RINDU .... itulah kata-kata yang dapat saya simpulkan apabila ke Tanjong Malim. Di Tanjong Malim tersimpul sejuta satu tali kenangan suka dan duka sepanjang saya menjadi mahasiswa di Universiti Pendidikan Sultan Idris ( UPSI ) bagi sesi Jun 2004/2008.
Sejak meninggalkan alam mahasiswa, selalu juga saya berkunjung ke Tanjong Malim. Namun kunjungan-kunjungan itu adalah lebih sekadar untuk berjumpa teman-teman lama atau sekadar ke pasar malamnya yang meriah. Cuma pada kali ini, baru saya terbuka hati untuk bercerita dan berkongsi rasa indah tentang Tanjong Malim. Kesempatan melawat bekas pensyarah saya di UPSI iaitu Dr. Abdul Rahim Bin Razali memberikan peluang kepada saya untuk meneroka setiap kenangan di UPSI dan Tanjong Malim.
Jalan - Jalan di UPSI
Logo UPSI lama ( kiri ) dan logo UPSI baru ( kanan )
Ketika di tahun-tahun awal saya di UPSI,
saya menggunakan logo lama.
saya menggunakan logo lama.
Namun ianya telah diubah kepada logo yang baru
pada tahun akhir saya di UPSI.
Tanjong Malim bukanlah asing kepada diri saya sejak kecil lagi. Susur galur datuk sebelah emak mungkin berasal dari sini. Malahan saya masih mempunyai saudara mara yang masih mendiami bumi bertuah Tanjong Malim ini. Kemasukan saya ke UPSI pada tahun 2004 mendekatkan lagi saya dengan Tanjong Malim. Lawatan saya ke UPSI baru-baru ini memperlihatkan banyak perubahan yang ketara kepada UPSI. Ketika melalui setiap satu bangunan di UPSI hati saya mudah merasa sebak dan terharu kerana mengenangkan banyak kenangan yang tertumpah disini.
Bangunan Suluh Budiman
Ketika mula-mula menjejakkan kaki ke UPSI pada tahun 2004, saya begitu teruja untuk melihat bangunan warisan agung SITC iaitu Bangunan Suluh Budiman. Ia sebuah bangunan klasik yang begitu indah seni pembinaannya. Dindingnya yang bergerutu menambahkan lagi keunikan bangunan ini. Ketika tahun-tahun awal saya di UPSI bangunan ini masih berfungsi sebagai bangunan pentadbiran. Namun demikian setelah diwartakan sebagai warisan negara fungsinya kini berubah menjadi sebuah muzium sejarah pendidikan negara. Dahulu, kami sering dihantui oleh pelbagai cerita-cerita seram tentang bangunan ini. Namun sepanjang saya di UPSI tidak pernah saya melalui kejadian-kejadian yang tidak diingini.
Dewan SITC
Saya amat bernostalgia dengan Dewan SITC ini kerana disinilah saksi saya menggenggam segulung ijazah di hadapan kedua ibu dan bapa saya pada tanggal 10 Ogos 2008. Walaupun kenangan itu sudah lama berlalu namun ianya masih segar dalam ingatan saya. Dewan SITC ini juga manjadi tempat utama minggu orientasi pelajar-pelajar baru UPSI. Saya sempat berorientasi di sini. Berjumpa dan berkenalan dengan teman-teman baru dari negeri-negeri lain menjadikan minggu orientasi sebagai sesuatu yang yang menyeronokkan. Tambahan pula pada ketika inilah mata mudah menjadi liar melihat pelajar-pelajar wanita yang berdahi licin..hahahahaha.
Perpustakaan Tuanku Bainun UPSI
Tidak jauh dari Dewan SITC terletak sebuah bangunan yang sangat besar. Bangunan ini ialah Perpustakaan Tuanku Bainun. Ketika mula-mula memasuki UPSI, perpustakaan ini baru sahaja digunakan. Sebelum itu perpustakaan lama UPSI terletak di Bangunan Gajah Menyusu yang seterusnya dijadikan dewan peperiksaan. Saya gemar berkunjung ke perpustakaan ini dahulu. Walaupun koleksi bukunya agak kurang( pada ketika itu ) namun saya boleh sahaja duduk sehingga hampir 5 jam disini semata-mata membaca buku-buku yang menjadi kegemaran saya.Selain itu, di perpustakaan inilah tempat kumpulan pembentangan saya berbincang sebelum melakukan apa-apa tugasan. Namun biasanya, perbincangan akan bertukar menjadi sesi aktiviti berbual-bual dan melihat pelajar-pelajar wanita yang cantik dan solid tubuhnya..hahahahaha
Auditorium
Rasanyalah...hanya di UPSI sahaja yang bangunan auditoriumnya boleh dijadikan kelas. Kampus Sultan Abdul Jalil UPSI bukanlah luas. Malahan kemudahan yang ada pada ketika itu agak kurang dan ini telah menyebabkan bangunan Auditorium ini dijadikan sebagai kelas kuliah. Pernah suatu ketika, telah berlangsung satu acara di auditorium ini. Namun, kuliah kami tetap dijalankan seperti biasa di atas. Ini menjadikan suasana ketika itu agak gamat. Ketika pensyarah sedang memberikan kuliah, telinga kami pula sibuk mendengar butir-butir acara yang berlangsung dibawah. Kesudahannya... kelas dibatalkan dan kami mendapat cuti yang sangat menyeronokkan.
Antara bangunan warisan kenangan keabadian SITC ialah sebuah rumah kecil yang dikatakan pernah didiami oleh tokoh persuratan agung Melayu iaitu Pendita Za'ba. Rumah ini dinamakan dengan nama Ruma Za'ba. Seingat saya, hanya sekali sahaja saya pernah memasuki rumah Za'ba ini. Didalamnya, terdapat beberapa barangan warisan tinggalan Pendita Za'ba. Antaranya ialah mesin taib, cermin mata dan beberapa makalah yang pernah dikarang oleh beliau. Namun sepanjang pengetahuan saya, rumah ini sentiasa ditutup untuk kunjungan. Tidak tahu kenapa hal ini boleh berlaku.
Rumah Za'ba UPSI
Surau yang terdapat di Kampus Sultan Abdul Jalil UPSI merupakan sebuah bangunan kecil warisan dari SITC. Surau ini dinamakan sebagai Surau An-Nur. Saya suka dengan surau ini. Setiap waktu solat Zohor atau Asar selalu saya bersolat disini. Kadangkala jika menatikan waktu kuliah yang berselang, saya selalu sahaja melelapkan mata disini. Sejuk dan tenang...itulah gambaran yang dapat saya katakan berkenaan dengan surau berwarna hijau ini.
Sebuah bangunan kayu lama juga boleh dilihat di UPSI. Bangunan ini dinamakan Bangunan SKTM. Dari maklumat yang saya dapati dari orang - orang lama Tanjong Malim, bangunan kayu ini merupakan bangunan asal Sekolah Kebangsaan Tanjong Malim sebelum ia dipindahkan ke jalan Ketoyong. Sewaktu saya di UPSI dahulu sebahagian bangunan ini dijadikan sebagi pusat agama manakala sebahagian lagi dijadikan kelas TADIKA.
Bangunan kayu lama SKTM yang kini dijadikan
Pusat Permata Negara
Warisan Sekolah Dato' Abdul Razak ( SDAR ) di UPSI
Dewan Rahman Talib
Dari maklumat yang saya ketahui, sekitar tahun 1960an, Maktab Perguruan Sultan Idris ( MPSI ) berkongsi kawasan dengan Sekolah Dato' Abdul Razak, yang merupakan antara sekolah berasrama penuh terawal ditubuhkan di negara kita selepas merdeka. Saya sendiri tidak mengetahui sama ada sekolah ini menumpang di MPSI atau ia memang berlokasi di MPSI. Namun demikian, hayat sekolah ini di Tanjong Malim tidak lama apabila ia dipindahkan ke Seremban, Negeri Sembilan. Namun demikian, bangunan-bangunan asal SDAR masih boleh dilihat di UPSI. Antaranya ialah Dewan Rahman Talib yang terletak bersebelahan dengan bangunan Auditorium UPSI. Ketika menuntut di UPSI, dewan ini berfungsi sebagai dewan kuliah dan sebagai tempat kegiatan penganjuran acara-acara berskala kecil.
Selain itu beberapa bangunan lain juga turut masih boleh dilihat, antaranya rumah pengetua yang kini dijadikan bengkel Tiub Kaca. Bangunan kelas SDAR pula dijadikan bengkel pendidikan seni. Bangunan asrama lama pula dinamakan dengan nama Bangunan Yusof Ahmad. Jika diperhatikan pada dinding bangunan ini, akan jelas kelihatan sebuah papan tanda lama yang yang menyatakan dahulu bangunan ini ialah sebuah asrama pelajar yang dinamakan Rumah Temenggong.
Bangunan Yusof Ahmad di UPSI.
Dahulu merupakan asrama pelajar SDAR
yang dinamakan sebagai Rumah Temenggong
Papan tanda lama Temenggong House
di dinding bangunan Yusof Ahmad UPSI
Jalan-Jalan Tanjong Malim
Saya keluar dari UPSI menuju ke Tanjong Malim mengikut pintu selatan melalui sebuah jalan yang sunyi. Dahulu jalan ini sering saya lalui bagi menuju ke pekan Tanjong Malim. Jalan ini dinamakan Jalan Maktab. Mungkin kerana kedudukannya menuju ke MPSI suatu ketika dahulu. Saya suka melalui jalan ini kerana disini terdapat banyak kuarters-kuarters lama kerajaan yang klasik. Rumah-rumah disini seolah-olah mengembalikan semula cerita lama tahun-tahun 1960an hingga 1990an.
Rumah kerajaan yang masih didiami
Dahulu kawasan ini meriah dengan kanak-kanak bermain
Sewaktu saya belajar di UPSI masih ada penghuni di sini
tetapi kini ia telah ditinggalkan
Sunyi dan ditinggalkan
Namun sewaktu kunjungan saya baru-baru ini banyak diantara rumah-rumah kerajaan ini telah ditinggalkan tanpa penghuni. Tiada lagi anak-anak kecil bermain badminton dan kejar - mengejar di sini. Semuanya sunyi dan sepi. Sebuah rumah lama yang pernah menjadi tempat penuntut UPSI menempah dan membaiki baju juga sudah ditinggalkan. Ada yang menyatakan dahulu rumah itu pernah didiami oleh Allahyarham Aminuddin Baki ( bekas ketua Pengarah Pelajaran Malaya ).
Saya antara saksi-saksi akhir melihat pintu pagar lintasan keretapi yang merentangi jalan utama ke pekan Tanjong Malim. Jika tidak silap saya pada tahun 2005 jalan ini telah ditutup bagi tujuan pembinaan landasan keretapi berkembar. Ia menyebabkan Tanjong Malim terputus dua. Bagi memudahkan pejalan kaki dan pengguna motosikal dan masikal menuju ke pekan Tanjong Malim, sebuah jejambat telah dibina merintangi landasan keretapi. Namun demikian saya lebih selesa menyeberang landasan keretapi secara haram dari menggunakan jejambat yang memenatkan !!
Masjid Jamek Tanjong Malim yang terletak bersebelahan dengan balai polis Tnjong Malim merupakan sebuah masjid yang tua. Binaan batu yang dibina sejak zaman pemerintahan Inggeris di Tanah Melayu ini masih berdiri teguh mendepani cabaran zaman. Sewaktu di semester 7, saya telah mula duduk menyewa di Kampung Simpang Empat. Jadi pada setiap hari Jumaat saya dan rakan-rakan serumah akan ke masjid ini untuk menunaikan solat Jumaat. Adakalanya jika terlewat kami mungkin terpaksa bersolat di luar masjid kerana masjid ini masih tidak dapat menampung jumlah jemaah yang agak ramai terutama daripada pelajar UPSI dan pekerja kilang PROTON.
