BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Friday, August 3, 2012

Menjejak Keretapi di Selatan


Agak lama saya tidak menulis di blog perkongsian ini. Keadaan diri yang semakin sibuk tidak memungkinkan diri saya mempunyai masa yang banyak untuk menulis. Tambahan pula bahan cerita juga semakin berkurang dan idea-idea baru sukar pula untuk menyusul tiba. Fikiran juga sesekali menjadi buntu dan seringkali juga cerita-cerita yang ingin dikongsikan terbengkalai malah ada juga yang dibakul sampahkan sahaja oleh diri. Saya menjadi semakin celaru.

Namun segalanya berubah apabila saya mengambil cuti rehat untuk pulang ke Semenanjung baru-baru ini. Menikmati cuti dan berpuasa bersama isteri menjadikan hati dan fikiran saya tenteram semula. Maka mulalah ilham-ilham baru muncul di fikiran saya untuk merangka satu perjalanan ringkas. Sekurang-kurangnya boleh juga saya jadikan cerita untuk kita kongsikan bersama. Akhirnya saya membuat pilihan untuk melihat sendiri landasan keretapi di selatan. Khabarnya masih banyak tinggalan-tinggalan lama dan klasik di sana. Ermm... 

Tidak seperti jajaran landasan keretapi pantai Barat semenanjung yang sudah dimodenkan,jajaran landasan bagi pantai Timur dan Selatan semenanjung masih lagi mengekalkan keasliannya sejak dari awal kewujudannya. Inilah perkara yang membuatkan saya begitu teruja untuk meninjau landasan keretapi di selatan ini. Tumpuan utama saya ialah landasan bermula dari stesen keretapi Gemas menuju ke Segamat. Kali ini saya ingin melihat binaan-binaan klasik yang masih kekal sehingga kini. Mungkin kita akan bernostalgia dengannnya .... siapalah yang tahu.

Perjalanan Bermula

Saya memulakan perjalanan dari Gemas seorang diri. Memandu kereta seorang diri tanpa mempunyai apa-apa panduan benar-benar menguji diri saya. Sejujurnya, saya tidak pernah menjejakkan kaki ke Segamat. Bagaimana keadaan dan jaraknya dari Gemas juga saya tidak tahu. Cuma apa yang bermain di fikiran saya ialah saya mesti menjejakkan kaki ke stesen keretapi Segamat walau apa pun yang terjadi. Saya tidak memberitahu isteri bahawa saya akan ke Segamat. Cuma saya katakan kepadanya, saya ingin pergi mengambil gambar. Isteri saya hanya tersenyum. Saya mengerti, dia memang mengetahui yang saya akan ke Segamat. Hahahahaha

Selepas sahaja melepasi sempadan Negeri Sembilan dan Johor, saya melalui sebuah pekan kecil yang sangat klasik. Rumah-rumah kedainya masih lagi mengekalkan bentuk lama. Pekan yang saya maksudkan itu ialah pekan Gemas Baru. Uniknya, pekan ini betul-betul terletak di pinggir landasan keretapi dan jalan utama.

Bangunan rumah kedai lama yang terdapat di pekan Gemas Baru


Sebuah kedai runcit lama

Memandangkan kedudukan pekan Gemas Baru yang terletak tidak jauh dari landasan keretapi, maka tidak hairanlah pekan ini mempunyai beberapa perkara yang sangat unik. Antaranya ialah sebuah jambatan lama landasan keretapi yang masih digunakan sehingga kini. Saya amat tertarik dengan kualiti binaan jambatan-jambatan keretapi lama. Jurutera-jurutera pada ketika dahulu ( berkemungkinan semasa penjajahan Inggeris ) amat teliti terutama dalam membina sesuatu binaan. Hal ini boleh kita lihat menerusi penyusunan batu - bata yang menjadi tiang utama kekukuhan sesebuah jambatan. Ini menjadikan binaan yang dibina tahan lebih lama dan berkualiti dalam menempuh masa.

Sebuah jambatan besi landasan keretapi di pekan Gemas Baru.
Perhatikan binaan batu bata yang menjadi tapak sokongan jambatan ini.
Kukuh dan kemas !

Terdapat juga sebuah lintasan rata di pekan ini. Nampaknya jalan yang merintangi landasan ini agak sibuk. Namun saya terlupa ia menuju kemana. Sebuah pondok pengawal landasan yang agak usang masih boleh dilihat. Pemandangan yang serupa ini rasanya sudah semakin sukar ditemui di landasan cawangan pantai Barat.

Lintasan rata di pekan Gemas Baru dari jarak jauh.

Saya tidak berlama-lama di pekan ini. Saya meneruskan perjalanan melalui jalan yang asing bagi saya. Saya mengharapkan agar berjumpa dengan hentian-hentian kecil keretapi di sepanjang perjalanan. Terasa rugi juga di hati ini kerana tidak sempat membuat rujukan di internet sebelum memulakan perjalanan. Namun saya merasa hampa kerana tidak menemui sebarang perhentian kecil keretapi pun sepanjang perjalanan. 

Lebih kurang 15 minit memandu secara perlahan dari pekan Gemas Baru akhirnya saya sampai ke pekan Batu Anam. Ia sebuah pekan yang sangat klasik. Sebelum memasuki pekan ini, saya singgah dahulu meninjau keadaan stesen keretapinya. Rasanya bangunan keretapi ini merupakan binaan baru. Namun ada sesuatu yang menarik minat saya di stesen ini, tidak lain dan tidak bukan ialah papan tanda stesen yang masih mengekalkan gaya lama. Sememangnya amat sukar lagi menjumpai papan tanda lama seperti ini kerana pihak KTMB telah menggunapakai papan tanda baru yang berwarna biru di hampir kesemua stesen keretapi di Semenanjung. Ia benar-benar mengujakan saya !.

Stesen keretapi pekan Batu Anam

Pemandangan sekitar stesen keretapi pekan Batu Anam

Nampaknya stesen keretapi Batu Anam agak sunyi. Tidak pula saya ketahui sama ada ia masih berfungsi untuk mengambil atau menurunkan penumpang. Saya seterusnya singgah meninjau keadaan pekan Batu Anam. Kelihatan sebuah jejambat  baru merintangi pekan kecil ini. Landasan keretapi juga turut melalui pekan ini. Saya sempat mengambil gambar lintasan rata jalan utama ke pekan ini dengan landasan keretapinya. Sedang saya sibuk mengambil gambar, saya disapa oleh pengawal landasan. Seronok juga berbual-bual dengan beliau. 

Jejambat baru merintangi landasan keretapi pekan Batu Anam


Saya agak terkejut ketika mula memasuki pekan Batu Anam. Masakan tidak, ia masih mengekalkan rekabentuk pekan-pekan lama. Gaya kolonial masih kuat dan ia merupakan pekan yang tenang. Rumah-rumah kedainya mungkin dibina sejak zaman kolonial lagi. Ahh....seronok saya disini. Tidak sia-sia perjalanan ini, kerana saya dapat mengimbau semula nostalgia pekan-pekan lama yang sudah mati di negeri kelahiran saya Perak Darul Ridzuan. Jauh berjalan rupanya di Johor bertemu kenangan.

Pekan Batu Anam


Rumah kedai lama di pekan Batu Anam

Selepas mengambil gambar di pekan Batu Anam, saya meneruskan perjalanan menuju ke Segamat. Berdebar juga hati ini bila memikirkan saya tidak mengetahui bagaimana keadaan bandar Segamat. Terlintas juga hati ini  untuk mencari makam-makam lama milik keluarga Temenggong yang dikatakan pernah memerintah kawasan Muar ( suatu ketika dahulu Segamat terletak didalam wilayah Muar ). Namun lokasinya tidak pula saya ketahui. Tidak mengapalah, mungkin suatu masa nanti saya akan mencarinya semula.

Rupa-rupanya sebelum sampai ke Segamat saya akan melalui sebuah lagi pekan lama iaitu pekan Buloh Kasap. Ada sesuatu yang amat menarik dan bersejarah di sini iaitu sebuah jambatan yang terputus dua. Jambatan ini diletupkan oleh pihak tentera British bagi menghalang kemaraan tentera Jepun semasa perang dunia kedua. Uniknya, jambatan ini terus dikekalkan sebagai tinggalan bersejarah bagi tatapan generasi kini.

Jambatan Putus Buluh Kasap dari jauh

Tiang utama jambatan putus yang masih kekal

Pemandangan di atas jambatan

Saya agak tertarik dengan corak dinding jambatan ini. Coraknya seperti bendera Union Jack milik Britain. Ahh... itu memang sudah semestinya kerana ia dibina oleh penjajah Inggeris. Kini sekitar kawasan jambatan telah dijadikan kawasan rekreasi bagi pengunjung dan penduduk setempat.

Corak bendera Union Jack pada dinding jambatan putus Buluh Kasap

Pintu masuk ke kawasan rekreasi jambatan putus
Buluh Kasap

Agak lama juga saya di jambatan ini. Namun tidak pula terbuka hati saya untuk mengambil gambar pekan Buluh Kasap. Kelihatannya agak klasik juga pekan ini namun itulah... ia bukan rezeki saya agaknya. Sempat juga saya berbual dengan seorang penduduk tempatan tentang jambatan ini. Agak ramah juga beliau cuma saya agak kurang memahami percakapannya yang terlalu laju. Hahahahaha

Saya meneruskan pemanduan saya menuju ke Segamat. Semakin hampir sampai ke Segamat keadaan lalu lintas mulai sibuk. Saya mulai gusar kerana jalan yang saya lalui ini adalah begitu asing. Mata saya melilau mencari stesen keretapi Segamat yang menjadi hajat utama saya. Akhirnya sayup dari jauh saya dapat melihat  stesen keretapi Segamat, namun simpang jalan untuk ke stesen ini tidak pula saya jumpa. Saya mengambil keputusan untuk memasuki satu simpang yang saya rasakan boleh membawa saya menuju ke stesen keretapi berkenaan. Alhamdulillah... pilihan saya tepat. 

Namun sebelum sampai ke stesen keretapinya, saya singgah dahulu meninjau sebuah jambatan keretapi yang begitu hebat. Ianya terletak tidak jauh dari stesen keretapi Segamat. Inilah jambatan yang pernah saya lihat beberapa kali di internet dimana ada jalan kecil yang melalui dibawahnya dengan ketinggian sekadar lebih kurang dalam 3 meter sahaja. Teruja saya melihat binaannya yang kukuh. Batu bata yang menjadi tiang penahannya disusun kemas menjadikannya sebuah jambatan keretapi yang gagah dan hebat !

Jambatan keretapi di Segamat


Ada jalan yang melalui bawah jambatan ini.


Terdapat juga lintasan rata berdekatan dengan jambatan ini. Jika diikutkan hati mahu sahaja saya berjalan kaki bersendirian di atas jambatan ini. Namun rasa kewaspadaan menghalang diri saya. Saya tidak dapat membayangkan bagaimanakah keadaan serta bunyi yang akan kedengaran dari jambatan ini sekiranya keretapi diesel melalui diatasnya. Ahhh.... pasti bunyinya begitu mengujakan !


Setelah hampir 15 minit meninjau-ninjau keadaan sekitar jambatan ini, saya meneruskan perjalanan ke stesen keretapi Segamat. Sepanjang jalan menuju ke stesen keretapi berkenaan saya dapat melihat kuarters-kuarters lama KTMB yang masih diduduki dan ditinggalkan. Yang paling terkesan dihati saya ialah rumah-rumah kerajaan lama yang diperbuat dari kayu masih utuh disini. Terasa seolah-olah kembali ke zaman sebelum merdeka pula. Hehehehehe.

 Kuarters kerajaan lama

Rasanya sudah tidak berpenghuni

Stesen keretapi Segamat boleh lah dikatakan masih mengekalkan keaslian binaannya. Sekali imbas ia kelihatan seperti stesen keretapi Gemas. Perbezaan yang ketara antara dua buah stesen keretapi ini ialah ia hanya mempunyai satu platform sahaja. Saya tidak pasti sama ada perselisihan antara keretapi boleh dilakukan disini atau tidak. Walaupun terletak ditengah bandar, saya dapat merasakan ada suasana kekampungan dan aroma klasik di sini. Dengan pepohon kelapa yang tinggi dan gah di hadapan stesen ini, ia seolah-olah mengembalikan suasana lama. Carilah stesen keretapi yang masih mempunyai pohon kelapa di sekelilingnya di Malaysia ini.... rasanya jawapan yang kita jumpa ialah .... susah hendak berjumpa lagi ! hahahahaha.

Bangunan utama stesen keretapi Segamat

Keadaan di stesen keretapi Segamat agak tenang. Penumpang juga agak kurang. Saya meninjau-ninjau keadaan stesen ini. Nun di hadapan stesen kelihatan papan tanda stesen bewarna putih. Papan tanda lama juga masih boleh ditemui disini. Uniknya dibelakang papan tanda itu berdiri sebatang pohon kelapa. Ia menimbulkan satu pemandangan yang unik. Saya menggemari mood seperti ini.

Klasik !

Keadaan di dalam stesen keretapi

Ruangan mrenunggu

Kaunter tiket

Platform utama



Saya juga dapat melihat rumah-rumah lama yang masih digunakan oleh pihak KTMB di seberang landasan stesen ini. Rumah-rumah lama ini masih kukuh dalam mendepani cabaran masa. Ia secara tidak langsung mengekalkan stesen keretapi Segamat sebagai salah sebuah stesen lama yang masih kekal dengan suasana lama.



Lama juga saya di stesen ini. Menikmati suasananya yang tenang dan klasik. Beberapa orang penumpang melihat saya dengan perasaan yang hairan. Saya hanya tersenyum dengan mereka. Tidak perlu berkata apa-apa kerana ia memang minat dan hobi saya. Niat dihati mahu saja saya menanti keretapi yang akan tiba melewati stesen ini. Tetapi memandangkan masa yang agak suntuk membuatkan saya perlu beredar dengan segera. Lama juga saya memandang stesen ini... terdetik juga dihati saya jika suatu hari nanti projek landasan berkembar akan sampai ke sini apakah suasana lama seperti ini akan kekal lagi untuk saya ... bermacam andaian mula timbul di hati. Sedaya upaya saya memujuk hati dengan berkata mungkin sekurang-kurangnya catatan kecil ini dapat membeli semula kenangan bagi mereka-mereka yang pernah mempunyai nilai nostalgia disini. 

Saya bergerak meninggalkan bandar Segamat dengan hati yang rawan. Entah bila entah kan tidak lagi saya akan kesini. Melihat suasana lama dan tenang memberikan saya sejuta satu kenikmatan. Ia menenangkan dan membeli semula kerinduan saya terhadap sesuatu yang lama telah mati .... suasana kekampungan !

Dari Gemas ke Segamat .... saya menemui rindu yang meniti disebalik landasan lamanya !



4 ulasan:

Anonymous said...

Jiwa saudara memang sama dgn jiwa sy yang terlau meminati keretapi. Satu hari stesen Segamat ini pasti berubah wajah dan menghapuskan terus suasana "lama" seperti yang berlaku di sepanjang landasan pantai barat yg sudah dimodenkan. Tiada lagi lintasan keretapi berpagar, tiada lagi perselisihan keretapi, tiada lagi orang ke hulu ke hilir didalam gerabak menjual kuih2 dan nasi lemak, tiada lagi bunyi hon keretapi memberi amaran kanak2 bermain di landasan. Semuanya hilang begitu sahaja.sgt merugikan.

hafez j malim said...

salam sdra tanpa nama
dari kata-kata yang sdra nukilkan shaja saya sudah mula merasakan betapa segala nostalgia lama itu telah hilang terus dari memori generasi kini. Inilah yang saya cuba usahakan menukilkan kisah2 stesen keretapi lama sebagai persediaan awal menanti saat matinya stesen2 berkenaan. Walaupun hanya sebuah catatn kecil dan ringkas saya berharap ia dapat membantu membeli semula segala kenangan yang pernah kita lalui dulu di stesen2 keretapi ini. terima kasih kerana sudi membaca blog ini. salam mesra dari saya

Unknown said...

Assalamualaikum, saudara.

Saya ni org segamat. saya cuma nak kongsikan pengalaman saya di stesen keretapi segamat dgn saudara.

Saya selalu naik keretapi masa saya kanak-kanak dulu, terutamanya masa nak balik kampung ke seremban. Dulu, ada kedai makan di kawasan ruang menunggu. Jadi, sebelum keretapi sampai, kami sekeluarga makan roti canai di kedai tersebut. Orang yang berniaga di situ pun peramah orangnya. Keretapi sampai je, kita bertolak.

Tapi, sekarang ni, saya dah jarang naik keretapi, dan tak tahu pulak bila stesen keretapi segamat dah dinaiktaraf. Dan, setelah menjenguk, kedai makan tu dah takde. Walaupun dah tiada, tetapi memori dulu masih dalam ingatan.

Dan, untuk maklumat saudara, segamat ada 3 lintasan keretapi berpagar automatik. Satu daripadanya terletak betul-betul di sebelah persimpangan berlampu isyarat. Di situ, trafiknya agak sesak, terutamanya semasa pagar keretapi hendak direndahkan dan dinaikkan semula setelah keretapi lalu. Saya suka bahagian di mana pengawal pagar hendak menurunkan pagar. Dia kena melihat dengan teliti pada lampu isyarat. Apabila lampu bertukar kuning, pagar pun diturunkan.
Laman web ni adalah gambar persimpangan yang saya katakan:

(https://lh4.googleusercontent.com/-rUKdfPG7Obs/UFq6cwnKhZI/AAAAAAAAAZQ/IaFnzJFJ9Lc/s640/DSC01314.JPG)

Apa2 pun, maaf barangkali saya tulis amat panjang. Sekian saja. Assalamualaikum....

Dari Ammar.

hafez j malim said...

Salam Sitiaishahnatasha..
terima kasih kerana sudi berkunjung dan memebrikan komen di dalam catatan saya ini. saya begitu menghargai coretan pengalaman yang pernah dilalui oleh anda sedari zaman kanak-kanak lagi. ia menambahkan lagi resam cerita berkenaan dengan stesesn keretapi segamat. inilah yang sangat saya perlukan bagi menambahkan lagi rencah dalam catatan ini. ia juga sebagai satu usaha kita bersama mengembalikan semula nostalgia lama di stesen-stesen keretapi lama yang semakin hari semakin sukar lagi dijumpai. saya telah melihat gambar yang telah anda sertakan .. percayakah anda bahawa pemandangan seperti ini boleh dikatakan telah hampir pupus di landansan sebelah pantai barat semenanjung ? anda beruntung kerana landasan sebelah selatan sememnnjung terutamanya di Johor masih mengekalkan keasliannnya sejak dari zaman penjajahan lagi. oleh itu kini tibalah masa untuk kita menyimpan dan mengkhazanah koleksi ini untuk tatapan anak -anak kita di masa depan. saya tidak pasti berapa lamakah lagi hayat lintasan berpagar seperti ini kerana pembangunan landasan berkembar pasti akan sampai ke seksyen landasan selatan suatu masa nnt dan pasti pemandangan seperti ini akan tggal kenangan sahaja kepada kita.