BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Saturday, April 14, 2012

Loghat Perak Dan Warisan Panggilan Keluarga



Di sekolah, ada pelajar yang bertanya tentang negeri asal saya. Mereka selalu mempersoalkan tentang loghat pertuturan saya yang berbeza dengan guru-guru yang berasal dari utara dan pantai timur Semenanjung. Mungkin agaknya terlalu ramai guru-guru yang berasal dari Kedah, Kelantan dan Terengganu di bumi Kapit ini. Guru yang berasal dari Perak pula tidak ramai dan kebanyakan dari guru-guru Perak ini bertutur dengan Bahasa Melayu standart. Hanya beberapa kerat sahaja yang masih bertutur dengan menggunakan loghat Perak dalam perbualan. Itupun hanya bertutur dengan teman  “sePerakian” yang pior.


Kedudukan mukim Bidor dalam daerah Batang Padang, 
Perak darul Ridzuan

Saya berasal dari Bidor yang kedudukan geografinya agak jauh dengan penutur loghat Perak jati yang kebanyakannya mendiami kawasan Perak Tengah, Hilir Perak dan Kuala Kangsar. Sementara itu pula, kebanyakan penduduk Melayu Bidor adalah dari keturunan Rawa ( Rao ) yang loghat pertuturannya lebih kurang sama dengan orang Minang. Datuk dari sebelah emak sememangnya orang Rawa yang berasal dari Ulu Selangor. Namun saya memang tidak tahu langsung bertutur dalam loghat Rawa ini walaupun punya teman-teman Rawa yang ramai ketika bersekolah di Tapah.

Saya merasakan pengaruh keluarga sebelah ayah lah yang menyebabkan saya masih boleh bertutur dalam loghat Perak ini. Kaum kerabat sebelah ayah saya berasal dari kawasan persisiran Sungai Perak. Apabila mereka mula bermukim di Bidor pada awal-awal tahun 1960an… sudah pasti lenggok dan gaya pertuturan loghat Perak juga dibawa bersama. Malahan pakcik dan ibu saudara saya sebelah ayah masih kuat loghat Peraknya ketika berbual-bual dengan kami. Cuma ianya telah disesuaikan dengan cara keluarga umpamanya kata ganti diri seperti teman ( aku, saya ) digantikan dengan awak. Dahulu ketika di kampung, saya masih lagi menggunakan kata ganti diri keme ( saya ) ketika bertutur, namun kini langsung saya tidak menggunakannya lagi.

Sesuatu yang pasti, beberapa perkataan loghat Perak masih saya gunakan dalam pertuturan seharian saya walaupun dengan rakan yang berbeza negeri antaranya ayor ( air ), tengin ( bodoh ), ingke (perangai tidak senonoh ), kome ( kamu semua ), deme ( mereka semua ) dan lain-lain lagi yang tidak sempat saya senaraikan.

Begitu juga dalam sistem panggilan keluarga sebelah ayah saya sendiri agak pelik. Kami menggelarkan ibu dan bapa saudara kami dengan satu sistem panggilan yang dipusakai dari warisan nenek moyang kami.  Ia agak berbeza dengan yang kebiasaannya.


KEDUDUKAN ADIK BERADIK
PANGGILAN ISTERI
PANGGILAN SUAMI

Sulung
Ende
Uda
Anak Ke-Dua
Wan Andak
Andak
Anak Ke-Tiga
Wan Anjang
Anjang
Anak Ke-Empat
Wah
We
Anak Ke-Lima
Wanchek
Achek
Anak Ke-Enam
Chu
Ayah Chu
Anak Bongsu
Mak Adik
Ayah Adik


Menurut ayah, gemulah datuk saya Ismail Bin Haji Yusof memanggil ibunya dengan panggilan Encik atau Ende dan bukannya dengan panggilan emak atau ibu seperti kebiasaannya. Hal ini menjadi sesuatu yang aneh dan terus kekal misteri bagi saya. Saya berharap sekiranya ada indivdu yang mengetahui tentang sistem panggilan kekeluargaan seperti ini dapat berkongsi cerita dan pengalaman mereka kepada saya. Namun demikian, panggilan Encik dan Ende kepada ibu ini tidak lagi digunapakai didalam keluarga kami. Gemulah datuk melarang anak-anaknya menggunakan istilah ini dalam perbualan seharian dan kekallah ia sebagai satu warisan cerita untuk anak cucu di hari depan.

Namun kini tidak ramai lagi kaum keluarga saya di kampung yang masih pekat loghat Peraknya. Malahan di dalam adik beradik saya seramai lima orang hanya saya sahaja yang masih kekal pior loghat Peraknya. Sepupu-sepupu saya sebelah ayah ramai yang masih berbahasa telor Perak namun anak-anak mereka biasanya tidak lagi sepekat bapa dan ibu mereka. Teman-teman di Bidor juga ramai yang masih ada bau-bau loghat Perak dalam pertuturan dan itu yang membuatkan saya merasa rindu untuk berkeropeh ( sembang kosong ) sehingga ke lewat malam. Hahahahahahahaha !

Mamat Khalid

Sesekali menonton filem arahan pengarah Mamat Khalid seperti Man Laksa, Zombie Kampung Pisang dan Hantu Kak Limah Balik Rumah, sudah pasti saya akan ketawa dan seronok kerana beliau merupakan anak Perak yang begitu berbangga dengan loghat Perak ini. Dalam setiap filemnya sudah pasti akan ada loghat Perak yang dituturkan oleh mereka yang memang berasal dari Perak. Ini membuatkan saya semakin rindu pada kampung halaman. Walaupun sudah ramai bapa dan ibu saudara sebelah ayah yang sudah berpulang namun kenangan bergebang dan bermesra dengan mereka dalam loghat Perak masih kekal dalam ingatan. Al-Fatihah untuk mereka.

Sehingga kini…saya tetap anak jati Perak dan saya sentiasa berbangga dengan identiti saya !

17 ulasan:

Thomas Lee said...

Bahasa tempatan ni kalau tak digunakan, lama2 akan pupus juga.

hafez j malim said...

Tuan Thomas... generasi FB sekarang dah banyak lupakan tggalan nenek moyang.. mcm bahasa melayu loghat Perak ini penggunaan dah semakin berkurang.

Sepukal said...

tak pernah pulak saya dengar panggilan "mak adik" dan "ayah adik" tu.

saya lahir dan membesar di kl ttp kedua2 org tua saya anak jati perak tengah.

saya masih kurang jelas dengan panggilan2 tu. saya memanggil makcik (ke-3 dlm adik-beradik sebelah ibu) sbg "wah" dan suami dia sbg "ayah andak", di sini tak pula saya panggil makcik saya sbg "mak andak".

saya juga memanggil pakcik saya yg sulung sebelah ibu sbg "ayah chor" dan makcik saya sbg 'wan chor".

ibu saya memanggil saudara yg pangkat dua pupu kpd dia sbg "ende" dan saya pulak memanggil dia sbg "wan ende".

saya pernah bertanya kpd ibu saya ttg sistem nama2 panggilan ni ttp dia sendiri kurang jelas.

minta pencerahan ttg nama2 panggilan ni.

hafez j malim said...

salam sdra Sepukal...
ayah saya memanggil bapa dan ibu saudara sulung dari sebelah ibunya dengan gelaran ayah chor dan mak chor memang diakui gelaran chor hanya digunapakai di perak. begitu juga dengan gelaran enda. dari beberapa ulasan dari orang-orang lama, gelaran chor, enda, wah, anjang dan encik(ibu ) mmg hnya digunakan oleh orang melayu perak dan mgkin berasal dari budaya suku Bugis, Acheh dan Siak. Namun kesahihannya agak samar-samar.

Sepukal said...

nama panggilan asal dari bugis dan aceh tu mungkin tak ada. ini saya sudah diskusikan dengan kenalan2 sewaktu ke sulawesi selatan dan aceh. masalahnya kenalan2 saya bukan lah budayawan mahu pun sejarahwan.

kalau asal bugis sepatutnya ada persamaan dengan selangor atau johor tapi tak ada pulak. pengaruh aceh tak ada pula persamaan dengan kedah. kalau ada pun mungkin terlalu sedikit kerana saya pernah dengar panggilan "yong" juga ada digunakan di kedah.

perlu diberi perhatian yg bahasa melayu temiang di aceh selatan (orang2 di temiang berbahasa melayu temiang, bukan bahasa aceh walaupun termasuk dalam propinsi aceh) dan kawasan sekitarnya di sumatera utara ada sedikit loghat perak terutama sebutan pada "r". siak saya kurang pasti tapi siak mirip minangkabau di mana asasnya bahasa melayu juga.

perak kita memang unik dan patut ditelaah lebih panjang lagi.

hafez j malim said...

salam sdra sepukal...
Nampaknya apa yang dituliskan disini mempunyai satu warisan misteri yang agak samar2... jika saya mengandaikan sistem panggilan ini dibawa terus dari era kesultanan Melaka mungkin dapat menguatkan fakta. bagaimana pendapat sdra?

hafez j malim said...

salam yeop24..
inilah uniknya sistem panggilan orang perak yang tak de kt mane2 negeri... yeop dan yong hnya ade di perak. Nyah, anjang, yang dan andak banyak yang digunakan di perak. satu perbincangan saya dengan beberapa orang teman dr negeri2 lain kebanyakannya mengaku sistem panggilan yang digunakan oleh negeri mereka banyak disadur dari negeri perak... walluhualambissawab

Anonymous said...

saya tidak setuju dengn pendapat yang mengatakan penggunaan dialek melayu perak sudah berkurang encik hafez j malim.

mungkin ia hanya berkurang pada anda atau keluarga anda. kerana saya sebagai anak jati perak masih bercakap dengan dialek perak.

malah kalau pulang ke perak, masih ramai yang bercakap dengan dialek perak.

apa ke dihajab meraban rope itu yob..

Unknown said...

Ajer nye yer

Unknown said...

Wehhh le kome, awok ni tengah mncari2 gelo'atah @ tah' ni yg di rujuk kpda opah dr daerah mane..awok heran juge opah sedara awok mmg di gelo dek cucu dgn tah chik.

Unknown said...

Saya Ada 12 adik beradik blh tlg senaraikan panggila

Yope Pulo Tige. said...

Keme kata jsmak kami semua.

Unknown said...

Saya orang perak....anak saudara saya serta sepupu pangil saya enda....jadi sya nk tau kedudukan saya..

Anonymous said...

x berkurangan..family saya dan sedara masa msih guna segala gelaran tu...elok jer. x digunakan, maka pupuslah ia dalam keluarga kite. tp kalo ia terus digunakan, maka segar lah ia buat selamanya

Anonymous said...

kalo daerah Batu Gajah, panggilan atas dari moyang apa yer? sy nak siapkan salasilah keluarga sy...cucu cicit x tau nk panggil atas dari Moyang dengan gelaran apa. Ada sesape leh jawab?

Anonymous said...

Arwah bapa saya lahir di perkampungan pesisir Sungai Perak dalam daerah Perak Tengah, dimana arwah bapa dan ibunya berasal dari situ juga.

Bapa saya lahir sebagai anak ke tiga dimana adik beradik sepupu sepapatnya memanggilnya dengan gelaran 'Yang' dan Ibu saya 'Kak Yang'.

Bapa saya mempunyai seorang kakak yang lahir sebagai anak sulong. Bapa saya memanggilnya dengan gelaran 'Yong' dan memanggil suami kakaknya itu dengan gelaran 'Yop'. Kami adik beradik memanggil mereka dengan gelaran 'Wer dan Ayah Wer'.

Bapa kepada arwah bapa saya lahir sebagai anak sulong. Adik beradiknya memanggilnya dengan gelaran 'Yeop' dan anak saudaranya memanggilnya dengan gelaran 'Ayah Chor'.

Ibu kepada arwah bapa saya adalah anak bongsu dan mati muda. Saya tak pasti keluarga sebelah bapa saya memanggilnya dengan gelaran apa sebab saya belum lahir. Pada hemat saya biasanya mereka akan memanggil nama sahaja dan meletak awalan 'Wan' sebelum nama contohnya Wan Senah buat panggilan kepada anak-anak saudaranya.

Arwah nenek saya ini mempunyai kakak yang sulong di mana kami adik beradik memanggilnya dengan gelaran 'Opah Wah'.

Arwah bapa saya mempunyai ibu tiri dimana dia memanggilnya dengan gelaran 'Encik'.

Arwah bapa saya juga mempunyai kawan rapat yang berasal dari negeri yang sama di muara Sungai Perak. Dia kerap memanggil arwah bapa saya dengan gelaran 'Encik'.

Saya rindukan suasana kampung pada tahun 80an di tebing Sungai Perak. Nostalgia yang tak pernah lekang dalam ingatan dan tak akan mungkin berulang..

hafez j malim said...

Yer btul... Arwah atok sy mmggil emaknya dengan pggilan encik. Mereka dr kawasan hilir sungai kinta x jauh dr mukim bandar.