BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Saturday, August 11, 2012

Ziarah Makam Lama 4 - Sunyi Petang Di Makam Sultan Mahmud Shah

Gementar juga hati saya ketika sampai ke kawasan makam ini. Terasa dunia bagaikan terhenti disini. Suasana sunyi dan saya tidak boleh menipu diri saya sendiri ... memang ada perasaan takut yang menyelinap dihati. Namun saya tetap meneruskan langkah dengan debaran. Kedudukan bangunan kepuk makam yang agak terselindung disebalik rimbunan pohon - pohon menjadikan ia agak misteri.

Kawasan makam Sultan Perak ke-16 Sultan Mahmud Shah

Saya memberikan salam sebelum memasuki kawasan makam. Usai sahaja memberi salam ... secara tiba-tiba pendengaran saya diganggu oleh suara seekor burung yang begitu galak berbunyi. Saya tidak pasti burung dari jenis apa namun bunyinya agak nyaring dan menyeramkan. Saya terus teringat pesan orang-orang lama yang menyatakan supaya jangan diteruskan langkah sekiranya terdengar bunyi burung yang nyaring disesebuah kawasan kerana berkemungkinan burung tersebut terlihat sesuatu yang ghaib berhampiran dengan kita. Saya memberhentikan langkah. Hati saya mula kecut. Tambahan pula saya bersendirian disebuah makam seorang sultan yang berdaulat. Saya membaca beberapa ayat-ayat suci Al-Quran yang selalu saya amalkan bagi menguatkan semangat saya. Alhamdulillah usaha saya dipermudahkan. Suara burung itu terus senyap dan keyakinan saya mula timbul.

Saya terus sahaja ke kawasan kepuk makam. Ah... sedihnya hati melihat kawasan makam yang tidak berjaga. Semak samun menghiasi hampir keseluruhan kawasan makam. Jauh berbeza keadaan makam ini jika hendak dibandingkan dengan makam Raja Ahmad yang baru sahaja saya ziarahi. Batu nisan makam ini juga berlumut dan tanahnya agak becak. Balutan kain kuning pada batu nisannya juga sudah hampir tidak kelihatan. Cuma kelihatan lilitan kain kuning yang kecil sahaja yang tinggal bagi menunjukkan pemilik makam ini ialah seorang Sultan yang berdaulat.

Banggunan kepuk makam

Makam ini ialah makam milik Almarhum Sultan Mahmud Shah ibni Almarhum Sultan Muhammad Shah. Baginda ialah Sultan pemerintah Perak ke -16 dan memerintah dari tahun 1765 hingga tahun 1773. Nama asal baginda ialah Raja Kimas dan baginda merupakan adinda kepada Sultan Perak ke-15 iaitu Sultan Iskandar Zurkarnain. Pada ketika pemerintahan bagindalah lahirnya kesultanan Selangor. Putera Bugis yang bernama Raja Lumu telah ditabalkan sebagai sultan Selangor yang pertama oleh baginda dengan gelar Sultan Sallehuddin Shah. Ada pendapat menyatakan Sultan Mahmud Shah ini mempunyai darah keturunan Bugis. Kesahihannya saya hanya mampu menyatakan hanya Allah SWT sahaja yang mengetahui.



Sultan Mahmud Shah hanya memerintah negeri perak selama lapan tahun. Baginda mangkat di Pasir Pulai Indera Mulia dan dimakamkan di Pulau Besar dengan gelar Marhum Muda. Terdapat juga beberapa makam lain berhampiran dengan kepuk makam baginda. Saya meninjau-ninjau juga disekitar makam ini sekiranya terdapat batu nisan Acheh. Nampaknya tiada batu nisan Acheh disini. Ada sesuatu yang menarik minat saya di makam ini iaitu kewujudan sebatang tiang bendera yang masih kukuh walaupun berkarat. Apa kegunaan dan bila tiang bendara ini digunakan memang saya tidak tahu.

Saya sebenarnya merasa agak terkilan dengan keadaan makam ini yang kelihatan tidak dijaga dengan baik. Saya meninjau carian internet bagi mencari warisan keturunan baginda yang menjadi Sultan Perak. Jawapannya ringkas memang tidak ada warisan baginda yang menduduki takhta kesultanan Perak selepas baginda. Kemana agaknya menghilang waris-waris baginda .... saya dapat merasakan pasti ada cerita tersembunyi disebalik semua ini. Ketika menyentuh batu nisan makam ini yang dingin fikiran saya menjadi kosong. Hilang segala ketakutan yang menerpa diri saya sewaktu mula-mula menjejakkan kaki ke makam ini. 

Saya sempat juga membersihkan sedikit semak-semak liar yang menjejaskan pemandangan makam. Saya berharap akan ada nanti pihak-pihak yang akan membersihkan makam ini. Menyesal juga dihati ini kerana tidak membawa kain kuning untuk dibalut pada batu nisannya. Saya berharap suatu ketika nanti saya akan kembali semula ke makam ini bagi mencari semula cerita warisnya yang hilang !

Hampir 20 minit saya dimakam ini, saya mula melangkah untuk pulang. Sebelum menghidupkan motosikal, saya memandang makam ini dengan tajam. Terasa seolah - olah ada mata-mata asing sedang memerhatikan saya. Saya membaca Al-Fatihah dan menyedekahkannya buat kali kedua kepada roh almarhum Sultan Mahmud Shah... insyaAllah suatu masa nanti saya akan kembali disini. Itu janji saya.

Saya meninggalkan makam Sultan Mahmud Shah ini dengan hati yang rawan. Ini kali pertama saya merasa takut ketika berkunjung ke kawasan makam. Jarang saya merasa sedemikian .... apakah pemilik makam tidak menyukai kehadiran saya atau adakah ada rahsia besar yang tersimpan kukuh bersembunyi disebalik kepuk makam usang berkenaan... hanya Allah SWT sahaja yang mengetahui dan saya terus bergerak pulang dengan sejuta satu persoalan yang tidak terungkai !

20 ulasan:

SirHezree said...

kena ajak Dr Talib Samat menyelongkar misteri makam ini.

Anonymous said...

Waris sultan ke16 ini masih ada. Sila rujuk kepada YM Raja Jannah bt Raja Hirdan untuk salasilahnya. Namun demikian keturunan ini telah disisihkan dari pewarisan takhta negeri Perak.

Anonymous said...

Salam..keperihatinan saudara amat membanggakan. Memang ada rahsia disebalik mengapa keturunan Sultan ini tersisih dari proses pewarisan takhta negeri Perak. Malah undang2 tubuh Perak mengharamkan zuriat selain dari zuriat Sultan Perak ke 18 sahaja untuk memerintah Perak. Walhal Sultan ke16 adalah kekanda kepada Sultan ke18 yang lebih kanan dan masih ada waris yang masih hidup sehingga kini.

hafez j malim said...

wasalam kepada Anonymous kerana sudi memberi komen pada artikel ini. saya sendiri dapat merasakan ada satu rahsia yang sukar dirungkaikan semasa menziarahi makam almarhum. Masalah pewarisan takhta di negeri Perak sebenarnya begitu unik dan banyak cerita berkenaan hal ini dirahsiakan. Sekadar berkongsi pendapat, kebanyakan waris-waris Sultan yang terdahulu lebih gemar membuang gelar diraja dari pangkal nama untuk mengelakkan dari terlibat dengan konflik pewarisan takhta ini. Berkenaan dengan undang2 tubuh kerajaan Perak, ianya juga punya rahsia yang tersendiri dan saya yakin ia dipinda dan dipengaruhi oleh mereka2 yang berkepntingaN pada suatu masa yang lalu. Wallahualambissawab dan al-fatihah untuk almarhum.

Anonymous said...

Diharapkan ada pihak yang boleh mengutarakan perkara ini kepihak atasan demi membetulkan kepincangan dimasa lampau....sila lihat minit mesyuarat Perak State Council 1882 dimana Almarhum Sultan Idris I menyatakan waris kesultanan Sultan 16 (Raja Husain) adalah of "true blood"...

hafez j malim said...

salam Anonymous
saya ada meneliti salasilah Almarhum di laman Royal Ark, memang benar ada waris keturunan Almarhum yang bernama YM Raja Husain Bin YM Raja Ngah Putra Bin YM Raja Radin Bin YM Raja Mahmud Bin YM Raja Ibrahim Bin YM Sultan Mahmud Shah. Memang kedapatan warisan baginda yang berjaya menjejaki hieraki warisan raja bergelar namun tidak sampai ke atas takhta. namun demikian, saya tidak pula memperoleh sumber untuk catatan mesyuarat perak state council seperti yang tuan ulaskan. jika benarlah Almarhum Sultan Idris 1 BERKATA sedemikian maka teori yang dipegang oleh saya selama ini adalah benar iaitu warisan RKT Ahmad ( Sultan Muda ) adalah satu cabang lain dalam sistem pewarisan takhta perak. adakah Tuan waris almarhum sultan mahmud shah ini ? wallahualambissawab

Anonymous said...

Saya mengenali seseorang yang berketurunan kedua belah 16 dan 18....Dia yang menceritakan hal ini....semoga encik Hafiz berjaya melanjutkan kajian dan seterusnya membangkitkan minat para sejarawan dan sebagainya...

Anonymous said...

Sila lihat juga laman web Sembangkuala...Ada perbincangan mengenai keturunan Sultan Mahmud ini...

Anonymous said...

Search for "a long-winded tale" by raja mahariz dan lihat comment pembaca...

hafez j malim said...

salam
setelah membaca sisipan di blog sembangkuala ternyata beberapa perkara telah dapat saya ketahui. Ternyata waris sultan ke-16 masih boleh dikira waris sebenar yang masih berhak ke atas takhta Perak. Masalahnya ialah undang-undang tubuh Perak sahaja yang menghalang waris-waris baginda untuk mendapatkan semula pendakian takhta. rasanya, ahli-ahli dewan negara perak perlu membuat keputusan yang berani dengan membenarkan semula warisan selain dari sultan ahmaddin untuk kembali mendapatkan takhta. wallahualambissawab

Anonymous said...

Salam. Mungkin kemusykilan saudara ekoran ziarah makam kini telahpun terjawab...semoga saudara berjaya dalam mencari kebenaran dan menegakkan yang hak dari segi hukum syarak...insyaAllah...

Anonymous said...

Setelah membaca semula artikel saudara, terasa macam ada suatu keajaiban telah berlaku pada saudara....seolah2 saudara terpilih atau terpanggil...seram dan hairan juga kan? Hanya Allah saja yang maha mengetahui...Ada macam suatu keistimewaan pada diri saudara....mungkinkah keturunan saudara ada kaitan dengan almarhum dimasa silam? Cubalah selidik...

hafez j malim said...

salam
Semuanya kerana Allah SWT. Syukur juga satu rahsia yang selama ini tersimpan kukuh dapat saya ketahui. Mujur juga ada komen2 dr Anonimous yang seterusnya membantu menjawab segala persoalan yang secara tiba-tiba muncul di benak saya. Alhamdulillah... segala apa yang terfikir sewaktu berada di makam ini telah terungkai dengan sebaiknya. Garis keturunan leluhur - leluhur saya hanyalah rakyat biasa yang sentiasa meletakkan penghormatan tinggi kepada Sultan dan kerabatnya sejak zaman berzaman lagi. Inilah yang membuatkan hati tergerak untuk menziarahi makam-makam sultan yang terdahulu. Wallahualambissawab

Anonymous said...

Salam. Nota di akhir minit mesyuarat Perak State Council pada 26 oktober 1882 mencatatkan:
" H.H. the Regent in the same letter informs the Resident that Raja Hussin, son of Raja Ngah Putra, and grandson of a Raja Bendahara, being of true blood ought with his three children to be included in the pension list. The Resident replies that he has never before heard of this Raja, and that as the pension list is now so large he doubts the propriety of adding to it. Rajja Dris, however, recommends the grant of a pension of $10 per mensem, and the Regent again presses for this allowance."

Anonymous said...

The Regent masa itu ialah Sultan Yusuf Shariffudin Shah dan Raja Dris pula adalah Sultan Idris I. Sultan Yusuf adalah ayahanda mertua kepada Sultan Idris. Resident pula adalah jawatan Penasihat British ketika itu.

Anonymous said...

Dua orang Sultan mengakui kesahihan keturunan Sultan 16 sehingga sanggup berdebat dengan Residen British ketika itu untuk diberikan pencen negeri kepada Raja Husin dan anakanda2nya. Yang memerintah Perak sekarang rata2 adalah cucu cicit Sultan Idris I ini....

Anonymous said...

Mungkinkah ada perasaan bersalah atau hanya keikhlasan hati Almarhum2 Sultan Yusuf dan Sultan Idris didalam membela nasib keturunan 16 hanya Allah SWT sahajalah yang mengetahuinya..hakikatnya mereka mengakui kesahihan dan betapa penting nya keturunan ini. Namun, mengapakah Undang2 Ttubuh Perak begitu tekad menyekat hak keturunan ini? Perbuatan ini adalah satu dosa besar dan perlu ditebus semula oleh pihak2 yang berwajib. Untuk pengetahuan saudara Raja Kecil Tengah Ahmad hanyalah menantu dan keturunan yang ada sekarang adalah dari "tanah" (matrilinial) walhal keturunan ke16 ini masih kekal dari "benih" atau "patrilinial". Sila bandingkan carta salasilah dimasa Sultan Idris II dan Sultan Azlan sekarang....hakikat "menantu" telah terpadam dari carta asal...untuk renungan bersama...

hafez j malim said...

salam
nampaknya benarlah firasat hati saya berkaitan dengan RKT Ahmad adalah merupakan cabang baru dalam sistem penggiliran kesultanan Perak. Memang diakui bahawa sultan-sultan pemerintah negeri perak kebelakngan ini ialah dari jurai kerurunan Sultan Idris 1 dn Sultan Jaafar Muazzam Shah sahaja ( keduanya saling berkait rapat ). Rasanya, setelah saya lihat dan baca dari laman2 web berkaitan ternyata permasalahan undang2 tubuh perak ini bermula akiBat dari krisis yang berlaku antara Sultan Ahmaddin dengan seorang waris Sultan Mahmud ini.Permasalahan ini seolah-olah telah menyebabkan waris Sultan Mhmud ini dijatuhkan hukuman supaya tidak boleh menuntut takhta walaupun dianggap waris sebenar.. wallahualambissawab.

Royal Image said...

Saya sungguh tertarik dgn cerita ayahanda2 sekelian.. Apa ntah lagi tentang cerite yg masih lagi menjadi rahsia dalam kesultanan perak. Saya mula mengikuti perkembangan kesultanan perak semenjak RAJA NOOR JAN SHAH menuntut hak kesultanan melaka.. Dan banyak juga rahsia kesultanan perak mula terbongkar.. Benar atau tidak kebenarannye, itu laa pengertian sejarah..hanya allah swt yg maha mengetahui. Bagi saya skang nie makin mula teruja dan ingin mengetahui kebenaran apakah luahan dan kisah sebenar yg berlaku semasa zaman kesultanan perak ke 16.. Jikalau di indonesia, saudara boleh lihat di Youtube " DUA DUNIA " banyak menyinkap kisah sejarah kerajaan kuno.. Mungkin itu cara terbaik utk mengetahui sejarah lampau..

Apa pon trima kasih ayahanda dengan informasi2 ayahanda sekelian dan akhir kata dari saya.. blog nie akan menjadi senarai bookmarks saya utk saya kunjungi mencari ilmu2 allah swt...

Ass'kum..

Anonymous said...

Kena ada lebih pendedahan dilaman Internet supaya kebenaran boleh ditegakkan....mesti ramai yang nak tahu kenapa keturunan ini di ketepikan dan apa salahnya...