BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

.

Photobucket

Tuesday, September 28, 2010

Lawatan Ke Rumah Lintang, Nanga Miaw, Katibas, Song

Pada 25 September 2010 yang lalu saya menyertai rakan - rakan guru Semenanjung yang bertugas di Kapit mengadakan lawatan sosial ke Rumah Panjang TR Lintang, Nanga Miaw Katibas Song. Lawatan ini diketuai oleh Cikgu Kuiek Bon Siau selaku Penolong Kanan Pentadbiran SMK Kapit Tujuan lawatan ini lebih menjurus kepada memberi pengalaman kepada guru - guru yang berasal dari Semenanjung berkaitan dengan cara hidup dan budaya masyarakat Iban di rumah panjang. Selain itu juga objektif utama program ini ialah sebagai satu projek sosial kami bagi membantu pelajar - pelajar di rumah panjang berkenaan mengenai aspek - aspek pembelajaran. Aktiviti ceramah motivasi dan sumbangan buku - buku pelajaran juga dijalankan pada lawatan ini.

Kami memulakan perjalanan dari Kapit seawal jam 7.00 pagi ke pekan Song dengan menaiki bot ekspres. menghilir Sungai Rajang Perjalanan mengambil masa lebih kurang 40 minit. Kami sampai ke pekan Song lebih kurang jam 8.00 pagi dan bersarapan pagi di Restoran Sarjan Rabu. Saya tidak melepaskan peluang menikmati nasi lemak dan secawan teh o panas. Ini ialah kali pertama saya menjejakkan kaki ke pekan Song dan rasa keterujaan agak tinggi di hati saya ini.


Saya di tengah gambar sewaktu di dalam bot ekspres


Jeti pekan Song di pinggir Batang Rajang


Bergambar di luar bot ekspres seketika sebelum sampai ke pekan Song


Sebahagian dari pemandangan pekan Song ... tenang dan damai

Pekan Song merupakan antara beberapa buah kawasan di dalam negeri Sarawak yang masih belum dapat dilalui melalui jalan darat. Jalan air melalui Sungai Rajang dan Sungai Katibas merupakan alternatif yang paling mudah bagi penduduk setempat ke pekan Song, Kapit atau ke Sibu. Namun dari pemerhatian saya dari segi kemudahan asas adalah memuaskan. Mungkin dengan terbinanya jalan raya dari Song ke Ngemah tidak lama lagi akan merancakkan lagi pembangunan di pekan Song ini.


Kami bergerak ke Rumah Lintang dengan menaiki dua buah van yang disewa khas. Perjalanan mengambil masa hampir 30 minit dengan jarak 11 kilometer ( mengikut kata pemandu van ). Namun demikian perjalanan kami tidaklah selancar yang dijangkakan. Keadaan jalan raya yang rosak menyukarkan pergerakan. Ini merupakan perkara yang amat menyedarkan saya betapa pentingnya jalan raya bagi penduduk kawasan pedalaman. Namun begitu saya yakin kerajaan Sarawak dan kerajaan Persekutuan sentiasa berusaha keras bagi memastikan kebajikan masyarakat luar bandar sentiasa terbela selaras dengan gagasan 1 Malaysia.




Keadaan jalan untuk sampai ke Rumah Lintang


Setelah menempuh perjalanan yang agak menarik, kami sampai ke Rumah Lintang pada jam 10.30 pagi. Rasa keterharuan mula menyelubungi diri dengan sambutan hangat yang diberikan oleh penduduk rumah panjang berkenaan. Mereka sudah siap berbaris menunggu kehadiran kami. Paling memberikan kesan pada diri saya ialah seorang aki ( datuk ) yang sudah tua namun tetap setia menanti sambil memegang bendera Malaysia menyambut kehadiran kami. Terasa kehadiran kami benar - benar dihargai.


Semangat 1 Malaysia mengiringi kedatangan kami


Kami juga disambut dengan tarian ngajat oleh anak - anak muda Iban yang bersemangat dalam mengekalkan adat dan budaya bangsa mereka. Berdebar juga hati saya bila melihat senyuman ayu gadis manis menyisipkan bunga di baju saya. Mujur juga fikiran tidak menarawang berfikir jauh ... hehehehehe. 


