BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

.

Photobucket

Sunday, March 25, 2012

CATATAN SEBUAH BUKU : MEMOIR PERJUANGAN POLITIK SYED HUSIN ALI



Sekadar Cerita Awal

Ketika mula-mula melihat saya membeli buku ini di kedai buku MPH Lapangan Terbang Antarabangsa Senai, terus isteri saya menjeling sambil tersenyum kepada saya. Dengan suaranya yang lembut Azura bertanya buku apa yang saya beli ?.... jawab saya ringkas sahaja …
           
“Buku memoir Syed Husin Ali…bekas naib presiden PKR”.

Lama Azura memandang saya kemudian dia berkata seolah-olah ingin menguji saya.

“Hai…biar betul ni …. Pelik jadinya bila orang hardcore UMNO tiba-tiba membaca buku orang PKR ni.. hahahahaha”

Ketawa Azura membuatkan saya menjadi senang. Hilang segala penat penerbangan selama dua jam dari Sibu ke Senai yang menyakitkan telinga saya. Azura memang pandai mengusik saya dengan jenakanya yang ringkas. Sudah menjadi lumrah bagi pasangan suami isteri yang berjauhan bila dapat berjumpa sekali sekala begini memang segala kerinduan yang terpendam dilepaskan dengan usik mengusik dan senda gurau.

Saya tidak menjawab usikan Azura itu. Saya hanya tersenyum sambil jari saya mencubit lengan tangannya yang montok itu. Saya sebenarnya begitu gembira dan teruja sebaik sahaja dapat membeli buku memoir ini. Syed Husin Ali adalah salah seorang ahli politik Malaysia yang sangat saya hormati dan sanjungi walaupun beliau berada dalam kem politik yang berbeza. Sejarah pembabitannya yang panjang dalam Parti Rakyat Malaysia ( PRM ) merupakan salah satu punca saya mengagumi beliau. Ini mungkin juga ada kaitan dengan kesukaan saya terhadap fahaman sosialis yang selalunya dikaitkan sebagai sandaran ideologi PRM oleh kebanyakan rakyat Malaysia( walaupun selepas tahun 1990, PRM tidak meletakkan sosialis sebagai ideologi parti ).

Ah… saya tidak peduli tentang soal politik apabila membaca buku memoir ini. Apa yang penting bagi saya ialah cerita tentang orang yang bernama Syed Husin Ali, siapakah beliau dan benarkah beliau seorang yang berpegang teguh dengan aliran sosislisme itu ?… di buku ini segalanya terjawab dengan jelas dan benar tanpa ada berselindung.

Siapa Syed Husin Ali ?


Syed Husin Ali

Jika ditinjau secara rambang dikalangan majoriti ahli masyarakat Malaysia, kebanyakannya lebih mengenali Syed Husin Ali sebagai ahli politik berbanding dengan peranannya sebagai seorang ahli akademik bertaraf profesor, sebagai salah seorang pengasas Universiti Kebangsaan Malaysia atau sebagai seorang pejuang Bahasa Melayu. Namun hakikatnya, lewat sebelum beliau menjadi seorang “hamba politik”, beliau adalah seorang cendekiawan Melayu yang hebat malahan ketokohannya sebagai ahli akademik melangkaui sempadan atarabangsa.

Ketika beliau menjadi Presiden PRM pada tahun 1990, jawatan beliau adalah Profesor di Jabatan Antropologi dan Sosiologi Universiti Malaya. Malahan beliau banyak memberi ucaptama dan membentang kertas kerja dalam seminar-seminar antarabangsa.



Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung ( GPMS )

Namun sesuatu yang pasti ialah sikap beliau terhadap idea sosialis dan Melayu. Saya lebih  merasakan, Syed Husin Ali lebih kuat perisa Melayunya daripada idea sosialisme. Oleh itu tidak hairanlah jika tesis atau karangan-karangan awalnya lebih tertumpu pada hal permasalahan orang-orang Melayu itu sendiri. Antara karangannya yang terkenal ialah Pimpinan Melayu Kampung dan Masalah Orang Melayu dan Masa Depannya. Cuma apa yang dapat disimpulkan ialah sikapnya terhadap sosialis adalah sederhana sahaja malahan beliau lebih senang menyertai Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung ( GPMS ) dan Persatuan Bahasa Melayu Universiti Malaya ( PBMUM ) ketika zaman mahasiswanya dari menyertai Kelab Sosialis yang dikatakan begitu diminati oleh ramai mahasiswa pada masa itu. 


Parti Rakyat Malaysia


Ketika beliau menjadi tenaga akademik di Universiti Malaya barulah jelas hala politik beliau apabila beliau menyertai PRM yang diasaskan oleh Allahyarham Datuk Ahmad Boestaman. Hal ini mungkin berlaku dari hubungannya yang baik dengan tokoh-tokoh sosialis ketika itu seperti Dr. Tan Chee Khoon, Dr Rajakumar dan Kassim Ahmad. Walaupun beliau pernah dijemput untuk menyertai UMNO namun demikian beliau menolaknya dengan baik atas alasan beliau sama sekali tidak menyetujui cara dan dasar UMNO. Setelah beberapa pimpinan PRM ditahan melalui Akta Keselamatan Dalam Negeri ( ISA ) beliau dan beberapa tenaga muda telah mengambil alih kepimpinan PRM. Antara nama besar yang dicatatkan bersama dengan beliau ialah Kassim Ahmad, Hasnul Hadi, Sanusi Othman dan Halim Ali.

Penubuhan Universiti Kebangsaan Malaysia


Logo lama Universiti Kebangsaan Malaysia

Inilah jasa dan sumbangan yang terbesar Syed Husin Ali kepada agama, bangsa dan negara Malaysia ini. Beliau menceritakan dengan jelas didalam buku ini tentang perbincangan beliau dengan sahabatnya Dr Rajakumar mengenai betapa pentingnya usaha mendesak kerajaan membina sebuah “Universiti Kebangsaan” sebagai puncak kepada sistem pendidikan kebangsaan yang menggunakan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar.

Logo UKM kini

Alhamdulillah berkat usaha dan idea dari Syed Husin Ali dan beberapa orang tokoh seperti Abu Bakar Hamid, Zainal Wahid, Ghazali A.Rahman, Tengku Shamsul dan Zain Majid, Universiti Kebangsaan Malaysia telah tertubuh dan terus kekal abadi sehingga kini melahirkan ribuan ilmuwan yang berjasa kepada negara. Nama keenam-enam tokoh ini termasuk Syed Husin Ali akan tetap kekal abadi sebagai pengasas UKM sehingga ke akhir zaman. Sejarah tidak akan menipu perkara ini…InsyaAllah.

Kegiatan Sebagai Penulis

Syed Husin Ali juga mempunyai hubungan yang cukup baik dengan sasterawan serta penulis – penulis terutamanya dikalangan anggota ASAS 50 seperti Usman Awang. Selain itu beliau juga merupakan seorang penulis yang sangat baik dan prolifik. Malahan namanya turut tercatat didalam buku WAJAH ( diterbitkan oleh DPB dan saya ada menyimpan buku ini yang dicetak pada tahun 1981 ) Buku ini merupakan himpunan direktori senarai 100 orang penulis prolifik Malaysia. Menerusi hubungan yang baik ini beliau dan beberapa orang penulis telah mengusulkan penubuhan Persatuan Penulis Nasional ( PENA ) pada tahun 1961.


Allahyarham Dato' Usman Awang

Antara perjuangan PENA yang begitu berjaya ialah menegakkan hakcipta atau “copyright” penulis untuk mendapatkan bayaran royalti yang munasabah. Selain itu PENA juga berjuang mendesak kerajaan bagi memperkenalkan Undang-undang Hak Cipta. Beliau juga turut menceritakan tentang bantuan PENA dalam penubuhan Gabungan Penulis Nasional ( GAPENA ) yang kemudiannya nanti menyebabkan berlakunya persaingan antara kedua-dua badan penulis itu di kemudian hari.

Syed Husin Ali bukan lah seorang sasterawan walaupun ada beberapa kali menghasilkan cerpen di Berita Harian. Beliau hanya menulis buku-buku yang membincangkan masalah sosial dan bersifat akademik. Antara buku-buku karangan beliau ialah Sosial Stratification in Kampung Bagan, Apa Erti Pembangunan, Malay Rural Society and Leadership, Orang Melayu : Masalah dan Masa Depan dan banyak lagi yang tidak sempat disenaraikan.

Aktivis Sosial dan Politik

Sebagai orang politik, Syed Husin Ali adalah begitu lali dengan sepak terajang politik. Beliau pernah ditahan dibawah Akta Keselamatan Dalam Negeri ( ISA ) selama beberapa tahun namun itu tidak melemahkan keyakinannya dalam membela nasib rakyat bawahan. Dinyatakan juga didalam memoir ini beliau agak kurang selesa dengan pertukaran nama PRM ( Parti Rakyat Malaya ) kepada PSRM ( Parti Sosialis Rakyat Malaysia ) ketika era Kassim Ahmad sebagai presiden.

Dinyatakan juga kegiatan-kegiatan beliau ketika menjadi pensyarah bersama-sama dengan mahasiswa yang sentiasa turun padang dalam membela rakyat yang tertindas. Kegiatannya bersama PRM agak terbatas ketika Akta Universiti dan Kolej Universiti ( AUKU ) dilaksanakan memandangkan beliau adalah kakitangan akademik UM.

Namun demikian bagi seorang ahli politik veteran Malaysia yang mempunyai nama yang cukup besar, saya agak merasa begitu dukacita kerana Syed Husin Ali tidak pernah berjaya menjadi Ahli Dewan Rakyat ( Ahli Parlimen ) walaupun beberapa kali mencuba dalam pilihan raya umum. Hal ini mungkin parti yang dipimpinnya PRM ialah sebuah parti kecil dan kurang pengaruh. Ketika bersama PKR turut dinyatakan beberapa peristiwa yang menyebabkan cadangan pencalonannya di Kota Bharu Kelantan ketika PRU 2008 ditolak. Namun Syed Husin Ali seorang pejuang politik berjiwa besar. Beliau bukan seorang yang tamakkan kuasa dan pangkat dalam membela rakyat… itu sekadar pandangan peribadi saya.

Segalanya agak berubah apabila beliau dilantik menjadi Senator di Dewan Negara walaupun beliau agak sukar menerima jawatan tersebut. Namun kehadirannya di Dewan Negara memberikan sejuta satu penghargaan kepada usaha dan penat lelahnya dalam politik sekaligus memberikannya lebih suara untuk membela rakyat bawahan.

Kesimpulan

Saya tidak kisah dengan pandangan orang lain kepada saya berkenaan dengan sanjungan saya kepada Syed Husin Ali. Buku Memoir Perjuangan Politik Syed Husin Ali ini sepatutnya dibaca oleh setiap rakyat Malaysia tanpa mengira latar belakang politik.

Buku ini sekurang-kurangnya memberikan kefahaman kepada kita tentang ideologi sosialis dan peranannya dalam perkembangan negara kita dari sebelum merdeka sehingga kini. Syed Husin Ali juga memberikan penghargaan kepada beberapa tokoh besar yang semakin hari semakin luput dari ingatan kita antaranya Aziz Ishak ( Bekas Menteri Pertanian pertama Tanah Melayu ), Ishak Haji Muhammad ( Pak Sako ), Ahmad Boestamam, Dr.Burhanuddin Helmi dan ramai lagi yang boleh kita temui namanya dalam buku kecil ini.


Allahyarham Encik Aziz Ishak
( Mantan Menteri Pertanian Pertama Tanah Melayu )

Trio pejuang kemerdekaan Melayu
Dari kiri Alahyarham Ishak Haji Muhammad ( Pak Sako ), Allahyarham Dr.Burhanuddin Helmi 
dan Allahyarham Abdullah Sani Bin Raja Kecil ( Ahmad Boestamam )

Bila membaca buku ini seolah-olah kita kembali ke satu zaman dimana setiap ideologi menjadi pesaing politik yang begitu hebat walaupun kita tahu di akhirnya pemenangnya akan ditentukan dengan cara yang buruk dan busuk.

Syed Husin Ali….namanya akan tetap dikenang sepanjang zaman. Jasanya kepada begitu besar dan saya akan sentiasa mengenang Syed Husin Ali sebagai seorang sosialis yang berjiwa nasionalis tulen. Itulah …Syed Husin Ali…dan saya tetap ahli UMNO yang berjiwa sosialis !!!!


TERIMA KASIH SYED HUSIN ALI !!!

Rujukan

Memoir Perjuangan Politik Syed Husin Ali ( SIRD ) Syed Husin Ali 2012 Petaling Jaya

Hari Itu Sudah Berlalu ( Utusan Publication & Distributors SDN BHD ) Zainuddin Maidin 2011 Kuala Lumpur

WAJAH BIOGRAFI  SERATUS PENULIS ( DBP ) Bahruddin Zainal, Safian Hussain, Sarah Sadon, A.M Thani 1981 Kuala Lumpur


0 ulasan: