BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Thursday, August 25, 2011

Kembara Melihat Pekan - Pekan Lama 3 : Pekan Kota Bharu


Jangan salah faham... nanti marah pula orang-orang Kelantan bila saya menyebut Kota Bharu sebagai pekan lama. Kota Bharu yang saya maksudkan bukanlah ibu negeri Kelantan Darul Naim, tetapi adalah Kota Bharu yang terletak tidak jauh dari bandar Gopeng didalam negeri Perak Darul Ridzuan. Rasanya bagi penduduk negeri Perak Darul Ridzuan juga agak asing dengan kedudukan pekan ini. Saya sendiri mengakui bahawa inilah kali pertama saya menjejakkan kaki ke pekan Kota Bharu ini. Mari ikuti catatan perjalanan saya. Mungkin ada sesuatu yang boleh kita kongsikan.

Selepas sahaja keluar dari simpang pekan ke pekan Malim Nawar, saya meneruskan perjalanan saya ke destinasi seterusnya iaitu menghala ke utara. Sasaran saya ialah pekan Kota Bharu yang terletak tidak jauh dari bandar Gopeng. Namun untuk ke pekan ini kita kan melalui satu jalan yang sunyi. Hanya sesekali sahaja motosikal saya berselisih dengan kenderaan lain. Pada awalnya agak ragu-ragu juga diri saya untuk ke pekan ini. Namun saya gagahkan juga hati dan perasaan saya untuk melihat sendiri pekan kelahiran kartunis tersohor Malaysia ini iaitu Dato' Lat.

Sampai sahaja ke pekan ini, perkara pertama yang terlintas di fikiran saya ialah sunyi, sepi dan tenang. Namun dapat saya rasakan, dahulu ia sebuah pekan yang agak hidup dengan aktiviti penduduknya. Namun kini ia seolah-olah menunggu masa sahaja untuk mati. Sebuah balai polis yang pada saya agak besar tidak sesuai dengan saiz pekan ini menyambut kehadiran saya. Pelik juga saya... hanya beberapa orang manusia sahaja yang saya temui di pekan ini. Itupun memandang saya dengan pandangan yang tajam.

Balai Polis Pekan Kota Bharu

Pekan Kota Bharu bolehlah disifatkan sebagai sebuah pekan perkampungan. Setelah melintasi balai polisnya, nun jauh disana dapat dilihat sebuah jejambat merintangi pekan ini. akibat dari projek pembinaan  landasan berkembar. Dalam fikiran saya sudah pasti pekan ini akan terputus dua seperti yang terjadi terhadap pekan Malim Nawar dan Tanjong Malim. Tekaan saya tepat, memang pekan ini terputus dua. Namun sesuatu yang melegakan saya ialah, rumah kedai lamanya masih wujud dan masih boleh dilihat. Namun keadaannya agak uzur. Sempat saya merakamkan gambar-gambar kenangan rumah kedai yang terdapat di pekan ini.
 

Rumah kedai klasik yang masih terdapat di pekan Kota Bharu.
Dapat dilihat jejambat yang merintangi landasan keretapi 
yang memisahkan pekan ini kepada dua bahagian.

Rumah kedai di pekan Kota Bharu

Saya juga sempat meninjau kawasan di seberang landasan keretapi. Rupa-rupanya masih ada rumah kedai yang uzur. Ia kelihatan seperti sebuah kedai makan. Seperti biasa ianya tetap sunyi dan tiada manusia yang kelihatan. Apa yang menarik perhatian saya ialah kewujudan papan tanda jalan yang tertulis JALAN PANGGUNG. Errmm.. ini mungkin bermakna satu ketika dahulu di pekan ini terdapat sebuah panggung wayang. Lokasinya tidak pula saya berjumpa.

Antara rumah kedai lama 

Papan tanda jalan yang tertulis JALAN PANGGONG 
di hadapan deretan rumah kedai lama

Apa yang menyedihkan ialah jalan-jalan di sekitar pekan ini adalah tidak berturap denganh sempurna. Malahan di sesetengah kawasan hanya jalan pasir sahaja yang ada. Pekan Kota Bharu kelihatan terlalu uzur. Namun demikian, terdapat sebuah klinik kesihatan kecil di pekan ini. Rasanya itu sahaja kemudahan kesihatan yang ada di pekan ini. Oleh kerana kedudukan pekan ini berhampiran dengan bandar Gopeng, secara tidak langsung penduk-penduduk di sini lebih selesa membeli - belah di bandar Gopeng. Saya tidak menjumpai pejabat pos di sini. Sebuah masjid yang agak besar menjadi bukti bahawa penduduk Kota Bharu adalah mejoritinya terdiri dari Melayu Islam.

Klinik Kesihatan Kota Bharu

Masjid Jamek Kota Bharu

Dari tinjauan didalam internet saya mendapati suatu ketika dahulu terdapat sebuah stesen keretapi di Kota Bharu. Besar juga harapan saya supaya stesen keretapi lama Kota Bharu masih wujud sebagai suatu tinggalan sejarah yang berharga. Namun demikian apa yang saya fikirkan itu tidak menjadi kenyataan. Sebuah stesen keretapi baru telah dibina bagi mengantikan stesen yang lama. Namun demikian stesen keretapi baru ini tidak lagi digunakan untuk penumpang tetapi khusus untuk perkhidmatan barang sahaja. Lesu fikiran saya. Nampaknya stesen-stesen keretapi lama semakin hilang dari pandangan.

Pintu masuk ke stesen keretapi baru pekan Kota Bharu

 Stesen keretapi Kota Bharu Perak baru yang
hanya mengendalikan perkhidmatan barangan sahaja.

Papan tanda stesen keretapi lama Kota Bharu
( http://zkeretapi.blogspot.com/ )

Apa yang menarik perhatian saya ialah kewujudan bangunan-bangunan kuarters kerajaan lama yang masih berfungsi sehingga ke hari ini. Pada pandangan saya berkemungkinan bangunan lama ini dahulunya milik pekerja-pekerja Keretapi Tanah Melayu Berhad ( KTMB ). Namun kini ianya telah dijadikan sebuah taman asuhan kanak-kanak. Sebuah Dewan Masyarakat yang klasik juga boleh dilihat. Ia sebuah bangunan yang sunyi dan sepi. Lama saya berdiri di hadapan bangunan dewan ini. Ada sesuatu yang seolah-olah meminta saya memandangnya. Aahhh...secara tiba-tiba hati saya menjadi sayu sendiri. Saya sendiri tidak tahu kenapa.

Bangunan lama yang dijadikan taman asuhan kanak-kanak
dari pandangan atas

Bangunan lama dari pandangan sisi. Ia sangat klasik

Dewan Masyarakat Kota Bharu

Lama juga saya di Kota Bharu. Dari seberang landasan keretapi berkembar, saya memandang bangunan stesen keretapi Kota Bharu. Sunyi .... tiada lagi penumpang yang menunggu di situ. Pekan Kota Bharu juga semakin sepi. Terserempak saya dengan beberapa orang pekerja warga Indonesia yang senyum simpul melihat saya termangu dan termenung dipinggir landasan keretapi. Berapalah hayat rumah-rumah kedai yang masih tersisa di Kota Bharu ini, itu saya tidak tahu. Pekan-pekan kecil dan lama seperti ini bagaikan tempat menangis sendiri menunggu saatnya hilang ditelan zaman.

Saya bergerak meninggalkan pekan Kota Bharu  ketika hari sudah agak redup. Sepanjang perjalanan meninggalkan pekan ini fikiran saya kosong. Tidak ada apa-apa yang bermain di kepala saya melainkan cuma satu .... semoga saya ketemu lagi dengan pekan sunyi dan sepi ini. Sasaran saya selepas ini ialah pekan Kampung Kepayang. Motosikal yang saya naiki terus membawa saya dengan setia.

Di Kota Bharu ada rasa tenang yang sayu terjumpa disini. Hati bagai menangis melihat landasan lama menjadi saksi bisu kewujudan sebuah pekan kecil yang menunggu mati.... semoga ketemu lagi pekan Kota Bharu !!!!







Sunday, August 21, 2011

RUMAH TUA

 
Rumah tua
kulihat nenek 
diakhir usia
tersenyum melihat
melambai aku
dalam rinduan.

Rumah tua
tunggu kepulangan ku 
ada rasa yang tersimpan
memanggil aku
memburu kenangan !

Wednesday, August 17, 2011

Gambar Ke Gambar

Dahululah....ketika menoleh ke 10 tahun yang lalu, saya akan menjadi kagum dan ternganga melihat kamera digital yang begitu mahal. Ketika itu bukan semua orang boleh memiliki kamera digital. Harganya mahal dan bagi seorang anak pekerja kilang seperti saya ini, kamera digital hanyalah satu angan-angan yang tidak pasti. Apa yang ada pada saya ialah kamera kompak yang menggunakan gulungan filem. Itu pun model yang sudah basi dan ketinggalan zaman. Rasanya, kamera itu masih ada lagi tergantung di tepi dinding bilik saya di kampung. Terbiar menunggu masa untuk dibuang. Errmmmm... 

 Lebih kurang macam inilah model kamera kuno saya

 Namun kamera buruk itu banyak jasanya. Banyak juga gambar-gambar kenangan yang dapat saya ambil dengannya. Kalau sekarang, dengan menggunakan kamera digital kita boleh sahaja mengambil seberapa banyak gambar yang kita mahukan dan membuang gambar yang kita tidak mahu dengan mudah. Tetapi dengan kamera gulungan filem saya yang kuno itu minta maaflah, ia hanya terhad kepada 36 keping gambar sahaja. Jadi atau tidak jadi gambar itu hanya Allah yang tahu. Kita cuma boleh melihat gambar-gambar itu bila sahaja ia telah dicuci. Errmmm...

 Gulungan filem ( negatif )
untuk mengambil gambar dengan kamera kuno saya

Kalaulah menggunakan kamera saya yang kuno itu jangan haraplah dapat mengubahsuai atau ''mengedit''  gambar-gambar yang telah diambil. Apa yang diambil itulah yang akan terhasil. Dahulu bila sahaja gulungan filem dihantar ke kedai gambar, perasaan hati berdebar-debar tidak sabar hendak melihat gambar-gambar yang terhasil. Biasanya sehari lah masa yang diambil untuk gambar-gambar itu siap diproses. Bila sudah siap diproses maka barulah tahu bagaimana keadaan gambar itu. Gulungan filem yang sudah digunakan itu juga akan dipulangkan semula. Untuk memudahkan kita jika mahu diproses semula. Errrmmm...

Tetapi itulah.... semua itu sudah tiada. Sekarang kamera kuno saya itu hanya menjadi bahan ketawa anak-anak muda sahaja. Ianya sudah tidak relevan jika dibandingkan dengan kamera digital yang jauh lebih canggih. Pernah juga saya pergi ke kedai gambar bertanyakan sama ada masih lagi menjual gulungan filem untuk kamera kuno saya itu. Jawapan yang saya dapat dari pekedai gambar tersebut sungguh menyayat hati saya... "itu kodak saya masih jual... tapi kalau lu mahu cuci saya sudah tiada itu mesin... lu cari dekat kedai gambar lama kalau diolang masih cuci itu kamera ... pakai kamera digital la ma.. sekarang mana ada olang pakai itu lama punya kamera" ....Errmmm...

 Sekadar gambar hiasan.. sebuah kedai gambar moden.
Rasanya perkhidmatan memproses filem gambar sudah tiada lagi.

