BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

.

Photobucket

Thursday, October 11, 2012

Ziarah Makam Lama 5 - Misteri Batu Nisan Acheh Di Pulau Juar

Selepas melakukan perjalanan ziarah ke beberapa makam lama di sekitar daerah kecil Kampung Gajah beberapa hari sebelumnya, saya kini merangka sebuah lagi perjalanan terbaru. Kali ini saya tidak lagi bersendirian. Saya membawa adik bongsu yang bernama Ahmad Hidayat untuk menemani. Cuma yang merisaukan saya ialah kondisi motosikal buruk saya yang sudah berusia 24 tahun. Harap-haraplah perjalanan kali ini tidak akan membawa sebarang masalah. 

Kami bergerak dari rumah pada jam 11 pagi. Dari Bidor kami singgah sebentar di Teluk Intan untuk mengisi perut disamping menyelesaikan beberapa perkara penting. Terasa berselera kami berdua menikmati hidangan nasi kandar di Restoran Nasi Lambai di persisir Sungai Perak yang amat terkenal di Teluk Intan. Sesekali bila pulang ke Sememenanjung dan berkunjung ke Teluk Intan memang saya tidak akan melepaskan peluang untuk menikmati nasi kandar di restoran ini. Terus terang saya katakan bahawa saya memang "penagih" tegar nasi kandarnya !

Nasi kandar Restoran Nasi Lambai Teluk Intan

Usai sahaja menikmati makan tengah hari, saya dan Hidayat bergegas menunaikan solat Zohor di masjid Sultan Idris II Teluk Intan. Nama masjid ini diambil bersempena dengan nama Almarhum Sultan Idris al-Mutawakkil Alallahi Shah ibni al-Marhum Sultan Iskandar Shah Kadasallah iaitu sultan pemerintah negeri Perak Darul Ridzuan yang ke-33. Saya gemar singgah bersolat dan berehat di masjid ini jika berkunjung ke Teluk Intan. Suasananya sejuk dan mendamaikan hati hingga terkadang saya terlelap sebentar disini. Tidak tahu pula mengapa saya berperasaan sedemikian. Namun masjid ini memang punya tarikannya yang tersendiri pada diri saya.

Masjid Sultan Idris II Teluk Intan

Selepas bersolat, kami berdua mula bergerak ke Kampung Gajah. Saya berdoa didalam hati agar hujan tidak turun sepanjang perjalanan ini. Keyakinan saya terhadap motosikal buruk saya agak tinggi walaupun kondisi enjinnya tidak lah begitu baik. Berbekalkan keyakinan dan harapan, saya menyerahkan segalanya kepada Allah SWT. Perjalanan begitu lancar walaupun kami tidak menunggang motorsikal dengan laju. Sepanjang perjalanan saya akan menceritakan kepada Hidayat tempat-tempat menarik atau kawasan yang mempunyai sejarahnya yang tersendiri. Sekurang-kurangnya dapat menyemai minatnya  terhadap sejarah keluarga dan negeri nya sendiri Perak Darul Ridzuan.

Hampir sejam memandu motosikal kami mula memasuki daerah Perak Tengah. Sasaran saya kali ini ialah untuk ke Kampung Pulau Juar. Saya tidak menghadapai masalah untuk mencari kampung ini kerana ianya terletak di kiri jalan menuju ke pekan Kampung Gajah dari arah Teluk Intan. Masyarakat tempatan dengan loghat Perak yang pekat memanggil nama kampung ini dengan sebutan Kampung Pulo Juor atau Kampung Pulo Juoy. Saya rasa pasti ada diantara pembaca blog ini yang masih mengingati kartunis Boy P.J yang popular menerusi siri kartun "Malaysia Meriah" di majalah Gila-Gila pada sekitar tahun 90an. Jika tidak silap saya di sinilah beliau dibesarkan dan singkatan P.J pada namanya samarannya adalah merujuk kepada kampung Pulau Juar ini.

Kartunis Boy P.J
( kredit : http://rozaneem.blogspot.com untuk gambar )

Saya meminta Hidayat membantu mencari simpang masuk ke Sekolah Kebangsaan Pulau Juar kerana sekolah berkenaan merupakan pintu masuk kepada makam dua orang sultan pemerintah negeri Perak. Akhirnya kami menjumpai simpang berkenaan. Sekolah berkenaan terletak agak terkedalam sedikit dari jalan utama. Ketika sampai pintu pagarnya tertutup. Barulah saya teringat ini musim cuti sekolah. Saya menjenguk ke pondok pengawal keselamatan. Syukur pengawal keselamatannya masih ada. Selepas memberikan salam, saya memaklumkan tujuan kehadiran saya. Tanpa paksaan beliau menunjukkan arah ke makam dua orang sultan berkenaan. 


Pintu masuk ke Sekolah Kebangsaan Pulau Juar

Terdapat papan tanda yang menunjukkan arah makam. Kawasan makam ini rasanya terletak di atas tanah persendirian. Makam yang akan kami kunjungi pada kali ini ialah makam Almarhum Sultan Abdullah Muadzam Shah Ibni Almarhum Sultan Abdul Malik iaitu sultan pemerintah Perak yang ke-20 dan makam Almarhum Sultan Jaafar Muaddzam Shah iaitu sultan pemerintah Perak yang ke-23. Namun sesuatu pasti ialah kami melalui keadaan yang sukar untuk sampai ke kawasan banggunan kepuk makam kerana keadaan kawasannya yang agak bersemak tebal. Namun itu tidak mematahkan hajat kami untuk berziarah.

Bergambar di hadapan papan tanda menuju ke makam

Keadaan lorong menuju ke kawasan 
banggunan kepuk makam

Akhirnya banggunan kepuk makam semakin hampir

Syukur setelah hampir sepuluh minit menempoh jalan yang bersemak samun akhirnya kami sampai ke kawasan bangunan makam. Persekitarannya kelihatan tidak berjaga. Lalang-lalang liar dan semak samun menghiasi pemandangan kami. Namun keadaan bangunan kepuk makamnya jauh lebih baik jika dibandingkan dengan beberapa makam yang saya ziarahi sebelum ini. Yang menariknya papan tanda keterangan makam yang disediakan oleh pihak Muzium Negara masih jelas dan terang tulisannya. Secara tidak langsung fakta dan cerita berkenaan dengan kedua-dua Almarhum sultan ini dapat diketahui oleh pengunjung yang berziarah.

Makam pertama yang kami ziarahi ialah makam Almarhum Sultan Abdullah Muadzam Shah Ibni Almarhum Sultan Abdul Malik Mansur Shah. Baginda merupakan sultan Perak yang ke-20 dan memerintah dari tahun 1825 hingga  ke tahun 1830. Sebenarnya, baginda mangkat di Teluk Kepayang dan dimakamkan disana. Namun makamnya telah dipindahkan ke Kampung Pulau Juar ini ( tempat sekarang ) setelah makamnya hampir terjatuh ke sungai akibat hakisan. Baginda bergelar Marhum Khaliullah. Mungkin itu jugalah sebabnya makam baginda agak rendah jika dibandingkan dengan kepuk makam milik Armarhum Sultan Jaafar Muaddzam Shah di sebelah yang juga merupakan anakanda saudara baginda.

Papan tanda makam

Sultan Abdullah Muadzam Shah ini merupakan kekanda kepada Raja Kechil Tengah Ahmad yang batu tanda makamnya di Kampung Pulau Besar telah saya ulas dalam siri ziarah yang lepas. Baginda bertanggungjawab melantik adindanya Raja Ahmad menjawat jawatan Raja Kechil Tengah. Semasa pemerintahan baginda jugalah Sungai Bernam telah dijadikan sebagai sempadan semulajadi antara negeri Perak dan Selangor. 

Batu nisan makam Almarhum 
Sultan Abdullah Muadzam Shah


Saya tercari-cari juga maklumat berkaitan dengan zuriat baginda yang menjadi raja bergelar negeri Perak namun kelihatannya tidak ada. Mungkinkah baginda tiada berputera ? .... hanya Allah SWT sahaja yang mengetahui. Terdapat juga makam kaum kerabat baginda yang terletak didalam satu kepuk makam yang sama. Namun tidak pula tergerak hati saya untuk mengambil gambarnya. Itulah yang menjadi kekesalan saya sehingga ke hari ini. Namun tidak mengapa kerana saya berjanji suatu hari nanti saya akan datang berziarah semula ke makam ini.

Tulisan pada batu nisan makam

Kepuk makam bersebelahan pula ialah milik sultan Perak ke-23 iaitu Almarhum Sultan Jaafar Safiuddin Muadzam Shah Ibni Almarhum Raja Kechil Tengah Ahmad. Baginda memerintah Perak bermula dari tahun 1857 sehingga tahun 1865. Baginda diangkat menjadi sultan selepas kemangkatan Sultan Abdullah Muhammad Shah I ( marhum Durian Sebatang ). Namun sesuatu yang pasti sememangnya telah berlaku perselisihan faham antara baginda dengan Sultan Abdullah Muhammad Shah I. Pada pendapat saya, bermula dari krisis inilah perebutan takhta kesultanan Perak mula berlaku dan ia berlanjutan sehinggalah membawa kepada penjajahan Inggeris di negeri Perak.

Papan tanda makam

Dalam tempoh 8 tahun pemerintahan baginda, negeri Perak berada dalam keadaan huru hara akibat dari pecahnya Perang Larut pertama ( 1861 - 1863 ) dan Perang Larut Kedua ( 1865 ) antara kongsi gelap Hai San dan Geee Hin bagi merebut kawasan perlombongan bijih timah. Daerah Larut pada ketika itu ditadbir oleh Tengku Menteri Ngah Ibrahim Ibni Long Jaafar. Perang Larut pertama berjaya diamankan secara baik oleh baginda dan Tengku Menteri Ngah Ibrahim. Namun pada perang Larut kedua ternyata baginda dan Tengku Menteri Ngah Ibrahim tidak mampu mengamankan keadaan. Dengan takdir Allah SWT ketika berlakunya huru hara ini baginda mangkat di Durian Sebatang pada tahun 1865 dan dimakamkan di Kampung Pulau Juar seperti yang terlihat pada hari ini. Baginda bergelar "marhum wali Allah".

Makam Almarhum Sultan Jaafar Safiuddin
Muadzam Shah

Baginda dikurniakan 2 orang putera dan 3 orang puteri hasil dari perkahwinan baginda dengan Wan Mahtra Binti Laksamana Tok Bongkok. Salah seorang puteranya dilantik menjadi Sultan Perak ke-26 dengan gelar Sultan Abdullah Muhammad Shah II. Sultan Abdullah Muhammad Shah II inilah yang telah dibuang ke Pulau   Seychelles akibat dari pembunuhan residen Inggeris Perak yang pertama JWW Birch laknat. Manakala putera keduanya ialah Raja Musa dan pernah dilantik menjadi Raja Muda Perak semasa pemerintahan Sultan Idris Murshidul Adzam Shah ( Sultan Perak Ke-28 ). Anakanda Raja Muda Musa ini pula telah menaiki takhta kesultanan Perak dengan gelar Sultan Abdul Aziz Al-Mutasim Billah Shah ( sultan Perak ke-31).

Sultan Abdullah Muhammad Shah II 
( Sultan Perak ke - 26 )


Raja Di-Hilir Perak sekarang iaitu DYAM Raja Jaafar Ibni Almarhum Raja Muda Musa merupakan penerus kepada warisan baginda dalam carta hieraki raja bergelar kesultanan Perak. Ini menunjukkan legasi Sultan Jaafar Safiuddin Muadzam Shah masih mempunyai penerusnya walaupun sudah hampir 150 tahun kemangkatannya. 

Raja Di-Hlir Perak DYAM Raja Jaafar Ibni Raja Muda Musa
dan Raja Puan Muda Perak Raja Nor Mahani

Ketika mengelilingi kawasan kepuk makam, Hidayat memberitahu saya tentang sebatang batu nisan yang cantik dan berbeza dengan nisan-nisan lain yang terdapat di dalam kawasan makam ini. Setelah meneliti bentuk batu nisan tersebut barulah saya tahu ia adalah sepasang batu nisan Acheh. Peliknya hanya makam ini sahaja yang benisan Acheh. Mungkin batu nisan ini adalah untuk makam permaisuri baginda.Sayangnya salah satu dari nisan Acheh ini telah patah hujungnya. Saya membuat sedikit rujukan internet berkenaan batu nisan Acheh yang terdapat di Malaysia. Tahun kemangkatan Sultan Jaafar Safiuddin Muadzam Shah ialah pada tahun 1863, ini bermakna batu nisan jenis Acheh masih lagi  digunapakai di Tanah Melayu sebelum tahun 1900. Tidak mustahil juga, sudah ada tukang pembuat batu nisan Acheh di Tanah Melayu ketika itu dan bukannya ia dibuat di tanah Acheh. Namun itu hanyalah sekadar telahan sahaja.

Nisan Acheh yang patah hujungnya.

Dalam kunjungan ziarah saya ke makam-makam lama sebelum ini, saya tidak menjumpai batu nisan Acheh. Inilah kali pertama saya tersua dengan keindahan dan keunikan batu nisan Acheh di Perak. Ada yang menyatakan hanya golongan bangsawan dan individu yang mempunyai darah Acheh sahaja yang layak menggunakan batu nisan jenis ini. Saya tidak pasti kesahihannya namun jika diteliti dari corak, bentuk serta ukiran yang terdapat pada batu nisan jenis Acheh ini, sudah pasti pemiliknya bukan sembarangan orang.

Saya tidak berlama-lama di kedua buah makam ini. Saya perlu mengejar masa untuk menziarahi ke seberapa  banyak makam sultan pemerintah Perak yang mampu kami ziarah di sekitar daerah Perak Tengah. Saya berpesan kepada Hidayat untuk menyedekahkan bacaan Al-Fatihah kepada kedua-dua roh baginda. Semasa keluar dari banggunan makam secara tiba-tiba saya terfikir sendiri ..... adakah ada rahsia di sebalik gelar muadzam shah yang menjadi milik kedua-dua sultan ini ? hanya Allah SWT sahaja yang mengetahui.



Sewaktu mengambil motosikal di pondok pengawal Sekolah Kebangsaan Kampung Juar, saya disapa oleh pengawal keselamatan berkenaan. Ketawa besar saya apabila saya ditanya oleh beliau adakah saya ini seorang kerabat diraja ? ...... jawapan saya mudah .... saya hanya seorang peminat sejarah negeri Perak dan saya menghormati kedaulatan Sultan pemerintah negeri tempat saya dilahirkan. Tersenyum beliau dengan jawapan saya. 

Selepas mengucapkan selamat jalan kepadanya, saya dan Hidayat meneruskan perjalanan menghala ke pekan Kampung Gajah. Suasana petang yang terik membuatkan kami begitu dahaga. Singgah sebentar membeli minuman di sebuah kedai runcit milik seorang penduduk kampung. Selepas melepasi pekan Kampung Gajah yang tenang, kami membelok masuk ke simpang untuk menuju Kampung Jawa ( tidak jauh dari simpang jalan menuju ke FELCRA Seberang Perak ). Saya yakin saya akan terjumpa sesuatu di sana !


Bersambung










3 ulasan:

Anonymous said...

Salam Tuan, Penceritaan sangat menarik. Menanti sambungan seterusya. Terima Kasih sbb dapat berkongsi misi saudara

hafez j malim said...

Terima kasih Tuan atas komen. InsyaAllah masih ada beberapa catatan yang akan menyusul. semoga selalu singgah di blog ini. salam

Laman Matematik said...

Makam yang tuan kunjungi ini sudah pun dipelihara.Kawasan pemakaman mudah telah ditar dan dijaga. Makam ini merupakan makam yang diziarahi Tuanku Nazrin dan Raja Permaisuri Zara semasa pertabalan baginda.