BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS �

Monday, June 18, 2012

Cuba - Cuba Naik Komuter

Komuter

Ini perjalanan yang agak gila, letih dan mencabar. Namun saya akui ia agak menyeronokkan walaupun saya perlu bersusah payah sedikit. Idea untuk menaiki komuter ini dirancang secara tidak sengaja. Ini merupakan kali pertama saya menaiki komuter. Cadangan awalnya ingin menaiki keretapi namun memandangkan saya perlu mengejar masa, saya memilih menaiki komuter. 

Saya memilih menaiki komuter bermula dari Seremban menuju ke Tanjong Malim. Untuk ke Seremban, saya menaiki bas ekspres selama hampir 2 jam dari Batu Pahat. Cuti persekolahan selama 2 minggu membuatkan saya terasa benar-benar seronok. Masakan tidak, saya dapat meluangkan masa yang benar-benar berkualiti bagi menemani isteri saya setelah hampir 3 bulan tinggal berjauhan. Menjelang sahaja kepada penamat cuti persekolahan, isteri saya sudah mula menunjukkan wajah sedihnya. Beliau tahu kami perlu duduk berjauhan semula. Saya sendiri begitu sedih. Meninggalkan isteri yang berbadan dua dan tinggal berjauhan adalah perkara yang sangat menyakitkan. Namun itulah realiti yang perlu saya telan dan kami perlu menerimanya dengan hati yang terbuka.

Seawal pagi lagi saya sudah keluar dari rumah bersama-sama dengan isteri saya untuk bersarapan. Wajahnya sudah kelihatan sugul. Azura menghantar saya ke stesen bas. Sepanjang perjalanan kami lebih banyak senyap dari bercakap. Dalam diam saya memanjatkan doa supaya kehidupan kami dipermudahkan oleh Allah SWT.

Sugul si isteri

Perjalanan menaiki bas dari Batu Pahat menuju ke Seremban mengambil masa hampir 2 jam. Sudah lama saya tidak ke Seremban. Rasanya hampir 3 tahun. Suatu ketika dahulu, Seremban adalah tempat saya dan Azura berjumpa setelah sekian kali tidak bertemu. Setelah berkahwin, saya tidak lagi ke Seremban. Sememangnya kunjungan ke Seremban kali ini akan membuatkan saya lebih bernostalgia. Melawat ke sesuatu tempat yang memberikan sejuta satu cerita kepada diri akan membuatkan saya terkenang semula segala kenangan lama. Sejujurnya ... ia mengembalikan momen indah yang pernah saya dan Azura kecapi semasa alam bujang kami. Hahahahaha

Singgah sebentar di hentian bas Muar

Saya sampai ke Seremban ketika jam menunjukkan angka 12 tengah hari. Tidak banyak perubahan yang terlihat. Namun kesibukannya tetap seperti dulu dan tidak berubah. Saya berlegar-legar dahulu di sekitar terminal bas utama Seremban ( Terminal 3 ). Dahulu, Azura akan menunggu saya di sini dengan senyuman. Terasa seolah-olah dia masih disini menunggu saya walaupun kami kini sudah mendirikan rumah tangga. 

Saya sebenarnya tidak mengetahui lokasi stesen keretapi Seremban. Setelah bertanya dengan seorang pakcik tua yang baik, barulah saya tahu kedudukan sebenar stesen keretapi tersebut. Namun saya perlu berjalan kaki sedikit. Stesen keretapi Seremban sebenarnya masih mengekalkan binaan lamanya. Namun demikian, seiring dengan perkembangan masa, stesen ini diubahsuai sesuai dengan statusnya sebagai antara stesen keretapi utama di negara kita. Sepanjang saya berjalan kaki menuju ke stesen ini, saya dapat melihat bangunan-bangunan lama KTMB yang masih kekal. Ia masih mengekalkan, gaya klasik dan kolonial. Ini yang membuatkan saya begitu teruja !

Laluan menuju ke stesen KTMB Seremban

Kuarters lama yang masih boleh dilihat

Klasik !

Stesen keretapi Seremban

Keadaan di stesen KTMB Seremban

Saya terlihat kaunter tiket ETS ( Electric Train Set ), teringin juga dihati saya untuk menaikinya. Namun demikian petugas kaunter tersebut menyatakan bahawa perkhidmatan ETS tidak ke Tanjong Malim. Tidak mengapalah, saya boleh menaiki komuter dan merasai gegaran landasan. Itu lebih mengujakan saya. Saya bertolak dari Seremban pada jam 1 tengah hari. Tidak ramai penumpang disini. Seorang lelaki India tua berbual-bual ringan dengan saya. Beliau ramah dan baik. Sekurang-kurangnya saya tidak sunyi sepanjang perjalanan.

Pemandangan di stesen keretapi Seremban. 

Perjalanan agak tenang. Beberapa pekerja KTMB juga turut serta dalam gerabak kami. Sempat juga saya berbual dengan salah seorang dari mereka berkenaan dengan dunia keretapi di Malaysia. Nampaknya beliau memang arif dan banyak memberikan saya maklumat-maklumat baru berkenaan dengan keretapi terutamanya tentang lokomotif. Pakcik India tua yang duduk disebelah saya juga sesekali berbual dengan saya. Sampai sahaja di Nilai beliau turun dan mengucapkan selamat jalan yang mesra. Penumpang mula ramai menaiki komuter. Tempat duduk mula penuh dan ramai yang berdiri.

Keadaan di dalam gerabak ( koc )

Pemandangan sepanjang perjalanan agak biasa-biasa. Sukar lagi menjumpai kebun-kebun getah dan ladang seperti pada zaman-zaman awal 1960an hingga lewat 1990an dulu. Yang ada hanyalah kawasan perumahan dan tanah-tanah kosong yang menunggu masa untuk dimajukan. Rebakan bandar menjadikan pekan-pekan kecil yang dahulunya tenang dan aman menjadi semakin sesak dan berpendudukan tinggi. Namun demikian, saya masih lagi boleh melihat kampung-kampung tradisi Melayu di sepanjang landasan. Sekurang-kurangnya ia mengubat rasa rindu saya pada zaman-zaman yang telah berlalu.

Sebuah surau kayu lama


Semakin menghampiri negeri Selangor semakin ramai penumpang menaiki komuter. Tempat duduk hampir semuanya dipenuhi dan ramai penumpang mula berdiri. Ini menjadikan saya merasa agak kurang selesa dan rimas. Penumpang-penumpang warga asing juga ramai yang menaiki komuter pada masa ini. Seorang lelaki kulit hitam yang memakai baju tanpa lengan berdiri dihadapan saya. Badannya agak berbau dan membuatkan saya loya. Mujur juga sebaik sahaja sampai ke stesen Bandar Tasik Selatan, beliau turun. Barulah saya merasa lega.

Terminal bas Bandar Tasik Selatan

Komuter yang saya naiki singgah beberapa minit di beberapa stesen penting. Kebanyakan stesen komuter merupakan stesen-stesen moden. Sesekali kami berselisih dengan komuter lain atau dengan keretapi diesel yang menuju ke selatan. Terasa juga sedikit gegaran. Namun ia memberi keseronokan kepada saya. Masuk sahaja ke Kuala Lumpur, penumpang mula berkurang kerana ramai yang turun menuju ke destinasi masing-masing. Antara stesen utama yang disinggahi ialah KL Sentral, stesen keretapi lama Kuala Lumpur dan Bank Negara Malaysia.



Stesen keretapi lama Kuala Lumpur

Saya sebenarnya agak gusar ketika ini. Saya mengejar masa untuk sampai ke Bidor. Namun syukurlah selepas sahaja melepasi Kuala Lumpur menuju ke Rawang, komuter bergerak pantas. Ketika ini pemandangan di luar cermin sudah mula berubah. Ladang-ladang kelapa sawit pula yang menguasai pandangan saya. Seorang pakcik Melayu tua duduk disebelah saya. Menjeling tajam beliau kepada saya apabila melihat saya sibuk mengambil gambar. Hahahahaha.

Saya mengambil gambar syarikat pembuat koc komuter ini. Kebetulan logonya terletak dibawah bumbung. Usia komuter ini dalam lingkungan 16 tahun berdasarkan tahun pengeluaran 1996 seperti yang tercatat di logo berkenaan. Usai sahaja saya mengambil gambar berkenaan, tiba-tiba pakcik tua itu bersuara bertanya kenapa saya mengambil gambar berkenaan. Saya hanya menjawab ringkas bahawa saya meminati keretapi. Gusar juga hati saya jika beliau menyangkakan saya berbohong. Beliau ketawa dan mengeluarkan sekeping kad dari dompetnya dan menunjukkannya kepada saya. Saya mengamati kad berkenaan. Rupa-rupanya pakcik berkenaan adalah seorang pesara KTMB !.

Komuter buatan Hyundai Korea tahun 1996

Banyak juga yang kami bualkan. Pakcik itu tidak lokek menceritakan pengalaman beliau kepada saya. Sampai sahaja di Rawang kami berpisah. Saya perlu menukar komuter untuk ke Tanjong Malim. Stesen keretapi Rawang merupakan antara stesen keretapi utama di negara kita. Kedudukannya yang terletak ditengah-tengah antara perjalanan antara Tanjong Malim ke Kuala Lumpur menjadikan ia sebagai stesen yang agak sibuk dengan penumpang. Saya sampai di Rawang dalam jam 3 petang. Perjalanan dari Seremban ke Rawang hanya mengambil masa selama 2 jam. 

Stesen keretapi Rawang

Electric Train Set ( ETS ) baru yang terdapat di 
stesen keretapi Rawang

Dari Rawang saya menaiki sebuah lagi komuter menuju ke Tanjong Malim. Saya menyukai laluan ini kerana saya akan melalui beberapa stesen pekan-pekan lama di dalam daerah Hulu Selangor. Dahulu ketika belajar di UPSI saya sangat gemar melawat pekan-pekan kecil seperti Kerling dan Rasa. Pekan-pekan ini masih mengekalkan suasana lama yang klasik. Namun saya tidak pasti sama ada keadaannya masih kekal seperti dahulu atau kini sudah berubah akibat dari perubahan masa dan teknologi.

Stesen keretapi pekan Rasa

Perjalanan kali ini lebih menyeronokkan saya. Penumpang agak kurang dan banyak lagi ruangan penumpang yang kosong. Pemandangan di luar juga lebih menarik dan klasik. Ditinjau dari internet satu ketika dahulu dalam daerah Hulu Selangor terdapat begitu banyak stesen keretapi dan hentian kecil keretapi. Namun kini kebanyakannya sudah dirobohkan bagi memberi laluan kepada pembinaan landasan berkembar. Saya masih lagi mengingati stesen keretapi Kuala Kubu Road yang begitu klasik dan indah. Namun kini saya pasti, stesen tersebut telah tiada lagi.

Stesen keretapi lama Kuala Kubu Road

Pemandangan perjalanan dari Rawang ke Tanjong Malim



Akhirnya setelah menempuhi perjalanan di atas landasan selama 3 jam, saya sampai ke Tanjong Malim pada jam 4 petang. Stesen keretapi Tanjong Malim agak sunyi dan tenang. Ini merupakan hentian terakhir bagi komuter yang bergerak dari Rawang. Saya turun dengan hati yang puas. Walaupun hanya satu perjalanan yang ringkas namun saya begitu teruja dan puas hati. Saya berjalan kaki sahaja untuk ke stesen bas Tanjong Malim. Ketika ini perut saya sudah mula berkeroncong minta diisi. Niat saya pada ketika itu ialah untuk menikmati cendol dan rojak Tanjong Malim yang begitu lama tidak saya nikmati.... dan langkah saya semakin dipercepatkan. hehehehe.

Stesen keretapi Tanjong Malim

Saya melalui jalan yang agak sunyi menuju ke pekan Tanjong Malim. Dahulu sewaktu dalam tahun-tahun awal saya di UPSI jalan ini masih agak sibuk dan ramai penduduk berniaga makanan di sini. Namun setelah jalan utama Tanjong Malim "terpotong" akibat dari pembinaan landasan berkembar, jalan ini menjadi kurang penting. Dua buah jejambat baru dibina merintangi landasan keretapi bagi memudahkan penduduk Tanjong Malim ( khasnya kawasan Ketoyong ) untuk ke Tanjong Malim.

Dahulu laluan ini agak sibuk di Tanjong Malim

Jejambat pejalan kaki Tanjong Malim

Syukur setelah berjalan kaki ditengah terik mentari, saya sampai ke kedai menjual cendol dan rojak yang sangt saya sukai di Tanjong Malim. Ianya terletak disebelah KFC Tanjong Malim dan tidak jauh dari jejambat motosikal landasan keretapi Tanjong Malim. Saya memesan semangkuk cendol pulut dan sepinggan rojak. Berselera saya makan petang ini. Dahulu disinilah tempat saya melepak bersama teman-teman sekuliah selepas penat seharian berkuliah. Harganya juga sangat murah. Sesuai jugalah dengan bajet mahasiswa seperti kami yang sering keputusan kewangan. hehehehe.

Kedai menjual cendol dan rojak tidak jauh dari jejambat
utama Tanjong Malim

Cendol dan rojak yang menyelerakan

Saya tidak berlama-lama disini. Selepas membayar harga cendol dan rojak tersebut saya terus menuju ke stesen bas Tanjong Malim untuk menaiki bas ke Sungkai. Saya melintasi sederet kedai yang menjadi tempat jualan VCD cetak rompak yang sangat terkenal bagi kami suatu ketika dahulu. Nampaknya ia semakin sunyi. Tidak sepertu dahulu... kaunternya sentiasa penuh dengan pembeli ( sudah pasti saya salah seorang daripadanya ). Ah...segala kenangan itu bagaikan menari-menari di ingatan saya pada waktu ini. Tiba-tiba saya menjadi seorang lelaki yang bernostalgia.

Dahulu disini meriah dengan pelanggan 
yang mencari VCD cetak rompak

Stesen bas Tanjong Malim masih tidak berubah. Ia tetap sama seperti dahulu. Sukar untuk melupakan segala kenangan yang tersimpul disini. Sebelum menggunakan motosikal di UPSI, saya perlu menaiki bas untuk pulang ke Bidor. Perkhidmatan bas yang sering saya gunakan pada ketika itu ialah Syarikat Bas Mogah atau syarikat bas ekspres Seri Maju ( Azra ). Namun saya lebih gemar menaiki bas Mogah kerana kondisi bas nya yang buruk dan klasik. Tanyalah pada masyarakat Tanjong Malim, Slim River dan Sungkai ... mereka pasti mengingati bas Mogah sebagai sebuah entiti lagenda dan bersejarah. 

