Sukar untuk diucapkan dengan kata-kata apabila kedua-dua kaki saya menjejakkan kaki ke pekan Siputeh ini. Dunia terasa diterbalikkan 360 darjah disini. Nuansa lama yang telah lama mati dari hiruk pikuk kemodenan bagaikan hidup semula disini walaupun dalam keadaan yang nazak. Benar ... ia mungkin antara beberapa pekan tua yang masih hidup dengan sejuta satu kenangan di negeri Perak Darul Ridzuan ini. Ketika beberapa teman lamanya ada yang mati diratah oleh kemodenan, pekan Siputeh terus dengan nilai lamanya yang utuh dan klasik. Ya ... di pekan Siputeh yang tenat ini saya menemui sebuah cerita ... cerita sebuah pekan yang sedang menunggu hari matinya !
Pekan Tua Di Pinggir Jalan
Perjalanan ke pekan Papan yang ceritanya telah saya ulas tidak lama dahulu rupa-rupanya telah membenihkan satu lagi kunjungan yang tidak dijangkakan oleh diri saya. Usai sahaja keluar dari pekan Papan, saya telah mengajak sepupu saya Harith untuk terus ke pekan Tronoh yang terletak tidak jauh dari pekan Papan.
Peta lama jajaran landasan keretapi
cawangan Ipoh ke Tronoh yang kini telah tiada.
( sumber : http://www.malayarailway.com )
Cadangan awalnya, saya mahu mencari jejak warisan landasan keretapi lama cawangan Ipoh ke Tronoh yang kini telah tiada sambil melihat kembali pekan Tronoh yang pernah saya kunjungi beberapa tahun yang lepas. Sekurang-kurangnya pasti ada bahan cerita yang boleh saya kongsikan di pekan Tronoh ini. Sayangnya, sebaik sahaja kereta yang kami naiki memasuki simpang ke pekan Tronoh ini, saya mula tawar hati untuk turun mengambil gambar atau mencari warisan sejarah landasan keretapi atau pekannya. Tidak ketahuan kenapa hati saya bagaikan terasa berat. Kesudahannya kami keluar sahaja dari pekan Tronoh tanpa ada sebarang usaha. Harith sendiri hairan dengan sikap saya.
Saya memutuskan untuk terus pulang sahaja ke rumah Harith di Batu Gajah. Sepanjang perjalanan kami sibuk bercerita tentang pelbagai tajuk. Maklum sahajalah, sudah lama tidak bertemu. Namun begitu walaupun sibuk berbual, mata saya tetap meliar memandang kiri dan kanan jalan. Sehinggalah sampai di suatu kawasan mata saya terpandang deretan rumah kedai lama yang terletak agak jauh dari jalan utama arah Batu Gajah ke Ipoh. Bagaikan dikejutkan dari lamunan yang panjang, saya lantas mengajak Harith ke pekan yang unik itu. Harith tidak menolak dan dengan pantas beliau menyatakan saya akan melihat pekan Siputeh yang sangat tua !
Pekan Siputeh Yang Saya Ketahui
Jika tidak silapnya dalam ingatan, saya mula mendengar nama pekan Siputeh ini sejak saya dalam tingkatan satu, atau dalam tahun 1997. Asalnya melalui perpindahan seorang rakan persekolahan ke Ipoh. Apabila beliau pulang sekali sekala ke Bidor, sering juga beliau datang melawat saya di rumah. Dari perbualan bersama teman sekolah inilah saya mengetahui yang beliau tinggal di pekan Siputeh yang letaknya tidak jauh dari bandaraya Ipoh.
Lumrahlah, sebagai anak kampung yang hidupnya amat jarang berenggang tanah kelahiran, fikiran saya pada ketika itu hanya dapat menangkap dan membayangkan bahawa pekan Siputeh pasti sebuah pekan yang sibuk dan berkembang kerana ia terletak tidak jauh dari Ipoh. Dan fikiran-fikiran semacam itu bagaikan terlekat di otak sehinggalah saya menjejakkan kaki ke pekan ini dengan sebenar-benarnya. Barulah saya sedar, pekan Siputeh yang pernah saya bayangkan dahulu bukanlah seperti yang saya jangkakan. Pekan Siputeh yang berada di hadapan mata saya ini ialah sebuah pekan tua yang usang dan uzur. Ia membuatkan saya terkelu sejuta bahasa. Inilah lumrah perjalanan ... ia sentiasa memberikan ceritera dan pengalaman baru kepada saya dan saya menikmatinya dengan rasa syukur. Sekurang-kurangnya ia menambahkan lagi khazanah dan koleksi arkib penceritaan pekan-pekan lama di blog saya ini.
