BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

.

Photobucket

Saturday, May 14, 2011

Cikgu Ku Yang Ku Jumpa Kelmarin



Dedikasi untuk semua guru yang pernah mendidik diri ini di TADIKA Islam Kampung Petalin Baru Bidor, SRK Seri Bidor, SMK Syeikh Abdul Ghani Bidor, SMK Buyong Adil Tapah, SMK Hamid Khan Tapah, Universiti Pendidikan Sultan Idris ( UPSI ) Tanjong Malim dan untuk guru - guru di sekolah tempat diri ini pernah berkhidmat SMK Sungai Besar serta guru-guru di SMK Kapit yang tercinta.


Cikgu Ku Yang Ku Jumpa Kelmarin


Cikgu ku yang kujumpa kelmarin

Sudah tua benar
Jalannya perlahan
Matanya sayup
Namun tangannya terus erat menggengam salam
Dan lidahnya yang fasih itu
Masih seperti masa mudanya ….

Cikgu ku yang ku jumpa kelmarin

Adalah satu dunia  yang gagah
Ilmunya membentang luas
Ia memberikan padang ragut pengalaman
Untuk kami cuba
Setiap bakat dan kelakuan kami
Tanpa ia minta sebarang ganjaran ….

Cikgu ku yang ku jumpa kelmarin

Nasihatnya ialah akar tunjang
Marahnya ialah gunung berapi
Senyumnya ialah penawar
Ketawanya seperti salji
Penyejuk hati – hati kami
kala gundah berperang hati
Di medan sayembara…

Cikgu ku yang ku jumpa kelmarin

Kadang kala kami jadi kurang ajar
Bahasa kami menjadi sialan
Sikap kami menjadi binatang
Namun ia tetap sabar
Walau kadang ada air jernih menitis
Disimpannya dengan tenang
Setiap luka hatinya terguris ….

Cikgu ku yang ku jumpa kelmarin

Doanya tidak lekang untuk kami
Harapannya menggunung
Jika gagal yang mendatang
Senyumnya tetap meleret di pipi
Jika jaya yang bertandang
Ketawanya semakin lantang
Cikgu ku tidak ambil hati
Cikgu ku tak pernah sesal

Pada lewat kedewasan ini
Aku mengenang setiap bahasamu cikgu
Dalam sepi yang meracun jiwa
Aku tahu
Aku berhutang sejuta satu nikmat
Yang diberi tuhan
Dalam ilmu mu cikgu ….

Kenanglah cikgu mu selalu
Dimana-mana dirimu berada
Ingatlah …..
Ketika jahil menguasai
Ketika hingusmu masih mengalir
Ketika tubuh sebesar pehamu
Ketika otakmu kosong dan lihai
Ingatlah …..
Ada insan yang membeli setiap bodohmu
Tanpa ia segan dan silu
Mengajarmu erti hidup
Hingga engkau kenal
Dunia dan neraka…

Dan itulah cikgu mu
Dalam sepi hujung usianya
Tidak pernah ia mengharap ganjaran
Hanya tegur sapa dari anak murid
Membeli semula setiap rentak
Ilmunya yang halal…

Cikgu ku yang ku jumpa kelmarin

Dengan hati yang basah
Aku katakan
‘’engkau penyuluh jalan gelap kami’’
Selamat Hari Guru Cikgu ku
Walau di mana tugasanmu
Engkau cikgu ku
Selautan ilmu yang mencurah !!!!


Hafez j.malim 2011
Teratak Tayar
Kapit Sarawak


Indahrasajmalim.blogspot.com mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan selamat menyambut hari guru kepada semua insan yang bergelar guru. Semoga perjuangan kita mendidik anak peribumi watan tercinta ini akan diberkati oleh Allah SWT. Walau dimana diri mu berada... gelaran CIKGU dibawa ke mati.

SELAMAT HARI GURU
GURU PENJANA TRANSFORMASI PENDIDIKAN


 

2 ulasan:

A strange stranger said...

Sungguh menyentuh perasaan,kerna aku juga seorang guru tua yang berkhidmat untuk mendidik dan berkhidmat.

hafez j malim said...

salam ...

terima kasih atas komen sdr... seorang guru sampai bila2 pun tetap seorang guru... salam kenalan dari saya