BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

.

Photobucket

Wednesday, September 15, 2010

SELAMAT MENYAMBUT HARI MALAYSIA



Esok 16 September genaplah 47 tahun negara Persekutuan Malaysia terbentuk. Penyatuan 12 negeri di Persekutuan Tanah Melayu dengan Sarawak, Sabah dan Pulau Temasik telah membenihkan penyatuan rumpun Bumiputera di dalam sebuah negara yang berdaulat dan dirahmati Tuhan iaitu Malaysia. Kini Malaysia terus mengorak langkah menjadi negara maju walaupun Pulau Temasik keluar dari Persekutuan Malaysia ini menjadi sebuah negara yang bukan dominan Bumiputera.




Tahun 2010 ini juga menjadi satu sejarah kerana buat julung kalinya sambutan Hari Malaysia diraikan sebagai cuti umum. Bagi saya ia adalah sesuatu yang amat baik kerana bagi rakyat negeri Sarawak dan Sabah, mereka sebenarnya menyambut Hari Malaysia ini sebagai memperingati saat negeri mereka bebas dari cengkaman penjajahan British. Kemerdekaan Sabah dan Sarawak melalui Persekutuan Malaysia merupakan satu hadiah yang amat bermakna dari Tuhan kepada kaum Bumiputera kerana melalui kemerdekaan inilah anak watan dapat mentadbir dan meningkatkan imej di mata kaum - kaum lain.


Saya merasa bertuah kerana dalam sambutan Hari Malaysia yang akan dirayakan ini saya sedang berkhidmat di negeri Sarawak. Mungkin pada orang lain ia suatu yang engteng tetapi pada saya ia suatu yang amat bermakna. Masakan tidak saya berperasaan sedemikian, sebagai orang yang berasal dari Semenanjung ( Perak ) saya dapat merasakan denyut nadi perjuangan pemimpin dan rakyat Sarawak yang terdahulu dalam memperjuangkan penubuhan Malaysia. Kini Sarawak terus berkembang menjadi sebuah negeri yang semakin maju. Dapat dilihat segala pembangunan menjalar dengan amat pesat di bumi kenyalang ini.


Sesekali bila menyanyikan lagu negeri Sarawak iaitu ' Ibu Pertiwiku' saya menjadi bersemangat bila tiba rangkap "Sarawak dalam Malaysia Aman Makmur Rahmat Tuhan Maha Esa" kerana ia jelas menunjukkan cita - cita dan visi masyarakat Sarawak yang komited dengan persekutuan Malaysia. Saya tetap di sini berbakti untuk anak peribumi... InsyaAllah.



Al-Fatihah dan semoga mendapat rahmat Tuhan untuk pemimpin - pemimpin yang telah berjuang dalam merealisasikan penubuhan Malaysia. Nama - nama besar seperti Tunku Abdul Rahman, Temenggung Tun Jugah, Tun Datu Mustapha, Tun Fuad Stephen, Tun Abdul Razak, Stephen Kalong Ningkan dan nama - nama besar lain yang tidak dapat saya nukilkan.Budi dan jasa mereka akan tertanam kemas dan kukuh di hati warga Malaysia sampai bila-bila.


SELAMAT
HARI MALAYSIA

0 ulasan: