BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Sunday, October 28, 2012

Mengenang Suatu Masa Yang Telah Berlalu 1


Menjadi Kedi Di Kelab Golf Batang Padang

Logo Kelab Golf Batang Padang

Rumah saya di Bidor terletak tidak jauh dari Kelab Golf Batang Padang ( KGBP ). Sedari kecil lagi saya sudah terbiasa melihat abang-abang sepupu dan rakan-rakan mereka pergi ke padang golf berkenaan untuk menjadi kedi. Ketika itu bekerja sebagai kedi hanya dilakukan pada sebelah petang dan pada hujung minggu. Bagi anak-anak muda sekitar Bidor dalam lingkungan usia 12 hingga 20 tahun, menjadi kedi merupakan satu kerja yang sangat lumayan. Jika kena pada masanya, seorang kedi boleh mendapat bayaran sehingga RM25 sehari. Ketika itu jumlah berkenaan sudah cukup lumayan bagi kami.

Gambar Hiasan menunjukkan
seorang kedi dan pemain golf

Mulanya saya memang tidak mahu menjadi kedi. Namun saya selalu juga ke padang golf berkenaan untuk bermain-main. Jika tidak pun sekadar berjalan-jalan bersama teman di waktu petang. Tidak terlintas dihati ini untuk menjadi kedi. Tambahan pula cerita-cerita pembulian yang sering dilakukan oleh kedi senior kepada kedi junior memang menakutkan diri saya. Maklumlah ketika itu saya masih bersekolah rendah.


Hinggalah pada suatu petang, saya dipelawa oleh seorang teman untuk mengikutinya mengambil upah mengutip bola golf di padang latihan kelab golf berkenaan. Anehnya, saya menerima pelawaannya itu tanpa sebarang bantahan. Itulah kali pertama saya merasakan seronoknya mendapat upah. Masih saya ingat lagi upah pertama yang saya terima ialah RM2.50. Seronok rasanya mendapat duit. Namun saya tidak menceritakan hal saya mengutip bola golf ini kepada emak dan ayah. Perasaan bimbang dimarahi begitu bersarang di hati.


Esoknya saya ke padang golf semula dan seperti semalam saya pulang dengan RM2.50 juga. Lama kelamaan saya mula merasa seronok mengambil upah mengutip bola golf ini. Namun kadangkala saya juga pulang hampa kerana tiada pemain golf yang mahukan khidmat mengutip bola dari saya dan teman-teman. Selain itu, persaingan juga agak sengit antara kami. Masing-masing berebut-rebut menawarkan khidmat mengutip bola. Seingat saya, jumlah upah paling tinggi yang pernah saya terima ialah sebanyak RM5. Berbunga-bunga perasaan hati ini apabila melihat not bewarna hijau diserahkan kepada saya. Terasa begitu lumayan nilai RM5 pada diri saya ketika itu.


Membuli

Saya terus mengambil upah mengutip bola golf sehingga ke darjah enam. Ayah dan emak juga lama-kelamaan tidak begitu kisah dengan kegiatan saya itu. Cuma mereka berharap agar saya tidak leka dalam pelajaran. Saya juga tidak takut dibuli kerana padang latihan di padang golf berkenaan terletak agak jauh dari rumah kedi. Tambahan pula, kedi-kedi senior kurang berminat untuk mengambil upah mengutip bola golf kerana upahnya begitu kecil dan tidak setimpal dengan kudrat yang tercurah.

Rasanya pada pertengahan tahun 1996, sepupu saya yang dipanggil Awie mengajak saya untuk menjadi kedi. Beliau sudah setahun menjadi kedi sedangkan usianya pada ketika itu baru menginjak 11 tahun. Agaknya beliau kasihan melihat saya hanya mendapat upah yang kecil sewaktu mengutip bola golf. Mulanya agak gentar juga hati saya namun setelah dipujuk beberapa kali akhirnya saya mengalah walaupun hakikatnya saya harus bersedia untuk dibuli !


Satu set golf dan troli

Pada mulanya agak kekok juga menjadi kedi. Dengan usia yang masih muda dan bentuk badan yang kecil saya hanya mampu menarik troli beg golf yang sangat berat. Pada ketika itu saya terdaftar sebagai kedi gred C di kelab golf berkenaan. Penyelia kedi pada ketika itu ialah seorang tua yang dipanggil Pak Ali. Agaknya memang nasib menyebelahi diri saya, Pak Ali ini walaupun garang namun agak baik dengan saya. Dengan sendirinya saya dipanggil dengan gelaran “anak angkat” Pak Ali. Berbekalkan gelaran itulah saya selamat dari menjadi mangsa buli. Hehehehe. Namun sesuatu yang pasti ialah saya selamat kerana saya dilindungi oleh abang-abang sepupu saya yang sememangnya tidak akan membiarkan saya diusik sewenang-wenangnya.


Menjadi kedi merupakan pekerjaan yang nampak seperti mudah namun memerlukan kekuatan fizikal dan mental. Lumrahlah jika dimarah, dimaki dan dihina oleh si pemain golf dengan kata-kata yang tidak sedap didengar. Namun sepanjang kehidupan saya sebagai seorang kedi, hanya bangsa kita sendiri yang kerap mengherdik dan memaki anak bangsa sendiri dengan semahunya hati. Agaknya mereka merasakan diri mereka terlalu hebat dan besar apabila bemain golf ini. Kami budak-budak kedi tidak pernah ambil pusing hal caci maki ini walaupun hati bagai bernanah diperlakukan sedemikian rupa. Memang kami sedar taraf kami dan mereka bagai langit dan bumi.

Saya pernah mengalami satu kejadian dimana sewaktu menjadi kedi kepada Encik A, sarung tangan yang baru dibeli oleh beliau untuk bermain golf telah tercicir. Hal ini tidak disedari sehinggalah keesokan harinya barulah beliau tersedar yang sarung tangan barunya telah tiada lagi. Kebetulan pula sepupu saya telah menjumpai sarung tangan berkenaan dan memaklumkan kepada saya untuk memulangkannya kepada Encik A itu tadi.

Ditampar dan dihina

Sayangnya, Encik A telah bertindak lebih awal dengan menyatakan saya telah mencuri sarung tangannya. Sampai suatu ketika beliau telah menampar muka saya dengan begitu marah malah melemparkan kata-kata cacian yang menghina keluarga saya. Allah SWT sahaja yang tahu bagaimana perasaan saya ketika itu.  Saya terus pulang ke rumah tanpa menceritakan kejadian itu kepada keluarga. Akhirnya sarung tangan itu dipulangkan oleh sepupu saya 2 jam selepas kejadian saya ditampar dan menceritakan kepada Encik A hal yang sebenar. Perkara  ini menimbulkan rasa kesal pada Encik A. Beliau ada berjumpa saya untuk meminta maaf dan bagi seorang anak kampung yang punya maruah diri, saya hanya tersenyum tanpa berkata sepatah kepadanya. Hal itu saya diamkan sahaja dan tinggal sebagai sebuah kenangan yang pahit.


Rupanya kisah ini masih belum berakhir, beberapa tahun yang lepas saya terserempak dengan Encik A di sebuah pasar minggu bersama isterinya. Beliau sudah agak berumur dan berjalan menggunakan tongkat. Saya memandangnya dari jauh dan pandangan kami bertemu. Saya menegurnya dan memperkenalkan diri sebagai kedi yang pernah ditamparnya dahulu. Terkejut isterinya melihat air mata Encik A mengalir deras dari pipi selepas bertemu dengan saya. Benar, selepas melihat keadaanya saya terus memaafkan segala perbuatannya kepada diri saya dahulu. Namun sebelum berlalu sempat saya titipkan kepada sebagai akhir segala krisis yang pernah berlaku dahulu.

                “Saya boleh sahaja menampar muka pakcik sampai mati sekarang ini juga jika mengenang apa yang pernah pakcik lakukankepada saya tetapi saya tidak mahu. Biarlah Allah menjawab untuk saya diakhirat nanti apa yang terkandung dihati saya untuk pakcik”

Beliau termanggu dan air matanya mengalir deras. Saya terus berlalu tanpa memandangnya. Benar dunia ini ibarat roda, sebentar diatas dan sebentar kita dibawah.

Namun tidak semua pemain golf suka memaki kedinya. Ada yang muncul sebagai individu yang sangat dihormati oleh kedi-kedi di kelab berkenaan. Individu-individu seperti ini lazimnya mendapat perhatian yang sangat hebat dari para kedi. Biasanya kami akan berebut-rebut menawarkan khidmat kedi kepada mereka. Upah menjadi kedi ini sangat lumayan. Satu pusingan 9 lubang kami akan mendapat upah sekitar RM5 sehingga RM15. Pernah saya mendapat upah RM35 bagi dua pusingan 18 lubang. Nilai purata pendapatan seorang kedi pada ketika itu ialah RM 90 seminggu. Bagi seorang anak remaja seperti saya, jumlah itu amatlah besar dan bernilai !

Menjadi kedi menjadikan saya seorang yang cekap dengan persekitaran. Selain dari tumpuan pada arah perginya bola golf, saya juga dapat melatih diri mengesan arah angin dan jarak sesuatu lubang dari tempat pukulan. Kemahiran-kemahiran seperti mengesan bola golf di semak juga dipraktiskan disini. Paling penting struktur tubuh juga menjadi sihat akibat bebanan kerja yang berat.

Saya terus menjadi kedi sehingga berhenti rehat dalam tingkatan tiga kerana menumpukan sepenuh perhatian pada peperiksaan Penilaiaan Menengah Rendah pada tahun 1999. Pada ketika itu saya sudah menjadi kedi gred B. Rupa-rupanya, rehat saya sebagai kedi berlanjutan sehingga ke tingkatan 4. Saya tidak lagi menjejakkan kaki ke padang golf selepas itu. Tidak tahu kenapa, namun yang pastinya saya lebih selesa membuat aktiviti yang lain seperti bermain bola sepak dan berlibur malam bersama teman-teman. Tambahan pula, teman-teman lama kebanyakannya sudah ramai yang berhenti dari menjadi kedi.

Menjelang pertengahan tahun saya di tingkatan 4, ketika ramai teman-teman lama sudah lama berhenti menjadi kedi, saya pula mengambil keputusan untuk menjadi kedi untuk kali yang keduanya. Namun kini segalanya berubah. Pak Ali sudah tidak lagi bekerja di kelab golf berkenaan. Ramai teman-teman sudah tidak lagi menjadi kedi. Yang anehnya kini yang ramai menjadi kedi ialah anak-anak masyarakat orang Asli yang banyak mendiami kawasan kem Pasukan Gerakan Am ( PGA ) yang terletak tidak jauh dari padang golf berkenaan. Ini secara tidak langsung menimbulkan masalah baru kepada kedi-kedi lama kerana pemain-pemain golf lebih berminat mendapatkan khidmat kedi orang Asli yang penawaran upahnya jauh lebih rendah dari kami.

Saya dinaikkan taraf sebagai kedi gred A pada ketika ini. Namun sejujurnya kemahiran saya sebagai kedi tidaklah setaraf dengan gred A saya itu kerana saya sudah lama meninggalkan alam kedi ini. Tempat berkumpulnya kedi yang suatu ketika dahulu meriah dengan gelak ketawa kami bermain judi daun terup juga sudah semakin sunyi. Benar ketika tahun 2000 hingga 2001 jumlah kedi Melayu di kelab golf berkenaan semakin menyusut.

Akhirnya menjelang tahun 2001 ketika saya di tingkatan 5, saya juga turut angkat kaki sebagai seorang kedi. Selain dari memikirkan soal peperiksaan SPM yang akan menjelang tiba, saya juga dihantui dengan beban perasaan kejadian kes saya dengan Encik A yang seterusnya mematikan niat saya untuk terus menjadi kedi. Selepas itu saya memang tidak ambil peduli lagi dengan padang golf berkenaan. Tinggallah beberapa orang rakan yang terus tabah bertahan menjadi kedi disitu.

Beberapa tahun selepas itu, saya terdengar cerita yang kelab golf berkenaan telah menggunapakai kenderaan automatik bagi kegunaan pemain-pemain golf mudah untuk bergerak dan membawa peralatan golf mereka. Teman-teman yang masih bertahan sebagai kedi memanggil kenderaan itu sebagai “babi’ . Tidak tahulah kenapa ia digelarkan sedemikian rupa. Beberapa orang teman yang tertahan itu juga akhirnya terpaksa mengalah dan meninggalkan terus pekerjaan sebagai kedi tidak lama selepas itu. Saya mengira faktor usia juga memainkan peranan. Kebanyakan dari kami pada ketika itu sudah mencapai usia hampir malah melebihi 20 tahun. Tarikan kepada perkara-perkara lain lebih memikat hati kami dalam usia sedemikian.

Walaupun saya sudah lama meninggalkan pekerjaan ini namun kerinduaan saya terhadapnya kadangkala muncul secara mendadak. Kadangkala ketika menonton perlawanan atau kejohanan golf di televisyen, ada juga teman-teman yang merasa hairan melihat saya dapat menghuraikan maksud beberapa perkataan yang dikaitkan dengan permainan golf seperti par, bogey, handicap, jenis –jenis kayu dan bermacam-macam lagi seolah-olah saya pernah bermain golf. Saya hanya tersenyum dan berkata, inilah hasil dari apa yang pernah saya lakukan semasa alam remaja saya. Saya tidak pernah malu dan segan untuk menyatakan saya dahulu adalah seorang kedi. Ya benar … seorang kedi yang pernah ditampar dan dikeji oleh Encik A …..

Melawat Semula Tempat Mencari Rezeki

Pintu masuk ke KGBP

Ada juga sesekali saya melawat semula padang golf yang pernah menjadi lubuk rezeki kami anak-anak kelas bawahan di Bidor . Keadaannya sudah jauh berubah malah boleh dikatakan agak suram. Masih ada juga pemain-pemain golf yang beraksi disini namun ia tidaklah semeriah dahulu.


Jalan masuk


Rumah kedi yang tertinggal sepi

Rumah Kedi yang menjadi tempat kami berkumpul mendaftarkan diri sebelum bertugas juga terbiar tanpa pembelaan. Seolah-olah menantikan saat untuk roboh. Disitulah dahulu berkumpulnya anak-anak muda yang datang dari pelbagai jenis keluarga yang punya ribuan cerita susah dan senang.

Di rumah kecil itu tersimpan cerita tentang rokok, ganja, judi, buli, persahabatan dan krisis. Seolah-olah masih terlihat pada pandangan mata saya susunan basikal yang sederet di tempat meletak basikal di koridor rumah berkenaan. Masih terbayang seolah-olah Pak Ali sedang menyapu habuk rokok dan sampah yang bertaburan di lantainya sambil mulutnya memaki-maki kami sedangkan dihatinya Allah sahaja yang tahu betapa baiknya beliau kepada kami. Betapa riuh dan meriahnya ketika itu.


Kawasan saya mengambil upah mengutip bola golf


Kini saya sendiri sudah hampir ke usia 30an. Malah ada kedi-kedi senior saya dulu sudah mencapai usia 40an. Masing-masing sudah meninggalkan alam kedi. Rasanya mungkin saya antara generasi terakhir kedi Melayu di Bidor. Tidak pula saya mengetahui sama ada masih ada yang menjadi kedi namun jika dilihat dari situasi semasa ramai anak-anak Bidor kini  langsung tidak berminat menjadi kedi.


Tempat meletak kenderaan
Dahulunya dihujung atas kiri gambar
merupakan tempat kami melepak


Kelab Golf Batang Padang tempat saya mencari rezeki

Saya berhenti sejenak dipinggir kawasan lapangan golf yang hijau itu pada suatu petang yang kering. Mata saya tertumpu pada sekumpulan pemain golf yang berjalan perlahan. Hati saya tiba-tiba menjadi sebak …. Dan air mata saya tumpah …. Dahulu saya seorang kedi… benar saya seorang kedi !

Sunday, October 21, 2012

Prolog Mengenang Suatu Masa Yang Telah Berlalu


Inilah Hidup Saya



Inilah hidup saya ... nuansanya seringkali berubah dalam pelbagai irama dan episod yang tidak pernah saya duga. Melalui setiap perjalanan hidup dengan pelbagai kisah manis, gelap dan sebagainya memberikan saya sejuta satu makna yang tidak ternilai harganya. Inilah yang mendewasakan saya sehingga terlihat seperti hari hari ini. Bila memandang diri di cerminan, saya tahu saya kini sudah menjauh meninggalkan alam kenangan saya yang silam, dan ia tidak akan dicapai lagi sampai bila-bila.

Benar juga kata pujangga... masa seringkali mencuri setiap saat indah yang pernah kita lalui, namun masa juga seringkali mengembalikan setiap kenangan itu walaupun dalam bentuk yang jauh berubah.

Bila membelek semula gambar-gambar lama, terasa seperti baru semalam sahaja saya meninggalkan alam remaja saya. Zaman remaja saya bukanlah suatu yang boleh dibanggakan dengan cerita-cerita yang indah. Dahulu saya adalah anak remaja yang bertarung dengan nasib dan keringat. Hidup didalam keluarga yang berpendapatan rendah tidak memungkinkan saya menikmati kesenangan dan kemewahan. Inilah yang menjadikan saya lebih awal menempuh alam pekerjaan. Sedari usia 10 tahun lagi saya sudah mula bergelar ‘buruh kanak-kanak’ …. Dan sehingga kini sudah berbagai-bagai pekerjaan sudah saya lakukan namun saya tidak pernah menyesal.

Saya merasakan bahawa segala pengalaman dan kenangan saya dialam pekerjaan sejak dari zaman remaja saya begitu unik dan penuh dengan warna-warni. Elok rasanya saya kongsikan cebisan-cebisan kenangan itu sebagai satu wadah bacaan untuk sesiapa sahaja yang sudi membacanya di blog perkongsian ini. Siapa tahu apa yang pernah dilalui oleh saya turut juga pernah dirasai oleh sesiapa sahaja di luar sana.

InsyaAllah beberapa siri catatan dengan judul “MENGENANG SUATU MASA YANG TELAH BERLALU” akan saya siarkan untuk tatapan kita bersama di blog ini. Bukan mahu membuka pekung di dada cuma harapannya satu supaya kita tahu bahawa hidup tidak semudah seperti kita jangkakan.

 Inilah cerita saya dan apa yang pernah saya lalui …. Sekadar berkongsi cerita bahawa hidup adalah sebuah perjuangan.


SELAMAT MEMBACA



Thursday, October 11, 2012

Ziarah Makam Lama 5 - Misteri Batu Nisan Acheh Di Pulau Juar

Selepas melakukan perjalanan ziarah ke beberapa makam lama di sekitar daerah kecil Kampung Gajah beberapa hari sebelumnya, saya kini merangka sebuah lagi perjalanan terbaru. Kali ini saya tidak lagi bersendirian. Saya membawa adik bongsu yang bernama Ahmad Hidayat untuk menemani. Cuma yang merisaukan saya ialah kondisi motosikal buruk saya yang sudah berusia 24 tahun. Harap-haraplah perjalanan kali ini tidak akan membawa sebarang masalah. 

Kami bergerak dari rumah pada jam 11 pagi. Dari Bidor kami singgah sebentar di Teluk Intan untuk mengisi perut disamping menyelesaikan beberapa perkara penting. Terasa berselera kami berdua menikmati hidangan nasi kandar di Restoran Nasi Lambai di persisir Sungai Perak yang amat terkenal di Teluk Intan. Sesekali bila pulang ke Sememenanjung dan berkunjung ke Teluk Intan memang saya tidak akan melepaskan peluang untuk menikmati nasi kandar di restoran ini. Terus terang saya katakan bahawa saya memang "penagih" tegar nasi kandarnya !

Nasi kandar Restoran Nasi Lambai Teluk Intan

Usai sahaja menikmati makan tengah hari, saya dan Hidayat bergegas menunaikan solat Zohor di masjid Sultan Idris II Teluk Intan. Nama masjid ini diambil bersempena dengan nama Almarhum Sultan Idris al-Mutawakkil Alallahi Shah ibni al-Marhum Sultan Iskandar Shah Kadasallah iaitu sultan pemerintah negeri Perak Darul Ridzuan yang ke-33. Saya gemar singgah bersolat dan berehat di masjid ini jika berkunjung ke Teluk Intan. Suasananya sejuk dan mendamaikan hati hingga terkadang saya terlelap sebentar disini. Tidak tahu pula mengapa saya berperasaan sedemikian. Namun masjid ini memang punya tarikannya yang tersendiri pada diri saya.

Masjid Sultan Idris II Teluk Intan

Selepas bersolat, kami berdua mula bergerak ke Kampung Gajah. Saya berdoa didalam hati agar hujan tidak turun sepanjang perjalanan ini. Keyakinan saya terhadap motosikal buruk saya agak tinggi walaupun kondisi enjinnya tidak lah begitu baik. Berbekalkan keyakinan dan harapan, saya menyerahkan segalanya kepada Allah SWT. Perjalanan begitu lancar walaupun kami tidak menunggang motorsikal dengan laju. Sepanjang perjalanan saya akan menceritakan kepada Hidayat tempat-tempat menarik atau kawasan yang mempunyai sejarahnya yang tersendiri. Sekurang-kurangnya dapat menyemai minatnya  terhadap sejarah keluarga dan negeri nya sendiri Perak Darul Ridzuan.

Hampir sejam memandu motosikal kami mula memasuki daerah Perak Tengah. Sasaran saya kali ini ialah untuk ke Kampung Pulau Juar. Saya tidak menghadapai masalah untuk mencari kampung ini kerana ianya terletak di kiri jalan menuju ke pekan Kampung Gajah dari arah Teluk Intan. Masyarakat tempatan dengan loghat Perak yang pekat memanggil nama kampung ini dengan sebutan Kampung Pulo Juor atau Kampung Pulo Juoy. Saya rasa pasti ada diantara pembaca blog ini yang masih mengingati kartunis Boy P.J yang popular menerusi siri kartun "Malaysia Meriah" di majalah Gila-Gila pada sekitar tahun 90an. Jika tidak silap saya di sinilah beliau dibesarkan dan singkatan P.J pada namanya samarannya adalah merujuk kepada kampung Pulau Juar ini.

Kartunis Boy P.J
( kredit : http://rozaneem.blogspot.com untuk gambar )

Saya meminta Hidayat membantu mencari simpang masuk ke Sekolah Kebangsaan Pulau Juar kerana sekolah berkenaan merupakan pintu masuk kepada makam dua orang sultan pemerintah negeri Perak. Akhirnya kami menjumpai simpang berkenaan. Sekolah berkenaan terletak agak terkedalam sedikit dari jalan utama. Ketika sampai pintu pagarnya tertutup. Barulah saya teringat ini musim cuti sekolah. Saya menjenguk ke pondok pengawal keselamatan. Syukur pengawal keselamatannya masih ada. Selepas memberikan salam, saya memaklumkan tujuan kehadiran saya. Tanpa paksaan beliau menunjukkan arah ke makam dua orang sultan berkenaan. 


Pintu masuk ke Sekolah Kebangsaan Pulau Juar

Terdapat papan tanda yang menunjukkan arah makam. Kawasan makam ini rasanya terletak di atas tanah persendirian. Makam yang akan kami kunjungi pada kali ini ialah makam Almarhum Sultan Abdullah Muadzam Shah Ibni Almarhum Sultan Abdul Malik iaitu sultan pemerintah Perak yang ke-20 dan makam Almarhum Sultan Jaafar Muaddzam Shah iaitu sultan pemerintah Perak yang ke-23. Namun sesuatu pasti ialah kami melalui keadaan yang sukar untuk sampai ke kawasan banggunan kepuk makam kerana keadaan kawasannya yang agak bersemak tebal. Namun itu tidak mematahkan hajat kami untuk berziarah.

Bergambar di hadapan papan tanda menuju ke makam

Keadaan lorong menuju ke kawasan 
banggunan kepuk makam

Akhirnya banggunan kepuk makam semakin hampir

Syukur setelah hampir sepuluh minit menempoh jalan yang bersemak samun akhirnya kami sampai ke kawasan bangunan makam. Persekitarannya kelihatan tidak berjaga. Lalang-lalang liar dan semak samun menghiasi pemandangan kami. Namun keadaan bangunan kepuk makamnya jauh lebih baik jika dibandingkan dengan beberapa makam yang saya ziarahi sebelum ini. Yang menariknya papan tanda keterangan makam yang disediakan oleh pihak Muzium Negara masih jelas dan terang tulisannya. Secara tidak langsung fakta dan cerita berkenaan dengan kedua-dua Almarhum sultan ini dapat diketahui oleh pengunjung yang berziarah.

Makam pertama yang kami ziarahi ialah makam Almarhum Sultan Abdullah Muadzam Shah Ibni Almarhum Sultan Abdul Malik Mansur Shah. Baginda merupakan sultan Perak yang ke-20 dan memerintah dari tahun 1825 hingga  ke tahun 1830. Sebenarnya, baginda mangkat di Teluk Kepayang dan dimakamkan disana. Namun makamnya telah dipindahkan ke Kampung Pulau Juar ini ( tempat sekarang ) setelah makamnya hampir terjatuh ke sungai akibat hakisan. Baginda bergelar Marhum Khaliullah. Mungkin itu jugalah sebabnya makam baginda agak rendah jika dibandingkan dengan kepuk makam milik Armarhum Sultan Jaafar Muaddzam Shah di sebelah yang juga merupakan anakanda saudara baginda.

Papan tanda makam

Sultan Abdullah Muadzam Shah ini merupakan kekanda kepada Raja Kechil Tengah Ahmad yang batu tanda makamnya di Kampung Pulau Besar telah saya ulas dalam siri ziarah yang lepas. Baginda bertanggungjawab melantik adindanya Raja Ahmad menjawat jawatan Raja Kechil Tengah. Semasa pemerintahan baginda jugalah Sungai Bernam telah dijadikan sebagai sempadan semulajadi antara negeri Perak dan Selangor. 

Batu nisan makam Almarhum 
Sultan Abdullah Muadzam Shah


Saya tercari-cari juga maklumat berkaitan dengan zuriat baginda yang menjadi raja bergelar negeri Perak namun kelihatannya tidak ada. Mungkinkah baginda tiada berputera ? .... hanya Allah SWT sahaja yang mengetahui. Terdapat juga makam kaum kerabat baginda yang terletak didalam satu kepuk makam yang sama. Namun tidak pula tergerak hati saya untuk mengambil gambarnya. Itulah yang menjadi kekesalan saya sehingga ke hari ini. Namun tidak mengapa kerana saya berjanji suatu hari nanti saya akan datang berziarah semula ke makam ini.

Tulisan pada batu nisan makam

Kepuk makam bersebelahan pula ialah milik sultan Perak ke-23 iaitu Almarhum Sultan Jaafar Safiuddin Muadzam Shah Ibni Almarhum Raja Kechil Tengah Ahmad. Baginda memerintah Perak bermula dari tahun 1857 sehingga tahun 1865. Baginda diangkat menjadi sultan selepas kemangkatan Sultan Abdullah Muhammad Shah I ( marhum Durian Sebatang ). Namun sesuatu yang pasti sememangnya telah berlaku perselisihan faham antara baginda dengan Sultan Abdullah Muhammad Shah I. Pada pendapat saya, bermula dari krisis inilah perebutan takhta kesultanan Perak mula berlaku dan ia berlanjutan sehinggalah membawa kepada penjajahan Inggeris di negeri Perak.

Papan tanda makam

Dalam tempoh 8 tahun pemerintahan baginda, negeri Perak berada dalam keadaan huru hara akibat dari pecahnya Perang Larut pertama ( 1861 - 1863 ) dan Perang Larut Kedua ( 1865 ) antara kongsi gelap Hai San dan Geee Hin bagi merebut kawasan perlombongan bijih timah. Daerah Larut pada ketika itu ditadbir oleh Tengku Menteri Ngah Ibrahim Ibni Long Jaafar. Perang Larut pertama berjaya diamankan secara baik oleh baginda dan Tengku Menteri Ngah Ibrahim. Namun pada perang Larut kedua ternyata baginda dan Tengku Menteri Ngah Ibrahim tidak mampu mengamankan keadaan. Dengan takdir Allah SWT ketika berlakunya huru hara ini baginda mangkat di Durian Sebatang pada tahun 1865 dan dimakamkan di Kampung Pulau Juar seperti yang terlihat pada hari ini. Baginda bergelar "marhum wali Allah".

Makam Almarhum Sultan Jaafar Safiuddin
Muadzam Shah

Baginda dikurniakan 2 orang putera dan 3 orang puteri hasil dari perkahwinan baginda dengan Wan Mahtra Binti Laksamana Tok Bongkok. Salah seorang puteranya dilantik menjadi Sultan Perak ke-26 dengan gelar Sultan Abdullah Muhammad Shah II. Sultan Abdullah Muhammad Shah II inilah yang telah dibuang ke Pulau   Seychelles akibat dari pembunuhan residen Inggeris Perak yang pertama JWW Birch laknat. Manakala putera keduanya ialah Raja Musa dan pernah dilantik menjadi Raja Muda Perak semasa pemerintahan Sultan Idris Murshidul Adzam Shah ( Sultan Perak Ke-28 ). Anakanda Raja Muda Musa ini pula telah menaiki takhta kesultanan Perak dengan gelar Sultan Abdul Aziz Al-Mutasim Billah Shah ( sultan Perak ke-31).

Sultan Abdullah Muhammad Shah II 
( Sultan Perak ke - 26 )


Raja Di-Hilir Perak sekarang iaitu DYAM Raja Jaafar Ibni Almarhum Raja Muda Musa merupakan penerus kepada warisan baginda dalam carta hieraki raja bergelar kesultanan Perak. Ini menunjukkan legasi Sultan Jaafar Safiuddin Muadzam Shah masih mempunyai penerusnya walaupun sudah hampir 150 tahun kemangkatannya. 

Raja Di-Hlir Perak DYAM Raja Jaafar Ibni Raja Muda Musa
dan Raja Puan Muda Perak Raja Nor Mahani

Ketika mengelilingi kawasan kepuk makam, Hidayat memberitahu saya tentang sebatang batu nisan yang cantik dan berbeza dengan nisan-nisan lain yang terdapat di dalam kawasan makam ini. Setelah meneliti bentuk batu nisan tersebut barulah saya tahu ia adalah sepasang batu nisan Acheh. Peliknya hanya makam ini sahaja yang benisan Acheh. Mungkin batu nisan ini adalah untuk makam permaisuri baginda.Sayangnya salah satu dari nisan Acheh ini telah patah hujungnya. Saya membuat sedikit rujukan internet berkenaan batu nisan Acheh yang terdapat di Malaysia. Tahun kemangkatan Sultan Jaafar Safiuddin Muadzam Shah ialah pada tahun 1863, ini bermakna batu nisan jenis Acheh masih lagi  digunapakai di Tanah Melayu sebelum tahun 1900. Tidak mustahil juga, sudah ada tukang pembuat batu nisan Acheh di Tanah Melayu ketika itu dan bukannya ia dibuat di tanah Acheh. Namun itu hanyalah sekadar telahan sahaja.

Nisan Acheh yang patah hujungnya.

Dalam kunjungan ziarah saya ke makam-makam lama sebelum ini, saya tidak menjumpai batu nisan Acheh. Inilah kali pertama saya tersua dengan keindahan dan keunikan batu nisan Acheh di Perak. Ada yang menyatakan hanya golongan bangsawan dan individu yang mempunyai darah Acheh sahaja yang layak menggunakan batu nisan jenis ini. Saya tidak pasti kesahihannya namun jika diteliti dari corak, bentuk serta ukiran yang terdapat pada batu nisan jenis Acheh ini, sudah pasti pemiliknya bukan sembarangan orang.

Saya tidak berlama-lama di kedua buah makam ini. Saya perlu mengejar masa untuk menziarahi ke seberapa  banyak makam sultan pemerintah Perak yang mampu kami ziarah di sekitar daerah Perak Tengah. Saya berpesan kepada Hidayat untuk menyedekahkan bacaan Al-Fatihah kepada kedua-dua roh baginda. Semasa keluar dari banggunan makam secara tiba-tiba saya terfikir sendiri ..... adakah ada rahsia di sebalik gelar muadzam shah yang menjadi milik kedua-dua sultan ini ? hanya Allah SWT sahaja yang mengetahui.



Sewaktu mengambil motosikal di pondok pengawal Sekolah Kebangsaan Kampung Juar, saya disapa oleh pengawal keselamatan berkenaan. Ketawa besar saya apabila saya ditanya oleh beliau adakah saya ini seorang kerabat diraja ? ...... jawapan saya mudah .... saya hanya seorang peminat sejarah negeri Perak dan saya menghormati kedaulatan Sultan pemerintah negeri tempat saya dilahirkan. Tersenyum beliau dengan jawapan saya. 

Selepas mengucapkan selamat jalan kepadanya, saya dan Hidayat meneruskan perjalanan menghala ke pekan Kampung Gajah. Suasana petang yang terik membuatkan kami begitu dahaga. Singgah sebentar membeli minuman di sebuah kedai runcit milik seorang penduduk kampung. Selepas melepasi pekan Kampung Gajah yang tenang, kami membelok masuk ke simpang untuk menuju Kampung Jawa ( tidak jauh dari simpang jalan menuju ke FELCRA Seberang Perak ). Saya yakin saya akan terjumpa sesuatu di sana !


Bersambung










Saturday, October 6, 2012

Catatan Sebuah Buku : Anak Apak Memoir Politik Kewartawanan


Siapa Subky Latif ? .... Sejujurnya bagi saya, Subky Latif adalah seorang yang berjiwa besar dan wajar dikenang sebagai tokoh politik dan wartawan yang hebat. Beliau tertonjol sebagai seorang ahli politik yang muncul dari kalangan wartawan sama seperti Tan Sri Zainuddin Maidin dan cuma bintangnya sahaja yang kurang menyerlah walaupun mempunyai ideologi yang jelas berkenaan politik kepartian yang diwakilinya. 

Haji Subky Abdul Latif
( kredit untuk : siasahdaily.blogspot.com )

Saya mula mendengar nama Subky Latif sejak masih di sekolah rendah lagi. Jika tidak silap saya, wajahnya pernah menjadi penghias muka hadapan bagi majalah Sarina atau Mastika ( dahulunya majalah Sarina dan Mastika banyak menumpukan artikel bercorak politik dan kemasyarakatan ) pada akhir tahun 1970an. Kebetulan pula saya terjumpa majalah berkenaan yang menjadi koleksi ayah sejak zaman mudanya dirumah dan membaca kisahnya. Jadi tidak hairanlah nama besar ini begitu lekat diminda saya. Sering juga saya sesekali membaca tulisannya di Harakah dan walaupun berbeza aliran politik, saya amat menghormati pendiriannya dan meminati gaya penulisannya. Inilah yang membuatkan saya tidak melepaskan peluang untuk membeli buku memoir beliau di kedai buku MPH Batu Pahat. Diakui ... saya begitu seronok membaca memoirnya.



Memoir setebal 437 halaman ini memperlihatkan Subky Latif sebagai seorang penulis yang hebat. Ini adalah tidak mengahirankan kerana pengalaman dari kehidupan masa lalu, kerjayanya sebagai wartawan dan aktivis politik memberikan beliau satu kelebihan untuk bercerita kisah dirinya. Bermula dari kisah kelahirannya sehinggalah cerita - cerita menarik yang pernah dilaluinya, semuanya diadunkan menjadi sebuah cerita yang menarik untuk direnung dan diteladani.

Subky Latif hidup dan membesar dalam banyak era yang semestinya mempunyai sejarah yang tersendiri. Beliau sempat merasai perih getirnya hidup zaman pendudukan Jepun, tahun-tahun perjuangan menentang Malayan Union, darurat, menjadi salah seorang saksi kemerdekaan di stadium merdeka dan malah pernah  menjadi aktivis GPMS bersama Tun Abdullah Haji Ahmad Badawi. Di sini secara tidak langsung saya dapat melihat suasana lama yang pernah dilaluinya dahulu melalui memoir ini.



Subky Latif juga menceritakan bagaimana pertembungan ideologi politik orang-orang Melayu yang dilihat dengan mata kepalanya sendiri. Justeru itu tidak hairanlah nama-nama besar politik Malaysia pada suatu ketika dahulu disebutkan dengan jelas seperti Allahyarham Ahmad Boestamam, Pak Sako, Dato' Panglima Bukit Gantang dan ramai lagi yang tidak sempat saya nukilkan. Juga diceritkan pertembungan hebat antara parti Perikatan dengan Parti PAS, parti Negara, dan Parti Kebangsaan Perak ( NAP ) dalam pilihanraya umum sebelum merdeka dan selepas merdeka . Beliau mengulas dengan jujur hal ini tanpa terikat dengan ikatan politik. Inilah uniknya Subky Latif di dalam memoir ini. Kekuatannya ialah daya ingatannya yang tajam dalam menghuraikan fakta tanpa membebankan pembaca dengan bahasa yang berselirat.

Allahyarham Dato' Panglima Bukit Gantang Haji Abdul Wahab

Allahyarham Abdullah Sani Bin Raja Kechil
( Ahmad Boestamam )

Sesuatu yang jelas ialah Subky Latif bukanlah insan yang berminat dengan politik namun berupaya memahami politik dengan sejelasnya sejak dari zaman remajanya. Hal ini dapat dilihat pada pra katanya pada memoir ini yang menyatakan adalah lebih senang hidup sebagai orang yang memahami politik tetapi tidak terlibat dalam sebarang aktiviti politik supaya kita disenangi oleh semua dan dapat diterima oleh semua. Walaupun hidup dalam suasana keagamaan dan abangnya juga merupakan salah seorang ADUN PAS di Perak, adalah tidak jelas anutan politiknya di masa muda. Hanya selepas PAS kalah teruk di Kelantan pada hujung tahun 1970an barulah jelas parti politik yang dijuangkannya.

Pengalamannya sebagai wartawan juga agak unik. Utusan Melayu yang menjadi "lubuk ikan" kelahiran wartawan-wartawan Melayu juga menjadi bahan cerita yang cukup unik dalam memoir ini. Sukar juga untuk menjadi wartawan pada ketika itu. Di Utusan Melayu, Subky Latif berjaya menjadi wartawan yang hebat malah dihormati sehingga kini. Sebagai catatan tambahan selain dari berkhidmat di Utusan Melayu, Subky Latif juga merupakan pengasas kepada akhbar Suara Rakyat, Suara Merdeka, Watan dan Harakah. 


Tidak lengkap bagi sesebuah memoir jika tidak diletakkan gambar-gambar kenangan penulisnya. Subky Latif juga turut meletakkan beberapa gambar lamanya didalam memoir ini. Walaupun jumlahnya tidak banyak namun ia sekurang-kurangnya membantu kita untuk lebih memahami setiap latar perjuangannya dalam bidang kewartawanan mahupun politik.

Saya meletakkan memoir ini sebagai antara yang terbaik untuk dibaca oleh semua golongan masyarakat tidak kira peringkat usia. Ia sebuah memoir yang mudah difahami tanpa penceritaan yang meleret-leret. Dengan harga RM 25 dan diterbitkan oleh Kemilau Publika, memoir ini sememangnya satu khazanah persuratan Melayu yang tinggi nilainya. Pada saya kelahiran memoir ini seterusnya memberikan reputasi tambahan kepada Subky Latif sebagai seorang tokoh penulis, wartawan dan aktivis politik. Dan saya juga teringin menjadi sepertinya walaupun berbeza arah dokongan politik !



Sumber Rujukan Untuk Ulasan Memoir ini

  1. http://hafizahiszahanid.blogspot.com/2012/09/membaca-anak-apak.html
  2. http://orebule.blogspot.com/2012/05/anak-apak-jatuh-ke-riba.html
  3. http://sahalasb.blogspot.com/2012/01/sudahkah-anda-membaca-buku-anak-apak.html
  4. http://msomelayu.blogspot.com/2011/12/catatan-rasa.html
  5. http://ms.wikipedia.org/wiki/Subky_Abdul_Latif