BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

.

Photobucket

Wednesday, August 17, 2011

Gambar Ke Gambar

Dahululah....ketika menoleh ke 10 tahun yang lalu, saya akan menjadi kagum dan ternganga melihat kamera digital yang begitu mahal. Ketika itu bukan semua orang boleh memiliki kamera digital. Harganya mahal dan bagi seorang anak pekerja kilang seperti saya ini, kamera digital hanyalah satu angan-angan yang tidak pasti. Apa yang ada pada saya ialah kamera kompak yang menggunakan gulungan filem. Itu pun model yang sudah basi dan ketinggalan zaman. Rasanya, kamera itu masih ada lagi tergantung di tepi dinding bilik saya di kampung. Terbiar menunggu masa untuk dibuang. Errmmmm... 

 Lebih kurang macam inilah model kamera kuno saya

 Namun kamera buruk itu banyak jasanya. Banyak juga gambar-gambar kenangan yang dapat saya ambil dengannya. Kalau sekarang, dengan menggunakan kamera digital kita boleh sahaja mengambil seberapa banyak gambar yang kita mahukan dan membuang gambar yang kita tidak mahu dengan mudah. Tetapi dengan kamera gulungan filem saya yang kuno itu minta maaflah, ia hanya terhad kepada 36 keping gambar sahaja. Jadi atau tidak jadi gambar itu hanya Allah yang tahu. Kita cuma boleh melihat gambar-gambar itu bila sahaja ia telah dicuci. Errmmm...

 Gulungan filem ( negatif )
untuk mengambil gambar dengan kamera kuno saya

Kalaulah menggunakan kamera saya yang kuno itu jangan haraplah dapat mengubahsuai atau ''mengedit''  gambar-gambar yang telah diambil. Apa yang diambil itulah yang akan terhasil. Dahulu bila sahaja gulungan filem dihantar ke kedai gambar, perasaan hati berdebar-debar tidak sabar hendak melihat gambar-gambar yang terhasil. Biasanya sehari lah masa yang diambil untuk gambar-gambar itu siap diproses. Bila sudah siap diproses maka barulah tahu bagaimana keadaan gambar itu. Gulungan filem yang sudah digunakan itu juga akan dipulangkan semula. Untuk memudahkan kita jika mahu diproses semula. Errrmmm...

Tetapi itulah.... semua itu sudah tiada. Sekarang kamera kuno saya itu hanya menjadi bahan ketawa anak-anak muda sahaja. Ianya sudah tidak relevan jika dibandingkan dengan kamera digital yang jauh lebih canggih. Pernah juga saya pergi ke kedai gambar bertanyakan sama ada masih lagi menjual gulungan filem untuk kamera kuno saya itu. Jawapan yang saya dapat dari pekedai gambar tersebut sungguh menyayat hati saya... "itu kodak saya masih jual... tapi kalau lu mahu cuci saya sudah tiada itu mesin... lu cari dekat kedai gambar lama kalau diolang masih cuci itu kamera ... pakai kamera digital la ma.. sekarang mana ada olang pakai itu lama punya kamera" ....Errmmm...

 Sekadar gambar hiasan.. sebuah kedai gambar moden.
Rasanya perkhidmatan memproses filem gambar sudah tiada lagi.

Sekarang sesiapa sahaja boleh memiliki kamera digital. Harganya pun dari sehari ke sehari  makin murah dan tidak munasabah. Saya pun selepas bekerja ini mampu juga untuk membeli kamera digital yang agak berkualiti. Ramai juga teman-teman yang sudah memiliki kamera DSLR yang dahulunya hanya layak dimiliki oleh jurugambar profesional. Malahan ada yang sudah mampu menjadi jurugambar amatur yang berkualiti. Malahan hasil kerja foto teman-teman saya ini agak berkualiti dan hebat. Itu semua terhasil berkat dari pengalaman dan kemampuan untuk mengedit gambar. Malahan sekarang ini, muka yang buruk boleh menjadi cantik asalkan pandai membuat pegubahsuaian pada gambar. Errmmm....

 Kamera DSLR... rasanya memang saya tidak mampu lagi memilikinya

Saya juga agak berminat dengan bidang fotografi ini. Namun beberapa perkara telah membataskan minat saya terhadap bidang ini. Yang pertamanya sudah tentulah soal kamera. Kamera DSLR agak mahal dan saya masih belum berkeupayaan untuk memilikinya. Yang keduanya saya tidak tahu membuat pengubahsuaian ( editing ) terhadap gambar. Dan yang ketiga yang paling penting saya sememangnya tidak berbakat. Namun sesekali tangan dan jari-jari saya ini juga tidak terkecuali untuk mencuba dan hasilnya memang teruk. Tengoklah dibawah ini sebahgian koleksi gambar-gambar yang saya mampu hasilkan. Errmm...

 Adik Tuah

Panggau Danau

Syiling

Keretapi

Gambar ke gambar membuatkan saya merasa dunia semakin laju. Namun bagi sebuah gambar yang beerti bukan cantik yang dicari tetapi nilai sentimental yang membuatkan kita tahu .... sejuta satu kenangan yang terkandung didalamnya.





0 ulasan: