Jangan salah faham... nanti marah pula orang-orang Kelantan bila saya menyebut Kota Bharu sebagai pekan lama. Kota Bharu yang saya maksudkan bukanlah ibu negeri Kelantan Darul Naim, tetapi adalah Kota Bharu yang terletak tidak jauh dari bandar Gopeng didalam negeri Perak Darul Ridzuan. Rasanya bagi penduduk negeri Perak Darul Ridzuan juga agak asing dengan kedudukan pekan ini. Saya sendiri mengakui bahawa inilah kali pertama saya menjejakkan kaki ke pekan Kota Bharu ini. Mari ikuti catatan perjalanan saya. Mungkin ada sesuatu yang boleh kita kongsikan.
Selepas sahaja keluar dari simpang pekan ke pekan Malim Nawar, saya meneruskan perjalanan saya ke destinasi seterusnya iaitu menghala ke utara. Sasaran saya ialah pekan Kota Bharu yang terletak tidak jauh dari bandar Gopeng. Namun untuk ke pekan ini kita kan melalui satu jalan yang sunyi. Hanya sesekali sahaja motosikal saya berselisih dengan kenderaan lain. Pada awalnya agak ragu-ragu juga diri saya untuk ke pekan ini. Namun saya gagahkan juga hati dan perasaan saya untuk melihat sendiri pekan kelahiran kartunis tersohor Malaysia ini iaitu Dato' Lat.
Sampai sahaja ke pekan ini, perkara pertama yang terlintas di fikiran saya ialah sunyi, sepi dan tenang. Namun dapat saya rasakan, dahulu ia sebuah pekan yang agak hidup dengan aktiviti penduduknya. Namun kini ia seolah-olah menunggu masa sahaja untuk mati. Sebuah balai polis yang pada saya agak besar tidak sesuai dengan saiz pekan ini menyambut kehadiran saya. Pelik juga saya... hanya beberapa orang manusia sahaja yang saya temui di pekan ini. Itupun memandang saya dengan pandangan yang tajam.
Balai Polis Pekan Kota Bharu
Pekan Kota Bharu bolehlah disifatkan sebagai sebuah pekan perkampungan. Setelah melintasi balai polisnya, nun jauh disana dapat dilihat sebuah jejambat merintangi pekan ini. akibat dari projek pembinaan landasan berkembar. Dalam fikiran saya sudah pasti pekan ini akan terputus dua seperti yang terjadi terhadap pekan Malim Nawar dan Tanjong Malim. Tekaan saya tepat, memang pekan ini terputus dua. Namun sesuatu yang melegakan saya ialah, rumah kedai lamanya masih wujud dan masih boleh dilihat. Namun keadaannya agak uzur. Sempat saya merakamkan gambar-gambar kenangan rumah kedai yang terdapat di pekan ini.
Rumah kedai klasik yang masih terdapat di pekan Kota Bharu.
Dapat dilihat jejambat yang merintangi landasan keretapi
yang memisahkan pekan ini kepada dua bahagian.
Rumah kedai di pekan Kota Bharu
Saya juga sempat meninjau kawasan di seberang landasan keretapi. Rupa-rupanya masih ada rumah kedai yang uzur. Ia kelihatan seperti sebuah kedai makan. Seperti biasa ianya tetap sunyi dan tiada manusia yang kelihatan. Apa yang menarik perhatian saya ialah kewujudan papan tanda jalan yang tertulis JALAN PANGGUNG. Errmm.. ini mungkin bermakna satu ketika dahulu di pekan ini terdapat sebuah panggung wayang. Lokasinya tidak pula saya berjumpa.
Antara rumah kedai lama
Papan tanda jalan yang tertulis JALAN PANGGONG
di hadapan deretan rumah kedai lama
Apa yang menyedihkan ialah jalan-jalan di sekitar pekan ini adalah tidak berturap denganh sempurna. Malahan di sesetengah kawasan hanya jalan pasir sahaja yang ada. Pekan Kota Bharu kelihatan terlalu uzur. Namun demikian, terdapat sebuah klinik kesihatan kecil di pekan ini. Rasanya itu sahaja kemudahan kesihatan yang ada di pekan ini. Oleh kerana kedudukan pekan ini berhampiran dengan bandar Gopeng, secara tidak langsung penduk-penduduk di sini lebih selesa membeli - belah di bandar Gopeng. Saya tidak menjumpai pejabat pos di sini. Sebuah masjid yang agak besar menjadi bukti bahawa penduduk Kota Bharu adalah mejoritinya terdiri dari Melayu Islam.
Klinik Kesihatan Kota Bharu
Masjid Jamek Kota Bharu
Masjid Jamek Kota Bharu
Dari tinjauan didalam internet saya mendapati suatu ketika dahulu terdapat sebuah stesen keretapi di Kota Bharu. Besar juga harapan saya supaya stesen keretapi lama Kota Bharu masih wujud sebagai suatu tinggalan sejarah yang berharga. Namun demikian apa yang saya fikirkan itu tidak menjadi kenyataan. Sebuah stesen keretapi baru telah dibina bagi mengantikan stesen yang lama. Namun demikian stesen keretapi baru ini tidak lagi digunakan untuk penumpang tetapi khusus untuk perkhidmatan barang sahaja. Lesu fikiran saya. Nampaknya stesen-stesen keretapi lama semakin hilang dari pandangan.
Pintu masuk ke stesen keretapi baru pekan Kota Bharu
Stesen keretapi Kota Bharu Perak baru yang
hanya mengendalikan perkhidmatan barangan sahaja.
Stesen keretapi Kota Bharu Perak baru yang
hanya mengendalikan perkhidmatan barangan sahaja.
Papan tanda stesen keretapi lama Kota Bharu
( http://zkeretapi.blogspot.com/ )Apa yang menarik perhatian saya ialah kewujudan bangunan-bangunan kuarters kerajaan lama yang masih berfungsi sehingga ke hari ini. Pada pandangan saya berkemungkinan bangunan lama ini dahulunya milik pekerja-pekerja Keretapi Tanah Melayu Berhad ( KTMB ). Namun kini ianya telah dijadikan sebuah taman asuhan kanak-kanak. Sebuah Dewan Masyarakat yang klasik juga boleh dilihat. Ia sebuah bangunan yang sunyi dan sepi. Lama saya berdiri di hadapan bangunan dewan ini. Ada sesuatu yang seolah-olah meminta saya memandangnya. Aahhh...secara tiba-tiba hati saya menjadi sayu sendiri. Saya sendiri tidak tahu kenapa.
Bangunan lama yang dijadikan taman asuhan kanak-kanak
dari pandangan atas
Bangunan lama dari pandangan sisi. Ia sangat klasik
Dewan Masyarakat Kota Bharu
Lama juga saya di Kota Bharu. Dari seberang landasan keretapi berkembar, saya memandang bangunan stesen keretapi Kota Bharu. Sunyi .... tiada lagi penumpang yang menunggu di situ. Pekan Kota Bharu juga semakin sepi. Terserempak saya dengan beberapa orang pekerja warga Indonesia yang senyum simpul melihat saya termangu dan termenung dipinggir landasan keretapi. Berapalah hayat rumah-rumah kedai yang masih tersisa di Kota Bharu ini, itu saya tidak tahu. Pekan-pekan kecil dan lama seperti ini bagaikan tempat menangis sendiri menunggu saatnya hilang ditelan zaman.
Saya bergerak meninggalkan pekan Kota Bharu ketika hari sudah agak redup. Sepanjang perjalanan meninggalkan pekan ini fikiran saya kosong. Tidak ada apa-apa yang bermain di kepala saya melainkan cuma satu .... semoga saya ketemu lagi dengan pekan sunyi dan sepi ini. Sasaran saya selepas ini ialah pekan Kampung Kepayang. Motosikal yang saya naiki terus membawa saya dengan setia.
Di Kota Bharu ada rasa tenang yang sayu terjumpa disini. Hati bagai menangis melihat landasan lama menjadi saksi bisu kewujudan sebuah pekan kecil yang menunggu mati.... semoga ketemu lagi pekan Kota Bharu !!!!















12 ulasan:
Sememangnya klasik tempat ini.
tuan thomas pernah sampai ke pekan Kota Bharu?
Kami daripada Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Perak telah mengadakan lawatan ke Pekan Kota Baharu pada 15 Disember 2011. Saya Datuk Dr.Haji Dzulkarnain bin Haji Abdul Rahman(Pengerusi), Tuan Haji Razali bin Suradi (Setiausaha Kehormat)dan Tuan Haji Abdul Rahim bin Abdul Wahab (AJK) telah sampai pada pukul 11.15 pagi. Kami telah melawat Makam Almarhum Teja, Makam Syed Jaafar bin Syed Yunus, Sekolah Kebangsaan Kota Baharu, Rumah Keluarga Allahyarham Tuan Syed Adam dan Rumah Encik Azizi bin Haji Abdul Rahim. Lawatan ini merupakan usaha menulis Sejarah Kota Baharu, Perak dalam Edisi MISA PERAK Terbitan 6/2011
salam tuan Berjuang Terus..
terima kasih kepada Datuk kerana sudi mengunjungi ke laman blog saya. untuk makluman pihak tuan, pada 10 disember 2011 saya telah mengunjungi makam YAM Raja Bendahara Alang Iskandar bagi tujuan siri catatan berkaitan dengan Makam-makam bersejarah di Perak Darul Ridzuan. Apa yang ingin saya kongsikan bersama tuan disini ialah keadaan beberapa makam lama khusunya di daerah Perak Tengah yang agak terbiar. Saya berharap agar pihak Persatuan Sejarah Malaysia dengan beberapa agensikerajaan yang lain mempunyai agenda untuk memulihara makam2 ini terutamanya makam2 DYMM Sultan-sultan yang pernah memerintah negeri Perak. Terima kasih atas kunjungan Datuk ke blog saya. semoga ada sesuatu yang boleh kita kongsikan dimasa kan datang.
Pekan Kota Baharu terpahat sejarahnya sendiri. Di pinggir Makam Teja disitu pusat perdagangan diabad 17 dan 18. Disinilah pusat perdagangan yang menyambungkan Pekan Loting dengan pekan-pekan sekitar Sungai Kenta (Kini disebut Kinta).
Menurut orang tua-tua orang Kota Baharu untuk mengukurkan ketuah keris bilangannya begini. "Gelegoh gelegah anak rimau menyemberang kenta, ada gaduh ada susah keris tercampak rimau tiba" Ukuran menggunakan jari, jika bilangan jatuh ke gelegoh atau gelegah keris itu baik tetapi jika kena keris tercampak, keris ini tidak sesuai untuk penyukatnya.
Jalan keretapi yang pertama sebelum jalan keretapi di Johor adalah terbena disini daripada Pekan Kota Baharu ke Kuala Teja itu di Pekan Loting. Menurut penduduk disini bekas jalan ini terdapat lagi Sebelum Perang Dunia Kedua.
Dzura,Ipoh
6.1.2012
salam Tuan Berjuang Terus.
Terima kasih atas maklumat tuan. Jika benar apa yang Datuk katakan tadi, satu kajian terperinci harus dijalankan bagi menukarkan semula fakta sejarah berkenaan dengan pembinaan landasan keretapi di negara kita ini. Hal ini secara tidak langsung akan menaikkan semula martabat pekan Kota Bharu seperti yang pernah berlaku pada suatu ketika dahulu.
Hafez j malim jelas amat berminat untuk buat kajian. Terima kasih. Diharap kita dapat usaha bersama kerana Sejarah Kota Baharu, Perak melakar rentitan sejarah yang panjang bagi peminat sejarah dan budayawan boleh membuat kajian.Zaman keagungan sejarahnya Kerajaan Islam Petani telah melahirkan ulama terkenal dengan karya yang boleh dirujuk hingga ke kini. Kitab-kitab "kuning" masih digunakan rujukkan hingga kini.
Saya diberitahu bahawa penduduk di sini mereka merupakan pelarian penduduk Kerajaan Islam Petani, setelah tumbangnya kerajaan tersebut.Ciri Kota Baharu Kelantan terdapat di Perak.Di Kelantan terdapat tempat Ipoh, Batu Gajah dan Kampung Kota seperti di Perak. Kelantan juga ramai pelarian Petani yang pindah ke sana.
Dzura,Ipoh
salam Tuan Berjuang Terus.
Saya sememangnya berminat dengan sejarah negeri Perak Darul Ridzuan namun malangnya, kini saya bertugas di kawasan pedalaman Sarawak. Hanya sesekali dapat pulang ke Perak barulah saya dapat melakukan perjalanan bagi menjejaki tempat-tempat bersejarah di sekitar negeri Perak. Walau apapun saya sentiasa menyokong usaha-usaha pihak Datuk dan Persatuan Sejarah Malaysia dalam meperbanyakkan kajian sejarah supaya fakta-fakta sedia ada terutamanya seperti sejarah Kota Bharu dapat dipertingkatkan. Saya ingin bertanya kepada pihak Datuk, bagaimana saya hendak membeli Edisi Misa Perak bagi keluaran yang terdahulu?
salam, btw sy adalah anak jati kota bharu and my family still ada lg disana.so proud ada org mem-blog ttg my kg.Sy google, then terjumpa blog ni.thanks.rindu kat kg, sgt berbeza dlm tempoh 10 tahun yg lalu.
CIK MISSY... terima kasih kerana sudi singgah ke blog saya ini. semoga perkongsian ringkas tentang Kota Bharu ini mengemabalikan semula ingtan cik missy pada kampung halaman sendiri... salam
Nama asal Kota Bharu ialah Simpang Tiga. Simpang Tiga ditukar nama kepada Kota Bharu kerana tempat tersebut hendak dijadikan "Capital of Kinta Valley" oleh Residen British pada ketika itu.
Kota Bharu dilanda banjir maka perancangan "Capital of Kinta Valley" dipindahkan ke kawasan yang lebih changkat iaitu Batu Gajah.
Itulah sbbnya Pejabat Daerah Kinta terletak di Batu Gajah dan Ipoh hanya ada Pejabat Daerah dan Tanah (Kecil) shj.
Wallu'alam. Sekadar menyampaikan apa yang disampaikan kepada saya.
Taman Asuhan Kanak-Kanak adalah tempat sy mengaji Qur'an dulu dgn Tn Syed Sarbaini (garang wooo) dan Ustaz Ahmad. Tapi tak habis mengaji pun sbb pindah ke Ipoh.
Post a Comment