BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

.

Photobucket

Saturday, March 31, 2012

Hafez J.Malim Menziarahi Makam Sultan Melaka di Pagoh

Ada Cerita Yang Tidak Dimengerti

Sebenarnya catatan ini sepatutnya disiarkan lebih awal di blog ini. Namun demikian hati dan perasaan saya memaksa saya untuk menangguhkan dahulu penulisan ini walaupun perjalanan ke selatan yang melibatkan tiga buah tempat iaitu Rompin, Gemas dan Pagoh telah dilakukan pada awal bulan Januari yang lalu. Saya sendiri tidak mengerti mengapa perasaan sedemikian tiba-tiba menjelma di hati. Agaknya ada sesuatu yang perlu saya tunggu dan lihat sebelum memulakan penulisan catatan ini... Wallahualambissawab.

Kemangkatan Yang Mengejutkan

Sewaktu saya sibuk membeli sedikit keperluan masakan untuk anak-anak murid saya pada hari Jumaat ( 30 Mac 2012 ) yang lalu saya dikejutkan dengan panggilan dari emak di Bidor yang menyatakan berita kemangkatan Raja Kechil Sulong Perak, Raja Dato' Seri Ashman Ibni Sultan Azlan Shah akibat asma. Mulanya sukar juga mempercayai berita ini, namun setelah diselidiki di internet barulah saya percaya baginda telah mangkat.

YAM Almarhum Raja Ashman Ibni Sultan Azlan Shah
Raja Kechil Sulong Perak Darul Ridzuan
Semoga Allah SWT merahmati Roh Baginda

Termenung juga saya apabila memikirkan tentang berita ini. Raja Dato' Seri Ashman sebenarnya masih muda. Malahan baginda masih merupakan waris terhampir kepada takhta Kesultanan Perak Darul Ridzuan menerusi jawatannya sebagai Raja Kechil Sulong ( Jawatan ke-5 tertinggi dalam sistem penggiliran takhta negeri Perak ). Namun secara tiba-tiba, di fikiran saya mula terlintas beberapa perkara yang saling berkaitan dengan peristiwa kemangkatan ini.... lama saya berfikir dan akhirnya saya mula yakin untuk menulis catatan ini. Ilham bagaikan mencurah-curah masuk ke kepala saya. Saya tidak perlu lagi menangguhkan penulisan ini !!!!

Ke Pagoh Bersama Isteri


Pada cuti sambutan tahun baru Cina yang lalu ( pertengahan Januari ) saya berkesempatan menziarahi ke makam Sultan Alauddin Riayat Shah di Pagoh, Johor Darul Takzim. Makam ini merupakan satu-satunya makam Sultan Melaka yang diakui wujud di Malaysia. Kebetulan isteri saya bekerja di Batu Pahat jadi secara tidak langsung ia memudahkan diri saya untuk ke makam ini yang terletak tidak jauh juga dari bandar Batu Pahat.

Sewaktu kunjungan ziarah makam ini, isteri saya Azura baru sahaja disahkan berbadan dua. Mulanya saya merasa agak ragu-ragu juga untuk pergi ke makam ini ditambah pula dengan keadaan kesihatan Azura yang kurang baik. Namun, Azura isteri yang baik. Beliau berkeras mahu menemani saya walau apa pun yang terjadi. Terpaksa la saya membawa beliau sekali walaupun hati saya agak berat.

Memandu mengikut gerak hati

Kami sampai ke makam ini ketika matahari sudah meninggi. Saya memang tidak tahu arah dan lokasi makam ini di Pagoh. Saya cuma mengikut naluri dan gerak hati sahaja. Kesudahannya saya dan isteri saya tersesat sampai ke Lengga dan kami terpaksa berpatah semula. Syukurlah setelah bertanya kepada pekerja stesen minyak Petronas di pekan Pagoh barulah kami memperolehi laluan yang sesuai untuk ke makam ini.

Papan tanda makam Sultan Alauddin Riayat Shah di Pagoh

Makam ini terletak agak tinggi di atas bukit dan bersebelahan dengan sebuah masjid. Makam ini terjaga dan diliputi dengan kain kuning. Selain dari makam baginda terdapat juga sebuah makam lain bersebelahan di dalam sebuah kepuk yang sama. Alahamdulillah impian saya untuk menziarahi makam ini terlaksana juga akhirnya. Selama ini saya hanya mampu mendengar dan membaca cerita-cerita orang tentang makam ini. Kini ia di depan mata saya. Teruja saya melihat batu nesan Acheh yang menjadi tanda ke pada makam Sultan Alauddin Riayat Shah ini. 

Hafez J.Malim bergambar berhadapan bangunan makam 
Sultan Alauddin Riayat Shah

Dua buah makam di dalam satu kepuk

Batu nisan makam

Sedikit maklumat berkenaan dengan Sultan Alauddin Riayat Shah 1 ini ialah baginda merupakan Sultan Melaka yang ke tujuh dan memerintah tahun 1477 hingga ke tahun 1488. Sejarah menyebutkan baginda sebagai seorang Sultan yang amat soleh dan warak. Sesetengah pendapat mengatakan baginda telah mencapai taraf wali Allah.  Baginda juga terkenal sebagai seorang Sultan yang adil dan sangat mengambil berat kebajikan rakyat. Malahan baginda dikatakan selalu keluar malam dan menyamar sebagai rakyat biasa semata-mata ingin menjaga keselamatan rakyat Melaka. 

Azura di papan tanda makam.

Namun demikian riwayat hidup baginda adalah terlalu misteri. Dikatakan kemangkatan baginda adalah dipercayai disebabkan oleh perbuatan khianat. Baginda telah bermukim di Kampung Raja Pagoh ini dan mangkat disini. Allah SWT itu maha berkuasa... makam Sultan yang mencapai taraf wali Allah ini dipelihara dengan baik dan akan sentiasa dikunjungi oleh penziarah. Al-Fatihah untuk baginda.

Sebagai catatan tambahan, cucunda baginda Sultan Muzaffar Shah 1 merupakan sultan pertama bagi kesultanan Melayu Perak. Zuriat keturunan baginda masih lagi berkerajaan dan memerintah Perak sehingga ke hari ini. Almarhum Raja Kechil Sulong Perak Raja Dato' Seri Ashman Ibni Sultan Azlan Shah tidak syak lagi merupakan waris keturunan baginda. Mungkin itulah sebabnya saya merasakan catatan ini punya kaitan yang jelas antara marhum berdua ini. Benar juga kata hati ini supaya saya menunggu sehingga waktu yang sesuai bagi mengulas catatan ini.




Saya dan isteri bergerak meninggalkan makam ini sebelum hampir waktu Zohor. Saya yakin suatu hari nanti sudah pasti saya akan kesini semula. Ini kali pertama saya membawa isteri saya menziarahi makam-makam lama. Risau juga hati saya dengan kesihatan Azura. Syukurlah sehingga kini Azura masih sihat dan segar walaupun kandungannya sudah masuk ke bulan ke empat.


Penutup


Ada teman-teman yang pesimis dengan kesukaan saya mengunjungi makam-makam lama ini. Mereka menyatakan saya gila dan melakukan kerja yang sia-sia. Saya hanya tersenyum dan tidak memberikan apa-apa reaksi. Apa yang ingin saya katakan disini ialah saya adalah peminat sejarah negara kita. Selain itu saya amat berminat dengan sejarah kesultanan Perak yang amat panjang dan terlalu banyak rahsia-rahsianya. Kadangkala, fakta sejarah yang ada pada hari ini perlu kita nilai dan cari semula isinya. Banyak yang telah diseleweng atau disalah ertikan.

Mungkin dengan cara berziarah ini beberapa perkara yang samar-samar tentang diri, sejarah keluarga dan salasilah dapat diterangkan dengan jelas.... hanya Allah SWT sahaja yang mengetahui niat saya. Saya hanya berusaha .... dan segalanya saya kongsikan.. jumpa lagi dalam catatan akan datang...





7 ulasan:

thomas said...

Baguslah sekarang dah ada teman tak payah pergi seorang2,
masa kat Labuan saya ada melawat makam seorang ulamak bernama Syarif Kedah setelah nampak gambar dia tergantung di banyak rumah org tempatan.

hafez j malim said...

tuan thomas... erm.. bgs juga tu tuan dah bagitahu saya tentang seorng tokoh yg jarang diketengahkan... jika saya ke labuan nnt boleh lah saya melihat makam berkenaan... terima kasih atas info

Al Mahadaya said...

tuan hamba berikan fakta yg salah kerana sultan azlan syah bukanlah keturunan asal dari kesultanan melaka. beliau hanyalah anak angkat yg tiada darah raja. kebanyakan sultan yg ada kini bukan
berdarah raja jd tidak menghairankan tiada daulat.

hafez j malim said...

Assalamualaikum Al-Mahadaya..
Hamba bermohon maaf sekiranya fakta yang hamba berikan itu salah. Hamba juga ada terdengar perkara yang sama. namun demikian, adat hamba ini sebagai insan yang lemah dan jahil. hanya Allah SWT yang mengetahui setiap rahsia yang tersirat. hamba bersikap berkecuali dan menerima setiap pendapat namun pada masa yang sama hamba tetap mengunakan fakta yang telah tersurat dedepan mata sekian lama. Biarlah Allah SWT yang menentukan segalanya. Hamba beraharap pihak Tuan Al-Mahadaya menerima pendapat hamba ini.

arifz said...

sye juga mcm abg,sye suke pegi tmpt2 sjrh x kire mlm or siang,ujan atau pnas,,,rmai kate sye ni mmbosankan xpi stiap manusia ade minat msing2...ssye minat pi mkm2 lama,n suke tgok batu nisan acheh

hafez j malim said...

salam Arifz....
begitulah sifatnya bila sudah datang minat dan kehendak sukar bagi diri kita untuk meninggalkannya... sudi2 kan lah berkunjung keblog saya... insyaAllah akan ada sesuatu yang boleh kita kongsikan

m.johar 1977 said...

Assalammualaikum saudara. Bagaimana saya boleh menghubungi saudara?