BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Saturday, October 8, 2011

Sisi Lama Teluk Intan Yang Dilupakan

Teluk Intan...bandar lama dalam negeri Perak Darul Ridzuan kini semakin pesat membangun. Terletak di dalam daerah Hilir Perak, Teluk Intan terus berkembang dengan pesatnya. Asalnya nama lama bagi Teluk Intan ialah Teluk Mak Intan bagi mengenang sejarah awal penerokaan Teluk Intan oleh seorang janda cantik kaum Mandahiling yang bernama Mak Intan. Apabila British menjajah Tanah Melayu, namanya diubah kepada Teluk Anson sempena dengan nama  pemangku Gabenor Negeri Selat ialitu General Sir Archibald Edward Harbord Anson (1826 – 1925). Namun demikian pada tahun 1982, atas cadangan dan perkenan DYMM Almarhum Sultan Idris II nama Teluk Anson telah dimansuhkan dan diganti dengan nama Teluk Intan. Malahan nenek saya yang berasal dari Batak Rabit ( dalam kawasan Teluk Intan ) ketika hayatnya  tetap menyebut nama lama Teluk Intan iaitu Teluk Anson.

Dahulunya, bandar ini merupakan bandar pelabuhan utama bagi negeri Perak Darul Ridzuan. Sungai Perak yang luas dan dalam membolehkan kapal-kapal besar melaluinya untuk sampai ke pelabuhan Teluk Intan. Dahulunya pelabuhan Teluk Intan merupakan sebuah pelabuhan yang sibuk. Banyak kapal-kapal besar singgah membawa barang-barang seperti bijih timah dan getah. Malahan pelabuhan Teluk Intan dikatakan jauh lebih penting dari pelabuhan Pulau Pinang pada ketika itu. Namun kini ianya tinggal kenangan sahaja. Teluk Intan bukan lagi sebuah pelabuhan. Kapal-kapal besar sudah tidak lagi berlabuh disini. Ianya hanya menjadi sebuah kenangan yang indah bagi warga emas di Teluk Intan.

 Durian Sebatang tidak jauh dari Teluk Intan. Dahulu
merupakan pelabuhan terawal bagi negeri Perak.


Sebuah pelabuhan baru bagi menggantikan pelabuhan lama telah dibina. Namun ianya sunyi. Ia terletak di pinggir bandar Teluk Intan jika tidak silap saya di kawasan Pasir Bedamar. Kunjungan saya baru-baru ini ke pelabuhan berkenaan menunjukkan tiada tanda-tanda ia beroperasi dengan baik. Ia sebuah pelabuhan kecil yang kusam dan usang.

Pelabuhan Teluk Intan kini

Sunyi dan sepi

Ketika pemerintahan Sultan Iskandar Shah, Teluk Intan telah diishtiharkan sebagai sebuah bandar diraja. DYTM Raja Muda Perak Darul Ridzuan akan bersemayam di Teluk Intan. Sehingga kini, statusnya sebagai bandar diraja masih kekal walaupun DYTM Raja Muda Perak Raja Dr Nazrin Shah tidak bersemayam di Teluk Intan. Bukti yang menunjukkan Teluk Intan sebagai sebuah bandar diraja ialah kewujudan sebuah istana yang dikenali sebagai Istana Raja Muda. Dahulunya, setiap Raja Muda haruslah bersemayam di istana ini. Namun kini sejak tahun 1988, Istana Raja Muda yang penuh bersejarah ini telah ditinggalkan sepi. Raja Muda terakhir yang bersemayam disini ialah Almarhum DYTM Raja Ahmad Siffudin Ibni Sultan Iskandar.

 Gambar lama Istana Raja Muda Teluk Intan

Istana Raja Muda Teluk Intan kini terbiar 

Istana Raja Muda dari pandangan hadapan


Pemandangan didalam Istana Raja Muda

Anjung Masuk Pintu Utama

Apa yang menarik perhatian saya ialah kualiti binaan istana ini. Difahamkan istana ini dibina pada tahun 1920an. Namun ia masih teguh walaupun telah lama terbiar tanpa sebarang pemuliharaan. Saya menjumpai cebisan atap istana ini di lantainya. Dari tulisan yang terukir di cebisan atap berkenaan jelas kelihatan bahawa ianya diperbuat di Britain. 

Perhatikan tulisan pada cebisan atap Istana Raja Muda 
yang tertulis perkataan Britain.

Ayah saya pernah menceritakan bahawa Raja Muda Musa Ibni Sultan Abdul Aziz semasa bersemayam di Teluk Intan bersahabat dengan moyang beliau yang digelar Opah Besar. Ketika itu ayah tinggal di Kampung Jong Buruk di persisir Sungai Perak berdekatan dengan Teluk Intan. Opah Besar merupakan orang tua yang menjadi kepala di kampung berkenaan. Armarhum sering berkunjung ke Kampung Jong Buruk untuk bertemu dengan Opah Besar semasa baginda melakukan aktiviti menuba ikan. Baginda merupakan Raja Muda yang paling disayangi oleh rakyat Perak Darul Ridzuan. Benar atau tidak cerita ini Wallahualam.

Semasa saya masih kecil, masih terdapat perkhidmatan keretapi di Teluk Intan. Mengikut sejarahnya, landasan ini telah dirasmikan pada 18 Mei 1883. Landasan keretapi Teluk Intan bermula dari Tapah Road dan melalui beberapa lokasi seperti Degong, Chikus, Sungai Tukang Sidin, Permatang, Sungai Kerawai, Sungai Manik, Teluk Anson Town dan Wharf Teluk Intan. Namun demikian, seiiring dengan perkembangan masa perkhidmatan keretapi di Teluk Intan telah ditamatkan oleh pihak Keretapi Tanah Melayu Berhad ( KTMB ) pada tahun 1989. Ini berikutan oleh beberapa sebab seperti penumpang yang sudah semakin berkurang, pelabuhan Teluk Intan yang semakin kurang penting serta perkembangan jalan raya yang sudah semakin baik.

 Sebuah gambar lama yang menjadi bukti kepada 
sejarah lama perkhidmatan keretapi di Teluk Intan.

Walaupun demikian, beberapa tinggalan perkhidmatan keretapi di Teluk Intan masih boleh dilihat dan dikekalkan. Saya dapat melihat beberapa tinggalan penting sejarah perkhidmatan keretapi di Teluk Intan. Antaranya ialah bangunan stesen keretapi Teluk Intan yang kini dijadikan sekolah memandu. Pintu pagar lintasan keretapi dengan jalan raya menuju ke Bidor juga masih boleh dilihat. Saya juga sempat menjejaki tinggalan landasan di Chikus. Namun demikian, saya tidak dapat meramal berapa lamakah tinggalan-tinggalan bersejarah ini mampu bertahan mendepani cabaran kemodenan yang makin mencengkam.

Bangunan Stesen Keretapi Teluk Intan yang kini dijadikan
sekolah memandu


 Papan tanda stesen keretapi Teluk Intan.
Perhatikan tulisan pada papan tanda berkenaan jelas tertulis
"TELUK ANSON TOWN"

Cebisan kayu landasan yang masih boleh dilihat

Platform stesen keretapi Teluk Intan yang masih kekal

Stesen Keretapi Teluk Intan dalam kenangan

Pagar lama landasan keretapi yang merintangi
jalan raya dari Teluk Intan ke Bidor masih dikekalkan
untuk tatapan generasi kini.

Suatu ketika dahulu keretapi pernah lalu disini

Tinggalan landasan keretapi di Chikus tidak jauh dari Teluk Intan

Semak samun menutupi bekas landasan

Ada keretapi pernah lalu disini dahulu

Cebisan kayu landasan yang usang dimamah masa

Salah satu tinggalan terunggul sejarah perkhidmatan keretapi di Teluk Intan ialah sebuah jambatan besi yang merintangi kuala Sungai Bidor. Masyarakat tempatan di sekitar Teluk Intan ( terutama di Kampung Bahagia ) memanggilnya sebagai "geghrotak". Ia merupakan sebuah jambatan keretapi klasik yang dibina oleh pihak British bagi menghubungkan landasan dari Tapah Road ke Teluk Intan. Catatan sejarah menunjukkan bahawa pembinaan jambatan ini mengambil masa selama hampir 2 tahun iaitu dari tahun 1891 hingga 1893. Bagi saya ia merupakan sebuah hasil kejuruteraan yang terhebat pada ketika itu. Setelah perkhidmatan keretapi Teluk Intan ditamatkan, landasan ini telah terbiar dan tidak digunakan lagi. Namun atas inisiatif pihak berkuasa tempatan, jambatan ini telah dibaikpulih dan dipulihara seterusnya telah diturap untuk dijadikan laluan motosikal dan pejalan kaki. Jambatan ini masih lagi digunakan oleh penduduk setempat kerana ia dapat memendekkan laluan untuk ke Teluk Intan.

Jambatan keretapi yang merintangi kuala Sungai Bidor di Teluk Intan
suatu ketika dahulu.

Jambatan Keretapi Teluk Intan kini


 Panorama kuala Sungai Bidor yang mengalir lesu dari atas jambatan.

Banyak rumah-rumah kedai lama masih kekal di Teluk Intan. Berhampiran dengan jambatan keretapi lama ini kita masih boleh melihat rumah-rumah kedai kayu yang masih lagi digunakan atau telah ditinggalkan sepi. Dikawasan bandar Teluk Intan pula terutamanya berhampiran dengan persisir sungai Perak, masih boleh dilihat rumah-rumah kedai lama yang mungkin dibina sejak zaman British lagi. Walaupun bangunan-bangunan rumah kedai lama ini keliahatan usang dan sunyi namun saya yakin suatu ketika dahulu ianya pernah menjadi tempat yang meriah dengan aktiviti berjual beli. 

Rumah kedai kayu lama yang tidak digunakan lagi


Rumah kedai lama pinggiran Sungai Perak di Teluk Intan

Teluk Intan juga mempunyai koleksi bangunan-bangunan lama yang begitu indah seni binaannya. Penjajahan British dan keagungannya sebagai sebuah pelabuhan pada suatu ketika dahulu menjadikannya sebuah bandar yang tersusun dan mempunyai sejumlah koleksi bangunan lama yang memukau. Antara monumen yang menjadi mercu tanda utama bandar ini sedah pastilah Menara Jam Condong Teluk Intan. Dahulu pelawat adalah tidak dibenarkan memasuki menara ini namun beberapa tahun kebelakangan ini pengunjung boleh sahaja memasuki menara ini tanpa dikenakan bayaran. 

Menara jam condong Teluk Intan

Beberapa bangunan lama yang klasik juga masih boleh dilihat. Antaranya bangunan balai polis lama, bangunan bekas mahkamah dan bangunan pejabat pos Teluk Intan. Semuanya ini masih kekal walaupun sesetengahnya terbiar tanpa dipulihara. Saya sempat merakamkan beberapa buah bangunan yang pada saya mempunyai nilai estetika binaan yang tinggi.

Balai Polis lama Teluk Intan

Pejabat Pos Teluk Intan


Saya mengakui bahawa saya bukanlah anak Teluk Intan. Namun begitu jurai keturunan sebelah ayah saya adalah berasal dari kawasanTeluk Intan. Malahan Teluk Intan bukanlah sesuatu yang asing pada diri saya. Kaum kerabat sebelah ayah masih ramai disini. Pusara datuk dan nenek moyang saya juga masih ada di daerah Hilir Perak ini. Penulisan ini hanyalah sekadar perkongsian untuk kita. Jika terdapat sebarang kesalahan fakta pada penulisan ini saya mohon para pembaca yang singgah untuk memperbetulkannya. Saya hanya membuat rujukan di internet sambil dibantu oleh ingatan-ingatan lama terhadap penceritaan orang yang terdahulu kepada saya. 

