BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

.

Photobucket

Friday, October 21, 2011

INDAHNYA KASIH DI SMK BALLEH


Sudah menjadi rezeki saya agaknya dapat menjadi pengawas peperiksaan Penilaian Menengah Rendah ( PMR ) di SMK Balleh dalam bahagian Kapit Sarawak. SMK Balleh adalah antara salah sebuah sekolah-sekolah menengah yang terdapat di kawasan pedalaman Sarawak. Saya agak teruja untuk ke SMK Balleh. Maklumlah sepanjang hampir 3 tahun di Kapit saya tidak pernah menjejakkan kaki ke SMK Balleh. Inilah kali pertama saya merasa menjadi pengawas peperiksaan di sebuah sekolah kawasan pedalaman. Perbagai perkara bermain di kepala saya.

Untuk sampai ke SMK Balleh, saya perlu menaiki bot ekspres selama hampir 3 jam mudik ke hulu Sungai Balleh. Sungai Balleh merupakan cawangan utama Sungai Rajang dan ia boleh dimudiki oleh kapal-kapal besar sehingga ke Putai. Namun demikian, dari segi saiz, Sungai Balleh lebih kecil sedikit dari Sungai Rajang dan mempunyai kawasan berbatuan di pinggir dan dasarnya. Saya bergerak dari Kapit ke SMK Balleh tepat jam 11 pagi. Pada mulanya agak gementar juga saya tetapi mujurlah saya tidak berseorangan di SMK Balleh. Bersama-sama saya ialah 4 orang lagi guru pengawas PMR iaitu Puan Helen Manjan  dan Encik Dickson ( SMK Kapit ), Encik Sim Siong Hoe dan Encik Saful ( SMK Kapit No.2 ).


 Kapal-kapal besar boleh mudik ke hulu Sungai Balleh

Perjalanan agak menyeronokkan ditambah pula dengan pemandangan diluar yang indah. Ini pengalaman pertama saya ke hulu. Saya berkesempatan melihat pertemuan antara kuala Sungai Balleh dan Sungai Rajang. Pertemuan antara kedua-dua buah sungai ini mencetuskan ombak yang agak besar. Namun, bagi penduduk Iban yang membawa perahu di kawasan ini ianya bagaikan suatu yang tidak membawa erti. Seperti kata pepatah "alah bisa tegal biasa".

 Arus besar pertemuan antara Sungai Balleh dan Sungai Rejang

 Bot ekspres berhenti di kem balak

 Arang batu

Bot ekspres yang kami naiki sesekali berhenti di kem-kem balak yang banyak terdapat di pinggir sungai bagi tujuan menghantar barang. Wakil-wakil kem balak akan menunggu di tepi sungai dengan kenderaan masing-masing bagi mengangkut barang yang baru tiba. Sesuatu yang membuatkan saya terkejut ialah sepanjang Sungai Balleh ini terdapat begitu banyak kapal-kapal ( tongkang dalam bahasa tempatan ) yang karam. Dari kata-kata penduduk setempat, terdapat hampir berbelas-belas tongkang karam di Sungai Balleh. Ada sesetengahnya boleh dilihat dan ada sesetengahnya sudah tenggelam. Malahan di hadapan SMK Balleh itu sendiri terdapat sebuah tongkang yang karam. Terdapat juga sebuah lombong arang batu yang dikatakan terbesar di Asia Tenggara. Inilah kali pertama saya melihat arang batu dicarigali.

Tongkang karam

Kami sampai ke SMK Balleh tepat jam 2.30 petang. Bot ekspres kami berlabuh di sebuah kawasan berbatu yang dipanggil karangan oleh penduduk tempatan. Selepas menurunkan kami, bot ekspres berkenaan terus bergerak mudik ke hulu sehingga ke Putai. Kami disambut oleh pengawal keselamatan sekolah. Fikiran saya kosong pada ketika ini. Buka sahaja telefon bimbit, tersenyum saya sendiri. Tiada talian telefon di sini.  Saya dan Cikgu Saiful menumpang di rumah Cikgu Firdaus dan Cikgu Nik. Manakala Puan Helen Manjan, Cikgu Sim dan Cikgu Dickson menginap di rumah tetamu. Sejuta ucapan terima kasih kepada Cikgu Firdaus dan Cikgu Nik atas segala bantuan dan layanan yang baik sepanjang saya berada di SMK Balleh. Semoga Allah membalas budi kalian kepada saya.

 Bot ekspres berhenti untuk menurunkan penumpang di
pantai berbatu SMK Balleh


Petang itu saya berkesempatan meninjau-ninjau kawasan pantai berbatu yang menjadi mercu tanda SMK Balleh. Puan Helen Manjan sibuk mengutip batu-batu untuk dijadikan batu penumbuk sambal. Saya pula lebih teruja melihat tongkang karam tidak jauh dari situ. Sesuatu yang menarik disini ialah hasil dari pasang surut naik air sungai Balleh telah membentuk sebuah kolam di kawasan pantai berbatu. Kolam ini sangat luas dan jernih airnya berbanding dengan air Sungai Balleh yang keruh. Namun jangan disangka kolah berkenaan cetek airnya. Menurut pengawal keselamatan yang sempat saya bertemu, beliau menyatakan ada sebuah tongkang karam di dasar tasik berkenaan. Katanya akibat terlalu dalam dan terlalu lama karam, tongkang berkenaan sudah tidak boleh dilihat dengan mata kasar.

 Perahu berlabuh di tebing pantai berbatu

Kolam semulajadi terbentuk dari naik turun air Sungai Balleh



Jeti untuk ke SMK Balleh

Satu masalah bagi saya di sini ialah untuk membiasakan diri dengan makanan yang disediakan oleh pihak sekolah kepada saya. Mujur jugalah saya dan Cikgu Saiful sentiasa dijamu dengan makanan yang enak-enak oleh Cikgu Firdaus dan Cikgu Nik. Memang saya memuji masakan mereka enak !!!


Tidak ramai calon PMR SMK Balleh. Hanya 60 calon sahaja disini. SMK Balleh bukanlah sekolah yang besar. Jumlah keseluruhan pelajarnya hanya dalam lingkungan tiga ratus lebih dan bilangan tenaga pengajarnya hampir 20 orang. Kesemua pelajarnya tinggal di asrama. Pelajar etnikIban merupakan majoriti disini namun demikian terdapat juga pelajar-pelajar etnik Kenyah yang berasal dari Long Singut. Inilah kali pertama saya melihat etnik Kenyah dari Long Singut. Sebelum ini  di SMK Kapit saya hanya terdedah dengan pelajar-pelajar Kenyah dari Long Busang sahaja.

 Bergambar kenangan dengan pelajar 
etnik Kenyah yang berasal dari Long Singut

Apa yang boleh saya katakan tentang pelajar disini ialah sikap mereka terhadap tetamu. Budaya menghormati tetamu dan guru bagaikan sebati disini. Jika sekumpulan pelajar berselisih dengan kita, semuanya akan melontarkan ucapan selamat dengan senyuman yang meleret. Rupa-rupanya di pedalaman ini, penghormatan kepada guru masih kekal sebagai sesuatu yang dipandang tinggi oleh para pelajar. Memang saya benar-benar mengagumi sikap pelajar SMK Balleh. Pertama kali saya berhadapan dengan pelajar-pelajar ini didalam bilik peperiksaan, mata saya tertumpu pada kasut yang dipakai oleh mereka. Memang saya tidak boleh menipu, keseluruhan kasut-kasut calon yang menduduki PMR SMK Balleh ini putih dan bersih. Pakain mereka juga kemas. Hal ini juga diakui oleh Cikgu Saiful. 


 Pelajar SMK Balleh

Saya suka dengan suasana SMK Balleh yang tenang. Udaranya segar dan panoramanya indah. Bukit Majau melatari lanskapnya sentiasa memberikan senyuman diawal pagi. Sesekali terdengar bunyi tongkang melalui Sungai Balleh membuatkan hati mudah menjadi tenang.  SMK Balleh sekolah yang cantik. Susun atur sekolahnya menarik. Ia sebuah sekolah yang lengkap. Walalupun jauh dipedalaman, aspek-aspek estetika dan indah tetap ada pada wajah sekolah ini.

Panorama SMK Balleh

Bukit Majau yang melatari pemandangan SMK Balleh

Gelanggang permainan

Kantin SMK Balleh


Kuarters Guru SMK Balleh

Rumah Pengetua SMK Balleh

Kediaman staf yang tersusun cantik

Loceng lama yang tidak digunakan lagi

SMK Balleh sentiasa tenang. Pergerakan staf hanya dengan berjalan kaki. Tidak ada bunyi kereta, lori dan bas. Yang hanya kedengaran hanya sayup bot ekspres, tongkang dan perahu penduduk rumah panjang berdekatan yang menyusur arus Sungai Balleh. Saya berkesempatan melihat aktiviti menghanyutkan kayu-kayu balak dari hulu sungai ke hilir sungai. Kayu-kayu balak ini dihanyutkan dan dikawal oleh beberapa buah perahu. Ini adalah bagi mengelakkan ia melanggar tebing sungai. Kayu-kayu balak ini diikat bersama-sama supaya ia hanyut dalam kumpulannya yang tersendiri dan tidak menghalang laluan bot ekspres dan tongkang.

Aktiviti menghanyutkan kayu balak.

Saya juga berkesempatan merasa untuk menaiki bot ekspres seawal jam 5 pagi untuk pulang ke Kapit. Bayangkan dalam suasana hari masih gelap, bot ekspres sudah bersedia untuk bergerak. Cara untuk menahan bot ekspres yang bergerak dalam gelap ialah dengan menggunakan lampu suluh. Apabila terlihat nyalaan lampu suluh kita maka bot ekspres berkenaan akan berhenti singgah mengambil kita. Namun demikian, sekiranya air sungai Balleh naik sehingga kawasan karangan ( pantai berbatu ) di SMK Balleh tidak kelihatan maka kita perlu berjalan kaki dan menaiki bot ekspres jauh dari kawasan berkenaan. Ini adalah bagi mengelakkan kipas enjin bot ekspres berkenaan rosak terkena batuan yang banyak.

Menunggu bot ekspres di awal pagi.


Seronok menjaga PMR di SMK Balleh. Jiwa rasa tenang di sini. Hilang segala masalah di fikiran yang membeban. Disini saya berjumpa dengan rakan yang baik dan mesra, warga sekolah yang muhibah dan panorama alam yang menarik. Tiada kemewahan yang terjelma disini melainkan hanya kesederhanaan. Menjadi guru jauh dipedalaman ini, hanya sunyi yang bermain di hati. Namun, ianya mengajar kita menjadi lebih menghargai dengan setiap apa yang ada. Guru di bandar mungkin tidak merasai apa yang kami rasa. Tanpa kereta besar, tanpa talian telefon dan elektrik yang dicatu ia membuatkan saya benar-benar menghargai jasa dan sumbangan guru pedalaman.


Saya bersama dengan Cikgu Dickson dan Cikgu Helen Manjan

Saya meninggalkan SMK Balleh setelah hampir 2 minggu bersamanya. Tidak tahu lagi bilakah saya akan menyapa semula SMK Balleh. Semakin ke penghujung tahun semakin saya tidak keruan. Hati mohon untuk berpindah dan fikiran mohon untuk kekal. Ia suatu pilihan yang amat-amat kelam ketika jiwa makin terisi dengan kehadiran seseorang. SMK Balleh..... semoga bertemu lagi dipertemuan akan datang. Saya akan mengenang SMK Balleh sebagai sebuah sekolah indah yang penuh nilai moralnya !!!!


Hafez J.Malim sebagai pengawas PMR.. hehehe













Saturday, October 8, 2011

Sisi Lama Teluk Intan Yang Dilupakan

Teluk Intan...bandar lama dalam negeri Perak Darul Ridzuan kini semakin pesat membangun. Terletak di dalam daerah Hilir Perak, Teluk Intan terus berkembang dengan pesatnya. Asalnya nama lama bagi Teluk Intan ialah Teluk Mak Intan bagi mengenang sejarah awal penerokaan Teluk Intan oleh seorang janda cantik kaum Mandahiling yang bernama Mak Intan. Apabila British menjajah Tanah Melayu, namanya diubah kepada Teluk Anson sempena dengan nama  pemangku Gabenor Negeri Selat ialitu General Sir Archibald Edward Harbord Anson (1826 – 1925). Namun demikian pada tahun 1982, atas cadangan dan perkenan DYMM Almarhum Sultan Idris II nama Teluk Anson telah dimansuhkan dan diganti dengan nama Teluk Intan. Malahan nenek saya yang berasal dari Batak Rabit ( dalam kawasan Teluk Intan ) ketika hayatnya  tetap menyebut nama lama Teluk Intan iaitu Teluk Anson.

Dahulunya, bandar ini merupakan bandar pelabuhan utama bagi negeri Perak Darul Ridzuan. Sungai Perak yang luas dan dalam membolehkan kapal-kapal besar melaluinya untuk sampai ke pelabuhan Teluk Intan. Dahulunya pelabuhan Teluk Intan merupakan sebuah pelabuhan yang sibuk. Banyak kapal-kapal besar singgah membawa barang-barang seperti bijih timah dan getah. Malahan pelabuhan Teluk Intan dikatakan jauh lebih penting dari pelabuhan Pulau Pinang pada ketika itu. Namun kini ianya tinggal kenangan sahaja. Teluk Intan bukan lagi sebuah pelabuhan. Kapal-kapal besar sudah tidak lagi berlabuh disini. Ianya hanya menjadi sebuah kenangan yang indah bagi warga emas di Teluk Intan.

 Durian Sebatang tidak jauh dari Teluk Intan. Dahulu
merupakan pelabuhan terawal bagi negeri Perak.


Sebuah pelabuhan baru bagi menggantikan pelabuhan lama telah dibina. Namun ianya sunyi. Ia terletak di pinggir bandar Teluk Intan jika tidak silap saya di kawasan Pasir Bedamar. Kunjungan saya baru-baru ini ke pelabuhan berkenaan menunjukkan tiada tanda-tanda ia beroperasi dengan baik. Ia sebuah pelabuhan kecil yang kusam dan usang.

Pelabuhan Teluk Intan kini

Sunyi dan sepi

Ketika pemerintahan Sultan Iskandar Shah, Teluk Intan telah diishtiharkan sebagai sebuah bandar diraja. DYTM Raja Muda Perak Darul Ridzuan akan bersemayam di Teluk Intan. Sehingga kini, statusnya sebagai bandar diraja masih kekal walaupun DYTM Raja Muda Perak Raja Dr Nazrin Shah tidak bersemayam di Teluk Intan. Bukti yang menunjukkan Teluk Intan sebagai sebuah bandar diraja ialah kewujudan sebuah istana yang dikenali sebagai Istana Raja Muda. Dahulunya, setiap Raja Muda haruslah bersemayam di istana ini. Namun kini sejak tahun 1988, Istana Raja Muda yang penuh bersejarah ini telah ditinggalkan sepi. Raja Muda terakhir yang bersemayam disini ialah Almarhum DYTM Raja Ahmad Siffudin Ibni Sultan Iskandar.

 Gambar lama Istana Raja Muda Teluk Intan

Istana Raja Muda Teluk Intan kini terbiar 

Istana Raja Muda dari pandangan hadapan


Pemandangan didalam Istana Raja Muda

Anjung Masuk Pintu Utama

Apa yang menarik perhatian saya ialah kualiti binaan istana ini. Difahamkan istana ini dibina pada tahun 1920an. Namun ia masih teguh walaupun telah lama terbiar tanpa sebarang pemuliharaan. Saya menjumpai cebisan atap istana ini di lantainya. Dari tulisan yang terukir di cebisan atap berkenaan jelas kelihatan bahawa ianya diperbuat di Britain. 

Perhatikan tulisan pada cebisan atap Istana Raja Muda 
yang tertulis perkataan Britain.

Ayah saya pernah menceritakan bahawa Raja Muda Musa Ibni Sultan Abdul Aziz semasa bersemayam di Teluk Intan bersahabat dengan moyang beliau yang digelar Opah Besar. Ketika itu ayah tinggal di Kampung Jong Buruk di persisir Sungai Perak berdekatan dengan Teluk Intan. Opah Besar merupakan orang tua yang menjadi kepala di kampung berkenaan. Armarhum sering berkunjung ke Kampung Jong Buruk untuk bertemu dengan Opah Besar semasa baginda melakukan aktiviti menuba ikan. Baginda merupakan Raja Muda yang paling disayangi oleh rakyat Perak Darul Ridzuan. Benar atau tidak cerita ini Wallahualam.

Semasa saya masih kecil, masih terdapat perkhidmatan keretapi di Teluk Intan. Mengikut sejarahnya, landasan ini telah dirasmikan pada 18 Mei 1883. Landasan keretapi Teluk Intan bermula dari Tapah Road dan melalui beberapa lokasi seperti Degong, Chikus, Sungai Tukang Sidin, Permatang, Sungai Kerawai, Sungai Manik, Teluk Anson Town dan Wharf Teluk Intan. Namun demikian, seiiring dengan perkembangan masa perkhidmatan keretapi di Teluk Intan telah ditamatkan oleh pihak Keretapi Tanah Melayu Berhad ( KTMB ) pada tahun 1989. Ini berikutan oleh beberapa sebab seperti penumpang yang sudah semakin berkurang, pelabuhan Teluk Intan yang semakin kurang penting serta perkembangan jalan raya yang sudah semakin baik.

 Sebuah gambar lama yang menjadi bukti kepada 
sejarah lama perkhidmatan keretapi di Teluk Intan.

Walaupun demikian, beberapa tinggalan perkhidmatan keretapi di Teluk Intan masih boleh dilihat dan dikekalkan. Saya dapat melihat beberapa tinggalan penting sejarah perkhidmatan keretapi di Teluk Intan. Antaranya ialah bangunan stesen keretapi Teluk Intan yang kini dijadikan sekolah memandu. Pintu pagar lintasan keretapi dengan jalan raya menuju ke Bidor juga masih boleh dilihat. Saya juga sempat menjejaki tinggalan landasan di Chikus. Namun demikian, saya tidak dapat meramal berapa lamakah tinggalan-tinggalan bersejarah ini mampu bertahan mendepani cabaran kemodenan yang makin mencengkam.

Bangunan Stesen Keretapi Teluk Intan yang kini dijadikan
sekolah memandu


 Papan tanda stesen keretapi Teluk Intan.
Perhatikan tulisan pada papan tanda berkenaan jelas tertulis
"TELUK ANSON TOWN"

Cebisan kayu landasan yang masih boleh dilihat

Platform stesen keretapi Teluk Intan yang masih kekal

Stesen Keretapi Teluk Intan dalam kenangan

Pagar lama landasan keretapi yang merintangi
jalan raya dari Teluk Intan ke Bidor masih dikekalkan
untuk tatapan generasi kini.

Suatu ketika dahulu keretapi pernah lalu disini

Tinggalan landasan keretapi di Chikus tidak jauh dari Teluk Intan

Semak samun menutupi bekas landasan

Ada keretapi pernah lalu disini dahulu

Cebisan kayu landasan yang usang dimamah masa

Salah satu tinggalan terunggul sejarah perkhidmatan keretapi di Teluk Intan ialah sebuah jambatan besi yang merintangi kuala Sungai Bidor. Masyarakat tempatan di sekitar Teluk Intan ( terutama di Kampung Bahagia ) memanggilnya sebagai "geghrotak". Ia merupakan sebuah jambatan keretapi klasik yang dibina oleh pihak British bagi menghubungkan landasan dari Tapah Road ke Teluk Intan. Catatan sejarah menunjukkan bahawa pembinaan jambatan ini mengambil masa selama hampir 2 tahun iaitu dari tahun 1891 hingga 1893. Bagi saya ia merupakan sebuah hasil kejuruteraan yang terhebat pada ketika itu. Setelah perkhidmatan keretapi Teluk Intan ditamatkan, landasan ini telah terbiar dan tidak digunakan lagi. Namun atas inisiatif pihak berkuasa tempatan, jambatan ini telah dibaikpulih dan dipulihara seterusnya telah diturap untuk dijadikan laluan motosikal dan pejalan kaki. Jambatan ini masih lagi digunakan oleh penduduk setempat kerana ia dapat memendekkan laluan untuk ke Teluk Intan.

Jambatan keretapi yang merintangi kuala Sungai Bidor di Teluk Intan
suatu ketika dahulu.

Jambatan Keretapi Teluk Intan kini


 Panorama kuala Sungai Bidor yang mengalir lesu dari atas jambatan.

Banyak rumah-rumah kedai lama masih kekal di Teluk Intan. Berhampiran dengan jambatan keretapi lama ini kita masih boleh melihat rumah-rumah kedai kayu yang masih lagi digunakan atau telah ditinggalkan sepi. Dikawasan bandar Teluk Intan pula terutamanya berhampiran dengan persisir sungai Perak, masih boleh dilihat rumah-rumah kedai lama yang mungkin dibina sejak zaman British lagi. Walaupun bangunan-bangunan rumah kedai lama ini keliahatan usang dan sunyi namun saya yakin suatu ketika dahulu ianya pernah menjadi tempat yang meriah dengan aktiviti berjual beli. 

Rumah kedai kayu lama yang tidak digunakan lagi


Rumah kedai lama pinggiran Sungai Perak di Teluk Intan

Teluk Intan juga mempunyai koleksi bangunan-bangunan lama yang begitu indah seni binaannya. Penjajahan British dan keagungannya sebagai sebuah pelabuhan pada suatu ketika dahulu menjadikannya sebuah bandar yang tersusun dan mempunyai sejumlah koleksi bangunan lama yang memukau. Antara monumen yang menjadi mercu tanda utama bandar ini sedah pastilah Menara Jam Condong Teluk Intan. Dahulu pelawat adalah tidak dibenarkan memasuki menara ini namun beberapa tahun kebelakangan ini pengunjung boleh sahaja memasuki menara ini tanpa dikenakan bayaran. 

Menara jam condong Teluk Intan

Beberapa bangunan lama yang klasik juga masih boleh dilihat. Antaranya bangunan balai polis lama, bangunan bekas mahkamah dan bangunan pejabat pos Teluk Intan. Semuanya ini masih kekal walaupun sesetengahnya terbiar tanpa dipulihara. Saya sempat merakamkan beberapa buah bangunan yang pada saya mempunyai nilai estetika binaan yang tinggi.

Balai Polis lama Teluk Intan

Pejabat Pos Teluk Intan


Saya mengakui bahawa saya bukanlah anak Teluk Intan. Namun begitu jurai keturunan sebelah ayah saya adalah berasal dari kawasanTeluk Intan. Malahan Teluk Intan bukanlah sesuatu yang asing pada diri saya. Kaum kerabat sebelah ayah masih ramai disini. Pusara datuk dan nenek moyang saya juga masih ada di daerah Hilir Perak ini. Penulisan ini hanyalah sekadar perkongsian untuk kita. Jika terdapat sebarang kesalahan fakta pada penulisan ini saya mohon para pembaca yang singgah untuk memperbetulkannya. Saya hanya membuat rujukan di internet sambil dibantu oleh ingatan-ingatan lama terhadap penceritaan orang yang terdahulu kepada saya. 

Teluk Intan menyembunyikan sejuta cerita lama. Cerita tentang sebuah pelabuhan yang hilang, cerita tentang landasan keretapinya yang tiada lagi, cerita tentang sebuah istana yang ditinggalkan dan pelbagai cerita yang beranting-ranting. Jika ke Teluk Intan carilah sisi lamanya yang tertinggal. Koreklah setiap inci buminya yang bersejarah dan kita akan temui erti sebenar Teluk Intan ...... sebuah bandar yang tua yang bernostalgia...