BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Wednesday, April 27, 2011

Catatan Perjalanan : Mencari Tenang Di Bintulu

. Hari Pertama ( 22 April 2011 - Jumaat )

Niat di hati saya ingin ke Mukah sebenarnya. Ingin melihat Pesta Kaul yang disambut oleh orang-orang Melanau Mukah. Namun beberapa masalah di saat-saat akhir menyebabkan saya menukar haluan perjalanan ke Bintulu. Pergi ke Bintulu sebagai seorang musafir bersama Cikgu Kumaresan tanpa sebarang info tentang Bintulu. Kami pergi ke Bintulu dengan hanya berbekalkan keyakinan diri dan percaya antara satu sama lain.

Kami bergerak menaiki bot ekspres dari Kapit seawal jam 7.30 pagi lagi. Perasaan saya bercampur baur sebenarnya. Banyak perkara yang bermain di fikiran ini. Hati seakan-akan berat namun saya gagahkan juga perasaan ini. Saya berusaha seadanya menyembunyikan keributan hati ini.

Awal pagi sewaktu memulakan perjalanan

Kami sampai ke Sibu pada jam 10.30 pagi. Saya dan Cikgu Kumaresan tidak melepaskan peluang menikmati roti canai dan tosai mamak yang sudah lama kami idamkan. Memang melantak sakan kami disini. Selepas menikmati juadah sarapan pagi kami bergegas ke Terminal Bas Sibu untuk menaiki bas ke Bintulu. Perjalanan mengambil masa selama tiga jam. Harga tiket juga agak berpatutan. Fikiran saya semakin kusut di waktu ini.

Bas yang membawa saya ke Bintulu

Perjalanan dari Sibu ke Bintulu sebenarnya agak membosankan. Kami hanya melintasi beberapa pekan kecil seperti Setapang, Selangau dan Tatau. Suasana di luar adalah muram. Dengan sesekali melihat deretan rumah panjang yang sunyi membuatkan saya bertambah sayu dan gusar. Hutan-hutan di sepanjang jalan membuatkan suasana perjalanan bertambah sunyi. Kami singgah di sebuah perhentian untuk berehat dan makan tengah hari. Ianya berhampiran dengan pekan Selangau.


Gadis penjual buah di Selangau

Suasana sepanjang perjalanan

Kami sampai ke Bintulu pada jam 3.30 petang. Suasana yang asing dan keadaan diri yang tidak tahu apa-apa menyebabkan saya dan Cikgu Kumaresan terpingga-pingga. Kesudahannya kami mengambil keputusan untuk berjalan kaki sahaja melewati bandar Bintulu dari terminal bas. Saya mengesyaki bahawa terminal bas Bintulu adalah jauh dari pusat bandarnya. Anggapan saya ini berdasarkan andaian bahawa kawasan yang kami lalui adalah seperti bandar baru dan bukannya seperti bandar Bintulu yang saya saya lihat di internet. Andaian saya ini tepat apabila kami diberitahu bahawa jarak dari terminal bas ke pusat bandar Bintulu adalah 4 kilometer !!!!!. Namun sewaktu berjalan - jalan kaki itu sempat juga kami merakamkan gambar kenangan di pintu masuk SMK Bintulu. SMK Bintulu merupakan sekolah di bawah pentadbiran bekas pengetua SMK Kapit iaitu Cikgu Ananthan A/L Subramaniam.

Hafez J.Malim di pintu masuk SMK Bintulu

Agaknya memang satu kemujuran pada kami, ketika fikiran buntu memikirkan soal hendak ke bandar Bintulu secara tiba-tiba berhenti sebuah kereta bertanyakan sama ada kami mahu ke bandar atau tidak. Tanpa banyak bicara kami menerima sahaja pelawaan pemilik kereta itu. Saya rasa itu ialah prebet sapu. Kami diberhentikan berdekatan dengan sebuah hotel mewah. Saya sendiri lupa dengan nama hotel tersebut. Kami memutuskan untuk berjalan-jalan dahulu sebelum mencari hotel bajet yang sesuai. Alhamdulillah, setelah berpusing-pusing di sekitar bandar kami telah berjaya menemui hotel yang sesuai dan berpatutan.

Sunlight Inn tempat penginapan kami selama dua malam

Tidak ada aktiviti menarik yang kami lakukan hari ini. Namun pada waktu petang kami berkesempatan menaiki bot menyeberangi sungai. Saya agak tertarik dengan bot penumpang ini kerana bentuknya yang direka dengan gaya tradisional. Pemandangan di sini menarik dan membuatkan hati saya yang gusar kembali tenang sedikit. Tambangnya juga agak murah iaitu hanya RM0.50 sen sahaja untuk sekali perjalanan. 

Bergambar berhampiran terminal penumpang Bintulu



Bot penambang yang menarik

Keadaan di dalam bot penambang


Pemandangan dari atas bot penumpang




Pada sebelah malamnya pula kami mengunjungi pasar malam Bintulu. Ianya seperti pasar malam di Sibu namun agak lebih kecil sedikit. Hajat di hati ingin mencari makan malam. Memang makan besar kami malam ini. Saya membedal dua bungkus nasi lemak, burger n seketul kepak ayam. Bertambah boroi lah saya nampak gayanya.. hahahahaha. Kami tidur awal malam ini. Mungkin kerana kepenatan menempuh perjalanan agaknya.


Hari Kedua ( 23 April 2011 - Sabtu )

Kumar bangun agak awal pagi ini. Saya pula masih terjelepuk di atas tilam. Sedap tidur kerana kepenatan. Tidak tahu kemana haluan hari ini. Namun saya memang ingin melihat laut di Bintulu. Tetapi bagaimana kami hendak kesana .... hanya Tuhan sahaja yang tahu betapa kami seperti orang buta yang berjalan tanpa tongkat. Kami bersarapan di sebuah restoran tidak jauh dari hotel penginapan kami. Saya mencuba roti canai Bintulu. Ternyata rasanya jauh berbeza dari roti canai mamak.

Mencuba roti canai Bintulu

Selepas bersarapan, kami mula meneroka sebahagian bandar Bintulu. Secara umumnya ia sebuah bandar yang lengkap. Sesuai dengan gelarannya iaitu ''Kota Tenaga Sarawak'', Bintulu terus berkembang dengan pesat. Namun ada juga beberapa perkara yang negatif dapat saya perhatikan. Saya dapat melihat jumlah waga asing ( Indonesia ) agak ramai di sini. Mereka ini dilihat sukar untuk dibezakan dengan warga tempatan. Secara tidak langsung ada bahaya yang tidak terlihat jika perkara ini terus menerus berleluasa. Kami melalui kawasan dataran yang dinamakan ''Espalanad Bintulu''. Ia agak luas dan berhampiran dengan pasar utama Bintulu. Dataran ini mungkin digunakan untuk acara-acara keramaian di Bintulu.

Espalanad Bintulu
Berdekatan dengan Esplanad Bintulu wujud sebuah tokong yang cantik. Kami sempat mengunjungi tokong ini dan membeli belah di dalamnya ( terdapat ruang yang disewa kepada peniaga di dalam tokong ini ). Tidak pula saya mencari nama tokong ini. Namun dari luarannya, ia memang sebuah monumen yang cantik dan mempunyai nilai estetika yang tinggi.

Kami meneruskan perjalanan ke pasar utama Bintulu. Saya begitu tertarik dengan pasar ini kerana kedudukannya yang berhampiran dengan jeti nelayan. Pasar ini juga berdekatan dengan Pasar Tamu Bintulu. Saya dan Cikgu Kumaresan sempat juga meninjau-ninjau kawasan pasar ini. Singgah sebentar di sebuah kedai cenderamata yang pelayannya seorang amoi yang manis... pujukan demi pujukan membuatkan kami cair...sehelai baju dan magnet peti ais dibeli juga oleh saya...hahahahaha.

 Pasar Utama Bintulu

Amoi cantik...
erm ...sumber tarikan yang baik untuk membeli di kedainya

Kami meneruskan langkah kami ke Tamu Bintulu yang terletak bersebelahan dengan Pasar Utama Bintulu. Pada pandangan saya, inilah keunikan Bintulu yang utama. Di sini kita akan melihat peniaga-peniaga bumiputera menjual pelbagai hasil tani mereka. Di sini juga kita dapat berjumpa dengan belacan Bintulu yang terkenal. Namun pada pandangan saya harganya terlalu mahal. Saya tertarik dengan deretan peniaga yang menjual udang - udang halus di dalam beg plastik. Harganya murah. Tidak pasti apa kegunaannya. Mungkin untuk dibuat cencaluk kot ...hahahaha.

Hafez J.Malim di depan pasar Tamu Bintulu

Bungkusan-bungkusan barang disusun kemas
sehingga membentuk satu susunan yang menarik

labu kundur ?

Udang halus dijual pada harga RM9 sekilogram

Kedudukan Tamu Bintulu ini berdekatan dengan jeti nelayan. Jadi secara tidak langsung segala aktiviti para pekerja jeti dan nelayan dapat dirakam oleh lensa kamera saya. Sebenarnya hati saya agak takut-takut untuk menangkap gambar di sini. Namun setelah Cikgu Kumaresan dengan slamber menangkap gambar maka saya pun terus jadi berani.

Pekerja jeti nelayan yang sporting

Haluan perjalanan kami diteruskan dengan menaiki bas awam meronda-ronda Bintulu. Hajat di hati ingin pergi ke Taman Negara Similanjau namun hasrat itu tidak dapat dilaksanakan kerana kedudukannya yang jauh. Lucu juga bila pemandu bas dan konduktor terpinga-pinga bila kami nyatakan hajat kami naik bas itu untuk pergi ke lokasi terakhir bas itu akan pergi dan kemudiannya kami mahu pulang ke stesen semula... mungkin mereka ingat kami ini orang gila. Hahahahahaha... namun itu realitinya. Dengan harga tiket RM2 untuk sehala kami benar-benar menikmati Bintulu dari kaca mata seorang pengembara. Dapat melihat laut dan industri gas dan petroleum sepanjang perjalanan membuatkan hati saya terfikir betapa betuahnya kita hidup di negara yang makmur ini.

Kami juga mengunjungi Tugu Peringatan Council Negeri Sarawak. Dari catatan pada batu peringatan tugu berkenaan menyatakan bahawa ianya dibina bagi memperingati mesyuarat Dewan Undangan Negeri yang diadakan pada 8 September 1867.

Tugu Peringatan Council Sarawak

Petang itu pula kami berjalan-jalan ke pantai Tanjung Batu. Dengan menaiki teksi kami berharap dapat menikmati keindahan laut Bintulu yang indah. Saya tidak membawa kamera kerana risau dengan suasana pantai berkenaan yang dikatakan antara lokasi berbahaya. Itu yang saya dengar dari kata-kata orang di perhentian bas. Namun segala anggapan itu jauh meleset dan ia menyebabkan saya menyesal yang teramat sangat kerana tidak membawa kamera. Syukur juga Cikgu Kumaresan ada membawa kamera.

Sebelum ke pantai, sempat juga kami berjalan kaki menuju ke Taman Tumbina. Ia merupakan taman yang dibina seperti mini zoo. Ada binatang-binatang yang sukar dijumpai boleh dilihat disini. Antaranya ialah harimau yang bernama Mikhail, seekor buaya bersaiz sejengkal jari, beruang madu, burung unta, rusa, burung helang dan beraneka jenis haiwan lagi. Terasa rugi pula kerana ketika kami sampai taman ini sudah hampir tutup namun pengawal keselamatan membenarkan kami berjalan-jalan di situ ( mungkin atas dasar kasihan ). Agak menyedihkan kerana kami tidak dapat melihat harimau yang bernama Mikhail itu. Kandangnya kosong. Kata Cikgu Kumaresan mungkin harimau itu tidur. Lucu saya mendengar kata-katanya. Namun kesempatan melihat burung unta secara dekat merupakan perkara yang tidak dapat saya lupakan sampai bila walaupun baunya agak busuk. Hahahahahaha.... ia merupakan aktiviti menziarahi binatang yang penuh dengan gaya santai.

Mikhail nya tiada... 
bergambar dengan posternya pun sudah memadai.

Menziarahi burung unta

Burung helang 

Akhirnya, kami sampai juga ke pantai. Bunyi ombak dan teriakan angin pantai bagaikan memanggil-manggil diri saya. Diakui disini, saya bukanlah seorang lelaki yang begitu mencintai pantai dan laut. Ini adalah kerana keasingan saya dari kehidupan tepi laut ( saya lahir dari daerah pinggir banjaran Titiwangsa ). Namun ada sesuatu yang mengusik naluri saya kali ini tentang laut. Jika ada peluang saya akan ceritakan usikan laut kepada saya dalam catatan akan datang. Sempat juga kami menikmati minum petang di sini. Hidangan rojak buah, milo blended dan air kelapa benar-benar menyelerakan saya dan Cikgu Kumaresan.

Ramai pengunjung di pantai ini. Saya benar-benar merasa puas di sini. Sukar digambarkan perasaan ini. Namun saya dapat merasakan kepuasan perjalanan apabila duduk melihat laut terbentang. 





Hafez J.Malim di tepi laut

Kami tidur agak awal malam ini. Namun makan malam tetap dengan nafsu yang tinggi. Saya tidur puas malam ini ditambah pula dengan seseorang yang membalas SMS saya kembali setelah lama menyepi, ia membuatkan saya makin ceria.

Hari Ketiga ( 24 April 2011 - Ahad )

Hari terakhir di Bintulu. Bangun agak lewat dan menikmati minum pagi dengan rasa yang tenang. Kami tidak merancang untuk kemana-mana pun hari ini. Niat hati hanya mahu bersiar-siar sahaja. Sempat juga kami membeli belah pagi ini. Saya dan Cikgu Kumaresan membeli sepasang kasut kulit berjenama. Lucu juga bila memikirkan apa yang kami beli. Namun mungkin ia akan kekal sebagai kenangan yang terbaik. Hujan turun dengan agak lebat pagi ini. Tepat jam 10.30 pagi kami keluar dari hotel dan menaiki teksi ke terminal bas Bintulu menuju ke Sibu. Bas yang kami naiki bergerak tepat jam 11.45 pagi. Sekali lagi saya menikmati perjalanan selama 3 jam yang sunyi dengan deretan rumah panjang yang sepi terhidang sebagai pemandangan mata saya.

Bergambar di Terminal Bas Bintulu

Tepat jam 3.30 petang kami sampai ke Sibu dalam suasana hujan yang lebat. Malam ini kami bermalam di Sibu sebelum bergerak pulang ke Kapit pada hari esok.... malam itu ketika ingin memejamkan mata sebelum tidur fikiran saya menerawang jauh memikirkan sesuatu .... laut, pantai, sahabat, wanita idaman dan bermacam-macam perkara masuk ke otak saya. Sukar untuk saya jangkakan ... namun seseorang telah membuatkan saya jatuh cinta dengan laut, pantai dan ombak. Mungkin juga saya jatuh cinta kepadanya .... ermmmm.... Bintulu, saya akan mengenang tempat ini sebagai sebuah perjalanan yang penuh perjuangan !!!!!


7 ulasan:

Nurul Al-Fateh said...

Kisah yang sangat menarik mengenai Bintulu! Walaupun post dua tahun yang lepas, seolah-olah baru semalam ditaipnya. Nice!

hafez j malim said...

Terima kasih adik atas komen ... adik membuatkan saya kembali mengenang Bintulu sebagai sebuah kenangan perjalanan saya yang terdahulu. Ia membuatkan saya rindu kepada Sarawak semula.

Kak Yaya said...

Salam bro
Sy pnh menetap 3thn di bintulu. taman bamboo- RPR Kidurong
tak sangka adegak insan sudi share pengalaman d tempat yg mmg membosankan bg warga semenanjung time kami disana dulu . Hehehe!

hafez j malim said...

salam Mama Vogue
Bagi sesetengah insan yang pernh menetap di sesuatu tempat punya andaian tertentu terhadap tempat itu. saya pula hnya berkesempatan untuk singgah dan menikmati suasana Bintulu dan sudah pasti pandangan saya hanya berdasarkan dari skop seorg pengembara. apa pun Bintulu tetap mempunyai auranya yg tersendiri dan saya tak kan pernah melupakan masa2 singkat saya di sana

Anonymous said...

Pada saya yg masih tinggal di bintulu, bintulu punya aura tersendiri jika dibandingkan dengan kehidupan saya di kota besar sblm ini. Kehidupan masyarakatnya membuatkan sy mensyukuri nikmat yg diberi oleh Allah s.w.t. Apapun, bintulu merupakan salah satu sisi kehidupan terbaik hidup saya.

Anonymous said...

Terima kasih buat saudara dengan menceritakan pengalaman saudara berkenaan bandar Bintulu...bagi saya sbg org Bintulu amat berbangga bila ada blog yg mceritakan bkenaan dengan tmpt lahir saya...terima kasih sekali lagi....

G2 said...

Bintulu very good