Hati berdebar namun jiwa mengingat jangan


Tarian Ngajat diepersembahkan kepada kami sebagai tanda sambutan


Ramai juga di kalangan peserta lawatan ini tidak pernah ke rumah panjang. Bagi saya pula, ini merupakan lawatan kali ke 4 saya ke rumah panjang. Secara tidak langsung pengalaman dari lawatan - lawatan terdahulu mematangkan saya dalam bergaul dengan penduduk setempat. Acara dimulakan dengan ucapan alu - aluan dari wakil Tuai Rumah Lintang dan diikuti dengan ucapan dari ketua lawatan iaitu Cikgu Kuiek Bon Siau. Jelas dapat dirasakan kehadiran kami benar - benar dialu-alukan.


Selepas itu acara penyampaian sumbangan buku - buku nota dan rujukan dari pihak kami kepada pihak rumah panjang telah dijalankan. Hampir 3 kotak buku - buku rujukan UPSR, PMR dan SPM yang masih baru telah disumbangkan kepada Rumah Panjang ini. Besar harapan kami ia dapat membantu pelajar - pelajar rumah panjang ini dalam menghadapi peperiksaan awam yang akan menjelang tiba.


Buku - buku peperiksaan awam sumbangan 
kami kepada pihak rumah panjang

Cikgu Kuiek Bon Siau sebagai ketua lawatan menyerahkan
sumbangan buku rujukan kepada Tuai Rumah Lintang.


Selain dari menyampaikan sumbangan buku rujukan, kami juga telah menjalankan aktiviti motivasi dan ceramah berkaitan dengan peperiksaan kepada para pelajar di rumah panjang ini. Kumpulan - kumpulan mengikut peperiksaan awam PMR, SPM dan STPM telah dibentuk. Alhamdulillah aktiviti ini berjalan dengan lancar dan dirasakan agak berjaya. Namun demikian agak malang bagi saya kerana penyakit migrain saya melanda menyebabkan saya tidak dapat bergerak aktif.



Aktiviti motivasi dan ceramah peperiksaan yang dijalankan


Saya juga mengambil kesempatan berbual mesra dengan beberapa orang penduduk tempatan. Mereka amat ramah dan sentiasa mengukirkan senyuman kepada saya. Mujur juga saya boleh berbahasa Iban sedikit dan secara tidak langsung ia membantu saya mencuri kemesraan mereka. Namun soal bahasa tidaklah menjadi satu masalah yang besar. Kebanyakan penduduk mahir berbahasa Melayu dan lebih mengagumkan ada yang petah berbahasa Inggeris !!!!.


Bergambar kenangan dengan ibu-ibu yang ramah dengan senyuman

 Berbual dengan salah seorang penghuni rumah panjang


Tuai Rumah Lintang ...
senyuman sentiasa terukir di wajah beliau


Saya mengabadikan kenangan bersama Tuai Rumah Lintang


Semestinya yang terbaik sejak kemerdekaan !!!!!


Kami juga dijamu makan tengah hari dengan hidangan tradisi kaum Iban iaitu pansuh ayam dan pansuh ikan. Berselera kami menimati hidangan ini bersama penduduk rumah panjang. Makan beramai - ramai ini serasa seperti satu keluarga yang besar. Apa yang menarik ialah pinggan mangkuk yang kami gunakan adalah khusus untuk pelawat yang beragama Islam. Jelas disini bahawa jauh di pedalaman ini amalan hormat menghormati antara agama dan kaum berakar kuat dan teguh. Benar juga kata salah seorang penghuni rumah panjang ini bahawa amalan dalam gagasan 1 Malaysia sebenarnya telah lama disemai di Sarawak dan saya melihat buktinya. Kami juga dibenarkan untuk bersolat Zuhur secara berjemaah di rumah Tuai Rumah. Semoga perpaduan dan keamanan seperti terus kekal di bumi Malaysia dan Sarawak khususnya.


Makan tengah hari yang begitu menyelerakan!!!


Solat Zohor berjemaah diimamkan oleh Ustaz Syukri 
di rumah Tuai Rumah Lintang


Sebelum pulang, pihak Rumah Lintang telah menyampaikan cenderahati kepada guru - guru yang terlibat memberi ceramah motivasi kepada pelajar. Pihak kami juga tidak ketinggalan menyampaikan derma ikhlas kepada JKKK Rumah Lintang. Sumbangan disampaikan melalui wakil pihak guru - guru Semenanjung iaitu Cikgu Kumaresan A/L Saminathan.


Cikgu Kumaresan menyampaikan sumbangan kepada Tuai Rumah Lintang


Kami juga sempat berpoco-poco dengan kaum ibu dan muda - mudi di rumah panjang berkenaan. Saya juga turut serta dalam acara ini walaupun kepala saya agak perit dengan migrain. Hilang sebentar kesakitan bila dapat berpoco-poco. Muzik memang ubat yang mujarab bagi kesakitan jiwa dan jasmani.. hehehehehe
Berpoco - poco di ruai Rumah Panjang


Tepat jam 2 petang kami beransur-ansur bergerak pulang. Sebelum pulang kami bergambar kenangan bersama penduduk Rumah Lintang. Saya juga tidak melepaskan peluang bergambar kenangan di persekitaran rumah panjang berkenaan. Lambaian dari penduduk sewaktu kami bergerak pulang menyebabkan kami sebak sendiri. Berbagai - bagai andaian bermain di fikiran kami.... saya pula diganggu penyakit migrain !!!!


Bergambar kenangan bersama penduduk Rumah Lintang


Aku ingin terbang ke Semenanjung...hehehehe

Bergerak pulang


Kami sempat dibawa oleh pemandu van melihat - lihat kawasan pekan Song. Ternyata kemudahan di sini masih perlu dipertingkatkan. Tepat jam 4 petang kami menaiki bot ekspres pulang ke Kapit. Segala kenangan indah di sini akan kami kenang selalu sampai bila-bila. 

Nota Kaki ;

Hari Isnin ( 27 September 2010 ) laporan mengenai program lawatan kami tersiar di akhbar berbahasa Inggeris Sarawak Tribune...


Laporan akhbar Sarawak Tribune mengenai lawatan kami


SEKALUNG TERIMA KASIH DAN PENGHARGAAN

1.)   Tuai Rumah Lintang
2.)   Penduduk Rumah Lintang
3.)   Encik Febian selaku wakil Rumah Lintang yang bertanggungjawab membawa kami ke Rh.Lintang
4.)   Cikgu Kuiek Bon Siau selaku ketua lawatan
5.)   Tuan Presiden SFA Encik Taqie yang bertungkus lumus merangka program lawatan 
6.)   Teman - teman guru SMK Kapit dan SMK Selirik ( Staff SFA )
7.)   Cikgu Adham, Cikgu Zuraidah dan Cikgu Ahmad ( aku ambik gambor kamera korang ) hehehe
8.)   Sesiapa sahaja yang terlibat dan tidak sempat dinukilkan namanya...







2 ulasan:

jugam pukung said...

terima kasih kerana sudi mengenali budaya kaum iban di song...utk pengetahuan saudara, sya sebagai anak jati song berasa bangga apabila ada maysrkt luar yg mnghormti dan ingin mngtahui ttng budaya myrkt kami (iban). Mungkin lepas ni saudra bleh brknjung ke rmh pnjang sya pula. Sya yakin saudra pasti tertarik dgn panorama alam smulajadi yg begitu mnarik di rmh pnjang sya. Saudra bleh melawat blog sya jika saudra ingin mlht bgaimana keadaan rmh pnjang sya...:)

hafez j malim said...

salam 1 malaysia Tuan Jugam Pukung
Nama brita nuan ? ... terima kasih kerana sudi berkunjung ke blig perkongsian ini. untuk makluman Tuan Jugam Pukung, diato saya sudah tidak lagi berkhidmat di Sarawak. InsyaAllah jika diberikan peluang mungkin suatu masa nnt saya akan berkunjung ke rumah panjang Tuan. Sememangnya terasa begitu seronok tinggal selama 5 tahun di bahagian Kapit dan menyelami segala cara hidup masyarakat Iban dan pelbagai etnik lain yang mendiami bahagian Kapit. Mungkin catatan ini sedikit sebanyak dapat mengeratkan hubungan yang sedia terjalin antara guru-guru semennjung dengan masyarakat tempatan dan saya akan sentiasa merindui keindahan bumi song dan kapit sampai akhir hayat saya.