BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Saturday, December 31, 2011

SELAMAT TAHUN BARU 2012

Indahrasajmalim Blogspot dengan ini mengucapkan Selamat Menyambut Tahun Baru 2012 kepada semua pembaca yang sudi bertandang ke blog picisan ini. Semoga tahun 2012 ini memberikan sejuta satu kegembiraan kepada kita semua. Pastikan kita memulakan tahun baru dengan azam yang baru. Usahakan untuk merealisasikan azam tersebut dan jangan biarkan ia menjadi debu yang terbang ditiup angin. Semoga terus selalu singgah di blog ini. Ada cerita yang boleh kita selalu boleh kongsikan...JUMPA LAGI DI TAHUN 2012 !!!



Tuesday, December 27, 2011

Perkhabaran Sedih



Sebuah karya dari seorang teman yang begitu saya sayangi dan sanjungi. Ada cerita yang tersirat disebalik sajaknya dan saya menyukainya sebagai kenangan indah yang tidak mudah dilupakan. 

Kadangkala tidak semua perasaan yang indah antara dua hati mampu diakhiri oleh penyatuan. Walaupun sejauh mana hati mendesak untuk memiliki namun kuasa Ilahi yang menjadi penentu segalanya.......dan dengan sebatang pena  dan secarik kertas segalanya terluah.


PERKHABARAN SEDIH

Perkhabaran sedih
dari insan yang bernama kekasih
tragisnya...
hingga bisa meremuk hatiku
ibarat kaca
yang terhempas ke lantai
berderai...berkecai...bertaburan
musnah !

Hatiku kini hilang segala rasa
hilang segala pedoman

Perkhabaran sedih
ianya bagai merentap nyawaku
bagai membunuh rohku
tubuhku terkulai sepi
terbujur kaku.

Perkhabaran sedih
kau membunuh jiwaku !
kau membunuh perasaanku !
kau membunuh sayangku !
kau membunuh cinta agungku !

Perkhabaran sedih
kau telah meranapkan
masa depanku
hilangkah sudah tempat mengadu
tempat merintih
tempat mencurahkan kasih,
tiada lagi panggilan "buah hati"
di cuping telingaku,
tiada lagi pujian
menggunung untukku,
tiada lagi panggilan SAYANG
disebalik bait gurauan
dari kekasihku.

Perkhabaran sedih
kau membuatkan aku
kehilangan akal yang waras
merintih pilu tiap saat dan detik..

Kini...tiada lagi
senyuman indah dibibirku
tiada lagi gelak manja
yang dapat ku pamer
semuanya hilang
kerana kau ....PERKHABARAN SEDIH !!

Kini..segala-galanya akan dicoret
sebagai kenangan..
kenangan yang sayu untuk kukenang.

Selagi minda ini berfungsi
kau yang tersayang 
akan tetap di sanubari
dan aku...
hanya sendiri bersama sepi
sendiri bersama sunyi !




Tuesday, November 29, 2011

SELAMAT BERSIDANG PEKEMBAR



Ketika pulang dari Terengganu tempoh hari saya ada melalui Pusat Dagangan Dunia Putra ( PWTC ) yang saban tahun menjadi tempat persidangan umat Melayu yang terbesar melalui parti PEKEMBAR. Banyak sepanduk dan banting telah tergantung berhampiran dengan PWTC dengan tertulis kata-kata ucapan "SELAMAT BERSIDANG" beserta gambar pemimpin PEKEMBAR yang tersenyum dan bersongkok. Saya hanya menjeling sahaja sepanduk berkenaan. Kakitangan PWTC juga kelihatan sibuk dengan tugas masing-masing. Maklumlah... ini persidangan umat Melayu yang terbesar di Malaysia.


 Pusat Dagangan Dunia Putra

Tidak tahu kenapa hati saya menjadi sayu bula mengenangkan tentang Perhimpunan Agung PEKEMBAR tahun ini. Sukar dinyatakan perasaaan ini.Saban tahun saya mengikuti setiap laporan dan cerita yang ada berkenaan perhimpunan ini. Namun pada tahun ini saya menjadi tawar hati. Bila membaca akhbar - akhbar perdana yang mula menceritakan tentang persiapan perhimpunan agung PEKEMBAR, saya menjuihkan bibir dan mula hilang selera membaca.

Adakah saya hilang selera dengan PEKEMBAR ? ... rasanya tidak. Saya masih merasakan saya ahli PEKEMBAR yang tegar dan bermaruah. Dari kecil hinga ke usia ini saya masih sayangkan PEKEMBAR. PEKEMBAR teguh didalam jiwa saya walaupun ramai teman-teman seangkatan memilih untuk berkecuali atau menyeberang ke kem lain. Termenung saya memikirkan hal ini. Ada sesuatu yang mengusik saya supaya menulis hal PEKEMBAR ini. Tentang PEKEMBAR yang akan bersidang di dewan yang serba mewah !

Ketika hak-hak orang Melayu semakin terhakis di buminya sendiri, warga PEKEMBAR bersidang di dewan yang serba mewah. Di dada-dada akhbar sibuk berceloteh tentang persidangan PEKEMBAR yang akan dihadiri oleh ramai perwakilan PEKEMBAR seluruh negara. Cerita - cerita gerai jualan, juadah hidangan perwakilan, beg persidangan, tempat penginapan dan pelbagai cerita yang tidak masuk akal tersiar di akhbar. Adakah ini yang dimaksudkan dengan persidangan PEKEMBAR ?. Rakyat marhaen diluar memerhatikan persidangan ini. Sepatutnya persidangan ini menjadi medan umat Melayu mencari semula kekuatan bangsa dan bukannya medan membeli belah dan makan-makan.


 Rakyat melihat cerita PEKEMBAR
( Gambar ihsan : http://panggungopera.blogspot.com )

Ingatlah warga PEKEMBAR, kita adalah cerminan kepada penglihatan rakyat diluar sana. Bawalah hati dan semangat sayangkan bangsa dan agama ketika bersidang. Luahkan tanpa ada perasaan ingin membodek atau membanggakan diri sendiri. Kita bangsa yang bermaruah dan bukannya bangsa yang pengecut. Tegur setiap kesalahan kita tanpa mengira taraf jawatan kerana kita semua ialah ahli PEKEMBAR yang hebat. Hebat menjulang bangsanya dipersada dunia dan bukannya hebat membodek untuk pangkat dan kuasa.


Tegur dan ingatkan pemimpin selalu tentang kekuatan parti

Jangan jadikan persidangan ini tempat membeli belah, melancong dan mencari pengaruh. Rakyat melihat segala apa dilakukan.Ingatlah kuasa yang PEKEMBAR ada pada hari ini datangnya dari seorang petani desa yang mengerah kudrat ditengah mentari, dari seorang pekerja kilang yang bergaji RM700 sebulan, dari seorang suri rumah tangga yang tinggal di rumah buruk pinggir sungai, dari seorang pengawal keselamatan tua di sebuah sekolah pedalaman dan dari pelbagai hati dan perasaan rakyat marhaen berbangsa Melayu di bawah sini.Itulah sumber kekutan PEKEMBAR sebenarnya. Kekuatan dari mereka yang setia dan berterima kasih pada jasa PEKEMBAR.


PEKEMBAR .... Carilah mereka selalu bertanya khabar

Saya sayangkan PEKEMBAR. Tidak kisahlah saya tidak pernah menghadiri perhimpunan agungnya kerana saya ahli kecil yang tidak pernah berpaling tadah dari PEKEMBAR. Biarlah perhimpunan dibuat di bulan sekalipun saya tidak pernah kisah kerana apa yang paling penting roh dan semangat asal PEKEMBAR perlu ditanamkan dalam diri setiap ahli PEKEMBAR. Bersidanglah dengan berhemah. Celikkan mata dan dengar setiap kata-kata yang dilontarkan oleh setiap pembahas. Jangan biarkan lensa rakyat melihat ada perwakilan yang tertidur atau sibuk berFB sewaktu bersidang. Ingatlah tidak selamanya kuasa akan berada dalam tangan PEKEMBAR.Rakyat punya kuasa menjatuhkan PEKEMBAR dengan kuasa ALLAH SWT.

Selamat bersidang PEKEMBAR. Dari jauh saya mendoakan semoga perhimpunan agung PEKEMBAR akan berlangsung dengan suasana harmoni dan bersemangat. Lupakan segala cerita - cerita lama yang merosakkan parti. Cari semula kekuatan PEKEMBAR yang lama ... yang menggoyangkan kuasa dunia British setengah abad yang lalu. PEKEMBAR akan terus relevan selagi ahlinya tidak leka dengan kuasa dan dunia.Jangan nanti di PWTC ada logo roket yang bersidang di masa hadapan. Nauzubillahiminzalik.

HIDUP ISLAM
HIDUP MELAYU
HIDUP PEKEMBAR







Wednesday, November 23, 2011

HUJUNG TAHUN 2011

Inilah padahnya bila tiba hujung tahun ... pulang ke kampung dan menghadapi masalah untuk mengakses internet. Semuanya jadi berterabur. Sudahnya untuk blog ini pun tidak dapat dikemaskini dengan cerita-cerita baru. Ermmmm ... banyak sebenarnya projek saya untuk penulisan blog ini sepanjang cuti ini. Setakat ini beberapa siri perjalanan telah saya lakukan bagi menambahkan bahan cerita dalam blog ini supaya ia terus mampu memberikan anda informasi untuk dikongsi.

Antara catan-catatan baru yang akan saya hidangkan pada tahun 2012 nanti ialah tentang cerita makam-makam bersejarah Sultan yang pernah memerintah negeri Perak Darul Ridzuan. Mungkin anda pernah menjumpai dan melihat gambar berkaitan dengan makam lama sultan-sultan Perak Darul Ridzuan di blog atau laman web yang berkaitan. Namun bagi saya ianya tetap berbeza kerana saya akan mengulas mengikut pandangan dan citarasa saya sendiri.

Bagi siri-siri kembara perjalanan ke pekan-pekan lama dalam negeri Perak Darul Ridzuan pula, nampaknya ia semakin menuju ke penghujungnya. Namun masih ada dua catatan berkenaan pekan-pekan lama yang belum saya ulas iaitu pekan Sungai Siput Selatan dan pekan Chenderiang. InsyaAllah selesai sahaja ulasan berkaitan dua pekan berkenaan keluar maka secara teknikalnya tiada lagi siri-siri kembara ke pekan lama dalam blog ini.Semoga ada yang dapat sedikit perkongsian dari catatan - catatan ringkas itu.

Hujung tahun ini juga sejarah hidup saya juga akan bertukar. Dari seorang lelaki bujang yang bebas kesana dan kemari tanpa hala tuju menjadi seorang suami kepada seorang wanita. Bagikan tidak percaya dengan pertukaran drastik ini. Namun saya yakin, ini pilihan yang terbaik buat saya walaupun hati ini bagaikan mahu lari dari segala tanggungjawab itu. Perkahwinan ini mengajar saya untuk menghargai setiap apa yang dimiliki dan yang diberikan oleh Allah.Walaupun kadang-kadang hati ini mengusik saya bukan lelaki yang baik untuk perkahwinan ini.

Itulah lumrah kehidupan, ada jatuh dan bangunnya. Semoga saya bukan lelaki yang hanyut dengan permainan kehidupan. Saya akui ada sesekali saya menipu diri sendiri namun saya sedar saya tidak boleh selalunya tertinggal dalam kehidupan. Orang lain melangkah pantas dalam usia seperti saya, namun saya masih bertatih memulakan sesuatu yang baru.

Semoga jumpa lagi dalam catatan-catatan yang akan datang. Indahrasajmalim tetap seperti dulu ... kita sentiasa berkongsi setiap cerita ....







Saturday, November 5, 2011

Kembara Melihat Pekan - Pekan Lama 4 : Pekan Kampung Kepayang


Selesai melihat pekan Kota Bharu saya meneruskan lagi perjalanan bermotosikal ke sebuah lagi pekan lama yang semakin ditinggalkan iaitu pekan Kampung Kepayang. Bagi pengguna-pengguna jalan raya persekutuan dari Gopeng menghala ke Ipoh, sudah pasti akan melalui sebuah pekan pinggir jalan yang kosong dan kusam. Itulah pekan Kampung Kepayang....tinggalan-tinggalan akhir pekan lama yang masih wujud di negeri Perak Darul Ridzuan yang tercinta ini.

Masjid Ahmadiah pekan Kampung Kepayang

Sebenarnya pekan Kampung Kepayang ini bukanlah asing bagi diri saya. Jika sesekali saya pergi ke Ipoh maka sudah pastilah saya akan melalui pekan ini. Saya juga pernah singgah bersolat Asar di masjid yang terletak tidak jauh dari pekan ini. Apa yang menariknya berkenaan pekan ini ialah rumah-rumah kedainya sudah lama kosong ditinggalkan walaupun di persekitarannya terdapat banyak kawasan tempat tinggal penduduk. Saya sendiri menjadi agak pelik. Namun hal ini mungkin berpunca dari kedudukannya yang berhampiran dengan bandaraya Ipoh yang memungkinkan peranannnya sebagai sebuah pekan menjadi terlalu kurang penting bagi penduduk sekitar.

Saya sampai ke pekan ini ketika hari sudah beransur petang. Jalan raya menghala ke Ipoh sememangnya sesak dan kehidupan penduduk pekan ini berlangsung seperti biasa. Selepas meletakkan motosikal saya berhadapan masjid Kampung Kepayang saya terus meneroka bangunan rumah kedai pekan ini yang usang dan ditinggalkan. Banyak rumah-rumah kedainya yang sudah rosak dan mereput. Ada bahagian-bahagian tertentu sudah diliputi oleh tumbuhan-tumbuhan merayap dan liar. Ianya memberikan suatu panorama yang begitu redup dan menyeramkan.

Saya agak bernostalgia juga dengan pekan ini kerana ia adalah saksi yang melihat perjuangan saya dalam usaha menjadi seorang cikgu seperti hari ini. Saya masih ingat lagi pada ketika saya menuju ke Ipoh untuk menghadiri sesi temuduga menjadi seorang guru,  hujan turun gerimis ketika saya bermotosikal melintasi pekan ini. Allah sahaja yang mengetahui perasaan saya pada ketika itu. Sudahlah saya keluar seawal jam 4.30 pagi dari Bidor menuju ke Ipoh bermotosikal dan hujan pula turun. Sudah pastilah saya akan basah lenjun ketika ditemuduga. Alhamdulillah ketika sampai di Simpang Pulai hujan mula reda dan saya berjaya sampai ke tempat temuduga seterusnya berjaya menjadi seorang guru seperti yang terlihat hari ini.

Tumbuhan liar menghuni bangunan tua di pekan Kampung Kepayang

Disebuah rumah kedai yang pintu hadapannya sudah hancur, saya dapat melihat keadaan dalam rumah kedai lama yang masih tersisa. Dapat dilihat tempat sembahyang masyarakat cina dan sebuah potret lama yang misteri. Beberapa kalendar usang masih tergantung walaupun tulisannya semakin pudar dimamah masa. Pelik... kenapa ia ditinggalkan. Saya sendiri bingung dengan masalah ini.


Ada potret yang tertinggal

 Bahagian belakang rumah kedai

Banyak dinding kayu yang mereput dan tercabut

Sebahagian rumah kedai pekan Kampung Kepayang
yang sudah runtuh.

Wajah pekan ini amat menarik. Rumah-rumah kedainya memang sunyi namun jalan raya persekutuan yang membelah pekan ini sentiasa sibuk dengan pengguna jalan raya. Dipersekitaran pekan ini, terdapat bengkel, kedai makan malahan boleh saya katakan kawasan ini mempunyai kepadatan penduduk yang agak tinggi. Cuma bangunan kedainya sahaja yang ditinggalkan. 

Saya suka merakamkan gambar kaki lima bangunan rumah kedai pekan ini. Ketika melalui kaki limanya terasa seolah-olah saya kembali ke zaman silam.... seolah-olah saya dapat merasa bahawa disini dahulu pernah wujud sebuah pekan kecil yang menjadi nadi penduduk setempat membeli barangan keperluan seharian. Tetapi itulah .... ianya sudah tinggal kenangan bagi penduduk setempat. Tiada lagi keriuhan lama. Semuanya adalah cerita lama yang akan menjadi khazanah berkarat bagi generasi muda Kampung Kepayang.

Mungkin dahulu ia menjadi laluan pembeli membeli barang



Lorong kaki lima yang hanya tinggal kenangan

Hanya beberapa buah kedai sahaja yang masih beroperasi di pekan Kampung Kepayang ini. Antaranya ialah sebuah kedai gunting rambut India. Masih terdapat pengunjung yang memerlukan perkhidmatan bergunting rambut di sini. Ketika saya ingin merakamkan gambar kedainya sempat saya meminta kebenarannya... dia hanya tersenyum...... mungkin dia sedar hanya dia sahaja saksi sejarah pekan itu yang masih tertinggal. 

Sebuah kedai gunting rambut... saksi sejarah terakhir 
pekan Kampung Kepayang.


Dua buah lori melintasi bangunan rumah kedai pekan Kampung Kepayang

Sunyi petang di pekan Kampung Kepayang

Saya melihat kerdipan matahari petang bagaikan memakan masa depan Kampung Kepayang. Deretan rumah kedai batunya yang klasik kini bagaikan menunggu masa untuk dimamah kemodenan. Aliran trafik jalan raya yang merintangi pekan ini semakin sibuk tambahan pula ia berlokasi tidak jauh dengan bandaraya Ipoh. Dengan hanya jalan tiga lorong, mustahil bagi jalan persekutuan ini menampung jumlah kenderaan yang semakin banyak dan sesak. Penyelesaiannya hanya satu iaitu menambahkan lorong jalan raya sedia ada. Namun, bayaran yang paling mahal yang perlu kita bayar untuk usaha itu ialah dengan merobohkan rumah-rumah kedai tua pekan Kampung Kepayang yang masih tersisa sekaligus membunuh terus pekan ini dari lipatan peta negeri Perak.

Tidak mustahil jalan raya ini akan diperbesarkan

 Menunggu masa dipukul arus kemodenan

Saya meninggalkan pekan Kampung Kepayang setelah sahaja solat Asar di masjidnya. Dari jauh saya memandang deretan bangunan kedai pekan ini yang kaku sunyi. Sebak saya sendiri bila memikirkan nasib pekan ini kelak. Dengan saya yang semakin jauh dari negeri kelahiran saya yang tercinta ini tidak mustahil saya tidak akan bersua muka lagi dengan pekan ini. Mungkin nanti saya hanya akan menjumpai jenazah pekan ini yang dibunuh oleh gema kemodenan ketika kunjungan seterusnya. Saya bagaikan mahu menangis.

Selamat tinggal pekan Kampung Kepayang. Jika nanti dirimu sudah tiada mungkin catatan perjalanan ini akan menjadi saksi bahawa pernah wujud sebuah pekan bernama Kampung Kepayang di negeri Perak Darul Ridzuan ini. Catatan perjalanan saya diteruskan menuju ke sebuah pekan lama iaitu pekan Sungai Siput Selatan. Jumpa lagi dalam siri catatan akan datang.













Friday, October 21, 2011

INDAHNYA KASIH DI SMK BALLEH


Sudah menjadi rezeki saya agaknya dapat menjadi pengawas peperiksaan Penilaian Menengah Rendah ( PMR ) di SMK Balleh dalam bahagian Kapit Sarawak. SMK Balleh adalah antara salah sebuah sekolah-sekolah menengah yang terdapat di kawasan pedalaman Sarawak. Saya agak teruja untuk ke SMK Balleh. Maklumlah sepanjang hampir 3 tahun di Kapit saya tidak pernah menjejakkan kaki ke SMK Balleh. Inilah kali pertama saya merasa menjadi pengawas peperiksaan di sebuah sekolah kawasan pedalaman. Perbagai perkara bermain di kepala saya.

Untuk sampai ke SMK Balleh, saya perlu menaiki bot ekspres selama hampir 3 jam mudik ke hulu Sungai Balleh. Sungai Balleh merupakan cawangan utama Sungai Rajang dan ia boleh dimudiki oleh kapal-kapal besar sehingga ke Putai. Namun demikian, dari segi saiz, Sungai Balleh lebih kecil sedikit dari Sungai Rajang dan mempunyai kawasan berbatuan di pinggir dan dasarnya. Saya bergerak dari Kapit ke SMK Balleh tepat jam 11 pagi. Pada mulanya agak gementar juga saya tetapi mujurlah saya tidak berseorangan di SMK Balleh. Bersama-sama saya ialah 4 orang lagi guru pengawas PMR iaitu Puan Helen Manjan  dan Encik Dickson ( SMK Kapit ), Encik Sim Siong Hoe dan Encik Saful ( SMK Kapit No.2 ).


 Kapal-kapal besar boleh mudik ke hulu Sungai Balleh

Perjalanan agak menyeronokkan ditambah pula dengan pemandangan diluar yang indah. Ini pengalaman pertama saya ke hulu. Saya berkesempatan melihat pertemuan antara kuala Sungai Balleh dan Sungai Rajang. Pertemuan antara kedua-dua buah sungai ini mencetuskan ombak yang agak besar. Namun, bagi penduduk Iban yang membawa perahu di kawasan ini ianya bagaikan suatu yang tidak membawa erti. Seperti kata pepatah "alah bisa tegal biasa".

 Arus besar pertemuan antara Sungai Balleh dan Sungai Rejang

 Bot ekspres berhenti di kem balak

 Arang batu

Bot ekspres yang kami naiki sesekali berhenti di kem-kem balak yang banyak terdapat di pinggir sungai bagi tujuan menghantar barang. Wakil-wakil kem balak akan menunggu di tepi sungai dengan kenderaan masing-masing bagi mengangkut barang yang baru tiba. Sesuatu yang membuatkan saya terkejut ialah sepanjang Sungai Balleh ini terdapat begitu banyak kapal-kapal ( tongkang dalam bahasa tempatan ) yang karam. Dari kata-kata penduduk setempat, terdapat hampir berbelas-belas tongkang karam di Sungai Balleh. Ada sesetengahnya boleh dilihat dan ada sesetengahnya sudah tenggelam. Malahan di hadapan SMK Balleh itu sendiri terdapat sebuah tongkang yang karam. Terdapat juga sebuah lombong arang batu yang dikatakan terbesar di Asia Tenggara. Inilah kali pertama saya melihat arang batu dicarigali.

Tongkang karam

Kami sampai ke SMK Balleh tepat jam 2.30 petang. Bot ekspres kami berlabuh di sebuah kawasan berbatu yang dipanggil karangan oleh penduduk tempatan. Selepas menurunkan kami, bot ekspres berkenaan terus bergerak mudik ke hulu sehingga ke Putai. Kami disambut oleh pengawal keselamatan sekolah. Fikiran saya kosong pada ketika ini. Buka sahaja telefon bimbit, tersenyum saya sendiri. Tiada talian telefon di sini.  Saya dan Cikgu Saiful menumpang di rumah Cikgu Firdaus dan Cikgu Nik. Manakala Puan Helen Manjan, Cikgu Sim dan Cikgu Dickson menginap di rumah tetamu. Sejuta ucapan terima kasih kepada Cikgu Firdaus dan Cikgu Nik atas segala bantuan dan layanan yang baik sepanjang saya berada di SMK Balleh. Semoga Allah membalas budi kalian kepada saya.

 Bot ekspres berhenti untuk menurunkan penumpang di
pantai berbatu SMK Balleh


Petang itu saya berkesempatan meninjau-ninjau kawasan pantai berbatu yang menjadi mercu tanda SMK Balleh. Puan Helen Manjan sibuk mengutip batu-batu untuk dijadikan batu penumbuk sambal. Saya pula lebih teruja melihat tongkang karam tidak jauh dari situ. Sesuatu yang menarik disini ialah hasil dari pasang surut naik air sungai Balleh telah membentuk sebuah kolam di kawasan pantai berbatu. Kolam ini sangat luas dan jernih airnya berbanding dengan air Sungai Balleh yang keruh. Namun jangan disangka kolah berkenaan cetek airnya. Menurut pengawal keselamatan yang sempat saya bertemu, beliau menyatakan ada sebuah tongkang karam di dasar tasik berkenaan. Katanya akibat terlalu dalam dan terlalu lama karam, tongkang berkenaan sudah tidak boleh dilihat dengan mata kasar.

 Perahu berlabuh di tebing pantai berbatu

Kolam semulajadi terbentuk dari naik turun air Sungai Balleh



Jeti untuk ke SMK Balleh

Satu masalah bagi saya di sini ialah untuk membiasakan diri dengan makanan yang disediakan oleh pihak sekolah kepada saya. Mujur jugalah saya dan Cikgu Saiful sentiasa dijamu dengan makanan yang enak-enak oleh Cikgu Firdaus dan Cikgu Nik. Memang saya memuji masakan mereka enak !!!


Tidak ramai calon PMR SMK Balleh. Hanya 60 calon sahaja disini. SMK Balleh bukanlah sekolah yang besar. Jumlah keseluruhan pelajarnya hanya dalam lingkungan tiga ratus lebih dan bilangan tenaga pengajarnya hampir 20 orang. Kesemua pelajarnya tinggal di asrama. Pelajar etnikIban merupakan majoriti disini namun demikian terdapat juga pelajar-pelajar etnik Kenyah yang berasal dari Long Singut. Inilah kali pertama saya melihat etnik Kenyah dari Long Singut. Sebelum ini  di SMK Kapit saya hanya terdedah dengan pelajar-pelajar Kenyah dari Long Busang sahaja.

 Bergambar kenangan dengan pelajar 
etnik Kenyah yang berasal dari Long Singut

Apa yang boleh saya katakan tentang pelajar disini ialah sikap mereka terhadap tetamu. Budaya menghormati tetamu dan guru bagaikan sebati disini. Jika sekumpulan pelajar berselisih dengan kita, semuanya akan melontarkan ucapan selamat dengan senyuman yang meleret. Rupa-rupanya di pedalaman ini, penghormatan kepada guru masih kekal sebagai sesuatu yang dipandang tinggi oleh para pelajar. Memang saya benar-benar mengagumi sikap pelajar SMK Balleh. Pertama kali saya berhadapan dengan pelajar-pelajar ini didalam bilik peperiksaan, mata saya tertumpu pada kasut yang dipakai oleh mereka. Memang saya tidak boleh menipu, keseluruhan kasut-kasut calon yang menduduki PMR SMK Balleh ini putih dan bersih. Pakain mereka juga kemas. Hal ini juga diakui oleh Cikgu Saiful. 


 Pelajar SMK Balleh

Saya suka dengan suasana SMK Balleh yang tenang. Udaranya segar dan panoramanya indah. Bukit Majau melatari lanskapnya sentiasa memberikan senyuman diawal pagi. Sesekali terdengar bunyi tongkang melalui Sungai Balleh membuatkan hati mudah menjadi tenang.  SMK Balleh sekolah yang cantik. Susun atur sekolahnya menarik. Ia sebuah sekolah yang lengkap. Walalupun jauh dipedalaman, aspek-aspek estetika dan indah tetap ada pada wajah sekolah ini.

Panorama SMK Balleh

Bukit Majau yang melatari pemandangan SMK Balleh

Gelanggang permainan

Kantin SMK Balleh


Kuarters Guru SMK Balleh

Rumah Pengetua SMK Balleh

Kediaman staf yang tersusun cantik

Loceng lama yang tidak digunakan lagi

SMK Balleh sentiasa tenang. Pergerakan staf hanya dengan berjalan kaki. Tidak ada bunyi kereta, lori dan bas. Yang hanya kedengaran hanya sayup bot ekspres, tongkang dan perahu penduduk rumah panjang berdekatan yang menyusur arus Sungai Balleh. Saya berkesempatan melihat aktiviti menghanyutkan kayu-kayu balak dari hulu sungai ke hilir sungai. Kayu-kayu balak ini dihanyutkan dan dikawal oleh beberapa buah perahu. Ini adalah bagi mengelakkan ia melanggar tebing sungai. Kayu-kayu balak ini diikat bersama-sama supaya ia hanyut dalam kumpulannya yang tersendiri dan tidak menghalang laluan bot ekspres dan tongkang.

Aktiviti menghanyutkan kayu balak.

Saya juga berkesempatan merasa untuk menaiki bot ekspres seawal jam 5 pagi untuk pulang ke Kapit. Bayangkan dalam suasana hari masih gelap, bot ekspres sudah bersedia untuk bergerak. Cara untuk menahan bot ekspres yang bergerak dalam gelap ialah dengan menggunakan lampu suluh. Apabila terlihat nyalaan lampu suluh kita maka bot ekspres berkenaan akan berhenti singgah mengambil kita. Namun demikian, sekiranya air sungai Balleh naik sehingga kawasan karangan ( pantai berbatu ) di SMK Balleh tidak kelihatan maka kita perlu berjalan kaki dan menaiki bot ekspres jauh dari kawasan berkenaan. Ini adalah bagi mengelakkan kipas enjin bot ekspres berkenaan rosak terkena batuan yang banyak.

Menunggu bot ekspres di awal pagi.


Seronok menjaga PMR di SMK Balleh. Jiwa rasa tenang di sini. Hilang segala masalah di fikiran yang membeban. Disini saya berjumpa dengan rakan yang baik dan mesra, warga sekolah yang muhibah dan panorama alam yang menarik. Tiada kemewahan yang terjelma disini melainkan hanya kesederhanaan. Menjadi guru jauh dipedalaman ini, hanya sunyi yang bermain di hati. Namun, ianya mengajar kita menjadi lebih menghargai dengan setiap apa yang ada. Guru di bandar mungkin tidak merasai apa yang kami rasa. Tanpa kereta besar, tanpa talian telefon dan elektrik yang dicatu ia membuatkan saya benar-benar menghargai jasa dan sumbangan guru pedalaman.


Saya bersama dengan Cikgu Dickson dan Cikgu Helen Manjan

Saya meninggalkan SMK Balleh setelah hampir 2 minggu bersamanya. Tidak tahu lagi bilakah saya akan menyapa semula SMK Balleh. Semakin ke penghujung tahun semakin saya tidak keruan. Hati mohon untuk berpindah dan fikiran mohon untuk kekal. Ia suatu pilihan yang amat-amat kelam ketika jiwa makin terisi dengan kehadiran seseorang. SMK Balleh..... semoga bertemu lagi dipertemuan akan datang. Saya akan mengenang SMK Balleh sebagai sebuah sekolah indah yang penuh nilai moralnya !!!!


Hafez J.Malim sebagai pengawas PMR.. hehehe