Masjid Jamek Tanjong Malim
Pekan Tanjong Malim masih tetap sama seperti dahulu. Tiada perubahan yang ketara. Jika adapun hanyalah penambahan restoran makanan segera Pizzahud. Dahulu yang ada cuma KFC. Kedai CD dan DVD Ravi dan Siva masih beroperasi seperti biasa walaupun acapkali diserbu. Dahulu disinilah tempat kami mencari CD cetak rompak terbaru. Ketika zaman-zaman MPSI dan IPSI terdapat dua buah panggung wayang yang beroperasi. Sebuah beroperasi di pekan Tanjong Malim dan sebuah lagi beroperasi di Hulu Bernam tidak jauh dari stesen bas baru Tanjong Malim. Namun kini kedua-dua panggung wayang itu tidak lagi digunakan. Malahan pangung wayang yang terletak di pekan Tanjong Malim hanya terbiar usang tanpa ada penyelenggaraan.
Panggung wayang lama Tanjong Malim
Pekan Tanjong Malim
Stesen Keretapi Lama Tanjong Malim
Stesen keretapi lama Tanjong Malim masih lagi boleh dilihat. Namun ianya telah ditinggalkan semenjak adanya stesen keretapi baru yang moden dan besar. Jika tidak silap saya, kini stesen lama ini dijadikan kedai makan. Namun masih ada tinggalan-tinggalan lama yang membuatkan saya bernostalgia dengannya. Bagi orang-orang lama bekas pelajar SITC, MPSI, IPSI dan UPSI ( zaman-zaman awal ) pasti mempunyai kisahnya yang tersendiri dengan stesen keretapi ini. Masakan tidak, ketika keretapi masih menjadi alat pengangkutan utama pada ketika dahulu inilah tempat pertama yang akan dijejaki oleh pelajar-pelajar ketika sampai di Tanjong Malim.
Stesen keretapi lama Tanjong Malim
Sesuatu yang saya kesali sewaktu belajar di UPSI dahulu ialah kewujudan papan tanda lama stesen keretapi Tanjong Malim. Pada fikiran saya pada ketika itu sudah pastilah papan tanda tersebut telah dicabut atau musnah sewaktu pembinaan landasan berkembar. Namun begitu sewaktu saya melintasi tapak stesen keretapi Tanjong Malim lama berdekatan dengan pejabat Pos ( Jalan Ketoyong ), terpandang saya sebuah papan tanda yang sudah uzur. Bila diamati dengan teliti terkejut saya, kerana papan tanda lama setsen keretapi Tanjong Malim masih wujud !!!! Melonjak kegirangan saya kerana pada masa kini adalah sukar bagi kita untuk menemui papan tanda lama stesen keretapi kerana semuanya sudah digantikan dengan yang baru.
Papan tanda lama stesen keretapi Tanjong Malim
Saya dapat melihat beberapa tinggalan lama di stesen keretapi tua ini. Beberapa lukisan lama masih tergantung kemas di didnding stesen ini. Bersebelahan stesen ini terdapat pohon-pohon renek yang mungkin pernah ditanam oleh pekerja -pekerja KTM sewaktu mereka bertugas disini. Papan tanda tertulis Ketua Stesen masih boleh dilihat. Kaunter tempat menjual tiket masih ada namun tiada siapa lagi yang membeli tiket disini. Ianya sunyi. Seekor kucing hitam comel menegur saya dengan ngiauan yang sepi. Ia mengikuti saya kemana sahaja saya pergi di stesen ini. Mungkin lapar agaknya. Sebuah kuarters lama yang mungkin dimiliki oleh KTMB tertinggal sepi tanpa penghuni. Semuanya bagai bercerita dahulu stesen ini sentiasa sibuk dengan penumpangnya. Ada keretapi yang singgah dan memberikan sejuta satu kisah kepada penduduk Tanjong Malim.
Gambar keretapi yang masih utuh di stesen keretapi lama Tanjong Malim
Kaunter tiket terbiar sepi
Ada tanaman di pinggir stesen
Papan tanda bilik ketua stesen keretapi Tanjong Malim
Dahulu ianya pernah sibuk dengan keriuhan penumpang
Kucing hitam menemani saya di sini
Kuarters lama yang tidak lagi diduduki. Besar kemungkinan
kuarters ini dahulu pernah diduduki oleh pekerja KTMB
Kini stesen keretapi Tanjong Malim telah berganti dengan sebuah stesen keretapi baru yang moden dan lebih kukuh. Kemudahan keretapi elektrik( ETS ) juga sudah boleh dinikmati oleh warga Tanjong Malim walaupun sesekali keretapi diesel elektrik akan berhenti singgah mengambil penumpang. Sewaktu saya sibuk merakamkan gambar stesen keretapi lama, sebuah gerabak keretapi elektrik ( ETS ) menuju ke Kuala Lumpur melintasi saya. Sebenarnya saya lebih suka dengan irama bunyi lokomotif keretapi diesel elektrik yang jauh lebih mempunyai nilai-nilai nostalgia kepada diri saya.
Stesen keretapi baru Tanjong Malim
Keretapi elektrik ( ETS )
Saya bergerak dari stesen keretapi lama Tanjong Malim menuju ke Sungai Bernam yang menjadi sempadan semulajadi antara negeri Perak dan Selangor. Agak menarik disini ialah sudah ada papan tanda di seberang Sungai Bernam yang menunjukkan kita akan memasuki daerah Hulu Selangor. Ketika saya masih belajar, papan tanda ini tiada dan pada saya Tanjong Malim dan Hulu Selangor merupakan pekan kembar yang masing-masing mempunyai sejarah yang sama dan saling berkaitan.
Sungai Bernam yang menjadi sempadan semulajadi
antara negeri Perak dan Selangor
Di seberang ialah daerah Hulu Selangor.
Melihat Rumah Sewa Lama Saya
Rumah sewa saya sewaktu menuntut di UPSI
Sewaktu di dalam semester 7, saya tidak lagi mendiami kolej kediaman Aminuddin Baki yang terletak di Kampus Sultan Azlan Shah berdekatan dengan kilang PROTON. Hal ini adalah disebabkan beberapa perkara seperti sudah ramai teman-teman yang tidak tinggal di kolej serta sukarnya mencari hubungan yang baik dengan pelajar junior. Saya menyewa di sebuah rumah kayu lama di Kampung Simpang Empat tidak jauh dari UPSI. Majoriti masyarakat kampung ini adalah berketuruan Melayu Rao. Malahan ada juga keluarga di sini merupakan kerabat saya yang terdekat melalui datuk sebelah emak.
Kunjungan ke rumah sewa itu baru-baru ini menyebabkan air mata saya menitik dengan sendiri tanpa sedar. Dahulu rumah ini meriah dengan gelak ketawa kami. Jika ada pelajar perempuan yang lalu berjalan kaki atau berbasikal di hadapan rumah ini pasti akan diganggu oleh kami melalui jendela rumah yang terbuka. Jika bila tiba musim rambutan, memang kami akan melantak rambutan dengan semahunya hati kerana tuan rumah sewa ini memang memberikan kebenaran kepada kami menikmati rambutannya. Rumah merah kuning ini sangat unik kerana kami tinggal diatas dan tuan rumah tinggal dibawahnya.
Dari tangga anjung rumah ini kami sering melepak
Namun kini, suasananya sunyi. Ada lagi penyewa yang menyewa rumah ini. Namun saya tidak mengenalinya. Kucing hitam putih yang sering tidur di tangga rumah ini juga sudah tiada. Mungkin sudah mati agaknya. Mati membawa setiap kenangan hidupnya bersama kami. Rumah ini dahulu amat meriah. Ada sahaja teman-teman yang akan bertandang berkongsi cerita dan kenangan seharian belajar di UPSI.
Penutup
Saya bergerak meninggalkan Tanjong Malim ketika hari sudah beransur petang. Banyak kenangan tertinggal di sini. Tanjong Malim semakin berubah. Nilai-nilai klasik masih ada namun saya tahu arus kemodenan pasti tidak dapat ditolak dengan mudah. Tanjong Malim memberikan sejuta satu rasa yang indah pada saya. Di sini saya berkenalan dengan isteri saya dan disini terangkum kisah percintaan saya yang gagal. Tanjong Malim membuatkan saya sentiasa subur dengan rasa terharu.
Esok atau lusa dan hari-hari yang mendatang sudah pasti saya akan ke Tanjong Malim semula. Mencari semula rasa yang bernama RINDU !!!!
17 ulasan:
Tempat lama2 pasti meninggalkan banyak kenangan pahit dan manis.
Cikgu masih mengajar di Kapit?
saya masih lagi mengajar di kapit... jika tuan ke kapit jngan lupa mencari saya.
salam
bapa sedara suami akak ada jdi pensyarah lat sana....
salam Kak kamsiah...
t.malim sentiasa punya kaitan dengan ramai insan... terima kasih kerana menjengah ke blog saya
"I LOVE UPSI"
Slogan baru yang diperkenalkan oleh YDP HEPA. Saya masih menuntut di UPSI. Sem ini UPSI dan mengoperasikan kampus baru di PC..
When I read your story about TM and UPSI,.. hahhh baru saye tau fungsi sebelum ini... Dan logo UPSI sekrg semakin baru :)
eqin syinkin..
terima kasih kerana ada juga juga junior UPSI yg sudi menziarahi blog saya ini. tanjong malim pekan yg ringkas namun sentiasa hidup dengan pelbagai cerita. walaupun kini kami sudah jauh merantau meninggalkan upsi namun segala kenangan yg terbina disni tetap utuh dalam kenangan... semoga menjadi guru yg terbaik nnt...
Oh kenangan..sy kat upsi 2002 - 2006...lihat pic, terasa sebak.. Memori menjd student terlalu manis utk d kenang..terbyg suasana dlm kelas.. Mkn kat cafe, library.... Syg.. Tiada kenangan di hr kemenangan ( konvo)..kerana batch kami buat d PICC putera jaya... Kini sy sudah bergelar cikgu..... Tq, UPSI...i love u.
salam berryluv
ketika sdr berkonvo di picc... saya dan rakan junior anda sibik menguruskan pesta konvo di kampus. terasa neh pesta konvo pada tahun berkenaan ... hahaha, terima kasih berkunjung ke blog saya.
salam yeop24..
kenangan hospital lama...hehehe
org lama je yg tau sejarah hospital tu
Sy merupakan bekas penuntut upsi 98/2001..mmg benar ,siapa saja yg pernah menghuni upsi@tanjong malim pasti akan merindui kenangan sms berada di daerah ini. sukar diungkap dgn kata2...kenangan yg terpahat di memori mengundang rasa sayu stp kali melihat@membaca apa sj yg barkaitan dgn upsi@t.malim.terima kasih kpd pemilik blog atas nukilan kisah upsi@t.malim....terubat rasa rindu d hati.
saya juga pernah menuntut di ibu kandung sesi 86/88 yang dikenali sebagai mpsi, kemudian ipsi. mmg segala kenangan sukar utk dilupakan. kalaulah masa boleh diputer kembali ingin kembali menjadi anak ibu kandung
Salam tuan.adakah tuan orang asal tg malim? Kalau ya boleh call saya Di 0123356406/nurulhafizan@upsi.edu.my
Puan.boleh hubungi saya? nurulhafizan@upsi.edu.my
Ada beberapa perkara nak ditemuramah
Saya pun lahir 1979 dan bersekolah di SKTM dari darjah 1-6.
Rumah keluarga masih disana..
Dan saya juga lepasan UPSI
eh rumah saya 😊 alhamdulilah terima kasih . saya ain anak tuan rumah yang tuan sewa dulu, semoga tuan sentiada dalam lindungan-Nya dan sihat sentiasa . sekarang dah tiada siapa menyewa dekat atas and memang tak ada buat sewa dah semenjak ayah meninggal ☺️
la ye ke... rasanya dulu ain kecik lagi kot mase ni. Dulu ada bela kucing nama Bad kan ... dh meninggal ke ayahnya... allahuakbar tak tau plak saya. Semoga rohnya dicucuri rahmad. Dulu time musim durian arwah ayahnya akan bagi kami beli durian sebakul pada harga yang murah. Kebetulan arwah ada kawan yg sekampung dengan saya di bidor. Hari tu tengok rumah ni jadi tempat rakaman cerita arahan Mamat Khalid... tu yang teringt balik,.... ya allah rindu eh...
dulu beraekolah d smk methodist tanjung malim,ad upacara payung terjun d upsi,kami murid2 ramai yg p tngok..ad insiden penerjun payung dia ad masalah ka mcm mna,ingat2 lupa…
Post a Comment