BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

.

Photobucket

Wednesday, June 15, 2011

REBANA PERAK

Rasanya sudah hampir 6 tahun saya tidak bermain Rebana. Kerinduan terhadap permainan ini sentiasa tebal dalam diri malahan sudah mendarah dan mendaging dalam jiwa saya. Cinta saya terhadap permainan ini tidak pernah pudar walaupun kini berjauhan dengan negeri kelahiran saya .... Perak Darul Ridzuan. 

Rebana Perak ( http://omrebana.blogspot.com/ )

Rebana Perak merupakan satu permainan yang sangat terkenal di negeri Perak Darul Ridzuan khususnya di persisiran Sungai Perak. Permainan tradisi ini seakan-akan sama dengan permainan kompang namun Rebana Perak ini jauh berbeza dengan kompang. Ia seakan - akan menjadi ''trademark'' bagi negeri Perak. 

Beza utama antara rebana Perak dan kompang ialah saiznya. Rebana Perak agak kecil mukanya namun bagi balung ( kayu ) agak lebar. Selain itu Rebana Perak menggunakan kulit kerbau atau lembu dan berbeza dari kompang yang menggunakan kulit kambing. Rebana Perak agak berat malahan ada yang mampu mencapai sehingga 4 kg bagi sebuah rebana. Namun bunyinya amat merdu. Sekali tepuk atau dipalu bunyinya akan pergi jauh. Bagi pemain yang ''hardcore'', pantang sahaja terdengar bunyi Rebana dimainkan maka sudah pasti mata akan menjenguk dan tapak tangan mula terasa gatal ingin bermain bersama.


 Sebuah kumpulan Rebana Perak sedang mengarak

Saya mula belajar bermain Rebana sejak berumur 11 tahun kira-kira dalam tahun 1995. Di tanah kelahiran saya Kampung Petalin Baru Bidor, saya tekun belajar setiap cara tepukan, nyanyian lagu-lagu Rebana ( dalam bahasa Arab dan Melayu ) serta membaca kitab berzanji. Itu ialah satu ketika yang indah. Zaman anak - anak muda tanpa telefon bimbit, tanpa internet, tanpa PSP dan tanpa Facebook. Rebana Perak lah tempat kami mencari hiburan dan menikmati alam persahabatan. Setiap minggu ada sahaja jemputan terhadap kumpulan kami bermain Rebana sama ada di majlis-majlis perkahwinan, majlis berkhatan ataupun meraikan tetamu-tetamu penting. Lazimnya dahulu bayaranya cuma RM50 sehingga RM100. Cukup murah bagi kami anak- anak muda kampung yang serba serbi hidup dalam kekurangan.

Kumpulan kami diketuai oleh seorang ketua yang dipanggil penengkah. Lazimnya orang yang menjadi penengkah ini ialah orang-orang lama ( abang yang tua ), yang telah menguasai pelbagai teknik, lagu dan nahu dalam permainan rebana ini. Dan dalam kumpulan kami, saya lah penengkah yang terakhir. Selepas orang-orang lama berhijrah ke destinasi baru, sayalah yang mengambil tugasan sebagai penengkah bersama dengan teman-teman yang masih bertahan di kampung.


Seorang penengkah dibantu oleh seorang atau lebih penyelang. 
Teman sekumpulan menjadi penalu.
Jika ada lebih seorang yang boleh penengkah, 
kebiasaannya seorang lagi akan menjadi pengincat atau pengacau / pengocah.

Tetapi itu dululah... cerita tentang zaman-zaman yang telah berlalu. Kini di Bidor, kumpulan rebana sudah mati. Malahan kumpulan saya juga sudah tamat riwayatnya sejak saya berhijrah ke Tapah menjadi pelajar tingkatan enam. Sejak itu saya tidak lagi aktif bermain rebana ditambah pula apabila saya melanjutkan pelajaran ke UPSI Tanjong Malim maka rebana Perak terus hilang dari diari hidup saya. Selepas itu saya ditugaskan mengajar di Sarawak... jelas sekali jodoh saya dengan permainan ini semakin berakhir. Sesekali pulang ke Bidor menghadiri majlis perkahwinan teman-teman, hati saya menjadi sayu bila melihat pengantin diarak oleh pasukan kompang. Sesuatu yang bukan menjadi tradisi bagi orang-orang Perak.

