BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Sunday, April 8, 2012

Melihat Keretapi Di Pekan Rompin


Erm... pertama kali saya singgah di pekan Rompin, perkara pertama yang terlintas di fikiran saya ialah ketenangan. Tiada kesibukan di sini malahan pekan Rompin kelihatan lengang dengan aktiviti penduduknya yang pelbagai. Namun saya menyukai pekan ini. Aroma pekan ini mengingatkan saya tentang beberapa pekan lama di Perak Darul Ridzuan yang pernah saya ulas dahulu. Ia sebuah pekan perkampungan dan perladangan yang punya nilai klasik namun nilai-nilai tersebut masih ada dan memberikan sejuta satu makna bagi yang bernostalgia.

Sejujurnya saya memang tidak tahu dimana letaknya pekan Rompin, Negeri Sembilan ini. Yang paling lekat di kepala saya cuma Taman Negara Endau - Rompin. Berkenaan dengan pekan Rompin pula memang saya tidak terfikir langsung. Namun setelah mendirikan rumah tangga dengan gadis manis dari Gemas, barulah saya mengetahui tentang pekan Rompin ini. Mulanya, saya menyangkakan pekan ini sebuah pekan yang besar dan sibuk. Namun setelah sampai, melonjak saya sendiri kerana pekan Rompin sebenarnya masih menyimpan sesuatu yang sangat saya gemari .... lintasan keretapi dan pondok hentian keretapi lama yang sangat klasik !

Saya berjalan kaki ditengah terik matahari petang meneroka pekan Rompin ini. Keadaanya lengang dan kelihatan beberapa penunggang motosikal tidak memakai helmet di jalan raya. Perkara pertama yang bermain di fikiran saya ialah lintasan keretapi rata awam yang merintangi jalan raya utama pekan ini menuju ke Bahau. Agaknya memang rezeki saya .... sewaktu saya berjalan menuju ke lintasan tersebut, pintu pagar jalan telah ditutup. Ini bermakna ada keretapi yang akan lalu !!!!... ini perkara yang sukar dilepaskan.

Lintasan keretapi merentangi jalan utama di pekan Rompin

Pengguna jalan raya berhenti sebentar
menantikan keretapi lalu.

Seorang lelaki tua berbangsa India menegur saya. Tersenyum dia melihat saya bersedia dengan kamera untuk mengambil gambar keretapi lalu. Agaknya, dia hairan melihat ada juga manusia yang tertarik dengan lintasan keretapi pekan Rompin ini. Lebih kurang lima minit kemudian kami sudah terdengar bunyi sayup keretapi dari jauh. Pekerja KTM yang bertugas menjaga pagar keselamatan mula menunjukkan isyarat tangan supaya saya bersedia mengambil gambar. Sayangnya... saya terlepas untuk mengambil gambar lokomotif ( kepala ) keretapi berkenaan kerana kamera saya secara tiba-tiba terpadam. Kecewa sungguh saya pada ketika itu. Mujur juga kamera itu dapat dihidupkan semula namun ... hanya gerabak keretapi sahaja yang dapat terakam. Bukan rezeki saya agaknya kali ini... huhuhuhuhu

Jadilah ...walau hanya gerabak yang sempat dirakamkan

Selepas sahaja pintu pagar keselamatan landasan dibuka, saya terus menuju ke pondok penjaga pagar keselamatan landasan keretapi Rompin. Ia sebuah bangunan kayu lama dan klasik. Saya yakin suatu ketika dahulu pasti bangunan kayu kecil ini pernah menjadi hentian keretapi yang penting bagi penduduk pekan Rompin. Sempat saya berbual mesra dengan kakitangan KTMB yang bertugas disitu. Orangnya ramah. Saya meminta kebenaran dari beliau merakamkan gambar disekitar kawasan landasan berkenaan. Sempat juga saya meninjau keadaan dalam bangunan kayu berkenaan. Walaupun nampak uzur namun ia tetap kemas dan bersih. Sebuah meja tua menjadi tempat meletak pelbagai dokumen menjadi penyeri rungan utama bangunan ini. Terlihat kesungguhan di wajah kakitangan KTMB ini.

Seorang kakitangan KTMB yang ramah dan berdedikasi.
Banyak ilmu pengetahuannya tentang jejaran keretapi Malaysia.

Pondok pengawal landasan Rompin

Saya merasakan suatu ketika dahulu pondok pengawal landasan pekan Rompin ini berkemungkinan pernah dijadikan hentian bagi penduduk Rompin yang ingin menggunakan perkhidmatan keretapi. Namun demikian kini keretapi memang hanya melalui pekan Rompin tanpa berhenti singgah untuk mengambil penumpang. Landasan yang ada di pekan Rompin ini merupakan landasan bagi jejaran pantai Timur yang menghubungkan Gemas Negeri Sembilan dengan Tumpat di Kelantan.

Adakah dahulu ini merupakan kaunter tiket?

Lever atau kunci kait

Notis penjadualan semula laluan tren

Saya dapat membayangkan suasana kerja kakitangan KTMB di pondok ini pada waktu malam. Sudah pasti hanya kesunyian yang bermain dihati. Saya bergerak meninggalkan kawasan landasan menuju ke dalam pekan Rompin. Doa saya didalam hati semoga pondok lintasan ini akan kekal lagi untuk saya kunjungi di masa hadapan. Berhampiran dengan lintasan rata awam ini terletak Pejabat Pos pekan Rompin. Rasanya ini sahaja   pejabat sehenti  yang ada bagi penduduk setempat bagi menyelesaikan segala urusan yang berkaitan dengan bil atau pengeposan.

Pejabat Pos Rompin dari jauh

Pekan Rompin bukan lah pekan yang besar. Namun ia agak kelihatan lengang. Pekan ini jugaberdekatan dengan ladang-ladang getah dan kelapa sawit. Kedudukannya juga agak jauh dengan bandar - bandar utama seperti Bahau dan Gemas. Ia secara tidak langsung menjadikan Rompin begitu penting kepada penduduknya bagi mendapatkan barang-barang keperluan.

Kebanyakan bangunan rumah kedai di pekan Rompin masih lagi mengekalkan rupabentuk lama. Malahan ada juga rumah kedai kayu yang masih kekal. Sewaktu kunjungan saya ke sini, masyarakat Cina sedang sibuk merayakan Tahun Baru Cina. Ini menjadikan kebanyakan kedai-kedai di pekan ini ditutup.

Panorama petang di pekan Rompin

Lengang

Jalan utama pekan Rompin

Antara bangunan rumah kedai baru 
yang terdapat di pekan Rompin

Saya begitu tertarik dengan sebuah bangunan lama yang terdapat di pekan Rompin ini. Dari segi binaan dan bentuknya saya merasakan bangunan ini mungkin dibina semasa era penjajahan Inggeris. Terdetik juga di hati saya untuk bertanyakan pada salah seorang penduduk pekan ini tentang sejarah bangunan berkenaan namun semuanya saya pendam sahaja di hati. Banggunan bewarna kuning dan hijau ini kini dijadikan sebagai Pusat Operasi Bomba Sukarela. 

Bangunan lama yang menarik


Saya juga berkesempatan melihat pasar basah pekan Rompin ini. Ia sebuah pasar yang agak kecil. Namun inilah tempat penduduk tempatan memberi makanan basah seperti ikan. ayam, sayur-sayuran dan sebagainya. Mungkin pada awal pagi pasar ini hidup dengan aktiviti jual beli. Pasar ini terletak agak ceruk sedikit dari kawasan rumah kedai utama pekan ini. 

Pasar Awam Rompin

Rompin adalah sebuah pekan yang majmuk penduduknya. Majoriti penduduknya mungkin orang Melayu yang diimbangi oleh populasi kaum India yang banyak mendiami kawasan ladang-ladang berdekatan. Komuniti Cina mungkin banyak di kawasan pekan Rompin itu sendiri. Sebelum sampai ke simpang masuk pekan Rompin , kita akan dapat melihat masjid Al-Hidayah Kariah Rompin. Masjid moden ini menjadi lambang keutuhan agama Islam di pekan Rompin ini. Saya agak tertarik dengan sebuah papan tanda yang diletakkan di pintu pagar utama masjid ini. Walaupun hanya gambar namun ia memberikan erti yang amat mendalam bagi yang terkena. Bagi saya mudah sahaja... yang wajib tetap wajib bagi kita umat Islam.

Masjid Al Hidayah pekan Rompin

Papan tanda di pintu pagar utama masjid...
ringkas namun bererti

Saya hanya singgah sebentar di Rompin dan tidak berlama-lama disini. Seketika saya di Rompin namun ia tetap memberikan erti yang amat besar kepada saya. Di Rompin saya belajar tentang kesungguhan dan kepatuhan kepada kerja walaupun hanya bertugas di sebuah pondok yang usang. Saya bergerak meningglkan Rompin ketika hari beransur petang. Ingatan saya pada Rompin pasti tidak akan pudar sampai bila-bila... Pondok tua dan landasan sepi Rompin... akan sentiasa menggamit saya untuk singgah semula. Saya tersenyum  melambai kembali..... InsyaAllah saya akan datang semula!

3 ulasan:

afiqah90 said...

Saya terjumpa blog ini sewaktu membuat carian di google.

Nampaknya kita ada minat yang sama. Saya pun salah seorang peminat kereta api Malaysia. Saya pun selalu juga duduk di lintasan kereta api Segamat. Seronok bila dapat dengar bunyi loceng lintasan dan tengok kereta api melintas.

Harap-harap lintasan-lintasan seperti ini akan terus dikekalkan.

hafez j malim said...

asalamualaikum cik afiqah, terima kasih kerana mengunjungi blog saya. seronok hati saya apabila ada juga peminat keretapi sudi berkongsi pandangan di blog saya ini. saya juga ada membuat sedikit catatan berkenaan dengan stesen keretapi Segamat. sudi2 kan lah singgah dan membaca. catatan berkenaan stsen segamat boleh sdri lihat di http://indahrasajmalim.blogspot.com/2012/08/menjejak-keretapi-di-selatan.html

Channon said...

memang ramai yg x mengetahui kewujudan Pekan Rompin di NS, malah sebhg besar warga NS pun xtau wujudnya Rompin di NS, saya lahir dan membesar disini, keran ayah saya jadi pekerja ladang disekitar Rompin. Kini, pondok pengawal pintu keretapi itu telah pun bertukar dgn binaan konkrit, begitu juga pasar awamnya sudahpun dinaiktaraf.Seronok melihat gambar2 yg dipaprkan di blog tuan, pastinya ia akan menjadi arkib yg berguna nanti...