Komuter
Ini perjalanan yang agak gila, letih dan mencabar. Namun saya akui ia agak menyeronokkan walaupun saya perlu bersusah payah sedikit. Idea untuk menaiki komuter ini dirancang secara tidak sengaja. Ini merupakan kali pertama saya menaiki komuter. Cadangan awalnya ingin menaiki keretapi namun memandangkan saya perlu mengejar masa, saya memilih menaiki komuter.
Saya memilih menaiki komuter bermula dari Seremban menuju ke Tanjong Malim. Untuk ke Seremban, saya menaiki bas ekspres selama hampir 2 jam dari Batu Pahat. Cuti persekolahan selama 2 minggu membuatkan saya terasa benar-benar seronok. Masakan tidak, saya dapat meluangkan masa yang benar-benar berkualiti bagi menemani isteri saya setelah hampir 3 bulan tinggal berjauhan. Menjelang sahaja kepada penamat cuti persekolahan, isteri saya sudah mula menunjukkan wajah sedihnya. Beliau tahu kami perlu duduk berjauhan semula. Saya sendiri begitu sedih. Meninggalkan isteri yang berbadan dua dan tinggal berjauhan adalah perkara yang sangat menyakitkan. Namun itulah realiti yang perlu saya telan dan kami perlu menerimanya dengan hati yang terbuka.
Seawal pagi lagi saya sudah keluar dari rumah bersama-sama dengan isteri saya untuk bersarapan. Wajahnya sudah kelihatan sugul. Azura menghantar saya ke stesen bas. Sepanjang perjalanan kami lebih banyak senyap dari bercakap. Dalam diam saya memanjatkan doa supaya kehidupan kami dipermudahkan oleh Allah SWT.
Perjalanan menaiki bas dari Batu Pahat menuju ke Seremban mengambil masa hampir 2 jam. Sudah lama saya tidak ke Seremban. Rasanya hampir 3 tahun. Suatu ketika dahulu, Seremban adalah tempat saya dan Azura berjumpa setelah sekian kali tidak bertemu. Setelah berkahwin, saya tidak lagi ke Seremban. Sememangnya kunjungan ke Seremban kali ini akan membuatkan saya lebih bernostalgia. Melawat ke sesuatu tempat yang memberikan sejuta satu cerita kepada diri akan membuatkan saya terkenang semula segala kenangan lama. Sejujurnya ... ia mengembalikan momen indah yang pernah saya dan Azura kecapi semasa alam bujang kami. Hahahahaha
Saya sampai ke Seremban ketika jam menunjukkan angka 12 tengah hari. Tidak banyak perubahan yang terlihat. Namun kesibukannya tetap seperti dulu dan tidak berubah. Saya berlegar-legar dahulu di sekitar terminal bas utama Seremban ( Terminal 3 ). Dahulu, Azura akan menunggu saya di sini dengan senyuman. Terasa seolah-olah dia masih disini menunggu saya walaupun kami kini sudah mendirikan rumah tangga.
Saya sebenarnya tidak mengetahui lokasi stesen keretapi Seremban. Setelah bertanya dengan seorang pakcik tua yang baik, barulah saya tahu kedudukan sebenar stesen keretapi tersebut. Namun saya perlu berjalan kaki sedikit. Stesen keretapi Seremban sebenarnya masih mengekalkan binaan lamanya. Namun demikian, seiring dengan perkembangan masa, stesen ini diubahsuai sesuai dengan statusnya sebagai antara stesen keretapi utama di negara kita. Sepanjang saya berjalan kaki menuju ke stesen ini, saya dapat melihat bangunan-bangunan lama KTMB yang masih kekal. Ia masih mengekalkan, gaya klasik dan kolonial. Ini yang membuatkan saya begitu teruja !
Laluan menuju ke stesen KTMB Seremban
Kuarters lama yang masih boleh dilihat
Klasik !
Stesen keretapi Seremban
Keadaan di stesen KTMB Seremban
Saya terlihat kaunter tiket ETS ( Electric Train Set ), teringin juga dihati saya untuk menaikinya. Namun demikian petugas kaunter tersebut menyatakan bahawa perkhidmatan ETS tidak ke Tanjong Malim. Tidak mengapalah, saya boleh menaiki komuter dan merasai gegaran landasan. Itu lebih mengujakan saya. Saya bertolak dari Seremban pada jam 1 tengah hari. Tidak ramai penumpang disini. Seorang lelaki India tua berbual-bual ringan dengan saya. Beliau ramah dan baik. Sekurang-kurangnya saya tidak sunyi sepanjang perjalanan.
Pemandangan di stesen keretapi Seremban.
Perjalanan agak tenang. Beberapa pekerja KTMB juga turut serta dalam gerabak kami. Sempat juga saya berbual dengan salah seorang dari mereka berkenaan dengan dunia keretapi di Malaysia. Nampaknya beliau memang arif dan banyak memberikan saya maklumat-maklumat baru berkenaan dengan keretapi terutamanya tentang lokomotif. Pakcik India tua yang duduk disebelah saya juga sesekali berbual dengan saya. Sampai sahaja di Nilai beliau turun dan mengucapkan selamat jalan yang mesra. Penumpang mula ramai menaiki komuter. Tempat duduk mula penuh dan ramai yang berdiri.
Keadaan di dalam gerabak ( koc )
Pemandangan sepanjang perjalanan agak biasa-biasa. Sukar lagi menjumpai kebun-kebun getah dan ladang seperti pada zaman-zaman awal 1960an hingga lewat 1990an dulu. Yang ada hanyalah kawasan perumahan dan tanah-tanah kosong yang menunggu masa untuk dimajukan. Rebakan bandar menjadikan pekan-pekan kecil yang dahulunya tenang dan aman menjadi semakin sesak dan berpendudukan tinggi. Namun demikian, saya masih lagi boleh melihat kampung-kampung tradisi Melayu di sepanjang landasan. Sekurang-kurangnya ia mengubat rasa rindu saya pada zaman-zaman yang telah berlalu.
Sebuah surau kayu lama
Semakin menghampiri negeri Selangor semakin ramai penumpang menaiki komuter. Tempat duduk hampir semuanya dipenuhi dan ramai penumpang mula berdiri. Ini menjadikan saya merasa agak kurang selesa dan rimas. Penumpang-penumpang warga asing juga ramai yang menaiki komuter pada masa ini. Seorang lelaki kulit hitam yang memakai baju tanpa lengan berdiri dihadapan saya. Badannya agak berbau dan membuatkan saya loya. Mujur juga sebaik sahaja sampai ke stesen Bandar Tasik Selatan, beliau turun. Barulah saya merasa lega.
Akhirnya setelah menempuhi perjalanan di atas landasan selama 3 jam, saya sampai ke Tanjong Malim pada jam 4 petang. Stesen keretapi Tanjong Malim agak sunyi dan tenang. Ini merupakan hentian terakhir bagi komuter yang bergerak dari Rawang. Saya turun dengan hati yang puas. Walaupun hanya satu perjalanan yang ringkas namun saya begitu teruja dan puas hati. Saya berjalan kaki sahaja untuk ke stesen bas Tanjong Malim. Ketika ini perut saya sudah mula berkeroncong minta diisi. Niat saya pada ketika itu ialah untuk menikmati cendol dan rojak Tanjong Malim yang begitu lama tidak saya nikmati.... dan langkah saya semakin dipercepatkan. hehehehe.
Terminal bas Bandar Tasik Selatan
Komuter yang saya naiki singgah beberapa minit di beberapa stesen penting. Kebanyakan stesen komuter merupakan stesen-stesen moden. Sesekali kami berselisih dengan komuter lain atau dengan keretapi diesel yang menuju ke selatan. Terasa juga sedikit gegaran. Namun ia memberi keseronokan kepada saya. Masuk sahaja ke Kuala Lumpur, penumpang mula berkurang kerana ramai yang turun menuju ke destinasi masing-masing. Antara stesen utama yang disinggahi ialah KL Sentral, stesen keretapi lama Kuala Lumpur dan Bank Negara Malaysia.
Stesen keretapi lama Kuala Lumpur
Saya sebenarnya agak gusar ketika ini. Saya mengejar masa untuk sampai ke Bidor. Namun syukurlah selepas sahaja melepasi Kuala Lumpur menuju ke Rawang, komuter bergerak pantas. Ketika ini pemandangan di luar cermin sudah mula berubah. Ladang-ladang kelapa sawit pula yang menguasai pandangan saya. Seorang pakcik Melayu tua duduk disebelah saya. Menjeling tajam beliau kepada saya apabila melihat saya sibuk mengambil gambar. Hahahahaha.
Saya mengambil gambar syarikat pembuat koc komuter ini. Kebetulan logonya terletak dibawah bumbung. Usia komuter ini dalam lingkungan 16 tahun berdasarkan tahun pengeluaran 1996 seperti yang tercatat di logo berkenaan. Usai sahaja saya mengambil gambar berkenaan, tiba-tiba pakcik tua itu bersuara bertanya kenapa saya mengambil gambar berkenaan. Saya hanya menjawab ringkas bahawa saya meminati keretapi. Gusar juga hati saya jika beliau menyangkakan saya berbohong. Beliau ketawa dan mengeluarkan sekeping kad dari dompetnya dan menunjukkannya kepada saya. Saya mengamati kad berkenaan. Rupa-rupanya pakcik berkenaan adalah seorang pesara KTMB !.
Saya mengambil gambar syarikat pembuat koc komuter ini. Kebetulan logonya terletak dibawah bumbung. Usia komuter ini dalam lingkungan 16 tahun berdasarkan tahun pengeluaran 1996 seperti yang tercatat di logo berkenaan. Usai sahaja saya mengambil gambar berkenaan, tiba-tiba pakcik tua itu bersuara bertanya kenapa saya mengambil gambar berkenaan. Saya hanya menjawab ringkas bahawa saya meminati keretapi. Gusar juga hati saya jika beliau menyangkakan saya berbohong. Beliau ketawa dan mengeluarkan sekeping kad dari dompetnya dan menunjukkannya kepada saya. Saya mengamati kad berkenaan. Rupa-rupanya pakcik berkenaan adalah seorang pesara KTMB !.
Komuter buatan Hyundai Korea tahun 1996
Banyak juga yang kami bualkan. Pakcik itu tidak lokek menceritakan pengalaman beliau kepada saya. Sampai sahaja di Rawang kami berpisah. Saya perlu menukar komuter untuk ke Tanjong Malim. Stesen keretapi Rawang merupakan antara stesen keretapi utama di negara kita. Kedudukannya yang terletak ditengah-tengah antara perjalanan antara Tanjong Malim ke Kuala Lumpur menjadikan ia sebagai stesen yang agak sibuk dengan penumpang. Saya sampai di Rawang dalam jam 3 petang. Perjalanan dari Seremban ke Rawang hanya mengambil masa selama 2 jam.
Stesen keretapi Rawang
Electric Train Set ( ETS ) baru yang terdapat di
stesen keretapi Rawang
Dari Rawang saya menaiki sebuah lagi komuter menuju ke Tanjong Malim. Saya menyukai laluan ini kerana saya akan melalui beberapa stesen pekan-pekan lama di dalam daerah Hulu Selangor. Dahulu ketika belajar di UPSI saya sangat gemar melawat pekan-pekan kecil seperti Kerling dan Rasa. Pekan-pekan ini masih mengekalkan suasana lama yang klasik. Namun saya tidak pasti sama ada keadaannya masih kekal seperti dahulu atau kini sudah berubah akibat dari perubahan masa dan teknologi.
Stesen keretapi pekan Rasa
Perjalanan kali ini lebih menyeronokkan saya. Penumpang agak kurang dan banyak lagi ruangan penumpang yang kosong. Pemandangan di luar juga lebih menarik dan klasik. Ditinjau dari internet satu ketika dahulu dalam daerah Hulu Selangor terdapat begitu banyak stesen keretapi dan hentian kecil keretapi. Namun kini kebanyakannya sudah dirobohkan bagi memberi laluan kepada pembinaan landasan berkembar. Saya masih lagi mengingati stesen keretapi Kuala Kubu Road yang begitu klasik dan indah. Namun kini saya pasti, stesen tersebut telah tiada lagi.
Stesen keretapi lama Kuala Kubu Road
( ihsan http://zkeretapi.blogspot.com )
Pemandangan perjalanan dari Rawang ke Tanjong Malim
Stesen keretapi Tanjong Malim
Saya melalui jalan yang agak sunyi menuju ke pekan Tanjong Malim. Dahulu sewaktu dalam tahun-tahun awal saya di UPSI jalan ini masih agak sibuk dan ramai penduduk berniaga makanan di sini. Namun setelah jalan utama Tanjong Malim "terpotong" akibat dari pembinaan landasan berkembar, jalan ini menjadi kurang penting. Dua buah jejambat baru dibina merintangi landasan keretapi bagi memudahkan penduduk Tanjong Malim ( khasnya kawasan Ketoyong ) untuk ke Tanjong Malim.
Dahulu laluan ini agak sibuk di Tanjong Malim
Jejambat pejalan kaki Tanjong Malim
Syukur setelah berjalan kaki ditengah terik mentari, saya sampai ke kedai menjual cendol dan rojak yang sangt saya sukai di Tanjong Malim. Ianya terletak disebelah KFC Tanjong Malim dan tidak jauh dari jejambat motosikal landasan keretapi Tanjong Malim. Saya memesan semangkuk cendol pulut dan sepinggan rojak. Berselera saya makan petang ini. Dahulu disinilah tempat saya melepak bersama teman-teman sekuliah selepas penat seharian berkuliah. Harganya juga sangat murah. Sesuai jugalah dengan bajet mahasiswa seperti kami yang sering keputusan kewangan. hehehehe.
Kedai menjual cendol dan rojak tidak jauh dari jejambat
utama Tanjong Malim
utama Tanjong Malim
Cendol dan rojak yang menyelerakan
Saya tidak berlama-lama disini. Selepas membayar harga cendol dan rojak tersebut saya terus menuju ke stesen bas Tanjong Malim untuk menaiki bas ke Sungkai. Saya melintasi sederet kedai yang menjadi tempat jualan VCD cetak rompak yang sangat terkenal bagi kami suatu ketika dahulu. Nampaknya ia semakin sunyi. Tidak sepertu dahulu... kaunternya sentiasa penuh dengan pembeli ( sudah pasti saya salah seorang daripadanya ). Ah...segala kenangan itu bagaikan menari-menari di ingatan saya pada waktu ini. Tiba-tiba saya menjadi seorang lelaki yang bernostalgia.
Dahulu disini meriah dengan pelanggan
yang mencari VCD cetak rompak
Stesen bas Tanjong Malim masih tidak berubah. Ia tetap sama seperti dahulu. Sukar untuk melupakan segala kenangan yang tersimpul disini. Sebelum menggunakan motosikal di UPSI, saya perlu menaiki bas untuk pulang ke Bidor. Perkhidmatan bas yang sering saya gunakan pada ketika itu ialah Syarikat Bas Mogah atau syarikat bas ekspres Seri Maju ( Azra ). Namun saya lebih gemar menaiki bas Mogah kerana kondisi bas nya yang buruk dan klasik. Tanyalah pada masyarakat Tanjong Malim, Slim River dan Sungkai ... mereka pasti mengingati bas Mogah sebagai sebuah entiti lagenda dan bersejarah.
Stesen bas Tanjong Malim
Namun demikian, kini bas Mogah sudah tiada lagi. Khabarnya ia kini dimiliki oleh syarikat lain. Bas-bas uzurnya kini sudah berganti dengan bas baru dan berhawa dingin. Bas saya bergerak ke Sungkai pada jam 5 petang. Agak lewat. Fikiran saya berserabut bimbang akan terlepas bas terakhir dari Sungkai ke Bidor. Saya menghubungi ayah supaya bersedia menagmbil saya di Sungkai sekiranya saya ketinggalan bas. Sewaktu di UPSI, perkara yang paling menyeronokkan saya apabila menaiki bas ialah peluang untuk melihat gadis-gadis manis yang turut serta menaiki bas. Hahahahahaha ....tapi itu dululah.. zaman-zaman bujang yang ceria. Kini saya sudah berumah tangga. Mata tidak lagi tergoda kepada semua itu.. insyaAllah.
Bas syarikat Star Coach yang membawa saya ke Sungkai
Perjalanan mengambil masa 1 jam. Penumpang juga tidak ramai. Saya tiba di Sungkai jam 6 petang. Syukur masih ada bas untuk ke Bidor. Bas yang terakhir. Stesen bas mengundur Sungkai pernah saya ulas satu ketika dahulu dalam blog ini. Suasana petang di Sungkai agak sibuk. Dahulu pekan ini sunyi. Namun kini ia sudah agak sibuk akibat pertambahan penduduk. Dari tingkap bas, saya memandang ke luar. Sederet rumah kedai kayu bersebelahan stesen bas Sungkai kini sudah tiada lagi. Saya masih ingat lagu dahulu emak sering menempah baju kurung pada seorang tukang jahit wanita Cina yang membuka kedainya disitu. Tidak saya tahu dimana lokasi kedai jahit itu kini.
Pemandangan waktu petang sebahagian pekan Sungkai
dari arah stesen bas mengundur
Bas Syarikat Hup Yik di stesen bas mengundur Sungkai
Dahulu ada sederet kedai kayu berhampiran dengan
stesen bas Sungkai ini. Namun kini ia sudah tiada lagi.
Bas bergerak meninggalkan pekan Sungkai sekitar jam 6.30 petang. Tidak ramai penumpang bersama saya. Rasanya sudah hampir 5 tahun saya tidak menaiki bas dari Sungkai ke Bidor. Tambangnya juga semakin meningkat. Syarikat bas Hup Yik yang beroperasi sejak dari sebelum merdeka masih lagi gagah memberikan perkhidmatan bas berhenti-henti untuk laluan Tapah-Bidor-Sungkai walaupun khabarnya perkhidmatannya tidaklah sekerap dahulu. Kini sudah ramai yang memiliki kenderaan sendiri. Pengangkutan awam seperti bas berhenti-henti semakin terpinggir dari arus masa. Sudah banyak syarikat bas yang gulung tikar dan saya tidak tahu lagi bilakah penamat hayat syarikat ini. Esok atau lusa itu saya tidak pasti namun suatu hari nanti sudah pasti kita akan mengenang kembali betapa manisnya kenangan susah senang menaiki bas tua yang uzur dan memang saya telah menikmatinya !!!!!
Sampai sahaja di Bidor, ayah telah menanti saya dengan motosikalnya. Sejak dahulu hingga kini, ayah sentiasa cepat dan tepat dari saya. Saya akui saya tidak akan mampu dalam menandingi ayah dalam ketetapan janji dan masa. Perjalanan yang agak mencabar namun memberi makna kepada saya... tidak mustahil saya akan menikmati perjalanan seperti ini di masa-masa yang mendatang. Cuba-cuba menaiki komuter rupa-rupanya memberi sejuta satu kenangan yang sukar dimengerti !
Sampai sahaja di Bidor, ayah telah menanti saya dengan motosikalnya. Sejak dahulu hingga kini, ayah sentiasa cepat dan tepat dari saya. Saya akui saya tidak akan mampu dalam menandingi ayah dalam ketetapan janji dan masa. Perjalanan yang agak mencabar namun memberi makna kepada saya... tidak mustahil saya akan menikmati perjalanan seperti ini di masa-masa yang mendatang. Cuba-cuba menaiki komuter rupa-rupanya memberi sejuta satu kenangan yang sukar dimengerti !
18 ulasan:
Pengalaman yang menarik... lepas nie kita buat rombongan sekeluarga ke kelantan naik keretapi...
Abg Amir...
ok abg amir...ade rezeki kite rancang trip g rumah along kat kelantan...hehehe
Kuatnya berjalan di musim cuti sekolah.
Tuan Thomas..
sejak sudah beristeri ni susah juga hendak melakukan perjalanan...bila ada peluang memang saya tidak lepaskan dan catatkan... hahaha
bagusnya..pengalaman yg menarik..kebetulan bulan 5 nanti saya nak ke teluk intan..dan saya perlu naik komuter smpai ke tanjung malim..tapi bleh saya tahu stesen komuter tanjung malim dengan stesen bas tanjung malim..jaraknya mcm mana?..dekat ke jauh dan senang ke kita nak cari stesen bas tu.ini perjalanan pertama saya..dan tiket bas dari tanjung malim terus ke teluk intan sentiasa ada atau ada masa2 tertentu utk dinaiki..
salam
kedudukan stesen keretapi tanjong malim dan stesen bas tidak lah terlalu jauh. berkemungkinan dalam jarak 500 meter sahaja. Namun demikian kita perlu menggunakan jejambat bagi menyeberangi landasan keretapi sebelum sampai ke stesen bas.
salam,pernah tak saudara menaiki teksi dari stesen teksi tanjung malim ke teluk intan,kalau tak keberatan saya ingin tahu tentang kadar tambang yang dikenakan....
salam
saya tidak pernah menaiki teksi dari Tanjong Malim ke Teluk Intan. cumanya kalau menaiki bas kadar tambangnya lebih kurang begini Tanjong Malim - Bidor menaiki bas ekspres Seri Maju RM 6.00 ...Bidor - Teluk Intan naik bas Hup Soon RM 5.00
Kalau nak pegi ipoh ade ke bas dari tg malim?bas apa ya?tambng?
salam Tuan..
Jika mahu ke Ipoh dari Tanjong Malim dengan menaiki bas terdapat dua cara. Iaitu menaiki bas ekpres Seri Maju dari stesen bas Tnjong Malim. Bas ekpres berkenaan akan singgah sebentar di Bidor dahulu untuk mengambil penumpang. Cara yang kedua ialah menaiki bas lompat ... dari Tanjong Malim menuju ke Sungkai dengan menaiki bas Star Coach atau bas mara liner. Dari sungkai anda boleh menaiki bas Hup Yik ke Tapah. Bas ini akan singgah sebentar di Bidor mengambil penumpang dan anda tidak perlu turun dr bas. Dari Tapah sudah terdapat bas menuju ke Ipoh. Jika tidak silap saya bas Syarikat Regal. Jika tidak ada bas berkenaan sila naik bas syarikat KAMTA menuju ke Kampar. Dari Kampar anda sudah boleh ke Ipoh dengan menaiki bas Maju Perak bewarna unggu merah muda.
Salam.. kalau dari ktm tanjung malim, apa cara mudah nak ke upsi? Tambang teksi lingkungan berapa ringgit ye?
salam Sdri Pijah Noden
Untuk ke UPSI ( kampus Sultan Azlan Shah ) adalah lebih mudah dengan menggunakan Teksi. Namun saya tidak pasti sama ada di persekitaran kawasan stesen KTM T.Malim terdapat teksi yang sedia menanti. Jika untuk ke UPSI ( Kampus Sultan Abdul Jalil ) sekiranya sdri berkeupayaan maka bolehlah sahaja berjalan kaki sahaja dengan jarak lebih kurang 1km sahaja. sekiranya tiada teksi maka sdri perlu berjalan kaki menuju ke stesen bas t.malim. disana ada sedia teksi untuk disewa. diharap maklumat ini dapat membantu sdri
Kedai VCD tu dulu banyak jual mercun. Pernah dulu nampak mercun roket sedepa panjangnya. Harga pun rm50 sebatang. Tapi tu lebih 10 tahun dulu tak tau sekarang ada jual lagi ke tak.
Tambang ktm dari Tanjung Malim ke Rawang brapa?
Salam Tuan,
Electric Train Set: Keretapi mainan elektrik.
Electric Train Service: KTMB ETS yang tuan naik tu.
Maklumat yg sangat berguna. Bulan lepas sebelum ke teluk intan dari seremban, terbaca post tuan. Kos sy komuter Seremban-Tanjung malim RM18.20, Tanjung malim-Bidor rm6.00, Bidor-Teluk Intan Rm4.50.
Post a Comment