BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Tuesday, June 28, 2011

Catatan Bodoh Untuk Sasterawan

Cakap Melayu kamu pun tunggang langgang
berbelit-belit seperti janggut kamu
sedang usia nyanyuk kamu
bercakap merepek-repek
tentang perjuangan bahasa datuk nenekmu
ketika teman kamu
dibakar hasil tangan nya
kamu diam seribu bahasa
macam orang bodoh

Jadilah sasterawan dengan janggut putih
yang mengingati mati
dari menyebabkan bangsanya mati
 
Bahasa kamu
semakin kurang ajar
ia membina anak bangsa
yang berpekerti binatang
melolong di sana sini
membunuh adab.

Sunday, June 26, 2011

Saya Anti BERSIH


INDAHRASAJMALIM.BLOGSPOT.COM
MEMBANTAH DENGAN SEKERAS-KERASNYA 
PERHIMPUNAN BERSIH 
YANG HANYA AKAN MERUGIKAN
BANGSA MELAYU, AGAMA ISLAM DAN NEGARA.




MALAYSIA TANAH AIR KU

Saturday, June 18, 2011

Kembara Melihat Pekan - Pekan Lama 1 : Pekan Sungkai


Ada yang bertanya kepada saya kenapa saya tidak mengulas dengan lebih lanjut tentang pekan yang berjiran dengan pekan kelahiran saya Bidor iaitu pekan Sungkai ? .... saya sendiri sebenarnya sukar untuk menjawab soalan berkenaan kerana awal-awal lagi saya sudah menolak nama pekan Sungkai sebagai pekan terpencil untuk diulas, kerana Sungkai kini sudah jauh berubah. Pembangunan di Sungkai berlaku dengan amat pesat sekali dan ini secara tidak langsung membuat hati saya tawar untuk bercerita tentang pekan Sungkai.

Namun demikian akhirnya saya mengalah. Itupun setelah emak meminta saya bercerita tentang Sungkai di blog saya ini. Katanya sebagai simbolik tempat asal usul keturunan sebelah ibunya ( nenek saya ) yang khabarnya terlibat dalam pembukaan penempatan awal Sungkai ( benar atau tidak Wallahualam ). Sebagai catatan tambahan moyang saya yang bernama Tok Syeikh Ahmad ( Allahyarham ) adalah orang tua yang agak dikenali satu ketika dahulu terutama di Kampung Changkat Sulaiman Sungkai kerana beliau sering mengajar rebana dan marhaban di sekitar Sungkai.

Dahulu semasa saya kecil, emak sering membawa saya ke Sungkai mengunjungi sanak saudara di sini. Malahan sampai sekarang pun kami sering ke Sungkai sama ada untuk berjumpa sanak saudara atau sekadar membeli belah di pasar lambaknya yang meriah. Jika anda pertama kali sampai ke Sungkai maka sudah pastilah stesen bas nya yang akan menarik perhatian anda. Stesen bas ini adalah sebuah stesen bas terbuka di mana bas dari syarikat Hup Yik dan syarikat Star Coach ( dahulunya Mogah Omnibus ) perlu mengundur  ( gostan ) untuk meletak bas. Ianya sungguh unik. Rasanya tidak ada stesen bas di Malaysia yang serupa dengan stesen bas Sungkai.

Stesen Bas Sungkai ... 
untuk meletakkan bas di stesen bas ini, 
pemandu bas perlu mengundurkan bas 

Stesen bas Sungkai ... 
bagi generasi lama sudah pasti mengingati 
bas lagenda syarikat Mogah yang kini sudah berganti baru.

Bahagian belakang stesen bas Sungkai

Di sebelah stesen bas Sungkai kita akan menjumpai sebuah banggunan lama yang tidak berjaga. Dari cerita-cerita setempat mengatakan bahawa itu ialah bangunan Balai Polis Sungkai yang lama. Suatu ketika dahulu, penduduk Sungkai jika ingin mengunakan perkhidmatan telefon mesti akan ke balai polis tersebut. Rasanya bangunan ini dibina semasa zaman penjajahan British jika dilihat dari cara binaannya. Rasa sedih pula melihat bangunan unik lagi bersejarah seperti ini terbiar sahaja tanpa dipulihara. Ketika saya kecil, seringkali saya melihat bangunan balai polis ini sebagai satu tempat yang menakutkan setiap kali ke Sungkai. 

Bangunan balai polis lama Sungkai

Kelihatan sebahagian dari bangunan balai polis lama Sungkai.

Pekan Sungkai yang ada pada hari ini dilihat lebih meriah dengan pelbagai aktiviti penduduknya. Namun bila tiba hari petang pekan ini agak sunyi dan sepi. Kita boleh menjumpai bangunan rumah-rumah kedai yang klasik di sini. Walaupun pembangunan di Sungkai dilihat agak pantas, saya boleh melihat aura klasik yang masih ada pada Sungkai. Lensa kamera saya sempat merakamkan beberapa gambar berkenaan dengan panorama pekan Sungkai.

Deretan bangunan kedai lama yang masih boleh dilihat


Klasik !!!


Sederetan rumah kedai kayu lama beratap zink masih boleh dilihat di Sungkai

Sunyi petang di pekan Sungkai

Kelihatan dua buah bangunan lama yang masih digunakan

Bangunan Pejabat Pos Sungkai

Setelah pasar baru Sungkai dibina dan beroperasi berhampiran dengan stesen keretapi Sungkai, pasar yang lama tidak ditinggalkan terus. Ianya telah diubahsuai dan dijadikan bazar bagi peniaga-peniaga kecil. Dahulu semasa saya kecil sering juga saya ke pasar lama ini. Walaupun agak kecil tetapi teramat mariah dengan aktiviti perniagaannya. Apa yang menarik perhatian saya ialah papan tanda lama pasar ini  bertulis "Pasar Majlis Tempatan Sungkai " masih dikekalkan di tempatnya.  Betul juga kata emak, Sungkai adalah entiti klasik yang masih kekal dengan sifat lamanya. 

 Pasar lama Sungkai. Perhatikan papan tanda lamanya yang masih dikekalkan.

Ketika leka menangkap gambar di kawasan ini, saya ditegur oleh seseorang yang saya masih ingat sebagai saudara-mara saya namun saya lupa namanya. Peliknya, dia masih mengingati nama saya. Ketawa besar dia melihat saya menangkap gambar-gambar di pekan Sungkai. Tambahnya lagi saya ini sudah buang tabiat. Saya hanya tersenyum sahaja. Pada saya katakanlah apa sahaja. Saya tidak ambil hati.

Saya pernah menjalankan Rancangan Orientasi Sekolah ( ROS ) bertempat di Kelas Khas Bermasalah Pembelajaran ( PKBP ) SK Sungkai semasa di semester 4 Universiti Pendidikan Sultan Idris ( UPSI ). Sesekali apabila lalu di hadapan sekolah ini teringat kenangan manis saya selama dua minggu menjalankan ROS di sini. Awal-awal pagi lagi saya sudah menaiki bas dari Bidor ke Sungkai. Apabila sampai sahaja ke stesen bas Sungkai, saya berjalan kaki menuju ke sekolah. Ia membuatkan saya tersenyum sendirian. Di sekolah ini jugalah, saya menerima berita kematian bapa saudara saya di Bidor. Sehingga kini saya masih menyimpan kenangan manis di SK Sungkai sebagai catatan kehidupan yang menarik.

SK Sungkai

Masyarakat Sungkai adalah terdiri dari berbilang bangsa. Di pekan Sungkai, orang Cina menjadi peniaga yang dominan. Namun demikian bila kita bergerak sedikit ke pinggir pekan ini, maka kita akan melihat kampung-kampung Melayu dengan banyaknya. Antara perkampungan Melayu utama di Sungkai ialah Kampung Changkat Sulaiman, Kampung Haji dan Kampung Menderang. Kewujudan ladang-ladang dan estet juga menyebabkan Sungkai didiami oleh masyarakat India. Namun demikian, apabila sahaja beberapa tanah rancangan FELDA seperti Besout, Trolak dan Sungai Klah dibuka, Sungkai mula didiami oleh orang-orang Melayu yang bukan berasal dari Sungkai sebaliknya berasal dari selutuh negara Malaysia.

Sebuah kelab Cina di Sungkai menunjukkan kewujudan masyarakat majmuk di sini

Sejarah pekan Sungkai juga tidak dapat dipisahkan dengan Kampung Pekan Lama. Menurut penduduk setempat disitulah lokasi pekan Sungkai yang asal. Emak saya sendiri mengakuinya kerana beliau dibesarkan di Sungkai. Saya sering malalui kawasan pekan lama ini. Saya suka berhenti di jambatan yang merentangi Sungai Sungkai. Sengaja saya melihat panorama di sungai Sungkai ini yang penuh dengan lagendanya. Dengar ceritanya, zuriat Sultan Perak yang memerintah tidak boleh menjejakkan kaki mereka ke tanah kawasan Sungkai jika tidak dilapik dengan tujuh lapis kain berwarna kuning. Selain itu, Sultan juga tidak boleh meminum air dari kawasan Sungkai. Itulah yang saya dengar dari cerita orang-orang lama seperti opah saya Zabedah Bt Ahmad ( 73 tahun ).

Sungai Sungkai yang penuh dengan lagenda. 
Jambatan di seberang sana ialah jambatan bagi landasan keretapi.

 Apa yang menarik di kawasan pekan lama Sungkai ni ialah kewujudan rumah-rumah kayu lama yang masih tersisa. Ada juga rumah-rumah yang sudah ditinggalkan kesepian menanti masa untuk rebah ke bumi. Ada simbol kesunyian dapat dilihat bila saya melihat rumah-rumah kayu tinggal ini. Kata emak, satu ketika dahulu kawasan ini agak sibuk dengan pelbagai aktiviti. Masjid lama Sungkai juga masih wujud di kawasan ini. Ia sebuah bangunan lama yang begitu indah. Setelah masjid baru bagi kariah Sungkai dibina di tepi jalan persekutuan, masjid lama ini tidak ditinggalkan begitu sahaja. Khabarnya kini ia dijadikan pusat bagi para hafiz-hafiz menghafal Al-Quran.

Rumah lama di pekan lama Sungkai


Masjid lama Sungkai

Jika kita masuk ke pekan Sungkai dari jalan utama persekutuan, kita akan melalui sebuah taman perumahan lama yang dikenali sebagai ''Taman Syarikat Melayu''. Tidak diketahui kenapa ia dinamakan sedemikian. Saya amat berbangga dengan namanya. Namun ada sesuatu yang lebih bernilai tinggi di Taman Syarikat Melayu ini. Ianya tentang sebuah rumah kecil di tepi jalan. Itulah rumah onyang saya yang bernama Hajah Mariam. Di rumah itulah ayah dan ibu saya disatukan sebagai suami isteri yang sah pada tahun 1984. Onyang saya masih mendiami rumah berkenaan. Beliau adalah seorang aktivis wanita UMNO yang paling dohormati di Sungkai sejak dari zaman Allahyarham Tunku Abdul Rahman lagi. 

Papan tanda Taman Syarikat Melayu yang sudah uzur.
Boleh dilihat tulisan jawi juga menghiasi papan tanda ini.

Rumah tempat ayah dan emak melangsungkan perkahwinan pada tahun 1984

Sungkai tetap memberikan seribu satu kenangan kepada diri saya. Saya tidak boleh menipu diri saya bahawa saya memang mempunyai kaitan yang sungguh erat dengan Sungkai. Suku sakat nenek sebelah emak memang berasal dari Sungkai. Walaupun Sungkai sudah jauh berubah dengan kemajuan yang membadai namun ada sesuatu yang masih kekal di sini ...ketenangan. Datanglah ke Sungkai di waktu petang yang redup. Singgah-singgahlah ke gerai cendol dan ais kacang berhampiran dengan stesen bas .... duduk dan nikmati hidangan anda dan pandanglah sekeliling. Ada sesuatu yang mengalir perlahan akan anda rasa .... sesuatu yang bergerak perlahan. Ya itulah ... kesunyian sebuah pekan kecil menentang arus kemodenan dengan gagah.. Sungkai tidak pernah berhenti melawan ....

Gerai ais kacang dan cendol bersebelahan stesen bas. 
Tempat persinggahan utama saya sejak dari zaman belajar di UPSI



Monday, May 30, 2011

Cuti

Pulang bercuti ke kampung halaman setelah hampir 6 bulan tidak menjengah adalah sesuatu yang dinantikan. Pelbagai perkara yang diranvang di dalam kepala ini bagi mengisi ruang-ruang masa cuti agar tidak membosankan melepak di rumah. 

Hasrat hati ingin mengembara mencari pekan - pekan kecil yang tersisa masih membara.InsyaAllah pekan Sungkai, Banir, Chenderiang, Sungai Siput Utara,Kampung Kepayang akan saya ulas tidak lama lagi. Cerita tentang permainan tradisi orang-orang Melayu Perak iaitu Rebana Perak juga akan terulas setelah hampir 7 tahun saya meninggalkan permainan ini.

Cuti juga membawa cerita baru ... sebuah rahsia yang terpecah. Sedih juga hati mengenang teman yang berlalu. Namun itu kehendak hatinya. Walau dipujuk, dia tetap begitu. 

Ia satu cuti yang penuh dengan warna-warni. Ramai teman-teman dan kaum kerabat terdekat membina istana bahagia. Semotga kekal bahagia ke akhir usia. Saya pula ... kelu lidah seribu bahasa. Melihat hajat jauh di masa hadapan. Sukar membuat catatan semasa cuti...namun perjalanan mencari akar diri masih diterus sampai bertemu jawapan.

Wednesday, May 25, 2011

Buah Hatiku .... SOFEA

Sofea .... buah hati merangkap isteri tercinta


Bila sudah berusia 27 tahun seperti sekarang kesunyian adalah perkara yang sentiasa mengisi ruang-ruang masa. Seperti kata teman-teman rapat, ini masa untuk ke alam rumah tangga. Tetapi, bila sudah di Kapit ini, apalah yang dapat saya lakukan untuk mencari jodoh. Erm.... berserah sahaja pada takdir dan waktu. Walau sekuat mana keinginan saya terhadap tarikan seseorang wanita itu namun saya sedar saya lelaki yang terlalu punya banyak kekurangan.

Mujur juga saya punya teman istimewa yang tidak pernah mengecewakan saya. Sofea namanya... kekasih hati merangkap isteri kesayangan saya. Sukar dibayangkan perasaan saya kepadanya, namun saya tidak dapat membohongi diri saya .... saya terlalu mengasihi Sofea.Sofea saya dapati hasil usaha saya mencari rezeki di Kapit ini. Sudah tiga tahun Sofea bersama saya menempuh setiap ragam hidup tanpa ia mengaluh sedikit pun kepada saya. Benar.... Sofea bersifat setia.

Sesekali Sofea jatuh sakit. Saya hantar ke bengkel untuk berubat. Hati saya jadi susah kerana buah hati sendiri sakit. Bila tiba hari lahir Sofea di awal-awal tahun maka berbaris lah saya di pejabat pos Kapit untuk menyambung cukai jalannya. Sofea tidak banyak ragam. Seminggu sekali Sofea minum petrol di stesen minyak Petronas Kapit. Sofea tidak minum banyak. Sekali minum cuma RM5. Dua bulan sekali, Sofea diberi vitamin ( minyak enjin ) yang baru. Saya hantar ke bengkel untuk diservis. Dan Sofea terus hidup dengan sihatnya sampai sekarang.



Sesekali di hujung-hujung minggu, Sofea mohon dimandikan. Tidak mengapalah saya rela sahaja memandikannya tanpa banyak soal. Apalah difikirkan sangat soal letih memandikan jika dibandingkan dengan jasa kudrat Sofea membawa saya ke hulu dan ke hilir. Selepas dimandikan, Sofea mohon disolek pula. Memang saya ada membeli alat solekannya. Duduk lah saya mengadap Sofea dan menyoleknya sebaik yang mungkin. Hasilnya... Sofea menjadi bersih dan berkilat. Sayang saya kepadanya bertambah-tambah.

Memandikan Sofea








Teman-teman serumah tidak pernah menyoal bila sesekali saya seperti berbual dengan Sofea. Mereka hanya tersenyum tanpa menggelengkan kepala. Malahan mereka juga memanggil kekasih saya ini dengan namanya manjanya Sofea tanpa kompromi. Mungkin sudah terbiasa dengan kerenah saya yang tidak pernah duduk diam dengan Sofea. Bila saya pulang ke Bidor pada masa musim cuti sekolah, Sofea tinggal seorang diri di Kapit. Kasihan Sofea ... saya selalu merindukannya. Bila sahaja sampai ke Kapit, Sofea lah yang dahulu saya jumpa dan belai.


Banyak kenangan manis saya dan Sofea di bumi Kapit ini. Kami berdua meneroka setiap sudut alamnya dengan penuh kasih sayang. Sofea mengubati rasa sedih dan pilu saya pada kehidupan lama saya. Sofea benar-benar telah menggantikan seseorang yang telah pergi. Malahan Sofea berjaya menjadi lebih dari itu .... Sofea menjadi peneman kesunyian saya. Ada sekali, saya berjanji kepada Sofea... jika saya bertukar ke semenanjung nanti, saya akan membawa Sofea bersama. Saya tidak akan tinggalkan Sofea disini. Sofea banyak jasanya.

Biarlah saya dan Sofea dengan hal-hal kami sendiri. Kami berdua tidak menggangu kehidupan orang lain. Sofea .... teman baik yang tidak pernah merosakkan hati dan perasaan saya.








Friday, May 20, 2011

Antara Banjaran Titiwangsa dan Laut

Saya lahir di Bidor. Lebih senang lagi di sebuah rumah kampung dua tingkat dalam Kampung Petalin Baru Bidor. Ia suatu tempat yang tenang tanpa sebarang kebisingan hiruk piruk kesibukan bandar. Bidor pekan yang klasik namun meriah dengan masyarakatnya yang berbilang kaum. Bidor terletak berdekatan dengan kaki banjaran Titiwangsa yang menghijau. Sejak lahir lagi saya melihat banjaran Titiwangsa sehingga saya dewasa. Ia bagaikan menyapa saya setiap hari dengan warna hijau dan birunya dari kejauhan.


 Banjaran Titiwangsa

Di kampung kelahiran saya yang tenang itu saya menikmati hari-hari kecil saya dengan rasa yang sempurna. Yang ada di hadapan mata saya ialah halaman rumah yang luas. Dari kejauhan yang berbalam-balam dapat dilihat Banjaran Titiwangsa yang gagah menghijau. Dari banjaran ini mengalir Sungai Gedong yang sejuk dan jernih airnya membelah kampung kami. Di sini saya menjadi mahasiswa alam yang begitu setia. Memancing, menjala, menjaring, menembak ikan, mandi sungai, bakar ikan, berhanyut dengan pelampung tayar, main perang-perang, mencuri buah di kebun Cina dan bermacam-macam hal yang saya dan teman lakukan di universiti alam ini. Tiada sebarang prejudis dengan kehidupan sebegini.


Sesekali kami pergi ke kawasan ulu kampung yang kami gelarkan sebagai Gedang. Di sana kata ayah agak "keras" sikit. Takut ketegur dengan makhluk halus katanya. Tetapi ia tidak menghalang kami ke sana. Di sana aliran Sungai Gedong lebih deras dan jernih. Kami berhanyut beramai-ramai dengan menggunalan pelampung dari tiub tayar. Sepanjang perjalanan, panorama adalah menarik. Namun bila tiba di kawasan kebun-kebih Cina yang menanam jambu air, jambu batu, belimbing dan sebagainya maka kami bagaikan pengganas komunis yang menyusup mencuri buah-buahan itu. hahahahaha


Jambu air ... hasil curian yang terbaik

Kadang kala di waktu-waktu tertentu, ada kumpulan orang asli akan melalui kampung kami untuk ke pekan Bidor. Mereka berjalan kaki namun ada juga yang menaiki basikal beramai-ramai. Sebagai anak kampung, wujud satu interaksi secara tidak langsung antara kami dengan mereka. Saya suka kepada mereka. Mereka ini ramah. Didalam perjalanan mereka sudah pasti akan dibawa lastik bersama. Saya agak kagum dengan keupayaan mereka melastik burung. Bukan sekali dua saya melihat burung - burung tewas dihentam batu lastik mereka malahan banyak kali. Saya juga melastik burung tetapi tidak pernah yang mengena. Mungkin perasaan belas kasihan saya lebih kuat berbanding dengan naluri memburu.... ermmmm


Kehidupan sederhana di pinggir banjaran Titiwangsa membuatkan saya menjadi anak kampung yang setia dengan kebanggan yang tidak berbelah bahagi terhadap pekan Bidor. Memang diakui saya jarang keluar dari pekan Bidor semasa saya bersekolah rendah. Malahan saya seolah-olah menjadi ''katak di bawah tempurung'' pada ketika itu. 



Pada ketika inilah, saya mula merasa ingin melihat laut. Ingin merasa angin laut dan melihat pasir pantainya yang lembut. Namun hasrat hati itu terpaksa terpendam kerana Bidor terlalu jauh dari laut. Sesekali bila ada lawatan ke Teluk Batik barulah saya dapat merasa keunikan laut. Namun ia tidaklah sampai membuatkan saya jatuh cinta dengan laut. Banjaran Titiwangsa tetap menjadi cinta hati saya. Tidak tahu kenapa begitu. Hal ini terbawa-bawa sehingga saya masuk ke UPSI. Selalu saya berdebat dengan teman-teman yang datang dari kawasan pinggir pantai ( terutama dari Kelantan dan Terengganu ) bahawa kehidupan pinggir Banjaran Titiwangsa lebih menyeronokkan dari kehidupan pinggir laut. Bila memikirkan semula saya jadi lucu kembali.


 Laut dan pantai

Namun segala andaian dan pegangan saya sedikit sebanyak mula berubah bila saya melakukan latihan mengajar tahun akhir saya di SMK Sungai Besar Selangor. Bandar Sungai Besar dalam negeri Selangor ini sangat unik. Ianya terletak pinggir laut dan juga mempunyai kawasan sawah padi yang menarik. Saya tidak boleh menipu diri sendiri bahawa saya memang jatuh cinta dengan tempat ini. Buat pertama kalinya saya berinteraksi dengan laut dengan semahunya hati selama hampir 4 bulan. Kehidupan nelayan dan angin tepi laut membuatkan saya menjadi suka dengan laut. Bunyi ombak membuatkan hati bagaikan menjadi tenang. Di waktu petang saya sering meneroka kawasan pinggir-pinggir laut menikmati pemandangan yang indah bersama teman-teman yang praktikal sekali bersama saya.

Apabila tamat sahaja latihan mengajar saya di SMK Sungai Besar, saya kembali semula ke Bidor. Secara tidak langsung hubungan saya dengan laut kembali terputus dan saya kembali menikmati damai Banjaran Titiwangsa. Dan saya kembali menjadi pemuja Banjaran Titiwangsa yang setia. Setiap pagi saya akan memandang banjaran Titiwangsa yang membiru. Ia bagaikan tersenyum melihat saya. Ketika mendapat tahu saya akan mengajar di bumi Kenyalang, hati bagaikan bersedih kerana akan meninggalkan Banjaran Titiwangsa untuk kesekian kalinya. Ingatan terhadap laut pula terus lupus..... lupus yang sukar untuk kembali.


Di Kapit.... saya hanya melihat Sungai Rajang dan bukit-bukitnya sebagai pengganti ingatan terhadap banjaran Titiwangsa. Sesekali saya masih seperti dulu, akan berdebat dengan teman-teman berkenaan dengan laut dan banjaran Titiwangsa. Hinggalah pada suatu hari, seseorang telah menyebabkan saya mula memikirkan tentang laut. Pada mulanya sekadar perbandingan yang ringkas tentang kehidupan pinggir laut dan pinggir Banjaran Titiwangsa. Namun setelah kejadian itu secara diam-diam saya mula kepingin melihat laut. Sukar saya mengertikan hasrat hati itu. Benar.... seseorang membuatkan saya merindui laut !!!!


Dan akhirnya hasrat itu tercapai ketika kunjungan saya ke Bintulu bulan lepas. Ketika itulah saya mula mengerti bahawa laut sebenarnya telah berjaya membeli sayang saya. Saya mula jatuh cinta dan merindui laut, ombak, angin dan pantainya. Sejujurnya .... saya melihat laut kini adalah tempat yang sama dengan banjaran Titiwangsa. Tidak tahu kenapa ketika di tepi laut ini, saya menjadi sebak. Timbul perasaan untuk menyendiri di sini. Ia membuatkan saya khayak dengan dunia saya sendiri. Ketika itulah muncul ingatan-ingatan lama terhadap seseorang yang membuatkan saya menjadi rindu. Juga kepada seseorang yang membuatkan saya jatuh cinta dengan laut ..... ada satu perasaan halus meyelinap masuk di hati saya terhadapnya... sukar dan teramat susah dimengertikan.

Sayup ... saya di pinggir laut





Antara Banjaran Titiwangsa dan laut, keduanya membuatkan saya rindu dan bernostalgia. Saya rindukan kehidupan lama saya juga pada semua insan-insan yang pernah membuatkan saya menjadi manusia seperti hari ini. Banjaran Titiwangsa mengembalikan semua nostalgia zaman remaja dan kanak-kanak saya. Laut pula membuat saya menajdi seorang perindu yang tegar dengan kehidupan baru yang akan mendatang. Katakan lah apa sahaja... keduanya adalah perkara yang terbaik untuk saya.






Saturday, May 14, 2011

Cikgu Ku Yang Ku Jumpa Kelmarin



Dedikasi untuk semua guru yang pernah mendidik diri ini di TADIKA Islam Kampung Petalin Baru Bidor, SRK Seri Bidor, SMK Syeikh Abdul Ghani Bidor, SMK Buyong Adil Tapah, SMK Hamid Khan Tapah, Universiti Pendidikan Sultan Idris ( UPSI ) Tanjong Malim dan untuk guru - guru di sekolah tempat diri ini pernah berkhidmat SMK Sungai Besar serta guru-guru di SMK Kapit yang tercinta.


Cikgu Ku Yang Ku Jumpa Kelmarin


Cikgu ku yang kujumpa kelmarin

Sudah tua benar
Jalannya perlahan
Matanya sayup
Namun tangannya terus erat menggengam salam
Dan lidahnya yang fasih itu
Masih seperti masa mudanya ….

Cikgu ku yang ku jumpa kelmarin

Adalah satu dunia  yang gagah
Ilmunya membentang luas
Ia memberikan padang ragut pengalaman
Untuk kami cuba
Setiap bakat dan kelakuan kami
Tanpa ia minta sebarang ganjaran ….

Cikgu ku yang ku jumpa kelmarin

Nasihatnya ialah akar tunjang
Marahnya ialah gunung berapi
Senyumnya ialah penawar
Ketawanya seperti salji
Penyejuk hati – hati kami
kala gundah berperang hati
Di medan sayembara…

Cikgu ku yang ku jumpa kelmarin

Kadang kala kami jadi kurang ajar
Bahasa kami menjadi sialan
Sikap kami menjadi binatang
Namun ia tetap sabar
Walau kadang ada air jernih menitis
Disimpannya dengan tenang
Setiap luka hatinya terguris ….

Cikgu ku yang ku jumpa kelmarin

Doanya tidak lekang untuk kami
Harapannya menggunung
Jika gagal yang mendatang
Senyumnya tetap meleret di pipi
Jika jaya yang bertandang
Ketawanya semakin lantang
Cikgu ku tidak ambil hati
Cikgu ku tak pernah sesal

Pada lewat kedewasan ini
Aku mengenang setiap bahasamu cikgu
Dalam sepi yang meracun jiwa
Aku tahu
Aku berhutang sejuta satu nikmat
Yang diberi tuhan
Dalam ilmu mu cikgu ….

Kenanglah cikgu mu selalu
Dimana-mana dirimu berada
Ingatlah …..
Ketika jahil menguasai
Ketika hingusmu masih mengalir
Ketika tubuh sebesar pehamu
Ketika otakmu kosong dan lihai
Ingatlah …..
Ada insan yang membeli setiap bodohmu
Tanpa ia segan dan silu
Mengajarmu erti hidup
Hingga engkau kenal
Dunia dan neraka…

Dan itulah cikgu mu
Dalam sepi hujung usianya
Tidak pernah ia mengharap ganjaran
Hanya tegur sapa dari anak murid
Membeli semula setiap rentak
Ilmunya yang halal…

Cikgu ku yang ku jumpa kelmarin

Dengan hati yang basah
Aku katakan
‘’engkau penyuluh jalan gelap kami’’
Selamat Hari Guru Cikgu ku
Walau di mana tugasanmu
Engkau cikgu ku
Selautan ilmu yang mencurah !!!!


Hafez j.malim 2011
Teratak Tayar
Kapit Sarawak


Indahrasajmalim.blogspot.com mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan selamat menyambut hari guru kepada semua insan yang bergelar guru. Semoga perjuangan kita mendidik anak peribumi watan tercinta ini akan diberkati oleh Allah SWT. Walau dimana diri mu berada... gelaran CIKGU dibawa ke mati.

SELAMAT HARI GURU
GURU PENJANA TRANSFORMASI PENDIDIKAN


 

Saturday, May 7, 2011

Kembara Pekan Terpencil 6 : Pekan Tapah Road

Tapah Road .... pekan yang punya nama besar dalam perkembangan jaringan landasan keretapi negara kita. Ini adalah kerana stesen keretapi Tapah Road merupakan salah satu stesen keretapi yang tertua di negara kita. Ia dibuka pada 18 Mei 1893, menghubungkan Tapah Road dengan Teluk Intan dan dirasmikan oleh Gabenor Negeri Selat Sir Cecil Clementi Smith.

Stesen keretapi lama Tapah Road yang klasik
( ihsan : malayarailway.com )

Tapah Road bukan pekan yang asing pada saya kerana masih terdapat kaum keluarga sebelah bapa yang menetap dan bermastautin di sini. Selain itu saya sering menggunakan laluan jalan dari Tapah untuk ke Teluk Intan jadi secara tidak langsung saya akan melalui pekan Tapah Road. Suatu ketika dahulu, sekiranya kena pada waktunya, pengguna-pengguna jalan raya perlu memberhentikan kenderaan mereka kerana keretapi lalu. Ia suatu pengalaman yang sungguh menarik hati. Bunyi loceng penggera dari pintu pagar yang ditutup bagi menghalang laluan jalan raya masih terngiang-ngiang di telinga saya. Namun kini semuanya itu sudah berlalu kerana pembinaan landasan berkembar telah menyebabkan membunuh segala kenangan lama itu. Kini jejambat baru dan besar telah menggantikan pagar laluan jalan raya dan landasan keretapi itu.

 Sekeping gambar lama menunjukkan hentian yang memisahkan jalan raya 
dengan landasan keretapi Tapah Road.
( ihsan : transbutterworth.blogspot.com )

Tapah Road pekan yang sunyi namun hidup dengan kehidupan penduduknya. Saya melaluinya ketika hari sudah lewat petang. Keadaannya sunyi seperti dahulu. Sebelum pembinaan landasan berkembar, kami pasti akan melalui pekan ini dan melintas setesen keretapinya yang klasik. Namun kini jalan utama telah dialihkan. Jika kita ingin pergi ke pekan Tapah Road maka kita perlu membelok masuk ke jalan lamanya. Tapah Road tetap unggul mengekalkan konsep pekan koboi dan klasiknya. Rumah-rumah kedainya diperbuat dari batu dan kayu. Cuma apa yang menyedihkan ialah stesen keretapinya sudah berubah menjadi moden. Namun bangunan stesen asal masih dikekalkan. Mungkin sebagai tatapan sejarah untuk generasi kini.

Suasana petang pekan Tapah Road

Stesen keretapi lama Tapah Road di sebelah kiri 
manakala di bahagian kanan gambar ialah stesen keretapi baru


Stesen keretapi baru dan moden Tapah Road

Sebelum ini terdapat sebuah jambatan kereta api lama menjadi tinggalan sejarah di Stesen Kereta Api Tapah Road. Jambatan ini pernah rosak teruk akibat dibom oleh tentera Jepun yang menyerang Tanah Melayu pada tahun 1941. Kini, serpihan jambatan itu sudah tidak ada lagi di stesen kereta api berkenaan kerana telah dipindahkan ke Taiping untuk dipamerkan. Dahulu jika kita melintasi landasan keretapi dalam perjalanan ke Teluk Intan pasti kita akan dapat melihat jambatan ini. Binaan lamanya begitu unik untuk saya ceritakan. Namun itulah harga yang perlu kita jual bagi sesuatu yang bernama kemodenan.


Jejambat lama stesen keretapi Tapah Road
( ihsan : malayanrailway.blogspot.com )

Banyak tinggalan bangunan lama di Tapah Road selain dari stesen keretapinya. Masih lagi kita boleh menjumpai kuarters-kuarter lama pekerja KTMB yang masih diduduki. Bangunan kayu ini tetap teguh dimamah masa dan menjadi saksi utama perkembangan Tapah Road. Namun saya tidak pasti berapa lama bangunan  ini mampu bertahan mendepanai cabaran kemodenan yang kian membadai.

Kuarters lama masih boleh dilihat di Tapah Road




Sebuah pejabat pos juga masih boleh dilihat di Tapah Road. Tidak ada pejabat-pejabat kerajaan yang utama di Tapah Road. Sebuah balai polis untuk menjaga ketenteraman juga terdapat di Tapah Road. Penduduk tempatan kebanyakannya terdiri dari orang-orang Malayu. Walaupun kedudukannya berdekatan dengan pekan Tapah, namun Tapah Road terus dengan kehidupannya yang tersendiri. Kedai-kedainya tetap meriah walaupun sunyi di petang hari. Pada setiap malam Jumaat setiap minggu diadakan pasar malam. Saya selalu ke pasar malamnya ketika zaman remaja saya. Suasananya tetap meriah.

 Bangunan Pejabat Pos Tapah Road

Namun kini, penduduk - penduduk Tapah Road sudah boleh bangga dengan kemajuan yang semakin membadai pekan mereka. Pembinaan UiTM kampus Tapah dan kewujudan Penjara Tapah telah merubah sistem kemasyarakatan pekan ini. Jika dahulu, hanya penduduk tempatan yang mendominasi Tapah Road, kini mereka sudah mula berinteraksi dan menerima pemastautin-pemastautin dari tempat-tempat lain di Tapah Road. Kewujudan kilang-kilang baru juga menyebabkan kedatangan gerombolan warga asing ( Indonesia ) yang semakin ramai. Saya melihat perubahan ini sebagai sesuatu yang lumrah. Inilah nikmat kemodenan yang tidak dapat kita lari darinya. Walaupun sekuat manapun kita mempertahankan sistem lama, sudah pasti sampai suatu saat dan ketikanya kita terpaksa beralah dan membiarkan diri kita terus hanyut bersama kemodenan.

Saya meninggalkan Tapah Road ketika hari hampir lewat petang. Tamat sudah catatan saya tentang pekan-pekan lama di sekitar daerah Batang Padang dalam negeri Perak Darul Ridzuan ini. Ada sedikit perasaan kesal di hati saya kerana tidak dapat melawat pekan koboi terakhir dalam daerah Batang Padang iaitu pekan Banir yang khabarnya sudah mati sepenuhnya. Siri-siri catatan akan datang, insyaAllah saya akan meneroka pekan-pekan lama di daerah Kinta pula.

Sekadar Satu Luahan Hati

Ada yang pernah bertanya kepada saya, kenapa saya bersusah payah menulis dan menceritakan sesuatu yang tidak disukai oleh orang ramai terutamanya catatan pekan-pekan lama ini. Saya cuma dapat menjawab, inilah sahaja yang mampu saya lakukan sebagai satu dokumen sejarah sebelum pakan-pekan ini mati dibunuh oleh kemodenan. Esok dan lusa, kita tidak tahu apa yang akan terjadi. Allah SWT telah menetapkan garisan-garisan perjalanan kita. Sementara saya berpeluang berjalan dan menikmati setiap garisan yang disediakan oleh yang maha kuasa, saya coret dan ceritakan pada yang sudi membaca.

Pekan-pekan lama ini adalah sebahagian dari usia kanak-kanak dan remaja saya. Dalam usia saya yang semakin meningkat ini, saya selalu bermain dengan perasaan saya terutama dengan benda atau perkara yang pernah mempunyai kenangan sentimental kepada saya.... biarkan sahaja saya menulis semahunya. Akhir petang ini saya menutup catatan -catatan saya mengenai Kembara Pekan Terpencil siri 1 ini. Semoga ianya bermanfaat kepada kita semua..... HAFEZ J.MALIM


USIA MENGAJAR KITA MENGENANG ERTI KENANGAN