BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Friday, September 9, 2011

Pameran Setem Dan Filateli SMK Kapit 2011


Alhamdulillah, syukur ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah dan izinnya, pada 7 dan 8 Seeptember lepas impian saya untuk menganjurkan sebuah pameran koleksi setem dan sampul surat hari pertama dari koleksi peribadi saya telah berjaya dilaksanakan. Terima kasih yang tidak terhingga kepada pihak panitia sejarah SMK Kapit, Cikgu Teoh Say Beng dan Cikgu Kumaresan yang bersama-sama berusaha bagi menjayakan pameran yang sungguh bersejarah bagi diri saya ini. Tanpa bantuan mereka ini maka sudah pastilah impian saya ini hanya tinggal sebagai sesuatu yang tiada kepastiannya.

Pameran ini juga sebahagian dari acara-acara yang telah dirancang sempena sambutan bulan kemerdekaan peringkat SMK Kapit. Koleksi setem dan sampul surat hari pertama saya sebenarnya masih sedikit. Namun mujur juga Cikgu Teoh Say Beng dan Cikgu Kumaresan turut bersama-sama berkongsi mempamerkan koleksi poskad dan sampul surat hari pertama mereka sekali. Turut dipamerkan ialah koleksi batuan mineral milik Cikgu Kumaresan dan bahan bantu mengajar ( BBM ) milik panitia Sejarah SMK Kapit. Pameran ini juga amat unik kerana kami juga menyiarkan sebuah filem dokumentari berkaitan dengan gaya hidup masyarakat Iban di Sarawak.


Pameran ini dijalankan di bilik BOSS SMK Kapit. Pada mulanya saya agak ragu-ragu dengan sambutan yang akan diberikan oleh warga SMK Kapit terhadap pameran ini. Namun perasaan itu saya buang jauh-jauh apabila melihat semangat dan kesungguhan yang ditunjukkan oleh Cikgu Teoh Say Beng dan Cikgu Kumaresan dalam memastikan kelancaran pameran ini. Hasilnya, pameran ini telah berjaya menarik ramai pelajar untuk berkunjung. Saya sendiri menjadi terlalu penat melayan kerenah pelajar yang tidak henti-henti bertanya tentang setem-setem yang dipamerkan. Cikgu Kumaresan juga hampir kehilangan suara. Ia benar-benar membuatkan hati saya puas.

Pameran ini dirasmikan oleh Tuan Pengatua SMK Kapit iaitu Cikgu Manggi Ak Nyegang. Seronok dan bangga kami apabila melihat Tuan Pengetua meluangkan masa hampir 40 minit meninjau pameran ini. Beliau agak teruja dengan pameran ini. Terima kasih juga diucapkan kepada ketua panitia Sejarah SMK Kapit iaitu Cikgu Jargalia Lidek yang mengeluarkan sedikit dana bagi makanan dan minuman sepanjang pameran.

 Hafez J.Malim sedang sibuk menyusun koleksi setem beliau

Cikgu Teoh Say Beng dan koleksi beliau

sebahagian dari koleksi setem Hafez J.Malim

Bergambar kenangan bersama Tuan Pengetua SMK Kapit yang
merasmikan pameran ini. Dari kiri Hafez J.Malim, Cikgu Kumaresan,
Cikgu Teoh Say Beng, Cikgu Jargalia ( KP Sejarah ),
Cikgu Manggi ( Tuan Pengetua SMK Kapit ) dan Cikgu Sidek.

Sedang menerangkan sesuatu kepada Tuan Pengetua

Sebenarnya pameran ini dijalankan selama dua hari. Namun kami melanjutkannya selama sehari lagi bagi memberi peluang kepada pelajar-pelajar serta guru SMK Kapit yang tidak berkesempatan untuk datang melawat. Walaupun pada hari yang ketiga, sambutan dari para pelajar dan guru masih mengglakkan. Ada juga guru matapelajaran yang menjadikan pameran ini sebagai salah satu cara method pengajaran dan pembelajaran ( P&P ) mereka. Sekurang-kurangnya pameran kecil seperti ini sedikit sebanyak membantu meningkatkan kefahaman pelajar terhadap sesuatu perkara terutama yang melibatkan hal-hal kenegaraan.

Menerangkan maksud sesuatu setem kepada pelajar

Antara rakan guru yang turut memberikan sokongan 
terhadap pameran ini.

Seronok menonton tayangan percuma filem
dokumentari masyarakat Iban di Sarawak.

Teruja melihat batuan mineral yang sukat dilihat

Bendera lama negeri Sarawak yang digunakan sehingga tahun 1988
juga turut dipamerkan.

Penuh !!!

Pelajar mencari maklumat dari setem dan poskad yang dipamerkan

Bahan Bantuan Mengajar ( BBM ) Panitia Sejarah juga turut dipamerkan

Walaupun hanya sebuah pameran berskala kecil namun saya amat berpuas hati dengan sambutan yang diterima. Ramai rakan-rakan guru memuji langkah kami menjayakan pameran ini. Ia sekaligus melengkapkan sambutan bulan kemerdekaan SMK Kapit pada tahun ini dengan sejuta satu kenangan yang sukar dilupakan. Rasanya dalam sejarah hampir 50 tahun kewujudan SMK Kapit inilah kali pertama pameran seumpama ini diadakan. 

Tahun depan mungkin saya dan teman-teman guru yang lain akan berusaha menganjurkan pameran dalam skala yang lebih besar. Namun itu masih dalam perancangan. Sudah ramai rakan-rakan guru yang sudah mula membuka mulut untuk bersama-sama mempamerkan koleksi mereka pula. Ini membuatkan kami lebih bermotivasi untuk menganjurkan pameran-pameran seperti ini. Ada juga pelajar yang tidak henti-henti bertanya kepada saya berkenaan dengan hobi mengumpul setem ini. Nampaknya ada yang sudah mula berminat terhadap hobi yang unik ini.

Sebagai pencinta sejarah, saya tidak boleh menipu diri sendiri sebenarnya. Jauh di lubuk hati saya, ada hajat yang besar tertanam dengan erat. Hajat itu tidak lain dan tidak bukan supaya para pelajar SMK Kapit dapat menjadikan pameran ini sebagai tempat mendapat info berkenaan sejarah negara dan menanamkan sikap sayangkan kemerdekaan negara Malaysia yang tercinta ini. Sebagai guru, saya tidak akan berhenti berusaha mendidik anak bangsa peka terhadap sejarah negaranya sendiri. Semoga Allah SWT memberkati usaha kami ini.


Sekalung penghargaan kepada :

Cikgu Kumaresan A/L Saminathan ( Guru Bilik BOSS )
Cikgu Teoh Say Beng
Cikgu Jargalia Ak Lidek ( KP Sejarah )
Cikgu Manggi Ak Nyegang ( Tuan Pengetua SMK Kapit )
Ahli Kelab Bilik BOSS SMK Kapit
Guru-guru SMK Kapit
Pelajar Pendidikan Khas SMK Kapit
Pelajar-pelajar SMK Kapit






0 ulasan: