BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

.

Photobucket

Sunday, May 1, 2011

Coretan Marhaen Di Hari Pekerja ....

Hari ini, seperti tahun-tahun yang lepas pada tarikh yang sama kita akan menyambut hari pekerja. Pada tarikh 1 Mei setiap tahun, negara memberikan cuti umum bagi menghargai jasa dan sumbangan kelas pekerja terhadap kemajuan dan pembangunan negara. Saya melihat hari pekerja dari sudut yang sukar dimengertikan ... ada sesuatu yang mengganggu gugat pemikiran saya pada hari ini. 




Memang hari ini cuti umum. Memang hari ini ialah hari mengenang dan menghargai kelas pekerja. Namun dalam dunia yang serba mencabar ini, dengan wang menjadi hambatan yang paling kejam dalam kehidupan manusia adakah kelas pekerja benar-benar telah dilindungi hak kehidupannya ? ....jawapannya ada.... malam ini saya menemui jawapannya. Di daerah pedalaman ini saya melihat dunia terlalu kejam untuk seorang pekerja. Lebih mudah lagi untuk seorang manusia yang bernama pengawal keselamatan sekolah.


Sekadar gambar hiasan

Ketika sibuk menyiapkan tugasan backdrop di sekolah sebentar tadi, saya dikunjungi oleh pengawal keselamatan sekolah yang sedang membuat rondaan malam. Dia seorang tua yang kecil sahaja tubuh badannya. Kedutan di wajahnya jelas dan urat-urat ketuaan jelas di lengannya. Tersenyum saya bila dia memandang dan menegur saya dari tepi tingkap bilik pendidikan seni. Kami berbual-bual mesra. Namun dari raut wajahnya bagaikan menyimpan suatu seksa yang sukar dijelas. Diceritakan segalanya kepada saya... baru saya mengerti, dia dalam dilema ... sama ada mahu berhenti kerja atau terus sahaja kerja dengan menerima gaji berjumlah RM500 sebulan.

Siang tadi teman sekerjanya sudah berhenti kerja kerana tidak tahan dengan gaji yang kecil. Malam ini dia bekerja berseorangan. Diceritakannya lagi, sewa rumahnya berjumlah RM300. Baki duit itulah yang digunakan untuk bekal hidup sekeluarga. Ditokok tambah dengan hasil isterinya yang bekerja di kedai makan cina. Sayu hati saya mengenang ceritanya. Usianya sama dengan ayah saya. Ayah saya juga seorang pengawal keselamatan. Berapalah sangat gaji seorang pengawal keselamatan yang bekerja 12 jam menjaga keselamatan sekolah. Dengan beban kenaikan harga barangan keperluan setiap masa, sukar saya melihat cahaya terang dalam kehidupannya. Tambahan pula hidup di daerah pedalaman ini... yang harga barangannya jauh lebih mahal dari harga sebenar.

Ingatan saya terus tumpah kepada ayah. Ayah bekerja sebagai seorang pengawal keselamatan. Setelah diberhentikan kerja dari kilang yang hamppir 30 tahun lebih mencurah keringat, ayah bekerja pula sebagai pengawal keselamatan. Semasa mudanya, ayah seorang aktivis Kesatuan Sekerja di kilangnya. Pernah saya melihat gambar-gambar lama ayah dan rakan-rakannya melakukan mogok di kilang tempatnya bekerja. Ayah masih muda ketika itu. Kata ayah dahulu kelas pekerja sangat kuat pengaruhnya. Ia mampu memberi kesan kepada ekonomi negara jika pekerja mogok. Namun sejak kebanjiran pendatang tanpa izin ke nagara kita, golongan pekerja bagaikan kehilangan kuasa mereka. Malahan ayah sendiri diberhentikan atas alasan kilang ingin menggunakan khidmat pekerja asing yang jauh lebih murah dan menjimatkan.

 Pekerja dan mogok ... 
masih punya kekuatan lagi di zaman kapitalis ini ?

Dan bekerjalah ayah selepas itu sebagai pengawal keselamatan dengan gaji RM700 sebulan. Sebagai catatan di sini, saya memasuki universiti dengan duit gantirugi pampasan ayah diberhentikan kerja. Sampai sekarang saya masih mengenang jasa ayah. Dengan duit papasan itulah saya menjadi cikgu seperti yang terlihat hari ini. Dalam usia yang akan mencecah ke angka 60 tahun, ayah masih cekal bekerja menanggung makan minum keluarga di kampung. Ayah tidak pernah mengeluh walaupun kadangkala kehabisan wang di hujung-hujung bulan. Saya sudah merasakan susah senang menjadi anak seorang pekerja kilang. Tidak pernah kami merasa mewah. Pernah juga kami tidak mempunyai lauk untuk dimakan. Saya terus mengenang zaman itu sebagai guru yang paling terbaik dalam kehidupan saya.

Ketika pulang melewati pondok pengawal keselamatan sekolah itu tadi, saya memandangnya. Di memberikan senyuman kepada saya dan saya membalasnya dengan senyuman simpati. Saya mengerti apa yang bersarang dihatinya.... apa yang terkandung di benak hatinya. Saya berlalu dengan hati yang pedih. Sampai di rumah, teman-teman ada membeli nasi bungkus untuk saya... ketika makan itu saya terfikir hanya untuk sesuap nasi... dunia menjadi terlalu kejam untuk marhaen seperti kami !!!!!!!


 Perlukah sosialis lagi di zaman kapitalis ini?


0 ulasan: