BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Saturday, May 7, 2011

Kembara Pekan Terpencil 6 : Pekan Tapah Road

Tapah Road .... pekan yang punya nama besar dalam perkembangan jaringan landasan keretapi negara kita. Ini adalah kerana stesen keretapi Tapah Road merupakan salah satu stesen keretapi yang tertua di negara kita. Ia dibuka pada 18 Mei 1893, menghubungkan Tapah Road dengan Teluk Intan dan dirasmikan oleh Gabenor Negeri Selat Sir Cecil Clementi Smith.

Stesen keretapi lama Tapah Road yang klasik
( ihsan : malayarailway.com )

Tapah Road bukan pekan yang asing pada saya kerana masih terdapat kaum keluarga sebelah bapa yang menetap dan bermastautin di sini. Selain itu saya sering menggunakan laluan jalan dari Tapah untuk ke Teluk Intan jadi secara tidak langsung saya akan melalui pekan Tapah Road. Suatu ketika dahulu, sekiranya kena pada waktunya, pengguna-pengguna jalan raya perlu memberhentikan kenderaan mereka kerana keretapi lalu. Ia suatu pengalaman yang sungguh menarik hati. Bunyi loceng penggera dari pintu pagar yang ditutup bagi menghalang laluan jalan raya masih terngiang-ngiang di telinga saya. Namun kini semuanya itu sudah berlalu kerana pembinaan landasan berkembar telah menyebabkan membunuh segala kenangan lama itu. Kini jejambat baru dan besar telah menggantikan pagar laluan jalan raya dan landasan keretapi itu.

 Sekeping gambar lama menunjukkan hentian yang memisahkan jalan raya 
dengan landasan keretapi Tapah Road.
( ihsan : transbutterworth.blogspot.com )

Tapah Road pekan yang sunyi namun hidup dengan kehidupan penduduknya. Saya melaluinya ketika hari sudah lewat petang. Keadaannya sunyi seperti dahulu. Sebelum pembinaan landasan berkembar, kami pasti akan melalui pekan ini dan melintas setesen keretapinya yang klasik. Namun kini jalan utama telah dialihkan. Jika kita ingin pergi ke pekan Tapah Road maka kita perlu membelok masuk ke jalan lamanya. Tapah Road tetap unggul mengekalkan konsep pekan koboi dan klasiknya. Rumah-rumah kedainya diperbuat dari batu dan kayu. Cuma apa yang menyedihkan ialah stesen keretapinya sudah berubah menjadi moden. Namun bangunan stesen asal masih dikekalkan. Mungkin sebagai tatapan sejarah untuk generasi kini.

Suasana petang pekan Tapah Road

Stesen keretapi lama Tapah Road di sebelah kiri 
manakala di bahagian kanan gambar ialah stesen keretapi baru


Stesen keretapi baru dan moden Tapah Road

Sebelum ini terdapat sebuah jambatan kereta api lama menjadi tinggalan sejarah di Stesen Kereta Api Tapah Road. Jambatan ini pernah rosak teruk akibat dibom oleh tentera Jepun yang menyerang Tanah Melayu pada tahun 1941. Kini, serpihan jambatan itu sudah tidak ada lagi di stesen kereta api berkenaan kerana telah dipindahkan ke Taiping untuk dipamerkan. Dahulu jika kita melintasi landasan keretapi dalam perjalanan ke Teluk Intan pasti kita akan dapat melihat jambatan ini. Binaan lamanya begitu unik untuk saya ceritakan. Namun itulah harga yang perlu kita jual bagi sesuatu yang bernama kemodenan.


Jejambat lama stesen keretapi Tapah Road
( ihsan : malayanrailway.blogspot.com )

Banyak tinggalan bangunan lama di Tapah Road selain dari stesen keretapinya. Masih lagi kita boleh menjumpai kuarters-kuarter lama pekerja KTMB yang masih diduduki. Bangunan kayu ini tetap teguh dimamah masa dan menjadi saksi utama perkembangan Tapah Road. Namun saya tidak pasti berapa lama bangunan  ini mampu bertahan mendepanai cabaran kemodenan yang kian membadai.

Kuarters lama masih boleh dilihat di Tapah Road




Sebuah pejabat pos juga masih boleh dilihat di Tapah Road. Tidak ada pejabat-pejabat kerajaan yang utama di Tapah Road. Sebuah balai polis untuk menjaga ketenteraman juga terdapat di Tapah Road. Penduduk tempatan kebanyakannya terdiri dari orang-orang Malayu. Walaupun kedudukannya berdekatan dengan pekan Tapah, namun Tapah Road terus dengan kehidupannya yang tersendiri. Kedai-kedainya tetap meriah walaupun sunyi di petang hari. Pada setiap malam Jumaat setiap minggu diadakan pasar malam. Saya selalu ke pasar malamnya ketika zaman remaja saya. Suasananya tetap meriah.

 Bangunan Pejabat Pos Tapah Road

Namun kini, penduduk - penduduk Tapah Road sudah boleh bangga dengan kemajuan yang semakin membadai pekan mereka. Pembinaan UiTM kampus Tapah dan kewujudan Penjara Tapah telah merubah sistem kemasyarakatan pekan ini. Jika dahulu, hanya penduduk tempatan yang mendominasi Tapah Road, kini mereka sudah mula berinteraksi dan menerima pemastautin-pemastautin dari tempat-tempat lain di Tapah Road. Kewujudan kilang-kilang baru juga menyebabkan kedatangan gerombolan warga asing ( Indonesia ) yang semakin ramai. Saya melihat perubahan ini sebagai sesuatu yang lumrah. Inilah nikmat kemodenan yang tidak dapat kita lari darinya. Walaupun sekuat manapun kita mempertahankan sistem lama, sudah pasti sampai suatu saat dan ketikanya kita terpaksa beralah dan membiarkan diri kita terus hanyut bersama kemodenan.

Saya meninggalkan Tapah Road ketika hari hampir lewat petang. Tamat sudah catatan saya tentang pekan-pekan lama di sekitar daerah Batang Padang dalam negeri Perak Darul Ridzuan ini. Ada sedikit perasaan kesal di hati saya kerana tidak dapat melawat pekan koboi terakhir dalam daerah Batang Padang iaitu pekan Banir yang khabarnya sudah mati sepenuhnya. Siri-siri catatan akan datang, insyaAllah saya akan meneroka pekan-pekan lama di daerah Kinta pula.

Sekadar Satu Luahan Hati

Ada yang pernah bertanya kepada saya, kenapa saya bersusah payah menulis dan menceritakan sesuatu yang tidak disukai oleh orang ramai terutamanya catatan pekan-pekan lama ini. Saya cuma dapat menjawab, inilah sahaja yang mampu saya lakukan sebagai satu dokumen sejarah sebelum pakan-pekan ini mati dibunuh oleh kemodenan. Esok dan lusa, kita tidak tahu apa yang akan terjadi. Allah SWT telah menetapkan garisan-garisan perjalanan kita. Sementara saya berpeluang berjalan dan menikmati setiap garisan yang disediakan oleh yang maha kuasa, saya coret dan ceritakan pada yang sudi membaca.

Pekan-pekan lama ini adalah sebahagian dari usia kanak-kanak dan remaja saya. Dalam usia saya yang semakin meningkat ini, saya selalu bermain dengan perasaan saya terutama dengan benda atau perkara yang pernah mempunyai kenangan sentimental kepada saya.... biarkan sahaja saya menulis semahunya. Akhir petang ini saya menutup catatan -catatan saya mengenai Kembara Pekan Terpencil siri 1 ini. Semoga ianya bermanfaat kepada kita semua..... HAFEZ J.MALIM


USIA MENGAJAR KITA MENGENANG ERTI KENANGAN






13 ulasan:

suSueEmiMie said...

yes..jgn biarkan ianya ditelan komodenan..lakar sjrahnya...hehehe

*bertemu disini palak kite yer..keh3

suSueEmiMie said...

palak= Pula

hafez j malim said...

amboi...dah jadi blogers plk ek? hehehehe

Anonymous said...

Saya adalah anak kelahiran Tapah Road...walaupun dibesarkan di merata tempat (ayah seorang tentera) tetapi akhirnya saya menghabiskan persekolahan saya di Tapah Road dan Tapah...Terima kasih dan tahniah.....kerana anda telah berjaya menyungkil semula kenangan pekan ini....Stesyen keretapi yang banyak membawa kenangan...tempat melepak...banyak kenangan pahit dan manis.... Walaupun pekan ini tiada hiburan atau lain-lain aktiviti sosial, ianya sentiasa memberi nostalgia yang unik...pekan ini juga banyak melahirkan anak bangsa yang berjaya.... Sesungguhnya saya berbangga menjadi anak kelahiran pekan ini....Terima kasih....

hafez j malim said...

terima kasih Tuan atas komen. Inilah tujuan utama saya bercerita tentang pekan-pekan lama yang wujud dalam negeri Perak ini supaya para pembaca akan selalu terkenangkans aat-saat masa yang telah berlalu. Rebakan bandar menjadikan pekan kecil yang pernah menjadi tempat kita bermain dan bergembira semasa kecil semakin terhakis originalitinya.

Anonymous said...

salam...sy pernah dibesarkan di pekan tapah pd thn 70an dl..di berek kediaman balai polis lama di tepi jalan tu...byk kenangan disitu walaupun suatu ketika dulu berek itu dikatakan mempunyai cerita horror dan mistiknya yg tersendiri...

hafez j malim said...

terima kasih tas komen mengenai berek lama balai polis tapah road. mungkinkah ada di kalangan pembaca yang tahu akan cerita di sebalik berek balai polis itu ? jika ada molek sekali jika kita boleh kongsikan bersama

Unknown said...

Berek polis pekan tapah maksud nya tu....

rimanilzah said...

menarik catatan ini.

Unknown said...

Sy dibesarkan di Tapah Road ...abah sy anak jati Tapah Road...kg betul2 blkg stesen keretapi. Tahniah tuan

Anonymous said...

Teman salah sorang anak jati qrts....tempat tumpah darah teman betoi2 kat romah sebelah kolah mandi beso tu, sesape anak jati qrts keney le teman......Man Longkang.

Anonymous said...

Teman salah sorang anak jati qrts...tempat tumpah darah teman tahun1967 betoi2 kat romah sebelah kolah mandi beso diqrts tu, sesape anak jati qrts keney le teman. - Man Longkang.

Anonymous said...

Tahniah tuan kerana membuat cacatan menarik berkaitan pekan kecil Tapah Road.Saya juga dilahir di Tapah Road. Membesar di tempat lain. 1983 kembali semula di situ.. Alhamdulillah. Byk moment menarik di kg kelahiran saya.