Stesen bas Tanjong Malim

Namun demikian, kini bas Mogah sudah tiada lagi. Khabarnya ia kini dimiliki oleh syarikat lain. Bas-bas uzurnya kini sudah berganti dengan bas baru dan berhawa dingin. Bas saya bergerak ke Sungkai pada jam 5 petang. Agak lewat. Fikiran saya berserabut bimbang akan terlepas bas terakhir dari Sungkai ke Bidor. Saya menghubungi ayah supaya bersedia menagmbil saya di Sungkai sekiranya saya ketinggalan bas. Sewaktu di UPSI, perkara yang paling menyeronokkan saya apabila menaiki bas ialah peluang untuk melihat gadis-gadis manis yang turut serta menaiki bas. Hahahahahaha ....tapi itu dululah.. zaman-zaman bujang yang ceria. Kini saya sudah berumah tangga.  Mata tidak lagi tergoda kepada semua itu.. insyaAllah.

Bas syarikat Star Coach yang membawa saya ke Sungkai

Perjalanan mengambil masa 1 jam. Penumpang juga tidak ramai. Saya tiba di Sungkai jam 6 petang. Syukur masih ada bas untuk ke Bidor. Bas yang terakhir. Stesen bas mengundur Sungkai pernah saya ulas satu ketika dahulu dalam blog ini. Suasana petang di Sungkai agak sibuk. Dahulu pekan ini sunyi. Namun kini ia sudah agak sibuk akibat pertambahan penduduk. Dari tingkap bas, saya memandang ke luar. Sederet rumah kedai kayu bersebelahan stesen bas Sungkai kini sudah tiada lagi. Saya masih ingat lagu dahulu emak sering menempah baju kurung pada seorang tukang jahit wanita Cina yang membuka kedainya disitu. Tidak saya tahu dimana lokasi kedai jahit itu kini.

Pemandangan waktu petang sebahagian pekan Sungkai
dari arah stesen bas mengundur


Bas Syarikat Hup Yik di stesen bas mengundur Sungkai

Dahulu ada sederet kedai kayu berhampiran dengan 
stesen bas Sungkai ini. Namun kini ia sudah tiada lagi.

Bas bergerak meninggalkan pekan Sungkai sekitar jam 6.30 petang. Tidak ramai penumpang bersama saya. Rasanya sudah hampir 5 tahun saya tidak menaiki bas dari Sungkai ke Bidor. Tambangnya juga semakin meningkat. Syarikat bas Hup Yik yang beroperasi sejak dari sebelum merdeka masih lagi gagah memberikan perkhidmatan bas berhenti-henti untuk laluan Tapah-Bidor-Sungkai walaupun khabarnya perkhidmatannya tidaklah sekerap dahulu. Kini sudah ramai yang memiliki kenderaan sendiri. Pengangkutan awam seperti bas berhenti-henti semakin terpinggir dari arus masa. Sudah banyak syarikat bas yang gulung tikar dan saya tidak tahu lagi bilakah penamat hayat syarikat ini. Esok atau lusa itu saya tidak pasti namun suatu hari nanti sudah pasti kita akan mengenang kembali betapa manisnya kenangan susah senang menaiki bas tua yang uzur dan memang saya telah menikmatinya !!!!!

Sampai sahaja di Bidor, ayah telah menanti saya dengan motosikalnya. Sejak dahulu hingga kini, ayah sentiasa  cepat dan tepat dari saya. Saya akui saya tidak akan mampu dalam menandingi ayah dalam ketetapan janji dan masa. Perjalanan yang agak mencabar namun memberi makna kepada saya... tidak mustahil saya akan menikmati perjalanan seperti ini di masa-masa yang mendatang. Cuba-cuba menaiki komuter rupa-rupanya memberi sejuta satu kenangan yang sukar dimengerti !







Friday, June 8, 2012

DI LAPANGAN TERBANG

Dedikasi untuk ayah, emak dan isteri yang tercinta.



Di sini ... kaki-kaki manusia
meliar mengejar masa
menanti saat debar 
menumpang rezeki nyawa
yang letaknya di hujung sayap
pesawat gagah.

Anak-anak berkejaran 
bermain lumba-lumba
dengan wajah riang 
tanpa rasa takut
dan aku melihatnya dari
sebuah kerusi moden yang rimas

Sejuta warna manusia disini
dengan terbeban bagasi yang bertimbun
gadis manis menjeling tajam
bertembung pandangan
dan senyuman manis diberi
ah... itu rezeki Tuhan
tidak salah untuk kunikmati.

Di lapangan terbang
pelbagai cerita dipendam
dalam hati insan yang selaksa
masing-masing tidak dimengerti
dan ia menjadi begitu sukar akhirnya
bila aku juga menjadi
seperti mereka.

Doa yang bertimbun
dari ibu ayah dan isteri
membuat aku sedar
mungkin nanti bukan aku yang pulang
melainkan roh hitam yang sayu.

Di lapangan terbang
hati ku hancur luluh
mengenang jasad yang tertinggal
merindui aku
selamanya.




Sunday, May 20, 2012

Ziarah Makam Lama 2 - Menziarahi Makam-Makam Yang Usang Dan Berlumut

Rumah tradisi Melayu Perak atau Rumah Kutai

Selesai sahaja menziarahi makam pahlawan Si Puntum, saya terus memacu motorsikal saya keluar dari kawasan Kompleks Sejarah Pasir Salak. Sebenarnya saya agak seronok ketika melalui jalan kampung dan melihat rumah-rumah tradisi Perak yang masih utuh. Namun ada juga sesetengahnya yang sudah agak terbiar dan ditinggalkan. Dari beberapa tinjauan di intenet, saya mendapati kebanyakan rumah tradisi Melayu yang terdapat sepanjang persisir sungai Perak banyak dipengaruhi oleh senibina orang-orang Bugis. Sememangnya orang-orang Bugis agak berperanan dalam pentadbiran Perak semenjak dari kurun ke-17 hingga ke akhir kurun ke-18. Besar kemungkinan masyarakat Melayu dalam sekitar kawasan Kampung Gajah mewarisi darah keturunan Bugis. Siapalah tahu jika moyang saya juga dari suku Bugis.Wallahualambissawab.

Saya melalui jambatan yang merintangi Sungai Perak dengan perasaan yang teruja. Sungai Perak yang sederhana besar sebelum menghampiri muara besarnya menyimpan banyak cerita lama yang sukar dimengerti. Aliran airnya yang sesekali deras dan dalam itu menjadi saksi bisu kepada pelbagai peristiwa sejarah yang berlaku dalam negeri Perak. Segala realiti, mitos dan lagenda bercampur baur dengan keruh airnya dan menjadi cerita yang tak kunjung padam dalam diari kehidupan masyarakat sekitarnya. 

Sungai Perak yang menyimpan sejuta satu cerita

Selepas melintasi jambatan Sungai Perak ini, saya tidak terus bergerak ke Kampung Gajah sebaliknya saya membelok ke kiri menuju ke sebuah kampung yang terletak di tebing belah kanan Sungai Perak. Kampung yang saya maksudkan ialah Kampung Jawa. Di kampung ini bersemadilah jasad tiga orang Sultan yang pernah memerintah negeri Perak. Namun demikian saya agak kabur dengan lokasi makam-makam berkenaan. Dengan suasana petang yang semakin redup membuatkan saya semakin gelisah. Hasil bantuan dari seorang penduduk kampung yang sedang sibuk mengait rambutan, saya mula mengerti dimana lokasi makam ini. Beliau meminta saya mengikut jalan besar ( jalan raya utama ) dari mengikut jalan kampung.

Saya seterusnya melalui jalan besar menghala ke Lambor namun demikian saya masih belum menemui simpang jalan atau papan tanda makam yang ingin saya tujui. Ini membuatkan saya semakin keliru. Semakin saya jauh bergerak semakin saya merasa hairan. Kesudahannya saya memutuskan untuk berpatah semula dan masuk sahaja mana-mana simpang yang saya rasakan boleh membawa saya ke lokasi makam-makam berkenaan. Saya hanya mengikut lintasan gerak hati saya. Alhamdulillah, simpang jalan pilihan saya sememangnya membawa tuah apabila saya menjumpai sebuah papan tanda yang menunjukkan lorong ke makam diraja. Namun masalah lain pula timbul. Tiada anak panah menunjukkan arah makam sama ada ke kanan atau ke kiri. Saya terus mengambil arah kiri. Mungkin ada nasib yang sangat baik melalui pilihan yang berat itu.

Papan tanda kecil arah makam diraja

Saya menunggang motorsikal saya dengan perlahan. Mata saya meliar ke kiri dan kanan memerhatikan jika ada makam-makam yang tersorok dari pandangan. Dengan suasana jalan yang sunyi dan keadaan sekitar yang agak bersemak membuatkan hati saya sedikit gementar. Keadaan juga agak redup. Saya melintasi satu binaan kepuk yang agak bersemak namun tidak saya indahkan di kiri jalan. Saya bagaikan terleka dengan keadaan jalan. Setelah hampir 200 meter terlajak dari binaan kepuk tersebut barulah saya tersedar bahawa makam yang saya cari sebenarnya terletak didalam kawasan yang saya lintasi tadi. Saya berpatah semula dan Alhamdulillah, saya berjaya menemui makam dua orang Sultan pemerintah negeri Perak yang terletak dalam sebuah kepuk yang sama !.

Keadaan jalan menuju ke makam diraja yang sunyi dan bersemak.
Saya terleka melalui jalan ini.

Baru sahaja sampai ke kawasan makam

Pagar utama untuk masuk ke kawasan makam diraja

Keadaan makam ini agak bersemak dan terbiar. Pohon-pohon renek meliputi hampir keseluruhan kawasan makam. Pintu pagar makam ini sudah rosak dan binaan kepuknya juga kelihatan sudah uzur dan berlumut. Saya sendiri menjadi hairan bagaimana makam bersejarah ini kelihatan terbiar. Adakah waris-waris sultan yang dimakamkan disini sudah ghaib tanpa warisan ? ... segalanya terus terlontar keluar dari benak hati saya ini.

Keadaan makam

Kawasan kepuk pemakaman ini menempatkan makam Sultan Mahmud Iskandar Shah iaitu sultan ke-11( 1653 - 1720 ) dan Sultan Alauddin Mughayat Shah iaitu sultan ke-12 ( 1720 - 1728 ). Kedua-dua orang sultan yang disemadikan disini merupakan pemerintah yang mewakili era kedua kesultanan Perak di mana pada ketika ini sultan - sultan Perak adalah mewarisi darah keturunan raja-raja Siak pada sebelah pihak lelaki dan darah kesultanan Melaka mengalir dari sebelah pihak perempuan. 

Sedikit maklumat berkenaan dengan Sultan Mahmud Iskandar Shah ini, baginda merupakan putera kepada sultan Perak ke -10 iaitu Sultan Muzaffar Shah II. Baginda dikurniakan umur yang panjang dan dikatakan mangkat dalam usia 120 tahun. Pada ketika pemerintahan baginda inilah, negeri Perak telah berjaya melepaskan diri dari ikatan penguasaan kerajaan Acheh.

Sementara itu pula, Sultan Alauddin Mughayat Shah merupakan putera saudara kepada Sultan Mahmud Iskandar Shah. Baginda ditabalkan menjadi sultan Perak ke-12 selepas kemangkatan Sultan Mahmud Iskandar Shah yang tidak berputera. Baginda memerintah selama lapan tahun dan digelar Marhum Sulong. 

Saya menebas sedikit semak-samun yang tinggi didalam kawasan kepuk makam. Mujur juga batu nisan kedua-dua makam ini dalam keadaan baik. Khabarnya dahulu batu-batu nisan makam sultan Perak diperbuat dari batu nisan jenis Acheh namun telah ditukar kepada batu nisan yang diseragamkan bagi semua makam. Kain kuning yang membaluti nisan makam ini kelihatan sudah agak lusuh dan pudar warnanya. Nampaknya masih ada individu atau waris terdekat dengan marhum berdua ini yang mengambil berat tentang warisan leluhur mereka.

Terdapat juga tiga buah kubur dengan nisan yang lebih kecil ditengah-tengah dengan makam kedua-dua sultan ini. Saya beranggapan bahawa ia sudah pastilah makam isteri atau kaum kerabat yang terdekat dengan baginda berdua. Binaan kepuk makam ini juga kelihatan sudah uzur dimamah masa. Dapat dilihat ada retakan pada dinding kepuk ini dan lumut hijau menempel kemas. 

Tiga buah kubur kecil ditengah-tengah makam dua orang sultan

Sesuatu yang agak merugikan saya ialah sukarnya saya membaca tulisan jawi yang terdapat pada batu nisan makam ini. Hal ini secara tidak langsung menyebabkan saya tidak mengatahui yang mana satukah makam Sultan Mahmud Iskandar Shah dengan makam Sultan Alauddin Mughayat Shah. Namun ia tidaklah menjadi satu masalah yang besar bagi saya. Yang pentingnya hasrat saya untuk berziarah dan memegang nisan makam ini telah tercapai.

Tulisan pada batu nisan makam

Lama juga saya di makam ini. Suasana sunyi  membuatkan saya merasa keseorangan. Saya meninjau disekitar kawasan makam untuk mencari sebuah lagi kepuk makam sultan yang dikatakan turut dimakamkan tidak jauh dari situ. Namun hampa... saya tidak menjumpainya. Mungkin didalam perjalanan pulang nanti saya akan menjumpainya. Sempat juga saya mengikat kemas ikatan kain kuning nisan makam berkenaan yang dilihat sudah longgar. InsyaAllah jika ada rezeki dan masa terluang saya akan kembali lagi ke makam ini dengan niat untuk menggantikan ikatan kain kuning lusuh pada batu nisannya.

Saya meninggalkan makam ini dengan perasaan yang aneh ... pagarnya yang hampir runtuh itu bagaikan mengucapkan selamat jalan yang berat. Lama saya memandang makam ini sebelum mula bergerak. Ermmm ...   insyaAllah saya akan kembali semula kesini. Perjalanan saya teruskan mencari sebuah makam lagi di kampung yang sama ...... jumpa lagi dalam siri catatan yang akan datang.

Wednesday, May 16, 2012

Blog Baru Saya : Kutub Khanah Usang

Reka hadapan Blog Kutub Khanah Usang

Alhamdulillah kini saya berjaya membuka sebuah lagi blog perkongsian yang diberi nama Kutub Khanah Usang. Blog ini masih dalam selenggaraan saya sebenarnya namun idea berkaitan dengan blog ini sudah lama tertanam didalam hati saya. 

Blog Kutub Khanah Usang ini sebenarnya khusus untuk saya mempamerkan koleksi peribadi buku-buku lama milik saya kepada anda semua. Selain dari perkongsian cerita mengenai sesebuah buku, saya juga membuka peluang kepada individu-individu yang berminat untuk membeli buku-buku saya ini pada harga yang berpatutan. 

InsyaAllah buku-buku yang ditawarkan adalah yang terbaik. Dari buku akademik, buku sastera, buku fiksyen dan pelbagai jenis buku akan saya ulas mengikut kefahaman saya sendiri. Kebanyakan buku dari koleksi saya ini merangkumi koleksi dari tahun 1950an sehinggalah ke tahun 1990an. Semuanya saya kumpulkan dari pembelian, carian malah ada buku-buku ini saya kutip dari tempat pelupusan sampah. Pedulikan soal harga kerana sesuatu yang bernilai bukan terletak pada harganya tetapi pada nilai ilmunya.. insyaAllah.

Jika ada yang berminat sudi-sudikan lah singgah ke Blog Kutub Khanah Usang ini ... mungkin ada yang boleh kita kongsi dan rasai ... 


Tuesday, May 15, 2012

Selamat Hari Guru 2012

Saya Hafez J.Malim 
mengucapkan
SELAMAT MENYAMBUT HARI GURU
kepada setiap guru yang hidup di bumi Allah SWT ini.


Walau sekecil mana ilmu yang kita kongsikan,
kita telah memakmurkan hidup insan lain
tanpa sedar.

TERIMA KASIH CIKGU !

Sunday, May 6, 2012

Ziarah Makam Lama 1 - Mencari Jawapan Yang Samar di Makam Si Puntum

Pemula Cerita

Ada suatu perasaan halus menyelinap ke dalam hati saya sewaktu pertama kali melakukan perjalanan menziarahi sejumlah kecil makam-makam lama yang terdapat di sekitar daerah Hilir Perak, Perak Tengah dan Kinta penghujung tahun lepas. Pada mulanya adalah sekadar ingin menambahkan bahan cerita untuk dimuatkan ke dalam blog perkongsian ini, namun ia bertukar menjadi satu pencarian panjang terhadap salasilah diri sendiri yang terputus akibat rempuhan zaman. 

Ingatan-ingatan saya ketika kecil masih agak kuat. Ada suatu bayangan nisan bewarna kuning setinggi kanak-kanak berusia 5 tahun seringkali terlintas dimata sehingga kini. Rasanya nisan itu pernah saya lihat sewaktu dibawa ayah menziarahi ke makam almarhum datuk saya Ismail Bin Haji Yusof di Kampung Teluk Penadah, Seberang Perak. Itu nisan yang pertama kali saya lihat sewaktu memasuki ke kawasan perkuburan berkenaan. Dan ingatan dan bayangan nisan bewarna kuning itu terus melintasi ingatan dan jiwa saya. Anehnya ...saya lupa bagaimana pula rupa nisan kubur datuk saya.. ermmm.

Inilah yang membuatkan saya menjadi tidak keruan. Tambahan pula selepas berkahwin nanti, saya akan berjauhan dengan negeri Perak Darul Ridzuan yang saya cintai ini. Setelah berfikir panjang ... saya telah melakukan 3 kali perjalanan ziarah ke makam-makam lama yang saya rasakan boleh membuka rahsia panjang kepada lintasan nisan kuning yang sering bermain di fikiran saya ini.

Makam Siputum

Ketika menghantar adik saya yang belajar di Kolej Komuniti Pasir Salak secara tiba-tiba terlintas dihati saya untuk berjalan-jalan melihat Kompleks Sejarah Pasir Salak yang lama tidak saya lawati. Pasir Salak ialah tempat bermulanya semangat nasionalis orang Melayu Perak dalam menentang penjajahan Inggeris. Kedudukan Pasir Salak ini amat unik kerana ia terletak di seberang Sungai Perak ( tebing kiri ). 

Kompleks Sejarah Pasir Salak

Sejarah negara telah menukilkan bahawa di Pasir Salak inilah telah terjadi peristiwa pembunuhan Residen Inggeris pertama di Perak iaitu J.W.W Birch ( celaka ! ) ditangan seorang perwira Melayu yang dikenali sebagai Siputum.  Siputum ini khabarnya merupakan orang kepercayaan Datuk Maharajalela Pancung Tak Bertanya. Peristiwa pembunuhan ini telah mencetuskan Perang Perak yang diakhiri dengan hukuman mati kepada beberapa nama besar dalam sejarah negara kita seperti Dato' Sagor, Dato' Maharajalela Pancung Tak Bertanya, Pandak Indut dan Si Putum ( anehnya hukuman itu dijatuhkan oleh seorang Raja Melayu ). Sementara itu pula, Sultan Abdullah Muhammad Shah, Tengku Menteri Ngah Ibrahim, Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin Alang Duakap dan Dato' Shahbandar Uda Makmor telah dibuang negeri ke Pulau Seycheleys. Bekas Sultan Ismail, Panglima Perang Semaun dan kaum kerabat mereka pula dibuang negeri di Johor. Semoga Allah SWT merahmati kesemua roh-roh pejuang Melayu Perak ini.

Tidak jauh dari Kompleks Sejarah Pasir Salak terletak sebuah kawasan perkuburan lama yang menempatkan sejumlah makam-makam lama. Pada mulanya saya kurang memberi perhatian sangat kepada makam-makam yang terdapat disini. Namun demikian, pandangan mata saya tertumpu pada sebuah makam yang agak terserlah berbanding dengan makam-makam lain. Terus saya berjalan menuju ke kawasan makam ini. Setelah hampir barulah jelas kelihatan papan tanda yang menunjukkan pemilik makam ini ialah Si Putum. Salah seorang wira perang Perak dan pembunuh utama J.W.W. Birch.

Makam Si Puntum

Makam ini dipagar kemas dan mempunyai papan tanda yang menerangkan berkenaan dengan perihal Si Puntum. Maklumat ringkas yang disediakan oleh Taurism Malaysia sekurang-kurangnya membantu para pelawat menjejaki makam ini kerana diluar kawasan makam memang tiada disediakan papan tanda yang menunjukkan ada sebuah makam pahlawan Melayu dikebumikan di situ. Keadaannya juga agak bersemak namun masih terpelihara dengan baik.

Terdapat beberapa makam lain di dalam kawasan makam berpagar makam ini. Berkemungkinan ia adalah makam kaum kerabat Si Puntum. Namun demikian, saya merasakan sebuah makam yang mempunyai batu nisan sungai merupakan makam Si Puntum. Ia juga lebih terserlah jika dibandingkan dengan makam-makam yang lain.

Makam-makam yang ada didalam kawasan berpagar

Adakah ini batu nisan makam pahlawan Sipuntum?
Wallahualambissawab

Saya tidak berlama-lama disini. Selepas menyedekahkan Al-Fatihah kepada dan mengambil beberapa keping gambar, saya mula bergerak keluar. Beberapa penduduk kampung tersenyum melihat saya berseorangan di perkuburan pada waktu petang sebegitu. Ketika mahu menghidupkan enjin motor, secara tiba-tiba saya teringat makam datuk dan moyang saya yang juga dikuburkan di kawasan tebing kiri Sungai Perak. Kata arwah opah dahulu bapa kepada moyang saya adalah orang kepercayaan Sultan. Ermm... adakah mereka juga turut terlibat dengan Perang Perak dan Peristiwa Pasir Salak ?... 

Allah SWT sahaja yang mengetahuinya...

Monday, April 30, 2012

SELAMAT HARI PEKERJA



Dedikasi kepada seluruh Wira Kelas Pekerja walau dimana pun berada ... anda semua adalah HERO sebenar kejayaan negara pada hari ini.. HIDUP KELAS PEKERJA !


PELUH YANG MENITIS

Ini peluh yang menitis laju
atas nama sebutir rezeki
untuk makan minum
mulut-mulut yang kelaparan
di rumah

Ini kudrat yang terbina
atas nama perjuangan
mencari sesuatu yang pasti
sahabat yang bernama gaji

Ya ... memang kami kelas pekerja
duduk dan mendengar arahan
menjalankan tugas
dasar-dasar bapa menteri
yang bijak pandai
nun diatas sana

Dengan gaji sekupang
kami membeli dunia yang semakin mahal
dengan sifat binatang
menekan dan membunuh
setiap poket-poket kami
kering dan kosong
tanpa erti
dan 
itulah harga bayaran
undi dan kerja kami
pada kemakmuran negara ini

Kami bukan hamba
ditendang dan dimaki
atau diberhenti atas nama produktiviti
sedang peluh-peluh kami dicuri
oleh babi-babi kapitalis
yang berselera besar
mengaut untung
memenuhkan selera nafsu
yang berjuta-juta

Ini hari kami
walau sehari yang sebentar
dengan laungan membela
nasib kami
diatas pentas-pentas indah
atau dijalanan yang pijar
namun kami tahu
nilai kami jauh lebih kukuh
disisi Tuhan
asal tahu erti halal dan syukur

Ini hari pekerja yang sama
tiada beza peluh-peluh yang jatuh
baju kami tetap lusuh
kasut kami tetap berdebu
dan topi kami masih koyak
gajinya tetap begitu

Kami wira negara yang sebenar
diberikan saguhati
bernama INFLASI
Hahahahahahahahahahaha
SELAMAT HARI PEKERJA
dari pekerja untuk pekerja !