BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Sunday, June 24, 2012

Kembara Melihat Pekan - Pekan Lama 6 : Pekan Chenderiang ( Siri Akhir )



Selepas melepaskan dahaga sebentar di pekan Sungai Siput Selatan saya meneruskan perjalanan bermotosikal melalui jalan yang sangat sunyi menuju ke sebuah lagi pekan yang agak terpencil di negeri Perak iaitu pekan Chenderiang. Laluan sunyi dari pekan Sungai Siput Selatan ini merupakan salah satu dari tiga laluan utama untuk ke pekan Chenderiang. Namun kebiasaannya, jalan utama untuk ke pekan ini adalah dengan memasuki simpang utama dari Jalan Persekutuan arah Temoh menghala ke Tapah. Terdapat juga laluan dari pekan Tapah menuju ke Chenderiang. Namun jalan tersebut agak berbahaya dan berselekoh tajam.

Saya sengaja memilih jalan dari Sungai Siput Selatan ini kerana ingin merasai suasana alam semulajadi yang melatari suasana kiri dan kanan jalan. Selain itu saya juga akan melalui perkampungan orang Asli yang banyak terdapat disepanjang jalan. Namun demikian saya sedar risiko yang perlu saya tanggung sekiranya berlakunya kerosakan pada motosikal saya. Tambahan pula hari semakin petang dan saya perlu bersaing dengan masa. Saya hanya berserah kepada Allah SWT.

Tidak banyak kenderaan yang berselisih dengan saya sepanjang perjalanan. Saya hanya menunggang dengan kelajuan yang sederhana. Udara dingin mula menggigit kulit wajah saya namun ia benar-benar menyegarkan. Suasana hutan dan perkampungan orang Asli memberikan saya satu keseronokan tambahan pula jalan sunyi ini bagaikan mengembalikan semula nostalgia lama. Saya seakan-akan melalui jalan persekutuan dua lorong pada tahun 1980an.

Jika melalui jalan ini, saya akan melalui kawasan air terjun yang sangat terkenal di negeri Perak iaitu Lata Kinjang dahulu sebelum memasuki pekan Chenderiang. Lata Kinjang merupakan antara air terjun tertinggi di Malaysia. Bagi pengguna Lebuh Raya Utara Selatan dari Tapah ke Gopeng pasti akan dapat melihat air terjun yang gagah ini. Ia bagaikan menjadi “trademark” pekan Chenderiang. Tidak keterlaluan dikatakan bahawa Lata Kinjang merupakan denyut nadi utama pekan Chenderiang.

Papan tanda untuk ke Lata Kinjang

Air terjun Lata Kinjang dari jauh

Dahulu sewaktu zaman remaja sering juga saya berkunjung dan mandi - manda di Lata Kinjang. Airnya yang jernih dan sejuk memberikan sejuta keseronokan yang tiada taranya. Dahulu kemudahan awam yang terdapat disini tidaklah selengkap sekarang namun ia tetap mengujakan kami untuk bermandi-manda. Berkelah dan menikmati bihun goreng beramai-ramai memang amat menyelerakan tambahan pula bila perut kosong. Ah…. Ia kenangan lama yang benar-benar menyeronokkan !

Antara kemudahan asas di Lata Kinjang

Lama juga saya di Lata Kinjang mengimbau semula memori zaman remaja sambil menikmati deruan air terjunnya yang mendamaikan. Keluar sahaja dari simpang Lata Kinjang saya meneruskan perjalanan kira-kira 3 kilometer untuk sampai ke pekan Chenderiang. Chenderiang masih sama seperti dahulu malahan tidak ada perubahan langsung dalam struktur pekannya. Ia masih sunyi dan tenang namun hidup dengan segala aktiviti penduduknya. Majoriti penduduk Chenderiang adalah orang Melayu dan juga orang Asli. Komuniti masyarakat Cina banyak tertumpu didalam pekan dan orang India kebanyakannya tinggal die stet-estet berhampiran. Khabarnya dahulu ramai juga kaum kerabat diraja Perak tinggal disini ekoran dari krisis Perang Perak yang menyebabkan ramai kerabat diraja Perak diburu oleh penjajah Inggeris. Kesahihannya saya tidak pasti.

Pekan Chenderiang bukanlah pekan yang besar. Kedudukannya yang jauh dari jalan persekutuan menyebabkan pengguna jalan raya hampir tidak mengetahui tentang kewujudan pekan Chenderiang. Ini adalah tidak menghairankan kerana kedudukannya yang berhampiran dengan pekan Tapah menjadikan peranannya agak kurang penting. Deretan rumah-rumah kedai di pekan ini masih mengekalkan keaslian reka bentuk lama dan kolonial. Saya merasakan kebanyakan bangunan rumah kedai disini dibina sebelum perang dunia kedua lagi. Ia menghasilkan suasana petang yang klasik dan tenang.

Deretan rumah kedai lama di pekan Chenderiang

Antara jalan utama 

Lengang



Antara rumah kedai yang tidak lagi dijadikan kedai


Sebuah rumah kedai yang agak terasing di pekan Chenderiang

Kemudahan asas adalah lengkap di pekan ini. Sebuah pejabat pos tua menjadi pusat sehenti bagi para penduduk menyelesaikan bil-bil utiliti serta menghantar surat. Sebuah balai polis moden juga turut dibina bagi menjaga keselamatan setempat. Terdapat juga sebuah pasar basah yang kecil. Rasanya tidak ramai yang berniaga di pasar ini. Tidak ada kemudahan stesen pam minyak disini. 


Pejabat Pos pekan Chenderiang yang klasik

Balai Polis 

Pasar awam 

Bagi penduduk tempatan yang ingin ke pekan Tapah, terdapat perkhidmatan bas berhenti-henti yang disediakan oleh syarikat bas Hup Soon. Saya tidak tahu kekerapan perjalanannya. Jika tidak silap saya, dahulu perkhidmatan bas dari pekan Tapah ke pekan Chenderiang dikendalikan oleh syarikat bas Kamta atau syarikat bas Regal. Namun kini ia telah berubah. Namun demikian tiada kemudahan stesen bas di pekan ini. Sebaliknya bas hanya berhenti di pinggir jalan pekan ini sementara menunggu penumpang.

Bas syarikat Hup Soon menanti penumpang

Dahulu, sewaktu di tingkatan enam sering juga saya mengikuti penyelia asrama mengerjakan solat Jumaat di masjid Chenderiang. Malahan saya juga masih mempunyai beberapa orang kenalan lama disini. Masjid Jamek Chenderiang masih kekal seperti dahulu. Ketika singgah di masjid ini, saya merasa seolah-olah kembali ke masa 10 tahun yang lalu. Kini saya kembali semula mengenang masa-masa yang telah berlalu itu. Dan sudah pasti ada rindu yang tertumpah disini!

Masjid Jamek Chenderiang

Berhadapan dengan masjid ini, terdapat sebuah kawasan perkuburan Islam yang agak besar. Khabarnya disini bersemadi beberapa tokoh penting yang namanya agak pudar dari lipatan sejarah. Jika tidak silap saya, terdapat satu salasilah lain Kesultanan Melayu Perak yang dikatakan berkerabat dengan golongan Syed yang mendiami Chenderiang. Namun saya kurang arif tentang kesahihannya. Hanya Allah SWT sahaja yang mengetahui. Tetapi dari pengamatan saya terhadap batu-batu nisan serta kepuk makam yang terdapat di perkuburan ini saya pasti ada orang-orang penting dan dimuliakan dikebumikan disini.

Kawasan perkuburan di hadapan 
masjid jamek Chenderiang

Tidak jauh dari balai polis pekan Chenderiang ini terdapat sebuah pintu gerbang lama yang agak misteri. Pintu gerbang batu beratap genting ini agak unik walaupun sudah diliputi oleh semak samun dan tumbuhan menjalar kerana terdapat kalimah Allah SWT dalam tulisan jawi. Saya tidak pasti pintu gerbang ini dibina untuk apa. Mungkin sebagai pintu utama bagi sebuah institusi agama yang pernah wujud di pekan Chenderiang. Hanya penduduk Chenderiang sahaja yang boleh merungkaikan misteri pintu gerbang kalimah Allah SWT ini.

Pintu gerbang lama

Saya berpusing-pusing di pekan ini. Singgah sebentar di sebuah gerai menjual air bagi membasahkan tekak. Terasa kelegaan dapat menghirup air limau ais yang enak. Suasana petang di pekan Chenderiang tetap tenang. Beberapa gadis orang Asli memandang saya sambil tersenyum sambil tangan mereka sibuk menekan butang telefon bimbit yang pelbagai. Nampaknya mereka jauh lebih canggih dari saya yang hanya menggunakan telefon murah. Namun sesuatu yang pasti dari iras wajah mereka jelas sudah ada asimilasi dengan penduduk Melayu yang menjadi majoriti pekan Chenderiang.

Agak lama juga saya di pekan Chenderiang ini memerhatikan denyut nadi kehidupan masyarakatnya. Hari sudah beransur senja dan saya memutuskan untuk bergerak pulang mengikut jalan belakang yang berselekoh tajam untuk tiba ke pekan Tapah. Saya memutuskan, pekan Chenderiang ialah penamat kepada catatan kembara saya ke pekan – pekan terpencil di dalam negeri Perak terutamanya dalam daerah Batang Padang. Sepanjang perjalanan saya berfikir panjang adakah apa yang saya perbuat ini berbaloi atau satu kerja yang sia-sia dan “syok” sendiri ? ………….. saya sendiri tidak pasti.

Menjelang jam 7.30 malam saya selamat tiba di Bidor. Melangkah sahaja kaki ke rumah saya tersenyum memandang motosikal saya di luar …. Dengan lapang dada saya berbisik sendirian … perjalanan telah tamat !

Refleksi

Alhamdulillah, saya melimpahkan syukur yang tidak terhingga kerana diberikan kekuatan untuk menyelenggarakan satu siri catatan ringkas berkaitan dengan pekan-pekan kecil dan terpencil di  daerah Batang Padang dan Kampar dalam negeri Perak Darul Ridzuan. Catatan yang dibahagikan kepada dua siri ini timbul dari kerinduan saya terhadap suasana pekan-pekan lama era 1980an hingga awal 1990an yang kini semakin sukar ditemui lagi akibat dari arus kemodenan yang menghimpit.

Saya menginsafi bahawa rebakan bandar secara tidak langsung akan membunuh pekan-pekan kecil ini suatu masa nanti. Pekan kecil klasik yang pernah menjadi tempat permainan dan keseronokan masa kecil kita dahulu secara tidak langsung beransur-ansur berubah sifatnya menjadi bandar dan diulit kesibukan yang serius. Ia seterusnya membunuh nilai-nilai nostalgia kita terhadapnya. Atas segala apa yang terlintas difikiran ini lah yang menyebabkan saya menulis dan berkongsi setiap apa yang saya rasakan terhadap pekan-pekan ini. Jika suatu hari nanti pekan-pekan ini hanya tinggal nama atau sudah menjadi sejarah, biarlah catatan-catatan ringkas ini mengimbau semula memori bagi yang masih mengingati hidup zaman kecilnya.

Sesekali ada pembaca yang singgah membaca beberapa catatan pekan – pekan ini terus memberi komen atau menghantar pesanan kepada saya di Facebook menyatakan betapa seronoknya melihat kembali pekan lama yang menjadi saksi kehidupan awal mereka. Ada yang begitu bernostalgia malahan ada yang terus pulang melawat semula pekan lama ini setelah hampir berpuluh-puluh tahun meninggalkannya. Malahan ada juga pihak akhbar yang menyunting artikel – artikel berkenaan pekan lama di blog ini untuk diulas di akhbar mereka. Saya relakan asalkan kita boleh berkongsi. Itulah nikmat yang saya mahu kongsikan dan Alhamdulillah saya berjaya melaksanakannya.

Catatan berkaitan pekan-pekan lama ini saya tamatkan disini. Semoga ada yang beroleh manfaat dari setiap apa yang saya kongsikan. InsyaAllah saya akan tetap akan menulis dan saya tidak akan berhenti menulis… terima kasih kerana sudi membaca.




Catatan Tambahan


Artikel berkenaan Catatan Perjalanan ke Pekan-Pekan Terpencil dan Kecil di dalam negeri Perak Darul Ridzuan ini dibahagikan kepada dua siri berbeza iaitu :
  1. Kembara Ke Pekan-Pekan Terpencil di Negeri Perak Darul Ridzuan yang menampilkan ulasan ringkas berkenaan pekan Trolak, pekan Slim Village, pekan Behrang Stesen, pekan Temoh, pekan Temoh Stesen dan pekan Tapah Road.
  2. Kembara Melihat Pekan-Pekan Lama di negeri Perak Darul Ridzuan yang menampilkan ulasan ringkas berkenaan pekan Sungkai, pekan Malim Nawar, pekan Kota Bharu, pekan Kampung Kepayang, pekan Sungai Siput Selatan dan pekan Chenderiang.

7 ulasan:

ZUMAL SOFWERE CORP said...

hafez org bido ye, pm sy kt whatapp 0136369200

Raja Nazatul Aini said...

Dlm kwsan pintu gerbang Lama ada beberapa pusara

SyedMohdShahizan.SK said...

Berhadapan dengan masjid ini, terdapat sebuah kawasan perkuburan Islam yang agak besar. Khabarnya disini bersemadi beberapa tokoh penting yang namanya agak pudar dari lipatan sejarah. Jika tidak silap saya, terdapat satu salasilah lain Kesultanan Melayu Perak yang dikatakan berkerabat dengan golongan Syed yang mendiami Chenderiang.

Disitu terdapat perkuburan Sayyid² dan Raja² Chenderiang waris dan zuriat dari benih Engku Syed Ahmad Al Fakeh dari Terengganu (cucunde kpd Habib Syed Yassin BenYahya yg juga merupakan Menantu Sultan Terengganu pertama Sultan Zainal Abidin atau Tun Zainal) berkahwin dgn Raja Hitam anaknde kepada Sultan Muda Alaudin Syed Bisnu Jamalullail yg berbondakan Raja Shah Alam adinda kepada Sultan Perak ke15.

Melalui perkahwinan Engku Syed Ahmad BenYahya dan Raja Hitam ini menurunkan Raja² dan Sayyid² Chenderiang

Wallahu'alam
Waris zuriat Raja² dan Sayyid² Chenderiang

SyedMohdShahizan.SK said...

Raja Nazatul Aini .. boleh tahu pusara itu, pusara siapa? Boleh kongsikan sedikit butiran

Anonymous said...

Menarik artikel yg di tulis, masih banyak lagi kisah chenderiang ibu Sya syarifah Binti Syed Hamzah berasal dari sini

Anonymous said...

Like

Anonymous said...

Assalamualaikum.. boleh tahu nama penuh? Ibu Puan Syarifah binti Syed Hamzah binti Syed Zainal Abidin bin Syed Hussein (Raja Tua Chenderiang) ibni Engku Syed Ahmad of Terengganu? Boleh saya dapatkan butiran lanjut (saya boleh dihubungi syedmohdshahizan.sk@gmail.com