Marilah ... saya akan membawa anda melihat sebuah pekan lama yang masih hidup dengan kepayahan. Tanggalkan sebentar ego kemodenan anda dan nikmati gerak tari lama di pekan Siputeh ini. Ia pekan tua yang menanti kunjungan anak muda dengan sejuta rasa kenangan yang tak terluah !
Hati Tersentuh
Tidak banyak maklumat yang dapat saya pungut dari Harith berkenaan dengan pekan Siputeh ini. Beliau sendiri agak asing dengan kewujudan pekan ini walaupun sering melihatnya dari pinggir jalan menuju ke Ipoh. Berbanding dengan pekan Tronoh dan pekan Papan, pekan Siputeh memang agak asing bagi pencinta khazanah lama pekan-pekan tua.
Saya beranggapan, populariti pekan Papan sedikit sebanyak telah menenggelamkan nama pekan Siputeh sebagai sebuah lagi pekan lama yang masih wujud di negeri Perak. Hal ini ada juga kebenarannya kerana dari perbincangan saya dengan komuniti peminat sejarah di internet ternyata kebanyakan dari mereka lebih mengenali pekan Papan dan Tronoh daripada pekan Siputeh malahan ada yang tidak tahu langsung kewujudannya. Mahu tidak mahu saya perlu segera merakamkan saat-saat pekan ini sementara ia masih bernyawa. Sekurang-kurangnya apabila hayatnya dibunuh oleh komedenan, catatan mengenainya masih ada untuk kita kongsikan bersama.. insyaAllah.
Kami melalui sebatang jalan yang agak sunyi sebelum sampai ke pekan Siputeh ini. Saya bagaikan tidak percaya sebaik sahaja melunasi jalan tersebut kereta kami disambut oleh sebuah pekan yang sunyi dan seolah-olah ditinggalkan. Walaupun ketika itu ialah saat sambutan perayaan Tahun Baru Cina namun suasana kemeriahannya seolah-olah tidak terasa disini. Nuansanya begitu tenang dan sayu. Kami seolah-olah kembali semula ke suatu zaman yang telah menghilang !
Selamat datang ke pekan Siputeh !
Jalan di pekan ini lengang. Deretan rumah kedai di kiri dan kanan jalan kebanyakannya ditutup. Ada juga yang telah ditinggalkan uzur. Sesetengah dari rumah kedai di pekan ini masih berpenghuni tetapi keadaannya begitu lusuh.
Harith meletakkan kereta di hadapan sebuah rumah kedai yang masih berpenghuni. Seorang lelaki tua berbangsa Tiong Hua tersenyum memandang kami. Saya mengucapkan selamat tahun baru Cina dalam keadaan yang tidak ikhlas kepadanya. Lelaki tua itu tersenyum dan menunjukkan isyarat bagus kepada kami. berdua. Pada penglihatan saya hanya di sekitar kawasan rumah kedainya sahaja yang terasa adanya sambutan Tahun Baru Cina manakala yang lainnya begitu suram.
Saya mula berjalan kaki meneroka pekan Siputeh ini manakala Harith lebih selesa duduk di dalam kereta mendengar radio. Saya merasakan bangunan rumah kedai yang terdapat di pekan ini dibina sejak dari sebelum perang dunia pertama lagi. Ianya sama dengan binaan rumah-rumah kedai lama yang banyak terdapat di pekan-pekan lama sekitar negeri Perak ini. Saya cuba merakamkan dengan sebaik mungkin gambar-gambar suasana pekan ini. Aura klasik terasa begitu kuat disini. Beberapa penunggang motosikal tersenyum memandang saya yang sibuk mengambil gambar di pekan tua ini.
Sunyi yang mencangkam
Rumah kedai sudah direnovasi
Beberapa rumah kedai kelihatannya seperti pernah direnovasi namun ia juga seolah-olah sunyi dan ditinggalkan.Kaki lima rumah-rumah kedai ini kelihatnnya terjaga. Ia menunjukkan bahawa pekan ini masih berfungsi sebagai tempat penduduk setempat mencari barangan keperluan. Namun demikian terdapat juga kaki lima rumah kedai yang terbiar. Namun ia tidaklah seteruk rumah-rumah kedai yang terdapat di pekan Papan.
Tidak pasti pula sama ada kedai-kedai di pekan ini
masih berfungsi atau tidak.
Kaki lima rumah kedai yang sempat saya rakamkan
Seperti sebelum-sebelum ini, saya sememangnya berminat dengan kaki lima rumah kedai di pekan-pekan lama. Perasaan saya bagaikan mudah terbuai apabila duduk atau melalui lorong kaki lima rumah-rumah kedai tua ini. Ia seolah-olah mengembalikan ingatan saya pada suatu ketika yang telah lama berlalu. Saya pasti ramai yang masih mengingati ketika era kita sebagai pengguna menjadi raja. Pergi sahaja ke kedai-kedai runcit tradisional milik orang-orang Cina dan minta sahaja apa kemahuan kita. Pasti taukeh-taukeh kedai runcit berkenaan akan mengambil, menimbang dan membungkuskan barangan tersebut untuk kita. Saya masih ingat lagi bungkusan tepung yang diperbuat dari surat khabar dan diikat kemas dengan tali rafia yang unik. Saya pasti kita tidak akan berjumpa dengan jenisan bungkusan seperti itu lagi pada hari ini.
Saya melalui sebuah rumah kedai yang terbiar. Semak samun dan tumbuhan hijau meliar menutupinya. Fikiran saya sibuk memikirkan kemanakah pemilik dan waris kepada rumah kedai berkenaan. Terasa rugi melihat bangunan kedai klasik seperti ini dibiarkan tanpa terbela. Mahu sahaja saya memililki rumah kedai seperti ini namun saya sedar ianya pasti takkan berlaku.
Ia terbiar tanpa pembelaan
Pohon-pohon hijau yang meliar mula meliputinya
Tidak ketahuan apa nasibnya kelak.
Saya singgah sebentar di sebuah bangunan rumah kedai yang agak terpisah dari rumah kedai utama pekan ini. Terdapat dua buah rumah kedai dua tingkat di bangunan ini. Sayangnya hanya sebuah sahaja rumah kedai yang masih berfungsi sebagai kediaman. Terdapat perbezaan yang nyata antara kedua-dua rumah kedai ini. Sebuah masih tetap utuh dan kemas manakala yang sebuah lagi sudah usang dimamah masa malahan boleh dikatakan hanya menunggu masa sahaja untuk jatuh menyembah bumi. Teringat saya dengan kata-kata orang lama yang menyatakan bahawa rumah yang tidak bertuan akan mudah untuk menjadi usang. Dan saya mengakui kata-kata itu dengan benarnya !
Perhatikan perbezaan di antara dua rumah kedai ini
Menunggu saat runtuh menyembah bumi
Terdapat sebuah restoran India Muslim ( jika tidak salah saya ) yang masih beroperasi di pekan ini. Ketika kunjungan saya ianya masih dibuka dan masih terdapat pelanggan di dalamnya. Sekurang-kurangnya ia masih memberi warna kepada kewujudan pekan ini. Sayangnya tidak pula terdetik untuk saya mengambil gambar. Saya hanya melintas di hadapan restoran ini dan seperti biasanya ada mata-mata yang memandang dengan senyuman sinis.
Seperti beberapa pekan lain yang wujud di daerah Kinta, Kampar dan Batang Padanag, saya meyakini kewujudan pekan Siputeh juga saling berhubung kait dengan perkembangan aktiviti perlombongan bijih timah yang sememangnya menjadi hasil utama negeri Perak suatu ketika dahulu. Sayangnya selepas sahaja perusahaan bijih timah mula merosot maka beberapa pekan yang suatu ketika dahulu menjadi tumpuan manusia mula hilang seri dan peranannya. Pekan Siputeh juga tidak terkecuali. Kedudukannya juga agak hampir dengan bandar-bandar besar seperti Ipoh dan Batu Gajah, maka secara tidak langsung peranannya sebagai tempat sehenti penduduk setempat semakin terhakis.
Tiada kemudahan pejabat kerajaan disini. Kemudahan pejabat pos juga tidak kelihatan. Besar kemungkinan penduduk setempat lebih selesa berurusan di bandar Batu Gajah yang terletak tidak jauh dari pekan ini. Kemudahan stesen minyak juga tiada. Inilah nasib sebuah pekan tua yang semakin dilupakan oleh arus kemodenan. Generasi muda mungkin menganggapnya sebagai sebuah pekan yang tidak mempunyai nilai dan peluang untuk legasi kehidupan. Bijih timah yang suatu ketika dahulu merupakan tarikan yang bernilai kini hanyalah satu tinggalan sejarah yang telah berlalu. Manusia-manusia yang pernah menikmati saat gemilang di pekan Siputeh juga semakin menyusut jumlahnya. Hiruk pikuk sebuah pekan yang berjasa itu semakin menghilang dan sunyi dan saya pasti esok atau lusa ia terus hilang dalam lipatan sejarah.
Selemat tinggal pekan Siputeh
Saya memandang matahari petang yang redup. Terasa begitu sepi di pekan ini. Angin yang bertiup sesekali membawa sampah-sampah kering di jalanannya yang kosong. Di hujung jalan Harith mula menghidupkan enjin kereta untuk mengambil saya setelah melihat saya mula bergerak ke arahnya. Saya sedari saat untuk mengucapkan selamat tinggal kepada pekan Siputeh semakin hampir.
Kereta kelabu yang membawa saya dan Harith mula bergerak meninggalkan pekan tua ini. Saya memandang sayu ke arah pekan Siputeh yang kini semakin menjauh dari pandangan mata. Dunia kemodenan tidak memungkinkan ia akan terus wujud dalam keadaan seperti ini lagi. Esok atau lusa pasti urat-urat kemodenan akan datang menghambat masa silamnya yang gemilang. Mungkin pekan Siputeh akan berubah wajah atau mungkin juga ia akan ditinggalkan sama seperti pekan Kampung Kepayang.
Pekan Siputeh kini semakin tua, uzur dan dimamah masa. Teman-teman lamanya sudah banyak yang berubah wajah atau dibunuh oleh masa dan zaman namun pekan Siputeh terus hidup tanpa banyak berbicara tentang hari silamnya yang gemilang. Ia seperti seorang lelaki tua yang menyendiri di hari akhirnya. Benar ... ia sedang menyendiri sementara menanti masa membunuhnya dengan kejam !
Dan saya melihatnya dengan simpati !
Selemat berjumpa lagi pekan Siputeh
15 ulasan:
menarik post pasal pekan kecil nih... sayangnya tak terjaga
salam faizal..
terima kasih atas komen n kesudian berkunjung ke blog perkongsian ini.
lamanyer pekan ni..kat Bidor pun sama jugak walau banyak penempatan..namun masih terasa klassiknya..mungkin nama pekan bijih timah tu yang buat dia klassik - orang Bidor
EL MARIACHI..
teman pun org asal Bidor..hehehe. ape pun kebanyakan penempatan yang berasaskan kepada perkembangan bijih timah sememangnya agak klasik dan unik. Perhatikan jaluran pekan-pekan lama bermula dari Tanjong Malim membawa ke Simpang Pulai.. lihat betapa klasiknya rumah-rumah kedai lama yang terdapat disitu
aje yang iye ...dari simpang pulai tu membawak ke malim nawor..pekannya semua macam tu..udah tetinggey dek zaman...ate kita nunggu aje Dato Zahid jadi DPM hahaha..joke only
EL MARIACHI..
Teman pun aje nyokong kalo Datuk Zahid jd TPM... hehehe. teman mmg gemor ke dia.. hehehe
Salam bro..takder citer baru ke..duk jauh2 kat perantauan ni dpt baca story pasal pekan2 kat perak ni memang feel habis..
salam Muhd Suffian..
InsyaAllah cerita beberapa pekan lama di Perak masih ada untuk diulas... saya perlu memberi tumpuan kepada bahan-bahan cerita untuk disaring bagi membolehkan cerita di blog ini akan lebih seronok untuk dibaca. selain itu saya juga agak sibuk dengan kerja. insyaAllah akan ada cerita2 baru yang akan menyusul.
dihujung pekan ni ada masjid siputeh..pekan memang tua sayu apabila melalui nya..
Catatan journalis hasil lawatan lapangan sebenar. Thumbs up Saudara J. Malim
Di mana ya.. boleh share lokasi?
Taip saja dlm google maps Masjid Siputeh pasti jumpa pekannya..
Salam
Terima kasih mencoret kisah pekan siputeh ni. Saya dulunya pernah tinggal di kg siputeh Dan pekan siputeh merupakan tempat permainan Saya Dan keluarga.
Untuk pengetahuan blogger, pekan siputeh pernah Ade balai polis. Dan balai polis lama tersebut pernah dibuat rakaman cerita leftenan Adnan, kalau x silap Saya. Dan akhirmya balai polis lama tersebut dibakar.
Terima kasih sekali lagi kerana mencoret kisah pekan siputeh ni, semoga menjadi tatapan anak2 pada Masa Akan datang.
Pekan Siputeh ni senasib dengan Papan jugak.
Bila hasil bijih udah abih, maka, pekannya pun ditinggalkan begitu saja.
jalan yg asal melalui pekan Siputeh dari Ipoh berpecah dihujungnya,satu ke Tronoh dan satu ke Parit. Depan simpang tu ada balai polis ,atas pembangunan jln baru dibina 'by pass' Pekan Siputeh,dgn adanya jejambat dari Ipoh ke Parit dan dari Ipoh ke Tronoh hingga Lumut,hanya satu jalan ke Siputeh maknanya masuk dan keluar jalan yg sama jadilah hidup segan mati ta mahu.
Post a Comment