BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

.

Photobucket

Friday, October 21, 2011

INDAHNYA KASIH DI SMK BALLEH


Sudah menjadi rezeki saya agaknya dapat menjadi pengawas peperiksaan Penilaian Menengah Rendah ( PMR ) di SMK Balleh dalam bahagian Kapit Sarawak. SMK Balleh adalah antara salah sebuah sekolah-sekolah menengah yang terdapat di kawasan pedalaman Sarawak. Saya agak teruja untuk ke SMK Balleh. Maklumlah sepanjang hampir 3 tahun di Kapit saya tidak pernah menjejakkan kaki ke SMK Balleh. Inilah kali pertama saya merasa menjadi pengawas peperiksaan di sebuah sekolah kawasan pedalaman. Perbagai perkara bermain di kepala saya.

Untuk sampai ke SMK Balleh, saya perlu menaiki bot ekspres selama hampir 3 jam mudik ke hulu Sungai Balleh. Sungai Balleh merupakan cawangan utama Sungai Rajang dan ia boleh dimudiki oleh kapal-kapal besar sehingga ke Putai. Namun demikian, dari segi saiz, Sungai Balleh lebih kecil sedikit dari Sungai Rajang dan mempunyai kawasan berbatuan di pinggir dan dasarnya. Saya bergerak dari Kapit ke SMK Balleh tepat jam 11 pagi. Pada mulanya agak gementar juga saya tetapi mujurlah saya tidak berseorangan di SMK Balleh. Bersama-sama saya ialah 4 orang lagi guru pengawas PMR iaitu Puan Helen Manjan  dan Encik Dickson ( SMK Kapit ), Encik Sim Siong Hoe dan Encik Saful ( SMK Kapit No.2 ).


 Kapal-kapal besar boleh mudik ke hulu Sungai Balleh

Perjalanan agak menyeronokkan ditambah pula dengan pemandangan diluar yang indah. Ini pengalaman pertama saya ke hulu. Saya berkesempatan melihat pertemuan antara kuala Sungai Balleh dan Sungai Rajang. Pertemuan antara kedua-dua buah sungai ini mencetuskan ombak yang agak besar. Namun, bagi penduduk Iban yang membawa perahu di kawasan ini ianya bagaikan suatu yang tidak membawa erti. Seperti kata pepatah "alah bisa tegal biasa".

 Arus besar pertemuan antara Sungai Balleh dan Sungai Rejang

 Bot ekspres berhenti di kem balak

 Arang batu

Bot ekspres yang kami naiki sesekali berhenti di kem-kem balak yang banyak terdapat di pinggir sungai bagi tujuan menghantar barang. Wakil-wakil kem balak akan menunggu di tepi sungai dengan kenderaan masing-masing bagi mengangkut barang yang baru tiba. Sesuatu yang membuatkan saya terkejut ialah sepanjang Sungai Balleh ini terdapat begitu banyak kapal-kapal ( tongkang dalam bahasa tempatan ) yang karam. Dari kata-kata penduduk setempat, terdapat hampir berbelas-belas tongkang karam di Sungai Balleh. Ada sesetengahnya boleh dilihat dan ada sesetengahnya sudah tenggelam. Malahan di hadapan SMK Balleh itu sendiri terdapat sebuah tongkang yang karam. Terdapat juga sebuah lombong arang batu yang dikatakan terbesar di Asia Tenggara. Inilah kali pertama saya melihat arang batu dicarigali.

Tongkang karam

Kami sampai ke SMK Balleh tepat jam 2.30 petang. Bot ekspres kami berlabuh di sebuah kawasan berbatu yang dipanggil karangan oleh penduduk tempatan. Selepas menurunkan kami, bot ekspres berkenaan terus bergerak mudik ke hulu sehingga ke Putai. Kami disambut oleh pengawal keselamatan sekolah. Fikiran saya kosong pada ketika ini. Buka sahaja telefon bimbit, tersenyum saya sendiri. Tiada talian telefon di sini.  Saya dan Cikgu Saiful menumpang di rumah Cikgu Firdaus dan Cikgu Nik. Manakala Puan Helen Manjan, Cikgu Sim dan Cikgu Dickson menginap di rumah tetamu. Sejuta ucapan terima kasih kepada Cikgu Firdaus dan Cikgu Nik atas segala bantuan dan layanan yang baik sepanjang saya berada di SMK Balleh. Semoga Allah membalas budi kalian kepada saya.

 Bot ekspres berhenti untuk menurunkan penumpang di
pantai berbatu SMK Balleh


Petang itu saya berkesempatan meninjau-ninjau kawasan pantai berbatu yang menjadi mercu tanda SMK Balleh. Puan Helen Manjan sibuk mengutip batu-batu untuk dijadikan batu penumbuk sambal. Saya pula lebih teruja melihat tongkang karam tidak jauh dari situ. Sesuatu yang menarik disini ialah hasil dari pasang surut naik air sungai Balleh telah membentuk sebuah kolam di kawasan pantai berbatu. Kolam ini sangat luas dan jernih airnya berbanding dengan air Sungai Balleh yang keruh. Namun jangan disangka kolah berkenaan cetek airnya. Menurut pengawal keselamatan yang sempat saya bertemu, beliau menyatakan ada sebuah tongkang karam di dasar tasik berkenaan. Katanya akibat terlalu dalam dan terlalu lama karam, tongkang berkenaan sudah tidak boleh dilihat dengan mata kasar.

 Perahu berlabuh di tebing pantai berbatu

Kolam semulajadi terbentuk dari naik turun air Sungai Balleh



Jeti untuk ke SMK Balleh

Satu masalah bagi saya di sini ialah untuk membiasakan diri dengan makanan yang disediakan oleh pihak sekolah kepada saya. Mujur jugalah saya dan Cikgu Saiful sentiasa dijamu dengan makanan yang enak-enak oleh Cikgu Firdaus dan Cikgu Nik. Memang saya memuji masakan mereka enak !!!


Tidak ramai calon PMR SMK Balleh. Hanya 60 calon sahaja disini. SMK Balleh bukanlah sekolah yang besar. Jumlah keseluruhan pelajarnya hanya dalam lingkungan tiga ratus lebih dan bilangan tenaga pengajarnya hampir 20 orang. Kesemua pelajarnya tinggal di asrama. Pelajar etnikIban merupakan majoriti disini namun demikian terdapat juga pelajar-pelajar etnik Kenyah yang berasal dari Long Singut. Inilah kali pertama saya melihat etnik Kenyah dari Long Singut. Sebelum ini  di SMK Kapit saya hanya terdedah dengan pelajar-pelajar Kenyah dari Long Busang sahaja.

 Bergambar kenangan dengan pelajar 
etnik Kenyah yang berasal dari Long Singut

Apa yang boleh saya katakan tentang pelajar disini ialah sikap mereka terhadap tetamu. Budaya menghormati tetamu dan guru bagaikan sebati disini. Jika sekumpulan pelajar berselisih dengan kita, semuanya akan melontarkan ucapan selamat dengan senyuman yang meleret. Rupa-rupanya di pedalaman ini, penghormatan kepada guru masih kekal sebagai sesuatu yang dipandang tinggi oleh para pelajar. Memang saya benar-benar mengagumi sikap pelajar SMK Balleh. Pertama kali saya berhadapan dengan pelajar-pelajar ini didalam bilik peperiksaan, mata saya tertumpu pada kasut yang dipakai oleh mereka. Memang saya tidak boleh menipu, keseluruhan kasut-kasut calon yang menduduki PMR SMK Balleh ini putih dan bersih. Pakain mereka juga kemas. Hal ini juga diakui oleh Cikgu Saiful. 


 Pelajar SMK Balleh

Saya suka dengan suasana SMK Balleh yang tenang. Udaranya segar dan panoramanya indah. Bukit Majau melatari lanskapnya sentiasa memberikan senyuman diawal pagi. Sesekali terdengar bunyi tongkang melalui Sungai Balleh membuatkan hati mudah menjadi tenang.  SMK Balleh sekolah yang cantik. Susun atur sekolahnya menarik. Ia sebuah sekolah yang lengkap. Walalupun jauh dipedalaman, aspek-aspek estetika dan indah tetap ada pada wajah sekolah ini.

Panorama SMK Balleh

Bukit Majau yang melatari pemandangan SMK Balleh

Gelanggang permainan

Kantin SMK Balleh


Kuarters Guru SMK Balleh

Rumah Pengetua SMK Balleh

Kediaman staf yang tersusun cantik

Loceng lama yang tidak digunakan lagi

SMK Balleh sentiasa tenang. Pergerakan staf hanya dengan berjalan kaki. Tidak ada bunyi kereta, lori dan bas. Yang hanya kedengaran hanya sayup bot ekspres, tongkang dan perahu penduduk rumah panjang berdekatan yang menyusur arus Sungai Balleh. Saya berkesempatan melihat aktiviti menghanyutkan kayu-kayu balak dari hulu sungai ke hilir sungai. Kayu-kayu balak ini dihanyutkan dan dikawal oleh beberapa buah perahu. Ini adalah bagi mengelakkan ia melanggar tebing sungai. Kayu-kayu balak ini diikat bersama-sama supaya ia hanyut dalam kumpulannya yang tersendiri dan tidak menghalang laluan bot ekspres dan tongkang.

Aktiviti menghanyutkan kayu balak.

Saya juga berkesempatan merasa untuk menaiki bot ekspres seawal jam 5 pagi untuk pulang ke Kapit. Bayangkan dalam suasana hari masih gelap, bot ekspres sudah bersedia untuk bergerak. Cara untuk menahan bot ekspres yang bergerak dalam gelap ialah dengan menggunakan lampu suluh. Apabila terlihat nyalaan lampu suluh kita maka bot ekspres berkenaan akan berhenti singgah mengambil kita. Namun demikian, sekiranya air sungai Balleh naik sehingga kawasan karangan ( pantai berbatu ) di SMK Balleh tidak kelihatan maka kita perlu berjalan kaki dan menaiki bot ekspres jauh dari kawasan berkenaan. Ini adalah bagi mengelakkan kipas enjin bot ekspres berkenaan rosak terkena batuan yang banyak.

Menunggu bot ekspres di awal pagi.


Seronok menjaga PMR di SMK Balleh. Jiwa rasa tenang di sini. Hilang segala masalah di fikiran yang membeban. Disini saya berjumpa dengan rakan yang baik dan mesra, warga sekolah yang muhibah dan panorama alam yang menarik. Tiada kemewahan yang terjelma disini melainkan hanya kesederhanaan. Menjadi guru jauh dipedalaman ini, hanya sunyi yang bermain di hati. Namun, ianya mengajar kita menjadi lebih menghargai dengan setiap apa yang ada. Guru di bandar mungkin tidak merasai apa yang kami rasa. Tanpa kereta besar, tanpa talian telefon dan elektrik yang dicatu ia membuatkan saya benar-benar menghargai jasa dan sumbangan guru pedalaman.


Saya bersama dengan Cikgu Dickson dan Cikgu Helen Manjan

Saya meninggalkan SMK Balleh setelah hampir 2 minggu bersamanya. Tidak tahu lagi bilakah saya akan menyapa semula SMK Balleh. Semakin ke penghujung tahun semakin saya tidak keruan. Hati mohon untuk berpindah dan fikiran mohon untuk kekal. Ia suatu pilihan yang amat-amat kelam ketika jiwa makin terisi dengan kehadiran seseorang. SMK Balleh..... semoga bertemu lagi dipertemuan akan datang. Saya akan mengenang SMK Balleh sebagai sebuah sekolah indah yang penuh nilai moralnya !!!!


Hafez J.Malim sebagai pengawas PMR.. hehehe













10 ulasan:

thomas said...

Cantik betul permandangan di sungai Baleh ni terutamanya batu2nya,
nak tanya sikit cikgu,kat pekan Baleh tu ada hotel ke?

hafez j malim said...

Tuan Thomas... Balleh bukan kawasan pekan. Ia hanya sebuah sekolah di pinggir sungai Balleh. Berhadapan dengan ada sebuah rumah panjang. Tiada hotel disini. jika mahu kemari kita perlu menaiki bot ekspres.

thomas said...

Oh! Begitu rupanya.

Unknown said...

Sy akn pergi ke Balai Raya Long Singut, Ulu Balleh x lama lg. SMK Balleh tu dkat x ngn Balai Raya Long Singut? Ke kwasan yg berlainan? 1st nk pg, semua rsa ada.

dee said...

untunglaaaa +__+

Roslan Ismail said...

Ambe pernah mengajar di sana tahun 2006 dan 2007.

hafez j malim said...

Encik Roslan Ismail..
Terima kasih sudi singgah ke blog saya..sekurang-kurangnya catatan ringkas ini mengembalikan kenangan sdra di SMK Balleh. Salam persaudaraan

Anonymous said...

Tengok sekolah ini teringat semasa saya mengajar di salah sebuah sekolah di Sarikei, Sarawak sekitar tahun 1990an. Murid2 masih mempunyai sifat2 terpuji seperti bersopan santun dan menghormati guru.Rasa rindu pula pada bumi kenyalang ni....

hafez j malim said...

Bumi kenyalang sememangnya membuatkan kita semua mudah menjadi rindu. dengan warganya yang pelbagai etnik dan latar belakang serta alamnya yang menghijau, hati mudah untuk merasa sayang dengannya. selalulah menjenguk blog saya..mgkin ada sesuatu yang boleh kita kongsi dan kenangkan semula.

Luat Bilong said...

Terbaik Cikgu.skolah sya dlu.