Sekarang sesiapa sahaja boleh memiliki kamera digital. Harganya pun dari sehari ke sehari  makin murah dan tidak munasabah. Saya pun selepas bekerja ini mampu juga untuk membeli kamera digital yang agak berkualiti. Ramai juga teman-teman yang sudah memiliki kamera DSLR yang dahulunya hanya layak dimiliki oleh jurugambar profesional. Malahan ada yang sudah mampu menjadi jurugambar amatur yang berkualiti. Malahan hasil kerja foto teman-teman saya ini agak berkualiti dan hebat. Itu semua terhasil berkat dari pengalaman dan kemampuan untuk mengedit gambar. Malahan sekarang ini, muka yang buruk boleh menjadi cantik asalkan pandai membuat pegubahsuaian pada gambar. Errmmm....

 Kamera DSLR... rasanya memang saya tidak mampu lagi memilikinya

Saya juga agak berminat dengan bidang fotografi ini. Namun beberapa perkara telah membataskan minat saya terhadap bidang ini. Yang pertamanya sudah tentulah soal kamera. Kamera DSLR agak mahal dan saya masih belum berkeupayaan untuk memilikinya. Yang keduanya saya tidak tahu membuat pengubahsuaian ( editing ) terhadap gambar. Dan yang ketiga yang paling penting saya sememangnya tidak berbakat. Namun sesekali tangan dan jari-jari saya ini juga tidak terkecuali untuk mencuba dan hasilnya memang teruk. Tengoklah dibawah ini sebahgian koleksi gambar-gambar yang saya mampu hasilkan. Errmm...

 Adik Tuah

Panggau Danau

Syiling

Keretapi

Gambar ke gambar membuatkan saya merasa dunia semakin laju. Namun bagi sebuah gambar yang beerti bukan cantik yang dicari tetapi nilai sentimental yang membuatkan kita tahu .... sejuta satu kenangan yang terkandung didalamnya.





Thursday, August 11, 2011

Ramadhan Di Kapit.

Ini Ramadhan tahun ketiga saya di Kapit. Berpuasa jauh dari kampung halaman di sebuah kawasan dimana muslim adalah minoriti. Namun nuansanya tetap sama. Ramadhan tetap indah dan mengujakan walaupun dimana kita berada. 

Di Kapit ini jangan lah kita bermimpi untuk berjumpa murtabak, ayam percik, roti john atau makanan-makanan lain yang familiar seperti di bazar - bazar Ramadhan Semenanjung. Di Kapit juga ada bazar Ramadhan nya yang tersendiri namun jangan terkejut kerana bazar Ramadhan nya dibuka seawal jam 9 pagi lagi !!!! Peniaga-peniaga terdiri daripada komuniti Melayu dan Melanau yang tinggal di Kapit. Antara yang dijual ialah kuih muih, nasi bungkus, air minuman dan sebagainya.

 Telan air liur sahajalah ... murtabak memang tidak wujud di Kapit !!

Pada pandangan saya pelanggan utama di bazar ini bukanlah dari komuniti muslim itu sendiri tetapi daripada komuniti Iban yang sememangnya dominan di Kapit ini. Guru-guru Semenanjung yang sememangnya ramai di Kapit lebih senang memasak sendiri hidangan berbuka. Saya sendiri pun hanya sekali sekala sahaja datang berkunjung ke bazar Ramdhan ini. Itu pun sekadar mencuci mata !!!.

Kita lupakanlah kisah bazar Ramadhan yang menyedihkan itu. Hanya membuat hati jadi cepat-cepat mahu pulang ke kampung halaman sahaja. Kami guru-guru Semenanjung lebih gemar memasak sendiri sahaja hidangan berbuka puasa. Saya tidak pandai memasak. Namun syukurlah teman-teman serumah saya bijak dalam menyediakan menu berbuka puasa. Jadi tidaklah saya merasa kebuluran yang teramat sangat. Kadangkala sengaja kami menjemput teman-teman guru dari rumah lain berbuka puasa sekali di rumah kami. Sekadar menguatkan tali persahabatan antara kami. Gotong royong dalam menghasilkan juadah memang menyeronokkan walaupun kadangkala ada yang curi tulang.

 Iman Wahyu pakar masak sup ayam

Gotong royong orang bujang

Geng bakar ikan

Hidangan berbuka puasa orang bujang

Bersedia untuk berbuka

 Namun bila berbuka beramai-ramai seperti ini kuranglah sedikit perasaan rindu pada masakan emak di kampung. Bagi yang beristeri sekurang-kurangnya boleh lah melupakan sejenak kerinduan kepada isteri tercinta. Dan yang paling untungnya ialah waktu berbuka puasa di Kapit lebih awal 30 minit dari semenanjung. HAHAHAHA...

Pada sebelah malamnya ibadat sunat terawih juga dilakukan. Di Kapit ini biasanya saya lebih senang berjemaah terawih di surau SMK Kapit sahaja bersama teman-teman guru dan pelajar-pelajar minoriti Kenyah Muslim. Ia bagaikan satu kemestian bagi kami guru-guru muslim SMK Kapit mengimarahkan surau sekolah pada bulan Ramadhan yang mulia ini.

 Berjemaah menunaikan solat sunat terawih di surau SMK Kapit

Ramadhan di Kapit sebenarnya lebih kurang sama dengan Ramadhan di kampung halaman. Ia suatu tuntutan yang wajib dan bukannya dilakukan secara paksa dan suka-suka. Alhamdulillah, komuniti Iban di Kapit walaupun tidak beragama Islam namun berjaya menunjukkan toleransi yang baik dengan komuniti muslim yang berpuasa. Malahan pelajar-pelajar dari komuniti Iban saya sendiri di SMK Kapit akan cuba mengelakkan makan dan minum di hadapan guru ketika Ramadhan ini.

Kapit sentiasa indah dengan ceritanya. Kapit membuatkan manusia jatuh cinta dengan aromanya. Namun bagi perantau seperti saya, Ramadhan di Kapit punya erti yang terlalu besar ... belajar merasa menjadi minoriti di negara sendiri !!!




Thursday, August 4, 2011

Catatan Perjalanan : Melihat Wajah Kanowit

Sudah masuk tahun ketiga saya menaiki bot ekspres berulang alik dari Kapit ke Sibu untuk tujuan-tujuan tertentu. Biasanya untuk pulang ke kampung halamanlah tujuannya. Dan selama itulah saya sering melihat pekan Kanowit yang terletak di pinggir Sungai Rajang apabila bot ekspres yang saya naiki melintasinya. Bot ekspres tidak pernah singgah di pekan Kanowit. Timbul juga pertanyaan, bagaimana rupanya pekan Kanowit. Teringin juga hati ingin menjejakkan kaki ke Kanowit. Mungkin ada yang menarik hati... ermmm... mungkin juga ingin melihat gadis-gadisnya. Terpulanglah pada hati, saya cuma ingin berjalan-jalan.

Akhirnya pada minggu yang lalu dapat juga saya menjejakkan kaki ke Kanowit. Rasanya perancangan untuk ke Kanowit ini telah dirancang sejak bulan Mac lagi. Cuma baru-baru ini sahajalah hasrat itu tertunai. Seperti biasa teman perjalanan saya ialah cikgu Kumaresan. Kami pergi berdua sahaja. Kami memulakan perjalanan dengan menaiki bot ekspres seawal jam 6.30 pagi. Sesuatu yang mengujakan ialah suasana awal pagi Kapit yang berkabus. Ini sememangnya kesukaan saya. Sejuk dan segar itulah perkataan yang dapat saya berikan untuk menerangkan suasana pagi itu.

Kabus menyelubungi Sungai Rajang Kapit

Suasana di Terminal Penumpang Kapit pada jam 6.30 pagi

Saya lebih selesa tidur sahaja di dalam bot ekspres sepanjang perjalanan ke Kanowit yang memakan masa selama 2 jam. Cikgu Kumaresan seperti biasa, beliau lebih selesa berbual dengan penumpang-penumpang lain di luar. Saya selalunya memang suka bersendirian ketika di dalam perjalanan ke sesuatu destinasi. Fikiran lebih senang mengelamun jauh memikirkan sesuatu yang tidak pasti.

Kami sampai ke Kanowit ketika jam sudah menunjukan angka 8.30 pagi. Bot ekspres hanya singgah sebentar untuk menurunkan penumpang dari Kapit yang ingin ke Kanowit dan kemudiannya akan terus bergerak ke Sibu. Agak aneh pada ketika mula sampai di terminal penumpang Kanowit. Sunyi dan sepi seolah-olah mati. Namun demikian barulah saya mengerti, Kanowit sudah mempunyai jalan raya menuju ke Sibu, jadi secara tidak langsung khidmat pengangkutan air seperti bot ekspres kelihatan sudah tertinggal dek masa.

Bot ekspres kami berlabuh sebentar 
di terminal penumpang Kanowit.

Sepi di terminal penumpang Kanowit

Kami menyusuri laluan utama pekan Kanowit tanpa arah yang pasti. Semuanya dilakukan mengikut rasa hati. Saya sempat melintasi Masjid Al-Rahman yang menjadi tempat utama komuniti muslim di Kanowit beribadat kepada Allah. Dari perbualan dengan seorang pakcik penjual roti canai, beliau menyatakan komuniti Islam di Kanowit adalah kecil dan ianya disokong oleh kumpulan guru-guru Melayu yang berasal dari Semenanjung yang bertugas di sekolah-sekolah sekitarnya.

Masjid Al-Rahman Kanowit

Masih terdapat tinggalan sejarah zaman penjajahan keluarga Brooke yang boleh dilihat di Kanowit. Sebuah struktur kubu pertahanan masih berdiri kukuh disini. Kubu berkenaan dinamakan dengan gelaran Kubu Emma dan dibina pada tahun 1851. Tidak pula saya tahu kenapa ia dinamakan sedemikian. Kini ia telah dijadikan sebagai sebuah galeri sejarah. Melalui papan tanda dihadapannya jelas menyatakan bahawa galeri berkenaan dibuka setiap hari kecuali hari Isnin. Namun demikian ketika kunjungan kami ianya ditutup. Mungkin hari masih awal pagi.

Kubu Emma dari arah depan

Kubu Emma dari arah tepi

Berhampiran dengan Kubu Emma terdapat sebuah monumen/ tugu yang dibina seperti seekor duyung. Ramai kenalan yang menyatakan itulah trademark kepada Kanowit. Saya sendiri tidak tahu kenapa ia dibina. Mungkin untuk mengenang mitos atau lagenda lama Kanowit. Atau ia dibina sekadar satu luahan seni oleh seorang seniman... erm... kali ini semuanya saya tidak tahu.

Arca seekor ikan duyung berhampiran Kubu Emma Kanowit

Kami melalui lorong-lorong yang sunyi. Pandangan saya kepada Kanowit mula terarah kepada ketenangan. Hanya sesekali ada kenderaan berselisih dengan kami. Ketika melalui bangunan yang menempatkan Majlis Daerah Kanowit, saya amat terkejut melihat arca seekor badak sumbu. Saya dan cikgu Kumaresan tertanya-tanya apakah motif di sebalik pembinaan arca badak sumbu tersebut. Namun pada saya mungkin ia sekadar hiasan mengindahkan panorama kawasan berkenaan. Kalau untuk tujuan lain... ermmm saya memang tidak tahu.


Jalan-jalan sepi di Kanowit


Arca badak sumbu di perkarangan Majlis Daerah Kanowit

Kanowit memberikan satu dimensi pandangan yang berbeza. Di sini kita masih boleh menjumpai bangunan-bangunan lama yang masih digunakan. Adakalanya rumah kayu yang kelihatan terlalu usang masih rupa-rupanya masih berpenghuni. Setelah berjalan-jalan baru lah kami tahu bahawa jalan yang kami lalui bukanlah jalan utama ke pekan Kanowit. Apabila sahaja masuk ke pakan Kanowit barulah kami tahu bahawa pekan pinggir sungai ini sangat meriah dengan aktiviti penduduknya. Dapat dirasakan denyut nadi kehidupan penduduknya. Majoriti penduduk Kanowit ialah kaum Iban. Namun jika berada di tengah-tengah pekannya memang diakui ekonomi Kanowit dikuasai oleh kaum Cina.


Bangunan lama yang masih didiami


Masuk sahaja ke pekan Kanowit, saya dan cikgu Kumaresan mula merasa keseronokan pekan ini. Tempat pertama yang kami tujui sudah pastilah pasar utama Kanowit. Ternyata pasar ini tidak ada bezanya dengan pasar Teresang Kapit. Cuma saiznya agak kecil. Barangan yang dijual juga lebih kurang sama. Hasil-hasil hutan, ayam, ikan dan sayur-sayuran. Tidak terkecuali makanan eksotik kesukaan ramai iaitu ulat sagu... hahahahaha.

Pasar Serbaguna Kanowit


Pasar Kanowit



ulat sagu atau ulat mulong dalam bahasa Iban

Namun demikian agak sukar bagi mencari makanan halal di sini. Memang diakui, ada sahaja lot-lot penjaja makanan muslim namun bagi yang pertama kali sampai ke Kanowit mungkin mengambil masa untuk meyakini statusnya. Tetapi bagi saya yang sudah 3 tahun di bumi kenyalang ini ia adalah sesuatu yang bukan asing bagi saya. Syukur juga ketika berjalan-jalan di sekitar pekan Kanowit kami terjumpa sebuah kedai makan Cina yang menempatkan lot penjaja muslim didalamnya. Saya dan Cikgu Kumaresan tidak melepaskan peluang untuk menikmati roti canai dan nasi ayamnya. Apa yang boleh saya katakan... roti canai dan nasi ayam Kanowit sememangnya enak dan lazat !!!!! bagaikan tidak percaya di sebuah pekan yang kurang majoriti muslim kita boleh berjumpa dengan roti canai yang enak !!!

Roti canai dan nasi ayam yang enak di Kanowit

Pekan Kanowit agak sesak namun pada penglihatan saya ianya agak lengkap dengan segala kemudahan asas. Pejabat-pejabat kerajaan, bank, stesen minyak, balai Bomba, sekolah, perpustakaan awam dan sebuah stesen bas menunjukkan bahawa pekan ini berkembang dengan baik. Mungkin kerana ada jaringan jalan raya dari Sibu ke Kanowit. 

Perpustakaan Umum Majlis Daerah Kanowit

Sebahagian dari bandar Kanowit



Sebuah stesen minyak kecil

Kami bergerak meninggalkan Kanowit menuju ke Sibu dengan menaiki bas pada jam 10.40 pagi. Agak penat sebenarnya saya pada ketika ini. Kepala juga mula pening-pening. Perjalanan agak membosankan dengan jalan yang tidak rata. Tepat jam 11.45 kami sampai ke Sibu dan terus masuk ke hotel. Walaupun hanya perjalanan yang sebentar namun saya berpuas hati kerana sudah menjejaki Kanowit. Sekurang-kurangnya bila sudah pulang ke semenanjung nanti ada juga ingatan kenang-kenangan saya pada bumi Kenyalang bila melihat gambar-gambar ini.... 

Kanowit .... ada angin segar menyapa wajahmu dan aku telah merasainya !!!!