Selesai sahaja saya menziarahi makam 2 orang Sultan Perak berdarah Siak di Kampung Jawa, saya terus bergegas untuk pulang kerana hari sudah semakin lewat petang. Kegemaran saya memulakan setiap perjalanan bermotosikal selepas waktu solat Zohor seringkali membuatkan saya berperang dengan masa. Saya melihat jam di tangan yang sudah menunjukkan hampir ke angka 6 petang. Mujur juga saya sudah biasa dengan jalan dari Kampung Gajah menuju ke Teluk Intan. Namun yang paling merisaukan saya ialah faktor cuaca. Tidak mustahil hujan akan turun di sepanjang perjalanan pulang !
Saya singgah sebentar di Kampung Teluk yang terletak tidak jauh dari pekan Kampung Gajah. Dahulu saya pernah ke kampung ini untuk menempah rebana dari salah seorang pembuat rebana yang agak tekenal di Kampung Gajah. Saya sendiri sudah kelupaan namanya namun hasil pembuatan rebanya sangat halus dan cantik. Ada sesuatu yang menarik hati saya disini. Ditepi jalan besar berhampiran Kampung Teluk ini terdapat sebuah tugu berbentuk Rebana Perak yang semestinya sinonim dengan Kampung Gajah. Inilah seni kebanggaan negeri Perak yang sangat bernilai dan yang paling penting saya ialah salah seorang pendukung permainan rebana Perak ini sampai kini dan sampai bila-bila !
Saya singgah sebentar di Kampung Teluk yang terletak tidak jauh dari pekan Kampung Gajah. Dahulu saya pernah ke kampung ini untuk menempah rebana dari salah seorang pembuat rebana yang agak tekenal di Kampung Gajah. Saya sendiri sudah kelupaan namanya namun hasil pembuatan rebanya sangat halus dan cantik. Ada sesuatu yang menarik hati saya disini. Ditepi jalan besar berhampiran Kampung Teluk ini terdapat sebuah tugu berbentuk Rebana Perak yang semestinya sinonim dengan Kampung Gajah. Inilah seni kebanggaan negeri Perak yang sangat bernilai dan yang paling penting saya ialah salah seorang pendukung permainan rebana Perak ini sampai kini dan sampai bila-bila !
Monumen berbentuk rebana Perak menyambut
saya di Kampung Teluk
Ketika didalam perjalanan saya teringat kata seorang teman lama di UPSI yang tinggal di Kampung Pulau Besar Kampung Gajah bahawa wujud sebuah makam lama seorang Raja Bergelar kesultanan Melayu Perak tidak jauh dari kediaman beliau. Saya pernah melihat papan tanda makam ini sewaktu menghadiri perkahwinan teman saya ini, namun sayang ketika itu saya tidak sempat untuk berziarah kerana tuntutan masa. Memandangkan saya akan melalui kawasan makam berkenaan sewaktu perjalanan pulang nanti, saya akhirnya mengambil kesempatan untuk singgah berziarah. Mungkin ada sesuatu yang boleh saya perolehi disana.
Kata ayah. kami masih mempunyai kaum kerabat jauh di Kampung Pulau Besar. Namun ikatan persaudaraan itu sudah terputus akibat dari jarak masa dan penghijrahan. Hal itu adalah sesuatu yang lumrah bagi sebuah cabang keluarga yang berkembang. Kampung Pulau Besar ( sebutan masyarakat tempatan : Kampong Pulo Besor ) terletak tidak jauh dari pekan Kampung Gajah. Ia sebuah kampung lama yang terletak di persisiran kanan Sungai Perak yang penuh lagenda. Sejak kunjungan kali pertama saya kesini kira-kira 2 tahun lepas, suasananya tetap sama dan tidak berubah. Ia masih mengekalkan suasana perkampungan Melayu tradisi yang kuat.
Saya membelok ke arah kanan dari jalan besar arah ke Teluk Intan untuk masuk ke kampung ini. Singgah sebentar di jalan masuknya bagi melihat papan tanda makam-makam Sultan yang terdapat disini. Rupa-rupanya banyak makam-makam lama sultan pemerintah negeri Perak yang boleh diziarahi melalui kampung ini. Sayangnya hari telah lewat petang, jika tidak sudah pasti saya akan datang berziarah ke kesemua makam yang ada. Ermm... saya benar-benar terdesak dengan perjalanan yang sebegini singkat ...
Papan tanda yang menunjukkan arah dan jarak makam
Masuk sahaja ke simpang Kampung Pulau Besar, saya dapat melihat papan tanda yang menunjukkan arah ke makam Almarhum Raja Kechil Tengah Ahmad Ibni Almarhum Sultan Abdul Malik Mansur Shah. Namun demikian, ia bukanlah sebuah makam dalam erti kata yang sebenarnya tetapi adalah batu peringatan bagi mengenang Raja Kechil Tengah Ahmad yang dikatakan ghaib di Sungai Perak. Baginda juga dikatakan seorang pawang diraja dan penjaga beting beras basah yang menjadi kawasan yang wajib dijejaki oleh setiap bakal Sultan Perak.
Papan tanda ke makam
Makam Almarhum Raja Kechil Tengah Ahmad ini dilihat dijaga dengan teliti. Ketika kunjungan ziarah saya ini, bangunan makam ini kelihatannya baru sahaja dibaik pulih. Sesuatu yang menarik berkenaan dengan Almarhum Raja Ahmad ini ialah baginda juga beroleh gelar sebagai Sultan Muda. Gelaran Sultan Muda ini adalah sesuatu yang unik. Ada yang menyatakan ia sebagai satu gelaran yang diberikan kepada pawang diraja. Ada juga yang mengatakan gelaran ini hanyalah sebagai satu bentuk penghormatan kepada seseorang individu ( kebiasaanya kerabat diraja ) yang menjalankan tugas-tugas Sultan sekiranya sultan itu gering atau sudah terlalu tua untuk mentadbir negeri. Saya lebih kuat berpegang kepada kenyataan yang kedua itu.
Banggunan yang menempatkan batu peringatan makam
Papan tanda yang menerangkan mengenai Raja Ahmad
Batu tanda makam ini hanya sebuah. Ia berbalut dengan kain kuning dan tertulis dengan perkataan jawi. Dua orang putera baginda berjaya menjejaki hieraki warisan kesultanan Perak. Seorang daripadanya menjadi sultan Perak ke -23 dengan gelaran Sultan Jaafar Safiuddin Muazzam Shah manakala seorang lagi putera baginda yang bernama Raja Alang Iskandar dilantik sebagai Raja Bendahara ( Bendahara Teja ). Uniknya, dari zuriat keturunan kedua-dua putera baginda inilah yang melahirkan sultan-sultan pemerintah kesultanan Melayu Perak bagi 100 tahun kebelakangan ini.
Batu peringatan di makam Raja Ahmad
Saya tidak lama di makam ini. Almarhum Raja Ahmad merupakan satu watak yang amat misteri didalam salasilah kesultanan Perak. Ini menyebabkan saya mempunyai persepsi yang berlainan terhadap baginda. Saya lebih selesa menyatakan bahawa baginda merupakan warisan lain dalam sistem penggiliran takhta negeri Perak yang unik. Tambahan pula pada ketika zamannya, negeri Perak mula didiami oleh suku-suku rumpun Melayu yang lain seperti Bugis, Acheh, Siak dan sebagainya. Adalah tidak mustahil ada diantara suku-suku ini yang menjadi begitu berpengaruh dalam struktur pemerintahan Perak. Namun itu hanyalah sekadar andaian. Hanya Allah SWT sahaja yang mengetahui segalanya.
Saya tidak menyentuh batu makam ini. Hanya memandangnya dari jauh. Ada sesuatu yang halus menyelinap di jiwa saya ketika itu. Entah mengapa saya merasa sedemikian. Ketika keluar dari kawasan makam berkenaan baru saya sedar saya masih belum menyedekahkan Al-Fatihah kepada roh baginda. Dari luar pagar saya membaca Al-Fatihah didalam hati. Semoga roh baginda dirahmati Allah SWT.
Saya tidak terus keluar ke jalan besar sebaliknya saya mengambil kesempatan meninjau-ninjau keadaan kampung Pulau Besar ini. Saya amat tertarik dengan masjid kampung ini yang masih mengekalkan keaslian binaannya yang diperbuat dari kayu. Saya tidak pasti usia sebenar masjid ini namun saya yakin ianya sudah pasti menjangkau puluhan tahun jika dilihat dari keadaannya. Namun tidak pula terdetik hati saya ini untuk mengambil gambar masjid berkenaan. Bila menulis artikel ini, baru saya terasa rugi yang amat mendalam. Namun syukur, setelah membelek koleksi gambar-gambar sewaktu kunjungan kali pertama saya ke kampung ini dahulu, rupa-rupanya saya pernah mengambil gambar masjid ini. Allah SWT telah memudahkan urusan saya.
Masjid Kampung Pulau Besar dari arah sisi
Saya terus bermotosikal melalui jalan kampung ini bagi melihat keadaan kampungnya. Ada beberapa buah rumah lama dan besar agak menarik minat saya kerana seni pembinaannya. Semakin kedalam semakin saya menjadi teruja. Melalui jalan yang hanya beberapa meter sahaja jaraknya dari tebing Sungai Perak membuatkan saya menjadi agak seriau. Rumah-rumah juga semakin berkurang dan saya mula melalui kawasan kebun kelapa sawit yang gelap. Akhirnya saya tersedar, saya semakin menuju ke kewasan yang jauh dari kampung dan saya perlu berpatah balik.
Saya membelek jam ditangan menunjukkan angka hampir 6.30 petang. Saya menuju semula ke kawasan kampung. Namun tiba-tiba pandangan mata saya terlihat sebuah bangunan kepuk makam yang sangat uzur dan sunyi betul-betul di pinggir kebun kelapa sawit yang gelap. Hati saya berdegup kencang. Saya memberhentikan motosikal saya berhampiran dengan makam berkenaan ..... dalam remang petang saya tekad menziarahi makam misteri itu ................
Bersambung pada siri catatan akan datang.
0 ulasan:
Post a Comment