Teluk Intan menyembunyikan sejuta cerita lama. Cerita tentang sebuah pelabuhan yang hilang, cerita tentang landasan keretapinya yang tiada lagi, cerita tentang sebuah istana yang ditinggalkan dan pelbagai cerita yang beranting-ranting. Jika ke Teluk Intan carilah sisi lamanya yang tertinggal. Koreklah setiap inci buminya yang bersejarah dan kita akan temui erti sebenar Teluk Intan ...... sebuah bandar yang tua yang bernostalgia...





30 ulasan:

thomas said...

Nostalgianya Teluk Intan ni,
zaman dulu memang sibuk pelabuhan ini.

Anonymous said...

salam, jangan dilupa madrasah ehsaniah tempat ulama sheikh salleh minangkabau yang banyak menabur bakti untuk umat islam di teluk anson
.madrasah tersebut terletak berhadapan dengan tokong cina di belakang public bank.... wassalam

hafez j malim said...

terima kasih atas komen tuan berdua.. insyaAllah jika diizinkan Allah saya akan menjejaki madrasah ehsaniah. terima kasih atas maklumat berharga berkenaan. tuan thomas ... jika tuan ada koleksi gambar lama pelabuhan teluk intan boleh dikongsikan bersama.

faizal said...

Jika masih ingat, SHELL pernah menempatkan loji penapis di Teluk Intan...terdapat satu kejadian pada 1984 dimana kapal pengangkut minyak tersebut terbakar dan seluruh penduduk Batak Rabit diarahkan berpindah bagi mengelakkan letupan.

hafez j malim said...

sdra faizal.. terima kasih atas info dan maklumat baru yg sdra berikan.. terima kasih juga kerana sudi berkunjung ke blog saya.

zzlaloq said...

sedih pulak tengok istana raja muda dah jadi macam tu. kecik2 dulu takut nak masuk pasal diorang kata keras. yng pelabuhan tu bekas jabatan laut. pelabuhan lama tak silap saya kat wharf jalan maharaja lela dekat stesen keretapi tu(sekolah memandu)

hafez j malim said...

salam zzlaloq..
terima kasih sudi berkunjung ke blog saya. gambar yang terdapat dalam blog saya tu sebenarnya ialah di Durian Sebatang. Pelabuhan lama teluk intan rasanya terletak di jalan menuju ke batak rabit

atikah zulkepli said...

pelabuhan teluk intan...errmm.. tau pun sebelah KLINIK KESIHATAN TELUK INTAN d mana tmpt sy bekerja skrg ni bersebelahan dengan perlabuhan suatu ketika dulu..byk memori rupanya..tapak hospital lama kini dah di dirikan klinik kesihatan. 9/2/2011 mula beroperasi..

Anonymous said...

Salam. Rajah yg dikatakan wharf tu ada kesilapan..rajah yg dipaparkan dikenali sebagai Hujung Tanjung, Kampung Durian Sebatang...jeti tu baru sahaja dibina bg tujuan aktiviti bot/sampan, memancing dan urusan adat istiadat diraja...adat istiadat disebabkan ada makam diraja di Kampung berhampiran...Kampung Terengganu..jika berhasrat untuk mengetahui serba sedikit sejarah Teluk Intan, cikgu Saiful Rezal yg tinggal di kawasan Kampung Durian Sebatang boleh membantu..he is my brother...admin saya sokong usaha admin mengetengahkan sejarah Teluk Intan..good luck

hafez j malim said...

salam
memang diakui ada sedikit kesilapan fakta berkaitan gambar wharf teluk intan tu. wharf teluk intan terletak di nalan menuju ke Batak Rabit dan gambar yg saya letakkan itu ialah gambar di jeti durian sebatang. kekilafan itu disebbkan oleh kurangnya rujukan saya terhadap Teluk intan dan hanya dibantu oelh intan2 lama sahaja. Terima kasih atas teguran yang membina ini.

Amzari said...

Salam...
Tahniah kepada saudara di atas usaha membina blog informasi mengenai tanah tumpah darah saya, Teluk Intan. Saya sebenarnya sedang buat kajian mengenai satu topik yang tidak pernah dikaji dan ketika melayari beberapa website yang berkaitan, saya terjumpa blog saudara. Ada beberapa kenangan dan fakta yang saya ingin berkongsi dengan saudara mengenai bandar Teluk Intan. Keluarga saya berasal dari Pasir Bedamar dan kemudian berpindah ke Padang Tembak. Ada banyak sebenarnya yang ingin saya kongsi disini tetapi cuma sempat kongsi beberapa perkara. Lokasi Wharf yang sebenarnya berada di belakang Shell Station yang berdekatan dengan pejabat LPMS(Lower Perak).Dulu waktu remaja saya selalu buat port tu untuk memancing. Memang jarang orang tahu sebab nak masuk dah jadi belukar. Di bawah jetty ada satu paip saluran yang besar menghala ke dalam air(mungkin dulunya tinggi sebelum mendap)dan kalau air surut boleh duduk atas paip tu. ada juga satu lagi tempat yang di panggil wharf berada di lokasi Pintu 10. Jalan di sebelah Pusat Servis SKOMK. Dulu tahun 80-an ada bot tambang disitu dan banyak gudang-gudang lama dan laluan kereta api. Kalau nak banyak lagi info boleh la kongsi kalau nak.

hafez j malim said...

salam Tuan Amzari
Terima kasih kerana sudi membaca blog perkongsian ini. saya menghargai pandangan dan fakta-fakta yang telah Tuan berikan. Besar harapan saya sekiranya Tuan dapat berkongsi tajuk kajian Tuan supaya kita dapat bersama-sama merungkai sejarah Teluk Intan yang saya lihat begitu kurang dikaji.

Anonymous said...

sedih pula sebab dibiarkan terbiar begitu. sepatutnya kerajaan negeri ambil tindakan untuk baik pulih bangunan dan dijaga dengan baik bangunan lama. Lagi2 istana dan pembuatannya yang 100 peratus dari luar negara... contoh bandar era british dan protugis yang masih dijaga dengan elok ialah Muar dan Melaka... suka saya melihatnya :)

Penggemar heritage

hafez j malim said...

salam Anon...
Itulah yang saya cuba lakukan melalui catatan kecil seperti ini agar ada pihak2 yang berwajib mengambil iktibar dan peluang dari kewujudan perkara-perkara lama yang masih ada di Teluk Intan. Selain dari Teluk Intan saya juga berusaha mengetengahkan koleksi pekan-pekan kecil lama yang masih wujud di negeri Perak ini melalui beberapa siri catatan yang agak mendapat perhatian dari para pembaca. Saya juga seperti Tuan amat mencintai gaya lama era penjajahn yang begitu klasik.

Anonymous said...

jgn dilupakn raja muda perak sebenarnya yng hidup merempat

Unknown said...

Assalamualikum,TERIMA KASIH atas perkongsian ini, banyak info n sejarah2 yg menarik sy baru tahu.. tak lupa jg Kawasan sawah PADI terbesar/ sejarah Sg. Manik, kawasan tanaman padi yg luas dan sangat CANTIK,SUBAHANALLAH hijau mata memandang..
sbnarnya Sy asal dr Terengganu, dan pernah berpindah sek. ke SMK SG,MANIK thn 2001,hehe =D
p/s(Tumpang iklan ye Tuan Admin,TQSM)
Sekarang sy mebawa kain batik atau sutera asli Terengganu (berdagang) di pekan TELUK INTAN, sesiapa yg berminat nk beli produk Batik sutera Terengganu boleh la singgah kedai ALWAN BATIK SUTERA AT GROUND FLOOR THE STORE TELUK INTAN,PERAK @ https://www.facebook.com/AlwanBatikSutera TQ =P

Anonymous said...

Salam.selain dr jolokan bndar nenas apakah nama lain bg teluk intan?sy sdang mgkaji tentg bndar teluk intan bg thesis sy..

Anonymous said...

Salam.selain dr jolokan bndar nenas apakah nama lain bg teluk intan?sy sdang mgkaji tentg bndar teluk intan bg thesis sy..

Anonymous said...

ku aman...adik raja muda perak baru.

Unknown said...

salam ,, sesiapa yg masih mempunyai emak ke nenek ke yg berusia 70tahun keatas berasal dari teluk intan dan anak watan teluk intan , sy ingin minta tolong , tanya kepada mreka kenal kah mreka kpd arwah Wak Kadir yg meninggal kurang dari 5tahun lepas dan apakah sejarahnya .. klau dpt info , tlg crita pda sy dkt wechat sy .. id saiful_amsyar

Ayop DILCOS said...

Tahniah dan terima kasih atas info yg menarik ini..

Anonymous said...

Assalammualaikum w.b.t. terima kasih di atas perkongsian maklumat daripada tuan. saya merupakan seorang pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI)major Sejarah, sedang menjalankan kajian mengenai sejarah pengangkutan di Teluk Anson. Termasuklah pengangkutan kereta api dan juga kapal di pelabuhan. izinkan saya menggunakan sumber-sumber sejarah daripada pihak tuan untuk dijadikan sebagai sebahagian bahan rujukan penyelidikan saya. terima kasih tuan.

Anonymous said...

Masjid india mashur jugak di teluk intan

Unknown said...

Sya sangat sayangkan teluk intan.byk kenangan semasa keluarga atok dna wan sye menetap di teluk intan.rumah keluarga atok sye tletak di jalan pasar betul2 di tepi sungai perak jugak.tahun 2014 sye ade buat research mengenai rumah kedai lama di bbbrpe jalan besar di pekan teluk intan iaitu sekitar menara condong.kebanyakkan nya ditinggal usang dan ade segelintir yg tak btanggungjawab mmbuat aktiviti burung walit secara haram. Sayang bangunan lama disalah pakai dan tidak mendapat gazet oleh negeri perak lagi. Harapnya semua akan balik seperti dlu..

Anonymous said...

bukan kah dulu jambatan keretapi di teluk intan ini juga digunakan untuk kereta melintas sungai? masa kecil2 dulu saya ingat perjalanan dari utara ke kuala lumpur mesti melintas jambatan keretapi yang dikongsi dengan kereta... kena beratur mengikut giliran..

Unknown said...

Salam admin. Boleh saya minta izin untuk copy beberapa info dari post ini untuk diletakkan dalam buku silsilah keluarga saya?

hafez j malim said...

BOLEH DAN DIBENARKAN. LEBIH MOLEK JIKA DILETAK KREDIT KEPADA PENULIS ATAUPUN BLOG DI DALAM BUKU BERKENAAN.

Unknown said...

Boleh saya tahu Kg Bahagia nama asalnya, siapa yg mula2 membuka kg bahagia dan pd tahun berapa kg bahagia mula diduduki rakyat

Unknown said...

Siapa gerangan raja muda perak sebenar yang hidup merempat tu??

Unknown said...

Saya pernah tinggal di Teluk Intan dr thn 1979 hg 1983. Byk kenangan dan tempat-tempat yang biasa dikunjungi telah tiada semasa saya berkunjung semula baru-baru ini.
Tahniah atas inisiatif yang hebat ini dapat saya merungkai kembali kenangan zaman persekolahan di sana. Terima kaaih