BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

.

Photobucket

Saturday, February 16, 2013

Stesen Keretapi Lama Kuala Kubu Road Dalam Kenangan

Hal Keretapi



Lama benar rasanya saya tidak bercerita tentang keretapi disini sehingga ada yang berkata saya telah jemu dan hanya mempunyai minat yang bermusim terhadap keretapi. Jika dilihat didalam arkib blog ini, memang jelas bahawa artikel terakhir saya berkaitan dengan hal keretapi adalah pada bulan Mac tahun 2012 yang lalu. Namun dengan tiadanya artikel berkaitan dengan hal keretapi bukanlah bermakna minat saya terhadap keretapi telah mati ataupun hanya bermusim, tetapi hanyalah atas faktor kurangnya aktiviti perjalanan mencari cerita dan masa yang terlalu "bakhil" terhadap kehidupan saya kini.

Namun, sejujurnya bercerita tentang hal keretapi masih merupakan minat utama saya. Pulang ke kampung pada cuti sempena perayaan tahun baru Cina baru-baru ini telah menerbitkan satu siri perjalanan ringkas saya ke dua buah stesen keretapi lama yang suatu masa dahulu pernah menjadi denyut nadi kehidupan masyarakat sekitarnya. Dua buah stesen keretapi yang berjaya saya jejaki itu ialah stesen keretapi lama Batu Gajah dan stesen keretapi lama Kuala Kubu Road. Perubahan masa dan teknologi telah meminggirkan dua buah stesen ini dari terus menyumbangkan baktinya kepada masyarakat. Sebaliknya ia dibiarkan usang dimamah masa dan akhirnya ia pasti hilang terus dari lipatan ingatan warganya.

Saya menginsafi perkara ini. Berbekalkan kepada keyakinan bahawa stesen-stesen keretapi lama ini punya nilai sejarahnya yang tersendiri, saya berusaha merancang satu perjalanan yang mampu mengembalikan semula nostalgia lama yang pernah menjulang kegemilangan dua buah stesen keretapi ini dalam memberikan perkhidmatan pengangkutan awam kepada masyarakat. Mungkin ini hanya sebuah catatan perjalanan yang picisan bagi mereka di luar sana. Terpulanglah apa sahaja tanggapannya ... saya hanya ingin berkongsi rasa dan kenangan dengan para pembaca blog ini.

Nostalgia Stesen Keretapi Kuala Kubu Road

Stesen keretapi Kuala Kubu Road dalam kenangan

Dahululah ... ketika saya masih lagi menjadi penuntut di Universiti Pendidikan Sultan Idris ( UPSI ) Tanjong Malim, sering juga saya berkunjung ke pekan Kuala Kubu Bharu. Jarak antara Tanjong Malim dan Kuala Kubu Bharu tidaklah terlalu jauh. Jika tidak bermotosikal, saya lebih gemar menaiki bas sahaja ke Kuala Kubu Bharu. Saya gemar dengan suasana pekan Kuala Kubu Bharu yang masih kuat aroma klasiknya. Malahan tidak keterlaluan jika dikatakan Kuala Kubu Bharu kekal dengan gaya kolonialnya dan bentuk muka buminya juga agak berbukitan.

Melalui jalan persekutuan yang sememangnya tidak pernah suram dengan kenderaan menuju ke Kuala Kubu Bharu benar-benar meneronokkan hati saya. Kiri dan kanan jalan hanyalah kampung-kampung Melayu tradisi, kebun-kebun getah yang menghijau dan beberapa pekan-pekan kecil lama membuatkan diri terasa kembali semula ke tahun-tahun sebelum adanya Projek Lebuh Raya Utara Selatan ( PLUS ). Saya masih ingat lagi jika mahu ke Kuala Lumpur pasti laluan ini yang akan dilalui.

Namun, sebelum sampai ke Kuala Kubu Bharu, ada sesuatu yang benar-benar menarik minat saya sejak dahulu lagi iaitu sebuah stesen keretapi lama yang terletak betul-betul di pinggir kanan jalan persekutuan arah Tanjong Malim menuju ke Kuala Kubu Bharu. Stesen keretapi lama yang saya maksudkan itu ialah stesen keretapi Kuala Kubu Road. Sewaktu tahun pertama dan kedua saya di UPSI, stesen keretapi Kuala Kubu Road ini masih lagi beroperasi tetapi setelah sahaja projek pembinaan landasan berkembar dimulakan, hayat stesen ini mula menuju penhujungnya. Selepas sahaja saya menamatkan pengajian di UPSI, ingatan terhadap stesen ini terus hilang begitu sahaja.

Sebuah gambar lama stesen keretapi Kuala Kubu Road
( ihsan dari zkeretapi.blogspot.com )

Ketika melakukan suatu perjalanan ringkas menggunakan komuter pada tahun lepas, secara tiba-tiba ingatan saya terhadap stesen keretapi lama Kuala Kubu Road ini segar semula. Hati saya bagaikan meronta-ronta mahu mencari semula stesen keretapi lama ini setelah tidak melihatnya dari kaca tingkap komuter. Yang ada hanyalah stesen keretapi baru yang serba moden. Namun itulah ... peluang untuk berkunjung ke stesen lama ini masih belum ada sehinggalah saya pulang ke kampung pada cuti sempena tahun baru Cina baru-baru ini. Barulah segala yang tersimpan di hati dapat dilunaskan dengan jayanya !

Kesesakan Yang Menguntungkan

Lumrahlah sewaktu tibanya musim hari perayaan pasti lebuh raya dan jalan raya akan mengalami kesesakan yang amat teruk. Itulah yang dialami oleh saya dan keluarga sewaktu pulang ke Bidor dimana kami terperangkap didalam kesesakan di lebuh raya utara selatan yang amat teruk bermula dari Sungai Buloh. Akhirnya, saya mengambil keputusan untuk keluar ke Rawang dan menggunakan jalan lama persekutuan untuk mengalakkan kesesakan.

Sudah bertahun-tahun saya tidak menggunakan jalan lama ini. Segala ingatan-ingatan lama saya terhadap sesuatu perkara yang terdapat di sepanjang perjalanan terus terluah dari bibir saya tanpa diminta. Isteri saya hanya menjadi pendengar yang setia walaupun saya tahu beliau tidak akan ambil pusing dengan setiap cerita-cerita saya. Sehinggalah kereta kami melawati simpang menuju ke pekan Kuala Kubu Bharu, fikiran saya secara tiba-tiba teringatkan stesen keretapi lama Kuala Kubu Road. Dalam perkiraan saya pastilah stesen itu sudah diruntuhkan bagi memberi peluang kepada projek pembinaan landasan berkembar. Namun ketika memandu itulah dari jauh saya terpandangkan sebuah papan tanda lama di pinggir jalan. Sayup di hadapan kelihatan bumbung yang hampir diliputi oleh rimbunan pepohon. Hati saya melonjak riang. Tahulah saya kini bahawa stesen keretapi lama Kuala Kubu Road masih wujud !.

Saya terus memberitahu isteri untuk singgah dahulu di stesen ini dan isteri saya bersetuju dengan permintaan saya itu. Namun setelah berfikir sedalamnya, saya mengambil keputusan untuk meneruskan sahaja perjalanan ke kampung. Selain dari faktor keselamatan, saya juga perlu memikirkan soal kesediaan diri saya sendiri untuk meneroka khazanah stesen berkenaan. Tidak mengapalah, saya yakin saya akan ke sini juga nanti fikir saya di dalam hati.

Akhirnya Niat Di Hati Termakbul Jua

Duduk bercuti di kampung benar-benar memberikan suatu kepuasan yang tiada taranya di dalam hati saya. Selain dari menunaikan hajat ayah untuk berjumpa dengan cucu sulungnya, saya juga mempunyai agenda lain untuk bahan penulisan blog ini. Namun, ingatan terhadap stesen keretapi lama Kuala Kubu Road bagaikan sukar dipadamkan. Ada juga perancangan saya untuk ke stesen ini namun sentiasa sahaja saya berhalangan. Akhirnya setelah difikirkan sedalamnya, saya mengambil keputusan untuk melawat stesen lama ini sewaktu perjalanan pulang dari kampung nanti. Saya yakin, saya telah membuat keputusan yang tapat !

Saya tidak memberitahu kepada isteri saya berkenaan hajat di hati saya untuk singgah sebentar di stesen keretapi lama Kuala Kubu Road ini. Saya hanya memaklumkan bahawa kami akan menggunakan jalan persekutuan lama dahulu dari Bidor ke Tanjong Malim sebelum masuk ke lebuh raya PLUS. Sampai sahaja ke Tanjong Malim, saya berdalih kepada isteri dengan menyatakan bahawa mungkin berlaku kesesakan di plaza tol Tanjong Malim dan perlu masuk ke lebuh raya PLUS dari Rawang. Isteri saya hanya mengangguk setuju namun saya tahu beliau sudah mula dapat membaca apa yang terkarang di fikiran saya.

Setelah ternampak papan tanda bahawa kami akan melawati Kuala Kubu Road, barulah saya memberitahu isteri hajat dihati. Beliau mengangguk sambil tersenyum dan membenarkannya. Saya meletakkan kereta di pinggir jalan. Isteri dan anak menunggu didalam kereta. Timbul juga perasaan cemas meninggalkan anak dan isteri bersendirian di pinggir jalan yang sunyi. Namun saya yakin kuasa Allah SWT akan melindungi mereka.

Tidak jauh dari tempat saya meletakkan kereta, kelihatan sebuah perhentian bas lama yang mungkin sudah tidak digunakan lagi. Masakan tidak saya beranggapan sedemikian, pasti kegunaan perhentian bas itu untuk para penumpang keretapi yang turun untuk menaiki bas menuju ke Rawang atau ke Kuala Kubu Bharu. Kini, keretapi tidak lagi singgah mengambil dan menurunkan penumpang di stesen lama ini. Maka sudah pastilah perhentian bas itu juga sudah tidak digunakan lagi. Sayu saya melihat perhentian bas kecil itu. Seolah-olah ia sedang menantikan masa untuk dirobohkan.

Perhentian bas sunyi di belakang kereta 

Nun diseberang jalan kelihatan papan tanda stesen berwarna putih yang masih utuh. Hanya tulisannya di permukaannya sahaja yang sudah sukar untuk dibaca. Ia sebuah papan tanda lama bagi stesen-stesen keretapi lama. Amat sukar lagi kini untuk kita menjumpai papan tanda stesen keretapi lama seperti ini di jajaran landasan keretapi pantai barat Semenanjung. Kebanyakannya telah pupus ditelan zaman atau musnah akibat dari pembinaan landasan berkembar suatu masa dahulu.



Stesen keretapi Kuala Kubu Road ini agak unik kerana ia dibina ditepi kawasan yang agak tinggi. Banggunan utama stesen terletak di bahagian bawah. Ini secara tidak langsung menyebabkan penumpang perlu melalui puluhan tangga simen yang berbumbung untuk sampai ke bangunan utama stesen keretapi. Saya tertarik dengan binaan tangga berbumbung stesen ini yang amat kukuh. Saya yakin pasti ianya dibina sejak zaman penjajahan Inggeris lagi. Dari arah jalan raya persekutuan, pasti kita tidak akan dapat melihat bangunan stesen keretapi sebaliknya kita hanya akan dapat melihat tangga berbumbung sahaja. Inilah keunikan stesen keretapi lama Kuala Kubu Road ini. Sayangnya kini ia telah ditinggalkan.

Pintu masuk utama ke kawasan stesen keretapi
Kuala Kubu road

Saya berhasrat untuk ke kawasan bangunan utama stesen yang terletak di bahgian bawah. Mujur juga pintu pagar stesen berkenaan telah terkopak dan ini secara tidak langsung memudahkan saya untuk menyelinap masuk kebawah. Melalui lorong bertangga yang sunyi membuatkan saya lebih berhati-hati. Tambahan pula semak samun di kawasan ini sudah agak meninggi. Saya sememangnya fobia kepada ular. Tidak hairanlah perasaan bimbang dipatuk ular bersarang di hati ketika ini.

Menuruni tangga-tangga usang untuk ke
bangunan utama stesen keretapi

Masih kukuh walaupun usang

Akhirnya saya sampai ke bangunan stesen keretapi. Terasa lapang hati ini apabila melihat bangunan kecil yang diperbuat dari batu ini masih utuh mendepani cabaran masa. Saya tidak pasti sama ada ini ialah bangunan utama atau ia sebahagian dari kawasan stesen keretapi ini. Jika dilihat dari bentuk binaannya, tidak kelihatan pula seperti sebuah stesen keretapi sebaliknya lebih terarah kepada pejabat. Saya berharap juga sekiranya terdapat poster-poster lama ataupun gambar-gambar keretapi tergantung di dindingnya. Sekurang-kurangnya boleh juga diambil dijadikan kenangan dari dibiarkan mereput. Sayangnya memang tidak ada perkara-perkara yang saya hajatkan itu.

Bangunan utama stesen keretapi Kuala Kubu Road
dari arah depan

Keadaan dari arah tepi bangunan

Saya membuat sedikit rujukan dilaman sesawang zkeretapi blogspot untuk mendapatkan maklumat lanjut berkenaan stesen keretapi ini dan ternyata stesen ini merupakan sebuah stesen terbuka ( penumpang menunggu keretapi di platform tanpa bumbung ). Jadi bangunan yang sedia ada ini adalah bangunan asal stesen keretapi Kuala Kubu Road. Terasa diri begitu bertuah kerana masih berpeluang untuk melihat bangunan asal stesen keretapi Kuala Kubu Road yang telah ditinggalkan ini.

Kaki lima bangunan utama stesen

Saya meninjau keadaan didalam bangunan stesen ini dan ternyata ia masih kukuh walaupun ada beberapa bahagian sudah mula mereput. Tingkapnya masih seperti dahulu. Rasanya bangunan kecil ini pernah menjadi tempat bagi penagih dadah melepaskan ketagihan. Sayu hati melihat keadaannya yang terbiar. Saya dikejutkan dengan bunyi Electric Train Set ( ETS ) yang melintasi stesen ini dengan lajunya. Pasti penumpang ETS berkenaan tidak menyedari bahawa suatu ketika dahulu pernah ada sebuah stesen keretapi kecil yang banyak berjasa kepada penduduk setempat.

Keadaan didalam bangunan utama stesen

Daun pintunya masih kukuh walau dalam keusangan

Vandalisme yang merosakkan

Jika dilihat dari gambar lama yang menjadi rujukan saya terhadap stesen ini ternyata dahulu jarak antara platform stesen dengan landasan adalah berhampiran. Namun kini jarak stesen ini dari landasan berkembar agak jauh. Hal ini dapat dibuktikan dengan kedudukan papan tanda stesen yang bersebelahan dengan bangunan utama. Sayangnya seperti juga papan tanda yang terletak di tepi jalan raya persekutuan, papan tanda ini juga semakin uzur malah diliputi oleh semak samun yang meninggi. Saya sedar, semenjak wujudnya stesen keretapi Kuala Kubu Bharu yang baru, stesen ini terus ditinggalkan sepi. Arus pemodenan tidak memungkinkan lagi peranan stesen ini bagi menampung penumpang yang semakin meningkat. Tambahan pula, pasti persepsi masyarakat juga terhadap stesen ini sudah berubah. Jika dikekalkan serta digunakan pasti ada mencebik bahawa stesen ini sudah ketinggalan zaman.

Papan tanda bersebelahan stesen yang sudah diliputi 
semak samun

Saya tidak berlama-lama disini. Saya memandang ke landasan berkembar jauh dihadapan. Betapa besarnya harga yang perlu dibayar  untuk melihat kejayaan projek landasan berkembar ini. Tidak terhitung jumlah stesen-stesen keretapi lama yang hilang terus dari pandangan mata hanya untuk memastikan projek landasan berkembar ini terlaksana. Kini stesen-stesen kecil klasik yang suatu masa dahulu menjadi tempat kita menikmati indahnya perjalanan menaiki keretapi banyak yang terkubur ataupun berganti baru. Sekurang-kurangnya stesen keretapi Kuala Kubu Road ini masih tersisa kesannya jika dibandingkan dengan stesen keretapi Bidor yang terkubur tanpa nisan akibat dari pembangunan projek landasan berkembar.

Landasan berkembar yang banyak 
merubah wajah stesen-stesen lama

Ketika bergerak menaiki tangga untuk meninggalkan stesen keretapi ini, sempat saya memandangnya untuk kali yang terakhir. Terasa mahu sahaja saya menangis semahunya hati disitu namun saya sedar itu adalah perkara yang sia-sia. Selama hampir setengah jam disini terasa diri dibawa mengembara ke suatu zaman dimana keretapi adalah kenderaan yang paling utama bagi rakyat. Pandangan mata saya seolah-olah merasa kesibukan di stesen ini dengan para penumpang yang menunggu di platform terbukanya dan kakitangan Keretapi Tanah Melayu yang tekun dengan tugasan mereka. Tetapi itulah .... semuanya telah tiada. Semuanya telah hilang dimamah masa dan kemajuan.

Keadaan tangga berbumbung dari arah bangunan stesen

Selamat Tinggal Stesen Keretapi Kuala Kubu Road

Sebelum saya menyeberangi jalan untuk menuju ke kereta yang diletakkan di pinggir jalan, saya memegang papan tanda lama stesen ini. Terasa sejuk tapak tangan ini apabila tersentuh tiangnya. Isteri dan anak saya kelihatan selamat di dalam kereta. Sempat juga saya mengambil beberapa keping gambar disini. Pemandu-pemandu yang lalu lalang ada yang tersenyum sinis melihat saya termanggu-manggu di hadapan pintu masuk stesen ini. Ah... biarlah mereka. Saya tidak pernah mengganggu hidup mereka.

Saya menyeberang jalan dengan berhati-hati dan ketika mahu bergerak meninggalkan stesen ini sekali lagi pandangan mata saya tumpah ke stesen keretapi tua ini ... tidak tahulah berapa lama hayatnya lagi usia stesen keretapi Kuala Kubu Road ini. Jika akhirnya nanti ada yang bertanya benarkah suatu ketika dahulu pernah wujud sebuah stesen keretapi di Kuala Kubu Road sebelum wujudnya stesen moden yang ada sekarang ... biarlah artikel ini menjadi saksi bisu bahawa suatu dahulu ada seorang lelaki pernah hampir menitiskan air mata melihat saat akhir kewujudannya !!!!!




12 ulasan:

korin said...

saya mempunyai terlalu banyak kenangan di KKB, banyak juga air mata tertumpah di sini, namun saya masih menyimpan hasrat untuk tinggal di KKB.

hafez j malim said...

salam
saya juga amat berharap suatu ketika dahulu akan tinggal menetap di KKB... sayngnya semua itu hnya tinggal kenangan sahaja. namun saya tetap sukakan KKB. Sentiasa berharap nuansa nya kekal seperti dahulu

Halim BG said...

Memori semasa ulang alik KL - Bt Gajah masa belajar UPM dulu. keretapi mel selalu berenti selisih kt sini. Abg2 mat komando selalu turun sini balik kem kt KKB. semua dalam kenangan..

hafez j malim said...

salam Tuan Halim BG
terima kasih sudi untuk membaca dan berkongsi cerita di blog ini. InsyaALLAH cerita berkaitan stesen keretapi LAMA batu gajah juga akan menyusul.

