BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

.

Photobucket

Tuesday, March 20, 2012

Mengorek Cerita Di Hilir Perak


Beberapa minggu sebelum saya berkahwin, sempat juga saya meneroka daerah Hilir Perak dengan menggunakan motosikal buruk saya. Mulanya hanya sekadar ingin ke Teluk Intan untuk menguruskan beberapa hal penting namun kemudiaannya bertukar menjadi satu perjalanan ringkas bagi menambahkan lagi luas pandangan dan pengalaman saya. Lagipun memang saya selalu membawa kamera walau kemana pun saya pergi. Jadi secara tidak langsung dapat juga menambah cerita di blog perkongsian ini.

Ketika di Teluk Intan, saya teringat tentang kewujudan sebuah makam lama milik salah seorang sultan yang pernah memerintah negeri Perak. Hasil dari maklumat yang diberikan oleh ayah tentang lokasi makam ini, saya mula menjejaki makam lama ini. Alhamdulillah, akhirnya saya dapat bertemu juga dengan makam ini. Ianya terletak di Kampung Terengganu tidak jauh dari kuala Sungai Bidor. Dahulunya kawasan ini terkenal dengan nama Durian Sebatang. 

Ketika sampai di perkarangan makam ini, agak gementar juga hati saya kerana inilah kali pertama saya menziarahi makam seorang sultan. Makam ini terletak sangat berdekatan dengan rumah-rumah penduduk kampung. Ianya berpagar dan terdapat beberapa makam yang terletak didalam satu kepuk yang sama. Keadaan makam ini agak bersemak namun saya yakin penduduk tempatan sentiasa menjaga makam ini dengan sebaiknya. 

Suasana Makam Sultan Abdullah Muhammad Shah 1 

Makam ini adalah milik Sultan Abdullah Muhammad Shah 1 ibni Raja Kechil Abdul Rahman yang memerintah negeri Perak dari tahun 1851 sehingga tahun 1857. Baginda merupakan sultan Perak yang ke - 22. Baginda telah menjadikan Durian Sebatang sebagai tempat bersemayam. Namun demikian hayat pemerintahan baginda tidak lama iaitu sekitar 5 tahun sahaja. Baginda mangkat ketika berlakunya perselisihan antara baginda dengan Raja Bendahara Ngah Jaafar ibni Raja Kechil Tengah Ahmad ( seterusnya menjadi Sultan Perak ke-23 dengan gelar Sultan Jaafar Muazzam Shah ). Baginda digelar Marhum Durian Sebatang.

Keadaan di dalam kawasan makam

Batu nisan makam

Sempat juga saya memegang batu nisan makam Sultan Abdullah Muhammad Shah I ini. Balutan kain kuning pada batu nisan ini sudah pudar warnanya. Bersebelahan dengan makam baginda terdapat beberapa makam lain. Mungkin makam isteri dan kaum kerabat baginda. Terdapat juga sebuah makam yang terletak di bawak kepuk makam diraja ini. Tidak pula saya tahu pemilik makam ini. Tiada balutan kain kuning di batu nisannya. Saya sendiri menjadi agak was-was.

Sebuah makam lama yang terletak di bawah kepuk
makam diraja.

Sultan Abdullah Muhammad Shah 1 mempunyai beberapa orang putera dan salah seorang daripadanya juga telah diangkat menjadi sultan Perak yang ke-27  iaitu Sultan Yusof Sharifuddin Mudzaffar Shah ( 1876 - 1887 ). Mengikut tinjauan dari internet, saya mendapati zuriat keturunan  lelaki terakhir bagi Sultan Abdullah Muhammad Shah 1 yang menduduki jawatan Raja Bergelar negeri Perak ialah Raja Haji Johor menerusi jawatan Raja Kechil Tengah. Selepas itu tiada lagi warisan zuriat lelaki baginda dalam sistem hieraki takhta kesultanan Perak. 

Papan tanda makam

Satu fakta yang agak menarik minat saya terhadap makam ini, ialah ia merupakan makam sultan Perak yang terletak paling hilir sungai Perak  ( Teluk Intan ) berbanding makam-makam lain yang kebanyakannya terletak dalam daerah Perak Tengah dan Kuala Kangsar. Kewujudan makam ini bagaikan memberi satu petunjuk mungkin ada cerita lain yang tersembunyi di sebalik sejarah panjang kesultanan Perak. Al-Fatihah untuk baginda dan semoga roh baginda dicucuri rahmat oleh Allah SWT.

Setelah beberapa lama di makam ini, saya bergerak menuju ke salah sebuah pekan utama dalam daerah Hilir Perak iaitu Bagan Datoh. Hasrat hati saya ialah mahu melihat sendiri Beting Beras Basah yang terletak di pertemuan antara muara Sungai Perak dengan Selat Melaka tidak jauh dari Bagan Datoh. Beting Beras Basah ini ialah satu tempat yang dianggap sangat penting kerana disinilah tempat awal yang perlu dijejaki oleh setiap bakal sultan Perak sebelum ditabalkan.

Sesuatu yang merisaukan saya sepanjang perjalanan ialah kondisi motosikal taua saya yang agak meragukan. Namun syukur Alhamdulillah, saya selamat sampai ke pekan Bagan Datoh. Inilah kali pertama saya menjejakkan kaki ke pekan ini. Ia sebuah pekan kecil yang tenang. Bangunan-bangunan kedai kayu masih kelihatan utuh disini.

Bagan Datoh di suatu petang

Dahulu saya hanya mengenal nama Bagan Datoh hanya melalui sebuah buku Ilmu Alam yang menyatakan Bagan Datoh merupakan tempat penanaman kelapa yang terbesar di Malaysia. Sehingga kini saya masih lagi menyimpan buku Ilmu Alam ini walaupun usia buku ini telah mencapai ke angka 40 tahun !!!

Saya mula mengenal nama Bagan Datoh melalui buku Ilmu Alam ini.

Walaupun sudah berusia 40 tahun buku ini masih tetap 
utuh dalam simpanan saya.

Bukti usia buku ilmu alam ini ialah 40 tahun dimana ia dicetak pada tahun 1972

Perkara pertama yang terlintas di kepala saya ketika sampai di Bagan Datoh ialah menuju ke Beting Beras Basah. Saya menuju ke jeti utama yang menjadi kebanggaan warga Bagan Datoh. Jeti yang dibina di pinggir kuala Sungai Perak itu menjadi tempat warga tempatan beriadah dan memancing. Ketika disitu, saya telah bertanya pada seorang pakcik tua bagaimana cara hendak ke Beting Beras Basah. Ketawa pakcik tua itu apabila mendengar hasrat saya....katanya jika hendak pergi melalui jalan darat adalah sesuatu yang sukar. Pilihan yang ada cuma melalui jalan air. Errrmmm.... terkedu saya sendiri.. nampaknya terpaksalah saya membatalkan hasrat hati saya tersebut. Namun segala kesal hati agak terubat apabila meliahat panorama indah dari jeti berkenaan. Sekurang-kurangnya saya tidak pulang kosong kata hati mengubat diri.

Jeti Bagan Datoh

Pemandangan jeti



Saya agak lama di jeti Bagan Datoh ini. Seronok rasanya melihat orang memancing ikan sambil diri enak-enak menikmati hembusan angin yang berhembus. Bila melihatkan petang yang semakin mendung barulah saya mula bergegas hendak pulang. Namun sempat juga saya meronda-ronda melihat keadaan pekan Bagan Datoh. Ia sebuah pekan yang ringkas namun agak lengkap. Satu sahaja perkara yang memeningkan kepala saya iaitu saya tidak menjumpai stesen minyak. Puas saya berpusing-pusing mencari stesen minyak namun tidak terjumpa.

Berdekatan dengan jeti ini terdapat sebuah bangunan besar yang agak moden dan kondusif bentuknya. Bila diperhatiakn dengan jelas barulah saya tahu ia adalah bangunan bagi agensi Jabatan Laut. Jika diperhatikan dengan teliti dapatlah disimpulkan inilah satu-satunya bangunan moden yang menyerlah di pekan ini. Namun pada saya... biarlah secantik manapun bangunan moden dibina di sini, ia tetap tidak mampu menandingi keunikan rumah kedai kayu yang banyak terdapat di pekan Bagan Datoh ini.

Bangunan Jabatan Laut Malaysia

Suasana petang di pekan Bagan Datoh

Rumah kedai kayu yang mendominasi pekan Bagan Datoh

Tiada kesesakan di Bagan Datoh

Bangunan-bangunan rymah kedai kayu yang terdapat di Bagan Datoh mengingatkan saya kepada pekan Behrang Stesen yang pernah saya ulas dahulu. Ketika saya meronda di sekitar pekan ini lensa kamera saya tertumpu kepada sebuah rumah kedai kayu yang terbakar. Nampaknya inilah bahaya yang paling utama bagi sebuah rumah kedai kayu. Ia mudah terbakar. 

Sebuah rumah kedai yang hangus terbakar 

Sebuah pasar kayu bewarna oren masih boleh lagi dilihat di Bagan Datoh. Agak sukar lagi bagi kita ini untuk melihat pasar basah dalam bentuk lama dan klasik. Bagan Datoh merupakan antara kawasan pendaratan ikan yang terbesar di Semenanjung Malaysia. Namun begitu ketika kunjungan saya ini, pasar ini telah sunyi tanpa kegiatan jual beli. Mungkin hari sudah petang ketika itu. Tapi ia membuatkan saya begitu teruja !!

Pasar Awam Bagan Datoh ... KLASIK !!

Oh ya... satu lagi perkara yang menarik minat saya terhadap pekan Bagan Datoh ialah stesen bas terbukanya. Bagi masyarakat setempat yang tidak mempunyai kenderaan sendiri bagi menuju ke Teluk Intan atau ke Sabak Bernam, terdapat perkhidmatan bas yang menghubungkan Bagan Datoh dengan bandar-bandar yang dinyatakan tadi. Stesen bas Bagan Datoh terletak di tengah-tengah satu kawasan lapang yang menghubungkan antara dua rumah kedai. Sekali imbas kelihatan seperti stesen bas mengundur yang terdapat di Sungkai pula. 

Stesen bas Bagan Datoh.

Majoriti penduduk Bagan Datoh ialah orang Melayu berketurunan Jawa. Saya memang tidak mempunyai saudara mara disini. Ini secara tidak langsung menjadikan saya begitu asing dengan Bagan Datoh. Namun kunjungan secara tidak sengaja ke sini memberikan saya satu pemahaman yang berguna tentang perubahan yang berlaku akibat peredaran masa. Kini Bagan Datoh bukan lagi tempat pengeluaran kelapa yang terbesar di Malaysia. Dalam tempoh 40 tahun segalanya bagaikan berubah sekelip mata.Inilah yang dikatakan tuntutan zaman. Namun di Bagan Datoh anda sentiasa akan merasa nilai-nilai silam masih kekal dan utuh bertapak disini dan sudah pasti kita akan merasa cinta untuk berlama-lama di sini.

Pejabat Pos Bagan Datoh

Masjid Pekan Bagan Datoh

Saya bergerak meninggalkan Bagan Datoh ketika jam sudah menunjukkan angka enam petang. Saya singgah sebentar bersolat di masjid jameknya yang kelihatan baru diubahsuai. Selesai solat saya terus menunggang motor buruk saya bergerak pulang ke Bidor. Saya akan selalu merindui Bagan Datoh. Tidak tahu lagi bila kaki ini akan kembali disini. Namun saya tahu..... kunjungan hari esok pasti tidak akan sama dengan kunjungan semalam !!! 

Jumpa lagi Bagan Datoh

6 ulasan:

thomas said...

Tak pernah sampai tempat ni,
selalunya lalu je Hutan Melintang .

hafez j malim said...

Tuan Thomas... jika berkesempatan cubalah datang ke sini.. mgkin ada chimney yang tersembunyi... ini pekan perkampungan.. rasanya banyak rahsia yang belum terbongkar

Nasz said...

Salam sejahtera,

Saya bekerja di bagan datoh sejak ditempatkan pada disember 2009. Sehingga hari ini saya masih di bagan datoh. Saya boleh dikirakan baru sebab mengikut kata orang-orang yang datang sebelum saya, semasa dorang datang, memang banyak kekurangan.

Saya sendiri tak pernah ke Beting Beras Basah untuk pengetahuan. Pelik kan? Hehehe.

In Shaa Allah akan ada pelbagai lagi perancangan pembangunan untuk bagan datoh ini di masa depan.

Jemputlah ke blog saya ye?

www.mohdnaser.com

hafez j malim said...

Tuan Nasz.. terima kasih sudi berkunjung ke blog saya. insyaAllah saya akan selalu berkunjung ke blog tuan.

Anonymous said...

Bro, nape gambar sume2 hilang?

hafez j malim said...

salam
ade sedikit masalah dengan akaun blog saya pada ketika dahulu. InsyaAllah saya akn cuba memperbaiki kerosakan ini. terima kasih atas teguran