Bagi saya semenjak dari kecil sehinggalah ke dewasa ini bila disebut perkataan Layang-Layang maka apa yang terlintas di fikiran hanyalah sejenis permainan tradisi seakan-akan wau yang sangat terkenal bagi kanak-kanak dalam dekad-dekad yang telah berlalu dahulu. Namun tidaklah pula saya menjangka rupa-rupanya jauh di selatan Semenanjung Malaysia ini wujud sebuah pekan kecil yang menggunakan nama Layang-Layang.
Kedudukan arah pekan Layang-Layang
di dalam negeri Johor Darul Takzim.
Perkenalan saya dengan pekan Layang-Layang ini agak lewat dimana ianya mula saya dengari ketika saya mula berjinak-jinak dengan aktiviti menjejaki stesen keretapi lama kira-kira enam tahun dahulu. Ketika itu saya hanya berkunjung ke stesen-stesen keretapi lama di sekitar Perak, Selangor, Negeri Sembilan dan sedikit di negeri Johor sekiranya terdapat kesempatan masa. Namun tidaklah pula saya menjangkakan untuk ke stesen keretapi Layang-Layang. Ini adalah kerana jarak dan masa seakan-akan tidak memberikan saya peluang untuk ke pekan ini. Dan lama-kelamaan ia terus hilang dari ingatan sehinggalah saya kemudiannya berpindah tempat kerja dari Kapit Sarawak ke Batu Pahat, Johor Darul Takzim.
Di Batu Pahat, kehidupan saya disesakkan dengan beban kerja dan kerenah hidup berkeluarga yang begitu rencam. Namun jika ada kesempatan dapat juga saya melakukan beberapa perjalanan kecil ke pekan-pekan lama di negeri Johor yang pada perkiraan saya mempunyai nilai-nilai estetika dan klasik. Fokus sasaran saya ialah pekan-pekan lama yang terletak dalam jajaran landasan keretapi selatan Semenanjung Malaysia. Hal ini adalah kerana pekan-pekan yang terdapat di jajaran landasan keretapi Semenanjung ini masih bersifat unik dan kekal dalam bentuk asalnya. Saya pernah meneroka ke pekan Batu Anam, pekan Buloh Kasap dan pekan Renggam, ternyata ianya mempunyai keunikan yang tersendiri dan mempunyai aura kolonial yang agak kuat berbeza dengan pekan-pekan lain di Johor yang terletak jauh dari landasan keretapi.
Pekan Renggam
Pekan Batu Anam
Hasil dari perjalanan saya ke pekan Renggam tidak lama dahulu, saya telah menetapkan sasaran untuk ke pekan Layang-Layang pula. Semasa perjalanan ke Renggam dahulu, saya tidak dapat meneruskan perjalanan ke Layang-Layang akibat dari masalah cuaca dan masa yang tidak mengizinkan. Ini telah menyebabkan perasaan ingin tahu saya kepada keadaan pekan Layang-Layang menjadi semakin mebuak-buak dan akhirnya pada suatu petang saya mengambil keputusan untuk melakukan perjalanan bersendirian ke pekan Layang-Layang ini dengan menaiki motosikal kapcai baru saya. Dalam diri hanya berdoa agar segalanya dipermudahkan dan cuaca akan membantu saya dalam perjalanan kecil ini... insyaAllah.
Panorama Indah Sepanjang Jalan
Dari Batu Pahat saya menunggang motosikal saya ke bandar Kluang. Alhamdulillah sejak tiga tahun kebelakangan ini saya seringkali juga ke bandar Kluang ini untuk menikmati keenakan kopi dan roti bakar di stesen keretapinya yang terkenal itu. Begitulah juga untuk perjalanan kali ini, saya tetap juga singgah ke stesen keretapi Kluang dan menikmati keenakan kopi dan roti bakarnya.
Roti bakar yang enak di stesen keretapi Kluang
Sebenarnya terasa begitu lama saya tidak melakukan perjalanan bersendirian menaiki motosikal seperti ini. Timbul rasa kerinduan pada zaman-zaman bujang dahulu dimana saya akan bermotosikal ke mana sahaja mengikut kemahuan hati. Tetapi itulah ... ini bukan lagi masa lalu yang dirasa begitu berharga itu. Segalanya sudah berubah dan saya perlu menerimanya sebagai satu pusingan roda kehidupan yang sentiasa berputar hinggalah penamat nyawa saya.
Saya memerhatikan landasan tua di luar stesen keretapi Kluang ini. Khabarnya nanti projek landasan berkembar akan mula dilaksanakan di jajaran landasan selatan Semenanjung ini. Sayu hati ini apabila mengenangkan nasib yang bakal menimpa stesen keretapi tua ini. Adakah ia akan dikekalkan sebagai warisan keramat bandar Kluang atau bakal menerima nasib dirobohkan seperti stesen-stesen tua yang lain di jajaran pantai barat Semenanjung ? Semuanya bagai menusuk-nusuk ke jiwa saya. Adakah suasana klasik seperti ini dapat saya lihat lagi nanti ? Ah .... saya bagaikan mahu mati apabila mengenangkan semua itu !
Mencari Stesen Keretapi Mengkibol
Stesen keretapi Mengkibol
( sumber : zkeretapi.blogspot.com )
Usai menikmati secawan kopi dan dan sepotong roti di stesen keretapi Kluang, saya meneruskan perjalanan ke pekan Layang-Layang. Alhamdulillah, cuaca begitu baik pada hari ini. Tidaklah terlalu panas. Seperti perjalanan ke Renggam dahulu, saya berusaha sekali lagi untuk menjejaki stesen keretapi Mengkibol. Sayangnya, simpang untuk ke stesen keretapi berkenaan masih tidak dapat saya temukan. Sewaktu melakukan perjalanan menaiki keretapi dari Kluang ke Johor Bharu tidak lama dahulu, saya dapat melihat stesen keretapi ini dari dalam keretapi yang bergerak perlahan. Ia sebuah stesen kecil yang penuh dengan sifat klasik. Inilah yang membingungkan saya. Puas saya memasuki beberapa simpang namun tidak berjumpa dengan stesen keretapi Mengkibol. Tetapi itulah bodohnya saya ... ego tidak mahu bertanya kepada masyarakat tempatan. Kesudahannya ... saya yang melepas. Sesuatu yang perlu saya kikis dari jiwa saya selepas ini !.
Puas berpusing-pusing akhirnya saya mengambil keputusan untuk meneruskan perjalanan ke pekan Layang-Layang. Tidak mengapalah, mungkin suatu masa nanti saya akan berkesempatan untuk ke stesen keretapi tua Mengkibol ini. Dari Kluang saya melalui pekan Renggam yang catatan berkenaan pekan ini pernah menghiasi blog ini tidak lama dahulu. Alhamdulillah, respon pembaca terhadap catatan berkenaan pekan Renggam agak memberansangkan. Pekan Renggam menjadi satu batu asas kepada saya untuk mencungkil keunikan pekan-pekan lama yang terdapat di negeri Johor ini. Secara tidak langsung ia memberikan tambahan cerita untuk dikongsikan di dalam blog ini.
Selepas sahaja melewati lintasan rata landasan keretapi di pekan Renggam maka bermulalah perjalanan yang mengasyikkan saya ke pekan Layang-Layang. Melalui jalan yang agak lengang dengan panorama di kiri dan kanan jalan hanyalah ladang kelapa sawit yang menghijau. Sesekali saya dapat melihat rumah-rumah ladang yang mempunyai ciri-ciri binaan yang dibina sejaka zaman kolonial lagi. Masa seakan-akan berhenti disini. Dunia yang terlihat bagaikan menghadiahkan saya dengan pemandangan klasik yang pernah kita rasai dalam tahun 1970an sehingga penghujung tahun 1980an. Tidak keterlaluan untuk saya nyatakan ada rasa ketenangan meresap ke dalam diri ketika ini. Terasa seolah-olah mahu berlama-lama disini. Merasai suatu detik yang sukar dinyatakan oleh bahasa. Saya amat merindui suasana lama seperti ini !
Lintasan rata landasan keretapi di pekan Renggam
Saya lebih selesa menunggang motosikal dalam kelajuan yang perlahan. Cuaca yang meredup dan keadaan jalan yang baik membuatkan saya merasa lebih segar dalam perjalanan. Sesekali saya berselisih dengan beberapa kenderaan lain yang datang dari arah pekan Layang-Layang. Dahulu ketika masih kecil, saya masih teringat suasana jalan lama persekutuan yang begitu mengasyikkan.
Jika mahu ke Kuala Lumpur, perjalanan akan memakan masa yang agak lama. Dari pekan kelahiran saya iaitu Bidor, saya akan melalui pekan-pekan kecil yang mendamaikan seperti Sungkai, Slim River, Pekan Trolak, Tanjong Malim, Hulu Selangor, Rasa dan sebagainya. Di kiri dan kanan jalan hanyalah deretan pokok kelapa sawit dan getah yang menghijau. Sesekali bertemu dengan kampung-kampung tradisi dan hutan-hutan yang merimbun.... namun kini masihkan kita mampu menikmati pemandangan seperti itu ? Masa sebenarnya telah membunuh segala musim kenangan yang pernah kita lalui itu. Tertinggallah kita untuk terus mengenang saat-saat indah itu walaupun ia semakin terhakis dari ingatan.
Selamat Datang Ke Pekan Layang -Layang
Papan tanda pekan Layang-Layang
Setelah hampir 30 minit menunggang motosikal akhirnya saya mula memasuki kawasan pekan Layang-Layang. Saya disambut oleh papan tanda pekan Layang-Layang yang sudah semakin diselimuti oleh dedaun liar. Saya berhenti sebentar di tepi papan tanda ini. Rasanya tidak jauh ke depan saya pasti akan berjumpa dengan pekan Layang-Layang.
Usai mengambil gambar papan tanda tersebut saya meneruskan perjalanan ke hadapan menuju ke pakan Layang-Layang. Terasa tekak begitu dahaga. Kepekatan kopi yang diteguk di stesen keretapi Kluang tadi seolah-olah masih melekat di tekak dan ia menambahkan lagi rasa dahaga. Akhirnya saya mengambil keputusan untuk singgah dahulu ke sederetan rumah kedai yang terletak di pinggir jalan. Mungkin terdapat kedai runcit disitu.
Telahan saya tepat kerana terdapat sebuah kedai runcit disitu. Saya membeli sebotol air mineral kecil. Pekedai runcit India itu tersenyum melihat saya meneguk air itu dengan segera di hadapannya. Dengan tidak semena-mena pekedai runcit itu menegur saya dan menyuruh saya membaca doa dahulu. Aduh ..... malu sendiri saya dibuatnya. Sesekali di dalam perjalanan seperti ini banyak pengajaran dan ilmu yang boleh kita perolehi secara tidak langsung. Hal-hal seperti inilah yang memberikan aroma kemanisan bagi setiap perjalanan yang saya lalui.
Deretan rumah kedai yang sunyi
Saya tidak pula terus bergerak sebaliknya saya berdiri dahulu di hadapan kedai runcit berkenaan. Saya memerhatikan sekeliling. Di seberang jalan raya dapat dilihat rumah-rumah penduduk. Saya melihat di sepanjang rumah kedai sederetan itu. Ternyata kebanyakan kedai-kedai disitu tidak beroperasi. Hanya ada beberapa buah sahaja kedai yang beroperasi termasuk kedai runcit yang saya singgahi ini. Suasana terasa benar-benar sepi. Tidak lama kemudian muncul beberapa orang pelajar sekolah perempuan yang menaiki motosikal singgah di kedai runcit berkenaan. Nampaknya mereka juga sama seperti saya membeli air untuk melepaskan dahaga.
