BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Sunday, May 20, 2012

Ziarah Makam Lama 2 - Menziarahi Makam-Makam Yang Usang Dan Berlumut

Rumah tradisi Melayu Perak atau Rumah Kutai

Selesai sahaja menziarahi makam pahlawan Si Puntum, saya terus memacu motorsikal saya keluar dari kawasan Kompleks Sejarah Pasir Salak. Sebenarnya saya agak seronok ketika melalui jalan kampung dan melihat rumah-rumah tradisi Perak yang masih utuh. Namun ada juga sesetengahnya yang sudah agak terbiar dan ditinggalkan. Dari beberapa tinjauan di intenet, saya mendapati kebanyakan rumah tradisi Melayu yang terdapat sepanjang persisir sungai Perak banyak dipengaruhi oleh senibina orang-orang Bugis. Sememangnya orang-orang Bugis agak berperanan dalam pentadbiran Perak semenjak dari kurun ke-17 hingga ke akhir kurun ke-18. Besar kemungkinan masyarakat Melayu dalam sekitar kawasan Kampung Gajah mewarisi darah keturunan Bugis. Siapalah tahu jika moyang saya juga dari suku Bugis.Wallahualambissawab.

Saya melalui jambatan yang merintangi Sungai Perak dengan perasaan yang teruja. Sungai Perak yang sederhana besar sebelum menghampiri muara besarnya menyimpan banyak cerita lama yang sukar dimengerti. Aliran airnya yang sesekali deras dan dalam itu menjadi saksi bisu kepada pelbagai peristiwa sejarah yang berlaku dalam negeri Perak. Segala realiti, mitos dan lagenda bercampur baur dengan keruh airnya dan menjadi cerita yang tak kunjung padam dalam diari kehidupan masyarakat sekitarnya. 

Sungai Perak yang menyimpan sejuta satu cerita

Selepas melintasi jambatan Sungai Perak ini, saya tidak terus bergerak ke Kampung Gajah sebaliknya saya membelok ke kiri menuju ke sebuah kampung yang terletak di tebing belah kanan Sungai Perak. Kampung yang saya maksudkan ialah Kampung Jawa. Di kampung ini bersemadilah jasad tiga orang Sultan yang pernah memerintah negeri Perak. Namun demikian saya agak kabur dengan lokasi makam-makam berkenaan. Dengan suasana petang yang semakin redup membuatkan saya semakin gelisah. Hasil bantuan dari seorang penduduk kampung yang sedang sibuk mengait rambutan, saya mula mengerti dimana lokasi makam ini. Beliau meminta saya mengikut jalan besar ( jalan raya utama ) dari mengikut jalan kampung.

Saya seterusnya melalui jalan besar menghala ke Lambor namun demikian saya masih belum menemui simpang jalan atau papan tanda makam yang ingin saya tujui. Ini membuatkan saya semakin keliru. Semakin saya jauh bergerak semakin saya merasa hairan. Kesudahannya saya memutuskan untuk berpatah semula dan masuk sahaja mana-mana simpang yang saya rasakan boleh membawa saya ke lokasi makam-makam berkenaan. Saya hanya mengikut lintasan gerak hati saya. Alhamdulillah, simpang jalan pilihan saya sememangnya membawa tuah apabila saya menjumpai sebuah papan tanda yang menunjukkan lorong ke makam diraja. Namun masalah lain pula timbul. Tiada anak panah menunjukkan arah makam sama ada ke kanan atau ke kiri. Saya terus mengambil arah kiri. Mungkin ada nasib yang sangat baik melalui pilihan yang berat itu.

Papan tanda kecil arah makam diraja

Saya menunggang motorsikal saya dengan perlahan. Mata saya meliar ke kiri dan kanan memerhatikan jika ada makam-makam yang tersorok dari pandangan. Dengan suasana jalan yang sunyi dan keadaan sekitar yang agak bersemak membuatkan hati saya sedikit gementar. Keadaan juga agak redup. Saya melintasi satu binaan kepuk yang agak bersemak namun tidak saya indahkan di kiri jalan. Saya bagaikan terleka dengan keadaan jalan. Setelah hampir 200 meter terlajak dari binaan kepuk tersebut barulah saya tersedar bahawa makam yang saya cari sebenarnya terletak didalam kawasan yang saya lintasi tadi. Saya berpatah semula dan Alhamdulillah, saya berjaya menemui makam dua orang Sultan pemerintah negeri Perak yang terletak dalam sebuah kepuk yang sama !.

Keadaan jalan menuju ke makam diraja yang sunyi dan bersemak.
Saya terleka melalui jalan ini.

Baru sahaja sampai ke kawasan makam

Pagar utama untuk masuk ke kawasan makam diraja

Keadaan makam ini agak bersemak dan terbiar. Pohon-pohon renek meliputi hampir keseluruhan kawasan makam. Pintu pagar makam ini sudah rosak dan binaan kepuknya juga kelihatan sudah uzur dan berlumut. Saya sendiri menjadi hairan bagaimana makam bersejarah ini kelihatan terbiar. Adakah waris-waris sultan yang dimakamkan disini sudah ghaib tanpa warisan ? ... segalanya terus terlontar keluar dari benak hati saya ini.

Keadaan makam

Kawasan kepuk pemakaman ini menempatkan makam Sultan Mahmud Iskandar Shah iaitu sultan ke-11( 1653 - 1720 ) dan Sultan Alauddin Mughayat Shah iaitu sultan ke-12 ( 1720 - 1728 ). Kedua-dua orang sultan yang disemadikan disini merupakan pemerintah yang mewakili era kedua kesultanan Perak di mana pada ketika ini sultan - sultan Perak adalah mewarisi darah keturunan raja-raja Siak pada sebelah pihak lelaki dan darah kesultanan Melaka mengalir dari sebelah pihak perempuan. 

Sedikit maklumat berkenaan dengan Sultan Mahmud Iskandar Shah ini, baginda merupakan putera kepada sultan Perak ke -10 iaitu Sultan Muzaffar Shah II. Baginda dikurniakan umur yang panjang dan dikatakan mangkat dalam usia 120 tahun. Pada ketika pemerintahan baginda inilah, negeri Perak telah berjaya melepaskan diri dari ikatan penguasaan kerajaan Acheh.

Sementara itu pula, Sultan Alauddin Mughayat Shah merupakan putera saudara kepada Sultan Mahmud Iskandar Shah. Baginda ditabalkan menjadi sultan Perak ke-12 selepas kemangkatan Sultan Mahmud Iskandar Shah yang tidak berputera. Baginda memerintah selama lapan tahun dan digelar Marhum Sulong. 

Saya menebas sedikit semak-samun yang tinggi didalam kawasan kepuk makam. Mujur juga batu nisan kedua-dua makam ini dalam keadaan baik. Khabarnya dahulu batu-batu nisan makam sultan Perak diperbuat dari batu nisan jenis Acheh namun telah ditukar kepada batu nisan yang diseragamkan bagi semua makam. Kain kuning yang membaluti nisan makam ini kelihatan sudah agak lusuh dan pudar warnanya. Nampaknya masih ada individu atau waris terdekat dengan marhum berdua ini yang mengambil berat tentang warisan leluhur mereka.

Terdapat juga tiga buah kubur dengan nisan yang lebih kecil ditengah-tengah dengan makam kedua-dua sultan ini. Saya beranggapan bahawa ia sudah pastilah makam isteri atau kaum kerabat yang terdekat dengan baginda berdua. Binaan kepuk makam ini juga kelihatan sudah uzur dimamah masa. Dapat dilihat ada retakan pada dinding kepuk ini dan lumut hijau menempel kemas. 

Tiga buah kubur kecil ditengah-tengah makam dua orang sultan

Sesuatu yang agak merugikan saya ialah sukarnya saya membaca tulisan jawi yang terdapat pada batu nisan makam ini. Hal ini secara tidak langsung menyebabkan saya tidak mengatahui yang mana satukah makam Sultan Mahmud Iskandar Shah dengan makam Sultan Alauddin Mughayat Shah. Namun ia tidaklah menjadi satu masalah yang besar bagi saya. Yang pentingnya hasrat saya untuk berziarah dan memegang nisan makam ini telah tercapai.

Tulisan pada batu nisan makam

Lama juga saya di makam ini. Suasana sunyi  membuatkan saya merasa keseorangan. Saya meninjau disekitar kawasan makam untuk mencari sebuah lagi kepuk makam sultan yang dikatakan turut dimakamkan tidak jauh dari situ. Namun hampa... saya tidak menjumpainya. Mungkin didalam perjalanan pulang nanti saya akan menjumpainya. Sempat juga saya mengikat kemas ikatan kain kuning nisan makam berkenaan yang dilihat sudah longgar. InsyaAllah jika ada rezeki dan masa terluang saya akan kembali lagi ke makam ini dengan niat untuk menggantikan ikatan kain kuning lusuh pada batu nisannya.

Saya meninggalkan makam ini dengan perasaan yang aneh ... pagarnya yang hampir runtuh itu bagaikan mengucapkan selamat jalan yang berat. Lama saya memandang makam ini sebelum mula bergerak. Ermmm ...   insyaAllah saya akan kembali semula kesini. Perjalanan saya teruskan mencari sebuah makam lagi di kampung yang sama ...... jumpa lagi dalam siri catatan yang akan datang.

0 ulasan: