BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

.

Photobucket

Sunday, September 18, 2011

Cerita Kenangan Di Teluk Anson ( Bahagian 2 )

Rojak dan Mee Rebus Mastan Ghani

Selepas puas menaiki bot penambang, kami akan meronda pusing-pusing disekitar bandar Teluk Intan. Jika berkesempatan, kami akan pergi menonton wayang. Ada beberapa pawagam di Teluk Intan yang masih wujud sehinga ke hari ini ketika banyak pawagam-pawagam lama di sekitar negeri Perak telah lama gulung tikar atau ditutup kerana tiada sambutan.

Bila hari sudah hampir ke angka 3,  kami akan pergi ke sebuah restoran rojak dan mee rebus yang amat terkenal di Teluk Intan. Restoran yang dimaksudkan ialah Restoran Mastan Ghani. Restoran ini hanya khusus menjual rojak dan mee rebus sahaja. Tetapi percayalah, rojak dan mee rebusnya adalah yang terbaik di Malaysia. Bunyinya memang agak melampau namun bagi kebanyakan pengunjung yang baru pertama kali merasa rojak dan mee rebus disini pasti akan kembali semula. Hal ini juga berlaku kepada saya. Namun pada saya, rojak disini lebih enak dari mee rebus. Hehehehehe.

Restoran Mastan Ghani Teluk Intan

Kami biasanya menyantap mee rebus atau rojak bersama-sama dengan ABC. Terasa benar-benar nikmat yang sempurna bila sahaja mulut ini disuap dengan ABC dan rojak atau mee rebus. Masih teringat juga gelak tawa saya dan kawan-kawan berlumba menghabiskan baki ABC yang tersisa.

Kebiasaannya, inilah destinasi kami yang terakhir sebelum kami bergerak pulang ke Bidor. Kadangkala kami balik dengan tangan yang kosong dan duit raya sudah habis atau tinggal sedikit sahaja. Ada juga sesekali kami pulang dengan membeli barang-barang yang sudah lama diinginkan. Pernah juga saya membeli seutas jam  tangan yang sudah lama saya inginkan dengan harga RM35. Pada waktu itu nilai RM35 adalah amat tinggi. Namun demikian seingat saya, jam tangan itu tidak pernah saya pakai dan ia hanya tersangkut sahaja di dinding atau saya simpan di poket. Apa boleh buat, lengan saya terlalu kecil untuk seutas jam tangan yang bersaiz besar.... huhuhuhuhuhuu.

Stesen Bas Lama Teluk Intan

stesen bas lama Teluk Intan

Sebelum balk ke Bidor kami biasanya akan lepak-lepak sebentar di Stesen bas Teluk Intan. Stesen bas ini biasanya sesak dengan umat manusia. Sambil cuci-cuci mata sempat juga kami mengorat gadis-gadis manis yang lalu lalang. Kadangkala ada juga berlaku pertengkaran dengan kumpulan - kumpulan remaja lain apabila masing-masing ingin tunjuk jantan. Namun biasanya ia tidak diakhiri dengan pergaduhan kerana masing-masing tahu ia bukan sesuatu yang menguntungkan kedua-dua belah pihak. 

Stesen bas ini masih digunakan walaupun perkhidmatan bas ekspress telah mula beroperasi di terminal bas baru yang terletak di bandar baru Teluk Intan. Namun bagi bas ulang alik ke Bidor, Kampung Gajah, Sabak Bernam, Hutan Melintang dan Bagan Datoh, semuanya masih beroperasi di stesen ini.

Dalam jam 4 petang biasanya kami bergerak pulang ke Bidor. Namun keriuhan di dalam bas tidak pernah hilang. Biasalah zaman-zaman remaja penuh dengan usik mengusik dan gelak ketawa. Sampai sahaja di Bidor masing-masing pulang ke rumah tanpa banyak soal. Basikal yang dikunci berhampiran stesen bas Bidor menanti dengan setia. Di dalam poket .... duit raya semakin habis atau memang habis langsung. Ketika itulah hati mula menyesal memikir hendak menyimpan di tahun hadapan.

Namun.... skrip yang sama akan berulang di Aidilfitri tahun hadapan ... dan saya akan terus tersenyum mengenang memori lama yang indah ini ...
 
Al-Fatihah buat sahabat seperjuangan Allahyarham Mohd Yusuf Bin Abdullah ( Usup Petai ) 
yang meninggal dunia pada 10 September 2011 yang lalu. 
Artikel ini adalah sebagai satu catatan kenangan untuk Allahyarham sebagai mengenang
kehidupan remaja kami. Allahyarham juga sebahagian dari ''kami'' yang disebutkan dalam artikel diatas.
Semoga Allahyarham ditempatkan di kalangan orang-orang yang beriman.



2 ulasan:

sawlihim said...

kat mana nak naik bot tambang d Teluk Intan utk nak seberang sungai Perak ??

hafez j malim said...

salam tuan sawlihim.. jika tidak silap saya terdapat dua tempat untuk kita menaiki bot penambang di teluk intan. yang pertamanya berhampiran jeti durian sebatang dan yang keduanya berhampiran dengan restoran nasi kandar lambai. namun demikian untuk tahun2 kebelakangan ini, saya tidak pasti sama ada bot penambang itu masih beroperasi atau tidak.