BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

.

Photobucket

Saturday, February 12, 2011

Kembara Pekan Terpencil 4 : Pekan Temoh

Daerah Batang Padang dalam negeri Perak Darul Ridzuan sebenarnya masih menyimpan pelbagai tinggalan pekan-pekan kecil yang mungkin wujud sejak zaman penjajahan British di Tanah Melayu. Pekan - pekan ini walaupun kelihatan tua dan usang tetapi sebenarnya menyimpan banyak kisahnya yang tersendiri. Bangunan-bangunan lama yang masih teguh berdiri di pekan-pekan ini seolah-oleh memanggil-manggil diri saya untuk meneroka khazanah lama yang entah bila akan musnah di makan oleh binatang yang bernama kemodenan.




Saya meneroka ke kawasan utara daerah Batang Padang bagi melawat pekan -pekan lama yang masih tersisa. Pekan yang saya lawati kali ini ialah pekan Temoh. Bagi pengguna jalan persekutuan dari Tapah menghala ke Kampar sudah pasti akan melalui  pekan Temoh yang sunyi dan kusam. Dengan bangunan kedai tua di kiri dan kanan jalan sudah pasti ia bukan pilihan bagi pemandu-pemandu untuk berhenti rehat kecuali jika ingin mengisi petrol.

Temoh mungkin wujud dari ledakan kegiatan perlombongan bijeh timah di Tanah Melayu pada suatu ketika dahulu. Majoriti penduduknya adalah orang Melayu dari suku Rawa, Mendailing, Jawa, Perak dan lain - lain lagi. Saya sampai di pekan ini ketika waktu sudah hampir menunjukkan jam 3 petang. Suasananya tidak banyak yang berubah dan tetap sama seperti dahulu. Walaupun terletak di jalan persekutuan namun peranan  dan kepentingan pekan Temoh dibatasi oleh pekan Tapah dan bandar Kampar. Ini menyebabkan rumah-rumah kedai di sini lebih banyak yang kosong dan sepi.

Panorama pekan Temoh
 

Bangunan kedai ... lebih banyak yang kosong dan sunyi
di pekan Temoh.

Sebahagian dari panorama pekan Temoh

Apa yang menarik perhatian saya di pekan ini ialah kewujudan beberapa buah bangunan yang pada saya agak unik dan klasik. Salah satunya ialah sebuah Dewan Orang Ramai yang turut menjadi pejabat Majlis Daerah Tapah cawangan Temoh. Bentuk binaanya agak klasik. Namun keadaannya agak uzur. Saya yakin bangunan dewan ini banyak berjasa kepada penduduk Temoh. Saya kurang pasti sama ada dewan ini masih digunakan atau tidak. Namun jika dilihat suasana kiri dan kanan dewan ini yang kusam .... sukar bagi saya menjangkakan hayatnya untuk beberapa tahun akan datang.

Dewan Orang Ramai pekan Temoh...
usang dimamah masa

Dahulu ayah saya selalu juga ke pekan Temoh untuk bergunting rambut. Kata ayah, di Temoh cara guntingannya amat memuaskan hatinya kerana ia masih lagi dilakukan secara lama seperti di masa-masa mudanya. Menurut ayah lagi, dia amat suka menikmati waktu bergunting rambut dalam masa yang agak lama berbanding tukang gunting rambut moden yang dilihat mengunting rambut pelangganya dengan pantas. Saya tercari - cari kedai gunting rambut yang ayah maksudkan. Risau hati saya jika kedai gunting rambut tua itu sudah habis ditelan zaman. Syukur .... dari seberang jalan saya dapat melihat sebuah kedai gunting rambut lama di dalam sebuah kedai yang usang. Dapat dilihat dua orang pelanggan menunggu giliran untuk bergunting rambut. Ia membuatkan saya berfikir sejenak ..... berapa lama lagi kedai runting rambut ini mampu bertahan mendepani cabaran kemodenan.... sukar saya memberi jawapan.
 

Sebuah kedai gunting rambut tua ....
Klasik yang tidak terbeli dengan Ringgit Malaysia !!!!

Sebuah lagi bangunan yang menarik lensa kamera saya ialah sebuah rumah kedai yang agak terpisah jauh dari bangunan kedai utama pekan Temoh. Ianya terletak di pinggir jalan menghala ke pekan Temoh Stesen. Bangunan ini menempatkan dua buah rumah kedai. Salah satunya ialah kedai pemborong getah dan bijih timah. Memandangkan kini Bijih Timah sudah tidak dilombong secara aktif di negeri Perak, saya pasti kedai ini sudah tidak beroperasi lagi. Namun dari tingkapnya yang terbuka, dapat dilihat gambar-gambar lama ( hitam putih ) tergantung di dindingnya .... ia sebuah bangunan yang seolah - olah ingin bercerita sejarah lamanya kepada saya.. ia sunyi dan sepi.

Sebuah bangunan kedai tua yang sunyi dan sepi


Sebuah pejabat pos lama juga terdapat di pekan ini. Ia sebuah bangunan kayu yang cantik. Saya memang suka meninjau keadaan pejabat pos apabila sampai ke sesuatu kawasan. Pejabat pos Temoh agak unik. Mungkin inilah satu-satunya nadi perkhidmatan bagi penduduk Temoh melunaskan bayaran bil-bil elektrik dan air.

Pejabat Pos pekan Temoh

Hampir setengah jam saya mundar mandir di pekan Temoh. Suasana petang yang redup membuatkan saya merasa sayu. Banyak perkara yang bermain di fikiran saya tentang pekan Temoh. Bila memikirkan tentang keadaan rumah kedai lama yang kosong dan kemungkinan dirobohkan bagi perluasan jalan persekutuan, saya bimbang pekan Temoh akan menjadi sebuah tempat yang bernama namun pekannya tiada. Temoh bukan pekan yang besar dan secara beransur-ansur saya melihat Kampar dan Tapah sudah mula berjaya membunuh kepentingan pekan ini dari penduduk-penduduknya sendiri.

Saya bergerak meninggalkan pekan Temoh menuju ke satu lagi pekan tua yang sedang menanti saat matinya iaitu pekan Temoh Stesen. Ia akan saya catatkan dalam koleksi akan datang ....  Di Temoh .. saya menjumpai sesuatu yang bernilai .... cerita ayah tentang bergunting rambut dan balada sebuah rumah kedai yang sepi. Ianya tersimpan rapi dalam lubuk hati dan pemikiran saya. Bila bersendirian begini .... melihat gambar pekan-pekan tua ini ... saya mudah menjadi sayu mengenang satu zaman yang tidak pernah saya lalui !!!!!





2 ulasan:

Anonymous said...

Salam sdr,

Pekan Temoh ini mengembalikan nostalgia lama krn saya telah berkhatan disebuah klinik desa disini..

Dlm thn 80-90an dulu terdapat kedai mkn yg famous disini (Kedai Abg Wan)& penjual lemang yg menjual lemang disini sepanjang tahun..(kalau tidak salah saya)..

terima kasih saudara kerana mengingatkan kemabali nostalgia lama..

hafez j malim said...

salam Anon
... terima kasih sudi berkunjung ke laman blog perkongsian ini. inilah sahaja bantuan yang dapat saya berikan dalam mengembalikan sejuta satu kenangan pekan-pekan lama kepada yang bernostalgia dengannnya. Alhamdulillah..catatan -catatan ringkas berkaitan pekan-pekan lama dalam negeri Perak yang pernah saya ulas sebelum ini mendapat sambutan dari para pencinta nostalgia lama. semoga apa yang sdra pernah lalui di pekan Temoh ini kekal menjadi satu momen yg indah sampai bila2 insyaAllah