BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

.

Photobucket

Friday, July 15, 2011

Kembara Melihat Pekan - Pekan Lama 2 : Pekan Malim Nawar

Catatan berkenaan pekan-pekan lama di negeri Perak saya teruskan menerusi satu perjalanan menghala ke utara daerah Batang Padang menuju ke Daerah Kampar dan Kinta. Senarai utama yang ada di dalam kepala saya ialah pekan Banir, pekan Malim Nawar, pekan Kota Baharu, pekan Kampung Kepayang, pekan Sungai Siput Selatan dan pekan Chenderiang. Agak berat juga hati saya memandangkan saya hanya bermotosikal sahaja meneroka pekan-pekan ini. Dugaan cuaca dan keselamatan sudah pastilah sentiasa bermain di benak hati saya. Namun syukur Alhamdulillah, perjalanan saya selamat dan berjaya.

Saya tidak dapat mengulas berkenaan dengan pekan Banir. Walaupun terdapat beberapa tinggalan lama di sini, pekan Banir sebenarnya lebih sesuai dikatakan sebagai sebuah penempatan Kampung Baru sahaja. Secara tidak langsung ia terkeluar dari senarai awal pekan-pekan lama untuk saya ulas. Namun demikian hasil tinjauan rambang saya di internet mendapati di pekan Banir satu ketika dahulu terdapat sebuah stesen keretapi. Namun kini stesen keretapi berkenaan telah dirobohkan bagi memberi laluan kepada pembangunan projek landasan keretapi berkembar dari Rawang ke Ipoh.

Papan tanda stesen keretapi menunjukkan pernah wujud sebuah 
stesen keretapi di pekan Banir. 

Saya meninggalkan pekan Banir dan meneruskan perjalanan ke bandar Kampar. Saya melintasi Sungai Lesong. Sempat juga saya merakamkan gambar-gambar kenangan di sini. Sungai Lesong bolehlah ditakrifkan sebagai sebuah kampung Melayu. Namun kewujudan barisan rumah kedai kayu di tepi jalannya menarik perhatian saya. Ia kelihatan seperti sebuah pekan koboi Melayu yang unik. Sebuah dewan ( dijadikan TABIKA ) dan sebuah masjid menjadi lambang sebuah penempatan Melayu yang tidak berkembang menjadi sebuah pekan kecil. Sebaliknya ia terus kekal dengan sifat tradisinya sebagai sebuah kampung persisiran jalan raya yang klasik.


Deretan bangunan kedai kayu di Kampung Sungai Lesong


Bolehkah Sungai Lesong ditakrifkan sebagai pekan koboi Melayu ?

Selepas selesai mengambil beberapa gambar di Sungai Lesong saya meneruskan perjalanan saya ke Kampar. Sempat juga saya menyusup masuk ke pekan Mambang Di Awan. Pekan ini nampaknya sudah pesat membangun. Saya memasuki bandar Kampar ketika jam sudah menunjukkan angka tiga. Penerokaan pekan-pekan lama dalam daerah Kampar sudah bermula. Inilah buat kali pertamanya saya meneroka pekan-pekan lama di luar dari daerah Batang Padang. Sasaran utama saya ialah pekan Malim Nawar. Rasanya sudah hampir 6 tahun saya tidak ke pekan ini. Ermmm... mesti banyak yang sudah berubah agaknya.

Selamat datang ke Malim Nawar

Kedudukan Malim Nawar agak unik. Ini adalah kerana kedudukannnya yang terpisah dari jalan utama persekutuan dari Kampar menghala ke Gopeng. Namun demikian, Malim Nawar bukan lah pekan yang sembarangan. Ia adalah sebuah pekan lama yang penuh nilai-nilai kenangannya kepada diri saya. Di pekan inilah, cinta monyet pertama saya tercipta. Saya sendiri tidak tahu bagaimana ia terjadi dan bagaimana saya boleh jatuh hati dengan seorang gadis manis dari Malim Nawar. Tapi itu dululah ... cerita tentang zaman-zaman remaja yang nakal. Dengar ceritanya gadis itu sudah berumah tangga. Nama gadis itu bairlah menjadi rahsia kenangan saya. Saya sendiri sudah terputus khabar dengannya. Namun saya akan kenang  beliau sebagai sebuah pengalaman kedewasaan yang terbaik.

Sewaktu dalam usia remaja, agak rajin saya ke Malim Nawar. Jika tidak berjumpa si gadis pujaan, saya mengikuti sepupu saya berniaga kain di pasar lambaknya. Dahulu pekan Malim Nawar agak klasik. Jika memasuki ke pekannya, kita akan melintasi jalan yang merintangi landasan keretapi . Jalan ini akan ditutup  sebentar jika keretapi lalu. Malahan ketika itu stesen keretapi Malim Nawar juga masih wujud memberikan perkhidmatan kepada penduduknya. Tapi sayang... seperti stesen keretapi Banir, stesen keretapi Malim Nawar juga telah ditutup bagi memberi laluan kepada pembangunan projek landasan berkembar. Satu lagi saksi sejarah dibunuh bagi memberi laluan kepada nilai kemodenan baru.

Stesen Keretapi lama pekan Malim Nawar
Saya juga amat berharap agar laluan keretapi yang merintangi jalan utama ke pekan Malim Nawar masih wujud. Begitu juga dengan bangunan kedai-kedai kayu lama yang pernah saya lihat dahulu. Namun ia bertukar menjadi suatu kesan yang amat kecewa bila melihat perubahan-perubahan baru di pekan ini. Pekan Malim Nawar terputus dua akibat dari pembangunan landasan keretapi berkembar. Kewujudan sebuah jejambat baru yang merintangi landasan keretapi berkenaan mengiyakan perkara ini. Rumah-rumah kedai lama banyak yang sudah tiada. Ini membuatkan saya hanya mampu memandang jauh dan mengenang semula masa lalu. Jarak masa dan usia membuatkan saya menjadi terlalu rindu dengan suasana lama yang pernah bermain di mata.
 Antara bangunan kedai kayu lama yang 
masih tersisa di pekan Malim Nawar

Sunyi petang di Malim Nawar

Sebenarnya jika dilihat sepintas lalu, Malim Nawar sebenarnya sudah berkembang menjadi pekan moden. Kemudahan-kemudahan asas seperti pasar basah moden, stesen minyak dan sebagainya menjadikannya sebuah pekan yang lengkap. Kedudukannya yang berhampiran dengan bandar Kampar pula menyebabkan hampir tiada pejabat-pejabat kerajaan di pekan ini. Namun, kewujudan sebuah pejabat pos membantu penduduk-penduduk tempatan menyelesaikan pelbagai urusan bil dan sebagainya. Pejabat Pos Malim Nawar terletak berhampiran dengan jejambat yang merintangi landasan keretapi. Ia sebuah bangunan yang unik dan klasik. Mujur juga bangunan pejabat pos ini tidak dimakan oleh kemodenan.

Pejabat Pos Malim Nawar .... klasik !!!!

Hasil tinjauan di internet pula, saya mendapati pekan Malim Nawar masih menyimpan beberapa tinggalan sejak dari zaman penjajahan lagi.  Namun demikian, akibat dari masa yang semakin suntuk sukar untuk saya menjejaki tainggalan-tinggalan tersebut. Antaranya ialahsebuah serombong  kilang ''Carbide'' yang dibina oleh pihak Jepun semasa Perang Dunia Kedua yang lalu. Tidak saya tahu dimana lokasinya. Namun demikian rujukan gambar-gambar berkenaan dengan tinggalan perang ini boleh dirujuk di  http://www.panoramio.com.


 Serombong kilang peluru yang dibina oleh pihak Jepun
pada zaman perang dunia kedua di Malim Nawar
( foto ihsan : http://www.panoramio.com )

Saya bergerak meninggalkan pekan Malim Nawar ketika waktu sudah hampir menjejaki jam empat. Sempat juga saya singgah sebentar di stesen minyak untuk mengisi minyak. Ia sebuah stesen minya yang baru. Ketika  saya melalui Kampung Pulai Bergading secara tiba-tiba ingatan lama terhadap gadis manis yang pernah mengisi ruang-ruang hati zaman remaja saya berenang-renang di fikiran. Agaknya apa khabar beliau sekarang .... hehehehe... entahlah ... ada rasa rindu yang halus menyelinap di hati. Biarkan lah ia berlalu .... kini masing-masing punya cerita hidup yang berlainan.

Saya terus menunggang motosikal saya ke bandar Gopeng. Sasaran saya seterusnya ialah pekan Kota Baharu. Apa agaknya yang ada di pekan kelahiran kartunis terkenal Malaysia iaitu Dato Lat itu .... erm... jumpa lagi di catatan perjalanan yang akan datang. Malim Nawar saya tinggalkan sambil mengenang sebuah cerita cinta monyet yang abadi di jiwa !!!!!






2 ulasan:

thomas said...

Kalau masih berminat,
lokasi chimney ini di sini

hafez j malim said...

terima kasih Tuan... saya sudah membaca dan melihat gambar-gambar berkenaan di blog Tuan.. terima kasih atas maklumat.