BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Sunday, October 28, 2012

Mengenang Suatu Masa Yang Telah Berlalu 1


Menjadi Kedi Di Kelab Golf Batang Padang

Logo Kelab Golf Batang Padang

Rumah saya di Bidor terletak tidak jauh dari Kelab Golf Batang Padang ( KGBP ). Sedari kecil lagi saya sudah terbiasa melihat abang-abang sepupu dan rakan-rakan mereka pergi ke padang golf berkenaan untuk menjadi kedi. Ketika itu bekerja sebagai kedi hanya dilakukan pada sebelah petang dan pada hujung minggu. Bagi anak-anak muda sekitar Bidor dalam lingkungan usia 12 hingga 20 tahun, menjadi kedi merupakan satu kerja yang sangat lumayan. Jika kena pada masanya, seorang kedi boleh mendapat bayaran sehingga RM25 sehari. Ketika itu jumlah berkenaan sudah cukup lumayan bagi kami.

Gambar Hiasan menunjukkan
seorang kedi dan pemain golf

Mulanya saya memang tidak mahu menjadi kedi. Namun saya selalu juga ke padang golf berkenaan untuk bermain-main. Jika tidak pun sekadar berjalan-jalan bersama teman di waktu petang. Tidak terlintas dihati ini untuk menjadi kedi. Tambahan pula cerita-cerita pembulian yang sering dilakukan oleh kedi senior kepada kedi junior memang menakutkan diri saya. Maklumlah ketika itu saya masih bersekolah rendah.


Hinggalah pada suatu petang, saya dipelawa oleh seorang teman untuk mengikutinya mengambil upah mengutip bola golf di padang latihan kelab golf berkenaan. Anehnya, saya menerima pelawaannya itu tanpa sebarang bantahan. Itulah kali pertama saya merasakan seronoknya mendapat upah. Masih saya ingat lagi upah pertama yang saya terima ialah RM2.50. Seronok rasanya mendapat duit. Namun saya tidak menceritakan hal saya mengutip bola golf ini kepada emak dan ayah. Perasaan bimbang dimarahi begitu bersarang di hati.


Esoknya saya ke padang golf semula dan seperti semalam saya pulang dengan RM2.50 juga. Lama kelamaan saya mula merasa seronok mengambil upah mengutip bola golf ini. Namun kadangkala saya juga pulang hampa kerana tiada pemain golf yang mahukan khidmat mengutip bola dari saya dan teman-teman. Selain itu, persaingan juga agak sengit antara kami. Masing-masing berebut-rebut menawarkan khidmat mengutip bola. Seingat saya, jumlah upah paling tinggi yang pernah saya terima ialah sebanyak RM5. Berbunga-bunga perasaan hati ini apabila melihat not bewarna hijau diserahkan kepada saya. Terasa begitu lumayan nilai RM5 pada diri saya ketika itu.


Membuli

Saya terus mengambil upah mengutip bola golf sehingga ke darjah enam. Ayah dan emak juga lama-kelamaan tidak begitu kisah dengan kegiatan saya itu. Cuma mereka berharap agar saya tidak leka dalam pelajaran. Saya juga tidak takut dibuli kerana padang latihan di padang golf berkenaan terletak agak jauh dari rumah kedi. Tambahan pula, kedi-kedi senior kurang berminat untuk mengambil upah mengutip bola golf kerana upahnya begitu kecil dan tidak setimpal dengan kudrat yang tercurah.

Rasanya pada pertengahan tahun 1996, sepupu saya yang dipanggil Awie mengajak saya untuk menjadi kedi. Beliau sudah setahun menjadi kedi sedangkan usianya pada ketika itu baru menginjak 11 tahun. Agaknya beliau kasihan melihat saya hanya mendapat upah yang kecil sewaktu mengutip bola golf. Mulanya agak gentar juga hati saya namun setelah dipujuk beberapa kali akhirnya saya mengalah walaupun hakikatnya saya harus bersedia untuk dibuli !


Satu set golf dan troli

Pada mulanya agak kekok juga menjadi kedi. Dengan usia yang masih muda dan bentuk badan yang kecil saya hanya mampu menarik troli beg golf yang sangat berat. Pada ketika itu saya terdaftar sebagai kedi gred C di kelab golf berkenaan. Penyelia kedi pada ketika itu ialah seorang tua yang dipanggil Pak Ali. Agaknya memang nasib menyebelahi diri saya, Pak Ali ini walaupun garang namun agak baik dengan saya. Dengan sendirinya saya dipanggil dengan gelaran “anak angkat” Pak Ali. Berbekalkan gelaran itulah saya selamat dari menjadi mangsa buli. Hehehehe. Namun sesuatu yang pasti ialah saya selamat kerana saya dilindungi oleh abang-abang sepupu saya yang sememangnya tidak akan membiarkan saya diusik sewenang-wenangnya.


Menjadi kedi merupakan pekerjaan yang nampak seperti mudah namun memerlukan kekuatan fizikal dan mental. Lumrahlah jika dimarah, dimaki dan dihina oleh si pemain golf dengan kata-kata yang tidak sedap didengar. Namun sepanjang kehidupan saya sebagai seorang kedi, hanya bangsa kita sendiri yang kerap mengherdik dan memaki anak bangsa sendiri dengan semahunya hati. Agaknya mereka merasakan diri mereka terlalu hebat dan besar apabila bemain golf ini. Kami budak-budak kedi tidak pernah ambil pusing hal caci maki ini walaupun hati bagai bernanah diperlakukan sedemikian rupa. Memang kami sedar taraf kami dan mereka bagai langit dan bumi.

Saya pernah mengalami satu kejadian dimana sewaktu menjadi kedi kepada Encik A, sarung tangan yang baru dibeli oleh beliau untuk bermain golf telah tercicir. Hal ini tidak disedari sehinggalah keesokan harinya barulah beliau tersedar yang sarung tangan barunya telah tiada lagi. Kebetulan pula sepupu saya telah menjumpai sarung tangan berkenaan dan memaklumkan kepada saya untuk memulangkannya kepada Encik A itu tadi.

Ditampar dan dihina

Sayangnya, Encik A telah bertindak lebih awal dengan menyatakan saya telah mencuri sarung tangannya. Sampai suatu ketika beliau telah menampar muka saya dengan begitu marah malah melemparkan kata-kata cacian yang menghina keluarga saya. Allah SWT sahaja yang tahu bagaimana perasaan saya ketika itu.  Saya terus pulang ke rumah tanpa menceritakan kejadian itu kepada keluarga. Akhirnya sarung tangan itu dipulangkan oleh sepupu saya 2 jam selepas kejadian saya ditampar dan menceritakan kepada Encik A hal yang sebenar. Perkara  ini menimbulkan rasa kesal pada Encik A. Beliau ada berjumpa saya untuk meminta maaf dan bagi seorang anak kampung yang punya maruah diri, saya hanya tersenyum tanpa berkata sepatah kepadanya. Hal itu saya diamkan sahaja dan tinggal sebagai sebuah kenangan yang pahit.


Rupanya kisah ini masih belum berakhir, beberapa tahun yang lepas saya terserempak dengan Encik A di sebuah pasar minggu bersama isterinya. Beliau sudah agak berumur dan berjalan menggunakan tongkat. Saya memandangnya dari jauh dan pandangan kami bertemu. Saya menegurnya dan memperkenalkan diri sebagai kedi yang pernah ditamparnya dahulu. Terkejut isterinya melihat air mata Encik A mengalir deras dari pipi selepas bertemu dengan saya. Benar, selepas melihat keadaanya saya terus memaafkan segala perbuatannya kepada diri saya dahulu. Namun sebelum berlalu sempat saya titipkan kepada sebagai akhir segala krisis yang pernah berlaku dahulu.

                “Saya boleh sahaja menampar muka pakcik sampai mati sekarang ini juga jika mengenang apa yang pernah pakcik lakukankepada saya tetapi saya tidak mahu. Biarlah Allah menjawab untuk saya diakhirat nanti apa yang terkandung dihati saya untuk pakcik”

Beliau termanggu dan air matanya mengalir deras. Saya terus berlalu tanpa memandangnya. Benar dunia ini ibarat roda, sebentar diatas dan sebentar kita dibawah.

Namun tidak semua pemain golf suka memaki kedinya. Ada yang muncul sebagai individu yang sangat dihormati oleh kedi-kedi di kelab berkenaan. Individu-individu seperti ini lazimnya mendapat perhatian yang sangat hebat dari para kedi. Biasanya kami akan berebut-rebut menawarkan khidmat kedi kepada mereka. Upah menjadi kedi ini sangat lumayan. Satu pusingan 9 lubang kami akan mendapat upah sekitar RM5 sehingga RM15. Pernah saya mendapat upah RM35 bagi dua pusingan 18 lubang. Nilai purata pendapatan seorang kedi pada ketika itu ialah RM 90 seminggu. Bagi seorang anak remaja seperti saya, jumlah itu amatlah besar dan bernilai !

Menjadi kedi menjadikan saya seorang yang cekap dengan persekitaran. Selain dari tumpuan pada arah perginya bola golf, saya juga dapat melatih diri mengesan arah angin dan jarak sesuatu lubang dari tempat pukulan. Kemahiran-kemahiran seperti mengesan bola golf di semak juga dipraktiskan disini. Paling penting struktur tubuh juga menjadi sihat akibat bebanan kerja yang berat.

Saya terus menjadi kedi sehingga berhenti rehat dalam tingkatan tiga kerana menumpukan sepenuh perhatian pada peperiksaan Penilaiaan Menengah Rendah pada tahun 1999. Pada ketika itu saya sudah menjadi kedi gred B. Rupa-rupanya, rehat saya sebagai kedi berlanjutan sehingga ke tingkatan 4. Saya tidak lagi menjejakkan kaki ke padang golf selepas itu. Tidak tahu kenapa, namun yang pastinya saya lebih selesa membuat aktiviti yang lain seperti bermain bola sepak dan berlibur malam bersama teman-teman. Tambahan pula, teman-teman lama kebanyakannya sudah ramai yang berhenti dari menjadi kedi.

Menjelang pertengahan tahun saya di tingkatan 4, ketika ramai teman-teman lama sudah lama berhenti menjadi kedi, saya pula mengambil keputusan untuk menjadi kedi untuk kali yang keduanya. Namun kini segalanya berubah. Pak Ali sudah tidak lagi bekerja di kelab golf berkenaan. Ramai teman-teman sudah tidak lagi menjadi kedi. Yang anehnya kini yang ramai menjadi kedi ialah anak-anak masyarakat orang Asli yang banyak mendiami kawasan kem Pasukan Gerakan Am ( PGA ) yang terletak tidak jauh dari padang golf berkenaan. Ini secara tidak langsung menimbulkan masalah baru kepada kedi-kedi lama kerana pemain-pemain golf lebih berminat mendapatkan khidmat kedi orang Asli yang penawaran upahnya jauh lebih rendah dari kami.

Saya dinaikkan taraf sebagai kedi gred A pada ketika ini. Namun sejujurnya kemahiran saya sebagai kedi tidaklah setaraf dengan gred A saya itu kerana saya sudah lama meninggalkan alam kedi ini. Tempat berkumpulnya kedi yang suatu ketika dahulu meriah dengan gelak ketawa kami bermain judi daun terup juga sudah semakin sunyi. Benar ketika tahun 2000 hingga 2001 jumlah kedi Melayu di kelab golf berkenaan semakin menyusut.

Akhirnya menjelang tahun 2001 ketika saya di tingkatan 5, saya juga turut angkat kaki sebagai seorang kedi. Selain dari memikirkan soal peperiksaan SPM yang akan menjelang tiba, saya juga dihantui dengan beban perasaan kejadian kes saya dengan Encik A yang seterusnya mematikan niat saya untuk terus menjadi kedi. Selepas itu saya memang tidak ambil peduli lagi dengan padang golf berkenaan. Tinggallah beberapa orang rakan yang terus tabah bertahan menjadi kedi disitu.

Beberapa tahun selepas itu, saya terdengar cerita yang kelab golf berkenaan telah menggunapakai kenderaan automatik bagi kegunaan pemain-pemain golf mudah untuk bergerak dan membawa peralatan golf mereka. Teman-teman yang masih bertahan sebagai kedi memanggil kenderaan itu sebagai “babi’ . Tidak tahulah kenapa ia digelarkan sedemikian rupa. Beberapa orang teman yang tertahan itu juga akhirnya terpaksa mengalah dan meninggalkan terus pekerjaan sebagai kedi tidak lama selepas itu. Saya mengira faktor usia juga memainkan peranan. Kebanyakan dari kami pada ketika itu sudah mencapai usia hampir malah melebihi 20 tahun. Tarikan kepada perkara-perkara lain lebih memikat hati kami dalam usia sedemikian.

Walaupun saya sudah lama meninggalkan pekerjaan ini namun kerinduaan saya terhadapnya kadangkala muncul secara mendadak. Kadangkala ketika menonton perlawanan atau kejohanan golf di televisyen, ada juga teman-teman yang merasa hairan melihat saya dapat menghuraikan maksud beberapa perkataan yang dikaitkan dengan permainan golf seperti par, bogey, handicap, jenis –jenis kayu dan bermacam-macam lagi seolah-olah saya pernah bermain golf. Saya hanya tersenyum dan berkata, inilah hasil dari apa yang pernah saya lakukan semasa alam remaja saya. Saya tidak pernah malu dan segan untuk menyatakan saya dahulu adalah seorang kedi. Ya benar … seorang kedi yang pernah ditampar dan dikeji oleh Encik A …..

Melawat Semula Tempat Mencari Rezeki

Pintu masuk ke KGBP

Ada juga sesekali saya melawat semula padang golf yang pernah menjadi lubuk rezeki kami anak-anak kelas bawahan di Bidor . Keadaannya sudah jauh berubah malah boleh dikatakan agak suram. Masih ada juga pemain-pemain golf yang beraksi disini namun ia tidaklah semeriah dahulu.


Jalan masuk


Rumah kedi yang tertinggal sepi

Rumah Kedi yang menjadi tempat kami berkumpul mendaftarkan diri sebelum bertugas juga terbiar tanpa pembelaan. Seolah-olah menantikan saat untuk roboh. Disitulah dahulu berkumpulnya anak-anak muda yang datang dari pelbagai jenis keluarga yang punya ribuan cerita susah dan senang.

Di rumah kecil itu tersimpan cerita tentang rokok, ganja, judi, buli, persahabatan dan krisis. Seolah-olah masih terlihat pada pandangan mata saya susunan basikal yang sederet di tempat meletak basikal di koridor rumah berkenaan. Masih terbayang seolah-olah Pak Ali sedang menyapu habuk rokok dan sampah yang bertaburan di lantainya sambil mulutnya memaki-maki kami sedangkan dihatinya Allah sahaja yang tahu betapa baiknya beliau kepada kami. Betapa riuh dan meriahnya ketika itu.


Kawasan saya mengambil upah mengutip bola golf


Kini saya sendiri sudah hampir ke usia 30an. Malah ada kedi-kedi senior saya dulu sudah mencapai usia 40an. Masing-masing sudah meninggalkan alam kedi. Rasanya mungkin saya antara generasi terakhir kedi Melayu di Bidor. Tidak pula saya mengetahui sama ada masih ada yang menjadi kedi namun jika dilihat dari situasi semasa ramai anak-anak Bidor kini  langsung tidak berminat menjadi kedi.


Tempat meletak kenderaan
Dahulunya dihujung atas kiri gambar
merupakan tempat kami melepak


Kelab Golf Batang Padang tempat saya mencari rezeki

Saya berhenti sejenak dipinggir kawasan lapangan golf yang hijau itu pada suatu petang yang kering. Mata saya tertumpu pada sekumpulan pemain golf yang berjalan perlahan. Hati saya tiba-tiba menjadi sebak …. Dan air mata saya tumpah …. Dahulu saya seorang kedi… benar saya seorang kedi !

5 ulasan:

thomas said...

Nampaknya banyak kenangan ditinggalkan di kelab golf ini.

hafez j malim said...

tuan thomas... macam man dengan perjalanan tuan? mesti seronok dan penuh kenangan.

Anonymous said...

Bila baca post anda kat blog ni, mengalir air mata saya.Buat saudara, saya dahulu pun seorang kedi dan pernah melalui kisah pahit manis sebagai kedi seperti anda. Sekarang saya seorang pemain golf amatur dan mungkin jika ada rezeki suatu hari nanti menjadi pro seperti rakan-rakan saya yg lain seperti S.murthy, Bon seng dll.Saya berharap anda terus berusaha dan tabah.Tempah jatuh lagi dikenang, inikan pula tempat bermain.

hafez j malim said...

SALAM 1 MALAYSIA
kepada Anonymous terima kasih saya ucapkan kerana sudi singgah berkunjung dan memberikan komen di blog perkongsian rasa ini. Saya berdoa semoga Tuan akan berjaya mencapai segala apa yang diinginkan itu. sebagai bekas kedi, saya tahu kita menyimpan sejuta satu cerita yang sukar dimengertikan.

Unknown said...

di papan tanda untuk ahli sahaja... orang luar tak boleh main ke?