BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Sunday, April 26, 2026

MELIHAT-LIHAT KENANGAN USIA 1 : MENGENANG ASPURA SMK HAMID KHAN DAN SEORANG GADIS BERMATA JERNIH DALAM SKETSA MANIS USIA REMAJA

 MELIHAT-LIHAT KENANGAN USIA 1


MENGENANG ASPURA SMK HAMID KHAN DAN SEORANG GADIS BERMATA JERNIH DALAM SKETSA MANIS USIA REMAJA

    

Suatu Kunjungan Petang

    Saya mengunjunginya di suatu petang sunyi yang tenang. Sengaja saya datang pada lewat petang berkenaan. Saya mahu melihat dan mengimbau kembali hari-hari lama, ketika diri menumpang tinggal selama hampir setahun pada tahun 2003, di asrama kecil di atas bukit kecil yang melelahkan jiwa untuk mendakinya.

    Selama lebih dari dua puluh tahun saya meninggalkannya, keadaan dan suasananya tidak banyak yang berubah. Tetap sama aromanya seperti dahulu. Yang berubah mungkin landskapnya. Banggunan baru juga telah dibina. Dahulu ia adalah sebuah asrama harian kecil yang menempatkan tidak lebih dari lima puluh orang pelajar lelaki dari dua buah sekolah iaitu SMK Hamid Khan dan SMK Buyong Adil.

    Keterbalikan dari itu, asrama untuk pelajar-pelajar perempuan pula terletak di SMK Buyong Adil, yang juga menempatkan pelajar-pelajar perempuan dari dua buah sekolah yang punya sejarah panjang ini. 

    Saya sendiri agak pelik melihat keadaan diri pada ketika itu... terasa ganjil apabila diri bersekolah di sekolah lain tetapi tinggal pula menumpang di asrama milik sekolah yang lain. Namun itulah keunikan yang terdapat dalam perhubungan aneh dan bergelora antara SMK Buyong Adil dan SMK Hamid Khan ini. Kedua-dua sekolah berjiran ini punya cerita panjang yang berselerakan sepanjang kewujudannya.

    
     Keterangan gambar : Saya di pintu hadapan SMK Hamid Khan, Tapah.
Saya mungkin anak angkat di SMK Hamid Khan dan bukan alumninya. 
Saya hanya menumpang tinggal di asrama puteranya selama hampir setahun pada tahun 2003. 
Saya pada ketika itu belajar di kelas Tingkatan Enam di SMK Buyong Adil yang terletak kira-kira hampir satu kilometer jarak berjalan kaki di SMK Hamid Khan ini.

    "Asrama atas bukit" ... itulah yang arwah ayah gelarkan untuk asrama ke kecil ini. Seusai saya meninggalkan asrama ini selepas tamat peperiksaan STPM, arwah ayah pula mendapat peluang kerja menjadi pengawal keselamatan di sini. Tidak dapat saya bayangkan bagaimana ayah yang berani menjadi pengawal keselamatan di asrama yang terkenal dengan cerita-cerita mistiknya. Cerita yang diperturunkan dari generasi ke generasi pelajar di asrama ini.

    Kisah tiang berdarah dan tandas lama yang ditinggalkan seringkali ditokok tambah jalan ceritanya, menjadi suatu lagenda yang begitu subur di kalangan warga asrama. Ianya membekas di fikiran, dan sukar dilupakan. Hal ini hingga menyukarkan aktiviti berak di tengah malam kerana ketakutan yang membelenggu, terutama di kalangan pelajar tingkatan satu.

    Saban malam ayah yang sesekali ditemani emak mengawal kawasan asrama tanpa takut. Mungkin ayah ada cerita seram yang tidak pernah dia ceritakan kepada saya dan terus dibawa ke alam kuburnya. Ayah seorang penyimpan rahsia yang sangat bagus. Tidak seperti saya yang mudah bercerita ini 

    Ia adalah asrama kecil sunyi dan terpencil di atas bukit. Ketika peperiksaan STPM dan SPM berlangsung jumlah pelajar yang tertinggal di asrama adalah tidak lebih dari dua puluh orang.  Warga asrama dari tingkatan hingga 4 telah pulang ke kampung halaman masing-masing untuk bercuti. Ia adalah kami yang menguasai asrama dan bebas melakukan apa sahaja tanpa rasa takut. Tinggal dalam jumlah yang sedikit menjadikan kami lebih berani dan bersatu padu.

    Dan kesunyian itu tidak pernah membuatkan kami bungkam. Sesekali kesunyian itu membuatkan saya terpana dengan keasyikan... lalu hanya kepada teman-teman sahajalah saya meluangkan masa bercerita, berfantasi dan mencari hiburan malam yang sensasi ( fly keluar asrama ). Itu pernah saya dan teman-teman lakukan tanpa gentar. Semuanya demi mengisi kekosongan perut di tengah malam atau cukup sahaja melepak santai di kerusi kayu penonton gelanggang tenis Tapah.


Keterangan gambar : Sunyi petang di pintu pagar utama SMK Hamid Khan. 
Dahulu Allahyarham ayah saya akan mengambil saya dengan motosikal Suzuki RC 80 miliknya di ruang lapang seberang jalan berhadapan pintu ini. 
Saya akan keseorangan di asrama ketika teman-teman lain balik lebih awal sedangkan saya perlu menunggu ayah pulang kerja dari kilangnya pada jam 5.00 petang. 
Jika ada duit lebihan belanja yang saya jimatkan, saya lebih suka menaiki bas Hup Yik untuk pulang ke pekan Bidor.


    Waktu pagi di asrama adalah suatu pagi yang sibuk. Kami akan berlumbaan mandi dan bersiap untuk ke sekolah. Saya jarang bersolat Subuh di surau. Kebiasaannya kami pelajar-pelajar tingkatan enam lebih selesa untuk bersolat di dalam dorm sahaja. Itu lebih mudah dan warden juga tidak pernah bertanya itu dan ini kepada kami.

    Malahan sarapan pagi yang disediakan oleh pengusaha dewan makan juga tidak pernah saya ambil bagi mengelakkan kelewatan. Ditambah pula dengan pilihan menu pagi yang dikatakan " lebih taugeh dari kuetiau " atau lebih mesra disebut " taugeh masak kuetiau " menyebabkan selera makan pagi saya dan teman-teman agak terbantut di asrama ini.

    Kami perlu menempuh perjalanan berjalan kaki dari asrama menuju ke SMK Buyong Adil yang berjarak hampir satu kilometer. Perjalanan menuruni bukit asrama di awal pagi tidaklah serasa begitu siksa kerana kedinginan pagi. 

    Namun apabila pulang ke asrama di tengah hari yang panas ... ia menjadi sebuah perjalanan berjalan kaki dan mendaki yang menyiksakan saya. Peluh dan daki adalah musuh utama bagi pelajar tingkatan enam seperti saya. Ini adalah kerana kami memakai uniform putih dari baju sehingga seluar.

Keterangan gambar : Pintu pagar Asrama Putera SMK Hamid Khan dari kejauhan.
Gambar ini hanya memaparkan sebahagian dari bukit kecil yang perlu didaki oleh saya dan teman-teman asrama apabila pulang dari sekolah di tengah hari yang terik. 
Jika tidak mendaki bukit ini saya akan melalui puluhan anak tangga untuk sampai ke dorm Ibnu Sina yang menjadi tempat saya menumpang teduh selama hampir setahun.

    

    Saya punya sebab yang tersendiri untuk turun lebih awal untuk berjalan kaki ke sekolah. Saya mahu berselisih dan bertentang mata dengan seorang gadis manis yang tinggal di Asrama Puteri SMK Buyong Adil. Dia bersekolah di SMK Hamid Khan, maka sudah pasti kami akan berselisih di pertengahan jalan.

    Saya tidak tahu bagaimana perasaan dan keinginan yang sensasi itu muncul. Ketika kami berselisih pada sebelum-sebelum itu tidaklah ada pandangan yang mata yang bertentang atau hadiah senyuman yang diberi. Namun apabila saban waktu berselisih ... entah dari mana datangnya gejolak itu ...saya dapat rasakan gadis itu memang menarik minat saya sebagai seorang remaja. Saya tidak tahu sama ada itu adalah rasa cinta atau ia hanya sekadar rasa suka yang menggatal !.

    Sinar matanya jernih ... saya suka melihat matanya. Jika terlihatnya dari kejauhan pandangan, saya mahu ingin cepat sekali berselisih dengannya. Saya mahu menikmati masa-masa itu dengan bersegera tanpa punya apa-apa halangan. Itu adalah doa kudus yang saya panjatkan saban pagi tanpa jemu kala melaksanakan solat Subuh.

Keterangan gambar : Di laluan pejalan kaki di kanan gambar inilah saya 
sering berselisih dan saling berbalas senyuman dengan gadis bermata jernih 
yang biasanya membuatkan saya menyanyi riang sepanjang hari. 
Arwah ayah pernah bekerja sebagai pengawal keselamatan di 
ASPURA SMK Hamid Khan hampir lima tahun lamanya. Inilah laluan yang dilalui
olehnya untuk mencari rezeki buat kami sekeluarga. 
Al-Fatihah dibaca buat ayah saya Jahauddin Bin Ismail ( 1.3.1952 - 2.7.2018 )


    Entah bagaimana pada suatu pagi yang indah, gadis itu melemparkan senyuman kepada saya dalam keadaan mata kami yang saling bertentangan. Membuatkan saya menjadi angau seketika di sekolah. Dunia seolah-olah menjadi milik saya dan terasa seperti makan ayam Kentaki secara percuma. Ia seperti suatu kemenangan moral yang begitu lama saya idam-idamkan.

Keterangan gambar : Suasananya tidak banyak berubah sejah dari hari saya
meninggalkannya hampir 21 tahun yang lalu. Sunyi dan tersendiri. 
Jika pulang ke asrama, saya lebih selesa berjalan kaki dari setesen bas Tapah
melalui jalan ini menuju ke asrama.  Jika ada teman-teman seasrama yang 
pulang bersekali di dalam bas Hup Yik yang tua dan berdebu itu,
 maka adalah teman seperjalanan. Jika tiada ... nikmati sahaja 
perjalanan berjalan kaki bersendiri tanpa banyak bicara.


    Namun fikiran-fikiran rasional saya berkembang dengan baik di kepala. Saya mula beranggapan itu adalah senyuman sinis atau mungkin senyuman yang terkeluar dari bicara gurau sendanya bersama-sama teman seperjalanan, dan bukannya buat lelaki keparat seperti saya yang serba gelap lagi hodoh ini.

    Namun, esoknya ia berjalan begitu juga... dan kami saling melempar senyuman dan menatap mata. Ianya berlaku saban masa setiap pagi atau di tengah hari di jalan kecil itu. Alangkah manisnya nuansa itu...ia membuatkan saya akan bernyanyi riang di bilik air asrama ketika mencuci pakaian tanpa sebab. Ia menjadikan saya asyik dalam fikiran yang berbalam namun penuh keterujaan.

Keterangan gambar : Dahulu ada satu lorong kecil yang membolehkan
kami memintas jarak perjalanan untuk ke sekolah ( SMK Buyong Adil ).
Laluan ini akan membawa kami melalui sebuah rumah banglo kayu besar
yang klasik dan pepohon rendang yang redup hingga ke persimpangan Jalan Kelab.
Saya amat menyukai suasana pagi ketika melaluinya. Ia seakan 
mengembalikan nostalgia lama dan serasa masa seakan-akan 
memujuk saya menikmati nuansanya dengan tenang.


    Sayangnya, begitulah saya setiap hari. Walaupun namanya saya cari dan selidiki, tetapi tidak pernah terlintas di kepala ini untuk berbicara atau memulakan perkenalan dengannya. 

    Sesekali saya terserempak dan bertemu dengannya di pekan Tapah ketika hari "outing" asrama iaitu di hari Sabtu. Atau cukup sahaja ada bersamanya bersekali di dalam bas Hup Yik yang tua dan berdebu itu untuk pulang ke kampung atau pulang ke asrama. Dan kami hanya bertentangan mata, tersenyum dan terdiam. Saya sendiri tidak memahami perasaan saya ketika itu. Namun saya yakin ... hati saya telah ditawan olehnya. Ia adalah cinta monyet yang sangat-sangat saya nantikan !. Tetapi itulah.. saya tidak punya kuasa untuk memulakan perhubungan itu. Saya terlalu pemalu dan merasa rendah diri.

    "Tipikal dan bodoh"  kata seorang teman. "Lebih baik mengorat budak tingkatan satu lagi best" katanya lagi. Dia memang punya koleksi adik angkat yang ramai di sekolah.

    Saya menjadi pengecut dan bodoh. Saya segan dan terasa amat rendah diri. Benar semasa di tingkatan enam saya mengalami masalah rendah diri yang serius. Saya sedar wajahnya yang secantik itu adalah tidak berpadanan dengan saya yang kurus kejung dan gelap ini. Kesudahannya usai menghabiskan peperiksaan STPM dan meninggalkan asrama ... saya terus kehilangan senyuman gadis bermata jernih yang benar-benar mencairkan diri saya untuk selamanya. 

    Semuanya hilang dalam renjatan masa yang menekan tahun demi tahun.... lalu kelupaan menguasai diri hingga tidak pernah lagi memikirkan tentang gadis itu hampir dua puluh tahun lamanya. Dan benarlah, masa sentiasa menjadi ubat yang paling mujarab merawati rasa kecewa dan lara manusia.

.............

    Hari ini, saya melihat jalan ( ke asrama ) itu dan ingatan lama itu muncul kembali. Jalan sunyi ke asrama itu tidak pernah berubah. Terasa seperti melihat bayang-bayang diri dan teman-teman bersenda gurau di pinggirnya ketika pergi atau pulang dari sekolah. Atau ketika kami keluar petang,  menikmati sepinggan roti canai dan cucur udang sambil menikmati tayangan gusti di restoran Tapah. Ia adalah momen yang masih terngiang-ngiang di ingatan. Alangkah manisnya kenangan itu... alangkah... alangkah !

Keterangan gambar : Monumen papan tanda masuk ke SMK Hamid Khan
dari arah simpang Jalan Damai. Bermula dari sini kita akan 
melalui jalan sunyi untuk sampai ke kawasan sekolah dan asrama.


    Jauh berbalam di atas tidak jauh dari surau asrama, masih ada tangki air yang agak tinggi. Seingat-ingat sayalsh, ada beberapa kali saya memanjatnya bersama teman-teman. Kami menikmati suasana petang yang damai dari puncaknya dan pastinya ketika itu tiada warden di asrama.

Keterangan gambar : Tangki air asrama dari kejauhan.
Selama saya di asrama, saya menaikinya beberapa kali ketika warden
tiada di asrama.


    Di suatu petang sunyi ketika hampir tamat peperiksaan STPM saya memanjat tangki berkenaan bersama seorang teman baik... kami berbaring berdua di atas tangki ini dalam usia akhir remaja. Kami melihat panorama petang sunyi yang damai dan sunyi. Benar saya masih mengingati apa yang kami bualkan.

    Kami berbual dan bercerita tentang masa depan yang tak pasti. Benar... kami dalam persimpangan hidup antara beratnya meninggalkan alam persekolahan menuju ke destinasi baru ..... alam mahasiswa yang amatbkami idam-idamkan itu. Adakah kami akan menjadi mahasiswa universiti ?.... semuanya mengganggu gugat fikiran kami berdua. Dan di atas tangki itulah kami menjerit-jerit melepas rasa dengan hati yang puas dan megah. Benar-benar kami melepas rasa yang panjang.

    Peristiwa itu kekal dalam ingatan saya hingga ke hari ini. Ia momen paling sugul yang membuatkan hati ini mudah serasa sebak dan luluh. Alangkah mudahnya hidup ketika itu sebagai remaja.... tidak punya gajet dan sekadar cukup punya wang RM10 di dompet. Cumanya ketika teman-teman remaja lain memilih untuk punya buah hati berkasih-kasihan, saya pula memilih untuk menjadi  seorang lelaki yang menyendiri.

    Tanpa saya sedari... masa depan yang kami bualkan itu telah kami lalui dengan jerih dan payah seperti yang terlihat hari ini. Ia berlaku dengan pantas dan tanpa sedar. Usia meningkat dan kami menerokanya dengan doa harapan yang tidak putus-putus.

    Dua puluh tahun lebih telah berlalu ... bas Hup Yik yang menjadi nadi pengangkutan kami budak-budak asrama untuk pulang ke kampung dan asrama juga telah menamatkan perkhidmatannya. Stesen bas Tapah yang menjadi tempat melepak kami dahulu juga semakin sunyi dan bungkam. Tiada lagi perkhidmatan bas henti-henti syarikat bas Hup Yik, Kamta dan Regal di sini. Semuanya sudah mati dibawa kenangan yang berlalu.

    Mee kicap stesen bas kesukaan saya yang dahulunya berharga RM1.50, kini berubah menjadi RM6 sepinggan ... Semuanya berubah pantas dan saya juga semakin tua. Ayah juga sudah lama berpulang ke rahmad Ilahi. Semuanya berputar pantas. Tidak terkejar oleh kudrat diri yang serba daif.

.................

    Di suatu pagi tahun 2024 yang tenang, seusai saya keseorangan bersarapan pagi di sebuah warung kecil di pekan Tapah.... saya termenung mengenang-ngenang cerita lama zaman remaja sewaktu disini. Seorang wanita manis memasuki warung berkenaan dan melewati meja saya. Saya memandangnya sepintas lalu. Entah bagaimana ketika dia menoleh ke belakang pandangan mata kami saling bertentang ... 

    Saya menjadi kelu... melarikan pandangan mata sendiri ke arah lantai. Hati berdebar dan terasa aneh. Perlahan-lahan wanita itu melemparkan sebuah senyuman yang begitu lama tidak saya saksikan. Ya .... matanya yang jernih itu membuatkan saya mengingatinya !. Itu senyuman yang saya dambakan saban hari dua puluh tahun yang terdahulu.

    Dia meninggalkan saya termanggu sendiri. Dari kejauhan saya melihatnya berjalan menuju ke kereta besarnya. Pastinya dia sudah berkeluarga bila melihat saiz keretanya. Ah ... apalah yang perlu saya fikirkan tentang rasa dan perasaan yang telah lama mati itu. Tetapi ia tetap berbekas di ingatan.


Senyumannya masih berseri seperti dahulu dan  diberikan percuma kepada saya yang dahaga. Cuma untuk kali ini sensasinya sudah tidak seperti dahulu. Masa telah menggantikan senyuman yang tidak kesampaian itu dengan senyuman sang isteri tercinta yang sentiasa membuatkan saya merasa bahagia. Sudah pasti gadis itu juga begitu. Memiliki keluarga dan bahagia dengan caranya yang tersendiri. Pastinya skripnya juga berbeza.

    Cumanya senyuman itu membuatkan saya mengenang kembali masa-masa akhir remaja, hidup berdikari berkawan-kawan di asrama kecil di atas bukit itu. Benar... asrama kecil itu Ia menjadikan saya seperti yang terlihat di hari ini. Saya lulus dengan agak cemerlang dalam peperiksaan STPM seterusnya melanjutkan pelajaran ke universiti yang diidam-idamkan dan akhirnya menjadi seorang guru kini. 

    Susah senang hidup berkawan-kawan di ASPURA SMK Hamid Khan ini tidak pernah saya lupakan hingga akhir hayat saya. Ia adalah memori indah... membuat hati menjadi sayu. Dua puluh tahun lebih, ia bukanlah masa yang sebentar, namun tetap manis untuk dikenang-kenang tanpa jemu.

    Semoga tulisan kecil ini menjadi Ingat-ingatan buat budak-budak Buyong Adil yang tinggal menumpang di Aspura SMK Hamid Khan tahun 2003... Peje, Jelmol, arwah Mamak, Iman, Anas, Abing, Adli dan ada beberapa lagi yang saya kelupaan namanya. Juga buat teman-teman lain dari SMK Hamid Khan yang namanya tidak sempat dinukilkan. Semuanya tetap subur dalam ingatan usia.

InsyaAllah selagi nyawa tidak terpisah badan.... Saya tidak pernah berhenti mengenang !


Hafez J.Malim

Pustaka Persuratan Melayu Baru

Batu Pahat, Johor


2 Mac 2024

Tuesday, May 2, 2023

Sesuatu Yang Perlahan



Untuk suatu masa yang kian jauh
ia membina tembok rindu dan asyik
hingga aku menjadi pelupa
itu bukan nuansa yang ku kecap
di hari ini ... suatu hari yang bising.

Ia terus berjalan
sendu lesu dan perlahan
lalu membisik kecil
pada telingaku yang makin tuli
" kelak nanti kamu juga akan pergi
menuruti aku yang ketuaan ini
dan pada hari itu
kamu menjadi sunyi
asing dan tidak bermakna
pada binatang buas
yang bernama kemodenan " !

Hafez J.Malim
11 Mac 2020


Pekan Temoh, Perak dalam kenang-kenangan dan ingatan usia.

Saturday, November 9, 2019

KENANG-KENANGAN MERDEKA ( HORMAT KEPADA MEREKA YANG MENGHILANG ) 3

MENGENANG CIKGU ABDUL HADI HAJI HASSAN 
" PATRIOT BESAR YANG TERASING"

 Abdul Hafez Bin Jahauddin
Batu Pahat, Johor.

Hak Cipta Terpelihara
Pustaka Persuratan Melayu Baru, Batu Pahat Johor.



Allahyarham Cikgu Abdul Hadi Haji Hassan
( 1900 - 1937 )

Tidak ramai generasi selepas merdeka pada hari ini yang mengenali susuk tubuh yang bernama Cikgu Abdul Hadi Haji Hassan. Jarang sekali malah hampir tidak ada catatan yang ampuh bagi memperihalkan kewibawaan dan ketokohan beliau di akhbar, majalah atau di kaca televisyen sepanjang kita menyambut hari kemerdekaan negara setiap tahun.

Penulisan akademik terhadap sumbangan beliau juga amat kurang hingga membataskan namanya untuk diletakkan sebagai hero besar dalam perjalanan epik kemerdekaan negara pada tanggal 31 Ogos 1957 yang bersejarah itu. Maka oleh itu, ruang lingkup sejarah kemerdekaan negara kita akan terus-terusan  berbicara berkenaan manusia-manusia yang berada di dalam "rombongan kapal kemerdekaan " itu sahaja sampai bila-bila.

Rombongan kemerdekaan ke London tahun 1956 yang
menaiki kapal MV Asia dari Singapura.

Dan itulah hakikat sejarah yang perlu kita telan seenaknya. Perjalanan kebebasan yang panjang itu akhirnya dimenangi oleh mereka-mereka berperanan paling akhir dalam "perang diplomasi" kemerdekaan paling unik dalam sejarah dunia. Maka bagi pendahulu perjalanan kemerdekaan itu, tertinggallah mereka atau terkubur atas jalan yang telah mereka rintiskan. Ada yang namanya sempat diabadikan di dalam buku-buku sejarah. Ada yang hilang luput ditelan masa dan kemodenan. Hanya doa dan iringan surah Al-Fatihah sahaja yang dapat diberi sebagai tanda kenang-kenangan kepada roh para pejuang kemerdekaan yang namanya hilang begitu sahaja dari lipatan sejarah negara yang tercinta ini.

Itulah yang cuba saya coretkan dalam siri penulisan Kenang-Kenangan Merdeka di dalam blog perkongsian ini. Penulisan yang bukan bersifat akademik malahan kekurangan bahan rujukan yang sempurna. Namun pada saya, ia sudah cukup istimewa dalam memberikan satu bahan cerita khusus bagi mengenang mereka yang punya peranan besar dalam sejarah perjuangan kemerdekaan negara kita ini. Mungkin ia adalah satu penulisan picisan yang tidak punya nilai akademik. Tetapi bagi saya ia sudah cukup "sempurna" untuk menyatakan mereka masih dalam ingatan dan kenang-kenangan kami, anak merdeka.

Khusus untuk meraikan hari kemerdekaan negara persekutuan Malaysia yang tercinta ini, saya coretkan kenang-kenangan buat Allahyarham Cikgu Abdul Hadi Haji Hassan. Suatu susuk besar yang berperanan paling awal dalam pembentukan semangat kebangsaan Melayu. Ia jauh lebih awal  .... ketika bangsa Melayu itu sendiri belum kenal istilah MERDEKA yang ditempik sorakkan oleh kita pada tanggal 31 Ogos sepanjang 60 tahun ini. Dan untuk lebih memilukan ... inilah susuk yang tidak sempat melihat detik kemerdekaan itu walaupun beliau adalah generasi Melayu terawal yang mengimpikan istilah MERDEKA itu buat tanah tumpah darahnya ini.

Bagi yang bernostalgia dengan istilah MERDEKA... kita harus mengenang beliau... Cukuplah untuk suatu masa yang sebentar.... tiada paksaan untuk anda !

Sebuah Buku Yang Bersejarah


Sejarah Alam Melayu karya Cikgu Abdul Hadi Haji Hassan
( Kitab keramat penyubur semangat nasionalisme Melayu )

Beberapa hari yang lalu saya telah membuat pembelian sebuah kitab atau buku lama ( perkiraan saya sesuai diistilahkan buku langka ) secara atas talian pada harga yang agak tinggi. Sebenarnya sudah lama saya berkeinginan untuk memiliki kitab berkenaan, atas dasar ia punya nilai sejarah dan sumbangan yang berharga dalam perjalanan kemerdekaan negara kita ini. Namun harganya di atas talian memang agak tinggi tambahan pula ia seringkali diburu oleh pengumpul barangan antik, buku-buku lama malahan ahli akademik juga mencarinya.

Kitab atau buku yang saya maksudkan itu adalah Kitab Sejarah Alam Melayu. Ada sesuatu yang penting untuk diungkapkan berkenaan dengan buku ini. Ia bukan sekadar sebuah buku sejarah malahan lebih dari itu. Mungkin isi kandungannya tidak sehebat buku-buku sejarah moden yang dikarang oleh tokoh-tokoh ilmuwan bertaraf profesor yang lebih akademik dan ilmiah sifatnya.

Namun buku ini ada kelebihannya yang tersendiri, malahan jauh mengatasi karya-karya akademik terkini. Inilah buku yang menjadi "kitab keramat" penghasilan kebangkitan nasionalisma orang-orang Melayu sebelum merdeka. Dan susuk yang berperanan dalam menghasilkan kitab Sejarah Alam Melayu ini adalah Cikgu Abdul Hadi Haji Hassan yang kelak akan memainkan peranan besar dalam penghasilan ribuan nasionalis agung di negara kita.

Siapa Cikgu Abdul Hadi Haji Hassan ?

Melaka sebagai sebuah negeri yang menjadi tempat terawal bermulanya penjajahan di alam Melayu sangat bertuah, kerana di situlah kelak lahirnya seorang tokoh guru Melayu terawal yang memainkan peranan penting dalam sejarah perjuangan kemerdekaan negara ini iaitu Cikgu Abdul Hadi Haji Hassan.

Beliau lahir di Kampung Batang Tiga, Melaka dalam tahun 1900 ( Shaharom Husain, Selingkar Kenangan Abadi, 1996 ). Ramlah Adam pula melalui buku Maktab Melayu Melaka 1900 -1922 pula menuliskan tahun Cikgu Abdul Hadi Haji Hassan meninggal dunia ialah pada tahun 1937 dalam usia 31 tahun ( dengan perkiraan sendiri beliau lahir pada tahun 1906 ).

Saya lebih selesa untuk menerima tahun kelahiran Cikgu Abdul Hadi Haji Hassan ialah pada tahun 1900. Ini diperkuatkan lagi melalui rencana berjudul Bermulanya Nasionalisma yang ditulis oleh Allahyarham Adi Mas  di majalah Cenderamata MPSI tahun 1973 yang menyatakan Cikgu Abdul Hadi Haji Hassan lahir pada tahun 1900.

Masjid Batang Tiga, Melaka dibina pada tahun 1917.
Batang Tiga merupakan tempat kelahiran 
Cikgu Abdul Hadi Haji Hassan pada tahun 1900.
( sumber gambar : Google )

Tidak jelas perihal kedua ibu dan bapa kepada Cikgu Abdul Hadi Haji Hassan ini. Bapanya bernama Haji Hasaan dan ibunya bernama Makhdum Binti Muhammad Amin. Namun jika dilihat pada gelaran Haji pada pangkal nama bapanya, besar kemungkinan keluarganya terdiri dari golongan yang agak berada pada masa itu di Kampung Batang Tiga. 

Beliau mula memasuki alam persekolah di Sekolah Melayu Batang Tiga.  Beliau kemudiannya dilantik pula menjadi guru pelatih di sekolah yang sama sebelum dipindahkan ke Sekolah Bukit Rambai, Melaka pada tahun 1913 ( Ramlah Adam, 1991 ). 

Pada tahun 1915, beliau kembali semula ke Sekolah Melayu Batang Tiga sebagai guru penolong. Sekolah Melayu Batang Tiga ini sudah tidak lagi wujud kerana telah digabungkan sekali dengan Sekolah Melayu Lereh pada tahun 1930. Inilah keunikan sistem pendidikan pada masa itu, dalam usia 12 tahun seseorang murid yang cerdas itu boleh sahaja dilantik sebagai guru pelatih di sekolah Melayu. Ia mungkin sebagai satu persediaan awal sebelum mereka diberikan peluang untuk menuntut di Maktab Melayu Melaka yang telah ditubuhkan pada tahun 1900.

Sekolah Kebangsaan Bukit Rambai, dahulunya dikenali
sebagai Sekolah Melayu Bukit Rambai.
 Cikgu Abdul Hadi Haji Hassan
pernah menjadi guru pelatih di sekolah ini 
dari tahun 1913 hingga 1915.

Pada tahun 1917, Cikgu Abdul Hadi Haji Hassan telah terpilih untuk mengikuti latihan perguruan di Maktab Melayu Melaka yang merupakan salah satu dari dua institusi latihan guru terawal di Tanah Melayu selain dari Maktab Melayu Matang di Perak.Kedua-dua institusi latihan guru ini akhirnya ditutup pada tahun 1922 selepas sahaja Sultan Idris Training College ( SITC ) dibuka di Tanjong Malim. 

Beliau menamatkan pengajiannya di Maktab Melayu Melaka pada bulai Mei 1919 dengan mendapat Sijil Pertama dan "Hadiah Mohd Jaafar" untuk pelajaran Bahasa Melayu ( Ramlah Adam, 1991 ). Pada pandangan saya dalam keadaan sistem pendidikan Melayu ketika itu, pencapaian Cikgu Abdul Hadi Haji Hassan sudah dikira satu pencapaian yang hebat. Ini secara tidak langsung memperlihatkan ketokohan dan wibawa beliau sebagai seorang guru Melayu kelak.

Gambar guru dan pelajar di Maktab Melayu Melaka
pada tahun 1916

Menurut Ramlah Adam menerusi bukunya Maktab Melayu Melaka 1900-1922, penuntut yang mendapat Sijil Pertama mempunyai peluang untuk menjadi guru di maktab tersebut. Ini merupakan penghormatan yang tinggi untuk para pelajar yang tekun dan rajin dalam pelajaran mereka. Oleh itu adalah tidak menghairankan jika Cikgu Abdul Hadi seterusnya telah dilantik menjadi guru di Maktab Melayu Melaka bagi mengajar ilmu Tawarikh dan Bahasa Melayu pada November 1921.

Namun demikian, sebelum beliau menjadi tenaga pengajar di Maktab Melayu Melaka, beliau terlebih dahulu menjadi guru di Sekolah Tanjung Keling, Melaka ( sekolah ini ditutup pada tahun 1930 setelah digabungkan dengan Sekolah Melayu Lereh ). Pada tahun 1921, beliau telah dilantik menjadi guru besar di Sekolah Latihan Maktab Melayu Melaka sebelum bertukar ke Sekolah Melayu Lereh pada tahun yang sama. Ini bermakna dalam tahun 1921 itu, Cikgu Abdul Hadi telah mengalami tiga kali pertukaran tempat mengajar !.

Banggunan lama Sekolah Melayu Lereh yang ditubuhkan
pada tahun 1905. Cikgu Abdul Hadi Haji Hassan pernah mengajar 
di sini pada tahun 1921.

Di Maktab Melayu Melaka, Cikgu Abdul Hadi Haji Hassan mengajar matapelajaran Tawarikh dan Bahasa Melayu kepada bakal-bakal guru. Masalah utama yang dihadapi oleh bakal-bakal guru di maktab ini adalah kekurangan buku rujukan. Buku rujukan utama yang digunakan untuk matapelajaran tawarikh adalah History Of Malaya karangan R.J Wilkinson. Selain itu bahan-bahan pengajaran juga dikutip dari buku-buku Inggeris ( Ramlah Adam, 1996 ) 

Maka oleh sebab itu adalah tidak menghairankan jika hal ini kelak telah menyebabkan Cikgu Abdul Hadi Haji Hassan merasa terpanggil untuk menulis buku Sejarah Alam Melayu yang kelak akan menjadi rujukan utama orang-orang Melayu sebelum merdeka. Ia mungkin atas kesedaran beliau betapa peri pentingnya sejarah bagi menaikkan semula martabat bangsa Melayu yang terjajah. Dan pasti misinya jauh ke hadapan .... melahirkan ungkapan merdeka pada jiwa anak bangsa Melayu !.

SITC Tanjong Malim

SITC Tanjong Malim
( Ibu Kandung Suluh Budiman )

Cikgu Abdul Hadi Haji Hassan cuma berkesempatan mengajar di Maktab Melayu Melaka lebih kurang dalam satu tahun lebih lamanya. Pada tahun 1922, Maktab Melayu Melaka telah ditutup berikutan dengan pembukaan Sultan Idris Training College For Malay Teacher ( SITC ) di Tanjong Malim, Perak. Turut ditutup ialah Maktab Melayu Matang di Taiping, Perak.

Maka bermulah satu lembaran baru dalam sejarah dunia pendidikan orang-orang Melayu apabila sebuah "universiti" paling agung dalam sistem pendidikan vernakular Melayu pada masa itu telah ditubuhkan oleh penjajah Inggeris. Di SITC, pelajar lepasan sekolah Melayu dari seluruh Tanah Melayu, Brunei, Singapura dan Sarawak dihimpunkan sekali khusus untuk mendapatkan ilmu keguruan. Secara tidak langsung, disinilah tembok kenegerian mula terhapus dan semangat kebangsaan mula tertanam di dalam diri anak bangsa Melayu buat pertama kalinya.

Dengan penutupan Maktab Melayu Melaka, Cikgu Abdul Hadi Haji Hassan seterusnya berpindah untuk mengajar di SITC. Turut bersamanya dari Maktab Melayu Melaka ke SITC adalah beberapa orang guru lain seperti Cikgu Ahmad Bakhtiar ( guru besar SITC, 1952-1959 ), Cikgu Abdul Rahman Haji Mahyuddin ( guru besar SITC, 1947 - 1952 ), Cikgu Mohd Hashim Haji Taib ( penolong guru besar Melayu SITC seterusnya guru besar SITC, 1922 - 1940 ) serta penuntut-penuntut Maktab Melayu Melaka itu sendiri.

Cikgu Abdul Hadi Haji Hassan ( duduk tiga dari kanan ) 
bersama guru-guru SITC yang lain. Turut kelihatan dalam 
gambar ialah Cikgu Ahmad Bin Abdullah@Ahmad Bakhtiar
( duduk kanan sekali ) dan
 Cikgu Mohd Hashim Haji Taib ( duduk kelima dari kanan ).
( sumber rujukan gambar : Memoir Shaharom Husain 
Selingkar Kenangan Abadi, UKM 1996 )

Cikgu Ahmad Bin Abdullah @ Ahmad Bakhtiar
( Guru dan Guru Besar SITC )

Cikgu Abdul Hadi Haji Hassan merupakan kumpulan guru pertama yang ditugaskan menjadi tenaga pengajar di SITC. Tempoh perkhidmatannya di SITC menjangkau hampir 7 tahun bermula dari tahun 1922 sehingga tahun 1929. Sepanjang tempoh tujuh tahun perkhidmatannya di SITC, beliau banyak melahirkan tokoh-tokoh pemimpin yang kelak memainkan peranan yang penting dalam perjuangan kemerdekaan negara kita.

Dengan jumlah pelajar yang jauh lebih besar, Cikgu Abdul Hadi Haji Hassan melihat di sinilah tempat semaian paling sesuai bagi menyuburkan cita-cita dan semangat kebangsaan Melayunya. Di SITC, beliau mengajar matapelajaran tawarikh serta Bahasa Melayu sama seperti ketika beliau mengajar di Maktab Melayu Melaka.

Mengambil sedikit rujukan dari atas talian berkaitan dengan perkhidmatannya di SITC maka saya coretkan satu rencana yang ditulis oleh penyunting Majalah Chenderamata ( majalah rasmi SITC ) bilangan 29 tahun 1937, yang berbunyi :

''Selama di kolej ini, Cikgu itu terkenal sebagai seorang guru tawarikh yang sangat usaha, bahkan bolehlah dikatakan Cikgu itu dahulu ' Bapa Ilmu Tawarikh' di kolej ini. Kecenderungannya dalam perkara Bahasa Melayu demikian jua, dan dia jualah seorang dari pegawai-pegawai yang berpangkat 2nd Lieutenant dalam pasukan Volunteer di kolej pada masa permulaan pasukan itu diadakan dahulu".

Di SITC inilah juga, Cikgu Abdul Hadi Haji Hassan mula memperlihatkan sikap yang agak bias terhadap penjajahan Inggeris. Hal ini mungkin berpunca dari minatnya terhadap amalan membaca. Minatnya terhadap dunia pembacaan itu meluas dan beliau mula mendapatkan bahan-bahan bacaan dari Indonesia ekoran dari bahan bacaan berbahasa Melayu pada ketika itu agak terhad.

Mengikut kata-kata dari salah seorang muridnya yang bernama Tuan Haji Ahmad Bin Haji Abdul Samad ( SITC - 1923-1925 ), beliau menyatakan Cikgu Abdul Hadi Haji Hassan yang tinggal di bilik guru Rumah A, mempunyai sedikit masa untuk tidur pada waktu malam. Pada waktu pagi didapati puntung rokok bersepah di lantai kerana masa malamnya digunakan untuk membaca dan mengarang.

Saya juga memetik penulisan Sasterawan Negara Abdullah Hussain dalam buku biografi Harun Aminurashid Pembangkit Semangat Kemerdekaan ( DBP, 1982 ) yang jelas menyatakan kekaguman Harun Aminurashid terhadap gurunya Cikgu Abdul Hadi Haji Hassan. Menurutnya Cikgu Abdul Hadi ialah seorang yang kuat membaca. Kebanyakan bahan buku-buku bacaannya  ialah buku-buku sejarah baik yang dalam bahasa Inggeris mahupun di dalam bahasa Indonesia.

Pendedahan yang berterusan terhadap bahan bacaan Indonesia inilah kelak yang mula menimbulkan pemikiran konsep Melayu Raya terhadap diri Cikgu Abdul Hadi Haji Hassan. Ramlah Adam melalui bukunya berjudul Gerakan Radikalisme Di Malaysia ( DBP, 2004 ) menyatakan idea dan konsep asas Melayu Raya atau Indonesia Raya ini telah dicetuskan oleh Abdul Hadi Haji Hassan melalui buku-bukunya yang bertajuk Kitab Sejarah Alam Melayu Penggal 1,2 dan 3.

Hal ini terbukti melalui kenyataan salah seorang muridnya yang terulung iaitu Cikgu Buyong Adil ( SITC, 1924-1926 ) dalam temubualnya dengan tokoh pendidik Awang Had Salleh ( SITC, 1951-1954 ) yang menyatakan :

"Cikgu Abdul Hadi banyak menggunakan bahan-bahan dari Indonesia sebagai rujukan dalam menyusun buku-buku sejarahnya itu, sehingga akhirnya sebahagian besar karya-karyanya dipengaruhi oleh konsep 'Nusantara' dan dari pemikiran yang sempit, pelajar tiba-tiba terdedah kepada kesedaran nasional yang meliputi wilayah yang lebih luas, berkongsi wira Nusantara (bukan tanpa alasan) sebagai diri mereka sendiri.( Abdullah Hussain, 1982 ).

Semasa mengajar Tawarikh atau sejarah, beliau gemar untuk menceritakan berkenaan keagungan sejarah kerajaan-kerajaan Melayu lama kepada para pelajarnya. Melalui penulisan Kitab Sejarah Alam Melayu Penggal 1,2 dan 3, Cikgu Abdul Hadi Haji Hassan bukan sahaja mengajar sejarah tetapi menanamkan semangat jati diri Melayu kepada para pelajarnya. Hal inilah kelak akan melahirkan tokoh-tokoh besar yang bersemangat kebangsaan dan menyokong gagasan Melayu Raya seperti Ibrahim Haji Yaacob dan Harun Bin Muhammad Amin ( Harun Aminurashid ).

Inilah unik dan pentingnya kitab keramat 'Sejarah Alam Melayu' karangan Cikgu Abdul Hadi Hassan. Ia ditulis bukan sekadar sebagai buku rujukan pelajar malahan ia menjadi satu pedoman kepada orang-orang Melayu khususnya guru-guru Melayu untuk menginsafi kekurangan diri hingga terjajah sebegitu lama.

Ketika orang-orang Melayu buta dan teraba-raba mencari identiti diri, sejarah keagungan bangsanya hilang entah kemana, tiba-tiba muncul seorang anak Melayu dari Melaka yang mengarang dan menceritakan peri hebatnya sejarah bangsa Melayu itu dahulu. Membuatkan anak-anak Melayu mula bersemangat kebangsaan. Dan dari semangat kebangsaan yang meluap itu, muncul pejuang-pejuang bangsa yang berjuang untuk memerdekakan tanah air tercinta ini. Inilah sumbangan bakti yang tidak ternilai yang perlu dikenang oleh orang-orang Melayu sehingga kini. Kita terhutang budi yang terlalu besar terhadap jasa Cikgu Abdul Hadi Haji Hassan dan kitab Sejarah Alam Melayunya itu.

Pengaruh Cikgu Abdul Hadi Haji Hassan Terhadap Pelajar SITC.
Cikgu Harun Bin Muhammad Amin @ Harun Aminurashid

Harun Aminurashid, seorang tokoh guru, wartawan dan politikus Melayu adalah salah seorang pelajar kepada Cikgu Abdul Hadi Haji Hassan. Beliau mengikuti pengajian di SITC dari tahun 1924 hingga 1926. Adalah dipercayai gaya dan pemikiran Harun Aminurashid sangat dipengaruhi oleh Cikgu Abdul Hadi Haji Hassan.

Harun Muhamad Amin ( Harun Aminurashid )
SITC ( 1924 - 1926 ), Guru SITC ( 1927 - 1939 ). 


Menurut Abdullah Hussain dalam buku biografi Harun Amunurashid Pembangkit Semangat Kemerdekaan ( DBP;1982 ), Cikgu Abdul Hadi Haji Hassan telah berhasil menimbulkan kesedaran di dalam hati sanubari Harun Aminurashid tentang erti bangsa dan negara sehingga dalam masa yang singkat timbul keinsafannya akan kepentingan sejarah dengan maksud bahawa mengenal sejarah beerti mengenal diri sendiri.

Kekaguman Harun Aminurashid terhadap Cikgu Abdul Hadi Haji Hassan ini terbawa-bawa kepada caranya ia berpakaian. Ia mengikutnya ketika dilantik menjadi salah seorang guru di SITC , berpakaian lengkap, necis dan selalu berdasi. Selain itu, kebanyakan buku-buku yang dimiliki oleh Cikgu Abdul Hadi Haji Hassan diserahkan kepada Harun Aminurashid kerana beliau suka melihat minat Harun Aminurashid yang gemar membaca.

Harun Aminurashid semasa menjadi
guru di SITC sentiasa segak dan bergaya
sama seperti gurunya Cikgu Abdul Hadi Haji Hassan.

Harun Aminurashid yang kelaknya juga menjadi guru di SITC. Beliau meneruskan perjuangan Cikgu Abdul Hadi Haji Hassan untuk menanamkan semangat kebangsaan Melayu dalam diri para pelajarnya. Daripadanya pula lahir lebih ramai tokoh-tokoh nasionalis lain yang kelak bakal memainkan peranan yang penting dalam perjuangan kemerdekaan negara.

Dicoretkan satu kisah penting berkenaan dengan perkaitan erat antara Cikgu Abdul Hadi Haji Hassan dan Harun Aminurashid. Akibat dari sikap Harun Aminurashid yang anti penjajahan, maka beliau telah mula ditekan oleh Inggeris sedikit demi sedikit sewaktu mengajar di SITC. Hal ini adalah tidak menghairankan kerana dalam setiap kali pengajarannya, diselitkan dengan ucapan-ucapan yang sangat pedas dan menaikkan semangat kebangsaan kepada para pelajarnya.

Akibat dari tekanan yang berterusan itu telah timbul satu cita-cita dalam diri Harun Aminurashid untuk meninggalkan SITC dan pergi menuntut ilmu di luar negara. Tetapi apabila niatnya itu diketahui oleh Cikgu Abdul Hadi Haji Hassan, maka ia telah dipanggil  dan dinasihati selama tiga jam lamanya. Saya coretkan sedikit catatan SN Abdullah Hussan berkenaan nasihat yang diberikan oleh Cikgu Abdul Hadi Haji Hassan kepada Harun Aminurashid:

" Kerana kalau kau benar-benar mahu berkhidmat kepada bangsa dan tanah air, di sinilah tempatnya. Di sini kita boleh membangunkan semangat anak bangsa kita mulai dari sekarang ini. Kita tidak tahu apa yang akan terjadi dalam masa lima enam tahun lagi ketika kau masih belajar. Jadi lebih baik sahaja tinggal di sini".

Harun Aminurashid menerima teguran Cikgu Abdul Hadi Haji Hassan itu dan keberaniannya terhadap penjajah semakin bertambah. Akhirnya seperti mana Cikgu Abdul Hadi Haji Hassan yang kelak dipindahkan dari SITC ke Kelantan, begitulah juga yang berlaku kepada Harun Aminurashid apabila beliau dipindahkan dari SITC ke Brunei bagi menyandang jawatan Supretendan Of Education pada tahun 1940.

Perpindahannya ke Brunei ini kelak bakal memberi makna yang istimewa kepada anak-anak negeri Brunei. Menurut Pehin OK Laila Wangsa Haji Mohd Salleh bin Haji Masri ( SITC - ), Brunei bernasib baik dan bertuah kerana mendapat Cikgu Harun, kerana dia dapat diterima oleh masyarakat setempat dan pastinya penasihat British ( Residen ) akan pening kepala dengannya ( maksud lainnya kesukaran untuk menghadapi letusan semangat kebangsaan yang bakal terlahir di Brunei nanti ).

Saya memperkirakan nasihat yang diberikan oleh Cikgu Abdul Hadi Haji Hassan itu berlaku pada tahun 1937. Ia mungkin berlaku pada tahun akhir riwayat Cikgu Abdul Hadi Haji Hassan di dunia ini. Saya mengambil kira tekanan yang diterima oleh Cikgu Harun Aminurashid dari pihak British bermula sekitar dari peristiwa sekumpulan 129 orang pelajar SITC yang berarak di sekitar SITC bagi meraikan hari keputeraan Sultan Perak dengan menyanyikan lagu Putera Melayu yang dicipta oleh Harun Aminurashid. Lagu berkenaan dicipta dalam tahun 1936 atau 1937. Dan selepas itu tekanan terhadap Harun Muhammad Amin mula memuncak.

Antara bekas murid-murid Harun Aminurashid yang bergiat cergas dalam perjuangan kebangsaan adalah seperti Ibrahim Haji Yaakob, Hassan Manan Tan Sri Senu Abdul Rahman, dan Abdul Karim Rashid.

Ibrahim Haji Yaakob



Menurut Ramlah Adam di dalam bukunya Gerakan Radikalisasi Di Malaysia 1938-1965 ( DBP, 2004 ), Ibrahim Haji Yaakob adalah pengikut setia kepada gagasan Melayu Raya yang diilhamkan secara tidak langsung oleh Cikgu Abdul Hadi Haji Hassan melalui bukunya Sejarah Alam Melayu. Di peringkat awal pertumbuhan semangat kebangsaan di negara kita adalah sukar untuk mengelakkan dari memperihalkan hubungan yang istimewa antara semenanjung Tanah Melayu dengan Indonesia khususnya Sumatera.

Menurut Ramlah Adam ( 2004 ), Idea Melayu Raya atau Indonesia Raya telah dicetuskan melaui sebuah konsep yang dirumuskan oleh Abdul Hadi Haji Hassan melalui buku-bukunya yang bertajuk Kitab Sejarah Alam Melayu Jilid 1, 2 dan 3, yang diterbitkan oleh Malayan Publishing House, Singapura pada tahun 1030an. Abdul Hadi Haji Hassan merupakan pensyarah SITC, Tanjong Malim, ialah guru sejarah yang sangat bangga dengan kerajaan-kerajaan Melayu di Kepulauan Melayu yang wujud sebelum kedatatangan Barat ke rantau ini. Dengan menulis semula keagungan kerajaan-kerajaan tersebut, Abdul Hadi Haji Hassan bukan sahaja memberi ilmu sejarah kepada anak meridnya, tetapi telah memeri suatu jati diri kepada kebangsaan Melayu yang luas iaitu meliputi seluruh Kepulauan Melayu. Inilah yang menggalakkan pelajar SITC yang berminat kepada kebangsaan Melayu, mencari jati diri mereka. Ibrahim Haji Yaacob sudah pasti salah seorang darinya.

Dengan rentetan sejarah dan hubungan sedarah sebangsa yang saling berhubung kait, menyebabkan pemikiran orang-orang Melayu di Semenanjung Tanah Melayu ketika itu menganggap Indonesia itu adalah satu dalam rumpun Melayu yang besar. Malahan tidak keterlaluan untuk dikatakan bahawa Cikgu Abdul Hadi Haji Hassan merasakan istilah "bebas dari belenggu penjajahan" itu bermakna pembebasan bangsa Melayu yang keseluruhannya atau kebebasan bersama Tanah Melayu dan Indonesia. Hal inilah kelaknya bakal mempengaruhi Ibrahim Haji Yaakob tentang pegangan politiknya terutama yang melibatkan gagasan Melayu Raya, Indonesia Raya dan Konfrontasi Indonesia ke atas penubuhan Malaysia kelaknya.

Gagasan Indonesia Raya atau Melayu Raya ?
( sumber : Carian Google )


Ibrahim Haji Yaakob adalah susuk yang istimewa dalam sejarah panjang perjuangan kemerdekaan negara kita. Pencetus kepada pergerakan awal politik Melayu era moden ini melalui penubuhan Kesatuan Melayu Muda ( KMM ) mungkin dianggap sebagai seorang petualang oleh sesetengah orang atau ahli sejarah. Namun jasa dan peranannya dalam melahirkan ribuan pejuang kemerdekaan yang kelaknya bersarang di dalam banyak parti utama Melayu seperti UMNO, PAS dan PKMM memang amat sukar untuk dilupakan oleh sejarah.

Ibrahim Haji Yaakob menjadi penuntut di SITC pada tahun 1928 hingga tahun 1931. Ini bermakna beliau sempat menerima pengajaran dari Cikgu Abdul Hadi Haji Hassan untuk satu tahun sahaja ( dalam perkiraannya pada tahun 1928 Cikgu Abdul Hadi Haji Hassan ditukarkan ke Kelantan ).

Sesuatu yang menarik berkenaan dengan hal ini, Ibrahim sebenarnya sangat bertuah kerana beliau bukan sahaja menerima pengajaran dari Cikgu Abdul Hadi Haji Hassan sahaja semasa belajar di SITC. Beliau juga menerima pengajaran dari tokoh-tokoh penting era awal semarak semangat nasionalisme di Tanah Melayu seperti Allahyarham Tan Sri Zainal Abidin Bin Ahmad ( Pendeta Za'ba ), Allahyarham Cikgu Harun Bin Muhammad Amin ( Harun Aminurashid ), Allahyarham Cikgu Buyong Adil, Allahyarham Cikgu Ahmad Bakhtiar dan lain-lainnya. Kesemua tokoh guru yang disebutkan tadi mempunyai semangat kebangsaan yang tinggi dalam diri mereka. Keadaan ini pasti memberikan kesan yang sangat besar terhadap pemikiran politik Ibrahim Yaakob secara tidak langsung.

Hal ini diungkapkan oleh Ramlah Adam ( 2004 ) yang menyatakan Ibrahim Haji Yaacob menghayati tulisan-tulisan dari Abdul Hadi Haji Hassan dan ceramah-ceramah politik kebangsaan Harun Muhammad Amin ( Harun Aminurashid ) dan Buyong Adil ( juga anak murid kepada Cikgu Abdul HadI Haji Hassan ), seterusnya telah membentuk idea Melayu Raya atau Indonesia Raya di hati Ibrahim Haji Yaacob secara senyap-senyap.

Lebih berani, Ibrahim Haji Yaacob telah menubuhkan cawangan Partai Nasional Indonesia ( PNI )  di SITC pada tahun 1928 ( Ramlah Adam, 1991 ) dan boleh dikatakan pada tahun berkenaanlah SITC mula berperanan dengan lebih jitu sebagai pusat penentangan penjajahan. Menurut Ramlah Adam dalam buku Maktab Melayu Melaka 1900-1922 ( DBP,1991 ), Cikgu Abdul Hadi Haji Hassan dikatakan bertanggungjawab terhadap kewujudan hal ini yang kelak bakal menyebabkan beliau dipindahkan ke Kelantan. Hal ini juga turut diulas oleh Warjio yang jurnalnya saya rujuki di atas talian yang menyatakan pengaruh PNI di SITC telah melahirkan politik revolusioner di Tanah Melayu.

Secara tidak langsung adalah jelas menunjukkan bahawa Cikgu Abdul Hadi Haji Hassan begitu mempengaruhi corak pemikiran Ibrahim Haji Yaacob dalam sahsiah politiknya kelak. Idea suatu gagasan politik yang besar inilah akhirnya "memerangkap" Ibrahim Yaacob hingga akhirnya beliau terpaksa meneruskan perjuangan politiknya di Indonesia selepas berakhirnya pendudukan Jepun di Tanah Melayu. Namun untuk melihatnya sebagai seorang pembelot adalah tidak adil, kerana dari asuhannya itu muncul ribuan anak muda Melayu yang kelaknya menjadi penggerak besar gerakan menuntut kemedekaan negara kita.

Mengambil catatan Cikgu Buyong Adil seperti yang tercatat dalam buku Maktab Melayu Melaka 1900-1922 ( Ramlah Adam, 1991 ) yang menyatakan, " Pendeknya, dari asuhan Cikgu Abdul Hadi Bin Haji Hassan di maktab itulah Ibrahim, Yaacob, Karim Rashid dan Hassan Manan, seperti pelajar-pelajar yang lain juga mulai sedar akan fahaman kebangsaan Melayu yang akan mereka perjuangkan kerana hendak mencapai kemerdekaan bangsa dan tanah air mereka".

Ironinya... tiga nama yang tercatat di atas itu adalah pengasas Kesatuan Melayu Muda ( KMM ) yang kelaknya menjadi pertubuhan politik awal orang Melayu menentang penjajahan. Dan sejarah tidak akan menipu tentang ini!.

Cikgu Abdul Hadi Haji Hassan Dan Kedai AHMY

Amat sukar bagi orang-orang Melayu pada tahun-tahun 1920an dan 1930an untuk mendapatkan bahan bacaan dalam Bahasa Melayu yang berkualiti kerana keterbatasan ekonomi dan taraf pendidikan orang-orang Melayu yang agak rendah pada zaman itu. Bukanlah bermakna tidak ada langsung  buku atau bahan bacaan Melayu yang diterbitkan pada ketika itu namun jumlahnya adalah sangat sedikit.

Untungnya pada ketika itu, industri penerbitan buku dalam bahasa Melayu di Indonesia tumbuh dengan agak pesat. Hal ini didorong oleh pertumbuhan semangat nasionalis yang mula menyala di sana juga atas faktor penubuhan Balai Pustaka. Selain dari Balai Pustaka, terdapat juga penerbitan kecil di Indonesia yang kebanyakannya menerbitkan buku yang diharamkamkan oleh pihak penjajah Belanda.

Balai Pustaka ditubuhkan pada tahun 1907  oleh pihak penjajah Belanda, berjaya untuk menerbitkan banyak bahan bacaan dalam Bahasa Melayu. Bahan-bahan bacaan ini tersebar hingga ke Semenanjung Tanah Melayu dan banyak mempengaruhi arah pemikiran orang-orang Melayu pada ketika itu. Cikgu Abdul Hadi Haji Hassan banyak berlanggan atau membaca  buku-buku yang diterbitkan  oleh Balai Pustaka ini.

Ketika masih menjadi tenaga pengajar di SITC, Cikgu Abdul Hadi Bin Haji Hassan bersama dengan seorang kerani SITC yang bernama Muhammad Yusof  telah menubuhkan sebuah kedai buku dan alat tulis yang bernama AHMY Bookstore Co di pekan Tanjong Malim. Ramlah Adam dalam bukunya Maktab Melayu Melaka 1900 -1922 menyebut nama kedai ini sebagai AMHY Bookstore Co. Manakala Shaharom Husain dalam memoirnya Selingkar Kenangan Abadi menyebut nama kedai ini sebagai AHMY & Company.

Kedai buku ini menjual buku-buku bacaan pada harga yang murah supaya penuntut SITC ataupun masyarakat setempat dapat membeli dan membaca dengan meluas. Lebih dari itu, Cikgu Abdul Hadi Haji Hassan juga kadang kala meminjamkan buku-buku ini kepada para pelajarnya. Malah ada buku yang dihadiahkan kepada perpustakaan SITC. Kebanyakan buku-buku yang dijual di kedai buku ini adalah didatangkan dari Indonesia terutama yang diterbitkan oleh Balai Pustaka. Maka sudah pasti pengaruh dan semangat nasionalis rakyat Indonesia tersebar di kalangan penuntut melalui pembacaan buku dari kedai AHMY & Company ini.

Menurut Shaharom Hussain ( 1996 ), kebanyakan penuntut SITC mengenali kedai buku AHMY & Company itu sebagai sebuah kedai biasa, menjual alatan tulis menulis, buku, majalah dan akhbar. Namun bagi diri Shaharom dan rakan-rakannya yang bersemangat kebangsaan, AHMY & Company adalah penyalur penting gerakan kebangsaan atau politik ke dalam SITC kerana melalui kedai buku berkenaan banyak maklumat tentang gerakan politik yang memperjuangkan kemerdekaan Indonesia dan Tanah Melayu amnya.

Dari rujukan di atas talian, terdapat satu jurnal yang bertajuk Warisan Sakral Pergerakan Politik Indonesia-Malaysia : Tinjauan Sejarah Pergerakan yang ditulis oleh Warjio dari Departemen Ilmu Politik, Fakultas Ilmu Sosial dan Ilmu Politik ( Fisipol ) Universitas Sumatera Utara ( USU ), Medan Indonesia. Menurutnya Cikgu Abdul Hadi Haji Hassan adalah "ejen nasionalis dan ejen reformasi" kerana menjual dan mengedar buku-buku pembangkit semangat nasionalis Indonesia di kedai buku AHMY & Company.

Hal ini dapat dilihat melalui suatu peristiwa di mana Cikgu Abdul Hadi Haji Hassan terpaksa membakar sebuah buku berjudul Student Indonesia karya Dr. A.Rivai yang diharamkan pihak Belanda di Indonesia. Hal ini berpunca dari tindakan amaran Tuan Pengarah Pelajaran terhadap pengetua SITC iaitu Tuan O.T Dussek bahawa buku berkenaan tidak elok untuk dibaca kerana dipengaruhi oleh faham nasionalis. Berkemungkinan buku berkenaan dihadiahkan oleh kedai buku AHMY & Co milik beliau kepada perpustakaan SITC.

Buku Student Indonesia karya Dr.A.Rivai
yang terpaksa dibakar oleh 
Cikgu Abdul Hadi Haji Hassan.

Saya sendiri tidak dapat menjejaki tahun bilakah kedai buku AHMY & Company ini ditubuhkan. Berdasarkan kepada tahun perkhidmatan Cikgu Abdul Hadi Haji Hassan di SITC iaitu dari tahun 1922 hingga 1928, berkemungkinan ia telah wujud sejak dari tahun 1920an di pekan Tanjong Malim. Sayangnya tidak ada gambar atau pelan lama pekan Tanjong Malim ketika itu untuk saya rujuk di manakah letaknya kedudukan kedai buku yang bersejarah ini di pekan Tanjong Malim. Hal ini disebabkan kelemahan saya sendiri dalam mencari rujukan yang betul-betul mantap untuk penulisan ini.

Menurut Shaharom Hussain dalam memoirnya, walaupun Cikgu Abdul Hadi Haji Hassan telah lama meninggalkan SITC dan meninggal dunia dalam tahun 1937, namun kedai AHMY & Company tetap diteruskan perniagaannya. Berkemungkinan ia diteruskan oleh rakan kongsi Cikgu Abdul Hadi Haji Hassan iaitu kerani besar SITC, Encik Muhammad Yusuf Bin Muhammad Sharif. Sehingga tahun 1940 iaitu semasa Shaharom Hussain menuntut di SITC atau 12 tahun Cikgu Abdul Hadi Haji Hassan meninggalkan SITC, kedainya masih terus berjalan hinggalah ditutup apabila meletusnya perang dunia ke-2.

Ditukarkan Ke Kelantan

Akibat dari sifatnya yang keras dalam perjuangan menanamkan semangat kebangsaan kepada para pelajar akhirnya telah membimbangkan pihak kerajaan. Sebagai satu muslihat, pihak kerajaan penjajah Inggeris telah melantik Cikgu Abdul Hadi Haji Hassan sebagai Penolong Nazir Sekolah-Sekolah Melayu di Kelantan pada tahun 1928. Perkhidmatan Cikgu Abdul Hadi Haji Hassan di Kelantan berlangsung selama dua tahun sehingga tahun 1930.

Namun demikian, menurut Shaharom Hussain pula Cikgu Abdul Haji Hassan dilantik ke jawatan  Nazir Sekolah-Sekolah Melayu Kelantan pada 1 Oktober 1929 dan bersara pada tahun 1933. Ini bermakna beliau berkhidmat di Kelantan selama hampir lima tahun dan bukannya selama dua tahun seperti yang dikaji oleh Ramlah Adam dalam bukunya Maktab Melayu Melaka 1900-1922 ( DBP:1991 )

Menurut Ramlah Adam dalam bukunya Maktab Melayu Melaka 1900-1922 ( DBP. 1990 ), Cikgu Abdul Hadi Haji Hassan menjalankan tugasnya dengan tepat dan jujur. Menurutnya lagi, Cikgu Abdul Hadi Haji Hassan berusaha untuk mendisiplinkan guru sekolah dan penuntutnya yang seringkali memandang sekolah sebagai suatu organisasi yang tidak penting. Ada guru yang bertugas secara sambil lewa dan membuat kerja-kerja lain  seperti menangkap ikan sebelum ke sekolah. Keadaan ini ditanganinya dengan bersungguh-sungguh walaupun seringkali merasa kecewa kerana merasakan sikap orang Melayu di Kelantan yang tidak mementingkan pelajaran.

Beliau juga pernah menghadapi ancaman bunuh dan akan diracun. Walau bagaimanapun beliau tetap meneruskan usaha dalam merubah tahap pendidikan orang-orang Melayu di Kelantan supaya setanding dengan negeri-negeri lain.

Sebagai guru, Cikgu Abdul Hadi Haji Hassan sentiasa diingati kerana keadaan dirinya yang sentiasa tidak kemas ( berkemungkinan semasa di Kelantan jiwanya tidak tenteram berbeza dengan dirinya yang sentiasa kemas semasa di SITC ). Beliau selalu kesiangan kerana kegemarannya membaca buku hingga lewat malam. Kerap kali beliau ke kelas dengan tidak mandi pagi dan bersikat. Beliau hanya memakai terompah, baju Melayu dan kain pelikat. Rambutnya yang panjang sentiasa terjuntai di dahi dan wajahjnya yang muram itu menambahkan kusut pandangan muridnya. Namun tiada siapa  pun yang menegurnya kerana beliau jarang bercakap kerana sentiasa sibuk menghisap rokok. Tetapi beliau adalah guru yang bersungguh-sungguh ketika mengajar. Dengan nada suaranya yang sangat tinggi, beliau akan mengajar dengan penuh bersemangat sehingga selalu menghentak-hentak meja. Sesiapa yang tidak paham akan dimarahinya dengan panggilan otak udang ( Ramlah Adam, 1991 ).

Sebagai menghargai segala sumbangannya semasa berkhidmat di negeri Kelantan, sebuah sekolah di Kota Bahru dinamakan sempena namanya iaitu Sekolah Kebangsaan Abdul Hadi. Sekolah berkenaan masih lagi wujud hingga kini sebagai suatu kenang-kenangan orang Melayu Kelantan terhadap usaha Cikgu Abdul Hadi Haji Hassan dalam memajukan pendidikan di negeri ini.

Logo Sekolah Kebangsaan Abdul Hadi.
Namanya diabadikan di sini.

Meninggal Dunia

Cikgu Abdul Hadi Haji Hassan bersara dari perkhidmatannya pada tahun 1933 ( Shaharom Hussain:1996 ) kerana masalah kesihatannya. Penyakit batuk yang agak teruk seringkali mengganggunya berkemungkinan akibat dari amalan merokok. Isterinya mempercayai penyakit batuk-batunya adalah akibat dari terkena santau ( Ramlah Adam : 1991 ).

Penyakitnya semakin serius dan pada tarikh 25 Julai 1937, Cikgu Abdul Hadi Haji Hassan telah meninggal dunia di rumahnya sendiri di Tengkera, Melaka. Beliau dikebumikan di Tanah Perkuburan Bertam, Melaka ( Shaharom Hussain : 1996 ). Ketika meninggal dunia usianya baru menjangkau 37 tahun, suatu usia yang terlalu muda bagi seorang guru Melayu yang gigih sepertinya.

Namun demikian legasinya di SITC masih terus kukuh dan utuh. Bekas-bekas pelajarnya bertebaran ke pelusuk Tanah Melayu dan Borneo. Malahan selepas tamatnya perang dunia kedua, bagi matapelajaran Tawarikh di SITC masih tetap menggunakan kitab agung karangannya iaitu Sejarah Alam Melayu penggal I,II dan III sebagai buku rujukan utama. Shaharom Hussain ( SITC - 1938-1941 )yang menjadi generasi ketiga guru sejarah SITC selepas Cikgu Abdul Hadi Haji Hassan ( 1920 an ), Cikgu Buyong Adil ( 1930an ) masih tetap menggunakan kitab-kitab berkenaan dalam pengajarannya dan darinya pula lahir tokoh yang menjadi anak kandung teragung SITC iaitu Allahyarham Tun Haji Ghafar Baba.

Allahyarham Cikgu Shaharom Hussain
( Alumni SITC : 1938 - 1941 seterusnya menjadi
guru di SITC pada tahun 1946 hingga 1951 )

Mencari Makam Cikgu Abdul Hadi Haji Hassan

Didorong oleh perasaan ingin tahu, saya telah melakukan satu perjalanan ringkas ke Melaka khusus bagi menjejaki makam Cikgu Abdul Hadi Haji Hassan. Berpandukan buku Memoir Selingkar Kenangan Abadi Shaharom Hussain ( UKM : 1996 ) yang menyatakan Cikgu Abdul Hadi dikebumikan di Tanah Perkuburan Bertam, Melaka.

Sela masa hampir 72 tahun selepas Cikgu Abdul Hadi Haji Hasaan meninggal  dunia pasti bukan suatu usaha yang mudah untuk menjejak keberadaan makamnya. Hal ini benar-benar berlaku kepada saya kerana kedudukan Tanah Perkuburan Bertam seperti yang dinyatakan oleh Cikgu Shaharom Hussain itu juga sangat sukar untuk dijejaki. Saya sangat terkeliru dengan nama Bertam dan Bertam Ulu.

Kesilapan saya yang terbesar, adalah beranggapan Tanah Perkuburan Bertam itu adalah berdekaran dengan kampung kelahiran Cikgu Abdul Hadi Haji Hassan iaitu di Batang Tiga hingga membiarkan penjelasan bahawa rumah terakhir Cikgu Abdul Hadi Haji Hassan adalah di kawasan Tengkera. Hal ini telah menyebabkan saya kehilangan begitu banyak masa berlegar-legar di kawasan Batang Tiga mencari kawasan perkuburan.

Entah bagaimana saya tergerak hati untuk meninjau kedudukan tempat yang bernama Bertam itu dan menjumpai suatu kawasan yang dinamakan Bertam Ulu. Dengan menggunakan Google Maps saya berjaya sampai ke kawasan berkenaan. Sayangnya saya tidak melihat papan tanda yang menunjukkan arah ke kawasan tanah perkuburan.

Saya berhenti berehat di sebuah perhentian bas yang agak cantik. Suasana petang yang sunyi jelas terpancar di kawasan ini. Entah bagaikan suatu kebetulan yang diberikan Allah SWT, seorang lelaki muda mengalami kerosakan motosikal betul-betul di hadapan pondok tempat saya menumpang rehat. Saya menawarkan pertolongan menolak motorsikalnya dan kebetulan rumahnya tidak jauh dari tempat itu. Semasa di dalam perjalanan itu, saya sempat bertanya di manakah letaknya tanah perkuburan. Alhamdulillah beliau menunjukkan arah ke kawasan tanah perkuburan dan saya terus bergerak ke sana usai membantunya sampai ke rumah.

Suasana tenang ketika saya sampai ke tanah perkuburan Bertam Ulu ini. Fikiran saya bercelaru adakah saya telah benar-benar sampai ke Tanah Perkuburan Bertam seperti yang diungkapkan oleh Shaharom Hussain dalam buku memoirnya. Pada pintu masuk ke tanah perkuburan ini jelas tertulis Tanah Perkuburan Kampung Bertam Ulu, Melaka. Dari luar saya dapat melihat kubur-kubur lam bernisan granit menandakan kawasan perkuburan ini sudah agak lama digunakan. Besar harapan saya untuk menemui kubur milik Cikgu Abdul Hadi Haji Hassan seterusnya menghadiahkannya dengan bacaan Al-Fatihah.

Papan tanda Tanah Perkuburan 
Kampung Bertam Ulu, Melaka.

Ketika saya melangkah masuk ke dalam kawasan perkuburan, saya terpandang beberapa batu nisan granit lama yang telah tercabut dan diletakkan di tepi pagar. Saya bergegas menghampiri dan mencuba mencari maklumat yang tertulis pada batu nisan berkenaan. Sayangnya tulisan pada batu nisan berkenaan sangat sukar untuk dibaca kerana ia terukir kelam dan telah dimamah masa dan cuaca. Cuma ada satu sahaja nisan yang dapat saya baca pada ukiran tahunnya iaitu pada tahun 1937. Ia seterusnya menyemarakkan semangat saya kerana ia adalah tahun dimana Cikgu Abdul Hadi Haji Hassan meninggal dunia. Saya berlegar-legar terus mencari kubur dengan batu nisan yang boleh dibaca keterangannya. Sayangnya ia berakhir dengan kehampaan. Majoriti batu nisan granit di sini tidak mempunyai keterangan.


Keadaan di Tanah Perkuburan Bertam Ulu, Melaka.

Dengan hari yang semakin petang dan saya perlu bergerak pulang ke Batu Pahat sebelum malam menjelang, saya pasti saya tidak akan berjaya untuk menjejaki makam Cikgu Abdul Hadi Haji Hassan hari ini. Mungkin bukan rezeki saya pada hari ini namun sekurangnya saya telah berusaha.

Saya berdiri memandang kawasan perkuburan ini sambil membacakan Al-Fatihah berulang kali khusus disedekahkan kepada roh-roh mereka yang telah berpulang dahulu. Saya ketepikan fikiran nakal saya yang mengganggu jika Cikgu Abdul Hadi Haji Hassan tidak disemadikan di sini. Cukuplah di mana sahaja kuburnya saya telah berusaha yang sebaiknya untuk perjalanan ini. Semoga rohnya tenang di sana dan Allah SWT mengampunkansegala dosa-dosanya.

Penutup

Sebenarnya penulisan ini telah tertangguh hampir dua tahun lamanya. Saya mula menyusun dan mengumpul maklumat berkenaan dengan Cikgu Abdul Hadi Haji Hassan sejak dari tahun 2016 lagi dan mula menulis tentangnya pada tahun 2017 khusus untuk meraikan ulangtahun kemerdekaan negara kita yang ke 60 tahun. Sayangnya ia tidak kesampaian dan blog ini terus tertinggal sepi tanpa bahan penceritaan selama hampir tiga tahun.

Kesibukan dan kekangan masa menjadi punca utama saya tidak lagi mudah untuk menulis. Malahan bahan penceritaan dan idea juga sudah hampir kering dan kontang dalam pemikiran saya. Entah mengapa hari ini, saya terpanggil untuk menulis kembali walaupun dalam keadaan yang sukar. Pada fikiran saya moleklah saya menulis bagi mengenang ketokohan Cikgu Abdul Hadi Haji Hassan dalam perjuangan awal kemerdekaan negara kita ini. Saya risau jika takdirnya esok atau lusa nyawa saya bercerai dari badan dan saya tidak sempat untuk menyelesaikan niat saya dalam mengenang jasa dan sumbangannya walaupun hanya dalam satu penulisan picisan seperti ini.

Benar, tidaklah ada apa-apa yang boleh dibanggakan untuk penulisan seperti ini yang lari dari nilai-nilai akademiknya. Cukuplah ia sebagai suatu karang-karangan dari seorang guru kecil untuk mengenang seorang guru yang cukup besar peranan dan sumbangannya terhadap negara tercinta ini iaitu Cikgu Abdul Hadi Haji Hassan.

Cikgu Abdul Hadi Bin Haji Hassan mungkin suatu nama yang sudah tertinggal jauh dan dilupakan oleh anak merdeka kini. Apalah yang perlu dikenang bagi seorang manusia yang telah meninggalkan kita lebih dari 70 tahun yang terdahulu. Tetapi bagi saya ia adalah suatu saat yang begitu indah, mengenang jasa mereka yang terdahulu sebagai tanda mereka tetap dalam ingatan dan kenang-kenangan merdeka. Cikgu Abdul Hadi Haji Hassan mungkin tidak sempat melihat negaranya ini merdeka. Beliau mungkin generasi genius Melayu yang terawal dalam sistem pendidikan moden di Tanah Melayu ini. Sayangnya beliau muncul tdan pergi terlalu awal ketika umat Melayu ketika itu leka dengan alam penjajahan hingga terlupa tentang istilah kebebasan dan keagungan bangsanya. Dan beliau merevolusikan pemikiran anak bangsanya untuk berubah .... beliau berjaya akhirnya walaupun dalam kumpulan pejuang yang terasing.

Terima kasih Cikgu Abdul Hadi Haji Hassan !

TAMAT