Anonymous said...

sukar utk digambarka dgn kata2 betapa sedihnya hati bila melihat stesen2 lama ini ditinggalkan dan dirobohkan. begitu bnyak kenangan bersama keretapi semasa kecil. Sistem keretapi negara kita semakin hari semakin maju sekaligus menghilangkan memori indah bersama keretapi sewaktu ketika dulu. Teruskan usaha saudara utk menyelongkar dan berkongsi cerita mengenai keretapi di negara kita.

hafez j malim said...

salam
Itulah realiti yang perlu ditelan oleh kita kini... kemodenan tidak dapat kita tentang dengan kenangan. InsyaAllah jika ada diberikan peluang pasti saya akan berusaha untuk mendekati beberapa buah lagi stesen keretapi lama. Terima kasih kerana sudi membaca blog perkongsian ini. salam mesra dari saya

yeop24 said...

coretan tuan sangat menarik...
stesen keretapi inilah suatu waktu dahulu menjadi tanda untuk saya menekan loceng bas untuk berhenti di hentian bas di hadapannya..tujuannya untuk ke rumah opah saudara yang terletak di kg paya dalam yg terletak di sebalik kebun getah di belakang hentian bas tersebut...nostalgia itu tetap terpaku di sanubari...

hafez j malim said...

salam yeop24...
terima kasih kerana sudi berkongsi cerita tuan dan membaca coretan picisan saya ini.Besar hati saya agar coretan ini mampu mengembalikan ingtan dan memori rakan-rakan pembaca ke suatu zaman yang telah lama berlalu. Inilah sahaja sumbangan yang mampu saya berikan kepada mereka2 yang masih mengingati rakaman-rakaman sejarah disini. semoga tuan sentiasa sihat selalu. terima kasih kerana mengunjungi blog perkongsian ini

Anonymous said...

Saya ank jati kkb rasa terharu bila terbaca blog j malim yg sangat menghargai stesen keretapi kuala kubu roadsedangkan penduduk kkb pun tak pernah amik kisah.saya rasa pihak berwajib patut pulihara peninggalan sejarah stesen keretapi lama kuala kubu road ini untuk dijadikan sebagai kenangan dan bahan rujukan sejaran untuk generasi akan datang

hafez j malim said...

salam anon dr KKB
Itulah yang berlaku kini ...perkara yang suatu ketika dahulu mempunyai jasa dibiarkan usang dimamah masa malah dilupakan. sudah menjadi lumrah bagi sesuatu perkara.. bila sudah tiada barulah dikenang sedangkan semsa ia msih wujud dibiarkan pula. namun ia adalah suatu yang harus kita terima dengan positif. stesen keretapi tua dan lama seperti KKB memerlukan kos yang banyak jika dipulihara dan ia pasti menimbulkan banyak masalah lain.

Unknown said...

Tertarik dgn artikel tuan...
KKB Road memang tempat lepak saya pada waktu malam ketika bujang dlm tahun 1993-1995...sbb dekat situ ada public phone...selepas menikmati makan malam di benteng KKB kini bergelar Dataran KKB saya pasti akan ke stesen ini menikmati angin malam...tiada gangguan kalo nak tel awek ketika itu...arwah atuk saya juga adalah penumpang tetap keretapi ketika itu dari Kuala Kangsar utk ke rumah kami di Taman Arif...tapi kini hanya tinggal kenangan...kenangan yg tetap segar diingatan...kita akur dgn arus pembangunan...

mior izwan said...

Tertarik dgn artikel tuan...
KKB Road memang tempat lepak saya pada waktu malam ketika bujang dlm tahun 1993-1995...sbb dekat situ ada public phone...selepas menikmati makan malam di benteng KKB kini bergelar Dataran KKB saya pasti akan ke stesen ini menikmati angin malam...tiada gangguan kalo nak tel awek ketika itu...arwah atuk saya juga adalah penumpang tetap keretapi ketika itu dari Kuala Kangsar utk ke rumah kami di Taman Arif...tapi kini hanya tinggal kenangan...kenangan yg tetap segar diingatan...kita akur dgn arus pembangunan...