BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Monday, August 30, 2010

SELAMAT HARI KEMERDEKAAN MALAYSIA KE-53


Saya Hafez J. Malim mengucapkan selamat menyambut Hari Kemerdekaan Kali ke-53 untuk semua rakyat Malaysia yang singgah berkunjung ke blog ini. 

Semoga kita semua dapat terus mempertahankan kemerdekaan ini untuk diwariskan kepada anak - anak kita nanti. Kuatkan ikatan perpaduan antara kita dan jangan lah kita terus berbalah dalam perkara - perkara yang merugikan.

Al-Fatihah kepada pejuang - pejuang kemerdekaan yang telah berpulang menghadap ilahi. Semoga roh mereka dicucuri rahmad dan ditempatkan di tempat yang terbaik. AMIN

 1 MALAYSIA MENJANA TRANSFORMASI

MERDEKA !!!! 

Sunday, August 22, 2010

SUMPAH MELAYU !!!!!!!!!!!!!

Ya Allah Ya Tuhan ku ..... selamatkan lah bangsa Melayu dan sekalian peribumi yang berada di negara kami ini. Kuatkan lah kami dengan kesatuan dan keteguhan perpaduan antara kami. Jauhkan segala fitnah dan sengketa yang akan membawa kepada kemunduran dan penjajahan baru kepada kami...

Ya Allah yang maha mengetahui akan segala kesusahan leluhur kami yang terdahulu dalam mendapatkan kemerdekaan... tempatkan lah mereka di tempat yang terbaik dan suburkan lah semangt mereka dalam jiwa kami dan keturunan kami nanti. Kami bangsa Melayu dan peribumi bermohon kepada Mu ya Allah semoga pemimpin - pemimpin kami bersatu dan berjuang bersama menegakkan agama Islam dan kekuatan bangsa Melayu. Amin Yarabbal Alamin.


HIDUP MELAYU 

Tuesday, August 17, 2010

Pak Lang Yang Razali Berpulang Ke Rahmatullah

Hari ini seorang lagi bapa saudara saya di Bidor berpulang ke Rahmatullah. Allahyarham Pak Lang Yang Razali merupakan sepupu kepada ayah saya Jahauddin Bin Ismail namun hubungan kami agak erat memandangkan kami tinggal sekampung dan tambahan pula hubungan keluarga kami sememangnya rapat. Arwah semasa hayatnya merupakan pesara Jabatan Pengairan dan Saliran ( JPS ). Secara peribadi saya begitu amat terkesan dengan berita pemergian beliau ke Rahmatullah. Masakan tidak saya sempat berjumpa dan makan bersama dengan beliau di Restoran Kari Kepala Ikan Nordin Bidor. Banyak juga yang kami bualkan dan dari pengamatan saya ketika itu memang Arwah sudah agak uzur. Teringat lagi dalam ingatan betapa susahnya beliau menyuap mee goreng mamak sesudu demi sesudu di hadapan saya. Hati jadi sebak.

Arwah pada saya merupakan seorang lelaki yang sangat baik. Tutur katanya lembut dan perlahan. Seumur hidud saya tak pernah langsung dimarahi oleh beliau. Selain itu arwah juga merupakan seorang tukang rumah yang sangat halus mutu kerjanya bersama seorang lagi arwah bapa saudara saya iaitu arwah andak Li Bin Ismail. Arwah Pak Lang juga sempat menunaikan Haji dan merupakan seorang yang selalu ke "melesah " ( surau ) untuk berjemaah. Sewaktu saya bekerja memproses santan di Pasar Bidor sering kali beliau datang ke tempat saya bekerja untuk membeli kelapa dan berbual mesra dengan saya. Semua nya terikat kemas di ingatan saya.

Semoga roh Allahyarham ditempatkan bersama dengan orang - orang yang beriman di sana. Semakin lama semakin terhakis jumlah orang - orang tua di kampung saya. Saya sendiri juga tidak tahu bila akan mengikuti jejak mereka... selalu saya beringat bahawa kematian itu sesuatu yang hampir...insyaAllah saya akan menyusul.  AL-FATIHAH





Tuesday, August 10, 2010

Salam Ramadhan Al-Mubarak

Saya Hafez J.Malim  mengucapkan Selamat Berpuasa kepada semua umat Islam yang singgah bertandang ke blog saya ini. Semoga kita beroleh manfaat dan keberkatan di bulan Ramadhan yang mulia ini.


Diriwayatkan daripada Abu Sa'id Al-Khudri Radhiallahu 'anhu berkata, aku mendengar Nabi Shallallahu 'alaihi wasallam bersabda: Maksudnya: "Barangsiapa yang berpuasa sehari pada jalan Allah nescaya Allah akan menjauhkan mukanya dari api neraka (sejauh perjalanan)
70 tahun." 
 
(Hadith riwayat Bukhari)

Friday, August 6, 2010

Mengingat Teman - Teman Dan Mereka Yang Sudah Berpulang

Perkampungan Barzakh


Ramai teman - teman saya sejak kecil dan mereka - mereka yang pernah ada dalam kehidupan saya sudah berpulang menemui Tuhan. Kelmarin saya bermimpi berjumpa dengan seseorang yang sudah lama berpulang. Tiba - tiba muncul rindu yang halus kepadanya. Segala kenangan lama muncul kembali di ingatan. Bangun sahaja dari tidur terus saya membilang dan menghitung .... baru tersedar sudah ramai yang pergi dahulu sebelum saya. Erti kematian itu membuatkan saya sedar bahawa kematian itu terlalu dekat dengan kita.

Sejak berada di Sarawak ini ramai orang - orang yang pernah bersama saya berpulang dahulu. Ini menyebabkan saya mula terasa sebak yang mendalam. Di kalangan hali keluarga besar saya juga sudah ramai yang pergi. Orang - orang tua di kampung kelahiran saya ramai yang sudah tiada. Makin berkurang dan semakin menipis jumlah generasi - generasi lama.  Teman - teman juga ramai yang bertambah namun sesekali terdengar juga khabar pemergian mereka. Di pagi yang hening ini saya sedekahkan Al-Fatihah kepada  roh mereka - mereka yang telah berpulang dahulu. 

Moga aman dan sentosa selalu di sana. Tunggu saya di sana. Saya akan menyusul kalian bila tiba masanya. InsyaAllah ...




Sunday, August 1, 2010

PERGI BERKURSUS

Catatan perjalanan Hafez J.Malim sepanjang Kursus Orientasi Jurulatih Utama Kurikulum Standart Sekolah Rendah ( KSSR ) Pendidikan Khas Tahun 1 2010  bertempat di Hotel Grand Continental Kuching Sarawak dari 26 Julai hingga 29 Julai 2010.

Saya menggantikan penyelaras PPKI saya untuk pergi berkursus di Kuching bermula dari 26 sehingga 29 Julai 2010. Agak berat juga hati ini untuk pergi memandangkan beban kewangan yang akan ditanggung oleh saya nanti sepanjang perjalanan. Namun perasaan ini membentak menyuruh saya supaya pergi ..... sekurang - kurangnya dapat berjalan ke tempat orang. Selain itu saya juga ingin mencari pengalaman baru. Kesukaan saya terhadap perjalanan berseorangan membuatkan saya menjadi tekad untuk pergi ke kursus ini. Mujur juga ada jaminan dari teman lama di Kuching yang akan membantu sepanjang saya berada di Kuching... terima kasih untuk sahabat saya Muhammad Faizal Bin Keliwon.

Ahad ( 25 Julai 2010 )

Saya bergerak ke Sibu pada hari Ahad ( 25 Julai 2010 ) dan bermalam di Hotel Perdana Inn semalaman. Kredit untuk Cikgu Kuek Bon Siau dan Cikgu Tang atas bantuan mendapatkan tiket bot ekspress saya ke Kuching. 
 Isnin ( 26 Julai 2010 )

Saya memulakan perjalanan saya ke Kuching dengan menaiki bot ekpress Bahagia dari Terminal Penumpang Sibu tepat jam 11.30 pagi. Ini merupakan pengalaman pertama saya menaiki bot ekpress ke Kuching. Perjalanan mengambil masa 5 jam dan melalui sungai dan laut. Seronok menaiki bot ekspress kerana para penumpang boleh bergerak ke dek bot untuk menikmati pamandangan sepanjang perjalanan.

Saya bergambar ketika bot ekpress berhenti di Jeti Tanjung Manis ( atas ). 
Manakala gamabar bawah panorama yang dapat dilihat sewaktu perjalanan

Bot ekspress saya melalui beberapa bandar dan pekan di sepanjang sungai. Antara bandar yang dilalui adalah Bintanggor, Sarikei dan Tanjung Manis. Ia suatu pengalaman yang cukup mengujakan hati saya. Tepat jam 5 petang bot ekpress yang saya naiki memasuki perairan Kuching dan berlabuh di Jeti Pending. Saya mendapatkan teksi yang terus membawa saya ke tempat penginapan dan berkursus iaitu di Hotel Grand Continental Kuching.

Hotel Grand Continental Kuching Sarawak

Saya tinggal sebilik dengan Cikgu Casidy Bosco dari Kanowit. Beliau begitu ramah dan merupakan sahabat yang begitu baik kepada saya sepanjang kami berkursus. Sebagai catatan elok lah saya coretkan di sini bahawa saya merupakan perserta termuda dalam kursus ini. Tidak ada perkara menarik di hari pertama cuma pada malamnya saya di bawa ke pasar malam Satok oleh Cikgu Casidy. Pertama kalinya saya menikmati mee kolok yang sangat terkenal di Kuching dan rasanya boleh tahan. Sayangnya saya terlupa untuk mengambil gambar suasana pasar malam Satok dan mee kolok ini!!!!!!!

Selasa ( 27 Julai 2010 )

Hari pertama saya berkursus dan didedahkan dengan perkara - perkara baru tentang pendidikan khas. Saya juga berkesempatan berkenalan dengan ramai teman - teman guru baru dari Sabah dan Sarawak. Terjalin satu ikatan yang erat antara kami. Kemampuan saya bertutur dalam Bahasa Iban sedikit membantu saya untuk lebih rapat dengan guru - guru Sarawak. Ternyata mereka dapat menerima kehadiran saya dengan baik walaupun sebelum itu saya amat risau memikirkan penerimaan mereka terhadap saya terutamanya bagi guru - guru yang senior.

Kursus ini dikendalikan sepenuhnya oleh Sektor Pendidikan Khas Bahagian Pengurusan Kurikulum Kementerian Pelajaran Malaysia. Agak terkejut juga saya apabila diberitahu peserta - peserta kursus ini seterusnya akan dilantik menjadi Jurulatih Utama ( JU ). Hal ini terasa begitu berat memandangkan saya baru 2 tahun dalam bidang perguruan ini.

Pada waktu petang pula saya dibawa oleh Cikgu Casidy ke kedai mamak.... inilah kali pertama saya ke kedai mamak sejak menjejakkan kaki ke bumi kenyalang ini. Terlihat sahaja menu yang ditawarkan tertera juadah murtabak ayam sudah terliur saya dibuatnya.. tidak sampai 5 minit murtabak ayam sudah berada di dalam perut saya... hahahahahaha

Menikmati murtabak ayam pertama di bumi kenyalang

Rabu ( 28 Julai 2010 )

Hari ke tiga dalam kursus. Saya sudah mula mempunyai teman - teman di sini. Selain Cikgu Casidy saya juga agak rapat dengan Cikgu Awang Kesuma dan Cikgu Henry. Melalui pembentukan kumpulan saya berkenalan dengan cikgu - cikgu pendidikan khas yang jauh lebih senior dan berpengelaman seperti  Cikgu Aman, Cikgu Railan, Cikgu Hasinah, Cikgu Railan dan Cikgu Haifa. Mereka begitu baik dengan saya walaupun saya agak kurang berbual namun saya lah yang selalu menajdi bahan usikan mereka sehingga kadang kala kami ketawa terbahak - bahak terutama apabila berlaku hal - hal yang melibatkan masalah bahasa.

Hafez J.Malim bersama teman - teman sekursus.

Saya juga berkesempatan menimba ilmu daripada beberapa orang pensyarah di Institut Pendidikan Guru Malaysia ( IPGM ) antaranya ialah Encik Yusuf dari IPGM kampus Batu Lintang Sarawak dan Tuan Haji Rahim dari IPGM kampus IPDA Kedah. Segala jasa dan ilmu yang diperturunkan akan saya hargai sampai akhir hayat.

Pada petangnya kami diberi pelepasan oleh jawatankuasa kursus untuk melakukan aktiviti bebas. Saya menagmbil kesempatan ini untuk berjalan - jalan dan menemui sahabat lama saya di UPSI iaitu Cikgu Faizal yang kini mengajar di SSN Tabuan Jaya. Sudah hampir dua tahun kami tidak bertemu. Inilah pertemuan pertama kami sejak mula mengajar di Sarawak ini. Sesuatu yang menarik ialah dia semakin kurus dan saya pulak semakin gemuk. 

Simbol dan kebanggaan bandaraya Kuching

Khamis ( 29 Julai 2010 )

Hari terakhir untuk kursus ini... hati sudah mula terasa sebak namun semuanya dilalui dengan tenang. Pertemuan itu sudah pastinya akan ada perpisahan. Itu sesuatu yang lumrah. Perasaan saya bercampur baur hari ini. Kerinduan kepada seseorang yang amat saya sayangi menyusul dengan tiba-tiba sebaik sahaja berita beliau akan bertunang terlegar di ruang maya. Namun saya buang jauh-jauh perasaan itu dengan segera. 

Majlis penutup berjalan dengan sederhana namun cukup bererti bagi saya sebagai seorang guru muda. Dilantik sebagai Jurulatih Utama ( JU ) melalui watikah perlantikan yang terhulur membuatkan saya akur dengan tugasan yang akan saya tempuh terutamanya di daerah pedalaman Kapit. Sejuta penghargaan kepada Encik Mustamam, Puan Sazlina Cheah, Puan Shahida dan kakitangan Bahagian Pembangunan Kurikulum KPM yang bertungkus lumus memberikan yang terbaik sepanjang kursusu ini berlangsung.

Buat teman-teman guru pendidikan khas dari seluruh Sabah dan Sarawak yang jauh datang ke Kuching demi kursus ini kalian adalah pejuang tanpa nama yang akan terus meningkatkan taraf pendidikan anak bangsa khususnya di Borneo ini. 

Kenangan di akhir kursus

Dari kiri : Cikgu Aman Bujang, Cikgu Casidy Bosco, 
Cikgu Awang Kesuma, Cikgu Henry dan Hafez J.Malim

Guru - guru Pendidikan Khas dari Sabah bergambar
kenangan dengan Kakitangan BPK


Tepat jam 12 tengah hari secara beransur kami mula meninggalkan tempat berkursus. Saya tertinggal sendirian lagi menunggu teman datang mengambil. Waktu yang terluang saya habisi dengan berbual bersama teman - teman guru yang masih tinggal. Pada ketika itu terasa hati begitu sayu dan ingatan lama pada seseorang kembali bermain di hati. Mujur juga air mata ini tidak mengalir. 

Jam 2.30 petang teman saya Cikgu Faizal datang menjemput saya di hotel. Saya bermalam di rumahnya malam ini. Rumahnya agak selesa dan luas. Teman lama di UPSI dahulu iaitu Cikgu Alias juga tinggal bersama dengannya. Syukur dan bangga melihat perkembangan teman - teman di Kuching. Miliki kereta besar dan tinggal di bandaraya begitu menyeronokkan. Bila melihat diri sendiri..... saya sedar saya serba serba kekurangan. 

Pada malamnya Faizal membawa saya makan di tepi tebingan sungai Sarawak ( water front ). Ia sebuah kedai makan yang unik kerana dibuat berasaskan sebuah rumah. Mengikut kata teman - teman nama tempat itu Barok. Makanan yang dihidangkan agak enak dan saya amat berselera makan nasi ayam penyek !!!! Sesuatu yang menyeronokkan ialah kawasan berkenaan kegiatan ekonominya adalah dikuasai oleh orang Bumiputra. Seronok melihat sebuah perkampungan moden Melayu yang lengkap. Saya sempat membeli kek lapis sebagai oleh - oleh kepada kawan - kawan dan anak - anak murid saya di Kapit.

Berjalan di tebingan Kuching bersamaTeman lama di UPSI  
Cikgu Faizal ( kiri ) dan Cikgu Alias ( kanan )

Menikmati makan malam yang enak di
Restoran Barok bersama teman - teman

Memilih kek lapis Sarawak

Jumaat ( 30 Julai 2010 )


Ini hari terakhir saya di Kuching. Saya akan bergerak ke Sibu pada jam 11.30 pagi dengan menaiki bas. Perjalanan akan mengambil masa 8 jam lebih bergantung kepada kelajuan bas. Saya bangun tidur agak lewat dengan teman - teman sudah pun bergerak mengajar. Tinggal lah saya sendirian di rumah mereka. Jam 10.30 pagi Faizal pulang untuk menghantar saya ke terminal bas Kuching.

Berat hati ini bila mengenangkan faktor jarak perjalanan ini namun digagahkan juga hati ini demi sebuah pengalaman. Berpisah saya dan Faizal di terminal ini. Masih terngiang lagi kata - kata Faizal saat ketika sebelum bergerak pulang.......

" Jangan serik untuk datang ke Kuching lagi Fez "

Saya tersenyum pahit. Jarak dan waktu membatas dan mencacatkan pergerakan saya di sini. Perjalanan 8 jam saya tempuh dengan hati yang basah. Sepanjang perjalanan hati saya menangis mengenang seseorang yang kini telah tiada.... namun ia sedikit sebanyak terubat bila melihat pemandangan sepanjang perjalanan.

Bas yang membawa saya ke Sibu selama 8 jam !!!!

Saya sampai ke Sibu tepat jam 7 malam. Perjalanan yang memenatkan seluruh tubuh saya. Sesampainya di Terminal Bas Sibu, pemandu teksi saya Uncle William sudah menunggu dengan tersenyum. Ketawa beliau melihat saya yang kepenatan. Tidak habis - habis dia membebel pada saya marahkan saya menaiki bas balik ke Sibu. Saya hanya tersenyum.... ada juga yang sayangkan saya di sini..hehehehehe. Saya bermalam di Victoria Inn. Berehat sebentar sebelum perjalanan pulang ke Kapit esok hari.

Sabtu ( 31 Julai 2010 )

Bangun awal pagi bersolat subuh dan terus ke terminal penumpang Sibu untuk mendaptkan tiket bot ekspress. Syukur alhamdulillah masih ada tiket untuk saya. Saya mengambil kesempatan dahulu untuk membeli belah di Sibu. Beberapa perkara tempahan teman - teman dari Kapit saya unruskan dengan kadar yang segera. Tiba - tiba hati saya melonjak - lonjak untuk mencari jaket hitam. Tak kuasa melayan lagi kehendak hati maka saya membeli jaket hitam serta menempah tanda nama dan logo KPM pada jaket berkenaan sebagai tanda kenang - kenangan saya. Melayang juga RM100... namun pada saya agak berbaloi.

Jaket hitam

Bot ekspress saya bergerak dari Sibu jam 12.30 tengah hari dan sampai di Kapit jam 3.30 petang. Cikgu Syukri sudah menanti di terminal penumpang Kapit. Seronok dapat berkumpul dengan rakan - rakan semula. Segala kenangan semasa perjalanan akan sentiasa terpahat di hati ini sampai bila - bila ke akhir usia insyaAllah.

Penghargaan kepada :

1.  Cikgu Kuiek Bon Siau dan Cikgu Tang untuk tiket bot ekspress ke Kuching
2.  Cikgu Hatisham untuk ingatan dan bantuan sepanjang di Kuching
3.  Cikgu Nicklas untuk perhatian sepanjang kursus
4.  Cikgu Casidy, Cikgu Awang Kesuma dan Cikgu Henry 
5.  Kakitangan BPK KPM Putrajaya
6.  Uncle William Teksi atas leteran
7.  Peje Keliwon, Alias dan Hafiz atas segala bantuan semasa saya di Kuching.
8.  Ayah dan emak atas doa keselamatan anak mu
9.  Sape - sape je la termasuk orang yang aku sayang yang kini tiada lagi atas mesej - mesej ingatan

SEMUA TERANGKUM DALAM KENANGAN


Friday, July 23, 2010

KESIBUKAN

Makin lama makin sibuk aku di Kapit ini... sudahnya badanku menjadi lesu dan merah. Agaknya kurang vitamin C kata teman - teman. Aku tidak tahu semua itu. Yang penting kerja mesti dibereskan selalu. Ditengh sibuk yang mencengkam itu... tiba - tiba muncul ilham puisi.... bunyinya agak aneh. Tapi terus tertulis sendiri....  KESIBUKAN

PUSING DEMI PUSING
MAKIN MENJAUH AKU BERJALAN
MAKIN LELAH INJAP TUBUH
MAKIN BERDAKI KULIT HITAMKU

LUBANG DEMI LUBANG
BELUM KU TEMUI LAGI
SISA - SISA TENAGA LAMA
BUAT PENGUAT
URAT - URAT HIJAU
YANG MAKIN BERKEDUT

BINATANG DEMI BINATANG
YANG BERNAMA MALAS
PELIKNYA MAKIN MENJAUH
HILANG DITELAN
KABUS SIBUK
YANG TAK PERNAH HENTI
SELAGI AKU MENDAPAT GAJI !!!!!!


 

Sunday, July 11, 2010

PPKI SMK KAPIT : LAWATAN MERENTAS PEMBELAJARAN KE MUZIUM KAPIT


Ia suatu lawatan yang ringkas dan mudah.Tanpa menggunakan modal namun serasa begitu beerti pada diri saya sebagai seorang guru. Pada 6 Julai 2010 bersamaan dengan hari Selasa yang lalu PPKI SMK Kapit telah menjalankan aktiviti merentas pembelajaran ke muzium Kapit. Seramai 15 orang pelajar dari tingkatan 1 khas dan tingkatan 2 khas terlibat dalam lawatan ini. Selain itu lawatan ini turut disertai oleh saya sendiri, Cikgu Merum Amba, Cikgu Rosman ( Penyelaras PPKI ), Puan Sylvia dan Puan Entia.

Kami cuma bergerak dengan berjalan kaki sahaja ke Muzium Kapit. Ini adalah kerana jarak muzium berkenaan dengan sekolah adalah lebih kurang 600 meter sahaja. Sesuatu yang menarik mengenai lawatan ini ialah rasa keterujaan para pelajar untuk melihat sendiri sejarah Kapit. Saya sendiri mersakan lawatan ini berupaya menanamkan minat yang tinggi kepada pelajar terhadap matapelajaran sejarah ( kebetulan saya mengajar subjek sejarah ). Selain itu pelajar juga akan mengtahui sedikit sebanyak mengenai sejarah bahagian Kapit dan sejarah kaum Iban itu sendiri yang menjadi majoriti di sini.

Sebelum lawatan mesti pakai kad OKU dahulu

Berbaris sebelum memulakan perjalanan

Kami bertolak dari sekolah pada jam 9.35 pagi dan sampai ke muzium Kapit kira - kira 15 minit kemudian. Kami disambut oleh petugas muzium yang begitu ramah dan sabar melayan kerenah anak- anak PPKI yang aktif. Namun demikian lensa kamera saya tidak dapat merakan suasana di dalam muzium berkenaan kerana peraturan nya yang melarang sebarang aktiviti mengambil gambar di dalamnya.

Apa yang menariknya ialah pelajar - pelajar saya bukan sahaja melihat bahan pameran tetapi mereka juga bertanya soalan - soalan yang pada saya agak baik juga lahir dari pemikiran mereka. Ini dapat dilihat ketika melalui ruangan haiwan - haiwan yang telah diawetkan terus mereka bertanya bagaimana haiwan yang sudah mati dapat terus kekal seperti sedia kala tanapa ada kerosakan. .... mujur juga pemikiran sains saya masih mampu menjawab soalan mereka itu. Ketika melalui bahagian yang mempamerkan keunikan etnik orang Ulu terutamanya kaum Kenyah maka si Jeffery Sang lah yang menjadi rujukan mereka ini kerna dia satu - satunya peserta lawatan yang berasal dari suku Kenyah. Saya juga berkesempatan menerangkan tokoh - tokoh utama bagi kaum Iban terutamanya Temenggung Tun Jugah ( semoga Tuhan memberkatinya ) yang sangat saya hormati. Beliau tokoh  dari negeri Sarawak yang bersama - sama membentuk dan membina negara Malaysia ini.
Tunku Abdul Rahman ( kiri ) bersama dengan Tun Jugah

Sesuatu yang lucu juga berlaku sewaktu lawatan ini. Namun kelucuan itu sebenarnya menyebabkan saya merasa bangga. Seorang pelajar saya bernama Dalan Ak Suring ( Tingkatan 1 Khas ) dengan bersahaja bertanya kepada saya kenapa di muzium ini tiada hal atau bahagian yang menceritakan tentang sejarah Melaka. Saya terkedu sebentar. Dikatakannya lagi saya pernah menyatakan kepada mereka sewaktu pelajaran sejarah, sekiranya kita hendak mengkaji sejarah maka kita perlu melawat ke muzium dan kini dia dilihat cuba mempraktikkan apa yang diajar oleh saya di sini ( kebetulan sewaktu lawatan ini saya masih lagi mengajar bab-bab berkenaan Sejarah Kesultanan Melayu Melaka ). Perlahan saya katakan padanya...

     " Nanti jika panjang umur murah rezeki...kita akan melawat Muzium Negara di Kuala Lumpur... di sana kamu boleh melihat sendiri sejarah kesultanan Melayu Melaka.. di sini kita belajar dahulu dengan sejarah Kapit dan nenek moyang kita sendiri "

Dia akur dan tersenyum. Di dalam hati saya pula penuh dengan kekesalan .... bagaimana nasib kami di sini. Kami PPKI yang jauh di pedalaman .... kepedulian terhadap kami langsung tiada.

Menjelang jam 11 pagi kami beransur-ansur bergerak meninggalkan muzium Kapit dengan hati dan jiwa kami yang tersendiri. Bagi saya seorang guru pendidikan khas yang jauh di sini .... hati dan jiwa saya semakin luluh. Namun saya masih belum mengalah. Anak - anak murid saya adalah sebahagian dari hidup saya. InsyaAllah selagi terdaya saya akan cuba meningkatkan lagi PPKI SMK Kapit supaya setanding dengan program - program pendidikan khas lain di seluruh negara. Bagi guru - guru  PPKI di bandar .... lihatlah kami di sini selalu. Kekurangan yang membesarkan kami. Kami tidak pernah cemburu dengan kesenangan kalian.

Sebuah lawatan yang mudah namun berbekas di hati. Saya semakin sayu. Usaha tidak berhenti. Semoga ada sinar di hujung kepulangan saya nanti. Di Kapit.... hati masih disini.... SAYANGKU TIDAK PERNAH PUDAR WARNANYA.....

 Bergambar kenangan di perkarangan Muzium Kapit
( Hafez J.Malim berdiri kanan sekali berbaju merah )




Wednesday, June 30, 2010

Rindu

Katakanlah rindu yang halus
pada sayangnya yang makin bisu
mungkin ia dapat membeli
secangkir kata - kata 
yang telah lama tersimpan
dalam kotak batu hatinya

Aku yang menjadi air
tidak lagi goyang
di atas daun keladi
kerana di tanah berpasir itu 
telah bersemadi rasa sayangku
yang jatuh disentap tangan cintamu
kelmarin

Pergi sahaja ke sana
di tepi longkang kenangan berbau itu
aku bisa tenang dan bahagia
namun mungkin sebentar sahaja
kerana rasa rindu
pada diri mu tebal
makin menghimpit longkang kenanganku
lalu berdaki dan berkelodak
teramat kuning !!!!

Rindu
aku tahu
kau dicipta Tuhan
untuk aku menginsafinya

hari demi hari
detik demi detik
sampai aku mati !!!!!!



Monday, June 21, 2010

Kembali Ke Kapit

Agak berat dan terasa janggal di hati ini apabila ingin pulang semula ke Kapit setelah hampir 3 minggu berada di Bidor. Sepanjang berada di kampung halaman ingatan pada Kapit hanyalah terlintas  sekali sekala sahaja dalam fikiran ini.... itu pun bila teringatkan soal bebanan kerja yang tidak habis - habis. di sekolah Itu memang lumrah bagi perantau seperti saya.

Namun semuanya itu harus dibuang jauh - jauh dari benak hati ini. Sememangnya sejak zaman sekolah lagi saya memang teruja apabila tibanya hari cuti. Selalunya dihari akhir cuti sekolah saya akan berkubang dengan semahunya di sungai bersama sepupu dan teman - teman. Kadang kala ada juga kami menembak ikan dan membakar ikan di tepi sungai ( biasanya hari terakhir cuti ). Ini membuatkan hati ini bertambah berat lagi untuk meninggalkan hari terakhir cuti berkenaan. Ia suatu pengalamn yang mengasyikkan untuk dikenang apatah lagi di hari dewasa ini. Sesekali saya akan pergi melawat sungai keriangan kami dahulu... namun kini segalanya sepi. Tiada lagi hilai ketawa riang gembira. Anak - anak zaman ini lebih menyukai kafe cyber !!!!!

Kini saya kembali semula ke Kapit. Tugas semakin menimbun. Sehingga tidak tercukupan masa meladeninya. Ia suatu yang rutin bagi seorang guru. Kadang - kala hati terfikir ingin menjadi kanak - kanak semula. Tiada terfikir soal hidup dan semuanya adalah indah yang permai. Ini masa untuk merasa sunyi dan saya tidak suka begini selalu......

sunyi itu sakit

 

Tuesday, June 8, 2010

Sebuah Catatan : BIDOR

 Pekan Bidor

Cuti Penggal pertama tahun 2010 benar - benar memberi kepuasan kepada diri ini. Bergelumang selama hampir 6 bulan di Kapit benar - benar membuatkan fikiran dan emosi saya menjadi terlalu letih. Pulang bercuti ke kampung halaman di Bidor memberi seribu satu kenikmatan rehat yang sebenar. Saya kembali mengutip semula kenangan dan memori lama di sini.

Namun begitu suasana di Bidor sudah banyak yang berubah. Itu lumrah bagi proses urbanisasi yang tiada sempadannya. Teman - teman sudah ramai yang berhijrah ke tempat lain. Mujur juga masih ada dua tiga kerat teman - teman lama yang masih bertahan di sini dalam meneruskan kehidupan mereka. Ramai juga orang - orang tua/veteran sudah berpulang menemui ilahi sepanjang ketiadaan saya. Ramai juga diantara mereka sudah mula dimamah usia dan diserang penyakit. Kampung kelahiran saya juga makin ketara perubahannya ... orang luar semakin ramai membanjiri kampung kami. Tinggal menyewa atau menetap secara haram. Tidak terkecuali orang Vietnam dan Indonesia. Secara diam hati sudah mula merasa sayu dan sedih dengan segala yang berlaku.

Masyarakat kampung juga semakin dilanda krisis kebendaan. Isu perebutan tanah rizab sungai untuk ditanam kelapa sawit juga makin meruncing malahan tanah keluarga saya juga hampir di robek oleh individu tidak bertanggungjawab. Jika dahulu amat seronok duduk dengan kesegaran udara pagi di sini namun kini semuanya itu bagaikan sudah hilang diteman arus kemodenan yang membadai. Kesatuan juga bagaikan sudah hilang... kini majlis perkahwinan yang dahulunya dilakukan secara bergotong - royong amat sukar untuk dilihat digantikan dengan perkhidmatan katering. Saya melihat dan termenung jauh memikirkan perubahan - perubahan sosial ini. Sukar dibayangkan betapa orang Melayu Bidor sudah jauh meninggalkan nilai - nilai lama dan tradisi.
 
Bidor tetap dekat di hati saya. Tempat kelahiran dan tempat saya dibesarkan. Di sini masih ramai kaum kerabat saya. Ibu dan ayah masih disini namun bagi sebuah masa depan mungkin Bidor bukan lagi tempat pilihan saya. Saya tidak dapat lari dari memikirkan untuk terus berhijrah mencari tempat yang lebih selesa dan menenangkan saya. Dalam usia sudah hampir menjejaki 30an ini fikiran sudah mula merancang yang terbaik dalam hidup.

Bidor ..... anak kandungmu pergi membawa hatinya jauh.....




Tuesday, June 1, 2010

ISRAEL LAKNATULLAH !!!!!!!!!

"ANTI ISRAEL"
 Saya Hafez J.Malim melalui blog saya mengutuk dengan sekeras - kerasnya serangan biadap dan tidak ber kemanusiaan  oleh komando tentera Israel Laknatullah ke atas kapal ' Flotila Pembebasan" yang membawa misi bantuan kepada saudara - mara Islam kita di Gaza. Pembunuhan 19 sukarelawan misi ini amat jelas menunjukkan betapa Israel Laknatullah benar - benar suatu bangsa yang dikutuk oleh Allah SWT.

Semoga Allah SWT menempatkan roh - roh para sukarelawan ini di tempat yang sebaiknya. Bagi penduduk Gaza teruskan jihad perjuangan kalian. Kami di sini sentiasa bersama anda. Kepada Yang Amat Berbahagia Tun Dr. Mahathir Mohamad, semoga Allah memberikan kekuatan dan memanjangkan umur mu untuk terus berjuang mempertahankan maruah umat Islam dari cengkaman Israel Laknatullah.

Umat Islam harus bersatu bagi mempertahankan maruah dan kemurnian agama Islam. Saya juga menyeru  rakan - rakan blogers untuk bersatu bersama dalam mendesak supaya pihak negara Islam Mesir membuka semula laluan sempadannya dengan Palestin supaya segala bantuan dapat dihantar dengan mudah tanpa  pertumpahan darah.


ALLAHUAKBAR
ALLAHUAKBAR
ALLAHUAKBAR



Thursday, May 27, 2010

Perkhemahan Perdana KRS Peringkat Negeri Sarawak 2010

Saya terpilih untuk mengetuai kontijen  Kadet Remaja Sekolah ( KRS ) Bahagian Kapit ke Perkhemahan Perdana KRS Peringkat Negeri Sarawak di Sri Aman pada 21 hingga 25 Mei 2010 yang lalu. Kontijen kami adalah terdiri dari 15 orang laskar KRS dan 2 orang guru pengiring iaitu saya dan cikgu Lim dari SMK Selirik. Sekolah saya menghantar 4 orang perserta dan SMK Selirik menghantar 11 orang perserta. Ini adalah kali pertama saya menjadi guru pengiring bagi sebuah kontijen. Agak menarik ialah saya bukan sahaja membawa  kontijen  sekolah malahan membawa kontijen bahagian. Ia satu pengalaman yang menarik. 


Perkhemahan ini juga secara tidak langsung membolehkan saya melihat sendiri keindahan alam negeri Sarawak yang tercinta ini. Ini kali pertama saya menjejakkan kaki ke bahagian Sri Aman. Sebanyak 10 buah kontijen bahagian menyertai perkhemahan kali ini dengan kontijen bahagian Kapit menjadi kontijen paling kecil dan kontijen Bahagian Kuching menjadi kontijen terbesar. Namun demikian ia tidak mematahkan semangat kontijen Kapit. Saya dan Cikgu Lim berusaha membantu peserta untuk bersaing dengan kontijen bahagian - bahagian lain. 

Syukur pada Allah yang maha pemurah, kerjasama dan usaha kami berbaloi dan tidak sia - sia apabila Bahagian Kapit berjaya menjadi kontijen terbaik pada perkhemahan berkenaan. Kapit mendapat tempat pertama bagi katergori Kem Kraf dan masakan rimba. Kami mendapat tempat ke dua dalam persembahan malam kebudayaan dan anak didik saya Micheal Ak Gaun dari SMK Kapit berjaya menjadi Putera Terbaik perkhemahan berkenaaan. Kapit juga menjadi kontijen teramai menghantar peserta mewakili negeri Sarawak ke perkhemahan peringkat kebangsaan dengan 5 perserta. Ia menjadi satu sejarah kerana inilah kali pertama kontijen bahagian Kapit berjaya dalam sesebuah perkhemahan KRS peringkat negeri. 

Khemah kontijen Bahagian Kapit

Mejar Apu Latip ( tengah ) sedang memberikan 
taklimat kepada ketua kontijen Bahagian

Aktiviti bantu mula

Antara gajet yang dihasilkan

Hafez J.Malim bersama dengan 
anak - anak KRS Bahagian Kapit

Anak - anak KRS kebanggaan saya.
Micheal Gaun ( memegang piala ) merupakan Putera terbaik perkhemahan ini

Kontijen KRS Bahagian Kapit

Hafez J.Malim bergambar dengan teman - teman guru KRS

Semoga pencapaian kontijen Bahagian Kapit akan terus hadir bagi setiap perkhemahan perdana KRS yang akan datang. Saya mendoakan supaya kontijen KRS Sarawak nanti akan mencapai kejayaan yang bermakna apabila mengikuti Perkhemahan Perdana KRS Peringkat Kebangsaan yang akan berlangsung di Juaseh Negeri Sembilan nanti.

ILMU, IMAN, AMAL



Saturday, May 15, 2010

SELAMAT HARI GURU


GURU PEMBINA NEGARA BANGSA


Dari kejauhan pedalaman ini saya mengucapkan selamat menyambut hari guru kepada semua guru - guru yang pernah mendidik saya sehingga menjadi manusia seperti yang terlihat pada hari ini. Semoga Allah SWT membalas budi dan jasa - jasa guru semua.

INDAHRASAJMALIM.BLOGSPOT.COM

Hari Minggu Di Kapit

Minggu lepas saya dan teman-teman guru dari SMK Kapit dan SMK Kapit No.2 telah menjalankan aktiviti santai hujung minggu di Sungai Yong Kapit. Ini adalah pengalaman pertama saya menjejaki kawasan berkenaan. Kami berkelah di kawasan sungai berhampiran dengan Rumah Panjang Jandok iaitu antara rumah panjang tradisional masyarakat Iban yang masih wujud di bahgian Kapit ini. Ia begitu mengujakan saya, masakan tidak sepanjang perjalanan ( kami bermotosikal beramai-ramai ) kami disajikan dengan panorama alam yang begitu indah... syukur pada kuasa Ilahi atas nikmat pemandangan itu.

 Hafez J.Malim di hadapan gerbang masuk ke 
Rumah Panjang Jandok

Jambatan kecil laluan utama ke Rumah Jandok

Aktiviti utama kami di sana sudah tentulah membuat pansuh. Pansuh ialah makanan tradisi kaum Iban yang begitu menyelerakan saya. Seperti biasa yang menjadi ketua untuk membuat pansuh ini sudah tentulah Cikgu Kuiek Bon Siau ( PK 1 SMK Kapit ). Awal - awal pagi lagi beliau sudah datang ke rumah saya bersama dengan Cikgu Adham ( SMK Selirik ) untuk sama - sama menyiapkan ramuan pansuh. Kami bergotong royong menyiapkan 12 batang pansuh ayam dan ikan jelawat.

Membantu menyediakan ramuan Pansuh

Saya sebenarnya masih lagi belajar untuk membuat pansuh ini. Selagi masih berada di sini adalah lebih saya tuntut dahulu ilmu membuat pansuh ini terutamanya dari Cikgu Kuiek. Beliau tidak lokek ilmu dan sentiasa memberi tunjuk ajar. Untuk kali ini saya akan cuba menjaga pansuh ketika sedang dibakar. Ini merupakan sesuatu yang mencanar kerana selain dari kawalan api, kita juga perlu sentiasa memusingkan buluh pansuh supaya ia masak dengan sekata. Bagi 12 batang pansuh... ia adalah sesuatu yang mencabar bagi saya..hahahahaha. Dengan dibantu oleh beberapa orang teman, kami berjaya juga menyiapkan hidangan pansuh ini walaupuan untuk buluh yang pertama hasilnya ialah ayamnya masih mentah.. namun ia berjaya diperbaiki untuk buluh yang seterusnya.




Beberapa gambar ketika sedang membakar pansuh

Selepas itu kami berkunjung pula ke Rumah Panjang Jandok untuk melihat sendiri keunikan cara hidup masyarakat Iban di rumah panjang tradisi mereka. Saya tidak dapat berkunjung ke rumah panjang berkenaan kerana terpaksa pulang awal atas urusan yang lain. Difahamkan di rumah panjang berkenaan masih lagi tersimpan tengkorak - tengkorak manusia yang dipenggal pada zaman dahulu. Di sini disertakan beberapa gambaran mengenai Rumah Panjang Jandok. Kredit kepada Cikgu Taqiuddin atas gambar - gambar ini. Jika ada pembaca blog ini yang ingin ke Sarawak jemput - jemputlah datang ke Kapit. Di sini alam dan anak watannya hidup makmur dengan kasih sayang yang diberikan Tuhan.

 Perahu tradisional masih digunakan secara meluas di sini

Tengkorak dari zaman pemburuan kepala masih 
boleh dilihat di rumah panjang ini.

Rumah Jandok dari sisi

Teman - teman guru bergambar kenangan di ruai Rumah Jandok

Bergambar kenangan dengan salah seorang penghuni tua di Rumah Jandok

PENGHARGAAN
  •  Penduduk Rumah Panjang Jandok yang menyambut kehadiran kami dengan tangan terbuka.
  • Cikgu Taqiudin dan Cikgu Lim Yee Ming untuk gambar
  • Ahli - ahli SFA ( Street Futboler Airport ) atas sokongan kepada program ini.
  • Guru - guru dari SMK Kapit No.2 atas tajaan makanan