Saya memandang kepada salah seorang daripada mereka. Ah.... manis wajahnya yang bertudung itu. Usia mereka dalam lingkungan 17 tahun atau dalam tingkatan lima. Agaknya mungkin menyedari saya melihatnya, gadis berkenaan melemparkan senyuman yang aneh kepada saya. Senyuman mengejek atau senyuman yang ikhlas ? ... tidaklah dapat saya mengagaknya. Namun sempat juga beliau melambaikan tangannya kepada saya sewaktu meninggalkan kedai runcit berkenaan bersama teman-temannya. Saya melambai membalasnya tanpa sedar. Ah ..... saya sudah terlalu tua untuk hal-hal seperti itu. Tetapi lumrahlah .... saya memang seorang lelaki !
Dari kedai runcit berkenaan saya meneruskan perjalanan menuju ke pekan Layang-Layang. Tidak lama kemudian saya disambut oleh sebuah pekan kecil yang tenang. Pekan Layang-Layang sebenarnya jauh dari apa yang pernah saya bayangkan. Pekan ini lebih kecil dari pekan Renggam. Saya melalui pekan ini perlahan-lahan dan melihat rumah-rumah kedai kayunya yang klasik. Dari pengamatan saya, kewujudan pekan ini adalah didasari oleh pembukaan ladang-ladang getah dan kelapa sawit yang bermula sejak dari zaman penjajahan lagi. Selain itu, faktor perkampungan baru Cina juga menjadi sebab utama kewujudan pekan ini dan hal ini dapat dilihat melalui penguasaan yang jelas dalam bidang perniagaan di pekan ini yang dikuasai oleh etnik Cina.
Suasana di pekan Layang-Layang
Rumah kedai lama
Kebanyakan dari rumah-rumah kedai di pekan ini ditutup. Keadaannya tenang dan sepi. Beberapa orang warga emas duduk bersidai di kaki lima kedai. Walaupun hanya merupakan sebuah pekan yang kecil namun ia adalah sebuah pekan yang agak lengkap. Sebuah pejabat pos kecil dengan binaan gaya lama berdiri kukuh di pinggir pekan ini. Sekurang-kurangnya ia dapat memenuhi keperluan panduduk untuk menyelesaikan bayaran bil-bil utiliti serta mendapatkan perkhidmatan dari kerajaan khususnya seperti pembaharuan cukai jalan kenderaan dan lesen memandu.
Bangunan pejabat pos pekan Layang-Layang
Tidak jauh dari pejabat pos pekan Layang-Layang terdapat sederetan rumah kedai yang menempatkan beberapa buah kedai yang dimiliki oleh orang Melayu. Sayangnya kebanyakan dari kedai-kedai ini menutup operasi. Hairan saya sendiri kenapa kebanyakan kedai di pekan ini menutup operasinya agak awal. Satu perkara yang menarik disini ialah kewujudan sebuah taman kecil yang mungkin menjadi tempat penduduk setempat untuk berekreasi. Walaupun kecil ia memberikan suatu nilai tambah kepada keunikan pekan Layang-Layang.
Sederetan kedai-kedai yang dimiliki oleh orang Melayu
Sebuah taman kecil di dalam
sebuah pekan kecil yang tenang
Sebuah balai polis bagi menjaga ketenteraman awam di pekan ini juga telah dibina oleh kerajaan. Pekan ini juga dilengkapi dengan sebuah klinik kesihatan bagi memberikan akses penjagaan kesihatan kepada masyarakat. Saya yakin kedai-kedai yang terdapat di pekan ini adalah mencukupi bagi memenuhi keperluan harian masyarakat setempat. Bandar besar yang terhampir dengan pekan ini adalah Kluang dan Simpang Renggam.
Balai polis pekan Layang-Layang
Klinik kesihatan di pekan Layang-Layang
Stesen Keretapi Pekan Layang-Layang
Dari pekan Layang-Layang saya membelok ke kiri menuju ke stesen keretapi pekan Layang-Layang. Ianya terletak kira-kira 400 meter dari pekan Layang-Layang. Saya disambut oleh suasana yang sunyi ketika berada di stesen keretapi pekan Layang-Layang ini. Saya meletakkan motosikal saya di kawasan stesen. Di sebelah stesen keretapi ini terdapat kedai menjual makanan. Terdapat sebuah keluarga yang sedang enak menikmati makanan di situ.
Saya mengambil keputusan untuk singgah dahulu di kedai makan berkenaan. Mungkin saya boleh mendapatkan sesuatu di situ. Sebenarnya kedai makan berkenaan terletak dalam sebuah banggunan yang terasing dari stesen keratapi. Namun jika dilihat dari bentuknya, jelas ia adalah banggunan yang dibina untuk kegunaan KTMB. Cuma mungkin fungsinya berubah dan dijadikan kedai makan. Saya duduk tidak jauh dari meja sekeluarga yang sedang menjamu selera itu. Seorang perempuan separuh umur menghampiri saya untuk mengambil pesanan.
Kedai makan di stesen keretapi Layang-Layang
Popia goreng di kedai ini menyelerakan saya !
Pada mulanya, saya tidak mahu menikmati makanan di sini namun apabila melihat anak-anak keluarga di meja depan yang begitu berselera menjamah makanan membuatkan nafsu makan saya membuak-buak. Kesudahannya, saya menempah sepinggan nasi goreng ayam setelah melihat bibir berminyak anak perempuan keluarga berkenaan yang bersusah payah menjilat pinggan hidangannya hingga licin. Di kepala saya cuma satu .... agaknya terlalu sedap.
Saya memerhatikan suasana di kedai makan berkenaan. Terdapat iklan yang menyatakan tentang keenakan popia goreng yang dihasilkannya. Terasa menyesal pula tidak memesan popia goreng yang dikatakan enak itu. Beberapa orang lelaki Cina masuk ke kedai dan memesan popia berkenaan. Ada yang membeli bungkus dan ada yang makan disitu. Dari cara mereka menikmati popia berkenaan betullah agaknya popia berkenaan sedap dan enak. Kecur pula air liur saya. Namun apa lagi yang boleh saya lakukan ... nasi goreng ayam telahpun sampai ke meja saya.
Saya tidak mampu menghabiskan
juadah nasi goreng ayam ini
Itulah kata orang ... nafsu apabila tidak dikawal oleh iman maka jadilah kita seperti daun-daun kering yang ditiup angin. Sudah saya sebutkan tadi, saya sudah menikmati hidangan roti bakar di stesen keretapi Kluang dan pastinya perut saya masih kenyang. Maka makanlah sekadar yang termampu malahan bolehlah dikatakan hanya suku sahaja nasi berkenaan yang dapat saya habiskan. Terasa begitu membazir. Sewaktu mahu membayar harga makanan, hairan makcik yang mengambil pesanan saya tadi. Lantas beliau bertanya adakah rasa nasi goreng ayam itu tidak enak ? .... saya hanya mampu tersenyum dan menjawab mulut saya terkena penyakit ulser yang tidak membolehkan saya makan makanan yang pedas. Saya berbohong .............
Saya berjalan kaki ke stesen keretapi pekan Layang-Layang selepas membayar harga makanan. Saya memerhatikan topi keledar saya yang tidak dikunci di bawah tempat duduk motosikal. Risau juga hati topi keledar itu dicuri orang. Terasa begitu sayang dengan topi keledar merah yang digilap seminggu sekali itu sehinggakan isteri saya sering kali memerli saya supaya tidur sahaja dengan topi keledar itu setiap malam. Keyakinan saya tinggi bahawa topi keledar berkenaan tidak akan dicuri orang.
Sebahagian dari pemandangan
di stesen keretapi Layang-Layang
Saya memerhatikan susasana stesen keretapi kecil ini. Suasananya tenang dan sunyi. Inilah keunikan jajaran landasan keretapi bagi kawasan selatan Semenanjung Malaysia ini. Ia masih mengekalkan identiti asal dan tidak banyak yang berubah. Stesen keretapi kecil ini sebenarnya adalah cerminan dan identiti bagi pekan-pekan kecil seperti pekan Layang-Layang ini. Saya yakin suatu masa dahulu stesen keretapi ini begitu penting kepada para penduduk setempat untuk bergerak ke bandar Kluang atau ke Johor Bharu.
Platform utama stesen keretapi pekan Layang-Layang
Bangunan utama stesen ini diperbuat dari batu dan simen. Pada pandangan saya stesen ini lebih kecil sedikit daripada stesen keretapi pekan Renggam. Sewaktu melakukan perjalanan menaiki keretapi ke Johor Bharu tidak lama dahulu, keretapi yang saya naiki telah berhenti dengan agak lama di stesen ini bagi tujuan perselisihan keretapi yang datang dari arah Johor Bharu. Ini membuktikan bahawa kedudukan dan peranan stesen kecil ini tetap juga penting terutama bagi tujuan perselisihan antara keretapi.
Sewaktu melakukan perjalanan menaiki keretapi
ke Johor Bharu, keretapi yang saya naiki berhenti sebentar
di stesen keretapi Layang-Layang bagi tujuan
perselisihan antara keretapi.
Saya meniti kawasan platform utama stesen ini. Terasa begitu asyik disini. Kawasan persekitaran stesen keretapi ini dijaga dengan begitu baik dan ditanam dengan pepohon bunga bagi menambahkan serinya. Saya memerhatikan ke sebarang landasan terdapat beberapa pohon kelapa dan pisang. Teringat saya kepada suasana di stesen keretapi Segamat yang pernah saya jejaki dahulu. Masihkah ada lagi pohon kelapa yang menghiasi latar belakang suasana stesen keretapi Segamat itu ? ... saya berdoa semoga ia masih ada.
Terasa tenang berada disini
Ketika memerhatikan suasana stesen keretapi berkenaan saya ditegur oleh salah seorang kakitangan stesen yang begitu ramah. Kesempatan ini saya gunakan untuk meminta kebenaran mengambil gambar persekitaran stesen berkenaan. Kebelakangan ini saya agak risau untuk mengambil gambar di kawasan stesen keretapi. Terdapat larangan untuk merakamkan gambar di kawasan stesen keretapi. Namun tidak pula saya dapat memastikan kenapa larangan seperti itu dikuatkuasakan.
Seperti biasa perkara pertama yang menjadi keutamaan saya apabila berada di stesen keretapi ialah untuk mengambil gambar papan tanda stesen. Alhamdulillah, disini saya masih berkesempatan untuk melihat papan tanda lama bewarna putih itu. Papan tanda ini walaupun agak lama namun masih teguh dalam menghadapi cabaran cuaca yang tidak menentu. Inilah keunikan sebenar papan tanda lama seperti ini.
Papan tanda lama stesen keretapi Layang-Layang
Kerusi-kerusi lama buat penumpang
menunggu keretapi
Masih ramaikah penumpang naik dan turun keretapi
dari stesen tua ini?
Jadual perjalanan keretapi yang singgah ke stesen ini
Saya duduk melihat landasan keretapi di hadapan. Ini petang yang sangat menenangkan. Saya bungkam sendirian mengenangkan nasib yang bakal berlaku kepada stesen ini tahun hadapan apabila projek landasan berkembar elektrik akan mula dilaksanakan pada jajaran landasan kawasan selatan. Adakah stesen ini akan dikekalkan atau ia bakal dirobohkan ?.... Ah... saya sebenarnya masih terkesan dengan kehilangan stesen-stesen keretapi di jajaran pantai barat terutamanya di negeri Perak. Ia membuatkan saya begitu beremosi di stesen keretapi pekan Layang-Layang ini. Namun sebagai seorang yang waras sejujurnya saya sudah mula dapat menerima setiap pembaharuan dan tidak semestinya perkara yang baharu itu akan merosakkan segalanya yang bersifat lama itu.
Terasa enak duduk disini sehingga saya terlupa hari semakin petang dan saya perlu bergerak pulang ke Batu Pahat. Seronok mengelamun memikirkan tentang kenangan-kenangan lalu yang begitu indah dan tentu lebih indah jika isteri saya juga turut bersama ketika ini. Ketika mahu melangkah pulang, saya ditegur lagi oleh kakitangan stesen tadi. Sempat juga kami berbual sebentar. Menurutnya tidak lama dahulu pernah berlaku satu kebakaran besar yang melibatkan banyak rumah penduduk di kawasan berhampiran stesen ini. Semenjak kebakaran itu kawasan berkenaan ditumbuhi semak samun.
Pekan Layang-Layang dari arah stesen keretapo
Saya melihat motosikal saya dan bersyukur kerana topi keledar saya masih di tempatnya. Sebelum bergerak, sempat juga saya melambaikan tangan kepada kakitangan stesen keretapi yang begitu ramah itu tadi. Saya meneruskan perjalanan jauh ke hadapan mencari masjid untuk bersolat Asar. Tidak lama selepas itu saya singgah di masjid jamek pekan Layang-Layang untuk bersolat. Usai bersolat saya bergerak ke hadapan lagi dan dari kejauhan dapat dilihat binaan rumah-rumah kedai baru di kiri jalan. Nampaknya pekan Layang-Layang akan berwajah baru dan saya yakin inilah permulaan era baru untuk pekan Layang-Layang. Rumah-rumah kedai disini lengkap dengan segala kemudahan termasuk dengan perkhidmatan perbankan. Secara tidak langsung peranan pekan lama Layang-Layang pasti sedikit demi sedikit akan terhakis dan mati tanpa sedar.
Masjid jamek pekan Layang-Layang
Jambatan Keretapi Yang Istimewa
Panorama indah sebuah jambatan besi
landasan keretapi
Dalam perjalanan pulang saya singgah dahulu untuk melihat keunikan sebuah jambatan keretapi yang begitu istimewa ciri-ciri binaannya. Besar kemungkinan jambatan ini telah dibina sejak dari zaman penjajahan British lagi di Malaysia. Jika kita perhatikan dengan secara lebih teliti, kebanyakan jambatan landasan keretapi yang terdapat disemenanjung Malaysia ini diperbuat dari bahan keluli. Hanya bahagian tapaknya sahaja yang diperbuat dari batu batan yang disusun cantik.
Terdapat sebatang jalan melalui di bawah
jambatan besi tersebut.
Bayangkan bagaimana suasana ketika
keretapi melalui di atas jambatan ini.
Bagaimanapun binaan dan susunan batu bata yang menjadi tapak kepada jambatan keluli adalah begitu mengagumkan. Ianya disusun dengan teliti dan kemas sehingga ia menjadi begitu kukuh dan tahan sehingga kini. Adalah tidak menghairankan berat keretapi yang menjangkau beribu-ribu tan itu dapat ditampung oleh jambatan keretapi seperti ini. Ia sebenarnya adalah satu teknologi kejuruteraan yang begitu hebat bagi zaman itu malahan pada perkiraan saya sehingga ke hari ini.
Perhatikan susunan batu bata yang menjadi
tapak kepada jambatan keluli... ia disusun kemas dan
kukuh !
Namun ... mampukah jambatan ini untuk kekal ketika landasan keretapi berkembar sudah mula mengeluarkan ngaumannya ? ... saya berharap jambatan ini terus kekal sebagai saksi kepada peri pentingnya perkhidmatan keretapi di Malaysia dari dahulu sehingga kini.
Sebuah hasil kejuruteraan yang hebat pada
abad yang lalu
Saya tidak mahu berlama-lama di jambatan ini. Saya tidak mahu memikirkan tentang nasibnya di tahun 2016 nanti. Biarlah catatan ini nanti mungkin menjadi catatan terakhir tantang kewujudan sebuah jambatan keluli dan sebuah stesen keretapi kecil di sebuah pekan yang semakin sepi dan usang. Mungkin nanti akan ada yang bernostalgia dengan kesemua ini ketika ia sudah tiada ditelan zaman yang berubah. Ia tetap akan meninggalkan kita.
Saya bergerak pulang dan berharap dapat kesini semula nanti. Bukan sekadar untuk membeli semula kenangan tetapi untuk berdakapan kembali dengan sebuah pekan yang masih berdenyut nadinya walaupun ke penghujung.
Penutup
Begitu sukar untuk menulis catatan berkenaan dengan pekan Layang-Layang ini. Semuanya bagaikan bersatu dalam keadaan yang bungkam. Masa semakin mencemburui kehidupan pekan Layang-Layang dan stesen keretapinya yang pikun itu. Nun di tahun 2016, terdengar dengan jelas gelak ketawa kemodenan yang semakin galak. Mampukah kita menolak semua itu ?
Ini adalah perjalanan yang begitu membekas di jiwa saya. Ia membeli semula saat-saat manis pada suatu masa yang telah lama berlalu. Mungkin bagi mereka di luar sana, tidak ada apa-apa yang boleh diberikan oleh sebuah pekan kecil bernama Layang-Layang ini. Namun bagi yang merindui nostalgia petang yang damai di sebuah pekan kecil yang tenang ... maka di sinilah tempatnya.
Ia sebuah pekan dengan sebuah stesen keretapi tua yang berjalan dengan senyuman yang tidak pernah pudar dek zaman. Saya mengerti ... ia sedang membilang detik-detik penamatnya ketika jantung hatinya sebuah stesen keretapi tua yang pikun dibunuh dengan kejam oleh kemodenan.... ia mengerti jasanya akan berakhir. Pekan Layang-Layang .... saya menikmati petang yang manis di dadamu !
9 ulasan:
nice travel back in time,tempat ni mcm Malim Nawar
mengapa baru kini..
perpisahan kau pinta..
dariku yang mengharapkan..
titis airmata.. membasahi di pipi..
menahankan.. kesedihan..
dalam kehampaan..
diriku keseorangan..
tanpa..teman..bicara..
inikah kesetiaan..
yang pernah kau lafazkan..
waktu..kita..bersama..
This is my hometown. Thanks brother.
Saya pernah duduk di layang layang semasa kecil dahulu sekitar tahun 1973 hingga 1976. Ayah saya bertugas sbg "station master" di stesyen keretapi layang layang. Byk kenangan kami di sana...
Saya di layang2 1972 hingga 1985. Sekolah skpl. Siapa nama ayah saudara?
Semasa kecil saya tinggal di sini dari tahun 1967 - 1972. Ayah saya seorang anggota polis. Tahun 1973 kami sekeluarga berpindah ke KL. Walaupun kini usia sy telah mencecah 58 tahun, namun saya masih selalu pergi ke sana, dengan harapan untuk bertemu dgn kawan2 semasa kecil. Malangnya kawan2 yg masih menegenali sy di sana telah meninggal dunia.Namun begitu , sy yg merupakan pesara guru, dengan ditemani oleh isteri (juga pesara guru) masih terus mengunjungi pekan bersejarah ini, dengan harapan untuk bertemu dengan rakan2 lama dahulu. Walaupun berepa kali sya mencuba namun masih belum menemui mereka
insyaAllah Tuan. Semoga usaha dipermudahkan. Amin
Al-Fatihah untuk Allahyarham abah, Hj. Ab. Halim bin Sohot (telah kembali ke rahmatullah 24 Sept 2019 yang lalu) yang pernah bertugas sebagai Station Master di Stesen Keretapi Layang-Layang (1976-1989). Buat yang mengenali, bagi pihak arwah, saya mohon ampun dan maaf atas segala salah silapnya sekiranya ada..mohon halalkan makan dan minumnya jua. Banyak kenangan yang terpahat di sini, yang dengan izinNya tak akan dilupakan.. Disinilah kami membesar.. di rumah kuarters, di sisi landasan keretapi.. Moga berpeluang menjejaki kenangan di Layang-Layang suatu hari nanti. In shaa Allah.
Takziah kepada keluarga Al-marhum Master haji abd halim,arwah baik orangnya,belasan tahun baru saya kenal arwah,saya lahir 1989 di brek ktm layang
.
terima kasih hafiz j halim atas sharing yang diberikan, alhamdulilah sajiman popiah di beri namanya sempena pengasas popiah di layang2,kantin sudah tiada,yang Ade kenangan2 membekas di jiwa sanubari
.
alhamdulilah kami membesar di kantin ktm layang2 kenangan yang panjang terpahat di hati ini,kalau datang layang2 Cari la sajiman popiah
.
Waze je
FB Sajiman popiah
.
insyaallah tuan2 akan kembalikan nostalgia gerai persegaran kembali
Post a Comment