BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Thursday, August 4, 2011

Catatan Perjalanan : Melihat Wajah Kanowit

Sudah masuk tahun ketiga saya menaiki bot ekspres berulang alik dari Kapit ke Sibu untuk tujuan-tujuan tertentu. Biasanya untuk pulang ke kampung halamanlah tujuannya. Dan selama itulah saya sering melihat pekan Kanowit yang terletak di pinggir Sungai Rajang apabila bot ekspres yang saya naiki melintasinya. Bot ekspres tidak pernah singgah di pekan Kanowit. Timbul juga pertanyaan, bagaimana rupanya pekan Kanowit. Teringin juga hati ingin menjejakkan kaki ke Kanowit. Mungkin ada yang menarik hati... ermmm... mungkin juga ingin melihat gadis-gadisnya. Terpulanglah pada hati, saya cuma ingin berjalan-jalan.

Akhirnya pada minggu yang lalu dapat juga saya menjejakkan kaki ke Kanowit. Rasanya perancangan untuk ke Kanowit ini telah dirancang sejak bulan Mac lagi. Cuma baru-baru ini sahajalah hasrat itu tertunai. Seperti biasa teman perjalanan saya ialah cikgu Kumaresan. Kami pergi berdua sahaja. Kami memulakan perjalanan dengan menaiki bot ekspres seawal jam 6.30 pagi. Sesuatu yang mengujakan ialah suasana awal pagi Kapit yang berkabus. Ini sememangnya kesukaan saya. Sejuk dan segar itulah perkataan yang dapat saya berikan untuk menerangkan suasana pagi itu.

Kabus menyelubungi Sungai Rajang Kapit

Suasana di Terminal Penumpang Kapit pada jam 6.30 pagi

Saya lebih selesa tidur sahaja di dalam bot ekspres sepanjang perjalanan ke Kanowit yang memakan masa selama 2 jam. Cikgu Kumaresan seperti biasa, beliau lebih selesa berbual dengan penumpang-penumpang lain di luar. Saya selalunya memang suka bersendirian ketika di dalam perjalanan ke sesuatu destinasi. Fikiran lebih senang mengelamun jauh memikirkan sesuatu yang tidak pasti.

Kami sampai ke Kanowit ketika jam sudah menunjukan angka 8.30 pagi. Bot ekspres hanya singgah sebentar untuk menurunkan penumpang dari Kapit yang ingin ke Kanowit dan kemudiannya akan terus bergerak ke Sibu. Agak aneh pada ketika mula sampai di terminal penumpang Kanowit. Sunyi dan sepi seolah-olah mati. Namun demikian barulah saya mengerti, Kanowit sudah mempunyai jalan raya menuju ke Sibu, jadi secara tidak langsung khidmat pengangkutan air seperti bot ekspres kelihatan sudah tertinggal dek masa.

Bot ekspres kami berlabuh sebentar 
di terminal penumpang Kanowit.

Sepi di terminal penumpang Kanowit

Kami menyusuri laluan utama pekan Kanowit tanpa arah yang pasti. Semuanya dilakukan mengikut rasa hati. Saya sempat melintasi Masjid Al-Rahman yang menjadi tempat utama komuniti muslim di Kanowit beribadat kepada Allah. Dari perbualan dengan seorang pakcik penjual roti canai, beliau menyatakan komuniti Islam di Kanowit adalah kecil dan ianya disokong oleh kumpulan guru-guru Melayu yang berasal dari Semenanjung yang bertugas di sekolah-sekolah sekitarnya.

Masjid Al-Rahman Kanowit

Masih terdapat tinggalan sejarah zaman penjajahan keluarga Brooke yang boleh dilihat di Kanowit. Sebuah struktur kubu pertahanan masih berdiri kukuh disini. Kubu berkenaan dinamakan dengan gelaran Kubu Emma dan dibina pada tahun 1851. Tidak pula saya tahu kenapa ia dinamakan sedemikian. Kini ia telah dijadikan sebagai sebuah galeri sejarah. Melalui papan tanda dihadapannya jelas menyatakan bahawa galeri berkenaan dibuka setiap hari kecuali hari Isnin. Namun demikian ketika kunjungan kami ianya ditutup. Mungkin hari masih awal pagi.

Kubu Emma dari arah depan

Kubu Emma dari arah tepi

Berhampiran dengan Kubu Emma terdapat sebuah monumen/ tugu yang dibina seperti seekor duyung. Ramai kenalan yang menyatakan itulah trademark kepada Kanowit. Saya sendiri tidak tahu kenapa ia dibina. Mungkin untuk mengenang mitos atau lagenda lama Kanowit. Atau ia dibina sekadar satu luahan seni oleh seorang seniman... erm... kali ini semuanya saya tidak tahu.

Arca seekor ikan duyung berhampiran Kubu Emma Kanowit

Kami melalui lorong-lorong yang sunyi. Pandangan saya kepada Kanowit mula terarah kepada ketenangan. Hanya sesekali ada kenderaan berselisih dengan kami. Ketika melalui bangunan yang menempatkan Majlis Daerah Kanowit, saya amat terkejut melihat arca seekor badak sumbu. Saya dan cikgu Kumaresan tertanya-tanya apakah motif di sebalik pembinaan arca badak sumbu tersebut. Namun pada saya mungkin ia sekadar hiasan mengindahkan panorama kawasan berkenaan. Kalau untuk tujuan lain... ermmm saya memang tidak tahu.


Jalan-jalan sepi di Kanowit


Arca badak sumbu di perkarangan Majlis Daerah Kanowit

Kanowit memberikan satu dimensi pandangan yang berbeza. Di sini kita masih boleh menjumpai bangunan-bangunan lama yang masih digunakan. Adakalanya rumah kayu yang kelihatan terlalu usang masih rupa-rupanya masih berpenghuni. Setelah berjalan-jalan baru lah kami tahu bahawa jalan yang kami lalui bukanlah jalan utama ke pekan Kanowit. Apabila sahaja masuk ke pakan Kanowit barulah kami tahu bahawa pekan pinggir sungai ini sangat meriah dengan aktiviti penduduknya. Dapat dirasakan denyut nadi kehidupan penduduknya. Majoriti penduduk Kanowit ialah kaum Iban. Namun jika berada di tengah-tengah pekannya memang diakui ekonomi Kanowit dikuasai oleh kaum Cina.


Bangunan lama yang masih didiami


Masuk sahaja ke pekan Kanowit, saya dan cikgu Kumaresan mula merasa keseronokan pekan ini. Tempat pertama yang kami tujui sudah pastilah pasar utama Kanowit. Ternyata pasar ini tidak ada bezanya dengan pasar Teresang Kapit. Cuma saiznya agak kecil. Barangan yang dijual juga lebih kurang sama. Hasil-hasil hutan, ayam, ikan dan sayur-sayuran. Tidak terkecuali makanan eksotik kesukaan ramai iaitu ulat sagu... hahahahaha.

Pasar Serbaguna Kanowit


Pasar Kanowit



ulat sagu atau ulat mulong dalam bahasa Iban

Namun demikian agak sukar bagi mencari makanan halal di sini. Memang diakui, ada sahaja lot-lot penjaja makanan muslim namun bagi yang pertama kali sampai ke Kanowit mungkin mengambil masa untuk meyakini statusnya. Tetapi bagi saya yang sudah 3 tahun di bumi kenyalang ini ia adalah sesuatu yang bukan asing bagi saya. Syukur juga ketika berjalan-jalan di sekitar pekan Kanowit kami terjumpa sebuah kedai makan Cina yang menempatkan lot penjaja muslim didalamnya. Saya dan Cikgu Kumaresan tidak melepaskan peluang untuk menikmati roti canai dan nasi ayamnya. Apa yang boleh saya katakan... roti canai dan nasi ayam Kanowit sememangnya enak dan lazat !!!!! bagaikan tidak percaya di sebuah pekan yang kurang majoriti muslim kita boleh berjumpa dengan roti canai yang enak !!!

Roti canai dan nasi ayam yang enak di Kanowit

Pekan Kanowit agak sesak namun pada penglihatan saya ianya agak lengkap dengan segala kemudahan asas. Pejabat-pejabat kerajaan, bank, stesen minyak, balai Bomba, sekolah, perpustakaan awam dan sebuah stesen bas menunjukkan bahawa pekan ini berkembang dengan baik. Mungkin kerana ada jaringan jalan raya dari Sibu ke Kanowit. 

Perpustakaan Umum Majlis Daerah Kanowit

Sebahagian dari bandar Kanowit



Sebuah stesen minyak kecil

Kami bergerak meninggalkan Kanowit menuju ke Sibu dengan menaiki bas pada jam 10.40 pagi. Agak penat sebenarnya saya pada ketika ini. Kepala juga mula pening-pening. Perjalanan agak membosankan dengan jalan yang tidak rata. Tepat jam 11.45 kami sampai ke Sibu dan terus masuk ke hotel. Walaupun hanya perjalanan yang sebentar namun saya berpuas hati kerana sudah menjejaki Kanowit. Sekurang-kurangnya bila sudah pulang ke semenanjung nanti ada juga ingatan kenang-kenangan saya pada bumi Kenyalang bila melihat gambar-gambar ini.... 

Kanowit .... ada angin segar menyapa wajahmu dan aku telah merasainya !!!!










2 ulasan:

Unknown said...

My hometown kanowit.. jangan lupa singgah di homestay Rantau kemiding kalau singgah di Kanowit.

Rais Al Attas said...

Muslim harus berniaga, baru ada makanan halal