BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Wednesday, September 26, 2012

Menziarahi Nenda Di Teluk Penadah

Pemula Rasa

Sudah tidak kuasa lagi saya menahan kemahuan diri untuk berkunjung ke makam nenda yang sudah lebih dari 20 tahun tidak saya kunjungi. Beberapa percubaan saya sebelum ini untuk ke makam nenda menemui kegagalan dan saya amat berharap cubaan kali ini akan berjaya dan akan membuahkan hasil. Namun saya sedar kuasa Allah SWT sahaja yang menentukan sejauh manakah kejayaan perjalanan ini. 

Jika 20 tahun yang lalu saya beserta ayah akan menggunakan perahu penambang menyeberangi Sungai Perak dari Kampung Permatang Pelanduk menuju ke Teluk Penadah, namun kini segalanya sudah berubah. Cubaan pertama saya menjejaki makam nenda pada beberapa bulan yang lalu menemui jalan buntu apabila perkhidmatan perahu penambang yang pernah saya naiki 20 tahun lalu sudah lama menamatkan perkhidmatannya. Ini benar-benar menghampakan saya. Namun saya yakin, sudah pasti ada jalan lain untuk ke Teluk Penadah dan saya tidak akan berhenti berusaha.

Hasil dari beberapa maklumat dari teman-teman dan ayah, saya yakin pasti ada jalan lain ( jalan darat ) menuju ke Teluk Penadah. Setelah berfikir sedalamnya akhirnya saya mengambil keputusan untuk mencuba  menggunakan jalan utama dari Pasir Salak ( Seberang Perak ). Saya yakin kali ini perjalanan saya pasti berjaya dan niat utama memebersihkan makam nenda akan termakbul!

Perjalanan Bermula

Saya bergerak dari rumah pada awal pagi. Sengaja saya bergerak awal bagi membolehkan saya memperuntukkan masa yang berkualiti bagi menjejaki makam nenda. Dari Bidor saya bergerak menuju ke Kampung Gajah. Alhamdulillah, perjalanan saya lancar tanpa ada sebarang masalah. 

Oh...sesuatu yang agak menyakitkan mata saya ialah pemandangan di sepanjang jalan yang saya lalui dipenuhi dengan bendera parti-parti politik tidak kira dari pihak pemerintah ataupun pembangkang. Hairan juga di hati saya melihat keadaan ini.....seolah-olah pilihanraya akan berlangsung keesokan harinya. Macam-macam hal politik negara Malaysia ini. Setiap hari ialah politik !


Perjalanan yang dipenuhi bendera parti politik

Di Pasir Salak

Selepas melalui jambatan yang merintangi Sungai Perak, saya terus menghala ke kawasan mukim Pasir Salak. Kebelakangan ini, saya sering melalui kawasan ini bagi menambahkan lagi bahan penulisan blog ini. Hal ini menjadikan saya lebih bersemangat meneroka setiap inci kawasannya. Saya perlu menuju ke kawasan Mukim Bandar. Disinilah tempat ayah dan adik beradiknya dilahirkan. Malahan asal usul keturunan datuk sebelah ayah juga dikatakan berasal dari kawasan mukim Bandar dalam daerah kecil Kampung Gajah ini. 

Jalan masuk ke Kompleks Sejarah Pasir Salak

Perjalanan saya lancar tanpa sebarang masalah. Sesuatu yang menyeronokkan hati saya ialah keadaan jalan yang cantik dan lengang. Ia membuatkan saya begitu bersemangat memecut motosikal saya. Seronok melihat panorama alam yang membentang di kiri dan kanan jalan. Setelah hampir 20 minit bermotosikal akhirnya saya sampai ke mukim Bandar. Ada perasaan halus menyelinap kedalam diri saya sewaktu pertama kali memijak buminya. Inilah tanah asal usul leluhur saya dan kini saya menjejakinya. Perasaan saya bagaikan melonjak. Bagaikan ada orang lain yang menyambut kehadiran saya dalam senyap.

Lengang di sepanjang jalan.

Akhirnya saya sampai di mukim asalnya leluhur-leluhur saya!

Masalah Mula Timbul

Walaupun saya sudah berada di mukim Bandar, masalah lain pula muncul. Saya tidak mengetahui di mana letaknya Kampung Teluk Penadah. Saya mengharapkan akan ada papan tanda dipinggir jalan yang menunjukkan jalan atau lorong menuju ke arah kampung berkenaan. Namun saya hampa kerana tidak ada langsung papan tanda yang sangat saya harapkan itu. Akhirnya saya mula masuk ke kawasan FELCRA Seberang Perak. Hati saya mula merasa tidak tenteram. Bagai ada kuasa yang menyatakan kepada saya bahawa saya sudah terlajak jauh dari laluan asal. Saya bertanya kepada seorang pakcik yang saya temui di tepi jalan kemana arahnya untuk ke Teluk Penadah. Jawapan yang saya terima adalah sungguh mengecewakan. Katanya sudah 40 tahun dia menetap di FELCRA Seberang Perak, itulah kali pertama dia mendengar nama Teluk Penadah!....

Pintu masuk ke FELCRA Seberang Perak
( gambar ini diambil dari carian Google )

Saya mengambil keputusan untuk berpatah balik. Di dalam perjalanan barulah saya sedar bahawa kebanyakan penduduk FELCRA Seberang Perak adalah orang luar dan bukannya orang tempatan tulen. Mereka berhijrah ke Seberang Perak atas urusan mencari rezeki di bawah naungan FELCRA. Akhirnya mereka beranak pinak di situ dan seterusnya menetap. Namun pelik juga bila difikirkan kembali... tak kan lah mereka tidak pernah mendengar nama Teluk Penadah jika sudah berpuluh tahun tinggal dan bergelumang dengan orang tempatan. Mengeluh saya sendiri di atas motosikal.

Saya singgah sebentar di sebuah kedai runcit milik salah seorang penduduk tempatan. Kalau tidak silap saya kedai itu terletak di Kampung Pasir Jenderis. Seorang pemuda yang duduk dihadapan kedai tersebut tersenyum memandang saya. Saya membalas senyumannya. Niat hati saya ingin membeli air bagi membasahkan tekak. Secara spontan mulut ringan saya ini bertanya kepadanya dimanakah letaknya Teluk Penadah. Pemuda itu menggaru kepala dan dengan loghat utara yang agak pekat dia menyatakan sejak kecil hingga dewasa tidak pernah dia mendengar nama kampung yang saya maksudkan. Ada rasa kesal bersarang di fikiran saya ketika ini. Bayangan kubur nenda makin menjauh dari capaian.

Agaknya apabila melihat keadaan diri saya yang kehampaan membuatkan pemuda berkenaan dengan secara spontan memanggil tuan kedai runcit yang berda didalam kedainya. Tidak lama selepas itu muncul seorang lelaki tua berkopiah putih. Saya menyampaikan hasrat hati saya padanya. Lama lelaki tua itu memandang saya sambil tersenyum dan berkata bahawa tidak ada lagi manusia yang tinggal di Teluk Penadah. Ia sudah menjadi kampung tinggal. Namun dia tetap juga menunjuk arah jalan ke Teluk Penadah. Sempat juga beliau bertanya nama arwah nenda ... bila saya menyebut nama nenda dan moyang saya, beliau hanya tersenyum sambil berkata InsyaAllah niat saya dipermudahkan dengan sedikit halangan. Saya bingung dan meneruskan perjalanan mengikut arah yang dikatakannya.

Lelaki Misteri

Saya mengikuti jalan berpasir yang merintangi kawasan sawah padi. Di pertengahan jalan saya ditahan oleh seorang lelaki dan beliau bertanya saya mahu kemana. Saya menjawab mahu ke Teluk Penadah. Dia tersenyum memandang saya sambil meminta saya berhati-hati bila memasuki kawasan perkuburan. Aneh ... lelaki itu bagaikan mengetahui apa yang terkandung di fikiran saya. Selepas mengucapkan selamat jalan saya meneruskan perjalanan. Saya menelefon ayah dan memberitahunya saya pasti akan berjaya sampai ke Teluk Penadah. Saya memberitahunya tentang kampung-kampung yang saya lalui sebelum sampai ke Teluk Penadah dan ayah mengiyakannya. Ah... hasrat saya semakin hampir !

Saya memasuki Kampung Ayer Mati dan melalui jalan kampungnya yang sunyi. Rasanya penduduk kampung ini sudah mula berkurangan. Terlalu sukar menjumpai anak-anak muda di kampung ini. Terdapat  juga beberapa buah rumah kampung yang terbiar dan tidak diduduki. Sebuah surau berwarna kuning menarik perhatian saya. Dilihat dari keadaan surau ini rasanya ia sudah tidak digunakan lagi. Sayu hati saya melihat keadaannya. 

Surau Lama Kampung Ayer Mati

Rumah tinggal di sepanjang perjalanan

Selamat Tiba Di Kampung Bandar

Seterusnya saya sampai ke Kampung Bandar. Inilah kampung dimana ayah dan adik beradiknya dilahirkan. Saya kembali semula ke tempat terzahirnya seluruh keturunan asal saya. Saya disambut oleh masjid Kampung Bandar yang begitu unik binaanya. Saya tertarik benar dengan masjid bewarna kuning ini. Berhampiran dengan masjid ini terdapat kawasan perkuburan lama. Namun saya tahu, ia bukanlah kawasan perkuburan nenda dikuburkan. 

Masjid Kampung Bandar


Di bahagian hadapan masjid Kampung Bandar ini terdapat sebuah kepuk makam yang agak terserlah. Terdapat dua buah makam didalam kepuk ini. Pada mulanya saya menjangkakan sudah pastilah individu yang dikuburkan disini berdarah raja atau sultan. Namun setelah membuat sedikit rujukan di internet barulah saya tahu bahawa ia adalah makam Syeikh Muhammad Taib iaitu seorang ulama yang disegani pada suatu ketika dahulu. Barulah saya teringat kata-kata ayah bahawa suatu ketika dahulu banyak ulama dan bijak pandai agama tinggal atau berasal dari kawasan Teluk Penadah dan Kampung Bandar. Malahan untuk mengahwini anak dara Teluk Penadah dan Kampung Bandar, seseorang jejaka itu mestilah mempunyai ilmu agama yang tinggi sebelum diterima sebagai menantu. 

Kepuk Makam Syeikh Muhammad Taib

Makam Syeikh Muhammad Taib

Saya tidak berlama-lama di makam ini kerana tujuan saya yang asal perlulah diselesaikan dahulu. Perjalanan saya diteruskan dengan melalui jalan kampung yang sunyi. Rumah-rumah penduduk kebanyakannya kosong. Hanya beberapa buah rumah sahaja yang berpenghuni. Di kiri dan kanan jalan kelihatan pohon-pohon kelapa sawit hidup dengan suburnya. Sesekali saya dikejutkan dengan kehadiran kera-kera liar yang sengaja bermain ditepi jalan. Terdapat sebuah sekolah rendah di Kampung Bandar ini. Rasanya sampai suatu ketika nanti pasti sekolah ini akan menjadi sekolah kurang murid jika jumlah penduduk semakin berkurang.

SK Kampung Bandar

Melalui jalan yang sunyi

Surau Tinggal Berwarna Biru

Akhirnya saya melewati sebuah lagi surau tinggal yang agak besar. Di bawahnya tergantung sebuah kerantung yang agak panjang dan besar. Saya singgah sebentar meninjau-ninjau keadaan surau berkenaan. Nampaknya ia sudah tidak digunakan lagi. Apabila mata saya memandang kerantung yang tergantung di bawah surau itu hati saya mula menjadi sayu. Dengan segera ingatan saya melayang mengingatkan surau di kampung kelahiran saya di Kampung Petalin Baru Bidor. Dahulu adalah menjadi kebanggaan bagi kami anak-anak kecil jika diberikan peluang membunyikan kerantung di surau. Bunyi kerantung boleh didengar dari jauh. Selain dari salah satu cara menandakan masuknya waktu solat, kerantung juga digunakan sebagai tanda isyarat kepada masyarakat kampung sekiranya berlaku kematian atau kecemasan. Namun kini kerantung sudah tidak digunakan lagi. Ianya terus tinggal sebagai satu kenangan berharga bagi generasi yang pernah menikmati paluannya.

Sebuah surau lama

Kerantung lama

Saya dapat merasakan seolah-olah saya semakin hampir dengan makam nenda. Namun saya tidak pula menjumpai sebarang kawasan perkuburan di sini. Sungai Perak yang mengalir lesu saya perhatikan dari surau tua ini. Fikir hati saya mungkin makam nenda tidak jauh lagi di hadapan. Semakin jauh kedepan semakin banyak pula rumah-rumah kosong yang kelihatan. Hati saya mula merasa runsing. Teluk Penadah yang saya cari masih tidak kelihatan!

Kemudian saya terlihat sebuah rumah yang masih berpenghuni. Saya singgah sebentar dan bertanyakan kepada penghuni rumah berkenaan dimana letaknya Teluk Penadah. Tersenyum lelaki itu memandang saya dari jendela tingkap apabila saya ajukan pertanyaan itu. Dengan selamba beliau menyatakan saya sudah menjejakkan kaki di Teluk Penadah. Ini lah Teluk Penadah...... termenung saya sebentar. 22 tahun yang lalu sewaktu kunjungan saya dan ayah kesini, kampung ini masih punya ramai penduduk. Namun kini keadaannya sudah jauh berubah dan penduduknya hampir sudah tiada lagi.


Sunyi selepas ditinggalkan

Menuju Makam Nenda

Saya bertanya kepada lelaki itu dimana letaknya kawasan kubur. Dengan segera beliau meminta anaknya menunjukkan arah ke kubur. Selepas mengucapkan terima kasih saya mula bergerak ke arah kubur. Rupa-rupanya kawasan perkuburan letaknya tidak jauh dari surau lama bewarna biru yang saya singgahi sebentar tadi. Cumanya, saya perlu masuk ke satu simpang kecil untuk sampai ke kawasan perkuburan. Jika tidak silap saya masih ada sebuah rumah yang berpenghuni tidak jauh dari kawasan perkuburan itu. Hati saya berbunga riang.

Anak lelaki itu hanya menghantar saya diseparuh jalan sahaja. Sambil tersenyum dia mohon pulang kembali ke rumahnya. Tidak mengapalah bisik hati saya kerana matlamat saya telah dimakbulkan oleh Allah SWT. Sebaik sahaja saya sampai di pintu masuk kawasan perkuburan itu alangkah terkejutnya hati saya apabila ia sudah diliputi oleh semak samun dan hutan yang tebal. Sekali lagi saya termenung.... bagaimana mahu mencari kubur nenda dalam keadaan seperti ini. Saya meletakkan motosikal saya di jalan masuk ke kawasan perkuburan. Selepas memberi salam saya mula melangkah dengan hati yang tenang. Rasanya waktu ketika itu sudah menunjukkan angka 1. 

Batu Nisan Patah

Baru sahaja melangkah masuk alangkah terkejutnya hati saya melihat sebuah batu nisan yang telah patah menghalangi perjalanan saya. Jenis batu nisan itu kelihatannya seperti jenis yang sama dengan nisan yang terdapat pada makam-makam lama Sultan pemerintah negeri Perak dahulu kala. Hal ini agak membingungkan saya. Mungkinkah pernah ada seorang Raja Bergelar yang mempunyai kuasa mentadbir kawasan ini dahulu ? .... Namun secara jujurnya saya tidak merasa takut. Sebaliknya batu-batu nisan yang bercerakah dengan tidak tersusun di kawasan perkuburan ini yang lebih menarik minat saya.

Nisan patah yang misteri

Batu-batu nisan dari jenis lama

Batu nisan jenis ini kelihatan sama dengan batu nisan
milik sultan-sultan Perak terdahulu. Adakah ia milik seseorang 
berdarah Raja ?

Batu nisan dengan bentuk yang unik

Disengat Penyengat

Saya beranggapan, berkemungkinan kawasan perkuburan ini telah wujud sejak awal tahun 1800 lagi. Ini mungkin berdasarkan bentuk nisan yang banyak terdapat disini. Saya merayap disekeliling kawasan perkuburan. Ayah memaklumkan kepada saya bahawa makam nenda terletak betul-betul di tengah antara pokok kekabu dan pokok rambai. Alhamdulillah, saya dapat melihat pokok berkenaan dan ingatan saya 22 tahun yang lalu dapat mengimbau bahawa kubur nenda terletak dikawasan yang agak tinggi. Baru sahaja saya melangkah masuk ke tempat kawasan kubur nenda saya diserang oleh sekumpulan serangga yang kelihatannya seperti peneyengat. Pada mulanya saya tidak ambil peduli, namun setelah disengat di pergelangan tangan barulah saya berundur. Sakitnya hanya Allah SWT sahaja yang tahu. Betul juga kata orang tua yang saya temui tadi, saya akan berhalangan sedikit untuk ke kubur nenda.

Nenda bersemadi disini

Selain dari nenda saya yang bernama Ismail, turut dikebumikan disini ialah moyang saya yang bernama Haji Yusuf Bin Tok Ege bersama isterinya yang bernama Ngah Sijah. Dari kata ayah juga menyatakan beberapa orang adik beradik nenda juga turut dikebumikan disini. Saya masih ingat kubur nenda dan kerabatnya terletak berhampiran dan bersebelahan. Saya cuba masuk ke kawasan kubur nenda untuk kali kedua dan seperti tadi saya diserang semula oleh penyengat tadi malah disengat pula di kepala. Rasa berdenyut-denyut kepala saya dibuatnya. Kelam kabut saya berlari menyelamatkan diri dan saya sedar ada juga beberapa makam yang terpaksa saya langkah dengan terpaksa !

Selepas beberapa ketika, saya nekad untuk pergi lebih rapat ke kubur nenda. Hasilnya bibir saya pula disengat dan saya jatuh tertonggeng dalam kawasan kubur. Dengan bersusah payah saya kembali ke tempat saya melatakkan motosikal. Saya menyumpah didalam hati kenapa nasib saya begitu sial hari ini. Mulut saya mula bengkak dan ketika meraba poket untuk mengambil kunci motosikal, ianya telah tiada dalam poket saya.... saya panik. Habis beg dan poket saya selongkar namun hasilnya sia-sia. Rasanya pasti kunci saya tercicir sewaktu saya berlari menyelamatkan diri dari disengat penyengat itu tadi ! Matilah saya kali ini jerit hati saya.

Takut Dan Muntah !

Ketika itulah saya mula diserang ketakutan yang teramat sangat. Tidak pernah saya berkeadaan seperti itu sewaktu pergi melawat kawasan perkuburan lama. Apabila memandang kawasan perkuburan itu, saya merasakan seolah-olah penghuninya sedang mentertawakan saya. Saya mula menangis ketakutan ditambah pula dengan kesakitan akibat disengat tebuan sebanyak tiga kali membuatkan saya bertambah takut. Saya juga risau bagaimana caranya hendak pulang sekiranya kunci motosikal saya tidak ada. Keadaan makin kelam dan secara tiba-tiba saya muntah. Segala apa yang ada didalam perut saya terkeluar dengan sendirinya. Hanya Allah SWT sahaja yang mengetahui apa yang saya rasa ketika itu.

Selepas muntah saya tersandar di tepi motosikal saya. Fikiran saya buntu dan tertekan. Setelah hampir sepuluh minit berkeadaan demikian baru saya teringat untuk beristifar dan mengucap dua kalimah syahadah. Barulah hati dan perasaan saya tenteram semula. Saya mula membaca beberapa surah yang memang menjadi amalan saya sewaktu didalam kesusahan. Di dalam hati, saya bermohon kepada Allah SWT agar memudahkan segala urusan saya disini. Perasaan takut yang pada mulanya menguasai diri saya mulai hilang dan saya kembali yakin dengan diri walaupun sakit akibat disengat tadi masih berdenyut.

Mencari Kunci

Saya masuk semula kedalam kawasan kubur untuk mencari kunci motosikal saya yang hilang. Dengan keadaan yang bersemak ia semakin menyukarkan. Secara tiba-tiba kaki saya terpijak sesuatu dan ia mengeluarkan bunyi yang bergemercing. Apabila diangkat kaki saya terlihat kunci motosikal saya. Syukur pada Allah SWT yang memudahkan pencarian saya. Letaknya kunci itu berhampiran dengan sebatang nisan yang sudah terangkat oleh sebuah busut. Pelik juga getus hati saya. Namun senyuman mula terukir di bibir saya. Kini saya mula terfikir untuk mencari pula batu nisan Acheh. Manalah tahu jika ada dijumpai disini. Namun saya hampa. Tidak ada batu nisan Acheh disini. Hanya sebatang nisan patah sahaja yang kelihatan seperti iras-iras batu nisan Acheh namun saya agak skeptikal.


Ketika meraduk semak mencari nisan Acheh itu saya terpandang sebuah kubur yang berkepuk dan bernisan cantik. Bentuk nisannya agak unik dan berbeza dengan nisan-nisan utama yang berada disini. Sekali lagi saya dihantui dengan seribu satu persoalan, siapakah yang dikebumikan disini. Rasa hati saya kuat menyatakan bahawa ada seseorang yang sangat penting dan berpengaruh dikebumikan disini. Ah...pasti ada rahsia besar yang disembunyikan selama beratus tahun. Nisan yang patah juga turut saya jumpa. Anehnya nisan itu berbentuk sama dengan nisan di makam sultan-sultan Perak yang pernah saya ulas di blog ini.


Siapa empunya makam bernisan cantik ini?

Nisan patah

Selepas disengat tiga kali, saya memang tidak berani lagi untuk ke kubur nenda. Ada rasa kesal bersarang dihati kerana tidak dapat membersihkan makam nenda. InsyaAllah saya akan kembali semula nanti. Saya hanya memandang dari jauh sahaja kawasan makam nenda. Saya tahu, sudah lama nenda tidak diziarahi oleh anak cucunya. Saya meninggalkan kawasan makam lama ini dengan hati yang berbaur duka. Masih terngiang-ngiang di telinga saya kata-kata lelaki tua tadi yang saya akan menempuh halangan. Ternyata apa yang dikatakannya tepat sekali.

Saya tidak terus bergerak pulang sebaliknya saya meneroka kawasan Teluk Penadah dengan lebih lanjut. Saya melewati kawasan kebun kelapa sawit dan beberapa buah rumah tinggal yang tidak berpenghuni. Masih kelihatan lagi perabot lama yang ditinggalkan. Akhirnya saya sampai ke penghujung jalan. Sayup kelihatan sebuah jeti lama yang sudah dimamah masa. Saya masih ingat lagi, disinilah kali pertama 22 tahun yang lalu kaki saya menjejak Teluk Penadah. Sayang .... kini ia telah tertinggal sunyi dan tidak digunakan lagi. Nun di seberang sungai masih boleh dilihat kawasan penambang lama dari arah Kampung Permatang Pelanduk. Segalanya bagaikan mahu bercerita kepada saya betapa meriahnya kehidupan disini dahulu.



Jeti lama Teluk Penadah

Dari arah Kampung Permatang Pelanduk

Berhampiran dengan jeti Teluk Penadah terdapat sebuah surau lama yang juga telah ditinggalkan. Keadaannya begitu uzur malah ada beberapa bahagian surau ini sudah runtuh menyembah bumi. Saya tidak dapat membayangkan bagaimana keadaan kampung ini untuk beberapa tahun yang akan datang. Hampir semua penduduknya sudah tiada. Adakah ia akan menjadi kampung tinggal yang tidak berpenghuni dan cerita tantangnya akan kekal sebagai satu khazanah sejarah ? .... saya sendiri tidak mampu menjawabnya. 

Surau yang hampir runtuh

Dari cerita orang-orang lama, mukim Bandar yang menempatkan beberapa buah kampung suatu ketika dahulu merupakan kawasan yang sibuk. Segala aktiviti perniagaan dan keagamaan dijalankan disini. Gelaran Haji pada moyang saya yang hidup lebih kurang 140 tahun yang lalu menunjukkan bahawa penduduk di sini bukan calang-calang orangnya. Sebagai catatan tambahan, nenda saya Ismail Bin Haji Yusuf meninggal dunia di Kampung Jong Buruk di persisir Sungai Kinta dan jenazahnya dibawa menghilir Sungai Kinta dan dikebumikan di sini, Teluk Penadah yang terletak di sebelah tebing kiri Sungai Perak. Bagaikan ada satu rahsia besar yang aneh sedangkan bapa kepada moyang saya yang bernama Tok Ege dikebumikan di Kampung Jong Buruk. Khabarnya Tok Ege salah seorang pembesar yang menjadi kepercayaan Sultan ketika itu. Benar atau tidak hanya Allah SWT sahaja yang mengetahui.

Pandangan Dari Teman Yang Jauh

Saya singgah sebentar di beberapa buah rumah tinggal yang masih utuh. Rumah-rumah berkenaan bagaikan mempunyai penghuni yang tidak terlihat. Sewaktu melihat beberapa keping gambar di komputer, saya terlihat bagaikan ada satu susuk tubuh sedang memerhatikan saya dari tingkap sebuah rumah. Berderau darah saya melihatnya. Kalaulah benar susuk itu dari alam lain tidak mengapalah ... mungkin ada rindu dihatinya melihat kehadiran saya. Hehehehe

Ada mata yang memandang di balik tingkap

Sepi

Saya bergerak meninggalkan Teluk Penadah dengan seribu satu kenangan yang sukar dijelaskan. Saya tidak mengikut jalan yang saya lalui semasa datang tadi sebaliknya mengikuti jalan kampung yang terus sampai ke Pasir Salak. Seorang pakcik yang saya jumpa  berhampiran kawasan perkuburan Masjid Kampung Bandar menyuruh saya mengikut jalan itu. Anehnya saya sehingga kini tidak dapat mengecam dan mengingati wajahnya. Sepanjang perjalanan saya menahan kesakitan akibat disengat tadi. Lucu juga melihat bibir saya yang membengkak di cermin sisi motosikal.

Hahahaha bengkak di bibir

Alhamdulillah walaupun menghadapi sedikit cabaran dalam menjejaki makam nenda namun saya tetap bersyukur kerana sekurang-kurangnya saya dapat menunaikan niat di hati ini sejak sekian lama. InsyaAllah saya akan kembali lagi melawat makam nenda di lain masa dan ketika. Saya tidak terus pulang, sebaliknya terus menjejaki beberapa makam dan tempat-tempat bersejarah disekitar daerah kecil Kampung Gajah. InsyaAllah akan saya ulas dalam siri yang akan datang.

Saya sampai ke Bidor pada jam 6 petang. Terkejut emak dan ayah melihat bibir saya yang membengkak. Ayah ketawa besar apabila diberitahu saya berjaya merintis jalan untuk dirinya kembali semula ke Teluk Penadah. Saya mula berkira-kira untuk ke Teluk Penadah nanti bersama ayah dan bapa saudara saya jika diizinkan Allah SWT nanti. Malam itu sebelum tidur sempat juga saya menghadiahkan Al-Fatihah kepada nenda di Teluk Penadah. Risau juga hati ini jika tidur saya diganggu oleh mimpi-mimpi ngeri. Alhamdulillah sehingga pagi saya tidur dengan nyenyaknya..... TAMAT

Catatan Tambahan

Kepada semua ahli keluarga dan kaum kerabat Allahyarham Tok Ege ( Jong Buruk ), Allahyarham Haji Yusuf Bin Tok Ige dan isterinya Allahyarhamah Ngah Sijah berserta kaum kerabat Allahyarham Haji Mat Amin Bin Tok Ege sekiranya terbaca artikel ini, saya bermohon untuk kita menghubungkan silaturrahim yang selama ini terputus. Hubungilah saya samaada anda meninggalkan komen di blog ini ataupun di akaun FACEBOOK saya sudah cukup memadai. Banyak sejarah keluarga kita yang kini semakin terhakis dan perlu dicari gali semula. Semoga dengan usaha kecil ini akan memudahkan kita dimasa akan datang InsyaAllah.






8 ulasan:

thomas said...

Pembangunan dan penghijrahan ke bandar meninggalkan kesan yg agak ketara di kampung2 mcm ini.

hafez j malim said...

Tuan Thomas... benar Tuan.. kampung ini merupakan antara contoh kampung terpencil yang ditinggalkan atas sebab penghijrahan penduduknya ke bandar...namun kampung seperti ini unik kerana masih mempunyai nilai tardisi yang amat tinggai

Anonymous said...

Tahniah tuan kerana berjaya memasuki kampung teluk penadah...amat sayu hati sesiapa saja yang pergi kesana...dek kerana kampung yang dahulunya riang..kini berkeadaan suram...saya adalah anak jati kampung teluk penadah dan kini merantau di kuala lumpur...kisah tuan telah saya baca..rumah yang tuan letakkan dalam blog ini adalah rumah saya membesar suatu ketika dahulu...Terima kasih kerna telah membuatkan rindu saya pada kampung terubat walau secebis cuma...Jazakallah hu khairan kasiroo..moga kita dpt bertemu di Teluk Penadah suatu masa nanti..InshaAllah...

Nocturno Jimmy said...

As salam . sy trtarik dgn kisah saudara di teluk penadah ini. Buat pngetahuan, di teluk penadah ini la sy mmbesar. Di surau biru itu la tmpt prmainan sy. Mak sy dilahirkn disitu. Dan arwah opah sy adalah rahmah bt mat amin. Atok sy brnama hashim. Mak sy brnama che hanipah. Adakah kite pnh brsua atau brsaudara?

hafez j malim said...

salam kepada Tuan Anon dan Tuan Nocturno Jimmy.

Terima kasih kerana sudi berkunjung dan membaca sedikit catatan saya berkaitan dengan Teluk Penadah. Setelah hampir lama ternyata masih ramai anak-anak asal Teluk Penadah yang masih merindui kampung leluhur kita itu. Kepada Tuan Nocturno Jimmy, jika dilihat dari nama opah Tuan iaitu Rahmah Bin Mat Amin adalah jelas bahawa opah Tuan ialah sepupu kepada allahyarhan datuk saya. Moyang tuan yang bernama Mat Amin itu adalah adik beradik dengan moyang saya yang bernama Haji Yusuf Bin Ega. Ini bermakna Tuan Nocturno Jimmy ialah bersaudara 3 pupu dengan saya. Secara ringkasannya, Teluk Penadah adalah kawasan pemukiman bagi keluarga Mat Amin dengan hampir separuh atau lebih penduduknya adalah dari keturunan Mat Amin ini. Bagi keluarga saya pula, kawasan pemukiman kami ialah di Jong Buruk, dimana terdapat makam Tok Ega yang menjadi ayah kepada Mat Amin dan Haji Yusuf ( moyang saya ). Namun apabila meninggal dunia, moyang dan datuk saya tidak dimakamkan di Jong Burok, sebaliknya dibawa menghilir Sungai Kinta untuk dikebumikan di Teluk Penadah. Salasilah berkenaan keluarga kita masih saya pegang. salam persaudaraan dari saya.

Nocturno Jimmy said...

As salam saudara hafez. Sgt menarik bila mngetahui usaha saudara hafez mnjejaki salasilah keturunan moyang kite. Ohye.boleh kah sy tau profile saudara di fb?? Nama sy di fb ialah Md Huzaini 'jimmyricon'. Sy brumur 36 thn. Byk juga sy ingin tau ttg prkara ini serta pengembaraan saudara ke kpg bandor a.k.a teluk penadah.

Nocturno Jimmy said...

Sy ingin tahu,siapakah org yg saudara jumpa utk brtanyekn arah ke kubor lama itu? Sbb nye, brsebelahan jln ke kubor lama itu ada sebuah rumah. Kalau tak salah sy,di teluk penadah hanye rumah itu saja yg brpenghuni. Dn rumah itu btl2 brsebelahan jln ke kubor lama itu. Utk pengetahuan saudara,penghuni itu adalah datok sedara sy. Iaitu Tok Din. Adik bongsu pd allahyarham rahmah,opah saya. Tok din adalah anak bongsu kpd nenda Mat Amin.

hafez j malim said...

SALAM Tuan ... saya sendiri sebenarnya baru dimaklumkan oleh kaum kerabat Tuan iaitu salah seorang anak Ustaz Sabki bahawa rumah simpang kubur itu ialah rumah Tok Din yang juga merupakan sepupu datuk saya. rumah tempat saya bertanyakan arah kubur itu terletak di hadapan sedikit dari rumah Tok Din. Itulah sebabnya saya menyatakan saya telah terlajak sedikit dari arah simpang kubur. Ada seorang lelaki pertenghana umur yang memaklumkan kepada saya dan meminta anaknya menghantar sampai ke kubur. rumahnya jika tidak silap saya masih berpenghuni dan bewarna silver... wallahualambissawab