BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Wednesday, April 27, 2011

Catatan Perjalanan : Mencari Tenang Di Bintulu

. Hari Pertama ( 22 April 2011 - Jumaat )

Niat di hati saya ingin ke Mukah sebenarnya. Ingin melihat Pesta Kaul yang disambut oleh orang-orang Melanau Mukah. Namun beberapa masalah di saat-saat akhir menyebabkan saya menukar haluan perjalanan ke Bintulu. Pergi ke Bintulu sebagai seorang musafir bersama Cikgu Kumaresan tanpa sebarang info tentang Bintulu. Kami pergi ke Bintulu dengan hanya berbekalkan keyakinan diri dan percaya antara satu sama lain.

Kami bergerak menaiki bot ekspres dari Kapit seawal jam 7.30 pagi lagi. Perasaan saya bercampur baur sebenarnya. Banyak perkara yang bermain di fikiran ini. Hati seakan-akan berat namun saya gagahkan juga perasaan ini. Saya berusaha seadanya menyembunyikan keributan hati ini.

Awal pagi sewaktu memulakan perjalanan

Kami sampai ke Sibu pada jam 10.30 pagi. Saya dan Cikgu Kumaresan tidak melepaskan peluang menikmati roti canai dan tosai mamak yang sudah lama kami idamkan. Memang melantak sakan kami disini. Selepas menikmati juadah sarapan pagi kami bergegas ke Terminal Bas Sibu untuk menaiki bas ke Bintulu. Perjalanan mengambil masa selama tiga jam. Harga tiket juga agak berpatutan. Fikiran saya semakin kusut di waktu ini.

Bas yang membawa saya ke Bintulu

Perjalanan dari Sibu ke Bintulu sebenarnya agak membosankan. Kami hanya melintasi beberapa pekan kecil seperti Setapang, Selangau dan Tatau. Suasana di luar adalah muram. Dengan sesekali melihat deretan rumah panjang yang sunyi membuatkan saya bertambah sayu dan gusar. Hutan-hutan di sepanjang jalan membuatkan suasana perjalanan bertambah sunyi. Kami singgah di sebuah perhentian untuk berehat dan makan tengah hari. Ianya berhampiran dengan pekan Selangau.


Gadis penjual buah di Selangau

Suasana sepanjang perjalanan

Kami sampai ke Bintulu pada jam 3.30 petang. Suasana yang asing dan keadaan diri yang tidak tahu apa-apa menyebabkan saya dan Cikgu Kumaresan terpingga-pingga. Kesudahannya kami mengambil keputusan untuk berjalan kaki sahaja melewati bandar Bintulu dari terminal bas. Saya mengesyaki bahawa terminal bas Bintulu adalah jauh dari pusat bandarnya. Anggapan saya ini berdasarkan andaian bahawa kawasan yang kami lalui adalah seperti bandar baru dan bukannya seperti bandar Bintulu yang saya saya lihat di internet. Andaian saya ini tepat apabila kami diberitahu bahawa jarak dari terminal bas ke pusat bandar Bintulu adalah 4 kilometer !!!!!. Namun sewaktu berjalan - jalan kaki itu sempat juga kami merakamkan gambar kenangan di pintu masuk SMK Bintulu. SMK Bintulu merupakan sekolah di bawah pentadbiran bekas pengetua SMK Kapit iaitu Cikgu Ananthan A/L Subramaniam.

Hafez J.Malim di pintu masuk SMK Bintulu

Agaknya memang satu kemujuran pada kami, ketika fikiran buntu memikirkan soal hendak ke bandar Bintulu secara tiba-tiba berhenti sebuah kereta bertanyakan sama ada kami mahu ke bandar atau tidak. Tanpa banyak bicara kami menerima sahaja pelawaan pemilik kereta itu. Saya rasa itu ialah prebet sapu. Kami diberhentikan berdekatan dengan sebuah hotel mewah. Saya sendiri lupa dengan nama hotel tersebut. Kami memutuskan untuk berjalan-jalan dahulu sebelum mencari hotel bajet yang sesuai. Alhamdulillah, setelah berpusing-pusing di sekitar bandar kami telah berjaya menemui hotel yang sesuai dan berpatutan.

Sunlight Inn tempat penginapan kami selama dua malam

Tidak ada aktiviti menarik yang kami lakukan hari ini. Namun pada waktu petang kami berkesempatan menaiki bot menyeberangi sungai. Saya agak tertarik dengan bot penumpang ini kerana bentuknya yang direka dengan gaya tradisional. Pemandangan di sini menarik dan membuatkan hati saya yang gusar kembali tenang sedikit. Tambangnya juga agak murah iaitu hanya RM0.50 sen sahaja untuk sekali perjalanan. 

Bergambar berhampiran terminal penumpang Bintulu



Bot penambang yang menarik

Keadaan di dalam bot penambang


Pemandangan dari atas bot penumpang




Pada sebelah malamnya pula kami mengunjungi pasar malam Bintulu. Ianya seperti pasar malam di Sibu namun agak lebih kecil sedikit. Hajat di hati ingin mencari makan malam. Memang makan besar kami malam ini. Saya membedal dua bungkus nasi lemak, burger n seketul kepak ayam. Bertambah boroi lah saya nampak gayanya.. hahahahaha. Kami tidur awal malam ini. Mungkin kerana kepenatan menempuh perjalanan agaknya.


Hari Kedua ( 23 April 2011 - Sabtu )

Kumar bangun agak awal pagi ini. Saya pula masih terjelepuk di atas tilam. Sedap tidur kerana kepenatan. Tidak tahu kemana haluan hari ini. Namun saya memang ingin melihat laut di Bintulu. Tetapi bagaimana kami hendak kesana .... hanya Tuhan sahaja yang tahu betapa kami seperti orang buta yang berjalan tanpa tongkat. Kami bersarapan di sebuah restoran tidak jauh dari hotel penginapan kami. Saya mencuba roti canai Bintulu. Ternyata rasanya jauh berbeza dari roti canai mamak.

Mencuba roti canai Bintulu

Selepas bersarapan, kami mula meneroka sebahagian bandar Bintulu. Secara umumnya ia sebuah bandar yang lengkap. Sesuai dengan gelarannya iaitu ''Kota Tenaga Sarawak'', Bintulu terus berkembang dengan pesat. Namun ada juga beberapa perkara yang negatif dapat saya perhatikan. Saya dapat melihat jumlah waga asing ( Indonesia ) agak ramai di sini. Mereka ini dilihat sukar untuk dibezakan dengan warga tempatan. Secara tidak langsung ada bahaya yang tidak terlihat jika perkara ini terus menerus berleluasa. Kami melalui kawasan dataran yang dinamakan ''Espalanad Bintulu''. Ia agak luas dan berhampiran dengan pasar utama Bintulu. Dataran ini mungkin digunakan untuk acara-acara keramaian di Bintulu.

Espalanad Bintulu
Berdekatan dengan Esplanad Bintulu wujud sebuah tokong yang cantik. Kami sempat mengunjungi tokong ini dan membeli belah di dalamnya ( terdapat ruang yang disewa kepada peniaga di dalam tokong ini ). Tidak pula saya mencari nama tokong ini. Namun dari luarannya, ia memang sebuah monumen yang cantik dan mempunyai nilai estetika yang tinggi.

Kami meneruskan perjalanan ke pasar utama Bintulu. Saya begitu tertarik dengan pasar ini kerana kedudukannya yang berhampiran dengan jeti nelayan. Pasar ini juga berdekatan dengan Pasar Tamu Bintulu. Saya dan Cikgu Kumaresan sempat juga meninjau-ninjau kawasan pasar ini. Singgah sebentar di sebuah kedai cenderamata yang pelayannya seorang amoi yang manis... pujukan demi pujukan membuatkan kami cair...sehelai baju dan magnet peti ais dibeli juga oleh saya...hahahahaha.

 Pasar Utama Bintulu

Amoi cantik...
erm ...sumber tarikan yang baik untuk membeli di kedainya

Kami meneruskan langkah kami ke Tamu Bintulu yang terletak bersebelahan dengan Pasar Utama Bintulu. Pada pandangan saya, inilah keunikan Bintulu yang utama. Di sini kita akan melihat peniaga-peniaga bumiputera menjual pelbagai hasil tani mereka. Di sini juga kita dapat berjumpa dengan belacan Bintulu yang terkenal. Namun pada pandangan saya harganya terlalu mahal. Saya tertarik dengan deretan peniaga yang menjual udang - udang halus di dalam beg plastik. Harganya murah. Tidak pasti apa kegunaannya. Mungkin untuk dibuat cencaluk kot ...hahahaha.

Hafez J.Malim di depan pasar Tamu Bintulu

Bungkusan-bungkusan barang disusun kemas
sehingga membentuk satu susunan yang menarik

labu kundur ?

Udang halus dijual pada harga RM9 sekilogram

Kedudukan Tamu Bintulu ini berdekatan dengan jeti nelayan. Jadi secara tidak langsung segala aktiviti para pekerja jeti dan nelayan dapat dirakam oleh lensa kamera saya. Sebenarnya hati saya agak takut-takut untuk menangkap gambar di sini. Namun setelah Cikgu Kumaresan dengan slamber menangkap gambar maka saya pun terus jadi berani.

Pekerja jeti nelayan yang sporting

Haluan perjalanan kami diteruskan dengan menaiki bas awam meronda-ronda Bintulu. Hajat di hati ingin pergi ke Taman Negara Similanjau namun hasrat itu tidak dapat dilaksanakan kerana kedudukannya yang jauh. Lucu juga bila pemandu bas dan konduktor terpinga-pinga bila kami nyatakan hajat kami naik bas itu untuk pergi ke lokasi terakhir bas itu akan pergi dan kemudiannya kami mahu pulang ke stesen semula... mungkin mereka ingat kami ini orang gila. Hahahahahaha... namun itu realitinya. Dengan harga tiket RM2 untuk sehala kami benar-benar menikmati Bintulu dari kaca mata seorang pengembara. Dapat melihat laut dan industri gas dan petroleum sepanjang perjalanan membuatkan hati saya terfikir betapa betuahnya kita hidup di negara yang makmur ini.

Kami juga mengunjungi Tugu Peringatan Council Negeri Sarawak. Dari catatan pada batu peringatan tugu berkenaan menyatakan bahawa ianya dibina bagi memperingati mesyuarat Dewan Undangan Negeri yang diadakan pada 8 September 1867.

Tugu Peringatan Council Sarawak

Petang itu pula kami berjalan-jalan ke pantai Tanjung Batu. Dengan menaiki teksi kami berharap dapat menikmati keindahan laut Bintulu yang indah. Saya tidak membawa kamera kerana risau dengan suasana pantai berkenaan yang dikatakan antara lokasi berbahaya. Itu yang saya dengar dari kata-kata orang di perhentian bas. Namun segala anggapan itu jauh meleset dan ia menyebabkan saya menyesal yang teramat sangat kerana tidak membawa kamera. Syukur juga Cikgu Kumaresan ada membawa kamera.

Sebelum ke pantai, sempat juga kami berjalan kaki menuju ke Taman Tumbina. Ia merupakan taman yang dibina seperti mini zoo. Ada binatang-binatang yang sukar dijumpai boleh dilihat disini. Antaranya ialah harimau yang bernama Mikhail, seekor buaya bersaiz sejengkal jari, beruang madu, burung unta, rusa, burung helang dan beraneka jenis haiwan lagi. Terasa rugi pula kerana ketika kami sampai taman ini sudah hampir tutup namun pengawal keselamatan membenarkan kami berjalan-jalan di situ ( mungkin atas dasar kasihan ). Agak menyedihkan kerana kami tidak dapat melihat harimau yang bernama Mikhail itu. Kandangnya kosong. Kata Cikgu Kumaresan mungkin harimau itu tidur. Lucu saya mendengar kata-katanya. Namun kesempatan melihat burung unta secara dekat merupakan perkara yang tidak dapat saya lupakan sampai bila walaupun baunya agak busuk. Hahahahahaha.... ia merupakan aktiviti menziarahi binatang yang penuh dengan gaya santai.

Mikhail nya tiada... 
bergambar dengan posternya pun sudah memadai.

Menziarahi burung unta

Burung helang 

Akhirnya, kami sampai juga ke pantai. Bunyi ombak dan teriakan angin pantai bagaikan memanggil-manggil diri saya. Diakui disini, saya bukanlah seorang lelaki yang begitu mencintai pantai dan laut. Ini adalah kerana keasingan saya dari kehidupan tepi laut ( saya lahir dari daerah pinggir banjaran Titiwangsa ). Namun ada sesuatu yang mengusik naluri saya kali ini tentang laut. Jika ada peluang saya akan ceritakan usikan laut kepada saya dalam catatan akan datang. Sempat juga kami menikmati minum petang di sini. Hidangan rojak buah, milo blended dan air kelapa benar-benar menyelerakan saya dan Cikgu Kumaresan.

Ramai pengunjung di pantai ini. Saya benar-benar merasa puas di sini. Sukar digambarkan perasaan ini. Namun saya dapat merasakan kepuasan perjalanan apabila duduk melihat laut terbentang. 





Hafez J.Malim di tepi laut

Kami tidur agak awal malam ini. Namun makan malam tetap dengan nafsu yang tinggi. Saya tidur puas malam ini ditambah pula dengan seseorang yang membalas SMS saya kembali setelah lama menyepi, ia membuatkan saya makin ceria.

Hari Ketiga ( 24 April 2011 - Ahad )

Hari terakhir di Bintulu. Bangun agak lewat dan menikmati minum pagi dengan rasa yang tenang. Kami tidak merancang untuk kemana-mana pun hari ini. Niat hati hanya mahu bersiar-siar sahaja. Sempat juga kami membeli belah pagi ini. Saya dan Cikgu Kumaresan membeli sepasang kasut kulit berjenama. Lucu juga bila memikirkan apa yang kami beli. Namun mungkin ia akan kekal sebagai kenangan yang terbaik. Hujan turun dengan agak lebat pagi ini. Tepat jam 10.30 pagi kami keluar dari hotel dan menaiki teksi ke terminal bas Bintulu menuju ke Sibu. Bas yang kami naiki bergerak tepat jam 11.45 pagi. Sekali lagi saya menikmati perjalanan selama 3 jam yang sunyi dengan deretan rumah panjang yang sepi terhidang sebagai pemandangan mata saya.

Bergambar di Terminal Bas Bintulu

Tepat jam 3.30 petang kami sampai ke Sibu dalam suasana hujan yang lebat. Malam ini kami bermalam di Sibu sebelum bergerak pulang ke Kapit pada hari esok.... malam itu ketika ingin memejamkan mata sebelum tidur fikiran saya menerawang jauh memikirkan sesuatu .... laut, pantai, sahabat, wanita idaman dan bermacam-macam perkara masuk ke otak saya. Sukar untuk saya jangkakan ... namun seseorang telah membuatkan saya jatuh cinta dengan laut, pantai dan ombak. Mungkin juga saya jatuh cinta kepadanya .... ermmmm.... Bintulu, saya akan mengenang tempat ini sebagai sebuah perjalanan yang penuh perjuangan !!!!!


Monday, April 18, 2011

DAULAT TUANKU


MERAFAK SEMBAH SETINGGI-TINGGI TAHNIAH
KE BAWAH DULI YANG MAHA MULIA
PADUKA SERI SULTAN AZLAN MUHIBBUDDIN SHAH
IBNI ALMARHUM SULTAN YUSSUF IZZUDDIN SHAH GHAFARULLAHU-LAH
SULTAN, YANG DI-PERTUAN DAN RAJA PEMERINTAH NEGERI PERAK DARUL RIDZUAN DAN SEGALA JAJAHAN TAKLUKNYA
SEMPENA HARI KEPUTERAAN BAGINDA KE-83
PADA 19 APRIL 2011 
 DAULAT TUANKU
 
dari : indahrasajmalim.blogspot.com

Sunday, April 17, 2011

Perempuan



Katakanlah wahai perempuan
bahawa dirimu itu tidak mencintaiku
Aku akan pergi
tanpa sebarang bantahan
dan tangisan lagi
itu kerana 
aku mengerti

AKU BUKAN LELAKI PILIHAN

Katakanlah wahai perempuan
apa yang bersarang di hati nurani mu

Aku akan mendengar
dengan telinga tuliku
kerana aku tahu
dan memahami 

AKU YANG KAU ANGGAP BERSALAH

Katakanlah wahai perempuan
apa yang menarik di sifat 
dan zahir mu

Aku akan melihat
setiap sudut tubuhmu yang ranum
dan aku akan sedari

IANYA NIKMAT DUNIA YANG TAK KU KECAPI LAGI

Perempuan yang indah
aku ialah lelaki 
yang sentiasa mengecil bahasanya
bila di hatiku terlintas SAYANG padamu

Perempuan yang indah
melintaslah di hadapan mataku selalu
dan setiap hari
yang mampu terluah dariku
hanyalah pandangan mata
dan luahan hati senyapku
 AKU MENCINTAIMU

kau akan jijik mendengarnya 
jelingan mu aku pasti
yang kudengar dari desir sepatu mu ialah

KAU LELAKI YANG PENGECUT !
Maafkan aku perempuan yang tercinta
aku terlalu BODOH dengan perasaan ini
ia menjadi lelucon

SEORANG LELAKI BODOH
YANG TIDAK TAHU
MELUAHKAN PERASAAN !!!!







Sunday, April 10, 2011

Kapit : Sekitar Kempen Pilihanraya Negeri

Pada pandangan saya, suasana kempen pilihanraya negeri dilihat masih tenang dan harmoni. Tidak ada insiden - insiden pergaduhan atau aktiviti membaling botol dan mensabotaj kempen pihak lawan yang masuk ke telinga saya. Semuanya berjalan dengan aman dan biasa-biasa sahaja. Mungkin inilah yang dinamakan nikmat perpaduan yang terjalin kukuh dalam hati dan sanubari warga Sarawak walaupun berbeza latar pegangan politik.

Saya sempat meninjau suasana ketika hari penamaan calon yang dijalankan di Dewan Suarah Kapit pada beberapa hari yang lepas. Saya cuma meninjau sekilas waktu sahaja kerana kekangan waktu. Apa yang dapat disimpulkan ialah, jumlah penyokong BN adalah 20 kali ganda melebihi penyokong Parti Keadilan Rakyat. Bendera dan kain rentang BN mendominasi kawasan penamaan calon. Kejutan besar berlaku di kerusi N.54 Pelagus apabila calon BN iaitu Stanley Unja bukan sahaja akan ditentang oleh calon PKR ( Edward Sumbang ) tetapi juga oleh calon bebas ( George Lagong ). Bagi kerusi N.56 Balleh, penyandangnya dari BN iaitu Datuk Seri James Jemut Masing dijangka tidak akan menghadapi kesukaran bagi mempertahankan kerusi yang diwakilinya apabila beliau hanya ditentang oleh Bendindang Manjah dari PKR.





Suasana sekitar hari penamaan calon.


Selepas sahaja penamaan calon, perang poster sudah mula kelihatan. Apa yang dapat saya simpulkan disini ialah jentera BN dilihat lebih awal menampal dan memasang poster dan bendera di kawasan-kawasan strategik. BN juga berjaya memenangi perang poster di sekitar bandar Kapit. Namun demikian secara sepintas lalu masih boleh juga dilihat bendera PKR ( poster calonnya masih tiada ) terselit di celah-celah bendera dan poster BN. Pada hari ini pula, calon bebas bagi kerusi N.54 Pelagus sudah mula menjalankan kempennya. Dapat dilihat poster dan kain rentangnnya di sekitar Kapit.

Poster BN di Bulatan Gereja Khatolik Kapit

Kempen melalui papan tanda berhampiran dengan bangunan SESCO Kapit

erm..... hidup segan mati tak mahu ...

Kain rentang calon bebas


Suasana di Kapit Square

Pemandangan di Jeti Balleh/Pelagus


Pemandangan sekitar Terminal Penumpang Kapit

Perang poster dan pemidang juga boleh dilihat pada kenderaan-kenderaan persendirian. Rami pemilik kenderaan dilihat menzahirkan sokongan yang tidak berbelah bhagi kepada calon BN. Demikian juga dengan pemilik-pemilik van. Jika sokongan begini berterusan tidak mustahil laluan BN untuk mengekalkan kerusi N.54 Pelagus akan menjadi mudah. Namun demikian, BN seharusnya tidak boleh alpa dengan startegi pihak lawan. Undi kepada BN dilihat mungkin akan berpecah akibat dari penyertaan calon bebas yang dilihat mewakili proksi lama bekas ADUN Pelagus sebelum ini. Jika dikira dari matematik mudah, tidak mustahil calon PKR boleh makan besar andainya benar-benar undi protes atau undi berubah berlaku dikalangan pengundi.

Namun itu hanya andaian saya semata-mata. Saaya yakin masyarakat Kapit, khususnya di DUN Pelagus mengetahui siapa yang lebih layak meneraju mereka ke arah kemajuan. Dari khabar-khabar angin yang bertiup, berkemungkinan YAB Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Najib Bin Tun Haji Abdul Razak akan mengunjungi Kapit dalam masa yang terdekat. Tidak mustahil, sentuhan akhir Perdana Menteri mampu menguatkan lagi azam dan semangat jentera BN untuk bekerja. Dan jika benar kunjungan ini berlaku, saya  dan warga blogers Bahagian Kapit mengucapkan selamat datang PM ke bahagian Kapit !!!!! PERMATA HIJAU BUMI KENYALANG