BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

.

Photobucket

Sunday, August 16, 2015

Mengenang Suatu Masa Yang Telah Berlalu 6

Hafez J.Malim 
Si Penggoreng Ayam



Sesekali Bercerita

Lama sungguh rasanya saya tidak menulis catatan berkenaan dengan siri 'Mengenang Suatu Masa Yang Telah Berlalu' . Memang diakui dua tahun kebelakangan ini, amat jarang saya mempunyai masa yang berkualiti untuk menulis di blog perkongsian ini. Sehingga ada beberapa teman yang sering membaca blog ini seakan-akan menganggap, yang saya kini sudah mahu 'tutup kedai' dalam menjadi penulis blog. 

Ketawa besar saya apabila diusik sedemikian rupa. Blog INDAHRASAJMALIM ini bukan blog berpaksikan keuntungan. Ia hanya sekadar perkongsian bicara antara saya dan pembaca dan pastinya segala tuntutan penulisan itu tidak dapat saya penuhi pada setiap masa. Selain dari kekangan masa dan tenaga, perkara pokok yang pastinya mengganggu saya dalam penulisan ialah kekurangan idea dan cerita. Maka tertinggallah blog ini sepi tanpa ada cerita yang terbaru. Sesuatu yang tidak pernah saya jangkakan ketika pertama kali menjadi penulis blog kira-kira enam tahun yang lalu.

Hari ini secara tiba-tiba saya terasa begitu kepingin untuk menulis. Sayangnya saya tidak punya idea yang segar untuk dicoretkan. Lama saya berfikir dan akhirnya timbul niat untuk menambahkan lagi suatu cerita berkenaan dengan pengalaman diri menempuh kehidupan yang lalu. Sudahnya saya kembali memetik papan kekunci komputer riba ini untuk berkongsi segala keriangan masa muda yang pastinya tidak lagi dapat dilalui kini.

Ya ... saya dapat mengingatinya kembali di awal bulan September 2008 sejurus setelah saya bergraduat dari Universiti Pendidikan Sultan Idris ( UPSI ) Tanjong Malim atau tepatnya pada hari pertama bulan Ramadhan pada tahun berkenaan .... saya menjadi pekerja di restoran Kentucky Fried Chicken ( KFC ) Tapah.


Kenangan semasa bergraduasi

Amarah Ketika Menjual Santan

Usai sahaja menamatkan urusan latihan mengajar di SMK Sungai Besar, Selangor pada April 2008, maka secara teknikalnya berakhirlah sudah pengajian saya dalam bidang Pendidikan Khas di Universiti Pendidikan Sultan Idris, Tanjong Malim. Saya kembali semula ke Bidor dan bekerja semula di pasar Bidor sebagai penjual santan kelapa. Dalam usia 24 tahun pada ketika itu, saya meniti semula laluan kenangan bekerja di pasar sama seperti pada tahun-tahun selepas menduduki peperiksaan SPM ( 2001 ) dan STPM ( 2003 ). 


Saya menjalankan program latihan mengajar
di PPKI SMK Sungai Besar dari bulan 
Januari hingga April tahun 2008.

Keadaan sudah agak berubah ketika ini, tahun 2008 saya sudah menjangkau usia 24 tahun dan rasa kematangan rasanya sudah mula terlihat pada diri. Menunggu untuk bergraduasi dan penempatan guru-guru baru pula masih belum diketahui bila masanya, sedangkan poket pula semakin menipis. Mahu tidak mahu saya perlu juga ke pasar untuk mencari duit poket. Tambahan pula untuk bergraduasi memerlukan juga duit modalnya untuk menyewa jubah dan menempah gambar. Ketika teman-teman lain mengambil inisiatif bekerja di kilang atau menjadi guru sandaran, saya memilih semula untuk ke pasar Bidor ... menjual santan.

Bekerja menjual santan ini ada pasang dan surutnya. Sesekali kerjanya berat dan pembeli agak ramai. Sesekali pembeli agak berkurangan dan saya dapatlah mengular meronda-ronda di pekan Bidor yang serba kecil itu. Gaji yang diterima ketika itu pun sudah agak besar dan dapatlah saya menampung hidup sebagai orang muda. Sayangnya saya tidak berlama-lama bekerja di pasar. Akibat dari suatu insiden yang menyebabkan berlakunya pertengkaran saya dengan opah ( tuan kedai santan ) telah menyebabkan saya diberhentikan kerja. Itulah amarah orang muda yang merasa dirinya sentiasa betul dan akhirnya memakan diri sendiri ..... saya kembali menjadi penganggur.

Mujur juga saya sempat menyimpan sedikit duit hasil bekerja di pasar. Dengan sedikit duit simpanan tersebut dapat juga membantu membiayai pembayaran  sewaktu konvokesyen saya di UPSI pada tahun 2008. Selepas konvokesyen, segala duit simpanan saya telah habis dan dapat saya rasakan betapa peritnya kehidupan tidak berduit dalam usia sedemikian. Mahu mengharapkan ayah terasa pula malu. Mahu tidak mahu saya perlu keluar mencari kerja. 

Rezeki Akhir Syaban


Restoran KFC Tapah terkini, tempat
saya mencari rezeki dahulu.

Agaknya memang sudah menjadi rezeki saya, ketika meronda-ronda di pekan Tapah saya ternampak iklan kekosongan jawatan di restoran KFC. Pada mulanya terasa segan di hati untuk mencuba nasib memohon kerja di restoran berkenaan. Namun dalam keadaan terpaksa saya mencuba juga menelefon nombor yang tertera dan memohon untuk bekerja. Panggilan saya dijawab dan diminta untuk datang ke restoran tersebut pada keesokan harinya.

Sayangnya ketika kehadiran saya keesokan harinya suasana di restoran berkenaan begitu sesak dengan pelanggan dan saya diminta untuk datang pada keesokan harinya pula oleh pengurus restoran KFC berkenaan. Sewaktu pulang dari restoran berkenaan, saya sudah mula merasakan tawar hati untuk bekerja disitu. Mungkin bukan rezeki saya agaknya. Nampaknya saya perlu mencari tempat kerja lain.

Namun esoknya baru sahaja saya mahu keluar mencari kerja secara tiba-tiba telefot bimbit saya berbunyi. Rupa-rupanya pengurus KFC berkenaan telah menghubungi saya dan menawarkan saya untuk bekerja di restoran KFC berkenaan. Tanpa berlengah saya menaiki motor kapcai buruk saya ke Tapah dan Alhamdulillah ... malam esoknya saya sudah boleh mula bekerja. Ya ... bekerja di hari pertama di dalam bulan Ramadhan.

Saya diberikan sehelai baju bewarna merah hati, sebuah topi dan sehelai apron. Seluar hitam dan kasut hitam pula saya perlu sediakan sendiri. Tugasan saya di bahagian dapur. Menggoreng ayam dan menyediakan perapan ayam. Saya masih ingat lagi gaji saya ditetapkan RM2.80 untuk satu jam bekerja. 

Mula Bekerja



Hari pertama di tempat kerja saya tidak melakukan apa-apa. Sekadar memerhati dan melihat teman-teman baru bekerja. Untuk seminggu saya ditetapkan bekerja pada waktu malam bermula dari jam 7.00 malam sehingga jam 11.30 malam. Apabila difikirkan kembali berapalah sangat gaji yang dapat saya terima jika bekerja hanya empat jam sehari namun saya menerimanya sebagai suatu pengalaman hidup.

Saya mula membiasakan diri dengan suasana bekerja. Paling menarik ia adalah pengalaman bekerja pertama saya di bulan puasa. Setiap hari pada jam 6.30 petang, emak akan menyediakan bekal untuk saya berbuka puasa di tempat kerja. Anehnya, tidak pula saya terliur dengan aroma ayam goreng KFC yang enak itu sejak bekerja walaupun sebelum ini memang sangat menyukai hidangan ayam goreng berkenaan. Agaknya mungkin rasa kebertanggungjawaban itu membuatkan selera terhadapnya hilang serta merta. Jujur saya katakan, saya tidak pernah mencuri-curi menikmati ayam goreng yang dimasak oleh saya.

Namun yang pastinya, hampir setahun selepas berhenti kerja dari restoran KFC, saya seakan-akan tidak boleh mencium bau atau memakan ayam KFC. Pelik ... namun itulah realitinya. Ia bagaikan menjemukan saya !

Suasana Bekerja Yang Menyeronokkan

Semakin hari saya mula menikmati suasana bekerja. Perhubungan saya dengan teman-teman sekerja juga semakin baik. Selari dengan masa, jam kerja saya juga mula dipertingkatkan. Sesekali saya akan mula masuk berkerja pada jam 3 petang atau jam 5 petang. Sesuatu yang menarik ialah pada ketika itu, jika kita bekerja melebihi empat jam maka kita layak untuk mendapat satu set hidangan sebagai makanan waktu rehat. Maka dapatlah saya berbuka puasa dengan ayam goreng KFC dan emak tidak perlu menyediakan bekalan untuk saya.

Sesuatu yang perlu masyarakat ketahui ialah apabila bekerja dengan sebuah organisasi yang menyediakan makanan berkualiti kepada pelanggan seperti KFC ini,  soal kebersihan, kualiti dan peraturan yang ketat amat dititikberatkan. Untuk menghasilkan ayam goreng yang berkualiti ia haruslah disediakan mengikut prosedur yang betul dan selamat. Dari aspek meratakan tepung, memerap dan meletakkan ayam di dalam "bucket" semuanya haruslah disediakan mengikut prosedur. Malahan susunan potongan ayam juga adalah mengikut apa yang telah ditetapkan oleh prosedur. Ini menjadikan rasa dan kualiti ayam yang dihasilkan enak malahan menjadi kesukaan ramai sampai bila-bila.

Sesekali, pemantau yang ditugaskan untuk memantau kualiti restoran KFC akan hadir bagi melihat kualiti kerja kami. Alhamdulillah, sepanjang saya bekerja hanya dua kali sahaja saya ditegur atas kualiti kerja saya dan saya mengambil teguran itu sebagai suatu yang positif. 

Saya juga sesekali akan diberikan latihan yang khusus oleh jurulatih yang berpengalaman di pusat latihan KFC. Jika tidak silap dalam ingatan saya menghadiri kursus sebanyak tiga kali di Ipoh khusus untuk mempertingkatkan kemahiran diri sebagai seorang pekerja KFC. Paling menyeronokkan perjalanan ke kursus ini selalunya secara beramai-ramai dan kami menaiki bas untuk ke Ipoh. Menikmati perjalanan beramai-ramai menaiki bas .... alangkah seronoknya ! 

Ada juga sekali kami terus meronda bandaraya Ipoh dan bermain boling dengan seragam KFC. Itulah kali pertama dalam sejarah hidup saya bermain boling. 

Teman-Teman Sekerja

Berkerja dalam komuniti yang kecil mengeratkan perhubungan saya dengan teman-teman sekerja. Perhubungan kami agak rapat walaupun baru sahaja mengenali antara satu sama lain. Pergaulan antara lelaki dan perempuan agak begitu rapat malah ada yang mampu menjalin hubungan cinta disini ( kecuali saya ). 

Teman sekerja yang paling rapat dengan saya bernama Bal. Jauh lebih muda dari saya namun beliau sudah dua tahun lebih bekerja di restoran berkenaan. Seorang yang berbadan besar namun dipenuhi dengan sifat lucah yang melampau. Anehnya, sifat lucahnya itu bagaikan berjangkit dengan diri saya malahan menjadi semakin teruk. Apabila bekerja bersama kami selalunya akan bergurau senda dan akan mencarut dengan semahunya hati. Pengurus restoran pula sesekali ada juga menegur kelakuan kami. Namun lama-kelamaan dipekakkannya telinga mendengar carutan kami.

Kebetulan pada ketika itu filem "MAN LAKSA" arahan pengarah Mamat Khalid sering dimainkan dalam siaran ASTRO. Saya dan Bal sememangnya sangat berminat dengan filem bercorak muzikal ini. Saban masa kami menyebut ayat-ayat yang diucapkan di dalam filem ini sehingga ia menjadi satu bahan lelucon yang sangat menghiburkan. Boleh dikatakan hampir semua lagu di dalam filem ini dapat kami hafal setiap liriknya dan yang paling utama pastinya lagu duet Allahyarham Ahmad Jais dan Allahyarhamah Kartina Dahari iaitu Budi Setahun Segunung Intan. Lagu itu bagaikan lagu wajib untuk dinyanyikan semasa bekerja.


Poster filem Man Laksa arahan 
Mamat Khalid yang menjadi kegilaan 
saya dan Bal.

Allahyarham Datuk Ahmad Jais

Allahyarhamah Kartina Dahari,
rakan duet Datuk Ahmad Jais dalam
lagu Budi Setahun Segunung Intan.


Selepas sahaja menyelesaikan tugasan mengemas dan menutup kedai, lazimnya kami akan duduk dahulu melepak di Restoran Ramli. Sekadar menikmati minum malam dan nasi lemaknya yang enak. Biasanya dari duduk-duduk yang sebentar itu melarat kepada jam 1 pagi. Maka itulah rutin seharian yang dilalui oleh saya. Namun semuanya dirasakan menggembirakan !.

Jarak pekan Tapah ke Bidor tidaklah begitu jauh atau dalam lingkungan 10 kilometer sahaja. Pulang bersendirian pada waktu tengah malam sesekali agak menggerunkan diri. Terbayang cerita-cerita yang pernah didengari dari teman-teman tentang pontianak dan langsuir yang dikatakan sering mengganggu pengguna jalan raya persekutuan dari Tapah ke Bidor. Namun semua cerita itu saya buang jauh-jauh dari ingatan sementelah pula saya bekerja pada bulan Ramadhan. Selepas sahaja Syawal menjelma sekali lagi cerita-cerita seram itu bermain di fikiran. Namun Alhamdulillah, sepanjang pulang lewat malam ke rumah tidak pula saya diganggu oleh entiti-entiti yang selalu diceritakan orang itu.


Langsuir ... orang Perak menggelarkan
hantu ini dengan panggilan Langsuyor.

Bekerja Di Hari Raya

Saya bekerja di pada awal puasa dan melalui suasana Ramadhan tanpa sebarang masalah. Namun sesuatu yang agak menyedihkan gaji kami masuk agak lewat menjelang Syawal. Saya sudah mula berkira-kira untuk tidak membeli sebarang keperluan untuk hari raya memandangkan saya perlu bekerja pada hari raya nanti.

Namun, pada suatu hari semasa saya menghantar ayah untuk bekerja ayah telah memberikan saya RM150 untuk saya melengkapkan keperluan hari raya saya. Terasa begitu sedih dan malu apabila mengenangkan dalam usia 24 tahun saya masih mengharapkan ayah untuk melengkapkan keperluan hari raya saya. Terasa diri ini begitu tidak berguna pada ketika itu. Walaupun berat hati untuk menerima pemberian ayah itu namun saya tetap mengambilnya. Memang saya tidak dapat menipu diri saya ... saya amat teringin untuk memiliki sehelai seluar jeans yang baru khusus untuk hari raya.

Kebetulan hari itu ialah hari cuti mingguan saya dengan segera saya ke Pasaraya Ekonomi Tapah untuk membeli sehelai seluar jeans yang murah. Saya masih ingat lagi harga seluar jeans berkenaan ialah RM49.90 dan jenamanya sudah saya lupa. Namun yang pastinya ia langsung tidak berjenama dan kusam. Selepas itu saya membeli beberapa helai seluar dalam dan sehelai baju. Bakinya saya simpan untuk diberi kepada adik-adik sebagai duit raya.


Dalam usia 24 tahun, saya masih mengharapkan
bantuan dari ayah untuk membeli 
sehelai seluar jeans untuk dipakai di hari raya !.

Saya diminta untuk bekerja pada hari raya dan tidak dibenarkan bercuti sehingga hari raya keempat. Inilah pengalaman pertama saya bekerja pada hari raya. Tidak pasti bagaimana perasaannya ketika itu namun tawaran RM120 tunai yang ditawarkan oleh pihak majikan kepada mana-mana pekerja yang bekerja sepanjang hari raya membuatkan saya kembali bersemangat untuk bekerja. Ini ditambah dengan nilai gaji bagi setiap jam digandakan menjadi tiga kali ganda keranakita bekerja pada hari cuti  umum. 

Pada mulanya saya menyangkakan bekerja pada hari raya pastinya sesuatu yang sangat mudah dan menyenangkan. Jangkaan saya pasti orang-orang Melayu tidak akan singgah ke KFC kerana pada hari raya perut mereka sudah terisi dengan juadah hari raya seperti lemang, dodol dan sebagainya. Rupa-rupanya telahan saya itu tidak tepat. Hari raya bermakna adalah hari bagi anak-anak menghabiskan duit raya mereka menikmati hidangan ayam goreng yang enak di KFC. 


Hari raya di KFC ... kesesakan yang hebat !
( gambar : Google )

Saya memasuki kerja pada jam 12 tengahhari dan berlanjutan sehingga jam 11 malam. Maka pada setiap jam pelanggan sentiasa penuh di restoran KFC berkenaan. Itulah suasana hari raya di KFC. Ada kanak-kanak yang saya lihat tiga kali memasuki KFC dalam sehari. Bayangkan betapa kemaruknya kanak-kanak terhadap KFC pada ketika itu. Walaupun begitu penat namun suasana adalah menyeronokkan.

Tidur Tanpa Alas

Pulang bekerja pada lewat malam tidaklah begitu sukar bagi saya kerana saya memang sejak dari zaman remaja lagi sudah terbiasa tidur lewat malam. Namun kini saya sudah tidak betah lagi tidur di atas tilam atau alas. Kadangkala keletihan membuatkan saya melupakan segala keselesaan dan mudah sahaja merebahkan badan di atas lantai bilik. Lama kelamaan keadaan itu berlarutan dan saya merasa lebih selesa tidur di atas lantai.

Pada ketika inilah saya mula merasakan diri bagaikan sudah berjauhan dari rumah.  Fikiran saya pada ketika itu bagaikan dapat merasakan bahawa suatu ketika nanti pasti saya akan berjauhan dari kediaman yang membesarkan saya sejak kecil ini. Telahan saya tepat, kerana selepas itu saya dihantar oleh Kementerian Pelajaran Malaysia untuk berkhidmat di SMK Kapit Sarawak selama hampir lima tahun. 

Gaji pertama yang saya terima agak lumayan dan hampir mencecah angka RM1000. Itu satu jumlah yang agak banyak. Sayangnya ia bagaikan begitu mudah untuk dihabiskan dan tidak banyak yang dapat saya simpan. 

Panggilan Menjadi Guru

Tidak lama selepas itu surat panggilan penempatan saya sebagai guru telah diterima. Saya perlu melapor diri pada bulan November tahun 2008. Jika tidak silap saya, saya bekerja di KFC Tapah selama hampir tiga bulan dan gaji terakhir yang saya terima berjumlah RM650. Dengan duit itu ( ditambah dengan bantuan dari ayah ) ia menjadi bekal belanja saya selama hampir sebulan lebih di Sarawak tanpa gaji.

Namun apa yang menyedihkan, saya tidak lagi menyimpan gambar-gambar kenangan sewaktu bekerja di restoran KFC berkenaan. Lebih memilukan, saya juga putus perhubungan dengan teman-teman sekerja dahulu. Apa yang tinggal kini ialah suatu kenangan yang terus berbekas di hati saya selain dari pengalaman hidup yang amat bernilai. 

Walaupun sudah hampir 8 tahun segala yang diceritakan ini berlaku namun kesan kenangannya masih tidak pernah saya lupakan. Sesekali pulang ke kampung dan melalui restoran KFC ini terasa seolah-olah masih berbekas segala kenangan yang tercoret disini. Teman-teman sekerja dahulu rasanya mungkin sudah tidak lagi bekerja disitu. Jika adapun pasti sukar untuk mereka mengingati saya lagi.

Sesekali apabila menikmati ayam goreng KFC, mudah sahaja saya tersenyum mengingati saat-saat manis saya sebagai seorang pekerja restoran KFC. Terasa diri yang bertopi dan berapron sedang memegang spatula, menggaul dan meratakan tepung pada ayam yang segar. Kemudian duduk di depan mesin perapan ayam dan menunggu ayam siap dimasak. Pasti seluar hitam saya panuh dengan kekotoran tepung dan paling saya tidak sukai menyusun daging ayam segar di dalam bilik sejuk beku.

Penutup

Inilah pekerjaan terakhir yang saya lakukan sebelum menjadi seorang guru. Selepas dari itu saya hanyalah seorang guru dan insyaAllah akan kekal sebagai guru sehingga saya pencen kelak. Ini bermakna secara tidak langsung catatan dalam siri mengenang Suatu Masa Yang Telah Berlalu di dalam blog perkongsian ini sudah sampai ke penamatnya.

Alhamdulillah selama tiga tahun siri ini keluar dalam 6 siri ianya telah dibaca oleh hampir 1500 orang pembaca. Jumlahnya kecil namun sekurang-kurangnya apa yang pernah saya kerjakan dari masa kanak-kanak sehingga usia muda saya dapat dikongsikan dengan para pembaca semua. Mungkin ramai pembaca yang memiliki pengalaman kerja yang jauh lebih mencabar dari apa yang pernah saya kerjakan. Apa yang penting ialah bagaimana kita menjadikan sesuatu pekerjaan itu benar-benar bermanfaat untuk diri kita di masa depan.

Syukur ... Allah memberikan saya peluang untuk bekerja dan menikmati pengalaman-pengalaman yang menarik sepanjang kehidupan saya. Banyak yang saya pelajari dari setiap pengalaman tersebut. Teman-teman baru dikenali dan boleh dikatakan semuanya kini hanya tinggal wajah untuk dikenang kerana banyak yang membawa haluan masing-masing termasuklah diri saya. Ada juga yang sudah berpulang menemui Pencipta yang abadi dan ada yang terlantar sakit menunggu masa.

InsyaAllah saya tetap akan mengenang semua manusia-manusia yang pernah singgah sebentar di dalam hidup saya ini. Saya tidak pernah lupa.... mungkin pekerjaan kita dahulu kotor, hina, jijik dan meloyakan bagi sesetengah insan yang duduk di atas. Tetapi percayalah kita adalah sebahagian dari pembina negara kita ini. Terima kasih semua.

Saya tidak akan berhenti mengenang setiap masa yang telah berlalu itu kerana masa lalu adalah buku sejarah yang membenarkan apa yang telah kita bina hari ini ... ayuh kita mengenang suatu masa yang telah berlalu ... ia tidak akan pernah menjemukan ~!


0 ulasan: