BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

.

Photobucket

Saturday, November 5, 2011

Kembara Melihat Pekan - Pekan Lama 4 : Pekan Kampung Kepayang


Selesai melihat pekan Kota Bharu saya meneruskan lagi perjalanan bermotosikal ke sebuah lagi pekan lama yang semakin ditinggalkan iaitu pekan Kampung Kepayang. Bagi pengguna-pengguna jalan raya persekutuan dari Gopeng menghala ke Ipoh, sudah pasti akan melalui sebuah pekan pinggir jalan yang kosong dan kusam. Itulah pekan Kampung Kepayang....tinggalan-tinggalan akhir pekan lama yang masih wujud di negeri Perak Darul Ridzuan yang tercinta ini.

Masjid Ahmadiah pekan Kampung Kepayang

Sebenarnya pekan Kampung Kepayang ini bukanlah asing bagi diri saya. Jika sesekali saya pergi ke Ipoh maka sudah pastilah saya akan melalui pekan ini. Saya juga pernah singgah bersolat Asar di masjid yang terletak tidak jauh dari pekan ini. Apa yang menariknya berkenaan pekan ini ialah rumah-rumah kedainya sudah lama kosong ditinggalkan walaupun di persekitarannya terdapat banyak kawasan tempat tinggal penduduk. Saya sendiri menjadi agak pelik. Namun hal ini mungkin berpunca dari kedudukannya yang berhampiran dengan bandaraya Ipoh yang memungkinkan peranannnya sebagai sebuah pekan menjadi terlalu kurang penting bagi penduduk sekitar.

Saya sampai ke pekan ini ketika hari sudah beransur petang. Jalan raya menghala ke Ipoh sememangnya sesak dan kehidupan penduduk pekan ini berlangsung seperti biasa. Selepas meletakkan motosikal saya berhadapan masjid Kampung Kepayang saya terus meneroka bangunan rumah kedai pekan ini yang usang dan ditinggalkan. Banyak rumah-rumah kedainya yang sudah rosak dan mereput. Ada bahagian-bahagian tertentu sudah diliputi oleh tumbuhan-tumbuhan merayap dan liar. Ianya memberikan suatu panorama yang begitu redup dan menyeramkan.

Saya agak bernostalgia juga dengan pekan ini kerana ia adalah saksi yang melihat perjuangan saya dalam usaha menjadi seorang cikgu seperti hari ini. Saya masih ingat lagi pada ketika saya menuju ke Ipoh untuk menghadiri sesi temuduga menjadi seorang guru,  hujan turun gerimis ketika saya bermotosikal melintasi pekan ini. Allah sahaja yang mengetahui perasaan saya pada ketika itu. Sudahlah saya keluar seawal jam 4.30 pagi dari Bidor menuju ke Ipoh bermotosikal dan hujan pula turun. Sudah pastilah saya akan basah lenjun ketika ditemuduga. Alhamdulillah ketika sampai di Simpang Pulai hujan mula reda dan saya berjaya sampai ke tempat temuduga seterusnya berjaya menjadi seorang guru seperti yang terlihat hari ini.

Tumbuhan liar menghuni bangunan tua di pekan Kampung Kepayang

Disebuah rumah kedai yang pintu hadapannya sudah hancur, saya dapat melihat keadaan dalam rumah kedai lama yang masih tersisa. Dapat dilihat tempat sembahyang masyarakat cina dan sebuah potret lama yang misteri. Beberapa kalendar usang masih tergantung walaupun tulisannya semakin pudar dimamah masa. Pelik... kenapa ia ditinggalkan. Saya sendiri bingung dengan masalah ini.


Ada potret yang tertinggal

 Bahagian belakang rumah kedai

Banyak dinding kayu yang mereput dan tercabut

Sebahagian rumah kedai pekan Kampung Kepayang
yang sudah runtuh.

Wajah pekan ini amat menarik. Rumah-rumah kedainya memang sunyi namun jalan raya persekutuan yang membelah pekan ini sentiasa sibuk dengan pengguna jalan raya. Dipersekitaran pekan ini, terdapat bengkel, kedai makan malahan boleh saya katakan kawasan ini mempunyai kepadatan penduduk yang agak tinggi. Cuma bangunan kedainya sahaja yang ditinggalkan. 

Saya suka merakamkan gambar kaki lima bangunan rumah kedai pekan ini. Ketika melalui kaki limanya terasa seolah-olah saya kembali ke zaman silam.... seolah-olah saya dapat merasa bahawa disini dahulu pernah wujud sebuah pekan kecil yang menjadi nadi penduduk setempat membeli barangan keperluan seharian. Tetapi itulah .... ianya sudah tinggal kenangan bagi penduduk setempat. Tiada lagi keriuhan lama. Semuanya adalah cerita lama yang akan menjadi khazanah berkarat bagi generasi muda Kampung Kepayang.

Mungkin dahulu ia menjadi laluan pembeli membeli barang



Lorong kaki lima yang hanya tinggal kenangan

Hanya beberapa buah kedai sahaja yang masih beroperasi di pekan Kampung Kepayang ini. Antaranya ialah sebuah kedai gunting rambut India. Masih terdapat pengunjung yang memerlukan perkhidmatan bergunting rambut di sini. Ketika saya ingin merakamkan gambar kedainya sempat saya meminta kebenarannya... dia hanya tersenyum...... mungkin dia sedar hanya dia sahaja saksi sejarah pekan itu yang masih tertinggal. 

Sebuah kedai gunting rambut... saksi sejarah terakhir 
pekan Kampung Kepayang.


Dua buah lori melintasi bangunan rumah kedai pekan Kampung Kepayang

Sunyi petang di pekan Kampung Kepayang

Saya melihat kerdipan matahari petang bagaikan memakan masa depan Kampung Kepayang. Deretan rumah kedai batunya yang klasik kini bagaikan menunggu masa untuk dimamah kemodenan. Aliran trafik jalan raya yang merintangi pekan ini semakin sibuk tambahan pula ia berlokasi tidak jauh dengan bandaraya Ipoh. Dengan hanya jalan tiga lorong, mustahil bagi jalan persekutuan ini menampung jumlah kenderaan yang semakin banyak dan sesak. Penyelesaiannya hanya satu iaitu menambahkan lorong jalan raya sedia ada. Namun, bayaran yang paling mahal yang perlu kita bayar untuk usaha itu ialah dengan merobohkan rumah-rumah kedai tua pekan Kampung Kepayang yang masih tersisa sekaligus membunuh terus pekan ini dari lipatan peta negeri Perak.

Tidak mustahil jalan raya ini akan diperbesarkan

 Menunggu masa dipukul arus kemodenan

Saya meninggalkan pekan Kampung Kepayang setelah sahaja solat Asar di masjidnya. Dari jauh saya memandang deretan bangunan kedai pekan ini yang kaku sunyi. Sebak saya sendiri bila memikirkan nasib pekan ini kelak. Dengan saya yang semakin jauh dari negeri kelahiran saya yang tercinta ini tidak mustahil saya tidak akan bersua muka lagi dengan pekan ini. Mungkin nanti saya hanya akan menjumpai jenazah pekan ini yang dibunuh oleh gema kemodenan ketika kunjungan seterusnya. Saya bagaikan mahu menangis.

Selamat tinggal pekan Kampung Kepayang. Jika nanti dirimu sudah tiada mungkin catatan perjalanan ini akan menjadi saksi bahawa pernah wujud sebuah pekan bernama Kampung Kepayang di negeri Perak Darul Ridzuan ini. Catatan perjalanan saya diteruskan menuju ke sebuah pekan lama iaitu pekan Sungai Siput Selatan. Jumpa lagi dalam siri catatan akan datang.













6 ulasan:

thomas said...

Pekan lama yg hampir di penghujungnya,
pasti ia telah meninggalkan banyak kenangan pada yg pernah tinggal di sana.

AL AZRUL said...

nice story about Kg Kepayang, love to read this.. <3

anies said...

saya org simpang pulai...org ipoh pangil tempat ni pekan koboi...dari kisah org tua2..pekan ni ditinggalkn sebab menjadi tempat amalan santau...pada masa dahulu...sbb tu pekan ni jadi usang dan kadang2 kelihatan seram...

hafez j malim said...

salam anies...
mmg diakui sedikit msa yg lalu ilmu santaunmerupakan sesuatu yg amat ditakuti di negeri Perak ini. Dikatakan bermula sahaja dari Tanjong Malim menghala terus sehingga ke Simpang Pulai ... semuanya pernah dikaitkan dengan amalan santau ini. benar atau tidak itu hanya Allah sahaja yang mengetahui. berkenaan Kampung Kepayang pula banyak versi yang diceritakan oleh mereka2 yang terdahulu kenapa dan mengapa ia ditinggalkan sepi ... terima kasih sudi berkunjung ke blog saya.

Anonymous said...

Rasa sayang dan sayu bila tgk bangunan lama ditinggalkan. Terlintas kat hati nak pelihara semula. Tapi rasa mcm tak mampu. Harap kalau ada bantuan dari kerajaan negeri ke, insyaAllah impian ini akan tercapai.

hafez j malim said...

itulah ... kadangkala kita kena beralah dengan kemajuan dan modenisasi. Tidak selamanya perkara yang sedia ada akan mampu bertahan mendepani cabaran rebakan bandar yang semakin meluas dewasa ini. Pekan kampung kepayang mungkin suatu masa nanti terpaksa dikorbankan jika kerajaan bersetuju untuk melebarkan jalan persekutuan. itu perkara yang sangat sukar dielakkan atas maslahat umum. namun jika berkesempatan molelah kita mengabadikan dahulu catatan pengalaman kita berkenaan pekan ini. sekurang-kurangtnya jika hayat pekan ini menuju penamatnya insyaAllah anak cucu kita nanti akan dapat menilai sendiri betapa bersejarahnya sesuatu tempat itu.. wallahualambissawab