BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Sunday, April 26, 2026

MELIHAT-LIHAT KENANGAN USIA 1 : MENGENANG ASPURA SMK HAMID KHAN DAN SEORANG GADIS BERMATA JERNIH DALAM SKETSA MANIS USIA REMAJA

 MELIHAT-LIHAT KENANGAN USIA 1


MENGENANG ASPURA SMK HAMID KHAN DAN SEORANG GADIS BERMATA JERNIH DALAM SKETSA MANIS USIA REMAJA

    

Suatu Kunjungan Petang

    Saya mengunjunginya di suatu petang sunyi yang tenang. Sengaja saya datang pada lewat petang berkenaan. Saya mahu melihat dan mengimbau kembali hari-hari lama, ketika diri menumpang tinggal selama hampir setahun pada tahun 2003, di asrama kecil di atas bukit kecil yang melelahkan jiwa untuk mendakinya.

    Selama lebih dari dua puluh tahun saya meninggalkannya, keadaan dan suasananya tidak banyak yang berubah. Tetap sama aromanya seperti dahulu. Yang berubah mungkin landskapnya. Banggunan baru juga telah dibina. Dahulu ia adalah sebuah asrama harian kecil yang menempatkan tidak lebih dari lima puluh orang pelajar lelaki dari dua buah sekolah iaitu SMK Hamid Khan dan SMK Buyong Adil.

    Keterbalikan dari itu, asrama untuk pelajar-pelajar perempuan pula terletak di SMK Buyong Adil, yang juga menempatkan pelajar-pelajar perempuan dari dua buah sekolah yang punya sejarah panjang ini. 

    Saya sendiri agak pelik melihat keadaan diri pada ketika itu... terasa ganjil apabila diri bersekolah di sekolah lain tetapi tinggal pula menumpang di asrama milik sekolah yang lain. Namun itulah keunikan yang terdapat dalam perhubungan aneh dan bergelora antara SMK Buyong Adil dan SMK Hamid Khan ini. Kedua-dua sekolah berjiran ini punya cerita panjang yang berselerakan sepanjang kewujudannya.

    
     Keterangan gambar : Saya di pintu hadapan SMK Hamid Khan, Tapah.
Saya mungkin anak angkat di SMK Hamid Khan dan bukan alumninya. 
Saya hanya menumpang tinggal di asrama puteranya selama hampir setahun pada tahun 2003. 
Saya pada ketika itu belajar di kelas Tingkatan Enam di SMK Buyong Adil yang terletak kira-kira hampir satu kilometer jarak berjalan kaki di SMK Hamid Khan ini.

    "Asrama atas bukit" ... itulah yang arwah ayah gelarkan untuk asrama ke kecil ini. Seusai saya meninggalkan asrama ini selepas tamat peperiksaan STPM, arwah ayah pula mendapat peluang kerja menjadi pengawal keselamatan di sini. Tidak dapat saya bayangkan bagaimana ayah yang berani menjadi pengawal keselamatan di asrama yang terkenal dengan cerita-cerita mistiknya. Cerita yang diperturunkan dari generasi ke generasi pelajar di asrama ini.

    Kisah tiang berdarah dan tandas lama yang ditinggalkan seringkali ditokok tambah jalan ceritanya, menjadi suatu lagenda yang begitu subur di kalangan warga asrama. Ianya membekas di fikiran, dan sukar dilupakan. Hal ini hingga menyukarkan aktiviti berak di tengah malam kerana ketakutan yang membelenggu, terutama di kalangan pelajar tingkatan satu.

    Saban malam ayah yang sesekali ditemani emak mengawal kawasan asrama tanpa takut. Mungkin ayah ada cerita seram yang tidak pernah dia ceritakan kepada saya dan terus dibawa ke alam kuburnya. Ayah seorang penyimpan rahsia yang sangat bagus. Tidak seperti saya yang mudah bercerita ini 

    Ia adalah asrama kecil sunyi dan terpencil di atas bukit. Ketika peperiksaan STPM dan SPM berlangsung jumlah pelajar yang tertinggal di asrama adalah tidak lebih dari dua puluh orang.  Warga asrama dari tingkatan hingga 4 telah pulang ke kampung halaman masing-masing untuk bercuti. Ia adalah kami yang menguasai asrama dan bebas melakukan apa sahaja tanpa rasa takut. Tinggal dalam jumlah yang sedikit menjadikan kami lebih berani dan bersatu padu.

    Dan kesunyian itu tidak pernah membuatkan kami bungkam. Sesekali kesunyian itu membuatkan saya terpana dengan keasyikan... lalu hanya kepada teman-teman sahajalah saya meluangkan masa bercerita, berfantasi dan mencari hiburan malam yang sensasi ( fly keluar asrama ). Itu pernah saya dan teman-teman lakukan tanpa gentar. Semuanya demi mengisi kekosongan perut di tengah malam atau cukup sahaja melepak santai di kerusi kayu penonton gelanggang tenis Tapah.


Keterangan gambar : Sunyi petang di pintu pagar utama SMK Hamid Khan. 
Dahulu Allahyarham ayah saya akan mengambil saya dengan motosikal Suzuki RC 80 miliknya di ruang lapang seberang jalan berhadapan pintu ini. 
Saya akan keseorangan di asrama ketika teman-teman lain balik lebih awal sedangkan saya perlu menunggu ayah pulang kerja dari kilangnya pada jam 5.00 petang. 
Jika ada duit lebihan belanja yang saya jimatkan, saya lebih suka menaiki bas Hup Yik untuk pulang ke pekan Bidor.


    Waktu pagi di asrama adalah suatu pagi yang sibuk. Kami akan berlumbaan mandi dan bersiap untuk ke sekolah. Saya jarang bersolat Subuh di surau. Kebiasaannya kami pelajar-pelajar tingkatan enam lebih selesa untuk bersolat di dalam dorm sahaja. Itu lebih mudah dan warden juga tidak pernah bertanya itu dan ini kepada kami.

    Malahan sarapan pagi yang disediakan oleh pengusaha dewan makan juga tidak pernah saya ambil bagi mengelakkan kelewatan. Ditambah pula dengan pilihan menu pagi yang dikatakan " lebih taugeh dari kuetiau " atau lebih mesra disebut " taugeh masak kuetiau " menyebabkan selera makan pagi saya dan teman-teman agak terbantut di asrama ini.

    Kami perlu menempuh perjalanan berjalan kaki dari asrama menuju ke SMK Buyong Adil yang berjarak hampir satu kilometer. Perjalanan menuruni bukit asrama di awal pagi tidaklah serasa begitu siksa kerana kedinginan pagi. 

    Namun apabila pulang ke asrama di tengah hari yang panas ... ia menjadi sebuah perjalanan berjalan kaki dan mendaki yang menyiksakan saya. Peluh dan daki adalah musuh utama bagi pelajar tingkatan enam seperti saya. Ini adalah kerana kami memakai uniform putih dari baju sehingga seluar.

Keterangan gambar : Pintu pagar Asrama Putera SMK Hamid Khan dari kejauhan.
Gambar ini hanya memaparkan sebahagian dari bukit kecil yang perlu didaki oleh saya dan teman-teman asrama apabila pulang dari sekolah di tengah hari yang terik. 
Jika tidak mendaki bukit ini saya akan melalui puluhan anak tangga untuk sampai ke dorm Ibnu Sina yang menjadi tempat saya menumpang teduh selama hampir setahun.

    

    Saya punya sebab yang tersendiri untuk turun lebih awal untuk berjalan kaki ke sekolah. Saya mahu berselisih dan bertentang mata dengan seorang gadis manis yang tinggal di Asrama Puteri SMK Buyong Adil. Dia bersekolah di SMK Hamid Khan, maka sudah pasti kami akan berselisih di pertengahan jalan.

    Saya tidak tahu bagaimana perasaan dan keinginan yang sensasi itu muncul. Ketika kami berselisih pada sebelum-sebelum itu tidaklah ada pandangan yang mata yang bertentang atau hadiah senyuman yang diberi. Namun apabila saban waktu berselisih ... entah dari mana datangnya gejolak itu ...saya dapat rasakan gadis itu memang menarik minat saya sebagai seorang remaja. Saya tidak tahu sama ada itu adalah rasa cinta atau ia hanya sekadar rasa suka yang menggatal !.

    Sinar matanya jernih ... saya suka melihat matanya. Jika terlihatnya dari kejauhan pandangan, saya mahu ingin cepat sekali berselisih dengannya. Saya mahu menikmati masa-masa itu dengan bersegera tanpa punya apa-apa halangan. Itu adalah doa kudus yang saya panjatkan saban pagi tanpa jemu kala melaksanakan solat Subuh.

Keterangan gambar : Di laluan pejalan kaki di kanan gambar inilah saya 
sering berselisih dan saling berbalas senyuman dengan gadis bermata jernih 
yang biasanya membuatkan saya menyanyi riang sepanjang hari. 
Arwah ayah pernah bekerja sebagai pengawal keselamatan di 
ASPURA SMK Hamid Khan hampir lima tahun lamanya. Inilah laluan yang dilalui
olehnya untuk mencari rezeki buat kami sekeluarga. 
Al-Fatihah dibaca buat ayah saya Jahauddin Bin Ismail ( 1.3.1952 - 2.7.2018 )


    Entah bagaimana pada suatu pagi yang indah, gadis itu melemparkan senyuman kepada saya dalam keadaan mata kami yang saling bertentangan. Membuatkan saya menjadi angau seketika di sekolah. Dunia seolah-olah menjadi milik saya dan terasa seperti makan ayam Kentaki secara percuma. Ia seperti suatu kemenangan moral yang begitu lama saya idam-idamkan.

Keterangan gambar : Suasananya tidak banyak berubah sejah dari hari saya
meninggalkannya hampir 21 tahun yang lalu. Sunyi dan tersendiri. 
Jika pulang ke asrama, saya lebih selesa berjalan kaki dari setesen bas Tapah
melalui jalan ini menuju ke asrama.  Jika ada teman-teman seasrama yang 
pulang bersekali di dalam bas Hup Yik yang tua dan berdebu itu,
 maka adalah teman seperjalanan. Jika tiada ... nikmati sahaja 
perjalanan berjalan kaki bersendiri tanpa banyak bicara.


    Namun fikiran-fikiran rasional saya berkembang dengan baik di kepala. Saya mula beranggapan itu adalah senyuman sinis atau mungkin senyuman yang terkeluar dari bicara gurau sendanya bersama-sama teman seperjalanan, dan bukannya buat lelaki keparat seperti saya yang serba gelap lagi hodoh ini.

    Namun, esoknya ia berjalan begitu juga... dan kami saling melempar senyuman dan menatap mata. Ianya berlaku saban masa setiap pagi atau di tengah hari di jalan kecil itu. Alangkah manisnya nuansa itu...ia membuatkan saya akan bernyanyi riang di bilik air asrama ketika mencuci pakaian tanpa sebab. Ia menjadikan saya asyik dalam fikiran yang berbalam namun penuh keterujaan.

Keterangan gambar : Dahulu ada satu lorong kecil yang membolehkan
kami memintas jarak perjalanan untuk ke sekolah ( SMK Buyong Adil ).
Laluan ini akan membawa kami melalui sebuah rumah banglo kayu besar
yang klasik dan pepohon rendang yang redup hingga ke persimpangan Jalan Kelab.
Saya amat menyukai suasana pagi ketika melaluinya. Ia seakan 
mengembalikan nostalgia lama dan serasa masa seakan-akan 
memujuk saya menikmati nuansanya dengan tenang.


    Sayangnya, begitulah saya setiap hari. Walaupun namanya saya cari dan selidiki, tetapi tidak pernah terlintas di kepala ini untuk berbicara atau memulakan perkenalan dengannya. 

    Sesekali saya terserempak dan bertemu dengannya di pekan Tapah ketika hari "outing" asrama iaitu di hari Sabtu. Atau cukup sahaja ada bersamanya bersekali di dalam bas Hup Yik yang tua dan berdebu itu untuk pulang ke kampung atau pulang ke asrama. Dan kami hanya bertentangan mata, tersenyum dan terdiam. Saya sendiri tidak memahami perasaan saya ketika itu. Namun saya yakin ... hati saya telah ditawan olehnya. Ia adalah cinta monyet yang sangat-sangat saya nantikan !. Tetapi itulah.. saya tidak punya kuasa untuk memulakan perhubungan itu. Saya terlalu pemalu dan merasa rendah diri.

    "Tipikal dan bodoh"  kata seorang teman. "Lebih baik mengorat budak tingkatan satu lagi best" katanya lagi. Dia memang punya koleksi adik angkat yang ramai di sekolah.

    Saya menjadi pengecut dan bodoh. Saya segan dan terasa amat rendah diri. Benar semasa di tingkatan enam saya mengalami masalah rendah diri yang serius. Saya sedar wajahnya yang secantik itu adalah tidak berpadanan dengan saya yang kurus kejung dan gelap ini. Kesudahannya usai menghabiskan peperiksaan STPM dan meninggalkan asrama ... saya terus kehilangan senyuman gadis bermata jernih yang benar-benar mencairkan diri saya untuk selamanya. 

    Semuanya hilang dalam renjatan masa yang menekan tahun demi tahun.... lalu kelupaan menguasai diri hingga tidak pernah lagi memikirkan tentang gadis itu hampir dua puluh tahun lamanya. Dan benarlah, masa sentiasa menjadi ubat yang paling mujarab merawati rasa kecewa dan lara manusia.

.............

    Hari ini, saya melihat jalan ( ke asrama ) itu dan ingatan lama itu muncul kembali. Jalan sunyi ke asrama itu tidak pernah berubah. Terasa seperti melihat bayang-bayang diri dan teman-teman bersenda gurau di pinggirnya ketika pergi atau pulang dari sekolah. Atau ketika kami keluar petang,  menikmati sepinggan roti canai dan cucur udang sambil menikmati tayangan gusti di restoran Tapah. Ia adalah momen yang masih terngiang-ngiang di ingatan. Alangkah manisnya kenangan itu... alangkah... alangkah !

Keterangan gambar : Monumen papan tanda masuk ke SMK Hamid Khan
dari arah simpang Jalan Damai. Bermula dari sini kita akan 
melalui jalan sunyi untuk sampai ke kawasan sekolah dan asrama.


    Jauh berbalam di atas tidak jauh dari surau asrama, masih ada tangki air yang agak tinggi. Seingat-ingat sayalsh, ada beberapa kali saya memanjatnya bersama teman-teman. Kami menikmati suasana petang yang damai dari puncaknya dan pastinya ketika itu tiada warden di asrama.

Keterangan gambar : Tangki air asrama dari kejauhan.
Selama saya di asrama, saya menaikinya beberapa kali ketika warden
tiada di asrama.


    Di suatu petang sunyi ketika hampir tamat peperiksaan STPM saya memanjat tangki berkenaan bersama seorang teman baik... kami berbaring berdua di atas tangki ini dalam usia akhir remaja. Kami melihat panorama petang sunyi yang damai dan sunyi. Benar saya masih mengingati apa yang kami bualkan.

    Kami berbual dan bercerita tentang masa depan yang tak pasti. Benar... kami dalam persimpangan hidup antara beratnya meninggalkan alam persekolahan menuju ke destinasi baru ..... alam mahasiswa yang amatbkami idam-idamkan itu. Adakah kami akan menjadi mahasiswa universiti ?.... semuanya mengganggu gugat fikiran kami berdua. Dan di atas tangki itulah kami menjerit-jerit melepas rasa dengan hati yang puas dan megah. Benar-benar kami melepas rasa yang panjang.

    Peristiwa itu kekal dalam ingatan saya hingga ke hari ini. Ia momen paling sugul yang membuatkan hati ini mudah serasa sebak dan luluh. Alangkah mudahnya hidup ketika itu sebagai remaja.... tidak punya gajet dan sekadar cukup punya wang RM10 di dompet. Cumanya ketika teman-teman remaja lain memilih untuk punya buah hati berkasih-kasihan, saya pula memilih untuk menjadi  seorang lelaki yang menyendiri.

    Tanpa saya sedari... masa depan yang kami bualkan itu telah kami lalui dengan jerih dan payah seperti yang terlihat hari ini. Ia berlaku dengan pantas dan tanpa sedar. Usia meningkat dan kami menerokanya dengan doa harapan yang tidak putus-putus.

    Dua puluh tahun lebih telah berlalu ... bas Hup Yik yang menjadi nadi pengangkutan kami budak-budak asrama untuk pulang ke kampung dan asrama juga telah menamatkan perkhidmatannya. Stesen bas Tapah yang menjadi tempat melepak kami dahulu juga semakin sunyi dan bungkam. Tiada lagi perkhidmatan bas henti-henti syarikat bas Hup Yik, Kamta dan Regal di sini. Semuanya sudah mati dibawa kenangan yang berlalu.

    Mee kicap stesen bas kesukaan saya yang dahulunya berharga RM1.50, kini berubah menjadi RM6 sepinggan ... Semuanya berubah pantas dan saya juga semakin tua. Ayah juga sudah lama berpulang ke rahmad Ilahi. Semuanya berputar pantas. Tidak terkejar oleh kudrat diri yang serba daif.

.................

    Di suatu pagi tahun 2024 yang tenang, seusai saya keseorangan bersarapan pagi di sebuah warung kecil di pekan Tapah.... saya termenung mengenang-ngenang cerita lama zaman remaja sewaktu disini. Seorang wanita manis memasuki warung berkenaan dan melewati meja saya. Saya memandangnya sepintas lalu. Entah bagaimana ketika dia menoleh ke belakang pandangan mata kami saling bertentang ... 

    Saya menjadi kelu... melarikan pandangan mata sendiri ke arah lantai. Hati berdebar dan terasa aneh. Perlahan-lahan wanita itu melemparkan sebuah senyuman yang begitu lama tidak saya saksikan. Ya .... matanya yang jernih itu membuatkan saya mengingatinya !. Itu senyuman yang saya dambakan saban hari dua puluh tahun yang terdahulu.

    Dia meninggalkan saya termanggu sendiri. Dari kejauhan saya melihatnya berjalan menuju ke kereta besarnya. Pastinya dia sudah berkeluarga bila melihat saiz keretanya. Ah ... apalah yang perlu saya fikirkan tentang rasa dan perasaan yang telah lama mati itu. Tetapi ia tetap berbekas di ingatan.


Senyumannya masih berseri seperti dahulu dan  diberikan percuma kepada saya yang dahaga. Cuma untuk kali ini sensasinya sudah tidak seperti dahulu. Masa telah menggantikan senyuman yang tidak kesampaian itu dengan senyuman sang isteri tercinta yang sentiasa membuatkan saya merasa bahagia. Sudah pasti gadis itu juga begitu. Memiliki keluarga dan bahagia dengan caranya yang tersendiri. Pastinya skripnya juga berbeza.

    Cumanya senyuman itu membuatkan saya mengenang kembali masa-masa akhir remaja, hidup berdikari berkawan-kawan di asrama kecil di atas bukit itu. Benar... asrama kecil itu Ia menjadikan saya seperti yang terlihat di hari ini. Saya lulus dengan agak cemerlang dalam peperiksaan STPM seterusnya melanjutkan pelajaran ke universiti yang diidam-idamkan dan akhirnya menjadi seorang guru kini. 

    Susah senang hidup berkawan-kawan di ASPURA SMK Hamid Khan ini tidak pernah saya lupakan hingga akhir hayat saya. Ia adalah memori indah... membuat hati menjadi sayu. Dua puluh tahun lebih, ia bukanlah masa yang sebentar, namun tetap manis untuk dikenang-kenang tanpa jemu.

    Semoga tulisan kecil ini menjadi Ingat-ingatan buat budak-budak Buyong Adil yang tinggal menumpang di Aspura SMK Hamid Khan tahun 2003... Peje, Jelmol, arwah Mamak, Iman, Anas, Abing, Adli dan ada beberapa lagi yang saya kelupaan namanya. Juga buat teman-teman lain dari SMK Hamid Khan yang namanya tidak sempat dinukilkan. Semuanya tetap subur dalam ingatan usia.

InsyaAllah selagi nyawa tidak terpisah badan.... Saya tidak pernah berhenti mengenang !


Hafez J.Malim

Pustaka Persuratan Melayu Baru

Batu Pahat, Johor


2 Mac 2024

0 ulasan: