BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

.

Photobucket

Tuesday, November 18, 2014

Ziarah Makam Lama 12 : Sungai Kinta Dan Warisan - Warisan Yang Berjuntaian



Mukadimah

Rupanya, selepas berumah tangga, kehidupan saya tidaklah berubah secara mendadak. Hal ini berlaku akibat dari masalah kerja yang memaksa saya untuk duduk berjauhan dari si isteri yang tercinta. Saya seperti biasanya bertugas sebagai seorang guru di SMK Kapit, Sarawak. Manakala isteri bertugas di Hospital Putra Batu Pahat. Secara tidak langsung, saya masih memiliki masa-masa bujang walaupun dalam status sebagai seorang suami.

Sesekali pada musim cuti sekolah, saya akan pulang melihat-lihat isteri yang ditakdirkan disahkan berbadan dua setelah sebulan majlis perkahwinan kami berlangsung. Keadaan isteri yang berbadan dua menyebabkan hati saya mudah menjadi gundah. Namun syukurlah, sepanjang tempoh sembilan bulan mengandung, tiada perkara yang tidak baik berlaku kepada beliau semasa ketiadaan saya.

Pulang sesekali melawat isteri rupa-rupanya memberikan saya peluang untuk menziarahi beberapa makam lama di sekitar Johor dan Perak. Saya berkesempatan bersama isteri menziarahi makam Sultan Alauddin Riayat Shah ( Sultan Melaka ) dan makam Panglima Mat Berani di Pagoh, Muar. Saya juga berkesempatan untuk pulang bersendirian ke rumah ibu dan bapa di Perak. Secara tidak langsung, masa yang terluang semasa di Perak saya habiskan dengan siri perjalanan ziarah ke beberapa makam yang sebelum ini tidak sempat untuk saya ziarahi.

Makam Sultan Alauddin Riayat Shah di Pagoh

Makam Panglima Mat Berani di Pagoh

Ia seterusnya memberikan saya lebih cerita untuk kita kongsikan bersama di dalam blog perkongsian ini. Di samping itu saya juga berkesempatan untuk melawat dan mengulas beberapa pekan kecil dalam negeri Perak yang kini semakin uzur dibantai oleh kemodenan seperti pekan Tronoh Mines, pekan Papan dan pekan Pasir Putih. 

Sayangnya, masa untuk menulis pula semakin menipis. Maka terpaksalah saya menunggu masa yang sesuai untuk benar-benar bersedia menulis cerita berkenaan dengan makam dan pekan-pekan kecil yang pernah saya ziarahi dan singgahi dulu. Kini setelah pulang dan bertugas di Semenanjung, cerita demi cerita tetap akan menghiasi blog ini walaupun kadarannya semakin berkurang. Saya tidak akan berhenti menulis. Itu adalah kegemaran saya sampai bila-bila walaupun hanya saya sendiri yang membacanya di blog ini.. insyaAllah.

Perjalanan Tanpa Tujuan 

Cuti penggal pertama tahun 2012 ini benar-benar menyeronokkan. Setelah hampir tiga bulan terpisah dengan isteri akhirnya saya dapat juga pulang melihat isteri tercinta yang kini sudah hampir enam bulan berbadan dua. Isteri saya walaupun sudah berbeza keadaan fizikal tetap menyambut kepulangan saya dengan senyuman yang manis. Rasa kasih tetap tertumpah pada dirinya yang banyak berkorban dalam kehidupan kami berdua sedari dulu lagi.

Menjelang penamat cuti penggal, saya kembali sebentar ke Bidor untuk melawat ibu dan ayah. Dua hari di Bidor sememangnya agak saya nanti-nantikan. Saya sebenarnya telah memikirkan satu perjalanan untuk ke seberapa banyak makam lama yang boleh saya ziarahi. Namun, seperti yang pernah saya jelaskan sejak dari dulu lagi, kelemahan utama saya ialah saya tidak pernah mempunyai perancangan yang rapi dalam melakukan sesuatu perjalanan. Ia sekaligus membuatkan saya biasanya tidak mempunyai sebarang asas pengetahuan atau maklumat tentang satu-satu makam yang saya ziarahi.

Biasanya perjalanan saya adalah berdasarkan rasa hati ataupun melalui keinginan yang terbit secara tiba-tiba dari hati. Namun secara sedikit demi sedikit, perjalanan-perjalanan itu secara tidak langsung merungkaikan banyak rahsia yang dicari oleh saya sejak dari dulu lagi. Semuanya bagaikan telah tersurat untuk saya dan hanya saya sendiri yang dapat melihatnya dari dalam diri.

Sungai Kinta Yang Mahu Bercerita


Sungai Kinta atau Kenta yang berkualakan Sungai Perak

Jujurnya dalam tempoh awal tahun sehingga tahun 2012 saya bagaikan merasakan ada keterikatan yang sangat dekat dengan Sungai Kinta. Beberapa perjalanan yang saya lakukan dalam jangka masa yang terdekat bagaikan memberi salam awal bahawa banyak perkara rahsia berkenaan dengan Sungai Kinta masih belum terungkai. Ini ditambah pula dengan kedudukan asal-usul kaum kerabat ayah yang berasal dari kawasan pinggir muara Sungai Kinta maka secara tidak langsung Sungai Kinta seolah-olah bagaikan mahu bercerita segala rahsia yang tersimpan di perutnya.

Saya memutuskan untuk ke pekan Bota dalam daerah Perak Tengah. Dari pembacaan saya terdapat beberapa makam sultan Perak yang boleh diziarahi disini. Tetapi saya mahukan sedikit kelainan dalam perjalanan kali ini dengan menukar arah haluan perjalanan. Jika sebelum ini saya lebih selesa menuju ke daerah Perak Tengah dengan menggunakan jalan Tapah ke Kampung Gajah. Untuk perjalanan kali ini saya memutuskan untuk melalui jalan dari bandar Kampar.

Dari Kampar saya singgah sebentar ke pekan Tronoh Mines untuk merakam gambar-gambar kenangan di pekan ini. Ulasan berkaitan dengan pekan kecil ini pernah saya ulas di blog ini tidak lama dahulu ( Hati Kecewa Di Tronoh Mines ). Ada sesuatu yang mengusik hati saya untuk melalui jalan ini. Suasananya yang tenang dengan kampung-kampung tradisi Melayu di kiri kanan jalan benar-benar memberikan ketenangan kepada diri. Sesekali saya melalui kawasan bekas-bekas lombong yang memberikan aura klasik dan masa seolah-olah mengembalikan suasana kolonial di sini.

Selepas singgah sebentar di pekan kecil Tronoh Mines, saya meneruskan perjalanan menuju ke Kampung Gajah. Sejujurnya ini adalah kali pertama saya menggunakan jalan ini dan terasa begitu asing dengan laluan ini. Saya melalui sebuah jambatan yang merintangi Sungai Kinta. Pada mulanya saya tidak begitu menghiraukan jambatan berkenaan. Setelah hampir seratus meter ke hadapan, saya mula mengambil keputusan untu berpatah semula ke arah jambatan tadi. Saya mahu melihat aliran Sungai Kinta yang mengalir deras itu.

Ah... terasa seriau melihat aliran sungai berkenaan yang keruh itu. Rasanya tidak jauh di hadapan Sungai Kinta ini sudah memasuki kawasan daerah Perak Tengah dan kualanya terletak tidak jauh dari mukim Bandar yang suatu ketika dahulu menjadi kawasan penting dalam sejarah negeri Perak. Jika dilihat dari sudut yang berbeza, Sungai Kinta merupakan salah satu cawangan paling penting kepada Sungai Perak selain dari Sungai Bidor. Itulah sebabnya, kedua-dua batang sungai ini seringkali namanya akan muncul dalam setiap catatan sejarah negeri Perak jika dibandingkan dengan nama anak-anak sungai Perak yang lain. Namun demikian, kedua-dua sungai ini tidak pula dijadikan sebagai salah satu sungai yang airnya diambil untuk istiadat pertabalan baginda sultan Perak. Saya sendiri tidak pasti kenapa hal ini berlaku. Semuanya kekal menjadi misteri kepada saya sehingga ke hari ini. Tutup cerita !

Mencari Bahasa Melayu Jati Perak

Gambar hiasan ( sumber Google )

Sukar sebenarnya untuk mencari takrifan Melayu jati di negeri Perak ini. Suku Melayu Perak yang wujud sejak sekian lama dibentuk oleh percampuran warisan dari pelbagai suku kaum yang pernah menjadi dominan di negeri ini. Hal ini adalah sesuatu yang sangat unik kerana ia akhirnya membentuk satu kebudayaan, bahasa, sistem pemerintahan dan adat istiadat jati Perak yang jauh berbeza dengan suku-suku Melayu dari negeri lain di Malaysia atau nusantara amnya.

Hal ini dapat dilihat menerusi bahasa Melayu loghat Perak yang dituturkan oleh sebahagian penduduk Melayu Perak terutama di pesisir Sungai Perak. Uniknya bahasa Melayu loghat Perak tidak berkembang penuh ke seluruh negeri Perak seperti bahasa Melayu loghat Kelantan, loghat utara dan Johor-Riau yang berkembang secara menyeluruh dan dituturkan oleh semua penduduk negeri-negeri berkenaan. Sebaliknya bahasa Melayu loghat Perak pula menjadi loghat yang hanya dominan dalam pertuturan di sesetengah tempat negeri ini sahaja.

Mengapa hal ini terjadi dan dari mana wujudnya bahasa Melayu loghat Perak ini ?. Di sinilah faktor yang paling penting dalam menentukan pencarian dan takrifan sebenar Melayu jati Perak. Saya lebih selesa menyatakan bahawa bahasa Melayu loghat Perak adalah legasi yang yang berakar umbi dan berasal dari kesultanan Melayu Melaka. Mungkin pasti ada yang akan menyatakan bahawa kenyataan saya ini adalah bersifat bodoh dan tidak mempunyai nilai akademik. Namun saya mempunyai sebab yang tersendiri untuk menguatkan hujahan saya ini.

Pertamanya ialah kewujudan bahasa Melayu loghat Pahang dan bahasa Melayu loghat Muar yang dikatakan hampir sama dengan bahasa Melayu loghat Perak. Jika dilihat kepada pertalian sejarah sememangnya Muar, Perak dan Pahang adalah kawasan yang kuat menerima pengaruh Melaka. Jadi adalah tidak mustahil bahasa Melayu yang diguna pakai di ketiga-tiga tempat ini adalah warisan dari Melaka. Paling penting, ketiga-tiga loghat bahasa ini tidak berkembang dan kekal dalam  kalangan penutur jati di kawasan itu sahaja.

Pasti ada pula yang menyatakan kenapa pula kesultanan Johor lama sebagai pewaris kedua kesultanan Melayu Melaka tidak menggunakan bahasa Melayu loghat Melaka ini. Saya lebih selesa untuk menyatakan kedudukan geografi antara tempat-tempat ini adalah perkara pokok yang perlu diambil kira. Kesultanan Johor Lama adalah sebuah kerajaan yang bersifat maritim dan sentiasa berkembang dari masa ke semasa. Jadi secara tidak langsung bahasa Melayu di kesultanan Johor Lama sentiasa menerima pengaruh dari bahasa-bahasa luar dan menjadi begitu dominan tidak lama selepas itu.

Berbeza dengan kedudukan geografi Perak, Pahang dan Muar yang agak kedalam ( pesisir sungai - agraria ) menyebabkan bahasa Melayu yang dituturkan penduduk kawasan-kawasan ini tidak berkembang jauh dan kekal dalam kawasan itu sahaja. Jadi secara tidak langsung, saya meyakini penduduk Melayu jati Perak yang asal adalah mereka yang mendiami kawasan pesisir Sungai Perak.

Dari Sungai Perak, bahasa Melayu loghat ini berkembang ke aliran anak sungainya yang penting seperti Sungai Bidor dan Sungai Kinta. Di kawasan Sungkai misalnya ( aliran Sungai Sungkai berkualakan Sungai Bidor ), terdapat loghat Changkat Sulaiman yang begitu unik dan merupakan serpihan loghat Perak yang lebih terasing. Dan saya begitu meyakini, sejarah kedatangan pembuka-pembuka awal kawasan Sungkai adalah dari cebisan warisan Melaka-Perak yang melarikan diri dari serangan Aceh ke atas Perak pada era Sultan Mansur Shah ( sultan Perak kedua ).

Gambar hiasan ( sumber Google )

Di Sungai Kinta pula, loghat ini bagaikan terhenti di pertengahannya sahaja dan loghat Malim Nawar adalah satu contoh dari serpihan loghat Perak yang asal.  Ini adalah kerana menjelang akhir abad ke-18, muncul peneroka-peneroka dari Sumatera seperti kelompok suku Rawa, Mendahiling, Bangkahulu dan pelbagai lagi yang menjadi dominan di sepanjang persisir Sungai Kinta. Ia seterusnya memaksa bahasa Melayu loghat Perak terus tertahan di kawasan-kawasan yang penutur aslinya sahaja.

Sementara itu di kawasan Hulu Perak, penduduknya lebih selesa bertutur dalam bahasa Melayu loghat Pattani yang sejarah kewujudannya jauh berbeza dengan sejarah Perak dan di sebelah utara pula penduduknya bertutur dalam dialek Utara sama seperti di Pulau Pinang dan Kedah. Bermula dari daerah Kinta ke Batang Padang, penutur jati loghat Perak adalah tidak ramai dan suatu masa dahulu bahasa Melayu loghat Rawa ( Rao ) adalah begitu dominan disini. Datuk dari sebelah ibu saya yang bernama Tan Narih Bin Jali itu sendiri ialah berasa dari suku Rawa Tanjong Malim.

Jadi adalah dapat disimpulkan bahawa penutur loghat Perak jati hanyalah bermula dari kawasan Hilir Perak dan berakhir di Kuala Kangsar. Beberapa pertembungan dengan pengaruh-pengaruh luar seperti Aceh dan Bugis serta Siak hanyalah sekadar memberi rencah tambahan kepada loghat ini tanpa mampu mempengaruhi dan merubah struktur loghat ini sehingga kini.

Secara peribadi tanpa sebarang prejudis, saya menyatakan bahawa penutur jati bahasa Melayu loghat Perak adalah penduduk jati Perak yang wujud dari pertembungan antara budaya asli Perak, Melaka, Aceh, Siak, Bugis dan sedikit unsur timur tengah selama beratus-ratus tahun. Penduduk di sebelah Hulu Perak pula juga boleh dianggap sebagai jati Perak menerusi kekerabatan sejarah yang panjang. Menjelang abad ke-18 pula, wujud pertembungan baru yang lebih bersifat kesukuan sehingga menimbulkan konflik yang sukar untuk dinyatakan oleh sejarah !.

Pertembungan Di Sungai Kinta

Saya meletakkan motosikal di pinggir jalan di atas jambatan sungai berkenaan. Saya memerhatikan ke hujung pandangan. Rasanya saya sudah tidak jauh dari sempadan derah Perak Tengah. Jauh ke kuala Sungai Kinta wujud perkampungan Melayu yang kebanyakannya sudahpun ditinggalkan. Salah satunya ialah kampung asal keturunan sebelah ayah iaitu Kampung Jong Buruk dalam mukim Bandar daerah kecil Kampung Gajah.

Dari beberapa temubual dan kajian ringkas yang telah saya lakukan beberapa waktu kebelakangan ini, adalah jelas bahawa penduduk yang mendiami kawasan mukim Bandar ( dalam daerah kecil Kampung Gajah ) membawa ke muara Sungai Kinta adalah berasal dari suku kaum Bugis yang telah mula berasimilasi dalam struktur sosial masyarakat Melayu jati Perak selama hampir 300 tahun. Proses asimilasi ini berlangsung dengan baik dan membentuk suku Melayu jati Perak yang boleh dilihat hingga ke hari ini terutama di Kampung Gajah.

Walaupun demikian, jika dilihat dari sejarah panjang kesultanan Perak memang proses asimilasi pelbagai suku kaum adalah menjadi sesuatu yang sangat lumrah. Oleh itu tidak hairanlah jika kita boleh menemui pelbagai watak gelaran yang mencerminkan kesan asimilasi suku-suku tertentu dalam suku Melayu jati Perak. Jadi jangan lah hairan jika anda ke Perak dan menemui pelbagai nama manusia yang mempunyai pangkal nama  yang pelbagai seperti Tun, Wan, Megat, Syed, Sharifah, Mior, Kulub dan sebagainya. Carilah sejarahnya, pasti akan ketemu .... asimilasi yang harmoni antara pelbagai suku yang membentuk keperibadian Melayu jati Perak yang unik.

Menjelang abad ke-18, di Sungai Kinta menyaksikan pertembungan antara suku Melayu jati Perak dengan suku-suku Melayu lain yang berasal dari nusantara. Paling menyerlah ialah kemunculan kelompok suku Mendahiling ( Mendailing ) dan Rao ( Rawa ) yang menjadi begitu dominan terutama di Ipoh, Batu Gajah, Papan, Gopeng dan beberapa tempat di sekitar Kinta dan Batang Padang. Wujud juga beberapa suku lain seperti Jawa, Bangkahulu, Minang dan sebagainya namun suku-sulu ini tidak menjadi begitu dominan kecuali di kawasan Bagan Datoh yang menjadi kawasan pemukiman suku Jawa.

Pertembungan ini disesakkan lagi dengan penjajahan Inggeris di Perak akibat dari Perjanjian Pangkor. Pembunuhan residen British pertama di Perak iaitu celaka JWW Birch seterusnya membawa kepada peristiwa Perang Perak. Ketika inilah dapat dilihat wujud satu pertembungan yang sukar dilihat antara Melayu jati Perak dengan kelompok-kelompok Melayu peneroka dari Sumetera ini.

JWW Birch celaka

Jika dilihat dengan teliti. ternyata peneroka-peneroka baru dari Sumetera ini datang dalam kelompok yang ramai dan bermastautin di sesuatu tempat. Mereka turut membawa adat, budaya, tradisi dan bahasa yang jauh berbeza dengan Melayu Jati Perak. Ini dapat dilihat melalui ketidakmampuan bahasa Melayu loghat Perak untuk berasimilasi dalam bahasa pertuturan seharian kelompok peneroka-peneroka ini. Sebagai contohnya, bahasa Melayu loghat Rawa menjadi dominan di kawasan selatan Perak terutama di Gopeng, Kampar, Tapah, Ulu Slim dan Tanjong Malim.

Peristiwa Perang Perak yang berlaku susulan dari peristiwa pembunuhan JWW Birch mencerminkan pertembungan yang sukar antara suku Melayu jati Perak dengan kelompok Melayu yang baru sahaja bermukim di negeri Perak ini. Hal ini dapat dilihat melalui usaha yang dijalankan oleh pihak Inggeris dalam memburu tokoh-tokoh penting yang menjadi perancang utama pembunuhan JWW Birch iaitu Datuk Maharajalela, Datok Sagor dan lain-lainnya. Dalam hal ini pihak Inggeris dilihat menggunakan kelompok Melayu yang bukan jati Perak untuk memburu pemimpin-pemimpin utama dalam peristiwa Perang Perak.

Gambaran berkenaan Perang Perak

Ini dapat dibuktikan melalui bantuan yang diberikan oleh Raja Asal iaitu seorang pemimpin orang Melayu dari suku Mendailing ( Mendahiling ) bersama dengan tokoh-tokoh mendailing yang lain dalam cubaan menangkap dan menjejaki pejuang-pejuang Melayu Perak walaupun usahanya gagal ( rujukan : http://ipohmalay.blogspot.com/ )Namun, terdapat juga versi lain yang menyatakan Raja Asal ini telah dipaksa Inggeris untuk bersekongkol dengan mereka.

Keadaan ini seterusnya membawa kepada pemencilan kawasan muara Sungai Kinta walaupun sebelum itu ia menjadi kawasan penting kepada kesultanan Melayu Perak. Hal ini dapat dilihat melalui selepas nerakhirnya peristiwa Perang Perak, kawasan mukim Bandar menjadi semakin tidak penting lagi dalam hal ehwal pentadbiran negeri. Selepas sahaja Sultan Idris Murshidul Azam Shah menjadi sultan Perak, baginda terus memindahkan pusat pemerintahannya ke Kuala Kangsar.

ALlmarhum Sultan Idris Murshidul Azam 
Ibni Raja Bendahara Alang Iskandar
( sultan Perak ke-28 )

British pula telah memajukan Teluk Mak Intan ( seterusnya ditukar namanya menjadi Teluk Anson ) menjadi sebuah kota pelabuhan yang maju dan seterusnya meninggalkan Durian Sebatang ( di kuala Sungai Bidor )  yang suatu ketika dahulunya antara pelabuhan utama Perak pada awal abad ke-18. Menurut Profesor Khoo Kay Kim pula dalam bukunya berjudul Teluk Intan 100 tahun menyatakan pula bahawa Durian Sebatang pernah menjadi pusat pentadbiran daerah Hilir Perak sebelum dipindahkan ke Teluk Intan.

Teluk Anson .... kota pelabuhan British di Perak 

Menjelang abad ke-19, bandar-bandar baru mula muncul. Ipoh, Batu Gajah, Gopeng dan Kampar mula menjadi penting akibat dari ledakan perkembangan perlombongan bijih timah. Teluk Anson muncul sebagai pelabuhan penting di Tanah Melayu. Melayu jati Perak pula yang terperangkap dalam kawasan yang tidak mempunyai kuasa ekonomi terus terhimpit dari perkembangan ini. Adalah jelas selepas peristiwa Perang Perak, sejarah dan keagungan kawasan kuala Sungai Kinta, mukim Bandar membawa ke arah utara persisir Sungai Perak bagaikan terhenti dan dilupakan. Amat kurang catatan sejarah berkaitan tempat-tempat ini dicoretkan selepas period itu dan ia bagaikan tertinggal oleh satu zaman yang gelap.

Dan masa inilah dimana kebanyakan orang-orang Melayu jati Perak hilang segalanya dimana kebanyakan dari mereka hilang segala gelar dan darjat .... sesuatu yang akan dikenang sampai bila-bila terutama oleh mereka yang mengetahui sejarah panjangnya. Dan saya sendiri akan mengenangnya .... untuk ratapan sejarah keluarga yang berduri.

Meneruskan Perjalanan

Saya meneruskan perjalanan ke daerah Perak Tengah. Suasana panas dan jalan yang agak berdebu sesekali menyesakkan diri saya. Suasana di pinggir jalan pula terasa agak asing dan tidaklah mengujakan diri saya walaupun sesekali melalui kawasan perkampungan Melayu dengan rumah-rumah tradisi yang unik. Saya tidak dapat meneka kenapa diri saya berperasaan sedemikian. Seolah-olah kawasan ini bagaikan bermusuhan dengan diri. Ah ... ini mungkin permainan jiwa yang cuba mempengaruhi diri.

Sesampai sahaja di simpang tiga di pekan Kamping Gajah, saya membelok ke kanan untuk menghala ke utara. Saya tidak pernah lagi menjejakkan kaki ke pekan Bota dan hanya pernah melaluinya sahaja suatu ketika dahulu bersama seorang teman rapat bagi menghadiri majlis perkahwinan seorang teman di Parit.

Entah bagaimana saya boleh pula singgah dahulu menziarahi makam Almarhum Syed Hussain Yamani dan makam dua orang Sultan Perak yang terletak dalam sebuah kepuk di Kampung Pulau Tiga tidak jauh dari pekan Kampung Gajah. Perjalanan inilah sebenarnya yang telah membuka kepada penelitian yang lebih jelas terhadap watak Syed Hussain Yamani yang sejarahnya agak kabur dalam penelitian sejarawan negeri Perak. Pada ketika inilah saya dapat melihat balutan kain hijau di batu nisan makam Almarhum Syed Hussain Yamani telah tiada lagi dan digantikan dengan kain kuning.

Makam Syed Hussain Yamani 
semasa kunjungan ziarah penulis dalam tahun 2012.

Banyak kisah-kisah yang mula terungkai sebaik sahaja saya catatan ziarah saya ke makam Syed Hussain Yamani mula tersiar di blog ini pada tahun 2013 yang lalu. Beberapa waris daripada keturunan Syed Hussain Yamani dan individu yang tidak dikenali mula tampil memberikan komen di blog ini dalam membuka semula sejarah berkenaan tokoh ini. Ia secara tidak langsung memberikan satu nilai tambah kepada peminat tegar sejarah negeri Perak dalam mencari maklumat berkenaan dengan Syed Hussain Yamani ini. 

Saya seterusnya singgah menziarahi makam Almarhum Sultan Mahmud Shah Ibni Sultan Mansur Shah ( sultan Perak ke-8 ) dan Almarhum Sultan Muhammad Shah Ibni Almarhum Yang Dipertuan Muda Raja Mansor ( sultan Perak ke-14 ). Catatan berkaitan kunjungan ziarah saya ke makam dua orang sultan ini pernah saya coretkan pada tahun 2013 yang lalu (Rujuk :  Makam Dua Sultan Berlainan Warisan ). 


Sejenak di makam Sultan Mahmud Shah Ibni Sultan Mansur Shah
dan Sultan Muhammad Shah Ibni Yang Dipertuan Muda Raja Mansor

Pada mulanya saya berhajat untuk meneruskan sahaja perjalanan namun demikian bagaikan ada satu kuasa yang seolah-olah menarik saya untuk singgah dahulu di kepuk makam kedua-dua sultan ini. Mungkin ia boleh membuka cerita-cerita tertentu siapalah yang tahu. Seperti biasa, saya tidak akan terus masuk ke dalam kepuk makam sebaliknya lebih selesa untuk duduk di atas motosikal memerhatikan suasana makam. Saya meninjau di sekeliling jika ada penduduk-penduduk kampung yang boleh diajak berbual berkenaan keberadaan makam ini. Sayangnya sama sahaja seperti ziarah-ziarah yang terdahulu .... tidak ada sesiapa yang bersama saya.

Adalah begitu unik untuk memperkatakan berkenaan dengan Sultan Mahmud Shah Ibni Sultan Mansur dan Sultan Muhammad Shah Ibni Yang Dipertuan Muda Raja Mansor ini. Dalam catatan saya sebelum ini, saya pernah menyatakan bahawa kedua-dua almarhum Sultan ini memiliki titisan warisan dari belah pihak lelaki yang berlainan. Sultan Mahmud Shah Ibni Sultan Mansor Shah adalah benih warisan dari sultan pertama Perak yang bersusur galur dari Melaka. Manakala Almarhum Sultan Muhammad Shah Ibni Yang Dipertuan Muda Raja Mansor pula adalah titisan dari benih sultan Perak ke-10 yang dikatakan bersusur galur dari kerajaan Siak lama ( Kerajaan Gasib ).

Fikiran-Fikiran Yang Aneh

Saya duduk di pinggir kepuk makam. Agak pelik untuk perjalanan kali ini seolah-olah saya tidak lagi berperang dengan masa. Saya memandang kedua-dua makam baginda sultan berdua ini dan menguis daun-daun kering yang agak bersepah di atas makam. Tidak banyak maklumat yang dapat saya perolehi berkenaan dengan sultan Perak ke-8 iaitu Sultan Mahmud Shah Ibni Sultan Mansor Shah ini. Baginda adalah sultan Perak yang memiliki titisan warisan Melaka dari sebelah ibunya sahaja. Manakala ayahandanya adalah seorang putera raja dari Aceh. ( Namun yang tertulis di makam baginda merupakan anakanda kepada Sultan Mansur Shah ).

Adalah jelas bahawa perkiraan ahli-ahli sejarah berkenaan dengan tamatnya jurai keturunan Melaka di sebelah pihak lelaki kesultanan Perak selepas kemangkatan sultan Perak ke-9 ( Sultan Sallehuddin Shah ibni Sultan Mahmud Shah ) adalah tidak berasas sama sekali. Ini adalah kerana bermula dari pemerintahan Sultan Mukaddam Shah ( sultan Perak ke-6 ), jurai keturunan Melaka sudah mula masuk dari sebelah pihak perempuan. Ini diikuti oleh Sultan Mahmud Shah ( sultan Perak ke-8 ) dan Sultan Sallehudin Shah ( sultan Perak ke-9 ). Ketiga-tiga sultan ini adalah diyakini berdarah raja-raja Aceh dan mewarisi darah Melaka dari sebelah perempuan.

Dari kajian salasilah adalah jelas bahawa hanya Sultan Muzaffar Shah I ( sultan Perak pertama ), Sultan Mansur Shah Ibni Sultan Muzaffar Shah ( sultan Perak ke-2 ), Sultan Ahmad Tajuddin Shah Ibni Sultan Mansur Shah ( sultan Perak ke-3 ), Sultan Tajul Ariffin Ibni Sultan Mansur Shah ( sultan Perak ke-4 ), Sultan Alauddin Shah Ibni Raja Kechil Lasa ( sultan Perak ke-5 ) dan Sultan Mansur Shah II ibni Raja Kechil Lasa ( sultan Perak ke-7 )adalah merupakan warisan dari kesultanan Melaka yang sah dari sebelah pihak lelaki.

Jadi bagaimana pula ahli-ahli sejarah mentakrifkan benih Melaka sebelah lelaki di Perak telah tamat selepas kemangkatan Sultan Sallehudin Shah ( sultan Perak ke-9 ) ? ... hati saya bertambah runsing di makam ini. Fikiran saya mula mencerna permasalahan ini sedalamnya dan cuba mencari makna disebalik setiap peristiwa yang berlaku.

Saya lebih selesa untuk menyatakan bahawa pembesar-pembesar Perak dalam setiap zaman masih berpegang kepada janji setia bahawa hanya benih warisan Melaka sahaja yang wajib dirajakan di Perak walaupun ketika Perak berada di bawah kekuasaan kuasa lain seperti Aceh. Namun demikian, dalam keadaan tertentu mahupun terdesak benih Melaka dari sebelah pihak lelaki mungkin tiada atau masih belum layak untuk dijadikan raja pemerintah maka benih Melaka dari sebelah pihak perempuan mungkin boleh dirajakan di Perak. Dalam hal ini kita dapat lihat menerusi perlantikan Sultan Mukaddan Shah ( sultan Perak ke-6 ) yang jelas merupakan anakanda kepada seorang puteri Sultan Mansur Shah I dan ayahandanya pula ialah seorang putera raja Aceh.

Selepas kemangkatan Sultan Mukaddam Shah ini orang-orang besar Perak yang diketuai oleh seorang  pembesar yang bergelar Datuk Maharajalela dengan segera melantik Sultan Mansur Shah II Ibni Raja Kechil Lasa untuk menjadi sultan Perak ke-7 walaupun tidak diiktiraf oleh Aceh yang masih menguasai Perak. Ini adalah kerana, Sultan Mansur Shah II adalah benih Melaka sebelah pihak lelaki yang sah. Selepas sahaja baginda diturunkan dari takhta oleh Aceh maka sekali lagi seorang benih Melaka dari sebelah pihak perempuan dilantik menjadi sultan Perak ke-8 iaitu Sultan Mahmud Shah yang makamnya berada di hadapan saya kini.

Selepas kemangkatan baginda pada tahun 1650, seorang putera baginda yang bernama Raja Kobat dilantik menjadi Sultan Perak ke-9 dengan gelar Sultan Sallehuddin Shah. Dalam perkiraan saya, sejarah berkaitan dengan Sultan Salehuddin Shah ini adalah antara yang paling sedikit dan amat sukar ditentukan. Catatan sejarah hanya menyebutkan baginda hanya memerintah selama 6 tahun sahaja ( 1630 -1636 ) sebelum mangkat di Kampar ( ada yang menyatakan di Aceh ). Baginda menghindarkan diri ke Kampar akibat dari wabak taun yang melanda negeri Perak semasa pemerintahannya. Namun saya tidak pasti sama ada makamnya wujud di Kampar atau tidak. Jika ada para pembaca yang mengetahui berkenaan dengan makam Sultan Sallehuddin Shah ini di Kampar mungkin boleh memberikan sedikit ulasan di ruangan komen untuk kita kongsikan bersama.

Sultan Sallehuddin Shah ini mangkat dengan tidak meninggalkan zuriat. Pada ketika inilah negeri Perak tidak bersultan dan para pembesar negeri bersiap sedia ke Aceh sekali lagi ... memohon seorang putera Raja untuk dirajakan di Perak. Sesuatu yang menjadi misteri ..... kemanakah zuriat anak-anak raja warisan Melaka tidak kira dari sebelah pihak lelaki atau perempuan di Perak selepas kemangkatan Sultan Sallehuddin Shah ? Mustahil dalam 100 tahun kewujudan kesultanan ini waris-waris Melaka telah pupus sama sekali .... segala-galanya bagaikan satu misteri yang sukar dirungkai dan masa yang berjalan bagaikan telah melupuskan sama sekali kewujudan warisan ini sehingga ke hari ini !.

Perjalanan Ke Utara

Saya meneruskan perjalanan ke arah utara Kampung Gajah. Ini kali kedua saya saya melakukan perjalanan ziarah melalui jalan ini. Dalam perjalanan ziarah sebelum ini, saya hanya sampai ke mukim Lambor sahaja dan seterusnya berjaya untuk menziarahi makam Sultan Muzaffar Shah I ( sultan Perak pertama ).

Ketika melalui simpang untuk ke makam Sultan Muzaffar Shah I ini, hati saya bagaikan berteka teki sama ada untuk singgah dahulu berziarah atau menerukan perjalanan. Saya mengambil keputusan untuk meneruskan sahaja perjalanan bagi mengejar masa. Saya yakin sewaktu perjalanan pulang nanti saya masih berkesempatan untuk singgah ke makam ini. Tambahan pula, kebelakangan ini saya sering teringatkan batu nisan Aceh yang menjadi tanda di makam berkenaan.

Sepanjang perjalanan saya masih memikirkan tentang beberapa catatan sejarah berkaitan dengan makam-makam sultan yang pernah saya ziarahi. Semuanya mula tercantum satu persatu dan seolah-olah mahu memberi saya satu cerita yang tersembunyi. Namun sebagai seorang manusia biasa saya sedar setiap fakta dan hujahan sejarah memerlukan bukti dan sumber yang jelas. Sedangkan saya pula mencantumkan setiap fakta, sumber dengan gerak rasa sehingga membuatkan catatan perjalanan ziarah saya ini seringkali dianggap merepek dan tidak berasas. Pada saya itu adalah hak masing-masing dalam menentukan kebenaran dan kesalahan setiap apa yang saya ceritakan. Saya meyakini, saya dipandu dalam setiap apa yang saya lakukan dan ia tidak akan berakhir !.

Saya mula memperlahan motosikal ketika mula memasuki kawasan mukim Bota. Mata saya meliar ke kanan dan kiri jalan bagi mencari papan tanda yang boleh memberikan saya petunjuk ke mana-mana makam bersejarah. Saya terpandang sebuah papan tanda yang dilindungi oleh rimbunan pokok. Jelas tertera di papan tanda itu bahawa lorong di hadapan akan membawa saya kepada satu lagi makam sultan Perak yang susuknya dianggap penyelamat kepada warisan Melaka di negeri Perak !

Papan tanda menuju ke arah makam

Tanpa berlengah saya terus membelok ke simpang jalan tersebut. Hati saya berbunga riang ..... kini saya menjejaki makam Sultan Muzaffar Shah II. Antara makam sultan yang kisahnya begitu unik dalam sejarah panjang kesultanan Perak Darul Ridzuan !

Di Makam Sultan Muzaffar Shah II

Saya melalui kawasan kampung tradisi Melayu yang sangat tenang. Rumah-rumah Melayu tradisi dapat dilihat di kiri kanan jalan walaupun ada yang sudah berbau moden. Semakin ke dalam saya melalui jalan tersebut semakin saya terasa asing. Saya masih belum menjumpai makam Sultan Muzaffar Shah II. Ketika itu petang sudah mula condong dan waktu solat Asar sudah semakin hampir. Perkiraan saya tepat kerana tidak lama selepas itu saya terdengar laungan azan Asar dari masjid tidak jauh di hadapan. Saya mengambil keputusan untuk singgah di masjid berkenaan untuk bersolat Asar. Mungkin selepas solat nanti saya boleh bertanyakan kepada para jemaah arah ke makam Sultan Muzaffar Shah II itu.


Jalan kampung yang tenang

Tidak ramai ahli jemaah yang bersolat Asar petang itu. Kebanyakannya terdiri dari golongan warga emas yang kuat dengan telor loghat Perak. Usai solat saya tidak segera keluar dan mengambil peluang meninjau-ninjau suasana surau berkenaan. Sayangnya saya tidak pula mengambil gambar suasana masjid ini. Beberpa orang jemaah kelihatan masih berbual di ruangan luar masjid ini. Tanpa berlengah saya terus menghulurkan salam dan bertanyakan arah makam kepada mereka. Salam saya dijawab dan arah ke makam telah dinyatakan dengan jelas kepada saya. Dari rujukan di laman blog Ais Batu, masjid yang singgahi itu ialah Masjid Kampung Air Mati.

Namun itulah padahnya jika sudah mula berbual memang susah untuk berhenti. Seronok berbual dengan jemaah yang rata-ratanya sebaya ayah saya. Mujur juga loghat percakapan Melayu Perak saya masih unggul. Bezanya saya penutur loghat Perak acuan Hilir Perak sedangkan mereka penutur loghat Perak acuan Perak Tengah. Memang sedikit berbeza namun masih mampu difahami dengan baik terutama penggunaaan vokal "e". Saya penutur vokal "e" pepet dan mereka penutur vokal "e" teleng.

Di kawasan sekitar surau berkenaan juga terdapat kawasan perkuburan. Saya memerhatikan kawasan makam berkenaan dan terpandang sebuah kepuk makam yang agak terserlah berbanding dengan makam-makam yang lain. Saya bertanyakan kepada salah seorang jemaah siapakah gerangan insan yang dikebumikan di makam berkenaan. Jawapan yang saya terima hanyalah ia makam seorang pembesar. Tidak pula saya bertanya lanjut siapa pembesar berkenaan. Bimbang juga hati bertanya itu dan ini sedangkan saya orang luar yang tidak dikenali.

Hampir 15 minit juga saya berlabun dengan beberapa orang jemaah masjid berkenaan. Malah ada yang sampai menjemput saya singgah ke rumah mereka untuk minum petang. Namun saya menolak dengan baik tambahan pula jam sudah hampir melewati angka lima petang. Selepas mengucapkan salam, saya meneruskan perjalanan ke arah makam seperti yang telah diterangkan oleh para jemaah masjid tadi. Apa yang menyeronokkan saya ialah suasana petang itu sangat tenang dan panas matahari bagaikan tidak mahu berhenti membahang.

Jarak antara bangunan kepuk makam dengan masjid tadi adalah dalam lingkungan 300 meter sahaja. Dari jauh saya sudah dapat melihar bumbung bangunan kepuk makam. Alhamdulillah akhirnya saya berjaya juga menjejaki makam ini. Sebaik sahaja sampai seperti biasa saya tidak akan terus masuk ke kawasan makam sebaliknya lebih selesa meninjau-ninjau dahulu keadaan dan suasana makam. Walaupun terletak dalam kawasan kebun kelapa sawit, namun keadaan makam ini amat terjaga dan terjaga. Paling saya sukai ialah tanaman pohon bunga puding yang yang menghiasi perkarangan makam. Jujurnya saya amat menyukai pohon bunga puding. Ia seolah - olah mengembalikan ingatan saya kepada zaman kanak-kanak yang telah lama berlalu di mana kawasan sekitar rumah arwah opah banyak ditanami dengan pohong bunga puding.

Jalan ke kepuk makam

Pepohon puding penyeri makam

Saya mula bergerak masuk ke dalam kawasan kepuk makam. Usai mengucapkan salam saya menguak pintu pagar makam yang dicat hitam. Berkeriuk juga bunyi pintu pagar tersebut apabila ditolak. Semak samun yang agak meninggi menyambut saya. Rasanya mungkin sudah agak lama makam ini tidak dikunjungi. Balutan kain kuning pada batu nisan makam juga agak pudar.

Keadaan makam dari arah luar pagar

Bangunan kepuk makam

Tiang bendera makam masih tegap berdiri dan yang paling menggembirakan saya ialah papan tanda keterangan makam yang masih terpelihara dengan baik. Sekurang-kurangnya penziarah yang bertandang ke sini dapat juga dapat mengetahui sedikit sebanyak sejarah berkenaan Almarhum Sultan Muzaffar Shah II ini.

Papan tanda keterangan makam

Siapa Sultan Muzaffar Shah II ?

Saya memegang batu nisan makam ini. Nampaknya hanya inilah sahaja sebuah makam yang ada. Tidak ada makam-makam ahli keluarga baginda yang dimakamkan sekali dengan baginda. Hal ini terasa begitu aneh dan pelik. Perlahan-lahan saya menyedekahkan bacaan Al-Fatihah kepada roh baginda. Suasana petang yang panas dan sunyi membuatkan saya bertambah tenang di makam ini.

Makam Sultan Muzaffar Shah II

Jika meninjau kepada sejarah yang banyak diceritakan dalam buku-buku sejarah, maka adalah jelas baginda merupakan cabang warisan baru yang mewarisi kesultanan Melayu Perak. Baginda dilantik oleh Sultan Iskandar Tsani yang menjadi sultan Aceh ketika itu untuk menjadi sultan Perak ke-10 selepas kemangkatan Sultan Salehuddin Shah Ibni Sultan Mahmud Shah ( sultan Perak ke-9 ) yang mangkat di Kampat Sumatera tanpa meninggalkan putera.  Persoalannya kenapa baginda yang dilantik menjadi sultan Perak dan bukannya kerabat diraja Perak itu sendiri ?

Saya mula berfikir sedalamnya berkenaan  sejarah baginda. Fikiran saya secara tiba-tiba bagaikan diransang seolah-olah ada sesuatu yang tersirat berkaitan dengan makam ini dengan makam dua orang sultan berlainan warisan yang telah saya singgahi sebelum ini. Ianya bagaikan saling berkait dan memberikan makna yang tersendiri. Adalah jelas tiga makam sultan yang saya ziarahi pada hari ini adalah mewarisi darah Melaka dari sebelah pihak perempuan. Saya termenung sendiri dan ianya seolah-olah bagaikan telah dirancang oleh sesuatu.

Corak yang terdapat pada makam Sultan Muzaffar Shah II

Catatan sejarah adalah jelas menyatakan bahawa selepas sahaja kemangkatan sultan Perak ke-9 iaitu Sultan Sallehuddin Shah pada tahun 1665 maka berakhirlah warisan Melaka dari benih sebelah pihak lelaki dalam kesultanan Perak. Dalam hal ini saya lebih senang untuk menyatakan bahawa pengertian yang lebih jelas bukanlah melibatkan benih Melaka sebaliknya ialah berakhirnya benih kesultanan Perak yang asal  itu sendiri. Benih kesultanan Perak yang asal itu maksudnya ialah warisan dari sultan Perak yang pertama iaitu Sultan Muzaffar Shah I tidak kira dari sebelah pihak lelaki atau perempuan. Hal ini adalah kerana dalam senarai susunan pemerintah Perak bermula dari sultan kedua sehinggalah yang kesembilan adalah titisan dari Sultan Muzaffar Shah I itu sendiri tanpa mengira dari belah pihak lelaki atau perempuan.

Saya beranggapan sedemikian kerana jika ditinjau dari warisan keturunan ternyata Sultan Muzaffar Shah II ini juga merupakan benih keturunan Melaka melalui sebelah pihak perempuan walaupun berasal dari Siak lama ( kerajaan Gasib ). Malahan nasabnya keturunannya juga sampai kepada kepada Sang Sapurba juga yang menurunkan keturunan Raja-raja Sriwijaya dan Melaka. Jadi adalah tidak tepat untuk menyatakan zuriat warisan Melaka telah berakhir setelah kemangkatan Sultan Sallehuddin Shah.

Kemunculan Sultan Muzaffar Shah II yang menjadi sultan Perak ke-10 bukan sahaja menguatkan lagi kelangsungan dinasti kesultanan Perak malahan memperkukuhkan lagi warisan Sang Sapurba dan Bukit Saguntang di bumi Perak ini.

Kenapa Sultan Muzaffar Shah II Yang Dipilih Menjadi Sultan Perak ?

Sebenarnya saya agak hairan berkenaan dengan perlantikan Sultan Muzaffar Shah II ini sebagai sultan Perak ke-10. Pertamanya adalah mustahil dalam tempoh 100 tahun kewujudan kesultanan Perak itu sendiri pada ketika itu segala waris-waris negeri bagi pihak lelaki atau perempuan telah tiada langsung wujud di Perak. Walaupun kuasa Aceh masih lagi menguasai Perak kita dapat melihat Aceh masih tetap melantik waris negeri yang sah dari zuriat sultan Perak yang pertama walaupun dalam masa-masa tertentu lantikan itu adalah dari waris sebelah tanah ( belah pihak perempuan ). Saya melihat keadaan ini sebagai sesuatu yang agak aneh dan pelik.

Ada pendapat yang menyatakan bahawa waris negeri yang sah adalah dalam lingkungan kekeluargaan sultan yang memerintah sahaja. Ini bermakna waris-waris raja yang terdahulu mungkin tidak dikira sebagai waris negeri lagi walaupun berketunan dan bergelar Raja. Keadaan ini mungkin ada benarnya kerana jika dilihat daripada nasab adalah jelas hanya putera Sultan sahaja yang layak dilantik menjadi pewaris takhta kerajaan. Hal ini boleh dilihat menerusi perlantikan sultan Perak yang kedua, ketiga, dan keempat.

Namun demikian bagi perlantikan sultan Perak yang kelima pula ianya berlaku sebaliknya. Adalah jelas sultan Perak yang kelima iaitu Sultan Alauddin Shah dilantik oleh kuasa Aceh dari seorang waris raja yang tidak bergelar namun masih lagi mempunyai hubungan yang erat dengan keluarga Sultan yang terdahulu. Sultan Alauddin Shah ini adalah cucunda kepada Sultan Ahmad Tajuddin Shah ( sultan Perak ke-3 ) namun ayahandanya yang bernama Raja Kechil Lasa ( Raja Inu ) bukanlah seorang sultan. Perkiraannya, Sultan Alauddin Shah masih dikira sebagai waris Melaka dari sebelah pihak lelaki.

Walaupun selepas itu terdapat beberapa orang sultan yang mewarisi benih Melaka dari sebelah pihak perempuan, kesultanan Perak masih boleh dianggap penerus kepada legasi kesultanan Melayu Melaka yang sah. Aceh yang masih menguasai Perak juga dilihat tidak begitu mencampuri hal dalaman istana Perak walaupun pada ketika beberapa pembesar Aceh masih ada di Perak bagi mengawasi pentadbiran negeri.

Selepas kemangkatan Sultan Sallehuddin Shah di Kampar, maka bermulalah episod baru dalam sejarah kesultanan Melayu Perak apabila para pembesar Perak sepakat untuk ke Aceh bagi memohon seorang anak raja dihantar ke negeri Perak untuk diangkat menjadi sultan Perak ke-10. Hal ini adalah kerana Aceh masih lagi menjadi pelindung negeri Perak dan faktor yang paling penting ialah sultan Aceh yang sedang berkuasa ketika itu ialah Sultan Iskandar Tsani Alauddin Mughayat Shah Ibni Sultan Ahmad yang merupakan benih sah Melaka dari sebelah pihak lelaki melalui kesultanan Pahang Tua.

Jika dilihat dari segi masa dan keadaan ketika itu iaitu pada tahun 1635 adalah diyakini bahawa hanya Sultan Iskandar Tsani Alauddin Mughayat Shah sahaja waris Melaka di sebelah pihak lelaki yang masih berkuasa dan berdaulat. Kesultanan Pahang dinasti Melaka telah tamat legasinya apabila diserang dan ditundukkan oleh Aceh. Kesemua keluarga diraja Pahang ketika itu telah dibawa mengungsi ke Aceh dan tidak lama selepas itu anakanda Sultan Pahang ( Sultan Iskandar Tsani ) telah naik takhta kerajaan Aceh selepas kemangkatan Sultan Iskandar Muda yang juga bapa mertuanya.

Manakala di kesultanan Melayu Johor pula pada ketika itu pula menghadapi pelawanan yang sengit dengan kuasa Aceh dan sultan yang sedang berada di atas takhta Johor ketika itu ialah Sultan Abdul Jalil Shah III yang dikatakan merupakan pewaris benih Melaka dari sebelah pihak perempuan. Mahu tidak mahu, pilihan yang ada pada para pembesar Perak hanyalah ke Aceh memohon seorang anak Raja untuk dirajakan di Perak.

Warisan Yang Semakin Hilang

Saya yakin, sama seperti peristiwa semasa rombongan pembesar dari Perak mengadap Sultan Mahmud Shah Melaka bagi memohon seorang anakandanya untuk dirajakan di Perak maka begitulah juga halnya yang berlaku ketika ini. Persamaannya, pada ketika itu dan pada ketika ini para pembesar Perak tetap mengadap seorang sultan yang berbenih Melaka iaitu Sultan Mahmud Shah dan Sultan Iskandar Tsani Alauddin Mughayat Shah. Bezanya pula ketika perlantikan sultan Perak yang pertama dahulu para pembesar ke Kampar dan kini untuk perlantikan sultan ke-sepuluh pula para pembesar Perak terpaksa ke Aceh. Paling utama semestinya raja yang akan dijadikan sultan ke-10 Perak pastilah dari benih Melaka.

Namun sesuatu yang pasti, Sultan Iskandar Tsani Alauddin Mughayat Shah ini tidak berputera dan hanya berputeri. Keadaan ini pasti menimbulkan permasalahan yang berat kepada para pembesar Perak. Jadi bagaimana masalah ini perlu diselesaikan sedangkan warisan benih Melaka di sebelah pihak lelaki yang sah cuma ada seorang sahaja iaitu Sultan Iskandar Tsani ?

Melantik seorang putera raja lain yang tidak mempunyai darah raja Melaka pasti akan menimbulkan banyak masalah kerana persetiaan lama di Beting Beras Basah mungkin akan terlerai dan sekaligus bakal membawa kepada masalah yang lebih berat. Tambahan pula peralatan nobat serta alatan kebesaran kesultanan Melayu Melaka masih dalam jagaan kesultanan Perak. Mana mungkin seseorang yang bukan warisnya dinobatkan menjadi sultan Perak.

Dari segi penelitian sejarah adalah jelas bahawa Sultan Iskandar Tsani Alauddin Mughayat Shah ialah seorang sultan yang cerdas dan berakal tajam. Baginda mewarisi kesultanan Aceh dari bapa mertuanya iaitu Sultan Iskandar Muda Mahkota Alam yang dikenali sebagai seorang sultan yang begitu gagah dan berani. Baginda pasti melihat bagaimana dinasti Melaka di kesultanan Melayu Pahang tua telah ditamatkan secara rasmi pada tahun 1615 akibat dari peperangan, perselisihan dan pembunuhan. Semenjak dari tarikh itu Pahang menjadi sebahagian daripada wilayah Kesultanan Melayu Johor Tua dan bermula pada tahun 1777, Pahang ditadbir secara terus oleh keluarga Bendahara atau Raja Bendahara Kesultanan Johor bermula dari perlantikan Tun Abdul Majid Bin Tun Hassan oleh Sultan Johor ketika itu Sultan Mahmud Shah III ( 1761 - 1812 ).

Alhamrhum Sultan Iskandar Muda Mahkota Alam Aceh
 - pelindung Islam di Nusantara juga ayahanda mertua
kepada Sultan Iskandar Tsani.

Saya meyakini sebagai seorang pewaris keturunan Melaka, baginda pasti mahukan kesultanan Perak yang dianggap sebagai saudara muda kesultanan Pahang Lama terus kekal mewarisi darah Melaka. Namun demikian selain dari baginda siapakah lagi yang masih ada untuk mewarisi kesultanan Melayu Perak ? Mahu tidak mahu masalah di Perak perlu diselesaikan dengan segera. Mujur juga pembesar-pembesar Perak masih mempunyai sumpah dan taat setia kepada benih Melaka walaupun setelah hampir 100 tahun pengasasannya oleh Sultan Muzaffar Shah I.

Ketika itu di Aceh masih terdapat kerabat-kerabat diraja dari beberapa negeri berlainan yang berlindung atau menjadi tawanan bebas dan salah seorangnya ialah seorang putera raja dari kerajaan Siak Lama yang bernama Raja Sulong. Raja Sulong ini telah berkahwin dengan Raja Puteri Fatimah Puteh Ibni Raja Muda Abdullah ( Pahang ) yang juga merupakan anak sepupu kepada Sultan Iskandar Tsani ini. Apa yang menarik di sini, Raja Puteri Fatimah Puteh ini berbondakan seorang Puteri  benih kepada sultan Perak kedua iaitu Sultan Mansor Shah I. Ini secara tidak langsung menunjukkan bahawa Raja Puteri Fatimah Puteh ini mewarisi benih melaka dari ayahandanya sendiri ( dinasti Melaka Pahang ) serta dari bondanya juga Puteri Perak ( dinasti Melaka Perak ).

Jika ditinjau dari segi salasilahnya pula, Raja Sulong ini juga merupakan benih Melaka dari sebelah pihak perempuan. Sejarah telah menunjukkan bahawa kesultanan Melayu Melaka satu ketika dahulu pernah menakluk kerajaan Siak Lama ( kerajaan Gasib ) yang ketika itu beragama Hindu - Buddha dan membunuh rajanya yang bernama Maharaja Permaisura ( Parameswara ? ).

Sultan Mansur Shah yang menjadi Sultan Melaka pada ketika itu terus melantik seorang putera Maharaja Permaisura yang bernama Megat Kudu untuk menjadi Sultan Siak Gasib. Megat Kudu ini menggunakan gelaran Sultan Ibrahim Shah dan menjadi menantu Sultan Mansur Shah Melaka menerusi perkahwinannya dengan puteri Sultan Mansur Shah Melaka yang bernama Raja Mahadewi. Maka menerusi perkahwinan ini mengalirlah darah kesultanan Melaka buat kali pertamanya ke dalam zuriat kesultanan Siak Lama walaupun dari sebelah pihak perempuan.

Dari perkahwinan antara Sultan Ibrahim ( Megat Kudu ) dengan Raja Mahadewi Sultan Mansur Shah ini telah melahirkan seorang putera yang kelak menjadi sultan Siak yang seterusnya dengan gelar Sultan Khoja Ahmad. Sultan Khoja Ahmad ini seterusnya berkahwin dengan seorang  puteri Sultan Mansur Shah dari kesultanan Pahang Dinasti Melaka yang bernama Puteri Puteh. Perkahwinan ini selanjutnya menambahkan lagi aliran darah zuriat Melaka dari sebelah pihak perempuan dalam kesultanan Siak Lama.

Hasil perkahwinan pasangan diraja Siak dan Pahang Dinasti Melaka ini telah melahirkan seorang putera yang bernama Raja Asif Ishak. Terdapat kekeliruan berkenaan dengan Raja Asif Ishak ini. Ada pendapat menyatakan bahawa baginda merupakan individu yang lain dan bukannya berasal dari Siak sebaliknya merupakan seorang ahli keluarga diraja Johor lama.

Ada juga pendapat yang menyatakan bahawa Raja Asif Ishak ini merupakan orang yang sama dengan Sultan Khoja Ahmad. Saya sendiri agak terkeliru dengan kedua-dua dakwaan ini. Namun daripada Raja Asif Ishak inilah yang menurunkan Raja Mahmud Kasab. Raja Mahmud Kasab ini tidak pula menjadi sultan Siak dan berkahwin dengan Tun Dharmapala Bt Bendahara Sri Maharaja Tun Isap Misai Mahmud. Dari perkahwinan inilah yang seterusnya melahirkan Raja Sulong yang kelak nanti dilantik oleh sultan Aceh menjadi sultan Perak ke-10 dengan gelar Sultan Muzaffar Shah II.

Adalah jelas Sultan Muzaffar Shah II dilantik menjadi sultan Perak bukan tanpa sebarang sebab. Nasabnya dari sebelah lelaki adalah jelas bersusur galur dari Sang Sapurba yang turut menjadi nenek moyang kepada pengasas kesultanan Melayu Melaka dan Perak. Malahan kerajaan Siak Lama itu sendiri turut diakui sebagai antara sisa peninggalan kerajaan Sriwijaya. Sultan Muzaffar Shah II ini juga mewarisi darah Melaka dari sebelah nenda dan moyangnya juga.

Baginda juga telah berkahwin dengan seorang cucunda Sultan Mansur Shah ( sultan Perak ke-2 ) dan ini secara tidak langsung memberikan satu kelebihan kepada baginda untuk menerajui takhta Perak. Tambahan kepada bonus tersebut ialah ayahanda kepada isterinya adalah Raja Muda Abdullah Pahang yang adalah warisan benih lelaki yang sah dinasti Melaka di kesultanan Pahang Tua.

Dari perkahwinan baginda dengan Puteri Raja Muda Pahang inilah yang seterusnya melahirkan zuriat sultan-sultan Perak yang seterusnya sehinggalah ke masa kini. Dua orang putera baginda seterusnya dilantik sebagai sultan Perak ke-11 ( Sultan Mahmud Iskandar Shah ) dan sultan Perak ke-12 ( Sultan Mansur Shah II ).

Jadi adalah jelas bermula dari perlantikan Sultan Muzaffar Shah II sebagai sultan Perak ke-10, bermulalah legasi warisan Siak kedalam kesultanan Melayu Perak. Sungguhpun demikian, warisan Melaka masih tetap utuh dari sebelah pihak perempuan. Paling penting ialah warisan Sang Sapurba tetap berakar kukuh disini dan secara tidak langsung status Perak sebagai penyambung legasi Melaka dan Sriwijaya tetap utuh sehingga ke hari ini.

Petang Yang Sepi

Saya duduk-duduk sebentar di sisi makam ini. Terasa tenang dan mendamaikan bila berada di kawasan makam ini. Alunan suara burung dan keindahan pohon-pohon puding memberikan saya suatu kesan yang sukar untuk dinyatakan. Saya mula cuba mencantumkan makna di setiap apa yang telah saya lalui sepanjang berjalan menziarahi makam-makam lama di sekitar Sungai Perak ini. Bermula dari sekadar menambahkan koleksi penulisan di blog, saya juga cuba mencari jawapan kepada kewujudan warisan keluarga yang tidak pernah disentuh. Paling penting saya dapat memahami hakikat sejarah panjang negeri Perak yang tercinta ini dan kenapa kaum kerabat keluarga sentiasa memberikan taat dan setia kepada sultan-sultan yang bertakhta.

Dari sedikit maklumat yang saya jumpai, punca utama kepada menghindarnya sultan Perak yang ke-9 ke Kampar adalah akibat serangan satu wabak penyakit yang telah melanda negeri Perak pada ketika itu. Habis semua rakyat negeri Perak menghidapi penyakit yang tidak ada ubatnya itu. Kononnya Sultan Muzaffar Shah II inilah yang mengubati seluruh hamba rakyat dengan menggunakan daun pokok Setawar. Dikatakan pada makam baginda ini tumbuh sebatang pokok Setawar sebagai bukti keilmuan baginda terhadap khasiat pokok berkenaan. Saya tidaklah tahu bagaimana rupa dan jenis pokok Setawar itu. Rujukan di internet pula menjelaskan pokok berkenaan sangat berkhasiat dalam mengubati penyakit seperti kusta dan sebagainya.

Pokok Setawar ? saya sendiri tidak pasti 

Sultan Muzaffar Shah II menduduki takhta kerajaan Perak selama 17 tahun bermula dari tahun 1636 sehingga ke tahun 1653. Pada ketika pemerintahan baginda, Aceh yang menguasai Perak sudah berada pada peringkat akhir kekuasaannya. Hal ini dibuktikan melalui kebenaran yang diberikan oleh Aceh kepada pihak Belanda untuk menguasai perdagangan bijih timah di Perak pada tahun 1650. Pada tahun 1651, orang-orang Belanda telah membina sebuah loji di Perak namun demikian ia telah dimusnahkan oleh orang-orang Perak tidak lama selepas itu. Dikatakan habis semua orang-orang Belanda dibunuh oleh para pejuang Perak.  Persoalannya .... kenapa dan mengapa Belanda yang diketahui sudah berjaya menguasai Melaka dari Portugis pada ketika itu tidak mahu menyerang balas Perak semula ? Hanya Allah SWT sahaja yang mengetahui.

Petang sudah semakin membening. Tidak ada manusia yang lalu lalang di kawasan makam. Saya masih berteleku di sini tanpa sebarang rasa janggal. Sejujurnya, berada di makam ini benar-benar membuatkan saya merasa begitu tenang seolah-olah ada keterikatan dengan penghuninya. Saya membersihkan sedikit kawasan makam ini dengan mencabut rumbut-rumput liar seperti yang selalu saya lakukan jika ke makam-makam lama. Agak aneh sebenarnya bila melihat tiada makam-makam lain di sekitar kawasan makam. Persoalannya, dimanakah letaknya makam-makam kaum kerabat baginda yang lain ?

Sultan Muzaffar Shah II memilih untuk berkerajaan di kawasan Kampung Air Mati ini yang kedudukannya adalah tidak jauh dari pusat pemerintahan sultan Perak yang pertama iaitu Sultan Muzaffar Shah I di Teluk Bakong. Apabila melihat kepada nama kampung Air Mati ini secara tidak langsung saya teringatkan berkenaan dengan Kampung Air Mati yang terletak di dalam mukim Bandar dalam daerah kecil Kampung Gajah. Menurut ayah saya, Allahyarham datuk saya yang bernama Ismail Bin Haji Mohammad Yusuf dari Kampung Jong Burok pernah menceritakan berkenaan dengan sejarah nama kampung Air Mati di mukim Bandar tersebut.

Menurut arwah datuk saya, nama kampung Air Mati di mukim Bandar itu didapati daripada kejadian air pasang surut yang berlaku di sungai Perak. Air pasang yang berlaku di kuala sungai Perak akan berakhir di kawasan kampung Air Mati tersebut. Ini bermakna selepas dari kawasan Kampung Air Mati tersebut, kekuatan gelombang air pasang sungai berkenaan tidak akan dirasai dan kekal seperti biasa. Oleh kerana fenomena tersebut, penduduk tempatan menamakan kampung berkenaan dengan kampung Air Mati. Benar atau tidak cerita ini hanya Allah SWT sahaja yang mengetahui.

Namun bagi Kampung Air Mati Bota ini tidak pula saya tahu asal usul sejarah namanya. Cumanya, jika dilihat pada makam Sultan Muzaffar Shah II yang pernah berkerajaan disini, pasti usia kampung ini telah mencapai hampir 500 tahun. Saya jugak agak kurang pasti kenapa dan bagaimana Sultan Muzaffar Shah II boleh memilih untuk berkerajaan di sini. Namun apa yang pasti baginda tetap menuruti perjanjian asal antara Sultan Muzaffar Shah I dengan Tok Temong yang menyatakan sultan-sultan Perak akan tetap berkerajaan di tebing mudik kanan Sungai Perak walaupun baginda bukan zuriat secara terus dari Sultan Muzaffar Shah I.

Melaka Dan Perak... Adakah Masih Bersangkutan ?

Kebelakangan ini, timbul desas desus dan polemik berkenaan dengan kenyataan beberapa individu yang mendakwa diri pereka sebagai waris kesultanan Melaka dan Perak yang sah. Umum sendiri mengetahui bahawa sejarah Melaka telah berakhir semenjak kemangkatan sultannya yang terakhir iaitu Sultan Mahmud Shah Ibni Sultan Alauddin Riayat Shah di Kampar Sumatera pada tahun 1528. Namun demikian, warisan Melaka diteruskan pula oleh kesultanan Melayu Perak yang diasaskan Sultan Muzaffar Shah I dan kesultanan Johor Lama yang diasaskan oleh Sultan Alauddin Riayat Shah II. Kedua-dua sultan ini adalah putera kepada Sultan Mahmud Shah namun berlainan ibu. Selain dari itu kesultanan Pahang Lama ( Tua ) juga adalah sebuah lagi kerajaan berbenih Melaka yang wujud semasa kesultanan Melaka masih berkuasa.

Namun demikian, catatan sejarah jelas menunjukkan bahawa selepas sahaja 100 tahun kejatuhan Melaka, terdapat perubahan dinasti dalam ketiga-tiga buah kerajaan Melayu tersebut. Perubahan dinasti ini berlaku akibat dari hilangnya waris-waris benih warisan Melaka dalam warisan pemerintahan atau dengan lebih jelasnya menjadi sultan.

Dinasti Melaka di Pahang

Pahang adalah negeri pertama yang mula kehilangan benih Melaka iaitu pada tahun 1615. Masalah di Pahang adalah agak unik kerana sejarahnya dipenuhi dengan cerita perebutan takhta dan pembunuhan waris negeri termasuk sultan pemerintahnya. Selain itu serangan kuasa Aceh juga membawa kepada kejatuhan kesultanan Pahang Tua ini apabila hampir semua keluarga diraja Pahang Tua dari dinasti Melaka dibawa mengungsi ke Aceh. Selepas itu Pahang secara rasmi ditadbir oleh kesultanan Johor sebelum diserah untuk ditadbir oleh keluarga bendahara Johor.

Dinasti Melaka di Perak

Perak pula walaupun berhadapan dengan beberapa masalah serangan dari Aceh bermula dari pemerintahan pemerintahan Sultan Mansur Shah ( sultan Perak ke-2 ) namun masih dapat mengekalkan warisan Melaka. Tetapi dalam beberapa kes tertentu, pemerintahan Perak berada dibawah sultan-sultan yang mewarisi darah Melaka dari sebelah pihak perempuan sahaja. Ini dapat dilihat melalui perlantikan sultan Perak ke-6, Sultan Mukaddam Shah. Namun demikian dalam catatan sejarah jelas menyatakan bahawa selepas sahaja kemangkatan Sultan Salehuddin Shah ( sultan Perak ke-9 ) maka putuslah keturunan raja-raja Melaka dari sebelah pihak lelaki di negeri Perak pada tahun 1636.

Dinasti Melaka di Johor

Kesultanan Johor Lama pula masih berupaya untuk mempertahankan warisan Melaka sehingga ke tahun 1699. Kemampuan Johor untuk bertahan dalam mengekalkan zuriat Melaka ini dibantu pula oleh perlantikan Sultan Abdul Jalil Shah I ( sultan Johor ke-4 ). Ini adalah kerana baginda merupakan benih Melaka dari sebelah pihak perempuan sahaja iaitu menerusi bondanya yang bernama Raja Fatimah binti Sultan Abdul Jalil. Johor mula kehilangan benih Melakanya buat kali pertama apabila Raja Omar, dilantik menjadi sultan Johor ke-5 dengan gelar Sultan Ali Jalla Abdul Jalil Shah II. Baginda sebenarnya adalah suami kepada Raja Fatimah dan ayahanda kepada Sultan Abdul Jalil Shah II ( sultan Johor ke-4 ). Apabila anakandanya yang menjadi sultan Johor ke-4 mangkat dipercayai diracun orang, maka Raja Omar ini telah dilantik menjadi sultan Johor ke-5 atas desakan dari isterinya Raja Fatimah dan dituruti oleh para pembesar walaupun pada hakikatnya masih ada seorang waris berbenih Melaka yang layak ditabalkan.

Uniknya Sultan Ali Jalla Abdul Jalil Shah ini diketahui sebagai berasal dari Pahang dan pernah menjadi Raja Kelantan. Ada juga pendapat yang menyatakan baginda berasal dari Terengganu. Namun secara yang pasti baginda bukan berasal dari keturunan Melaka dan adalah dipercayai baginda adalah berasal dari keturunan kerabat diraja kerajaan Langkasuka. Bagaimanapun, baginda berbondakan Puteri Puspa Dewi iaitu anakanda kepada sultan Pahang dinasti Melaka ketiga, Sultan Mansur Shah Ibni Sultan Abdul Jamil Shah. Ini secara tidak langsung menunjukkan baginda juga merupakan benih Melaka dari sebelah perempuan menerusi kesultanan Pahang Tua.

Sultan Ali Jalla Abdul Jalil Shah ini memerintah Johor selama 17 tahun bermula dari tahun 1580 sehingga 1597. Selepas kemangkatan baginda, seorang lagi putera baginda dari Raja Fatimah dilantik menjadi sultan Johor Lama ke-6 dengan gelar Sultan Ali Riayat Shah ( ada juga yang menyebut sultan Alauddin Riayat Shah III ). Ini bermakna, buat kali ketiga seorang sultan berbenih Melaka dari sebelah pihak perempuan dilantik di Johor. Sultan Alauddin Riayat Shah III ini mangkat di Aceh selepas ditawan buat kali kedua. Menurut ceritanya baginda dihukum bunuh akibat dari dasar baginda yang berbaik-baik dengan penjajah Portugis di Melaka.

Terdapat sedikit kecelaruan fakta berkenaan dengan sultan Johor ke-7. Ada pendapat menyatakan Sultan Abdullah Ma'ayat Shah ini merupakan putera kepada sultan Johor ketiga iaitu Sultan Muzaffar Shah II. Namun hasil rujukan saya di laman Royal Ark adalah jelas baginda merupakan putera kepada Sultan Ali Jalla Abdul Jalil Shah ( sultan Johor ke-5 ). Tetapi jika dilihat dengan lebih jelas seperti ada yang tidak kena dengan sebahagian salasilah Johor Lama pada laman berkenaan. Ia kelihatan bercelaru. Apapun jika benar baginda ialah putera kepada Sultan Ali Jalla Abdul Jalil Shah, secara tidak langsung benih Melaka masih tetap ada walaupun dari sebelah pihak perempuan.

Sultan-sultan Johor lama selepas itu adalah jelas adalah warisan dari Sultan Ali Jalla Abdul Jalil Shah II sehinggalah pada period pemerintahan Sultan Mahmud Shah II ( sultan Johor ke-10 ) atau lebih dikenali dengan gelaran Sultan Mahmud mangkat dijulang. Selepas sahaja baginda mangkat dibunuh oleh Megat Seri Rama pada tahun 1699 maka berakhirlah warisan Melaka di bumi Johor tidak kira dari sebelah lelaki mahupun dari sebelah perempuan kerana dikatakan baginda mangkat tanpa meninggalkan warisan.

Selepas itu bendahara Johor yang bernama Tun Abdul Jalil telah menaiki takhta kerajaan dan menjadi sultan Johor ke-11 dengan gelar Sultan Abdul Jalil IV. Bagaimanapun, pada tahun 1718 muncul seorang anak raja dari Pagar Ruyung yang bernama Raja Kecil menyatakan dirinya sebagai anakanda Sultan Mahmud Shah II menerusi seorang isterinya yang bernama Encik Pong. Raja Kecil ini dengan bantuan angkatan perang Siak telah berjaya merampas takhta kerajaan Johor dari tangan Sultan Abdul Jalil IV ( Bendahara Tun Abdul Jalil ) dan menjadi sultan Johor ke-12 dengan gelar Sultan Abdul Jalil Rahmat Shah ( 1718 - 1722 ). Maka status Johor sebagai warisan Melaka terselamat untuk seketika.

Apapun keadaan itu tidak lama apabila keluarga bendahara sekali lagi berjaya menuntut takhta Johor apabila seorang anak Sultan Abdul Jalil IV yang bernama Raja Sulaiman dengan bantuan orang-orang Bugis berjaya memukul mundur Sultan Abdul Jalil Rahmat Shah ( Raja Kecil ) ke Siak. Raja Sulaiman ini seterusnya menjadi sultan Johor ke-13 dengan gelar Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah ( 1722-1760 ). Maka adalah jelas selepas sahaja Sultan Abdul Jalil Rahmat Shah berundur ke Siak ( seterusnya mengasaskan kesultanan Siak ) maka tamatlah terus warisan Melaka di Johor.

Perak Adalah Warisan Melaka Yang Sah !

Jadi adalah jelas menunjukkan bahawa sudah tiada lagi benih Melaka di ketiga-tiga kerajaan tersebut berdasarkan kepada hakikat sejarah yang telah ditulis oleh para sejarawan. Namun ada sedikit perbezaannya di Perak, kerana adalah jelas bahawa Sultan Muzaffar Shah II yang didatangkan oleh Sultan Iskandar Thani sebagai sultan Perak ke-10 adalah warisan benih Melaka dari sebelah pihak perempuan. Baginda juga beristerikan seorang puteri dari benih raja muda Pahang dinasti Melaka. Maka adalah tepat untuk menyatakan Perak adalah waris sah kesultanan Melayu Melaka walaupun hakikatnya dari belah pihak perempuan.

Raja Kecil Siak pula mengasaskan kesultanan Siak. Dan jika benarlah dakwaan baginda ialah warisan langsung dari Sultan Mahmud Shah tetap juga merupakan waris sebelah tanah kerana baginda berketurunan langsung dari zuriat Sultan Ali Jalla Abdul Jalil Shah. Namun jika benarlah Sultan Abdullah Ma'ayat Shah (sultan Johor ke-7 adalah putera kepada Sultan Muzaffar Shah II ( sultan Johor ke-3 ) maka adalah jelas Raja Kecil adalah zuriat langsung Melaka dari sebelah pihak lelaki. Wallahualambissawab.

Dari zuriat Raja Kecil inilah kelak muncul di Perak dan menurunkan jurai keturunan Sultan Ismail Muabidin Riayat Shah ( Sultan Perak ke-25 ). Maka oleh itu tidak hairanlah jika para pembesar Perak pada ketika itu sanggup melantik baginda sebagai sultan atas hakikat baginda tetap waris sah warisan Melaka.

Oleh itu saya masih beranggapan Perak masih lagi warisan Melaka yang sejati juga warisan kepada kerajaan Sriwijaya. Namun dalam bahasa yang lebih halus, menjangkau ke awal abad ke-19, saya mula merasa sangsi dengan status ini kerana merasakan wujud satu aliran baru yang masuk dalam sistem warisan pemerintahan negeri Perak. Aliran inilah kelak yang menyebabkan banyak kekeliruan timbul dan meminggir terus warisan Melaka secara senyap dan berhemah. Kenapa saya menyatakan sedemikian ? .... biarlah bagi mereka yang tahu sahaja mengerti kenyataan ini. Memang di negeri Perak ini warisannya terlalu berjuntaian. Kemana benih Melaka sejati ? Hanya Allah SWT yang mengetahui. Cukuplah sekadar gambar yang berbicara.

Sultan Yusuf Sharifuddin Muzaffar Shah
( sultan Perak terakhir yang dimakamkan 
di tebing mudik kanan Sungai Perak )

Raja Haji Johor Ibni Sultan Yusuf Sharifuddin Muzaffar Shah
( Raja Kechil Tengah ) warisan terakhir 
Sultan Abdullah Muhammad Shah I dalam hieraki kesultanan Perak.
( sumber : sembangkuala )


Al-Fatihah Untuk Sultan Muzaffar Shah II

Saya membacakan Al-Fatihah buat kali yang terakhir di makam tua ini. Kedatangan baginda ke Perak membuktikan betapa setianya para pembesar Perak dalam menaikkan warisan Melaka di sini. Para pembesar Perak terus setia menjunjung duli-duli dari jurai keturunan Melaka dan tidak pernah mahu merampas kuasa. Benarlah agaknya sumpah setia di Bukit Saguntang itu agaknya kerana di negeri Perak yang berdaulat ini ia tidak pernah dicabuli !.

Saya keluar dari kawasan makam dengan perasaan yang lega. Pelbagai cerita bermain di kepala saya namun ia memberikan saya sejuta warna sejarah yang tidak akan berhenti. Petang yang semakin meredup membuatkan saya seolah-olah mahu berlama-lama di makam ini. Namun saya sedar perjalanan ziarah ini mesti diteruskan semula. Saya menghidupkan enjin motosikal dan mula bergerak meninggalkan makam.

Sempat saya menoleh ke arah makam yang sunyi itu ..... terima kasih Sultan Muzaffar Shah II ! Penyelamat warisan yang berjuntaian ! ..... DAULAT TUANKU





































0 ulasan: