No.2 menyediakan pelajar pembantu untuk membantu kami. Dibawah ini disediakan laporan dan cerita ringkas berkaitan dengan perkhemahan ini. Sukar untuk saya coretkan dengan padat kerana kekangan masa. Namun rasanya sudah cukup untuk memberi seribu satu kepuasan melihat anak- anak KRS negeri Sarawak bersatu hati di dalam perkhemahan ini.

13 Mac 2011 ( Ahad )

Kelam kabut !!!!!!! itulah yang dapat saya simpulkan pada hari pertama perkhemahan. Saya sejujurnya masih lagi mencari pengalaman dalam perkhemahan ini. Dengan tapak perkhemahan yang masih belum sempurna ditambah dengan beban tugasan sebagai timbalan Kem Komandan membuatkan saya tidak senang duduk.  Mujur juga perjalanan perserta menggunakan bot ekspres yang telah dicater, jadi secara tidak langsung saya dapat menjangkakan masa kehadiran setiap kontijen. Satu masalah yang tidak dapat dielakkan ialah kehadiran lewat kontijen yang menggunakan bot ekspres jam 3 petang. Perjalanan selama hampir 4 jam menyebabkan mereka tiba di Kapit pada jam 7 malam. Keadaan menjadi lebih kelam kabut kerana kontijen terkejar-kejar untuk memasang khemah, makan malam dan mendaftar. 


 Sekitar pendaftaran peserta



Bahana tiba pada waktu taklimat perkhemahan dimana 5 orang pelajar dari kontijen bahagian Betong, Kuching dan Sri Aman pitam kerana tidak makan malam.... kesudahannya kesemua mereka dihantar ke Hospital Kapit. Saya menjadi benar-benar lesu malam ini.

14 MaC 2011 ( Isnin )

Saya cuma tidur 2 jam sahaja. Terasa mengantuk dan letih. Namun tugasan mesti diteruskan. Saya mengimani solat Subuh secara berjemaah pagi ini. Saya juga sempat menyampaikan kuliah Subuh ringkas kepada kadet putra KRS muslim. Cerita - cerita berkenaan sahabat Nabi berjaya membeli tumpuan mereka.

Aktiviti utama pada hari ini ialah aktiviti pangkalan. Antara aktiviti yang direncanakan kepada peserta perkhemahan ialah aktiviti orientering, bantu mula dan team building. Seronok saya melihat peserta - peserta di dalam setiap bahagian digabungkan dalam satu kumpulan. Perkara yang paling melucukan bila ada kumpulan yang tersesat kerana masih belum menguasai teknik penggunaan kompas dengan cara yang betul.


Saya pulang pada waktu tengah hari kerana tugasan saya digantikan oleh kem komandan sehingga malam. Aktiviti utama pada petang ialah sukaneka. Pada malamnya diadakan slot ceramah berkaitan dengan ilmu KRS. Secara umumnya, pada hari ini perjalanan program berlansung dengan rapi tanpa masalah seperti semalam. Bantuan dari pasukan Kadet Polis ( Keselamatan ) SMK Kapit juga banyak membantu melancarkan tugas saya pada hari ini.


15 Mac 2011 ( Selasa )


Masuk hari ketiga perkhemahan, semangat dikalangan peserta dan guru pengiring sudah mula dapat dirasakan. Ditambah pula dengan aktiviti pada hari ini ialah yang paling ditunggu-tunggu iaitu aktiviti membina gajet dan masakan rimba. Dapat dilihat komitmen yang jitu dikalangan peserta dan guru-guru dalam menghasilkan gajet dan masakan ala rimba yang benar- benar menarik. Seperti biasa dan seperti tahun-tahun yang lepas, kontijen Kapit dan Kontijen Kuching merupakan dua musuh tradisi yang tidak dapat dielakkan. Kedua-dua kontijen ini dilihat begitu gigih dalam penghasilan gajet.

Kontijen Kapit

Kontijen Kuching






Perkara yang paling menyeronokkan saya ialah semasa aktiviti masakan rimba. Kebetulan pula saya menjadi pengadil bagi pertandingan ini. Berbagai-bagai rasa dan kerenah dapat saya lihat di kalangan peserta ketika saya melalui setiap khemah bagi pengadilan. Memang kontijen Kuching hebat dalam hal ini. Namun kontijen Kapit dilihat hebat dalam acara gajet.


Merasa hidangan masakan rimba


Pada malam harinya, diadakan pula aktiviti malam kebudayaan. Setiap kontijen bahagian dikehendaki mempersembahkan satu persembahan mengikut daya kreativiti masing-masing. Ia satu acara yang meriah dengan gelak dan ketawa. Sekali lagi kontijen Kuching membuktikan mereka sememangnya jaguh dalam acara ini.



Kontijen Samarahan

Malam ini giliran saya bermalam di tapak perkhemahan... sesuatu yang merunsingkan namun terlalu lucu berlaku semasa waktu tidur. Saya terjaga pada jam 3 pagi kerana dikejutkan oleh pelajar pembantu yang bertanyakan saya tentang sesuatu hal. Namun selepas itu saya langsung tidak boleh melelapkan mata dek angkara dengakuran seorang peserta perkhemahan yang terlalu kuat. Sukar untuk saya menceritakan bunyinya. Namun dalam jarak 10 meter ia sudah cukup membingitkan telinga saya... hahahahahahahaha


16 Mac 2011 ( Rabu )


Hari terakhir perkhemahan..... saya ditinggalkan berseorangan di tapak kem oleh semua urusetia tertinggi yang terlibat dalam upacara pentauliahan komandan KRS di SMK Selirik. Runsing kepala ini memekirkan soal raptai upacara penutupan rasmi Perkhemahan Perdana Kadet Remaja Sekolah ( KRS ) peringkat negeri Sarawak yang akan berlangsung pada sebelah petang. Mujur jugalah Mejar KRS Awang dari Kuching sudi membantu. Alhamdulillah upacara raptai berlangsung dengan jayanya.


Tepat jam 3 petang upacara penutupan dimulakan. Tetamu kehormat yang akan mnerasmikan majlis penutupan ini ialah Tuan Timbalan Pengarah Pelajaran Negeri Sarawak. Hati saya berdebar-debar risau kelancaran program ini akan terganggu. Namun syukur segalanya berjalan dengan lancar dan sempurna. 


Barisan tetamu kehormat

Putra KRS seluruh Bahagian Negeri Sarawak

Ucapan Perasmian Penutup dari 
Tuan Timbalan Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri Sarawak

Namun ada sesuatu yang bermain di benak saya sewaktu tamat sahaja majlis penutupan....berbagai perasaan menusuk ke hati dan jiwa saya. Sebak bila memikirkan segala penat lelah selama hampir dua minggu untuk perkhemahan ini terbayar dengan jayanya.... gembira bila memikirkan dapat menikmati semula cuti yang terjual untuk perkhemahan ini.... saya juga terfikirkan soal ikatan yang mula terjalin antara saya dengan teman-teman pemimpin KRS negeri Sarawak. Dapat dilihat kami sering bertukar-tukar pendapat dan pandangan untuk memajukan lagi KRS negeri Sarawak. Antara nama - nama besar yang sempat saya sebutkan di sini ialah Tuan Amri ( Miri ). Tuan Samjun Nohan dan Tuan Awang ( Kuching ), Cikgu Ayong, Cikgu Ngelambong, Encik Joseph ( Kapit ), Cikgu Senorita ( Sri Aman ) dan ramai lagi yang tidak sempat saya nukilkan namanya di sini.


Hafez J.Malim bersama Tuan Amri dari Miri


Cikgu Senorita



Bersama Kontijen KRS Bahagian Kapit

Satu Catatan Ringkas ...

Dalam usia begini .... saya mudah merasa keseorangan. Bila sesekali ada program begini, saya tidak merasa kosong dan sunyi. Teman baru dapat terkumpul di samping membeli semula nilai-nilai persahabatan yang rengang dengan teman-teman lama. Seminggu di tapak perkhemahan .... hati mula menjadi riang melihat kerenah anak- anak remaja yang gembira dalam kehidupan mereka. Ia membuatkan saya jauh teringat tentang zaman- zaman remaja saya dahulu. 

Ada sesuatu yang jauh lebih bermakna di sebalik perkhemahan ini .... hati dan perasaan kadang kala tidak boleh menipu diri sendiri .... cahaya terlihat di hujung jalan .... insyaAllah di sana ketemu jawapan. Dalam senyuman yang indah tidak semestinya madu yang terjumpa .... sampai berjumpa lagi di perkhemahan perdana KRS peringkat negeri Sarawak yang akan datang ....



ILMU, IMAN, AMAL










1 ulasan:

chatneyy haizi said...

sronoknye klau sme2 dpat ikt prkmhan ni...bleh tmpang tnye x?mcm mne sek nak dpatkan khidmat jrulatih dri luar utk psukan krs di sek sye?sek di bahagian miri. klau dpt bleh x pm pade emel sye asap. ajit_azie@yahoo.com.my