Jika sesekali saya merindui akan rebana Perak, di internet lah tempat saya melepas rindu. Melihat rakaman-rakaman permainan rebana di Youtube dapatlah mengurangkan resah hati namun ianya belum mampu mengubat kegatalan tangan saya yang terketar-ketar menahan gian bermain rebana.

Agaknya mungkin rezeki saya, pulang bercuti baru-baru ini memberi peluang kepada saya untuk kembali beraksi bermain rebana Perak. Seorang teman lama meminta kami bermain rebana untuk perkahwinan adiknya. Kebetulan juga teman-teman lama juga pulang bercuti jadi dapatlah dikumpulkan semula geng-geng lama. Alhamdulillah... syukur segala kerinduan terhadap rebana Perak dapat saya lunaskan. Lucu juga mengumpulkan semula rebana Perak yang kebanyakannya sudah berhabuk dimakan hari. Saya sendiri juga banyak yang sudah kelupaan. Mujur juga bacaan kitab berzanji saya masih seperti dahulu. Lancar dan tepat.

Sepupu saya Faiz sedang menyedak Rebana
( memasukkan rotan ke balung )

Banyak juga rotan-rotan sedak yang mereput. Kulit Rebana juga banyak yang berkulat. Namun kami masih lagi bermain dengan baik walaupun kadang kala masih ada kesilapan. Ada juga budak-budak baru yang mengikut kami bermain. Bagus juga sekurang-kurangnya mungkin dapat menyemai minat mereka pada permainan tradisi orang Melayu Perak ini. Suatu ketika dahulu, kumpulan rebana Perak kampung kami memang digeruni dan dihormati. Arwah andak saya masih dikenang sebagai penengkah yang terhebat disini.

Saya sedang bermain rebana dengan rakan-rakan


Kami juga berkesempatan bermain di rumah sepupu saya yang melangsungkan perkahwinannya pada 5 Jun yang lalu. Kami bermain pada waktu malam kerana pakcik saya sudah pun menempah kumpulan rebana dari Tapah untuk mengarak pengantin keesokan harinya.



Permainan rebana kumpulan dari Tapah

Kaum wanita juga turut serta


Satu keseronokan bermain rebana ialah jika bermain pada waktu malm kami akan dihidangkan dengan pelbagai jenis makanan. Selain minuman teh o panas dan kopi kadangkala jika kena pada masanya rokok percuna juga akan diberi. Bagi orang yang merokok itu ialah satu kenikmatan. Bagi orang yang tidak merokok seperti saya ini, keseronokannya ialah dapat ''mengusyar'' anak - anak dara di rumah pengantin berkenaan. Inilah masa mencari awek kata teman-teman. Hahahahaha... tetapi itulah .... selama saya bermain rebana tidak pernah pun ada anak -anak dara yang terpikat kepada saya. 

Kadangkala kita juga boleh berjumpa dengan kuih - muih tradisi yang semakin sukar dijumpai ketika dihidangkan makanan oleh tuan rumah. Itulah yang terjadi ketika kami saya bermain rebana di rumah teman, kami dihidangkan dengan sejenis kuih yang dipanggil ''Halwa Muskat''. Rasanya manis-manis dan mempunyai kismis. Ia kuih yang sudah lama tidak dijumpai. Saya sendiri terkedu melihatnya.

Kuih tradisi yang semakin dilupakan ... Halwa Muskat

Walaupun hanya sebentar sahaja dapat bermain rebana, namun saya tetap puas. Seronok rasanya berkumpul bersama teman-teman lama bercerita hal-hal lama yang makin pupus dari kenangan. Walaupun sakit juga tapak tangan saya menepuk rebana namun ia tidak membunuh langsung minat saya terhadap seni warisan ini. Lega juga hati mekliahat ada usaha dari pihak-pihak tertentu di kampung kelahiran saya mengajar kembali permainan ini kepada generasi baru. Namun itulah .... seperti yang saya katakan tadi, ini bukan zaman kami lagi. Anak-anak zaman milenium ini lebih terarah ke bentuk hiburan yang lebih menyeronokkan. Facebook, snooker, Play Station dan aneka hiburan yang saya sendiri tidak tahu mula membelit ke leher anak-anak Melayu.

Rebana Perak adalah satu kenangan tentang zaman remaja saya yang jauh sudah berlalu. Padanya tersimpan tenyang kasih sayang, persahabatan, penghormatan, keseronokan dan kesusahan. Tidak tahu berapa lama lagi riwayat rebana Perak di Bidor. Sesekali melintas melihat pengantin berarak...yang terdengar cuma bunyi kompang atau rakaman di pemain VCD...... saya melangkah lesu sambil terfikir saatnya saya ke jinjang pelamin nanti adakah sifatnya begitu juga setelah seusia hidup bermain rebana untuk orang lain ? ... Hanya Allah SWT yang menentukan .....


Al-Fatihah untuk arwah guru rebana saya Allahyarham Pak Bedoi 
dan untuk arwah teman-teman yang pernah bermain rebana 
bersama saya di suatu ketika yang telah berlalu.

13 ulasan:

pak yop said...

salam.setelah terbaca tulisan ini,jiwa saya terasa sayu kerana apa yg penulis rasa sama dgn saya.permainan rebana ini hampir pupus klu tidak di ambil tindakan oleh kerajaan negeri,sewaktu zaman saya dahulu,ini lah kegilaan kami anak2 muda kg.keledang jaya ipoh.malam minggu lepas isya kami akan melepaskan ketagih kami,saya mula bermain rebana atau pangilan kami hadrah bermula tahun 1977,waktu saya berumur 11 tahun sehingga saya berumur 20 tahun(1988)saya memasuki IKM KL,berakhirlah hobi saya walau pun sesekali balik kampung dapat juga menabuh,sekarang ni permainan ini dah pupus di kg. saya.zaman kegemilangan pasukan kami yg.diberi nama sinaran baru amat digeruni oleh pasukan lain kerana pukulan kami sangat padu,jika bertembung sewaktu mengarak pengantin selalu pasukan lawan kacaubilau permainannya,kalau penulis ni banyak pengalaman pasti pernah terjumpa adat permainan ini,walau bagaimana pun pasukan kami selalu menghormati pasukan tuan rumah apabila di akhirnya kami mengikut lagu mereka.begitulah indahnya rebana ini,pasukan kami juga kerap memenangi pertandingan hadrah peringkat negeri perak,wakyu itu walau pun saya berumur 14 -15 tahun,tapi saya sudah menguasai semua pukulan dengan baik,menengkah,menganak,menyelang dan melalu.pukulan yg paling sukar ialah menganak,pukulan diantara menengkah dan melalu.itulah nostalgia zaman remaja saya.anak2 saya seorang pun tak tahu permainan ini kerana saya menetap di kelang.ahir sekali,majulah permainan rebana untuk tontonan genarasi akan datang.

pak yop said...

salam.setelah terbaca tulisan ini,jiwa saya terasa sayu kerana apa yg penulis rasa sama dgn saya.permainan rebana ini hampir pupus klu tidak di ambil tindakan oleh kerajaan negeri,sewaktu zaman saya dahulu,ini lah kegilaan kami anak2 muda kg.keledang jaya ipoh.malam minggu lepas isya kami akan melepaskan ketagih kami,saya mula bermain rebana atau pangilan kami hadrah bermula tahun 1977,waktu saya berumur 11 tahun sehingga saya berumur 20 tahun(1988)saya memasuki IKM KL,berakhirlah hobi saya walau pun sesekali balik kampung dapat juga menabuh,sekarang ni permainan ini dah pupus di kg. saya.zaman kegemilangan pasukan kami yg.diberi nama sinaran baru amat digeruni oleh pasukan lain kerana pukulan kami sangat padu,jika bertembung sewaktu mengarak pengantin selalu pasukan lawan kacaubilau permainannya,kalau penulis ni banyak pengalaman pasti pernah terjumpa adat permainan ini,walau bagaimana pun pasukan kami selalu menghormati pasukan tuan rumah apabila di akhirnya kami mengikut lagu mereka.begitulah indahnya rebana ini,pasukan kami juga kerap memenangi pertandingan hadrah peringkat negeri perak,wakyu itu walau pun saya berumur 14 -15 tahun,tapi saya sudah menguasai semua pukulan dengan baik,menengkah,menganak,menyelang dan melalu.pukulan yg paling sukar ialah menganak,pukulan diantara menengkah dan melalu.itulah nostalgia zaman remaja saya.anak2 saya seorang pun tak tahu permainan ini kerana saya menetap di kelang.ahir sekali,majulah permainan rebana untuk tontonan genarasi akan datang.

hafez j malim said...

salam Pak Yop..
Tidak menyangka ada orang lama yang sudi singgah membaca cerita tentang permainan kebanggaan negeri Perak ini. Saya pernah merasai keseronokan adat "BERTEMBUNG" ini dimana pasukan kami yang mengarak pengantin perempuan telah dicabar oleh pasukan rebana dari Changkat Lada yang mengarak penagntin lelaki. Ketika itu saya yang menjadi penengkah. Kami masih remaja lagi pada ketika itu dan kumpulan lawan adalah orang-orang lama. Lagu mengarak kami iaitu "Ya Khola" tidak mampu membendung asakan kumpulan lawan yang ternyata lebih berpengalaman. Kalau tidak silap saya lagu yang dibawakan oleh kumpulan berkenaan ialah "sakdoman". pada mulanya masing2 tidak beralah dan pengantin tertahan hampir selama 15 minit kerana saya dan penengkah kumpulah berkenaan masih lagi beradu. pada ketika itu lah beliau ( penengkah lawan ) melagakan rebana beliau kepada rebana saya dan beliau mula mengikut rentak kami( menjadi penyelang ). habis sahaja mengarak kami masing2 berpelukan mengucapkan tahniah. terharu saya dengan adat rebana yang begitu tinggi ini. tapi kini itu hanya menjadi sejarah. tiada lagi anak muda yang minat untuk bermain permainan ini. malahan adik saya sendiri lebih gemar bermain kompang yang diajari oleh cikgu2 johor yg bertugas di bidor. semoga Allah melimpahkah rahmad kepada Pak Yop. semoga berkunjung lagi.

pak yop said...

salam hafez..lama saya tk berkesempatan membuka blog ini,terus terang saya katakan,saya hanya boleh mengingati beberapa nama lagu sahaja pada hal tahap saya waktu dulu,boleh mengajar dah,itu yg menyebabkan saya merasa sedih,pada hal waktu dahulu saya boleh mengingati berpuluh lagu arab dan melayu.tentang bertembung tu,meremang bulu roma saya mendengar pengalaman hafez.pernah sekali kami mengarak pengantin di tlk intan,bertembung dgn rebana jawa,kami diasak hingga ke pangkal kelapa,ada yg terjatuh berguling,nak ketawa ada takut pun ada,tk pernah jumpa rebana besar letak belakang basikal.tk dapat saya gambarkan betapa seronoknya pengalaman itu.tk taulah bila agaknya dapat beradu kembali.
ahir kata.mudah2an ada rakan2 dapat meneruskan permainan ini,mungkin suatu masa nanti anak2 muda akan kembali meminati rebana di kg kita.salam

TualangSekah said...

Assalamualaikum...saya juga seorang pemain rebana dr kg tualang sekah...dr dulu hingga sekarang kumpulan rebana kami masih bertahan walaupun banyak orang2 lama yg dh al-marhum...tp yg paling saya brsyukur adalah disebabkn majoriti ahli kami dr dulu adalah bukan dr kalangan yg pro-kerajaan...tidak seperti kebanyakan kumpulan2 rebana dr negeri Perak yg lain...permainan rebana ini juga diwarisi dr tok2 guru agama dr sekolah pondok yg pernah ada di kg kami suatu ketika dulu...semoga tuan terus sukses!

hafez j malim said...

Asalamualaikum Tuan Tualang Sekah ..
Syukur kepada Allah kerana kumpulan rebana sdra masih lagi aktif.rasanya tidak timbul soal politik kepartian dalam permainan tradisi kebanggaan kita ini kerana kita bersama2 menyebut dan memuji Allah dan Rasulullah ketika bermain rebana. apa pun saya menerima pendapat sdra dengan hati yang terbuka. memang diakui orang2 lama banyak mengasuh dan mengajar kita berkenaan permainan ini. semoga Allah swt melimpahkan rahmad kepada mereka tidak kira apa pun pegangan politiknya. terima kasih atas komen sdra. seronok bila sesekali berjumpa hardcore rebana seperti sdra. salam

Anonymous said...

DrpSaffaruddin Bin Salleh Kg Teluk Bakong Lambor…Assalamualaikum..rasa terpanggil nak komen..sebab minat yang sama..sayu membacanya seolah-olah pengalaman yg dilalui sama je..Begitulah juga apa yg terjadi dgn kumpulan rebana di kg saya semakin dilupakan..kalau tak kita generasi baru ni tak nak teruskan maka akan pupuslah seni ini ditelan zaman begitu saja..berbeza dgn kombang dan rebana di negeri lain..rebana kita unik dan lebih sedap didengar..rentak kita Rebana Perak rentak yang sama dan lagu syair sama berbeza sedikit sebutan syairnya akibat ratusan tahun berlalu..guru yg melagu bertukar entah berapa generasi ..saya percaya kita semua asalnya daripada satu guru walaupun kg berada berjauhan..Semoga seni ni dapat kita pertahankan hingga generasi akan datang…

Anonymous said...

DrpSaffaruddin Bin Salleh Kg Teluk Bakong Lambor Kanan…Assalamualaikum..rasa terpanggil nak komen..sebab minat yang sama..sayu membacanya seolah-olah pengalaman yg dilalui sama je..Begitulah juga apa yg terjadi dgn kumpulan rebana di kg saya semakin dilupakan..kalau tak kita generasi baru ni tak nak teruskan maka akan pupuslah seni ini ditelan zaman begitu saja..berbeza dgn kombang dan rebana di negeri lain..rebana kita unik dan lebih sedap didengar..rentak kita Rebana Perak rentak yang sama dan lagu syair sama berbeza sedikit sebutan syairnya akibat ratusan tahun berlalu..guru yg melagu bertukar entah berapa generasi ..saya percaya kita semua asalnya daripada satu guru walaupun kg berada berjauhan..Semoga seni ni dapat kita pertahankan hingga generasi akan datang…

Anonymous said...

Salam tuan sila hubungi kami aasreal@gmail.com kami nak tempah rebana kulit kerbau seperti dalam gambar yang saudara paparkan sila sampaikan hajat kami, sekian terima kasih.

Anonymous said...

Salam, sy interested dgn cerita saudara mengenai warisan perak. Since sy msih mncari team yg boleh mngalunkn zikir, zanji n selawat untuk meraikan ketibaan pngntin ktika mjlis prkhwinan sy 1september, berminat x saudara untuk mmbuat prsmbhn untuk mjlis trsebut. Jika berminat, diharap saudara dpt hubungi sy di 013-5934572. Mjlis akn diadakn di lekir, sitiawan perak. It will be an honor untuk u n ur team to play on my big day. Tq
Wassalam
-dalila-

shophian aziz said...

Terkenang pulak.. kumpulan rebana pakcik bedoi ni.. sampai ke sungai besi kitaorg pergi main.. pernah tu kitaorg bermain hanya 4 org dirumah org kawin..

aja hashim said...

Lagu hadiyat keme main sampai runtuh lantai beranda yg dibuat khas utk keme main di rantau panjang klang,thn 2002 klu x silap.mase tu aku dh behijrah ke selangor..kenduri plk rmh sedare,jadi aku sh kengkawan dijemput khas utk main rebana..aku dgn 5,6 org dh duduk si selangor mase tu behubung utk laksanakan tugasan menampo rebana bersama 5,6 org lagi di jemput dari kg lambor kanan..rebana di bawak khas dari lambor,keme yg disini nunggu je..samapi arinye keme main..siang tu ngarak pengatin,malam tu plk keme jadi tumpuan,sbb jawa2 klang heran dgn care keme main..dh rope selap di antu kate org perak..mane idaknye..sampai roboh lantai beranda rontu...mane yg tau lagu ni mgin dia tau le sbb ape lantai tu roboh..lagu ni simainkan bediri,ade bahagiannye kena ngentak kaki ke lantai..dgn semangat keme main sbb dh lame ninggaikan rebana ni..tau2 sorangvdari keme tepoluih kakinye..lagu diteruskan sampai ke sudah..
Skrg ni di lambor kanan masih lg aktif dgn generasi baru..deme mau belajo main rebane ni..keme di sini slm perancang nk nubuhkan pemain rebana..ade sorang hamba Allah ni sanggup sponser rebana utk same2 belajo..aku dgn kwn2 diperantauan(selangor) dipanggil utk memanjangkan permainan rebana disini..
Aku Ajahashim(klang)...terkenang semasa dulu..

aja hashim said...

Maap le..byk meno typo dataih tu...harap yg membace tu paham le yek..